بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 111:
- Ayat ini menggambarkan bahawasanya kaum Yahudi mendakwa tidak ada yang akan masuk syurga kecuali kaum Yahudi dan begitu jugalah dengan kaum Nasrani mendakwa mereka sahaja yang akan masuk syurga[1]. Kedua-dua kaum ini dengan jelas mengangankan yang batil kerana Allah s.w.t telah menyuruh bertanyakan kebenaran terhadap hujah-hujah mereka sekiranya betul apa yang mereka dakwakan. Jangan sekali-kali kita biarkan mereka hanya pandai berhujah tanpa sebarang dalil yang kukuh daripada Allah s.w.t mahu pun daripada Rasullullah s.a.w untuk membenarkan dakwaan mereka. Allah s.w.t mencabar mereka dan Allah s.w.t juga memerintah supaya kita mencabar mereka supaya membawa bukti sekiranya benar dakwaan mereka itu.
- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[2] : “ Kaum ahli kitab yang menentang kaum muslimin di Madinah ialah kaum Yahudi kerana disana tidak ada kumpulan kaum Nasrani yang mengambil sikap seperti sikap kaum Yahudi, tetapi nas disini merupakan satu nas yang umum untuk menghadapi dakwaan-dakwaan kedua golongan itu kemudian disemukakan mereka satu sama lain disamping menceritakan pandangan kaum musyrikin Arab terhadap kedua golongan itu. Ayat ini juga merupakan penceritaan perkataan dua golongan secara penceritaan yang sama. Kedua-dua dakwaan ini sama sahaja iaitu kedua-duanya tidak berlandaskan sebarang dalil selain dari dakwaan kosong sahaja. Oleh sebab itulah Allah s.w.t mengajar Rasullullah s.a.w mencabar mereka supaya mengemukakan dalil”
2. Ayat 112 :
- Pada ayat ini Allah s.w.t menyatakan orang yang bakal masuk syurga itu ialah orang yang menyerah kepada Allah s.w.t, iaitu orang Islam namanya. Perkataan Islam itu dari kata “aslama” ertinya : Menyerahkan. Maka orang Islam beerti mereka yang tunduk dan patuh kepada syari’at yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w. Termasuk mereka yang mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t dan tiada menyekutukanNya[3]. Syari’at Islam pula ialah segala peraturan dan undang-undang yang dikanunkan melalui lisan Rasullullah s.a.w yang merupakan al-Quran dan al-Hadith yang tersimpul di dalamnya hukum Islam yang lima, dua merupakan suruhan iaitu wajib dan sunat. Dua merupakan tegahan iaitu haram dan makruh dan satu perkara harus dan mubah[4].
- Islam dengan makna menyerah diri kepada semua ajaran Allah s.w.t bukan hanya mengikut sebahagian sahaja seperti kaum Yahudi. Orang Yahudi hanya menerima nabi Musa a.s sahaja dan tidak menerima nabi lain. Ada hukum Allah s.w.t yang mereka terima dan ada yang mereka tolak sebab tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka. Sekiranya kita hanya mengikut Islam dalam bab sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja tetapi dalam bab lain kita tidak sedemikian, maka sama sahajalah kita dengan kaum Yahudi yang hanya mengikut ajaran Islam yang sejajar dengan hawa nafsu mereka sahaja.
- Allah s.w.t menggunakan lafaz “Wajhahu” supaya difikirkan apakah tujuannya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Disini ditonjolkan cirri Islam yang pertama iaitu penyerahan muka yang melambangkan penyerahan seluruh diri. Kata-kata “aslama” beerti penyerahan diri yang mencakupi kedua-dua segi kepercayaan batin dan amalan yang zahir sekali. Ia juga seperti menumpukan seluruh dirinya kepada Allah s.w.t dan menumpukan seluruh perasaannya kepada Allah s.w.t berbanding dengan orang yang menumpukan dirinya kepada kejahatan dan dosa”
- “Wajhahu” disini dengan makna muka yang mana bermaksud seluruh diri kerana muka adalah satu anggota tubuh yang paling utama dan berharga bagi anak Adam yang sangat perlu di jaga dan dipelihara[6]. Hal ini demikian kerana muka mengambil peranan penting pada serba-serbi tingkah laku manusia. Bila muka seseorang yang merupakan anggota yang paling utama itu telah diserahkan bulat-bulat untuk Allah s.w.t, maka seluruh tubuh akan terserah pula. Seterusnya setelah menyerah diri seluruhnya kepada Allah s.w.t, maka ayat ini disambung dengan firmanNya yang berbunyi:
وَهُوَ مُحْسِنٌ
Bermaksud: “ Dan dia juga berbuat kebaikan”
Kebaikan yang dimaksudkan disini ialah kebaikan yang disuruh oleh Allah s.w.t yang semestinya bertepatan dengan nilai agama Islam bukan mengikut nilaian yang dibuat oleh manusia. Orang Hindu, Budha menilai kebaikan mengikut pendapat mereka dan iblis juga menilai kebaikan mengikut pandangan dan hawa nafsunya. Sekiranya masing-masing menilai kebaikan mengikut pendapat masing-masing, maka tidak ada kebaikan itu dan itu bukannya kebaikan yang sebenar. Yang dimaksudkan sesiapa yang melakukan kebaikan disini adalah kebaikan yang selaras dengan agama Allah s.w.t dan kelak ia mendapat pahala dari Allah s.w.t. Mereka tidak akan ketakutan di atas muka bumi ini serta tiada berduka cita.
