بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 163 :
- Seterusnya
ayat-ayat berikutnya terus berbicara dalam menegakkan kefahaman Islam diatas
tapak asasnya yang agung, iaitu tapak asas tauhid. Berkata al-Syahid Sayyid
Qutb[1]: “
Keesaan Uluhiyah merupakan tapak asas yang agung dan diatas tapak inilah
ditegakkan kefahaman keagamaan. Di sana tidak ada pertikaian disekitar
kepercayaan kewujudan Tuhan. Yang ada hanya perbezaan kefahaman disekitar zat
Tuhan, sifat-sifatNya serta hubunganNya dengan para makhluk yang mana kesemua
pertikaian ini tidak menidakkan kewujudan Tuhan. Tidak pernah berlaku
bahawasanya fitrah manusia itu telah melupakan hakikat kewujudan Tuhan
melainkan di zaman kebelakangan ini dimana lahirnya pertumbuhan golongan
manusia yang terputus dari pangkal kehidupan, terputus dari pangkal fitrah dan
mengingkari kewujudan Allah s.w.t. Itulah kehidupan manusia yang tidak
mempunyai akar umbinya di alam buana ini dan oleh sebab itu nasib mereka pasti
akan berakhir dengan kemusnahan kerana tabiat kejadian dan fitrah alam wujud
ini tidak sanggup menerima kewujudan makhluk yang terputus daripada akar
umbinya”.
- Sepertimana asbab nuzul ayat 163 ini ketika
mana orang kafir Quraisy bertanyakan kepada Rasullullah s.a.w tentang
sifat-sifat Allah. Hal ini demikian kerana mereka ingin tahu adakah Tuhan nabi
Muhammad s.a.w itu seperti mana berhala-berhala mereka yang berbilang-bilang
banyaknya itu. Maka, untuk menolak
sangkaan mengarut mereka itu sekaligus menjelaskan perihal Tuhan yang sebenar,
diturunkan ayat ini dan juga beberapa ayat yang lain yang semaksud dengannya.
Diantaranya, apa yang difirmankan oleh Allah s.wt yang berbunyi[2]:
- قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1)
اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُواً
أَحَدٌ (4)
Bermaksud: “ Katakanlah olehmu ya
Muhammad, Allah itu Esa. Allah itu tempat meminta. Tiada Dia beranak dan tiada
pula diperanakkan. Dan tiada seorang pun yang menyerupaiNya”.
Maksud “Tuhan yang Esa” disini adalah
Tuhan yang tidak berbilang-bilang, tidak dapat dipadankan dengan zat ketuhanan
yang lain. Tidak dapat diserupakan perbuatanNya dengan perbuatan makhluk dan
tidak boleh diserupakan sifatNya dengan sifat-sifat makhluk. Esa pada
perbuatanNya dan Esa pada sifatNya[3].
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “
Dari dasar keesaan Uluhiyah yang tegas dan disokong dengan bermacam-macam cara
penegasan inilah tertegaknya keesaan Tuhan ma’bud yang tunggal, dimana seluruh
makhluk menumpukan perhambaan dan ketaatan mereka kepadaNya. Begitu juga
tertegaknya kekuasaan pihak yang tunggal, dimana seluruh makhluk menerima
segala arahan mengenai dasar-dasar akhlak dan perilaku mereka dariNya. Tertegak
juga sumber perundangan dan peraturan dariNya dan tertegaknya sistem hidup yang
tunggal yang mengatur kehidupan manusia di setiap jalan”. Penjelasan rangkaian
ayat-ayat keesaan Tuhan ini bertujuan untuk menyediakan umat muslimin untuk
memainkan peranan mereka yang besar dimuka bumi ini. Ianya adalah sesuatu
hakikat yang sentiasa diperdalamkan akar umbinya oleh al-Quran dan diperluaskan
konsepnya sehingga meliputi segala sudut perasaan dan aqal serta segala aspek
kehidupan dan segala kewujudan. Hakikat ini juga perlu ditegakkan diatas
seluruh perundangan, peraturan dan tugas-tugas kewajipan.
-
Kemudian
pengakhiran ayat ini berbunyi:
هُوَ
الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ
Bermaksud:
“ Yang Maha penyayang dan Maha pengasih”
Iaitu,
dari rahmatNya yang melimpah ruah, mendalam dan berterusan itulah lahirnya
segala undang-undang, peraturan dan tugas-tugas kewajipan.
2. Ayat 164:
-
Asbab nuzul
ayat ini mengikut riwayatnya ketika mana Rasullullah s.a.w mengatakan kepada
orang kafir Quraisy dengan firman Allah yang berbunyi :
وَإِلَهُكُمْ
إِلَهٌ وَاحِدٌ
Bermaksud
: “ Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa”
Lalu orang kafir Quraisy pun meminta
Baginda datangkan bukti kerana mereka merasa sangat ta’ajub bagaimana Tuhan itu
satu sahaja sedangkan mereka ada mempunyai berhala-berhala sebanyak 360 buah
yang terletak disekeliling Ka’bah. Maka turunlah ayat ini[5]
untuk menjelaskan keesaan Allah s.w.t yang boleh disusun menjadi 7 perkara yang
terkandung di dalamnya bukti nyata dan tepat bahawasanya Allah s.w.t adalah
Tuhan yang Maha berkuasa dan Tuhan yang Maha Esa.
-
Pertama,
sepertimana firman Allah yang berbunyi:
إِنَّ
فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ
Bermaksud:
“ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi..”
Ayat ini menyarankan agar
memerhatikan kejadian langit dan bumi yang amat menakjubkan dimana mengikut
ayat ini dalam tatabahasa Arabnya langit itu kejadiannya berbilang-bilang (السَّمَوَاتِ) dan bumi itu kejadiannya satu sahaja (وَالأَرْضِ ). Ini adalah kerana langit mempunyai berbagai unsur yang
berlainan sedangkan bumi itu dikira satu sahaja walaupun mempunyai lapisan yang
berbagai kerana semuanya itu dianggap tanah yang satu. Dan kejadian langit dan
bumi ini menjadi bukti keesaan Allah sekiranya diperhatikan kejadian tersebut
dengan hati yang terbuka. Langit, berapa jaraknya? berapa tingginya terbentang
diangkasa dan kenapa tiada tempat penggantungannya atau pun sebarang benda
untuk menampungnya? Itu belum lagi menyentuh kepada alam angkasa raya yang
memeningkan kepala. Bumi pula,
kejadiannya bulat tetapi berapa lebar dan luasnya? Ada lautan dan ada daratan,
bergunung, bersungai dan berhutan serta di dalamnya ada pula permata dan unsur
galian. Kesemua ini menjadi rahsiaNya kecuali sebahagian yang dibukakan Allah
kepada mereka apabila daya pemikiran semakin subur dan apabila kajian-kajian
ilmiah membantu mereka. Ini kesemuanya membuktikan penciptanya adalah satu
iaitu Allah s.w.t
-
Kedua,
sepertimana firmanNya:
وَاخْتِلافِ
اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
Bermaksud:
“ Dan pertukaran malam dan siang”
Kedua-dua malam dan siang ini silih
berganti, terkadang malam lebih panjang daripada siang dan terkadang
sebaliknya. Maka dengan ini terjadinya suasana terang dan suasana malam dan
ianya menjadi antara sebab manusia itu boleh mengatur kehidupan seharian mereka
yang mana apabila malam untuk berehat dan siang untuk bekerja atau pun
sebaliknya. Mengikut ayat ini, para ulama’ berpendapat malam dahulu barulah
siang dan sebab itulah penetapan haribulan Islam dimulai dengan permulaan malam
dan disudahi dengan pengakhiran siang.
-
Ketiga,
sepertimana firmanNya:
وَالْفُلْكِ
الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ النَّاسَ
Bermaksud:
“Dan kapal yang berlayar dilautan dengan muatan yang berguna kepada manusia”
Kapal yang jikalau dilihat dari jarak
jauh seperti satu titik kecil mengharungi lautan yang besar serta mengharungi
gelombang yang bergulung-gulung dalam kehijaun laut yang membentang luas, sayup
saujana disekeliling kapal tersebut. Kapal yang penuh dengan muatan dan
penumpang itu boleh pula terapung dipermukaan laut dan belayar daripada satu
pelabuhan ke satu pelabuhan yang lain. Tiada sesuatu yang berkuasa terhadap
kapal-kapal tersebut selain daripada kudrat Allah s.w.t dan pemeliharaaNya. Selain
daripada undang alam yang dijadikan oleh Allah, undang-undang inilah (kudrat
dan pemeliharaaNya) yang membawa kapal-kapal yang kelihatan seperti titik kecil
itu mengharungi segala gelombang yang menakutkan dan ini jugalah bukti keesaan
Allah s.w.t
-
Keempat,
sepertimana firmanNya:
وَمَا
أَنزَلَ اللَّهُ مِنْ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الأَرْضَ بَعْدَ
مَوْتِهَا
Bermaksud:
“ Dan apa yang diturunkan oleh Allah daripada langit daripada air hujan,
lalu dihidupkan dengannya bumi yang telah mati”
Kejadian penurunan air hujan dari
langit sebagai punca kehidupan semua makhluk yang bernyawa termasuklah binatang
serta tumbuh-tumbuhan. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “
Kemudian hayat yang tercetus dari bumi selepas disirami air hujan, iaitu hayat
yang tidak diketahui hakikatnya yang mulanya berdenyut halus dan tidak jelas,
kemudian kian kasar dan jelas dan akhirnya bergerak gagah dan kuat. Dari
manakah datangnya hayat ini? Sebelum ini ianya tersembunyi didalam biji-biji
benih, tetapi persoalannya bagaimana ianya datang atau masuk kedalam biji-biji
benih itu? Dari manakah asalnya? Dan dimanakah sumber yang pertama? Golongan
Mulhid (Atheis) cuba mengelak daripada pertanyaan ini yang pertanyaan ini tidak
dapat tidak dijawap dengan pengakuan bahawasanya adanya Tuhan pencipta yang
berkuasa memberi hayat kepada yang mati.”
Perhatikan juga cara air hujan itu
diturunkan, ada tempat yang hujan dan ada yang tidak walaupun hanya dalam jarak
yang amat dekat.
-
Kelima,
sepertimana firmanNya:
وَبَثَّ
فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ
Maksudnya: “ Dan dibiakkan di bumi
bermacam-macam binatang yang melata”
Perhatikan juga bagaimana Allah s.w.t
membiakkan semua jenis makhluk yang melata diseluruh pelusuk muka bumi ini.
Perhatikan manusia itu sendiri yang berasal daripada nabi Adam a.s, tetapi
berkembang biak menjadi berlainan warna kulit, bentuk badan, bahasa pertuturan
serta bermacam-macam tabiat dan perangai. Begitu jugalah terjadinya kepada
haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
-
Keenam,
sepertimana firmanNya:
وَتَصْرِيفِ
الرِّيَاحِ
Bermaksud:
“ Dan ditiupkan angin”
Kemudian angin-angin yang bertiup
daripada satu arah ke satu arah yang lain. Angin itu sendiri kejadiannya amat
menakjubkan. Zatnya amat halus, tidak dapat dilihat oleh mata dan tidak di
tangkap oleh tangan tetapi kekuatannya amat luar biasa. Ianya dapat meruntuhkan
serta menumbangkan bangunan dan pokok-pokok yang besar. Namun begitu, dengan
adanya angin atau udara ini, semua yang bernyawa menjadi hidup dan jikalau
tiada angin atau udara walau hanya sekejap, semuanya akan mati, busuk dan rosak
binasa.
-
Ketujuh,
sepertimana firmanNya:
وَالسَّحَابِ
الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ
Bermaksud:
“Dan awan yang berjalan diantara langit dan bumi”
Dan juga awan yang dibawa oleh angin
diantara langit dan bumi, tunduk kepada undang-undang alam yang dijadikan oleh
Allah s.w.t di alam semesta ini. Awan itu terkadang mengandungi air yang tidak
terkira berapa banyaknya yang boleh mengairi gunung dan bukit, membanjiri lurah
dan lembah tanpa ada satu pun tiang yang menongkatnya dan tiada gantungan yang
menahannya. Sungguh ajaib dan aneh, ianya dalam keadaan dipenuhi air sebegitu,
dapat melayang-layang diudara, ringan bagaikan kapas yang beterbangan dan
kemudian menaburkan titisan hujan perlahan-lahan tidak serentak datang menghempap.
Masalah angin dan awan ini, tidak cukup sekadar ditafsirkan dengan mana-mana
teori yang memperkatakan tentang faktor-faktor
yang membuatkan angin itu bertiup
dan faktor-faktor yang memperkatakan tentang cara pembentukan awan. Dan rahsia
yang paling mendalam ialah rahsia faktor-faktor itu sendiri. Itulah dia rahsia
penciptaan alam yang sudah tentu ada Penciptanya.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[7]: “
Andainya mana-mana satu dari kejadian (yang telah diterangkan diatas) itu
mungkir atau kacau, maka hayat tidak akan muncul atau tidak akan berjalan
seperti perjalanannya yang berlaku sekarang. Itulah rahsia pentadbiran Ilahi
yang halus yang membayangkan iradat dan pilihanNya yang bebas disamping
membayangkan kesatuan dan persamaan perancangan dan rahmat pentadbiran”.
-
Ayat ini
secara tersiratnya menganjurkan cara menggerakkan pancaindera dan menyedarkan
perasaan. Sewajarnya dengan ini dapat membuka mata dan hati terhadap
kejadian-kejadian yang menarik di alam semesta ini. Iaitu kejadian-kejadian yang pada asalnya mengagumkan jiwa yang telah kehilangan sifat
keindahan serta keanehan serta implikasinya terhadap hati dan perasaan kerana
terlalu biasa dilihat oleh mata manusia. Ayat ini juga merupakan seruan kepada
manusia supaya meneroka kembali alam semesta ini sebagai seorang yang baru
melihatnya bagi pertama kalinya dengan mata yang terbuka, perasaan yang terharu
dan hati yang hidup kembali dengan semangat yang dipertingkatkan. Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[8] : “Alangkah
banyaknya keanehan dan keajaiban yang terdapat dalam permandangan yang
berulang-ulang ini. Dan alangkah banyaknya mata dan hati yang terharu apabila
melihat pemandangan ini bagi pertama kalinya. Tetapi setelah mata dan hati
biasa melihatnya, maka hilanglah kejutan terperanjat dan kagum serta hilanglah
keindahan pandangan pertama yang meyaksikan temasya alam yang amat menarik ini”
-
Seterusnya
ayat ini diakhiri dengan firmanNya:
لآيَاتٍ
لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Bermaksud:
“ Adalah menjadi bukti yang jelas kepada orang-orang yang berfikir”
Andainya manusia dapat membuang dari
aqalnya kebebalan, kebiasaan dan kelalaian dan memandang pemandangan alam
semesta dengan perasaan yang baru dengan penglihatan yang ingin tahu dan dengan
hati yang disuluh oleh iman, dimana setiap pancaran cahaya menarik matanya,
setiap bunyi menggerakkan telinganya dan setiap pergerakan menarik hatinya dan
seluruh dirinya terharu dengan keanehan-keanehan kejadian alam yang tidak
henti-henti menarik penglihatan, hati dan perasaannya. Berkata al-Syahid Sayyid
Qutb[9] : “
Inilah yang dapat dibuat oleh keimanan, iaitu ia membuka mata dan pintu hati,
ia merangsangkan kepekaan perasaan, ia memberi penilaian kepada keindahan,
keseimbangan dan kesempurnaan kepada kejadian alam. Keimanan memberi pandangan
yang baru kepada alam semesta, memberi kefahaman dan tanggapan yang baru kepada
keindahan dan membuat kehidupan dibumi sentiasa berada dalam temasya ciptaan
Allah s.w.t siang dan malam.”
-
Dalam sebuah
Hadith yang diriwayatkan oleh al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus, ada
menyebutkan[10]:
ويل
لمن قرأ هذه الآية فمجَّ بها
Bermaksud
: “ Celakalah barang siapa yang membaca ayat ini tetapi tidak berfikir dan
tidak mengambil iktibar”
[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 616
[2] Surah al-Ikhlas
[3] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 2, mk 39
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 616-617
[5] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 147.
Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 458
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 620-621
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 622
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 618-619
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 622-623
[10] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 148
No comments:
Post a Comment