Wednesday, December 14, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 92-95)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 92:

- Di dalam ayat ini, Allah s.w.t menyuruh nabi Muhammad s.a.w menempelak mereka yang mana mereka telah didatangkan dengan nabi Musa a.s yang membawa penerangan (بِالْبَيِّنَاتِ). Yang dimaksudkan dengan al-Bayyinat ini adalah tanda-tanda dan bukti-bukti , sepertimana firmanNya[1] :

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى تِسْعَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Musa Sembilan mu’jizat yang jelas dan nyata (bagi membuktikan kebenarannya)”

Sembilan mukjizat itu adalah tongkat, bertahun kemarau, tangan yang putih, darah, taufan, belalang, kutu, katak dan terbelah laut. Ada pendapat yang mengatakan ianya adalah Taurat dan keterangan yang terdapat didalamnya[2].

- Tetapi mengapakah kamu menyembah anak lembu pula sedangkan selama ini kamu pernah memberitahu bahawa kamu hanya mahu mengikut apa yang diperintah oleh nabi Musa a.s sahaja padahal kamu adalah sememangnya orang yang zalim.

- Perangai sebegini akan berjangkit kepada orang Islam bila orang Islam itu sendiri berada dalam keadaan jahil sekaligus tidak beriman kepada apa yang diberitahu kepada mereka. Sudahlah mereka tidak mengetahui selok-belok ajaran Allah s.w.t, mereka menentang pula orang yang memberitahu mereka tentang hukum Allah s.w.t. Inilah perangai orang Yahudi dimana perangai ini tidak sepatutnya ada pada orang Islam melainkan orang Islam itu sendiri mahu jadi seperti orang Yahudi.

- Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[3]: “ Apakah perbuatan kamu menyembah patung anak lembu itu dari ilham keimanan setelah Musa membawa kamu bukti-bukti mukjizat yang jelas dan semasa beliau masih hidup lagi? Apakah perbuatan ini sesuai dengan dakwaan kamu bahawa kamu beriman kepada pengajaran-pengajaran yang diturunkan kepada kamu?”

- Samalah keadaannya jikalau kita umat Islam sekiranya engkar dengan sesuatu hukum yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t, adakah itu adalah ilham daripada keimanan kita setelah jelasnya bukti dan kita sendiri mengakui bahawa al-Quran itu tiada keraguan padanya? Dan apakah perbuatan yang sebegitu sesuai dengan dakwaan berdabik dada mengatakan bahawa kita beriman dengan pengajaran yang diturunkan didalam al-Quran?

- Bagi kaum Yahudi, ini bukannya kali yang pertama mereka berbuat sedemikian. Disana ada perjanjian yang dibuat dibawah ancaman humbanan batu keatas mereka dan disana juga ada tindakan mereka yang memberontak dan melanggar perintah Allah s.w.t. Kesimpulan yang mudah dapat dipelajari dalam ayat ini ialah sikap yang selalu ingin memberontak dan melanggar perintah Allah s.w.t dalam apa segi sekalipun adalah terbukti daripada sikap kaum Yahudi dan semoga kita jauh daripada sikap yang sebegini.

2. Ayat 93:

- Ayat ini menjelaskan kembali ketika mana nabi Musa a.s mengambil Taurat, mereka telah bersetia dengan Allah s.w.t hinggakan diancam hendak menghempapkan bukit keatas mereka. Bilamana mereka disuruh berpegang teguh dengan pengajaran Taurat itu, dimulut sahaja mereka mengaku taat tetapi pada amalan tetap maksiat, hinggakan mereka mengatakan “ kami dengar dan kami derhaka” . Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[4] : “ Mereka berkata : “Kami dengar” dan mereka tidak berkata “kami derhaka”. Apakah tujuan penceritaan kata-kata mereka disini? Itulah satu gambaran yang sungguh hidup dan melukiskan satu realiti yang senyap hingga menjadi satu realiti yang bertutur. Mereka berkata dengan mulut mereka : “kami dengar” tetapi mereka berkata dengan perbuatan mereka : Kami menderhaka. Realiti yang amali itulah yang memberi makna kepada kata-kata bibir mulut mereka dan makna amali itu lebih kuat dari kata-kata yang dituturkan. Gambaran yang menggambarkan realiti ini dengan gambaran yang hidup itu adalah bertujuan menunjukkan salah satu dasar umum Islam, iaitu dasar tiada nilai bagi perkataan tanpa amalan kerana amalan itulah nilai yang diambil kira atau dasar persamaan diantara kalimah yang ditutur dengan harakah yang ditunjuk dialam kenyataan dan itulah asas hukuman dan penilaian.”