- Ayat ini juga menunjukkan bahawa tidak cukup sekadar kepercayaan sahaja tanpa sebarang amal kebaikan yang mana mestilah diiringi kepercayaan itu dengan amal-amal yang soleh[7] sepertimana firmanNya[8]:
وَمَنْ يَعْمَلْ مِنْ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُوْلَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلا يُظْلَمُونَ نَقِيراً
Maksudnya: “ Dan barang siapa yang mengerjakan amal-amal soleh daripada lelaki atau perempuan sedangkan mereka itu beriman, maka mereka itu akan dimasukkan ke dalam syurga dan tiada akan dianiaya.”
- Inilah orang yang layak masuk syurga. Yang menyerah sepenuhnya diri mereka kepada Allah s.w.t. Tidak seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang menganut agama yang dicipta mengikut kemahuan diri mereka sendiri. Begitulah juga dengan mana-mana jenis bangsa pun yang ada di dunia ini, jikalau tidak mengikut ajaran Islam sepenuhnya dan lebih rela mengikut undang-undang yang dicipta oleh hawa nafsu manusia yang sememangnya lemah maka tipislah harapan untuk masuk kedalam syurga kerana berperangai seperti kaum Yahudi dan Nasrani. Oleh sebab itulah Allah s.w.t cabar mereka supaya mengeluarkan dalil dari mana-mana kitab Allah yang mengatakan orang yang seperti mereka akan masuk syurga.
- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “ Sifat Islam atau penyerahan diri merupakan kesatuan dan persamaan diantara perasaan dan tingkah laku, diantara aqidah dan amalan, diantara iman hati dan ihsan amali. Dengan kesatuan ini aqidah Islam dapat berubah menjadi satu sistem hidup yang lengkap dan dengan kesatuan ini juga syakhsiyah manusia menjadi sepadu dengan segala kegiatan dan haluan hidupnya dan dengan kesatuan itu wajarlah seseorang mu’min itu menerima seluruh ganjaran dan pemberianNya. Ganjaran yang terjamin itu pula tidak akan hilang disisi Allah s.w.t dan keamanan yang dikurniakan itu tidak akan diganggu oleh sebarang perasaan ketakutan dan kesukaan yang penuh itu tidak akan disentuh oleh sebarang perasaan dukacita. Itulah dasar umum yang menyamaratakan seluruh lapisan manusia. Tiada pilih kasih dan pilih bulu disisi keadilan Allah s.w.t.”
3. Ayat 113
- Ayat ini, sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas r.a [10]diturunkan oleh Allah s.w.t merujuk kepada rombongan kaum Nasrani dari Najran bertemu dengan Rasullullah s.a.w di Madinah. Ketika itu di Madinah terdapat lagi kaum Yahudi yang mana mereka masih belum dihalau lagi dari Madinah dan masih lagi menjadi rakyat di negara Islam di Madinah. Apabila sampai rombongan dari Najran untuk berjumpa dengan Rasullullah, mereka disambut dahulu dengan kutukan dan celaan daripada Rafi’ bin Hurmilah (seorang pendita Yahudi) dengan ucapannya : “ Kamu adalah kafir wahai orang-orang Najran”. Rafi’ ini tidak beriman dengan nabi Isa a.s dan kitab Injil. Beliau hanya beriman dengan nabi Musa serta kitab Taurat sahaja. Berkata pula rombongan daripada Najran: “ kamilah yang benar dan sebenarnya kaum kamu yang tidak benar” . Selepas itu ada pula satu kumpulan orang musyrik Arab yang berkata seperti perkataan kaum Yahudi dan Nasrani dengan mendakwa pula agama yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w itu tidak benar. Mereka ini dilabel dalam ayat ini sebagai
الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ
iaitu “orang-orang yang tidak mengetahui”. Al-Syahid Sayyid Qutb berkata [11]: “Mereka ini ialah orang Arab yang ummi yang tidak mempunyai sebarang kitab suci. Mereka memandang golongan Yahudi dan golongan Nasara yang berpecah belah dan saling bertuduh tuduhan satu sama lain dan berpegang dengan kepercayaan khurafat dan dongeng itu tidaklah banyak melebihi kepercayaan khurafat dan dongeng bangsa Arab dari segi kepercayaan syirik mereka. Dan mereka juga memandang kecil kepada agama Yahudi dan Nasara dan mereka berkata: “ kedua –dua golongan itu tidak mempunyai apa-apa pegangan. Al-Quran merakamkan semua tuduhan yang dilemparkan oleh semua pihak terhadap satu sama lain setelah mematahkan dakwaan kaum Yahudi dan Nasara yang mengaku memiliki syurga itu dan menyerahkan perselisihan diantara mereka kepada keadilan Allah s.w.t”
- Maka turunlah ayat ini untuk menunjukan perbalahan antara kaum-kaum yang telah dikurniakan kitab masing-masing dan kitab-kitab tersebut sebenarnya membenarkan antara satu sama lain. Mengapa mereka tidak mahu membuka kitab mereka? Hal ini demikian jikalau mereka buka kitab mereka akan terserlah dan terbukti kesalahan mereka.
- Termasuklah juga manusia di zaman sekarang ini yang degil dengan kebenaran, tidak bersedia untuk membuka al-Quran dan al-Hadith. Mereka termasuklah seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang masing-masing mendakwa diri masing-masing itu betul dan tidak bersedia untuk kembali kepada kitab al-Quran. Inilah yang berlaku dewasa ini. Kominis akan berkata fahaman kominis itu betul, orang yang pakar undang-undang akan mengatakan undang-undang ciptaan manusia itu betul dan adil dan mereka sendiri akan berbalah sesama mereka. Kita yang mahu kepada Islam yang syumul akan mengatakan Islam yang syumul itulah yang betul. Kita mesti Islam semua sekali termasuklah sembahyang, puasa, zakat, haji dan semua urusan hidup dalam erti kata mengikut hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran. Ada pula yang mengatakan Islam seperti ini tidak betul. Mereka berpendapat laksanakanlah sahaja Islam sekadar yang mahu dilaksanakan manakala hukum yang dirasakan tidak mahu dilaksanakan, ditinggalkan sahaja. Inilah bentuk pertelingkahan yang berlaku dikalangan Yahudi dan Nasrani dan juga dikalangan orang-orang yang tidak mengerti dan jahil akan agama Allah s.w.t. Kalau semua berkata merekalah yang betul, Abu Jahal dan Abu Lahab di zaman nabi Muhammad s.a.w pun mengakui bahawa mereka adalah diatas jalan yang hak walaupun terbukti mereka hanya menegakkan benang yang basah. Walaupun apa yang mereka perjuangkan itu adalah suatu yang pastinya batil, mereka tetap mengatakan ianya adalah benar. Sekiranya manusia mahu berkata seperti itu maka tunggulah sampainya hari qiyamat sepertimana firmanNya:
فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
Maksudnya: “ Maka Allah jua yang akan menghukum dikalangan mereka pada hari qiyamat terhadap apa-apa yang mereka selisihkan”
Hari qiyamat pasti berlaku. Sekiranya manusia itu percaya kepada hari qiyamat, mereka akan gerun serta kembali kepada kitab Allah s.w.t dan hukumNya. Mereka sesekali tidak akan berdegil jika tersalah dan sekaligus kembali ke jalan yang sebenar. Yang pastinya masing-masing akan menerima akibatnya dihari qiyamat. Yang benar akan menerima balasan kebenarannya dan yang salah akan menerima akibat daripada kebatilannya pada hari tersebut. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[12]: “ Dialah Hakim yang Maha Adil dan kepadaNya dikembalikan segala urusan. Tindakan merujuk perkara ini kepada pengadilan Allah s.w.t itulah satu-satunya tindakan yang berfaedah dalam menghadapi kaum yang tidak menggunakan logik dan tidak berpegang kepada dalil selepas dipatahkan dakwaan kosong mereka bahawa mereka sahaja yang akan menjadi penghuni syurga dan mereka sahaja kaum yang mendapat hidayah.”
[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 275
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 403
[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 121
[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 161
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 405-406
[6] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 52
[7] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 276
[8] Al-Nisa’, ayat 124
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 406-407
[10] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 135. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 52
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 408.
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 408.
No comments:
Post a Comment