بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 174:
-
Ibn Abbas
berkata, asbab nuzul ayat ini diturunkan atas dasar untuk mencela ketua-ketua
dan pendeta Yahudi di Madinah yang mengambil hasil pendapatan atau hadiah dari
pengikut mereka. Mereka yang sememangnya mengharap betul-betul nabi akhir zaman
bakal dibangkitkan daripada bangsa Yahudi tetapi apabila hakikat menjadi
sebaliknya, ditakuti hilangnya habuan hadiah daripada pengikut mereka dan akan
hilanglah kekuasaan memimpin, mereka sanggup menyembunyikan fakta tersebut yang
termaktub di dalam kitab mereka sendiri iaitu Taurat dan mengubahnya[1]. lalu
mereka memberitahu bahawa inilah sifat-sifat nabi akhir zaman yang tidak
menyerupai nabi ini. Maka turunlah ayat ini[2].
-
Mereka
menggunakan setiap medium penyebaran maklumat pada masa itu (yang mungkin tidak
secanggih sekarang ini) untuk menutup kebenaran yang hakiki serta seringkali
membuat fitnah dengan mengatakan sesuatu yang dusta kepada Allah s.w.t. Sebagai
contoh, mereka mengelirukan kaum muslimin tentang makanan yang dihalalkan serta
yang diharamkan oleh Allah s.w.t sepertimana firmanNya[3]:
وَعَلَى
الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ وَمِنْ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ
حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا إِلاَّ مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا أَوْ
الْحَوَايَا أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ
Maksudnya: “ Dan kepada kaum
Yahudi Kami haramkan segala binatang yang berkuku dan dari lembu dan kambing
Kami haramkan kepada mereka lemak-lemak daripada kedua-duanya kecuali lemak
yang melekat dipunggung kedua-duanya atau yang melekat diperut besar dan usus
atau yang bercampur dengan tulang”
Perkara yang disebutkan di dalam ayat
diatas hanyalah diharamkan khusus kepada kaum Yahudi. Sedangkan perkara
tersebut di halalkan kepada kaum muslimin. Ulama’ mereka pula mempertikaikan
kenapa dihalalkan perkara itu kepada kaum muslimin. Diriwayatkan juga, mereka
telah mempertikaikan tentang perkara ini sedangkan perkara tersebut memang
telah diharamkan kepada mereka di dalam kitab Taurat. Matlamat mereka
selama-lamanya ialah menimbulkan keraguan terhadap kesahihan perintah al-Quran
dan kebenaran yang diwahyukan oleh Allah s.w.t[4]
-
Hal ini demikian kerana takut jika kebenaran
itu diketahui maka ketua dan pendeta Yahudi ini tidak akan dipilih lagi menjadi
ketua atau pemimpin sekaligus akan terlepas habuan serta hadiah yang selama ini
mereka nikmati daripada pengikut mereka. Sekalipun diantara mereka itu terdiri
daripada orang yang alim Taurat dan Injil yang diiktiraf sebagai ulama’
dikalangan mereka tetapi mereka sanggup serta tergamak menukarkan kebenaran
yang hakiki dengan habuan harta yang sedikit. Mereka redha menjual pengajaran
Allah yang sangat berharga untuk dibelikan habuan makanan serta kehidupan yang
tidak seberapa[5].
-
Dewasa ini,
perkara seperti yang disebutkan dalam ayat ini berlaku dengan setepatnya sepertimana
yang diceritakan oleh ayat ini. Terdapat mereka yang ingin mengekalkan tampuk
pemerintahan yang korup, zalim serta menindas rakyat marhaen dengan apa cara
sekali pun sehingga sanggup menutup kebenaran yang termaktub di dalam al-Quran
serta kebenaran yang acapkali dihadapkan oleh Allah s.w.t di depan mata manusia
itu sendiri saban hari. Malah, dengan kuasa yang ada pada mereka, mereka berjaya menutup kebenaran itu
dengan mengawal kesemua media massa dalam memastikan kebenaran tidak sampai
kepada masyarakat sekaligus menjadikan masyarakat itu jahil tentang kebenaran.