- Hal ini demikian masih meresap lagi didalam hati mereka kasihkan anak lembu untuk disembah. Penyembahan itu pula telah bersebati di dalam hati mereka menyerupai seseorang yang minum air dan bersebatilah tubuhnya dengan air yang diminum. Jelas daripada ayat ini hati mereka telah disebatikan dengan patung anak lembu tersebut. iaitu gambaran patung anak lembu dimasukkan kedalam hati mereka dan disebatikan dengan mereka. Begitulah perbandingan betapa percayanya mereka dengan apa yang diberitahu oleh Musa al-Thamiri. Begitu jugalah umat Islam dewasa ini, sekiranya sudah sebati dengan kemungkaran serta maksiat sehingga diakui oleh mereka kebenaran ancaman dosa dan neraka tetapi masih lagi meresap didalam hati mereka kasihkan kemungkaran dan maksiat maka samalah seperti perangai bani Israel yang amat susah untuk kembali ke jalan yang benar malah bertambah pula keengkaran mereka. Ditambah pula program-program maksiat yang telah saban tahun menghiasi kalendar umat Islam menambahkan lagi kesebatian masyarakat terhadap kemungkaran dan kemaksiatan.

- Malah mereka mengatakan (dalam keadaan masih menyembah lembu) mereka tidak kafir lagi kerana masih lagi menjadi pengikut nabi Musa a.s dan percaya kepada Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t berfirman:

قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَانُكُمْ إِنْ كُنتُمْ مُؤْمِنِينَ

Bermaksud: “ Katakanlah wahai Muhammad, alangkah jahatnya apa yang iman kamu perintahkan, jika sekiranya kamu orang-orang yang beriman.”

Maknanya, kalau sebenarnya kamu beriman, sesungguhnya iman kamu itu adalah jahat. Maksudnya, alangkah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kerana penyembahan lembu tidak terdapat didalam Taurat[5] dan alangkah jahatnya cara beriman seperti ini[6].

- Golongan Yahudi ini mendengar apa yang diberitahu oleh nabi Musa a.s tentang Taurat dan isi kandungannya tetapi tingkah laku mereka menjelaskan penderhakaan mereka terhadap Allah s.w.t. Thabit dengan firmanNya[7]:

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَاراً بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “ Bandingan orang-orang yang ditanggungkan kitab Taurat ke atas mereka, kemudian mereka pula tidak bertanggung-jawab keatas kitab itu samalah seperti keldai yang membawa barang diatas belakangnya”

Inilah perbandingan terhadap perangai kaum Yahudi. Begitu jugalah terkena juga terhadap orang Islam, jikalau asyik memikul al-Quran, kitab tafsir dan kitab-kitab pengajian Islam yang lain tetapi dalam masa yang sama tidak mahu pakai hukum Islam yang sudah pasti terpahat kukuh dalam al-Quran, maka serupa jugalah dengan perangai kaum Yahudi yang Allah s.w.t sifatkan seperti keldai yang tahu membawa barang diatas belakangnya tetapi tidak mengetahui serta tidak beramal dengan barang yang dipikul. Inilah tujuannya diceritakan kisah ini agar umat Islam beramal dengan kitab Allah dengan sepenuhnya bukan hanya mengeksploitasinya dimulut sahaja tetapi dari segi amalannya, jauh panggang dari api.

