بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 114:
- Ulama tafsir berselisih pendapat dalam menyatakan sebab nuzul ayat ini. Menurut riwayat al-Kalbi daripada Ibn ‘Abbas, ayat ini bersempena serangan Putlos iaitu seorang maharaja Rom dan sekutu beliau daripada kaum Nasara keatas Masjid al-Aqsa. Masjid yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah masjid Baitul Maqdis di Palestin. Serangan memusnahkan masjid ini bertujuan supaya kaum Yahudi tidak dapat menunaikan ibadah mereka kepada Allah s.w.t. Kaum lelaki dibunuh, yang perempuan serta kanak-kanak ditawan dan kitab Taurat mereka dibakar[1]. Disamping itu masjid yang dibinasakan itu dijadikan tempat pembuangan bangkai-bangkai dan tempat menyembelih babi[2]. Menurut riwayat al-Qatadah pula[3], yang menghancurkan kota Baitul Maqdis itu ialah Bukhtanasar (orang Parsi dari Babylon negeri Iraq) dengan kerjasama angkatan perang kerajaan Rom daripada kaum Nasara. Hal ini demikian sebagai pembalasan daripada Allah s.w.t di atas kekejaman kaum Bani Israel kerana membunuh nabi Yahya b. Zakariya a.s.
- Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas juga, ayat ini bersempena dengan tindakan yang dilakukan oleh orang musyrikin Mekah yang menghalang nabi Muhammad s.a.w bersembahyang dan mengajar agama di Masjidil Haram Mekah. Peristiwa ini berlaku pada tahun keenam selepas Hijrah. Hal ini demikian tercetuslah perjanjian Hudaybiyah iaitu perdamaian antara orang Islam dan Musyrik Mekah. Ada pun mengikut Ibn al-‘Arabi didalam kitabnya “ Ahkam al-Quran”, yang dimaksudkan masjid dalam ayat ini ialah segala jenis masjid, kerana lafaz pada ayat ini umum, tidak khusus kepada sesuatu masjid dan tidak pula terhad kepada sesuatu zaman. Dan inilah pandangan yang paling sahih mengikut al-Qurtuby.
- Pada firman Allah yang berbunyi :
أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ
Bermaksud: “ Menyebut (mengingati) nama Allah di dalam masjidNya”
Al-Syaukani dan beberapa mufassirin yang lain menyatakan termasuk dalam golongan yang mengingati Allah s.w.t dalam ayat ini ialah orang yang bersembahyang, membaca al-Quran, berzikir, mengajar dan belajar agama di dalam Masjid. Al-Syaukani menambah lagi, dimaksudkan “ melarang menyebut nama Allah di dalam masjid” bermaksud melarang perkara yang berlaku padanya termasuk sembahyang, membaca al-Quran, berzikir dan mengajar. Dimaksudkan dengan “meruntuh masjid” pula bukan dengan maksud merobohnya sahaja tetapi juga bermaksud berusaha untuk meruntuhkan tujuan-tujuan masjid itu dibina seperti mengganggu aktiviti ketaatan yang dilakukan pada masjid . Sebagai contoh apa yang dilakukan oleh Abu Jahal kepada Rasullullah s.a.w, dimana Abu Jahal menghalang nabi beribadah dan menerangkan hukum agama di Masjid.
- Oleh sebab itulah menjadi amalan Rasullullah s.a.w dan para sahabatnya tidak melarang orang mengajar agama di Masjid. Apabila dilihat seseorang yang diragui mengajar agama di Masjid dan bimbang kalau-kalau apa yang diajar itu tidak betul, sebaiknya dipanggil dahulu dan disoal tentang apa yang diajar oleh beliau di Masjid. Setelah disoal, jika didapati apa yang diajar itu betul mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh syara’, maka empunya tuan diri itu tidak boleh dihalang atau dicegah pengajarannya kerana apa yang beliau lakukan itu adalah sunnah yang dilakukan oleh Rasullullah s.a.w. Dan barang siapa yang mencegah perkara ini dengan mewujudkan bermacam-macam protokol (seperti tauliah dan sebagainya) dengan niat memang untuk menghalang dakwah Islam yang sebenar, maka termasuklah dalam golongan yang meruntuhkan masjid dan mencegah manusia daripada mengingati Allah s.w.t dalamnya.
- Termasuk juga dalam mencegah manusia mengingati Allah s.w.t di dalam masjid ialah mereka yang mengunci masjid kononnya untuk menjaga keselamatan masjid. Sebenarnya, untuk menjaga keselamatan masjid bukan dengan cara mengunci masjid. Menjaga keselamatan masjid ialah menghidupkan masjid itu dengan zikrullah dan melakukan kerja kebajikan yang ada hubung kaitnya dengan kegiatan masjid. Terdapat juga mereka yang akan berkata kalau tidak dikunci masjid nanti akan dimasuki oleh pencuri, penagih dadah dan sebagainya. Hal ini demikian kerana kita merasakan bahawa Islam itu hanya di masjid sahaja. Diluar masjid Islam tidak dilaksanakan dan sebab itulah hubungan antara dalam masjid dan luar masjid tidak dapat dilaksanakan.
- Mengapakah orang yang melakukan kejahatan ini masuk ke masjid? Ini adalah kerana di luar masjid berjalan undang-undang jahat yang tidak berdasarkan hukum Islam dan sebab itulah huru-hara boleh berlaku dalam masjid dan dimana-mana sahaja. Manusia tidak takut untuk melakukan kejahatan kerana hukuman yang ada tidak mampu untuk menakutkan si pencuri dan perompak. Itulah akibatnya kalau tidak mahu mengikut hukum Islam sehinggakan sipencuri dan perompak pun sanggup mencuri di dalam masjid. Apabila Islam tidak dilaksanakan di luar masjid, maka natijahnya tiada penyelarasan dalam masalah keselamatam masjid sehinggakan kita membuat undang-undang ( kunci pintu masjid) dan malangnya undang-undang yang dibuat bercanggah dengan al-Quran dan al-Hadith.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[4] : “ Keumuman pada ayat ini menyarankan bahawa ayat ini merupakan satu hukum yang am yang melarang perbuatan menghalang masjid Allah dari disebut nama Allah dan perbuatan meruntuhkan masjid Allah s.w.t. Ayat ini juga menentukan hukuman diatas perbuatan itu dan menjelaskannya sebagai satu-satunya hukuman yang wajar dikenakan diatas orang yang melakukannya.” Lanjutan ayat ini berbunyi:
أُوْلَئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا إِلاَّ خَائِفِينَ
لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Bermaksud: “ Mereka itu tidak akan masuk kedalamnya, melainkan dengan berhati takut. Mereka akan mendapat kehinaan di dunia dan di akhirat pula akan mendapat seksa yang besar”
Allah s.w.t memberi jaminan kepada orang mu’min, bahawasanya mereka yang menjadi penghalang seperti yang disebutkan diatas tadi tiada akan berani untuk memasuki rumah Allah kerana Allah akan mengurniakan daya kekuatan iman kepada orang-orang mu’min. Sehingga bilamana kekuatan iman yang sebenarnya telah lahir dari orang mu’min, nescaya semua mereka akan gentar dan timbul rasa takut hendak memasuki rumah Allah kerana melihat kukuhnya iman orang mu’min.
- Perkara ini terbukti sebagaimana berlakunya di Baitul Maqdis yang masjidnya telah ditawan oleh tentera Islam serta pembaharuan yang telah dilakukan pada zaman Khlifah Umar al-Khattab r.a. Masjid itu sekali lagi di tawan oleh Salahuddin al-Ayubbi dari tangan kaum Nasrani. Begitu juga yang berlaku kepada Masjidilharam di kota Mekah. Masjid itu juga telah ditawan oleh Rasullullah s.a.w pada tahun kelapan Hijrah dengan tidak menumpahkan walaupun setitis darah pun. Maka kaum yang menjadi penghalang itu tidak akan masuk ke dalamnya melainkan dengan berhati takut. Akhirnya, mereka yang menjadi penghalang tersebut dijanjikan oleh Allah s.w.t bahawasanya mereka didunia ini akan mendapat kehinaan yang akibatnya mendapat malu dan kerendahan seperti diperangi, terbunuh, tertawan jikalau mereka kafir Harbi. Dan jikalau mereka kafir zimmi terpaksa mereka akan dihina dengan membayar ufti dan seumpamanya manakala diakhirat nanti akan menanti pula azab yang besar iaitu masuk ke dalam neraka.[5]
- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Maksudnya mereka wajar ditentang, diusir dan diharamkan dari keamanan kecuali mereka datang ke masjid Allah kerana mencari perlindungan dan keamanan di kawasannya. Sebagaimana yang telah berlaku di dalam tahun pembukaan negeri Mekah, dimana selepas itu juru hebah Rasullullah s.a.w telah mengumumkan pada hari pembukaan itu : Sesiapa yang masuk kedalam Masjidilharam maka ia akan mendapat keamanan. Ketika itu barulah pembesar-pembesar Qurasiy yang menindas orang Islam dahulu berlindung di Masjidilharam mencari keamanan setelah dulu mereka menghalangi Rasullullah s.a.w dan para sahabat dari berkunjung ke Masjidilharam. Hukuman ini ditambahkan pula dengan ancaman Allah yang akan menimpa keatas mereka iaitu kehinaan di dunia dan akhirat serta akan mendapat azab yang amat besar. Disana pula ada satu penafsiran yang kedua merujuk kepada ayat ini iaitu mereka tidak sepatutnya memasuki masjid Allah melainkan dengan perasaan takut kepada Allah dan khusyu’ kepada kebesaranNya. Inilah peradaban yang layak dengan rumah Allah dan sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran Allah.”
- Dalam tafsir Baydhawi menerangkan ayat ini merupakan suatu tegahan kepada orang-orang kafir memasuki masjid-masjid lalu membawa kepada hukum-hukum mengikut pandangan mazhab tertentu. Ulama al-Syafi‘iyyah telah membahaskan mengenai dengan hukum orang bukan Islam masuk ke masjid dengan memerhatikan kepada dua keadaan iaitu masjid yang dimasuki itu sama ada Masjidil Haram atau masjid selainnya. Sebelum itu, harus diingatkan bahawa Hukum berkenaan dengan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid bukanlah suatu perkara baru yang perlu di perbesarkan oleh sesetengah media massa, kerana hukum berkenaan dengan masalah ini sudah lama di perbahaskan oleh para ulamak, dan kebanyakkan di kalangan ulamak telah membenarkan bagi mereka yang bukan Islam masuk ke dalam rumah Allah S.W.T yang mulia ini. Adalah ditegaskan bahawa Islam suatu agama yang menggalakkan toleransi dan kewujudan bersama secara aman antara orang Islam dan orang bukan Islam.
- Jika orang bukan Islam masuk ke masjid untuk menyampaikan ucapan yang boleh membawa kepada persefahaman yang lebih baik, maka ia amat di alu-alukan dan digalakkan mengikut pandangan syarak. Islam ialah agama yang mengamalkan dialog yang bermanfaat untuk menyampaikan dakwah yang sebenar kepada sekalian manusia dan Islam itu juga sebagai rahmat yang menganjurkan kepada penganutnya untuk berbuat baik dikalangan agama selain daripada agama Islam. Sebelum kita melihat perbahasan yang lebih lanjut berkenaan pandangan ulamak terhadap hukum ini, eloklah kita melihat perbandingan maksud diantara masjid dan surau yang terdapat di Malaysia secara khususnya.
- Masjid : ialah tempat solat yang bukan menjadi milik orang perseorangan, ataupun milik masyarakat / syarikat / kerajaan, dan ianya juga merupakan satu tempat yang sudah diwaqafkan untuk dijadikan tempat solat orang awam bagi penganut Islam. Masjid juga adalah tempat kita diwajibkan mendirikan sembahyang fardu dan sembahyang Jumaat.
- Surau : Surau juga seperti masjid dimana ianya diwaqafkan untuk kegunaan masyarakat awam, tetapi perbezaannya dengan masjid ialah di surau tidak didirikan Solat Jumaat , akan tetapi ianya di bina dikawasan yang berdekatan dengan Masjid di dalam sesebuah tempat. Daripada perbezaan kedua istilah ini, sebenarnya ia bergantung kepada niat si pembina institusi tersebut. Jika pada awal pembinaannya ingin membina sebuah masjid, maka hukumnya mesti beroperasi seperti peranan masjid yang sebenarnya, dan jika pembinaannya hanya ingin membina tempat beribadah di dalam sesebuah tempat, seperti surau ataupun musalla, maka hukumnya tidaklah sama sebagaimana aktiviti yang boleh dilakukan didalam masjid, seperti melakukan solat jumaat, mendirikan solat tahiyyatul masjid dan berniat I’tikaf di dalamnya. Daripada perbezaan ini juga kita dapat simpulkan bahawa kelebihan masjid itu sendiri berbanding surau yang di dirikan. Setelah kita memahami perbezaan daripada kedua tempat ibadah ini bagi penduduk Islam di Malaysia secara khususnya, maka eloklah kita beralih semula kepada perbahasan yang sebenarnya.
Hukum Masuk Masjidil Haram Bagi Orang Kafir[7]
- Di dalam mazhab al-Syafi‘e orang kafir haram dan ditegah sama sekali daripada masuk Masjidil Haram. Larangan ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala[8]:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka itu menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini. Imam al-Syafi‘e Rahimahullah berpendapat bahawa ayat di atas adalah umum bagi keseluruhan orang kafir dan khusus bagi Masjidil Haram. Demikian yang dijelaskan oleh al-Qurtubiy di dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân[9] .
- Pengarang kitab al-Tafsîr al-Munîr pula menjelaskan bahawa menurut mazhab al-Syafi‘e yang dimaksudkan dengan Masjidil Haram di atas itu ialah tanah haram Makkah seluruhnya. Oleh itu orang-orang bukan Islam dilarang memasuki seluruh kawasan haram Makkah termasuklah masjid-masjid dan tempat-tempat selainnya yang ada di dalam tanah haram[10]. Demikian kedudukan hukum bagi orang bukan Islam di mana mereka itu ditegah sama sekali daripada memasuki Masjidil Haram khususnya dan seluruh tanah haram umumnya.
- Berkata tokoh yang tidak asing lagi dikalangan ulamak Al-Azhar As-Syariff iaitu Sheikh `Atiyyah Saqr (bekas ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar), dalam menjelaskan pandangan Fuqaha berkenaan hal ini : “Berpandukan ayat ini, keseluruhan Fuqaha’, termasuk daripada Mazhab Al-Maliki, As-Shafi`i dan yang lain, menegaskan bahawa musyrikin/penyembah berhala tidak dibenarkan untuk memasuki Masjidil Haram di Makkah. Bagaimanapun, mereka berpendapat tidak salah kalau Orang Kristian dan Yahudi memasukinya. Mereka berpendapat hukum ini diguna pakai kepada Masjidil Haram di Makkah juga kawasan persekitarannya. Imam Abu Hanifah, bagaimanapun, berpendapat musyrikin/penyembah berhala boleh masuk ke Masjidil Haram di Makkah selagi mana mereka tidak tinggal atau menetap disitu. Pendapat Imam Hanafi yang menafsirkan tidak suci sebagai kekotoran dari segi pegangan agama mereka semata-mata, iaitu syirik, bukan dari segi zahir orang bukan Islam yang tidak suci (berhadas).Untuk masjid selain daripada Masjidil Haram di Makkah, ahli Madinah melarang orang bukan Islam dari memasuki masjid kerana orang bukan Islam dianggap oleh al- Qur’an sebagai tidak suci.
Hukum Masuk Masjid Selain Masjidil Haram
- Di dalam kitab I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid karangan Muhammad Abdullah al-Zarkasyi ada dibahaskan tentang hukum orang musyrik masuk ke masjid selain Masjidil Haram. Menurut kitab tersebut orang kafir dibolehkan masuk ke masjid dan diam di dalamnya, sekalipun dia di dalam keadaan berjunub. Ini berdasarkan hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan bahawa pada zaman Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam orang-orang kafir masuk ke dalam masjid Baginda yang mana tidak diragukan lagi bahawa mereka itu dalam keadaan berjunub[11]. ‘Illah ataupun sebab keharusan ini kerana mereka beri‘tiqâd bahawa tidak haram hukumnya ke atas mereka masuk masjid dalam keadaan berhadas besar. Berlainan pula halnya dengan orang Islam, mereka ditegah masuk atau berada di masjid dalam keadaan berhadas besar atau berjunub sebagaimana menurut ketentuan hukum syara‘ terhadap mereka. Adapun keharusan orang kafir masuk ke masjid selain Masjidil Haram berdasarkan hadis Baginda yang di antaranya sebagaimanana diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengutus satu pasukan berkuda ke Najd. Kemudian mereka datang kembali dengan membawa seorang lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsumawah bin Utsal lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid”[12].
- Menurut Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bâri Syarh Shahîh al-Bukhari berkata tentang masalah ini: “Dan di dalam masalah masuknya orang musyrik ke dalam masjid ada beberapa pendapat menurut mazhab-mazhab: Menurut riwayat daripada mazhab Hanafi, adalah harus secara mutlak. Pendapat mazhab Maliki dan al-Muzani ianya ditegah secara mutlak. Mazhab Syafi‘e pula menjelaskan di antara Masjidil Haram dan selainnya berpandukan ayat al-Qur’an (Ayat 28, surah at-Taubah). Ada juga pendapat yang mengizinkan tetapi khusus bagi Ahli Kitab, tetapi hadis bab ini menolak pendapat tersebut dengan alasan Tsumawah bukannya daripada kalangan Ahli Kitab.”[13] Manakala pendapat Imam ar-Rafi‘e dan Imam an-Nawawi Rahimahumallah pula secara mutlak membolehkan orang kafir memasuki masjid selain daripada Masjidil Haram tetapi dengan mendapat keizinan orang Islam. Jika sekiranya tidak mendapat keizinan maka menurut pendapat as-shahîh dia tidak dibolehkan memasukinya.[14] Sementara itu, orang Islam yang memberi kebenaran kepada mereka untuk masuk itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal.[15] Imam Ahmad berkata : bahawa mereka boleh masuk ke masjid dengan kebenaran orang Islam. Pendapat ini disokong oleh riwayat daripada Rasululllah s.a.w yang membenarkan penduduk Ta’if untuk tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Baginda juga menerima Orang Kristian dari Najran didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka sampai, mereka akan bersembahyang di masjid mengadap arah timur. Maka Rasululllah s.a.w bersabda, “Biarkan mereka (untuk menunaikan sembahyang cara agama yang mereka ikuti .” Walaupun perbuatan tersebut berlaku di dalam masjid Al-Nabawi.
- Berkata al-Khatib al-Syarbini tentang hukum masuk masjid bagi orang kafir ini: “Adapun dia (orang kafir) dibolehkan untuk diam di dalam masjid menurut pendapat al-ashah di dalam kitab al-Raudhah dan asalnya kerana dia tidak beri‘tiqâd akan haramnya itu. Ya, perempuan (kafir) yang dalam keadaan haidh dan nifas jika takut akan mencemarkan (masjid) maka hukumnya adalah seperti perempuan Muslimah. Dan tidak boleh bagi orang kafir walaupun bukan dalam keadaan berjunub memasuki masjid kecualilah ada hajat seperti kerana (perkara atau urusan yang berkaitan dengan agama) Islam dan mendengar al-Qur’an, bukannya untuk tujuan makan atau minum umpamanya walaupun telah diizinkan oleh orang Islam untuknya masuk kecualilah jika ada sesuatu kes perbicaraan, dan hakim telah duduk di masjid itu untuk membicarakankan kes itu”[16]. Menurut al-qaul al-mu‘tamad kedua-dua syarat iaitu keizinan dan hajat atau keperluan itu merupakan syarat atas harusnya orang kafir masuk ke masjid[17].
- Berkata Asy-Syeikh al-Qalyubiy[18] : “Dan dilarang orang kafir daripada masuk (masjid selain daripada Masjidil Haram) kecuali dengan izin orang Islam yang baligh ataupun kerana meminta fatwa daripada ulama atau kerana ada kemaslahatannya kepada kita. Salah satu perkara-perkara itu adalah memadai sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibnu Abdil Haq, syarah Syeikh kami tidak bertentangan dengannya bagi siapa yang mengamat-amatinya. Adapun jika dia masuk tanpa sebarang perkara
(yang mengharuskannya masuk), maka dia dihukum ta‘zîr. Begitu juga halnya hukum bagi kita masuk ke tempat-tempat ibadat mereka”. Daripada penjelasan para ulama Syafi’iyyah di atas jelas bahawa orang kafir adalah dibolehkan masuk ke dalam masjid, selain daripada Masjidil Haram apabila telah memenuhi syarat-syarat yang telah dijelaskan.
- Berdasarkan beberapa pandangan ulama diatas tadi, dapat diringkaskan kepada beberapa pendapat seperti berikut. Pertama : Pandangan yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama Mazhab Hanafi. Kedua : Dibolehkan orang-orang kafir memasuki masjid dengan izin kaum muslimin kecuali Masjidil Haram dan masjid-masjid yang ada di Tanah Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama Mazhab al-Syafi’yyah. Pandangan ini merupakan salah satu pandangan Imam Ahmad dan juga pandangan sebahagian ulama Mazhab Hambali.
Hujah mereka ialah kata-kata Said bin Musayyib : “Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia kafir namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram”.
Ketiga : Diharamkan sama sekali bagi orang-orang kafir untuk memasuki masjid. Ini merupakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dan majoriti fuqaha yang bermazhab Hambali. Mereka berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah memerintahkan seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar r.a tidak membantah kata-kata Abu Musa. Ini menunjukkan pandangan bahwa orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid merupakan pandangan yang masyhur di kalangan sahabat. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi semasa menafsirkan ayat 28 surah at-Taubah dengan beberapa hujah yang lain. Keempat: Tidak dibenarkan orang-orang kafir memasuki masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan di dalam keadaan dharurat. Jika mereka memasuki masjid sekalipun hendaklah dengan pengawasan orang-orang Islam kerana dibimbangi akan membuat perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Ini merupakan pandangan Mazhab Maliki
- Kesimpulan daripada keseluruhan pendapat ini, kita dapat simpulkan bahawa, ada pendapat di kalangan fuqaha’ yang tidak menghalang langsung akan kemasukan orang bukan Islam ke dalam masjid dengan bertujuan baik dan sebagainya. Jadi bagaimana pula hukum bagi mereka yang bukan Islam yang masuk ke dalam rumah ibadat hak milik orang Islam yang hanya bertaraf surau? Berdasarkan pengenalan ringkas bandingan yang telah dilampirkan di awal tadi mampu memberi jawapan yang jelas kepada kita semua bahawa keharusan hukum bagi orang yang bukan Islam masuk ke dalam surau.
[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 279
[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 165
[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 53
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 410
[5] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 123
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 410-411
[7] Fatwa siri 40/2001-(Orang Bukan Islam Memasuki Masjid) Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam
[8] Surah al-Taubah, ayat 28
[9] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 8, mk 105
[10] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 9, mk 168
[11] Muhammad Abdullah al-Zarkasyi, I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid, mk 318
[12] Hadis riwayat al-Bukhari
[13] Ibn Hajar al-Askolani, Fath al-Bâri Syarh Shahîh al-Bukhari, J. 2, mk 136
[14] Muhammad Abdullah al-Zarkasyi, I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid, mk 319-320
[15] Fath al-‘Allâm, J. 1, mk 374
[16] Mughni al-Muhtâj, J. 1, mk 71
[17] Bujairimi ‘ala al-Khathîb, J. 1, mk 368
[18] Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah, J. 1, mk 73-74
No comments:
Post a Comment