Bukan setakat itu sahaja, mereka juga mengelirukan masyarakat tentang syari’at
Islam itu sendiri samada memberi kefahaman yang salah dengan menimbulkan
kesangsian terhadap hukum Islam atau dengan sengaja membiarkan masyarakat terus
teraba-raba dalam memahami Islam yang sebenarnya. Apabila masyarakat sudah jadi sebegitu, maka
senanglah mereka berkuasa dan terus dengan sewenang-wenangnya melakukan
kerosakan dimuka bumi ini tanpa ada siapa yang menghalang.
-
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] :
“ Kecaman terhadap perbuatan menyembunyikan hukum-hukum di dalam al-Quran yang
telah diturunkan Allah s.w.t itu adalah ditujukan pertama-tamanya kepada kaum
ahli Kitab, tetapi pengertian nas yang umum itu mencakup semua penganut setiap
agama yang menyembunyikan kebenaran yang diketahui mereka dan menjualkannya
untuk mendapat faedah duniawi yang sedikit samada berupa faedah peribadi yang
ingin dicapai mereka melalui penyembunyian kebenaran itu atau berupa kepentingan
peribadi yang dijaga mereka dengan penyembunyian itu atau yang dibimbangi
mereka akan terancam apabila diterangkan kepada umum atau berupa kepentingan
dunia seluruhnya dan ini juga dikira satu faedah yang kecil apabila
dibandingkan dengan kerugian mereka kerana tidak mendapat keredhaan Allah dan
pahala di akhirat.”
-
Seterusnya Allah berfirman:
أُوْلَئِكَ
مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلاَّ النَّارَ
Bermaksud:
“ Mereka itu, apa yang mereka makan yang masuk ke perut mereka, tidak lain
hanyalah api neraka”
Menggambarkan bahawasanya faedah yang
mereka makan dari penyembunyian kebenaran itu adalah sangat hina dan kesemua
yang telah masuk ke perut mereka adalah merupakan api neraka. Berkata al-Syahid
Sayyid Qutb[7]:
“ Kenyataan ini selaras dengan pemandangan di dalam ayat ini. Seolah-olah
harga penyembunyian dan pendustaan yang dimakan mereka itu merupakan api neraka
di dalam perut mereka dan seolah-olah mereka sebenarnya makan api neraka itu
sendiri. Dan ini adalah satu hakikat yang benar apabila mereka dimasukkan
kedalam neraka pada hari akhirat. Di sanalah api neraka menjadi pakaian mereka
dan di sanalah api neraka menjadi makanan mereka[8]”.
-
Sebagai
balasan terhadap tindakan mereka itu, mereka diabaikan Allah pada hari qiyamat
dan dibiarkan dalam keadaan yang teramat hina sepertimana firmanNya:
وَلا
يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلا يُزَكِّيهِمْ
Bermaksud: “Allah tidak akan
bercakap dengan mereka pada hari qiyamat dan tidak akan membersihkan mereka
(dari dosa)”
Terbukti di dalam ayat ini betapa
hebatnya balasan menyembunyikan kebenaran lebih-lebih lagi kebenaran tersebut
amat-amat dihajati oleh manusia demi kelangsungan kehidupan mereka berpegang
kepada al-Quran dan al-Sunnah. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “(Ia
diungkapkan sedemikian) untuk membesar-besarkan pengabaian Ilahi itu dalam
suatu kebenaran yang dekat dengan perasaan dan kefahaman manusia, iaitu mereka
tidak ditegur sapa, tidak dipeduli, tidak dibersih (dari dosa) dan tidak diberi
keampunan.” Dan akhirnya mereka akan dihadapkan dengan azab yang amat
pedih.
2. Ayat
175:
-
Mereka itu
digambarkan di dalam ayat ini seperti membeli kesesatan dan menjual petunjuk,
membeli seksaan dan menjual pengampunan. Betapa jahilnya pekerti dan tindakan
mereka kerana mempertukarkan yang baik dengan yang buruk.. Berkata al-Syahid
Sayyid Qutb[10]:
“ Seolah-olah ia merupakan satu urusniaga membeli kesesatan dengan bayaran
hadiah, menolak keampunan dan mengambil azab neraka. Alangkah rugi dan bodohnya
urusniaga itu. Alangkah buruknya belian dan pilihan mereka. Inilah gambaran
hakikat yang sebenar. Hidayah ditawarkan kepada mereka tetapi mereka menolaknya
dan mengambil kesesatan dan keampunan pula di buka kepada mereka tetapi mereka
menolaknya dan memilih azab neraka”
-
Begitu juga,
alangkah ganjil dan anehnya cara mereka berfikir yang membayangkan bahawa
mereka itu sabar dan tahan menjalani seksaan azab di akhirat nanti yang sudah
pasti tersangat lama masanya[11] Mereka
seolah-olah tidak mengerti langsung bahawa betapa pedihnya azab Allah dan
betapa berlainannya masa di dunia dengan masa di akhirat nanti. Hal ini
demikian kerana dikaburi dengan nikmat dunia yang menjadi kegilaan mereka
sehingga tiada terdetik dihati mereka tentang hal ehwal hari akhirat, sepertimana
firmanNya:
فَمَا
أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ
Bermaksud:
“ Alangkah sabarnya mereka menanggung azab neraka”
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [12]: “
Alangkah lamanya kesabaran mereka untuk menderita azab neraka yang telah
dipilih oleh mereka dengan sukarela dan dituju oleh mereka dengan sengaja.
Alangkah hebatnya ejekan terhadap kesabaran mereka yang amat lama untuk
menderita azab neraka itu! Itulah balasan yang setimpal terhadap keburukkan
jenayah mereka, iaitu jenayah menyembunyikan ayat-ayat al-Quran yang telah
diturunkan oleh Allah supaya diumumkan kepada manusia dan supaya ditegakkan
dalam kehidupan mereka di dunia ini dan supaya menjadi undang-undang, peraturan
dan cara hidup mereka. Oleh kerana itu, sesiapa yang menyembunyikan ayat-ayat
Allah beerti telah memberhentikan dari bertindak dan beroperasi sedangkan kitab
Allah merupakan perintah-perintah yang benar yang diturun untuk bertindak dan
beroperasi”
3. Ayat
176:
-
Jelas ayat
ini memberi kesimpulan kepada sebab mereka dihukum sebegitu dahsyat tidak lain dan tidak bukan kerana
mengelirukan kebenaran al-Quran yang diturunkan dengan hak, samada diubah atau
sengaja disalah ertikan dan inilah punca sebenar pepecahan dan seterusnya
membawa kepada kesesatan yang amat jauh. Al-Quran yang telah pastinya benar
daripada Allah s.w.t yang tiada hak untuk manusia itu menyembunyikannya apatah
lagi mengubahnya dengan mengikut hawa nafsu mereka. Berkata al-Syahid Sayyid
Qutb[13]: “
Sesiapa yang kembali kepada kitab Allah beerti berada di jalan hidayah Allah,
berada dalam hubungan yang harmoni dengan ajaran yang benar dan berada dalam
hubungan yang mesra dengan golongan manusia yang mendapat hidayah Allah dan
seterusnya berada dalam hubungan yang mesra dengan fitrah alam buana dan
undang-undangnya yang teguh”
[1] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 157
[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 89-90
[3] Al-‘An’am, ayat 146
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 640-641
[5] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 2, mk 50
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 642
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal
al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 643
[8] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 152
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 643-644
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 644
[11] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 158
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 644-645
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 645
No comments:
Post a Comment