Thursday, December 8, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 89-91)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 89:

- Ayat ini sekali lagi menegaskan bahawa Allah s.w.t telah mengutus nabi Muhammad s.a.w kepada kaum Yahudi di Madinah dengan membawa pengajaran kitab al-Quran, yang mana al-Quran itu menceritakan kebenaran kitab mereka pula iaitu Taurat. Tambahan pula sebelum dibangkitkan nabi Muhammad s.a.w, kaum Yahudi itu mengharap serta berdoa: “ Ya tuhan kami, datangkanlah kepada kami nabi yang akhir zaman, supaya menolong kami untuk menghalau musuh-musuh kami”[1]. Tetapi bila dibangkit sahaja Rasullullah s.a.w , mereka ingkari maka sewajarnyalah mereka dilaknat diatas kekafiran mereka.

- Dalam satu riwayat menceritakan ketika mana bapa saudara nabi, Abu Talib membawa nabi (ketika itu masih kanak-kanak lagi) berniaga ke Syam, seorang paderi yang muslim yang beriman kepada Allah s.w.t dan mengikut syari’at nabi terdahulu (sebelum bangkitnya nabi Muhammad s.a.w) memanggil Abu Talib lalu bertanya siapakah kanak-kanak yang bersamanya itu. Lalu Abu Talib mengatakan bahawa itu adalah anaknya. Paderi itu berkata: “ Kamu bohong kepadaku”. Akhirnya Abu Talib mengaku bahawa kanak-kanak itu bukan anaknya kerana ayahnya sudah meninggal dan dilahirkan dalam keadaan yatim. Lalu paderi itu memberitahu kepada Abu Talib agar tidak membawa nabi berjalan kemana-mana serta mengarahkannya terus membawa nabi pulang. Hal ini demikian jikalau diketahui oleh kaum Yahudi, boleh jadi dia akan dibunuh. Paderi itu menambah lagi “ anak saudara kamu ini akan diberikan keistimewaan daripada Allah s.w.t, iaitu akan menjadi rasul akhir zaman” Abu Talib yang memang teramat sayang kepada nabi segera membawanya pulang, tetapi sayangnya Abu Talib tidak masuk Islam hingga ke mati padahal beliau sudah mendengar cerita kerasulan nabi daripada mulut paderi tersebut.

- Kesimpulannya, banyak kesan al-Quran yang dinyatakan kepada umat Islam menceritakan golongan ahli Kitab Yahudi mahu pun Nasrani ini tahu dan kenal nabi Muhammad s.a.w malah mereka juga mengenali tanda-tanda yang ada pada batang tubuh Baginda s.a.w. Tetapi sayangnya mereka kafir dengannya walaupun mereka kenal itulah rasul dan nabi. Allah s.w.t tidak kata mereka tidak mahu ikut, tetapi Allah s.w.t berkata mereka kafir dengan rasul itu ya’ni secara berterus-terang sepertiman firmanNya:

كَفَرُوا بِهِ

Maksudnya: “ Mereka mengingkarinya (ya’ni kafir dengan rasul)”. Tetapi manusia sekarang akan marah jikalau berkata sedemikian. Dan seterusnya ayat ini diakhiri dengan firmanNya:

فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “ Maka Allah melaknat keatas orang-orang yang kafir” . Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata: “ Perbuatan ini wajar menerima balasan laknat dan kemurkaan Allah s.w.t kerana keburukannya. Oleh sebab itulah Allah timpakan kutukan keatas mereka dan capkan mereka sebagai orang kafir.” Beliau berkata lagi: “Kekafiran mereka amatlah buruk kerana mereka dengan mengingkari nabi yang ditunggu-tunggu oleh mereka, nabi yang mereka pernah memohon kepada Allah s.w.t agar dengan kebangkitannya mereka dapat mengalahkan orang-orang musyrik Arab. Ya’ni mereka mengharap dapat menguasai kaum-kaum yang lain dari mereka dengan datangnya rasul itu.[2]

2. Ayat 90:

- Ayat ini pula menyatakan bahawasanya teramatlah jahatnya pekerti kaum Yahudi itu. Rela menjual nasib diri mereka menjadi kafir. Semata-mata kerana hasad dengki melihat kurniaan Allah yang dilimpahkan kepada hambaNya yang dikehendakiNya iaitu Muhammad s.a.w. Hal ini demikian kerana mereka ingin mendapatkan dunia sekaligus membuktikan mereka tidak ikut nabi Muhammad s.a.w sebab mahu kepada dunia. Mereka menganggap sekiranya mereka menyokong nabi Muhammad s.a.w, maka Bagindalah yang akan menjadi ketua di Madinah dan tertutuplah peluang mereka untuk menjadi ketua. Dan jikalau mereka ikut Baginda, tiada peluanglah mereka untuk menguasai masjid sekaligus baginda akan disanjung oleh masyarakat. maka dengan ini akan tertutuplah pekuang mereka untuk menguasai masjid dan menjadi sanjungan masyarakat. Itu sahaja yang difikirkan oleh mereka kerana tamakkan harta dunia dan kaum Yahudi memang tidak sanggup mengikut kebenaran kerana terlalu mengabdikan diri kepada dunia.

- Hasad dengki mereka terserlah dengan kemarahan mereka terhadap Allah s.w.t kerana melantik Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman. Hal ini demikian kerana Allah sudah semestinya tidak akan melantik mereka menjadi rasul kerana memperbodohkan diri dan menyembah dunia. Maka akibat yang mereka dapat diatas hasad dengki itu adalah murka bertimpa murka. Iaitu pertama, mereka dimurkai kerana kufur dengan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s dan kedua, mereka dimurkai sebab kufur dengan kitab al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w[3]. Begitu juga dengan kemurkaan Allah s.w.t kepada datuk moyang mereka yang banyak mengingkari suruhan Allah s.w.t sepertimana yang telah diperjelaskan sebelum ini. Dan sepertimana firmanNya[4] :

الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “ yang dimurkai keatas mereka” merujuk kepada golongan Yahudi kerana mereka lebih mengerti tentang kebenaran tetapi merekalah yang pertama sekali yang menentangnya[5].

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[6]: “Perbuatan menjual diri yang paling merugikan ialah perbuatan mereka mengkufurkan wahyu yang diturunkan Allah s.w.t. Seolah-olah kekufuran itu merupakan harga jualan diri mereka. Manusia boleh dinilai dengan sesuatu yang berharga samada banyak atau sedikit. Tetapi jika ia dinilaikan dengan kekufuran, maka itulah seburuk-buruk dan serugi-rugi dagangan, dan itulah yang menjadi kenyataan walaupun pada lahirnya kenyataan ini hanya merupakan perbandingan dan gambaran sahaja. Mereka sebenarnya telah merugikan diri sendiri apabila mereka tidak bergabungdengan angkatan orang-ornag yang beriman. Mereka telah merugikan diri mereka diakhirat kerana mereka akan ditunggu oleh azab keseksaan yang amat menghina. Apakah sesuatu yang didapati oleh mereka pada akhir hidup mereka? Mereka hanya berhasil mendapat kekufuran dan itulah satu-satunya perolehan yang dapat dicapai dan diambil oleh mereka.”

- Tabiat kaum Yahudi yang amat ketara disini ialah tabiat tidak mengenangkan kebaikan, pementingan diri sendiri yang sempit yang hidup dalam lingkungan fanatik kaum yang tebal. Mereka merasa bahawa setiap kebaikan yang dicapai oleh orang lain dari mereka adalah dipotong dan dirampas dari mereka. Mereka tidak mempunyai perasaan bahawa mereka terjalin dengan hubungan insaniyah yang agung yang mengikat seluruh umat manusia. Demikianlah mereka yang selama-lamanya hidup dalam pengasingan dan pemencilan diri. Mereka menunggu umat-umat manusia yang lain dilanda mala petaka dan menaruh dendam kesumat kepada kaum-kaum yang lain. Ini adalah kerana kaum Yahudi ini menderita azab hasad dengki.

- Mereka menjadikan umat-umat lain merasa kesan hasad dengki mereka dalam bentuk fitnah dan huru-hara yang dicetuskan olah mereka diantara setengah-setengah bangsa dengan bangsa-bangsa yang lain. Mereka menyalakan api peperangan untuk menangguk keuntungan di air yang keruh dan memuaskan dendam kesumat mereka yang tidak pernah padam. Hal ini juga dapat dilihat dalam bentuk kemusnahan yang dilakukan keatas kaum-kaum yang lain, disamping kaum-kaum yang lain bertindak balas terhadap mereka. Semua kejahatan dan angkara mereka ini adalah terbit dari tabiat pementingan diri mereka sendiri.

3. Ayat 91:

- Ayat ini menerangkan ketika mana kaum Yahudi diseru supaya beriman dengan al-Quran, mereka menyatakan bahawa mereka hanyalah beriman dengan kitab Taurat sahaja, dan tidak beriman dengan kitab-kitab yang lain (yang terkemudian seperti Injil dan al-Quran) padahal al-Quran itu benar dan datangnya daripada Allah s.w.t sekaligus membenarkan pula apa yang terkandung dalam kitab Taurat mereka. Allah s.w.t menempelak mereka kerana sesungguhnya al-Quran itu daripada Allah s.w.t membenarkan kitab Taurat yang ada disisi mereka. Dan keduanya daripada Allah s.w.t. Bagaimanakah kamu kufur pada sebahagian kitab dan beriman dengan sebahagian yang lain[7]? Diantara contohnya, pernah berlaku di zaman Rasullullah s.a.w seorang Yahudi dibicarakan atas kesalahan zina. Sebelum itu mereka telah bersepakat sesama sendiri bahawa mereka akan menjatuhkan hukuman yang ringan sahaja dan sekiranya hukuman itu adalah rejam, mereka tidak akan menerimannya. Setelah dibicarakan dihadapan Rasullullah s.a.w, lalu baginda memutuskan untuk menjatuh hukuman sepertimana yang terdapat didalam Taurat. Lalu kitab Taurat itu dibuka maka jelas terdapat disitu hukuman berzina adalah direjam walaupun sebelum itu hukuman tersebut ditutup dengan jari oleh kaum Yahudi.

- Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[8] : “ Apa peduli mereka dengan kebenaran? Apa peduli mereka dengan al-Quran yang mengesahkan kitab yang ada ditangan mereka sedangkan mereka tidak dapat membolot al-Quran itu untuk diri mereka sahaja. Sebenarnya mereka menyembah diri sendiri dan menyembah perkauman mereka. Bukan sahaja setakat itu, malah mereka menyembah hawa nafsu mereka kerana sebelum ini mereka telah menolak pengajaran yang dibawa oleh nabi-nabi mereka sendiri.”

- Lalu Allah s.w.t mengajar Rasullullah s.aw supaya mengemukakan hakikat yang sebenarnya kepada mereka untuk mendedahkan pendirian mereka yang sebenarnya dan membuka tembelang dakwaan mereka. Maka dengan itu nabi Muhammad bertanyakan kepada mereka “ Kalau betul beriman dengan Taurat, mengapa dahulu membunuh para nabi? Sedang para anbiya’ itulah yang telah membawa kitab-kitab suci itu yang mereka mendakwa mereka beriman kepadanya. Sebenarnya memang mereka tidak beriman malah mereka telah mengingkari pengajaran yang telah dibawa oleh nabi Musa a.s, nabi mereka yang pertama dan penyelamat mereka yang agung. Dan sudah tentu mereka tidak boleh menjawab kerana memang merekalah yang membunuh para nabi.



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 129. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 109. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 222. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 108

[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 344-345

[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 109. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 109

[4] Al-Fatihah, ayat 7

[5] Sa’id Hawwa, Al-Asas fi al- Tafsir (1991), J.1, mk 185

[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 346

[7] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 224-225

[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 349

No comments: