بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat
146:
-
Seterusnya pada ayat ini merupakan satu nas yang terang
bagi menyambung kembali tentang sifat kaum ahli Kitab itu benar-benar
mengetahui bahawa penerangan yang sebenar mengenai perkara qiblat dan perkara
yang lainnya adalah penerangan yang telah dikemukakan oleh al-Quran dan yang
disuruh oleh Rasullullah s.a.w, tetapi mereka sengaja telah menyembunyikan
kebenaran yang telah diketahui mereka kerana mengikut kehendak hawa nafsu yang
melampau.
-
Ayat ini
secara jelas menggambarkan bahawa kaum Yahudi dari kalangan ahli Kitab benar-benar
mengetahui serta mengenali tentang kebenaran Islam yang mana kebenaran itu
dibawa oleh Rasullullah s.a.w sebagaimana mereka mengetahui serta mengenali
anak-anak mereka sendiri. Malah setengah daripada mereka menyembunyikan
kebenaran tersebut daripada diketahui oleh masyarakat sekeliling atas dasar
hasad dengki mereka terhadap Rasullullah s.a.w[1]. Mereka
tidak seperti Abdullah b. Salam r.a yang pada mulanya diutus oleh kaum Yahudi
untuk berhujah dengan Rasullullah s.a.w. Tetapi setelah beliau melihat wajah
Baginda s.a.w serta mendengar hujah Baginda s.a.w, beliau terus mengucap
kalimah syahadah.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[2] : “
Pengenalan mereka (tentang haq dari Allah)
sama seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri itu merupakan satu
contoh perbandingan mengikut bahasa Arab yang menunjukkan keyakinan yang tidak
ada sebarang kesamaran lagi. Jika kaum ahli Kitab itu yakin terhadap kebenaran
yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w termasuklah kebenaran yang diterangkan oleh
Baginda s.a.w mengenai pertukaran qiblat, sedangkan sebahagian dari mereka
sengaja menyembunyikan kebenaran yang diketahui oleh mereka dengan penuh
keyakinan itu, maka tidak ada sebab bagi orang mu’min itu terpengaruh kepada
pendapat yang karut dan dusta yang disebarkan oleh ahli Kitab itu. Dan juga
tidak ada sebab bagi orang mu’min untuk bersifat seperti ahli Kitab yang
mempercayai kebenaran kemudian menyembunyikan sesuatu dari urusan agama mereka
yang dibawa oleh rasul mereka yang benar dan amanah.”
2. Ayat 147:
-
Ayat ini
jelas menggambarkan kebenaran itu adalah daripada Allah s.w.t, bukan daripada
sumber yang lain daripadaNya. Justeru, kalau apa yang dibawa itu adalah daripada
wahyu Allah s.w.t, maka itulah yang sebenarnya kebenaran dan janganlah kita
termasuk kedalam golongan mereka yang ragu-ragu terhadap wahyu Allah s.w.t.
Nabi Muhammad s.a.w tidak ragu-ragu walau sehari pun tentang wahyu Allah dan
apabila Allah s.w.t berfirman yang berbunyi:
فَإِنْ
كُنْتَ فِي شَكٍّ مِمَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلْ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ
الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكَ
Bermaksud: “ Sekiranya engkau
berada di dalam keraguan terhadap wahyu-wahyu yang telah diturunkan kepadamu,
maka bertanyalah kepada orang-orang yang pernah membaca Kitab suci sebelummu”
Lalu nabi Muhammad s.a.w menjawab : “Aku
tidak pernah ragu-ragu dan aku tidak akan bertanya”
-
Akan tetapi mengapakah Allah s.w.t mengatakan
“ janganlah kamu tergolong dikalangan orang yang ragu-ragu” Sebenarnya
ayat ini juga ditujukan kepada umatnya supaya tidak ragu-ragu dengan apa yang
telah diwahyukan oleh Allah s.w.t. Apa sahaja yang telah dinyatakan oleh wahyu
Allah s.w.t samada kita faham makna dan tujuannya ataupun yang kita tidak faham
makna dan tujuannya, adalah baik lagi benar lagi adil sekiranya kesemua itu
daripada wahyu Allah s.w.t. Maka pastinya sifat orang yang betul-betul beriman
akan berkata “ kami dengar dan kami taat” dan bukan seperti kata kaum Yahudi “
kami dengar tetapi kami derhaka”
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[3]: “
Tetapi cara firman ini ditujukan kepada peribadi Baginda s.a.w mengandungi satu
saranan yang kuat kepada kaum muslimin yang berada dibelakang Baginda samada
mereka diwaktu itu terpengaruh dengan perkataan-perkataan dan tipu daya kaum
Yahudi yang dusta dan karut atau mereka yang datang selepas kaum muslimin
(zaman Rasullullah s.a.w) yang terpengaruh dengan perkataan kaum Yahudi atau
bukan kaum Yahudi mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan agama
mereka.”
-
Begitulah
pada zaman sekarang jikalau hendak menjadi manusia yang betul-betul
beriman perlulah menerima kesemuanya
arahan daripada wahyu Allah s.w.t kerana sudah pasti kesemua itu adalah benar
belaka. Hati perlu yakin dengan penuh keyakinan yang jitu tentang fakta ini
agar tidak terjerumus kepada sifat kaum Yahudi yang derhaka dengan perintah
Allah s.w.t. Marilah kita kembali semula kepada nas-nas al-Quran, dimana kita
dapati al-Quran memalingkan perhatian kaum muslimin supaya jangan mendengar
perkataan-perkataan kaum ahli Kitab dan jangan terpengaruh kepada bimbingan
mereka. Ia (al-Quran) menyarankan kepada kaum muslimin supaya berdiri teguh diatas agama dan qiblat
mereka yang tersendiri. Kitab al-Quran inilah kitab suci umat Islam dan kitab
inilah satu-satunya kitab suci yang kekal dimana terdapat didalamnya apa yang
wajib serta harus dikerjakan dan segala apa yang harus diawasi.
3. Ayat 148:
-
Ayat ini
menjelaskan bahawa setiap golongan mempunyai
hala dan tujuan masing-masing dan
hendaklah kaum muslimin
berlumba-lumba kearah kebajikan tanpa
diganggu oleh sesiapa. Maka ingatlah, seluruh mereka akan kembali kepada Allah
yang berkuasa mengumpul dan memberi balasan diakhir perjalanan hidup mereka.
Dimana sahaja kita berada, Allah s.w.t mampu mengumpulkan kita pada bila-bila
masa. Samada mati ditelan ikan besar, mati dibaham binatang buas, mati dinegeri
yang jauh, mati dihancurkan oleh bom, mati di planet yang lain atau segala
macam keadaan mati sekalipun, Allah s.w.t tetap berupaya untuk mengumpulkan
semua makhlukNya diakhirat kelak tanpa tertinggal satu pun daripada makhlukNya.
Maka dengan itu , seharusnya kita mengikut jalan Allah s.w.t dan jangan
mengikut jalan selain daripadaNya. Yahudi, Nasrani, Buddha, Majusi, Hindu
mempunyai qiblat dan hala tuju masing-masing dan kita umat Islam mempunyai
qiblat dan arah tuju kita sendiri. Dan kita juga mengetahui apa yang kita
lakukan ini (ya’ni berqiblatkan Ka’abah) adalah daripada Allah s.w.t dan bukan
daripada manusia. Dan sesungguhnya kebenaran itu adalah secara mutlaqnya
daripada Allah s.w.t. Maka pilihlah jalan Allah s.w.t kerana jalan itulah yang
menjadi jalan hidup untuk manusia diatas muka bumi ini untuk menuju ke alam
akhirat kelak.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “
Demikianlah Allah s.w.t mengalihkan perhatian kaum muslimin supaya jangan
tergugat dan terpengaruh kepada komplot-komplot, fitnah-fitnah, pentafsiran
serta perkataan yang ditaburkan oleh kaum ahli Kitab. Allah s.w.t mengalihkan
perhatian mereka kearah bekerja dan berlumba-lumba kepada amalan-amalan
kebajikkan sambil mengingatkan mereka bahawasanya seluruh makhluk akan kembali
kepada Allah s.w.t belaka. Dan bahawasanya Allah s.w.t Maha berkuasa terhadap
segala sesuatu. Tiada suatu urusan yang melemahkan Allah dan terluput dari ilmu
dan kudratNya. Itulah sikap kesanggupan yang membuat segala perkataan dan
pendustaan yang karut itu menjadi begitu kecil dan kerdil”
4. Ayat
149:
-
Kemudian pada
ayat ini al-Quran kembali sekali lagi menjelaskan perintah mengadap kepada
qiblat yang baru yang telah dipilih itu sambil diringi dengan berbagai ulasan. Perintah
pada ayat ini bersih daripada cerita kaum ahli Kitab dan kenyataan pendirian
mereka. Ia mengandungi arahan supaya Rasullullah s.a.w mengadap kearah
Masjidilharam kemana sahaja beliau keluar dan dimana sahaja beliau berada
disamping menekankan bahawasanya arahan itu adalah sesuatu perintah yang benar
dari Allah s.w.t dan memberi amaran secara halus supaya jangan menyeleweng dari
perintah yang benar ini dan amaran ini
berbunyi:
وَمَا
اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Bermaksud: “ Dan Allah tidak
sekali-kali lalai dari segala perbuatan yang dilakukan oleh kamu” Maka ungkapan ini membayangkan bahawasanya
disana ada kejadian yang berlaku dibelakang
Baginda s.a.w yang dilakukan oleh sesetengah orang Islam yang memerlukan
kepada penjelasan yang tegas dan amaran keras ini.
5. Ayat 150:
-
Pada ayat ini
dikemukan pula penjelasan bagi kali yang ketiga untuk mematahkan hujah kaum
ahli Kitab dan hujah golongan yang lain dari mereka yang melihat kaum muslimin
menghadap kearah qiblat kaum Yahudi lalu menyebabkan mereka percaya kepada
kebenaran apa yang digembar-gemburkan oleh kaum Yahudi tentang kelebihan agama
Yahudi mereka yang mengatasi agama yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dan
tentang keunggulan qiblat mereka yang memberi isyarat kepada keunggulan agama
Yahudi mereka. Atau juga untuk mematahkan hujah kaum musyrikin Arab yang
menggunakan isu menghadap ke Baitul Maqdis itu sebagai senjata untuk
mengalahkan orang Arab yang berminat kepada Islam tetapi kenapa perlu menghadapkan
diri ke Baitul Maqdis sedangkan itu adalah qiblat bani Israel. Bukankah qiblat
orang Arab adalah Ka’abah yang dibina oleh nabi Ibrahim a.s?[5]
-
Maka dengan
arahan yang terdapat di dalam ayat ini menunjukkan itulah arahan Allah s.w.t
kepada Rasullullah s.a.w supaya beliau menghalakan mukanya kearah
Masjidilharam kemana sahaja beliau
keluar, juga arahan kepada kaum muslimin supaya menghalakan muka mereka
kearahnya (Masjidilharam) dimana sahaja mereka berada supaya dapat menangkis
hujah mereka sepertimana firmanNya:
لِئَلاَّ
يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ
Bermaksud: “ Agar tidak ada lagi
sebarang hujah yang dapat digunakan orang terhadapmu”
Seterusnya Allah s.w.t berfirman yang
berbunyi:
إِلاَّ
الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي
Bermaksud: “ Kecuali yang zalim
daripada mereka, oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, malah hendaklah
kamu takut kepadaKu.”
Ya’ni al-Quran memperkecilkan
perkataan golongan yang zalim yang tidak tunduk kepada hujah dan lojik, malah terus
berdegil dan berkeras kepala. Mereka tidak dapat di perbetulkan lagi. Mereka
akan terus berada di dalam kedegilan mereka. Oleh itu tidak menjadi kesalahan
orang Islam diatas tindak tanduk mereka itu.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[6]: “
Ya’ni mereka tidak mempunyai sebarang kuasa diatas kamu dan mereka tidak
memiliki sesuatu kuasa dalam urusan kamu dan tidak layak bagi kamu memberi
perhatian kepada mereka sehingga menyebabkan kamu menyeleweng dari perintah
yang datang dariKu. Sesungguhnya Akulah yang wajar ditakuti oleh kamu kerana
Akulah yang menguasai segala urusan kamu di dunia dan di akhirat.”
Seterusnya firmanNya pada ayat ini diakhiri dengan ayat yang berbunyi:
وَلأُتِمَّ
نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Bermaksud: “ Dan agar Aku menyempurnakan
nikmatKu kepada kamu agar kamu mendapat hidayah.”
Serentak dengan memperkecilkan
kedudukkan orang yang zalim dan dengan amaran terhadap azab Allah s.w.t,
al-Quran mengingatkan mereka dengan nikmat-nikmat Allah s.w.t yang
merangsangkan keinginan umat muslimin agar Allah mengurniakan nikmat yang
sempurna kepada mereka apabila mereka
menyambut perintah Allah s.w.t dan menjunjung dengan patuh dan jujur.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[7] :
“ Nikmat yang dikurniakan kepada mereka ialah nikmat yang ada dihadapan
mereka. Mereka mengecapinya dalam diri mereka, dalam kehidupan mereka, dalam
masyarakat mereka dan dalam kehidupan mereka di bumi ini. Dahulu mereka hidup
didalam kegelapan, kekotoran, kebodohan jahilliyyah yang terarah kepada bentuk
suku kaum yang berperang antara satu sama lain, yang mempunyai matlamat hidup
yang kecil serta minat dan cita-cita yang terbatas, masyarakat yang mempunyai
kefahaman dan pemikiran yang bersimpang siur dan tidak tetap. Kemudian mereka berubah kedalam cahaya
keimanan, berubah menjadi satu umat yang bersatu padu dibawah panji-panji
aqidah Islam, menjadi satu ummah yang kuat dan gagah, satu umat yang mempunyai
matlamat yang tinggi serta minat dan cita-cita yang besar berhubung dengan
kepentingan umat manusia seluruhnya dan bukannya kepentingan menuntut bela terhadap satu suku kaum dan mereka dapati
kesan nikmat itu jelas kelihatan disekeliling mereka sebagaimana mereka dapat
melihat dengan jelas pada diri mereka sendiri”.
-
Secara
ringkasnya didapati setiap kali diulangi keterangan mengenai perintah mengadap
qiblat yang berbunyi :
فَوَلِّ
وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
pasti ada tujuan yang khusus berkaitan dengan
perintah tersebut. Perintah kali pertama (ayat 144) adalah menyatakan
bahawasanya Allah s.w.t telah memperkenankan hasrat Rasullullah s.a.w yang
sering mendongak-dongak ke langit “berdoa” kepada Allah tanpa kalimah. Kali
yang kedua pula ( ayat 149) disebut untuk menyatakan dengan tegas bahawasanya
perintah mengadap ke Masjidil haram
adalah perintah yang benar dari Allah s.w.t. Manakala kali yang terakhir
(ayat 150) disebut adalah untuk mematahkan hujah manusia dan memperkecilkan
pendirian mereka yang tidak tunduk kepada kebenaran dan hujah yang betul.
[1] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 141
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 548
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 549
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 551
[5] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 30
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 554
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 555-556
No comments:
Post a Comment