3. Ayat 94 & 95:

- Kedua ayat ini sekali lagi menempelak mereka dengan mengatakan sekiranya benar kaum Yahudi ini mendapat syurga dikampung akhirat pada sisi Allah s.w.t dengan tiada beserta orang lain, maka cintailah mati sekiranya mereka dari golongan orang yang benar. Hal ini demikian syurga itu tiada akan diperolehi sekiranya masih hidup. Tetapi memang sudah pasti sebenarnya mereka tidak mencintai mati. Orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t memang bercita-cita untuk mati disebabkan mereka percaya kepada balasan Syurga yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Barang siapa yang berkasih untuk bertemu dengan Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan kasih untuk bertemu dengannya.

- Asbab Nuzul ayat ke 94 dan 95 ini sepertimana yang telah disebut oleh Ibn Jarir al-Tabari daripada Abi al-‘Aliyah yang menceritakan bahawa berkata kaum Yahudi[8]:“ Tidak akan masuk syurga kecuali mereka yang Yahudi sahaja.” Maka turunlah ayat ini untuk menempelak dakwaan mereka itu. Ayat ini juga menjadi satu jawapan kepada rentetan dakwaan mereka yang telah Allah s.w.t rakamkan di dalam al-Qur’an antaranya[9], sepertimana firmanNya[10]:

وَقَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ إِلاَّ أَيَّاماً مَعْدُودَةً

Maksudnya: “ Dan mereka berkata: Kami tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari sahaja yang boleh dibilang”

Dan juga firmanNya[11] :

وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلاَّ مَنْ كَانَ هُوداً أَوْ نَصَارَى

Bermaksud: “ Dan mereka berkata : Tidak akan masuk syurga kecuali mereka yang Yahudi dan Nasara sahaja”

Begitu juga dengan firmanNya[12]:

وَقَالَتْ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ

Bermaksud: “ Berkatalah kaum Yahudi dan Nasara kami adalah anak-anak buah Allah dan kekasihNya.” Maka Allah telah jawap dengan ayat ke 94 ini dalam menyangkal dakwaan palsu mereka itu.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[13]: “ Mereka telah membuat dakwaan-dakwaan yang panjang lebar, iaitu mereka adalah umat pilihan Allah s.w.t, merekalah satu-satunya umat yang mendapat hidayah dan satu-satunya umat yang akan mendapat kejayaan dinegeri akhirat sedangkan umat-umat lain dari mereka tidak akan mendapat apa-apa habuan disisi Allah s.w.t diakhirat nanti. Dakwaan itu juga beerti bahawa orang-orang yang beriman kepada nabi Muhammad s.a.w tidak akan mendapat apa-apa habuan di akhirat. Matlamat pertama mereka ialah untuk menggoncangkan kepercayaan kaum muslimin terhadap agama mereka . Oleh itulah sebabnya Allah s.w.t memerintah Rasullullah s.a.w supaya mengajak kaum Yahudi bermubahalah, iaitu kedua-dua pihak sama berdiri dan berdoa agar Allah s.w.t membinasakan mana-mana pihak yang berdusta. Cabaran ini diiringi pula dengan suatu kenyataan yang menerangkan bahawa mereka tidak akan menerima mubahalah itu dan tidak akan menuntut kematian. Kerana mereka tahu bahawa mereka adalah pembohong. Mereka takut Allah s.w.t akan membinasakan mereka kerana mereka tahu bahawa segala perbuatan yang dilakukan mereka itu tidak akan membolehkan mereka menerima apa-apa bahagian di akhirat. ini beerti mereka akan mengalami kerugian dunia dengan kematian yang didoakan oleh mereka dan akan mengalami kerugian di akhirat dengan amalan-amalan jahat yang dilakukan oleh mereka. Oleh sebab itulah mereka tidak akan menerima cabaran itu kerana mereka adalah golongan manusia yang paling sayang kepada kehidupan dunia. Dalam hubungan ini mereka adalah sama sahaja dengan golongan musyrikin.”

- Oleh kerana itulah umat Islam di zaman dahulu dalam menyatakan Islam ini, mereka tidak takut kepada mati kerana mereka memang bercita-cita untuk mati dalam Islam. Sebagai contoh yang berlaku pada seorang khalifah yang bernama Ibn al-Walid, apabila berkehendak untuk menyerang sesebuah negeri, mengikut riwayatnya beliau menghantar surat terlebih dahulu yang berbunyi:

“ Adapun kemudian daripada itu, inilah surat daripada orang Islam kepada kamu. Pertama, kamu masuk Islam. (Jikalau tidak mahu) Kedua, kamu berdamai dan membayar jizyah serta mempunyai hak dalam negara Islam. (Jikalau tidak mahu juga) Ketiga, mata pedang. Maka Allah s.w.t yang menentukan sama ada kami menang atau kamu menang. Sesungguhnya kami datang kesini adalah bersama dengan satu kaum yang kasih untuk mati.”

- Begitu juga yang berlaku kepada seorang ulama dari zaman Tabi’en yang bernama Sa’id b. Jubayr yang tidak mengaku sahnya Hajjaj b. Yusof al-Thaqafi sebagai khalifah dizaman kerajaan ‘Amawiyah. Lalu Sa’id pun ditangkap oleh kerajaan Hajjaj yang memang zalim dan kejam serta suka membunuh orang ramai dan diantaranya termasuklah ulama-ulama yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan pada masa itu. Apabila Hajjaj mengetahui yang Sa’id ini seorang yang wara’ dan kuat agamanya lalu beliau meminta agar dibuat persembahan muzik dan tarian dihadapan ulama tersebut. Sa’id b. Jubayr menangis ketika mana persembahan itu dibuat dihadapan matanya kerana memang beliau amat membencikan maksiat tetapi bertukar gembira yang amat sangat apabila mendengar kata-kata Hajjaj yang berbunyi: “ Pada hari ini aku mahu menyembelihmu”. Maka berasa hairanlah Hajjaj dan seraya bertanya: “ Mengapakah kamu bersifat pelik, menangis ketika disajikan persembahan dan gembira ketika diancam bunuh?” Lalu Sa’id berkata: “Aku gembira dan ketawa sebab geli hati terhadap kamu yang tergamak menentang Allah s.w.t”.

- Inilah dia sifat golongan Salafu al-Soleh yang berani untuk berhadapan dengan mati kerana memang mereka bercita-cita untuk mati agar cepat bertemu dengan Allah s.w.t. Antara doa yang diajar dalam memupuk diri untuk mencintai mati adalah “ Ya Allah ya Tuhanku, kalaulah mati ini lebih baik, maka aku suka kepada mati. Tetapi kalaulah sekiranya hidup itu lebih baik untuk mencapai keredhaanMu, maka biarlah aku hidup.

- Jadi, jelaslah kepada kaum Yahudi, sekiranya akhirat dan syurga itu hanya untuk kamu, maka cubalah kamu bercita-cita untuk mati. Mereka yang membaca kitab Taurat memang semestinya tahu tentang syurga dan neraka tetapi mereka langgar juga perintah Allah s.w.t. Sebab itulah mereka takut kepada mati kerana terkenangkan balasan neraka nanti. Kalau boleh mereka berkehendakkan agar hidup tanpa mati kerana mereka akui banyaknya dosa yang diusahakan oleh tangan mereka seperti engkar dengan suruhan nabi Muhammad s.a.w, mengubah isi kitab Taurat dan sebagainya[14]. Dan ingatlah diakhir ayat ke 95 ini Allah s.w.t mengakhirinya dengan ancaman bahawa Allah mengetahui bagaimana mestinya memberi balasan terhadap orang-orang yang zalim atau pun aniaya.



[1] Al-Isra’, ayat 101

[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 15, mk 169. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 22

[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 350

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 352

[5] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 111

[6] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 135.

[7] Al-Jumu’ah, ayat 5

[8] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 230

[9] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 22

[10] Al-Baqarah, ayat 80

[11] Al-Baqarah, ayat 111

[12] Al-Maidah, ayat 18

[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 353-354

[14] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 111

No comments: