Wednesday, November 16, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 83 )

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 83:

- Seterusnya ayat ini terus menceritakan kepada orang-orang Islam tentang keadaan dan pendirian kaum Yahudi yang memperlihatkan kederhakaan, putar belit, penyelewengan dan kemungkiran janji. Orang Yahudi sememangnya satu bangsa yang perangainya terlalu jahat, suka menderhakai Allah s.w.t di mana semenjak dari dahulu lagi baka atau keturunan mereka derhaka kepada Allah s.w.t walaupun tidak dinafikan terdapat dikalangan mereka yang menjadi nabi dan rasul tetapi ramai juga yang terlalu degil dan derhaka kepada Allah s.w.t malah ada yang membunuh nabi dan rasul yang dibangkitkan dari kalangan mereka sendiri.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[1]: “ Dari ayat yang pertama kita dapat memahami bahawa perjanjian Allah s.w.t dengan bani Israel itu ialah perjanjian yang telah Allah s.w.t ikatkan dengan mereka dibukit Thursina, dimana Allah s.w.t memerintah mereka supaya berpegang teguh dengan perjanjian itu dan mengingatkan segala isi kandungan. Perjanjian itu mengandungi dasar-dasar tetap agama Allah s.w.t, iaitu dasar-dasar yang sama yang dibawa oleh Islam yang diengkarkan oleh mereka”. Kandungan perjanjian Allah s.w.t dengan mereka ialah mereka tidak boleh menyembah melainkan hanya Allah s.w.t sahaja. Inilah dasar pertama tauhid yang sempurna. Perjanjian itu juga mengandungi kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang miskin. Ia juga mengandungi kewajipan menggunakan percakapan yang baik dengan orang ramai terutama dalam segi menyuruh mereka mengerjakan amalan-amalan yang baik dan melarang mereka melakukan perbuatan jahat. Seterusnya perjanjian itu mengandungi kewajipan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat yang sekaligus menjelaskan keseluruhan isi kandungan perjanjian ini merupakan dasar-dasar Islam serta kewajipannya.

- Secara terperincinya, perkara pertama yang disebut oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:

لا تَعْبُدُونَ إِلاَّ اللَّهَ

Maksudnya: “Jangan menyembah selain daripada Allah”

Apakah maknanya kamu jangan menyembah selain daripada Allah s.w.t? maknanya kamu hendaklah beribadat kepada Allah s.w.t sahaja, mengabdikan diri kepadaNya sahaja iaitu dengan cara mengisbatkan (menentukan atau menetapkan) EsaNya Allah s.w.t dan membenarkan rasul-rasulNya serta beramal dengan apa yang diturunkan di dalam kitabNya. Diantara rasulNya ialah nabi Muhammad s.a.w dan diantara kitabNya ialah al-Quran. Tiba-tiba kaum Yahudi tidak mahu ikut nabi Muhammad s.a.w. Mereka juga percaya Allah s.w.t adalah Tuhan tetapi mereka mengisbatkan sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah s.w.t menyebabkan mereka langgar perjanjian dengan Allah s.w.t

- Disini jelas menunjukkan bahawa jikalau umat nabi Muhammad s.a.w pun mempunyai perangai yang sama seperti kaum Yahudi, kita juga dianggap melanggari perjanjian mengabdikan diri kepada Allah s.w.t iaitu sama sahaja dengan kaum Yahudi. Umpamanya, kita percaya bahawa Allah s.w.t itu ada, kemudiaan kita tidak mengisbatkan keesaan Allah s.w.t dan tidak membenarkan kerasulan para rasulNya atau kita tidak membenarkan hukum-hakamNya dan tidak beramal dengan apa yang diturunkan olehNya didalam al-Quran. Hal ini demikian menjadikan kita tergolong dalam golongan yang mengkhianati janji kepada Allah s.w.t sama seperti kaum yahudi yang disebutkan dalam ayat ini.

- Perkara kedua, sepertimana firmanNya:

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً

Maksudnya : “ Dan kamu hendaklah melakukan kebaikan terhadap kedua ibu bapa kamu”

Ayat ini menjelaskan kepada kita sepertimana juga bani Israeil, bahawasanya hendaklah taat kepada kedua orang tua dalam perkara yang tidak bercanggah dengan hukum Allah s.w.t sekalipun kedua orang tua itu kafir. Maknanya kebaikan hendaklah dilakukan terhadap kedua-dua mereka itu walaupun mereka dalam keadaan yang sedemikian. Contohnya sekiranya mereka lapar, wajib kita memberi makan kepada mereka walaupun berlainan agama. Inilah dia sebenarnya hukum Islam. Sebaliknya, sekiranya mereka menyuruh untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan hukum Allah s.w.t, wajib bagi kita untuk tidak taat kepada mereka.

- Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad berkata dalam tafsirnya[2] : “Kebaikan yang dimaksudkan ialah berbakti dan menyantuni keduanya pada perkara yang bukan maksiat, atau yang tidak melanggar perintah Allah s.w.t. Tetapi mentaati ibu bapa pada perkara yang maksiat adalah terlarang . Sekiranya ibu bapa itu orang kafir, atau fasiq orangnya, wajib juga si anak menghubunginya dengan baik dan memelihara perhubungan itu sebagaimana mestinya. Serulah keduanya supaya beriman, ajaklah kepada kebenaran dengan cara yang lemah lembut, kemesraan dan kasih sayang sehingga percayalah nanti, hati orang tua yang tidak tertarik sama sekali kepada kebenaran itu, akan tertarik oleh adanya cara yang lemah lembut dan kemesraan”.

- Di zaman Rasullullah s.a.w , para sahabat dan baginda sendiri terpaksa menghadapi ibu bapa mereka malah terpaksa memerangi mereka kerana penentangan mereka terhadap Allah s.w.t dan rasulNya. Sebagai contoh berlaku di dalam peperangan Badar yang mana memperlihatkan sahabat nabi yang bernama Abu ‘Ubaidah yang terpaksa membunuh bapanya sendiri kerana ayahnya memeranginya dan ingin membunuhnya. Jikalau dia tidak membunuh ayahnya kemungkinan ayahnya akan membunuhnya. Berlainan pula contoh yang berlaku kepada Abdullah bin Abdullah bin Ubay yang meminta izin kepada Rasullullah s.a.w untuk membunuh ayahnya kerana ayahnya adalah seorang munafiq yang banyak menjadi duri dalam daging kepada masyarakat Islam di Madinah pada ketika itu. Tetapi Baginda melarangnya dan ini menunjukkan bahawa dalam Islam hendaklah berlaku ihsan terhadap kedua orang tua. Ini adalah menjadi hukum Allah s.w.t, bukan sahaja dalam syari’at nabi Muhammad s.a.w, tetapi juga mengikut syari’at nabi-nabi yang terdahulu.

- Oleh kerana itulah kaum bani Israel diperintah oleh Allah s.w.t supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka tetapi malangnya mereka engkar bahkan ada dikalangan mereka yang mendeharkai kedua orang tua mereka dalam erti kata tidak taat serta tidak berlaku ihsan terhadap kedua orang tua mereka. Umpamanya kisah penyembelihan lembu yang telah diperjelaskan sebelum ini. kisah itu menjadi dalil yang menunjukkan bahawa kaum bani Israel ini hanya mementingkan harta benda lebih daripada sifat ihsan terhadap kaum yang tua daripada mereka. Mereka sanggup melakukan apa sahaja sehingga tahap membunuh waris atau anak beranak mereka sendiri.

- Perkara ketiga , sepertimana firmanNya:

وَذِي الْقُرْبَى

Maksudnya: “ Dan kaum keluarga”

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa Allah s.w.t memerintahkan kita supaya menghubungkan silaturrahim dengan kaum keluarga. Kita juga hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar kaum keluarga kita yang hampir itu sentiasa berada dalam keredhaan Allah s.w.t. Hal ini demikian kerana mereka itu mempunyai hubungan darah dengan kedua ibu bapa[3]. Kita mesti mengajar mereka dengan cara yang baik supaya mereka melakukan kebaikan. Hubungilah kaum kerabat atau keluarga sebagaimana mestinya. Kalau tidak menyamai, sekurang-kurangnya tidak terlalu jauh tarafnya dengan ibu bapa. Kalau kita marah sekalipun terhadap mereka kerana maksiat ataupun kemungkaran yang mereka buat, kita sama sekali tidak boleh membiarkan mereka terjerumus kedalam api neraka semuanya. Kalau berkemampuan untuk mengubah mereka kita perlu melakukannya agar dapat menyelamatkan kaum keluarga daripada api neraka, sepertimana firmanNya[4]:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli kamu (kaum keluarga) daripada api neraka”

- Dalam hal ini kita boleh mengambil contoh cara Rasullullah s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib untuk masuk Islam meninggalkan agama datuk neneknya sekaligus menyelamatkan beliau daripada api neraka. Rasullulah s.a.w mengajak Abu Talib dengan cara yang baik . Baginda duduk dekat Abu Talib ketika hampir ajalnya dan meminta Abu Talib mengucapkan kalimah syahadah. Tetapi Abu Talib enggan berbuat sedemikian kerana malu terhadap Abu Jahal yang ada diketika itu. Ini membuktikan Rasullullah s.a.w mempunyai sikap yang amat baik. Baginda berlawan atau berbalah dengan sesiapa yang berkenaan dengan tujuan yang baik iaitu untuk menyelamatkan mereka daripada api neraka dan bukan tujuan yang tidak baik seperti sengaja menyakitkan hati mereka dengan tiada alasan yang munasabah. dan atas tujuan yang baik inilah baginda berperang walaupun terpaksa menghadapi anak beranak sendiri.

- Bagaimanapun, dasar atau prinsip bani Israel bukannya menggalakkan orang berbuat baik kepada kaum keluarga berdasarkan kepada perintah Allah yang lalu. Kalau ada harta, barulah hubungan itu semakin rapat sehingga tiga pupu menjadi dekat seolah-olah sepupu sahaja dikalangan mereka. Sebaliknya yang tiada harta, hubungannya terlalu jauh walaupun pada hakikatnya mereka hanya sepupu sahaja, bukannya orang lain. Ini adalah satu sikap yang tidak baik yang menjadi amalan kaum bani Israel yang tidak seharusnya menjadi ikutan umat Islam keseluruhannya.

- Perkara keempat, sepertiman firmanNya:

وَالْيَتَامَى

Maksudnya: “ Dan dengan anak-anak yatim”

Disini jelas menerangkan bahawa kita sepertimana juga bani Israel bahawasanya perlulah mempunyai sikap dan pendirian yang baik dengan anak yatim terutamanya orang yang diamanahkan untuk menjaga harta anak yatim. Ada tiga perkara yang dititik beratkan mengenai pemeliharaan anak yatim ini, yang pertama, kerana kecilnya. Kedua, kerana yatimnya dan ketiga kerana ketiadaan orang untuk mengurus keperluan dan hajatnya[5]. Jika mereka susah, kita tolong mereka dan jika kita melihat akhlak mereka tidak elok, kita perbetulkan akhlak mereka. Sebenarnya yang dikatakan anak yatim itu adalah orang yang kematian ayah dan belum baligh[6]. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Rasullullah s.a.w yang berbunyi[7]:

لا يُتْمَ بعد البلوغ

Maksudnya: “ Tidak dikatakan yatim selepas sampai baligh”

Ertinya orang yang umurnya sudah baligh apatah lagi sudah menjangkau 60 tahun atau lebih, walaupun ayahnya sudah mati, tidak dikategorikan sebagai anak yatim lagi . Al-Qurtubiy mengatakan yatim disisi manusia adalah kehilangan bapa, manakala disisi haiwan pula adalah kehilangan ibu[8].

- Perkara kelima, sepertimana firmanNya:

وَالْمَسَاكِينِ

Maksudnya: “ Dan orang-orang miskin”

Allah s.w.t juga meminta kaum bani Israel supaya melakukan kebaikan terhadap orang-orang miskin tetapi bani Israel ini terkenal sebagai golongan yang paling kuat makan riba dan yang mengajar manusia melakukan perbuatan riba ini sehingga sekarang adalah golongan yahudi. Merekalah yang mengasaskan sistem riba di bank-bank seluruh dunia. Riba adalah satu penindasan yang dilakukan oleh orang kaya terhadap orang yang miskin. Allah s.w.t memerintahkan supaya berbuat baik kepada orang miskin tetapi sebaliknya mereka mengambil peluang daripada kesusahan orang miskin dengan menggunakan riba ke atas pinjaman wang dan seumpamanya.

- Termasuk dalam ayat ini juga larangan Allah s.w.t menengking anak yatim dan orang miskin seperti peminta sedekah. Jikalau tidak mahu memberi apa yang dipinta, beritahulah dengan menggunakan kata-kata yang baik. Janganlah pula kita memberi sesuatu dengan menyebut perkataan-perkataan yang tidak baik kerana itu tidak dinamakan “ihsan” kerana “ihsan” itu boleh terjadi sama ada kita menolong seseorang secara ikhlas ataupun dengan menggunakan kata-kata yang baik. Jika sekiranya kita menolong seseorang dan kemudiannya kita hebahkan kepada orang lain dengan berkata “ Dia baiki rumah tu sebab saya lah yang bagi duit” Maka sebenarnya tiada ihsan disitu sekaligus merendahkan harga diri orang miskin tersebut dan bayangkanlah perasaan orang miskin tersebut jikalau beliau mendengar perkataan yang sedemikian. Sebab itulah al-Quran mengajar kita bahawa sesungguhnya kata-kata yang baik itu adalah lebih baik daripada sedekah yang disusuli dengan ungkitan. Dengan sebab itu mengikut hukum Islam, adalah lebih baik kita bersedekah kepada orang dengan cara tersembunyi.

- Perkara keenam, sepertimana firmanNya:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْناً

Maksudnya: “ Dan kamu hendaklah berkata kepada manusia dengan kata-kata yang baik”

Apakah maknanya kata-kata yang baik itu sepertimana yang telah disuruh oleh Allah s.w.t kepada bani Israel khususnya merujuk kepada ayat ini dan umumnya kepada semua hambanya termasuklah umat Muhammad s.a.w.? Kata-kata yang baik itu adalah kalimah Tauhid, kalimah yang member keyakinan untuk mengesakan Allah s.w.t. Begitu juga kalimah yang benar, percakapan yang benar yang tidak bohong. Berkata al-Hassan al-Basri: Termasuk juga dalam makna berkata-kata yang baik ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran[9]. Maknanya termasuk didalam kata-kata yang baik ialah apabila kita lihat seseorang tidak melakukan kebaikan, kita suruh dia buat kebaikan tersebut dan apabila kita mereka melakukan kemungkaran, kita melarangnya daripada perbuatan tersebut. Tetapi sayangnya, sifat kaum bani Israel tidak sebegitu sepertimana yang telah diperjelaskan dalam kisah mereka diuji dengan hari Sabtu. Allah s.w.t melaknat sikap mereka itu dengan firmanNya[10]:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

Maksudnya: “Telah dilaknati orang-orang kafir dari bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.”

Allah s.w.t melaknat mereka adalah kerana mereka derhaka terhadap perintah Allah s.w.t dan melampaui batas ya’ni tidak menyuruh kepada kebaikan dan tidak mencegah kepada perkara yang mungkar dalam erti kata tidak berkata-kata dengan perkataan yang baik sepertimana sambungan bagi ayat diatas Allah s.w.t berfirman[11] :

كَانُوا لا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Maksudnya: “ Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka buat . Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”

- Perkara ketujuh, sepertimana firmanNya:

وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ

Maksudnya: “ Dan dirikanlah kamu akan sembahyang”

Termasuk juga dalam perjanjian ini suruhan bersembahyang yang sekaligus menunjukkan bukan sahaja ibadah ini terdapat dalam syari’at nabi Muhammad s.a.w tetapi ia menjadi satu ibadah juga pada syari’at nabi-nabi yang terdahulu.

- Perkara kelapan, sepertiman firmanNya:

وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dan tunaikanlah kamu akan zakat (iaitu menunaikan kebajikan harta benda kamu).”

Disuruh juga keluarkan zakat, kerana zakat itu membersihkan kekotoran . Dengan berzakat harta dan kekayaan, orang kaya telah dapat membersihkan sifat tamak yang mengotori jiwanya. Dan dengan terlaksananya pengurusan zakat yang baik dalam sesebuah pemerintahan, masyarakat yang penuh dengan golongan pengemis dan yang kecewa dengan hidupnya akan dapat dibersihkan agar menjadi masyarakat yang baik dengan kehidupan yang memuaskan.

- Kelapan-lapan perkara inilah yang telah diambil menjadi persetiaan, tetapi kaum bani Israel berpaling tadah daripada perjanjian tersebut dan ini juga menjadikan satu sifat yang turun temurun hingga ke zaman nabi Muhammad s.a.w, mereka masih juga berpaling tadah terhadap perintah Allah s.w.t . Oleh sebab itulah jikalau ada diantara orang Islam yang berpaling tadah sedemikian, maka mereka serupa juga sebenarnya dengan kaum Yahudi walaupun mereka bukan Yahudi. Dan sepertimana firmanNya:

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلاَّ قَلِيلاً مِنْكُمْ وَأَنْتُمْ مُعْرِضُونَ

Maksudnya: “ Kemudian kamu berpaling, melainkan sedikit sahaja daripada kamu. Hal keadaan kamu berpaling dengan tidak mengendahkan akan janji kamu dengan Allah s.w.t”

Ayat ini menjelaskan sedikit sahaja dari kalangan bani Israel yang taat kepada Allah s.w.t dan kebanyakkannya tidak taat.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[12]: “ Dengan keterang ayat ini maka terjelaslah dua hakikat. Hakikat yang pertama ialah persamaan dan kesatuan agama Allah s.w.t, iaitu agama Islam yang akhir ini membenarkan dasar-dasar agama sebelumnya. Hakikat yang kedua ialah kedegilan pendirian kaum Yahudi terhadap agama Islam, sedangkan agama ini menyeru mereka kepada mematuhi perjanjian yang telah diikatkan oleh Allah s.w.t dengan mereka sebelum ini.”



[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 330

[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 123

[3] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 211

[4] Al-Tahrim, ayat 6

[5] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 123

[6] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 105. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 104 dan Sa’id Hawwa, al-Asas fi al-Tafasir (1991), J. 1, mk 176

[7] Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud, sila lihat Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 105

[8] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 12

[9] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 104. Lihat juga Sa’id Hawwa, al-Asas fi al-Tafasir (1991), J. 1, mk 101.

[10] Al-Maidah, ayat 78

[11] Al-Maidah, ayat 79

[12] [12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 332

No comments: