Monday, December 17, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 180-182 )



بسم الله الرحمن الرحيم

1.      Ayat 180:
-         Ayat ini secara jelasnya mewajibkan keatas orang yang sudah hampir waktu kematiannya sedangkan ianya bakal meninggalkan harta warisan yang ditaksirkan oleh para ulama’ sebagai harta kekayaan, hendaklah orang tersebut berwasiat menguntukkan hartanya itu bagi kedua ibu bapanya dan kaum kerabatnya secara sepatutnya dan tidak melebihi satu pertiga dari kesemua hartanya. Perkataan خَيْراً  ditafsirkan dengan erti harta atau kekayaan[1]. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2]: “Sebahagian ulama’ berpendapat, seseorang itu tidak dikatakan meninggalkan harta kekayaan jika ia tinggalkan harta kurang dari enam puluh dinar. Menurut satu pendapat yang lain, lapan puluh dinar. Ada yang mengatakan empat ratus dinar dan ada juga yang mengatakan seribu dinar. Maka tidak syak lagi kadar peninggalan yang dianggap sebagai satu kekayaan yang diwajibkan untuk diwasiatkan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman dan dari satu masyarakat ke satu masyarakat”.
-           Sebenarnya, berwasiat harta peninggalan kepada ibu bapa dan kaum kerabat adalah wajib dipermulaan Islam untuk mencegah perbuatan masyarakat jahilliyyah yang berwasiat kepada orang-orang yang jauh pertalian kerabat semata-mata kerana hendak bermegah-megah dan mengharap puji-pujian daripada manusia sekeliling mereka. Sedangkan kerabat sendiri ada yang terbiar, terlantar dan melarat. Maka turunlah ayat ini untuk mencegah amalan jahilliyah tersebut. Pada zaman jahilliyyah terdapat tiga sebab yang membolehkan seseorang itu menerima wasiat[3]:
a)       Sebab keturunan
Khas untuk lelaki dewasa ( berasal daripada keturunan si mati) yang mempunyai kemahiran seperti menunggang kuda, memerangi musuh dan sanggup memperolehi harta rampasan perang. Sedangkan orang perempuan (samada isteri mahupun ibu si mati) dan kanak-kanak kecil tidak berhak mendapat pusaka sama sekali.
b)       Sebab pengambilan anak angkat
Merujuk kepada seseorang yang telah memelihara anak angkat, anak itu dihukumkan sebagai anaknya sendiri yang berhak pula mempusakai hartanya selepas mati dengan syarat mempunyai kebolehan serta kemahiran yang telah disebutkan diatas.
c)      Sebab bersumpah setia
Merujuk kepada dua pihak yang telah bersumpah setia dengan berkata : “ Darahku adalah darahmu, binasa aku binasa kamu, jika ditumpah darahku maka tertumpah pula darahmu, aku mempusakai kamu dan kamu mempusakai aku dan jika kamu dituntut kerana aku maka aku setia dituntut kerana engkau”. Maka kedua-dua telah bersumpah dan berjanji setia iaitu sama-sama berazam hendak hidup atau mati dalam perjuangan. Jikalau salah seorang mati, maka yang hidup akan mempusakai hartanya mengikut yang telah ditetapkan bahagiannya. Demikianlah peraturan pembahagian pusaka pada zaman jahilliyyah.
-          Tetapi selepas itu, ayat ini telah dimansukhkan (dibatalkan hukumnya) serta digantikan dengan ayat yang menerangkan tentang hukum pembahagian harta pusaka yang terkandung di dalam surah al-Nisa’, ayat 11 hingga 14 dan juga ayat 176. Hukum-hukum tersebut antaranya adalah anak lelaki mendapat dua bahagian, anak perempuan mendapat satu bahagian, kedua-dua ibu bapa mendapat satu perenam, isteri mendapat samada satu perempat atau satu perlapan dan suami mendapat satu perempat atau satu perdua harta peninggalan simati. Fakta ini disokong oleh sebuah Hadith dari Amru b. Kharijah katanya[4]: “ Saya sedang memegang tali unta Nabi Muhammad s.a.w dan Nabi berkhutbah, saya dengar Baginda bersabda:
إن اللهَ أعطى كلَّ ذي حقٍّ حقَّهُ فلا وصِيَّةَ لِوارِثٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t memberi hak seseorang itu kepada yang empunya hak, maka tiada wasiat diperuntukkan kepada ahli waris.”
Dengan ini, setelah turunnya ayat-ayat daripada surah al-Nisa’ yang mengikut jumhur ulama’ telah membatalkan hukum pada ayat 180 ini, maka batallah hukum wasiat kepada ahli waris kerana ahli waris dengan sendirinya akan mendapat bahagian pusakanya dengan kadar yang telah ditetapkan oleh syara’ walau pun simati tidak berbuat apa2 wasiat pun sebelum mati. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Ayat-ayat mengenai hukum pusaka telah diturunkan selepas turunnya ayat-ayat wasiat ini, dimana ia menentukan bahagian-bahagian tertentu kepada pewaris dan menjadikan dua ibu bapa sebagai pewaris dalam segala keadaan. Oleh sebab itulah kedua-duanya tidak mendapat habuan wasiat kerana tidak ada habuan bagi pewaris.”
-          Terdapat dua pendapat dalam membicarakan hal ehwal ayat wasiat (ayat 180 ini) dengan ayat pusaka ( surah al-Nisa’, ayat 11 hingga 14 dan juga ayat 176)[6]:
a)      Jumhur ulama’ berpendapat terdapat percanggahan antara konsep dua ayat ini. Mereka berpendapat ayat pusaka diturunkan selepas turunnya ayat wasiat, maka wasiat wajibah itu dimansuhkan dengan hukum pusaka.
b)      Sebahagian ulama’ berpendapat, tidak wujud percanggahan antara ayat yang mewajibkan wasiat dengan ayat penentuan hak-hak waris pada harta pusaka yang diturunkan selepas turunnya ayat berkenaan wasiat. Hal ini demikian ayat berkenaan wasiat tetap kekal hukumnya kepada kaum kerabat yang terhalang untuk mendapat peruntukkan dalam peraturan harta pusaka. Contohnya seperti ibubapa yang kafir dan sememangnya tidak boleh menerima pusaka kerana berlainan agama dan juga cucu-cucu yang bapa mereka meninggal dunia sebelum kematian datuknya yang mempunyai harta yang banyak. Dengan sebab kematian bapa mereka, lalu mereka dihalangi oleh bapa-bapa saudara mereka dari menerima pusaka yang ditinggalkan oleh datuk mereka. Sedangkan jika bapa mereka masih hidup, harta itu akan mereka nikmati selepas kematian bapanya. Menurut pandangan ini, mana-mana ahli keluarga yang telah ditetapkan bahagiannya pada pembahagian pusaka, maka mereka tiada lagi berhak untuk mendapat apa-apa peruntukkan mengikut undang-undang wasiat. Walau bagaimana pun, wasiat kepada anggota keluarga adalah sah dan boleh dilaksanakan jikalau dipersetujui oleh para waris yang lain dengan sukarela dan mereka juga bersetuju menggugurkan sebahagian daripada hak mereka bertepatan dengan sebuah Hadith yang berbunyi[7] :
لا وصيَّةَ لِوارثٍ إلا أن تُجِيزَ الوَرَثَةُ
Bermaksud: “ Tidak boleh wasiat kepada keluarga yang berhak menerima pusaka, melainkan jika dibenarkan oleh para waris yang lain”
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [8]: “ Adapun kaum kerabat maka nas wasiat itu secara umumnya kekal untuk mereka, iaitu siapa yang mendapat bahagian pusaka yang ditentukan oleh ayat pusaka, maka ia tidak mendapat bahagian wasiat dan sesiapa yang tidak mendapat bahagian pusaka maka nas wasiat disini mencakupi mereka. Inilah pendapat setengah-setengah Sahabat dan Tabi’en yang kami pegangi” . Makanya, dengan kekalnya hukum peraturan wasiat ini, (sepertimana pendapat yang kedua), dapatlah dilindungi kebajikan cucu-cucu dan waris yang seumpamanya yang mungkin terhalang untuk mendapat pusaka sedangkan dari sudut realiti sebenarnya, merekalah yang betul-betul memerlukan bantuan dan pertolongan. Sekaligus dengan ini, tercapailah kesamarataan antara manusia dalam mencari kesejahteraan dan menjamin kemudahan hidup bagi semua kaum kerabat samada jauh mahu pun dekat.
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9] :  Tujuan memberi hak wasiat kepada yang lain dari para pewaris dapat dilihat dengan jelas dalam kes-kes yang memerlukan hubungan yang baik dengan setengah-setengah keluarga apabila mereka tidak mendapat bahagian pusaka mengikut penentuan ayat-ayat pusaka kerana mereka telah dihijabkan oleh pewaris yang lain. Ini merupakan satu bentuk dari bentuk-bentuk takaful am kekeluargaan diluar sempadan pusaka.”
-          Dan akhirnya ayat ini disudahi dengan firmanNya:
بِالْمَعْرُوفِ حَقّاً عَلَى الْمُتَّقِينَ
Bermaksud: “ Dengan ( suatu habuan) kebaikan sebagai suatu kewajipan kepada orang-orang yang bertaqwa”
Ayat ini membawa satu pernyataan yang cukup nyata bahawasanya wasiat itu adalah satu kewajipan ke atas orang yang bertaqwa. Kenyataan tentang keutamaan ( awlawiyat) wasiat ini disebut oleh Allah s.w.t yang berbunyi[10]:
مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ
Bermaksud: “ (Pembahagian pusaka itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah ditinggalkan oleh simati dan sesudah dibayar hutangnya”
Oleh sebab itulah wasiat ini adalah keutamaan yang pertama sekali dalam hal harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia melebihi perlaksanaan harta pusaka. Justeru itu, lantaran perkara wasiat ini adalah satu amanah yang amat penting, Allah s.w.t mengingatkan bahawa setiap wasiat memerlukan dua orang saksi yang adil sepertimana firmanNya[11]:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمْ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِنْكُمْ
Bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman, Apabila salah seorang daripada kamu hampir mati, ketika mahu berwasiat, hendaklah wasiatnya disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu”
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[12]: “ Ya’ni dalam pusaka ini seseorang itu janganlah menganiya para pewaris dan janganlah pula mengabaikan yang bukan pewaris dan hendaklah ia berpandukan taqwa dengan adil dan saksama dengan membuat kebaktian dan pemberian budi yang baik. Namun demikian, al-Sunnah telah membataskan wasiat itu tidak melebihi kadar satu pertiga dan satu perempat itu adalah lebih afdal supaya kepentingan pihak para pewaris tidak tergugat dengan kerabat yang bukan pewaris. Ini beerti urusan wasiat itu dilaksanakan mengikut dasar undang-undang dan semangat taqwa dan itulah sifat-sifat peraturan kemasyarakatan yang diwujudkan oleh Islam dengan penuh keselarasan dan aman damai.”

2.      Ayat 181:
-          Ayat ini secara jelas menyatakan sekiranya wasiat telah selesai ditulis, tetapi kemudiannya diubah isi tulisannya, ditukar kadar pembahagiannya atau pun saksi menyembunyikan penyaksiaannya terhadap keterangan wasiat yang telah didengari sebelum ini, maka berdosalah mereka atas tindakan-tindakan tersebut. Perkara ini sudah semestinya ditujukan kepada pemegang-pemegang amanah yang bertanggung –jawap sepenuhnya terhadap wasiat-wasiat dibawah kendalian mereka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[13]: “Oleh itu siapa yang mendengar wasiat, maka ia akan menanggung dosa sekiranya ia mengubah wasiat itu selepas kematian si mati yang diwarisi dan simati itu tidak berdosa dengan perbuatan itu.
-          Pihak-pihak yang berhasrat untuk berwasiat tidak harus menjadikan kebimbangan terhadap pihak pemegang wasiat sebagai alasan untuk tidak berwasiat kerana Allah s.w.t adalah sebaik-baik saksi yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui [14]sepertimana firmanNya diakhir ayat ini yang berbunyi:
إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Bermaksud: “ Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui”
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[15]: “ Allah s.w.t menjadi saksi atas apa yang didengar dan diketahui olehNya. Dialah saksi simati yang diwarisi dan Dia tidak akan mempersalahkan perbuatan pengubahan wasiat yang dilakukan selepas kematiannya dan Dialah saksi terhadap orang yang melakukan pengubahan wasiat itu dan mengenakan dosa perbuatan itu keatasnya”

3.       Ayat 182:
-          Ayat ini menjelaskan sekiranya pemegang amanah itu khuatir wasiat akan menjadi berat sebelah, ada unsur dendam serta menindas kerabat yang lain, pemegang amanah boleh membuat rundingan diantara pihak-pihak yang bertelagah serta berhak membaiki mana-mana perkara yang dilihatnya melampaui batas serta menatijahkan kezaliman agar wasiat itu berlaku adil sebagaimana sepatutnya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[16]: “ Hanya terdapat satu kes sahaja dimana penerima wasiat (pemegang amanah) boleh mengubah wasiat pemberi wasiat. Iaitu apabila dia mengetahui bahawa pemberi wasiat itu bertujuan memilih kasih atau menzalimi pihak pewaris dengan wasiat itu. Dalam kes yang seperti ini tidak menjadi apa-apa kesalahan bagi pihak yang mengendalikan perlaksanaan wasiat itu meminda wasiat itu dengan cara yang dapat mengelakkan kezaliman itu dan dapat memulangkan perkara itu kepada keadilan dan kesaksamaan”



[1] Dr. Abdul Hayei b. Abdul Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 206. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 157
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 37
[3] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 4, mk 204
[4] Riwayat al-Nasaei dan al-Tirmidzi
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 37
[6] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 157
[7] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 123
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 38
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 39
[10] Al-Nisa’, ayat 11
[11] Al-Maidah, ayat 106
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 39
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 39
[14] Dr. Abdul Hayei b. Abdul Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 212
[15] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 39
[16] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), mk 40

No comments: