Wednesday, November 9, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 80-82)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 80:

- Ayat ini memberi gambaran bahawa kaum Yahudi itu berpendapat bahawa Allah s.w.t tidaklah akan menyeksa mereka di dalam neraka pada hari akhirat kelak dalam masa yang lama. Kalau pun diseksa hanyalah dalam masa beberapa hari sahaja[1]. Dengan ini dapatlah disimpulkan bahawa kaum Yahudi mempunyai tanggapan tiap-tiap kesalahan sememangnya ada hukuman, tetapi kesalahan mereka pada anggapan mereka adalah kecil, ya’ni seksa dalam neraka hanyalah beberapa hari sahaja. Padahal kesalahan mereka adalah amat besar kerana menyekutukan Allah s.w.t

- Mengikut Ibn ‘Abbas, kesalahan mereka itu ialah kerana mereka kufur dan syirik, ertinya menyekutukan Allah s.w.t. Kesalahan tersebut terhitung sebagai satu dosa yang amat besar dan hukumannya adalah menjadi penghuni neraka dan kekal selama-lamanya. Kalau dimisalkan dengan hukuman didunia, umpamanya hukuman penjara seumur hidup, tiada peluang lagi akan keluar dari penjara itu selama-lamanya sehinggalah datang ajal. Tetapi diakhirat nanti, manusia tidak akan mati lagi maka hukuman akhirat bagi orang yang syirik , kufur atau murtad akan dirasai selama-lamanya.

- Sebab nuzulnya ayat ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas[2], ada diantara kaum Yahudi memberitahu bahawasanya masa di dalam dunia ini ialah tujuh ribu tahun dan sesungguhnya kita di azab, tiap-tiap seribu tahun setahun daripada hari-hari didunia. Setiap seribu tahun menjadi setahun daripada hari dunia ini maka ia tinggal menjadi satu hari sahaja di dalam neraka ataupun ia tinggal menjadi tujuh hari yang boleh dibilang kemudian dihapuskan neraka dan semuanya masuk syurga belaka. Hal ini demikian (mengikut pendapat mereka) bukan orang Islam sahaja yang masuk syurga, tetapi orang yang bukan Islam pun boleh masuk syurga.

- Dengan kefahaman yang sebegini mereka berpendapat tidak mengapalah masuk neraka dahulu pun, sebab akhirnya nanti akan masuk syurga juga. Ini adalah kata-kata untuk menyedapkan hati semata-mata tetapi sebenarnya jauh menyimpang daripada kefahaman dan hakikat yang sebenar. Perkara ini berlaku di zaman Rasullullah s.a.w dan boleh juga berlaku di zaman sekarang kerana sudah pasti akan ada manusia akan berkata sedemikian sampai ke hari qiyamat.

- Menurut Ibn Jarir al-Tabari pula[3], kaum Yahudi berkata bahawasanya mereka tidak dimasukkan kedalam api neraka melainkan 40hari dan 40 malam sahaja merujuk kepada kesalahan mereka menyembah anak lembu selama 40 hari dahulu. Mereka ingat peristiwa datuk nenek mereka menyembah lembu dahulu, iaitu apabila nabi Musa a.s meninggalkan mereka selama 40 hari. Dalam tempoh itulah mereka menganggap mereka didalam neraka dan selepas itu masuk syurga pula untuk selama-lamanya.

- Pendapat yang mengatakan orang kafir hanya tinggal beberapa hari sahaja di dalam neraka adalah pendapat yang berasaskan kepada pandangan orang yahudi bahkan juga ada terdapat beberapa orang ahli falsafah yang Islam turut berpandangan sedemikian. Ada diantaranya mengkaji rohani manusia yang dikatakan boleh menjadi suci dan kononnya kesucian murni manusia boleh meningkat naik sehingga sampai ke martabat Malaikat. Mereka beranggapan bahawa kalau roh sampai ke martabat Malaikat maka tiadalah manusia itu. Kemudian martabatnya semakin tinggi dan akhirnya menjadi fana dan begitulah seterusnya dianalisakan roh sebegitu rupa.

- Mereka menambah pula, bila seseorang itu masuk neraka, dia akan sebati dengan neraka itu. Oleh kerana terlalu lama diseksa akhirnya dia tidak berasa terseksa dengan seksaan api neraka. Bahkan menjadi nikmat pula tinggal didalam neraka . Pandangan seperti ini jelas sesat dan bertentangan dengan prinsip Islam dan umat Islam wajib menolaknya. Memang dari segi hukum aqal, Allah s.w.t berhak secara mutlak untuk menentukan hukumNya dimana orang kafir sekiranya Allah berkehendak, mereka boleh masuk syurga tetapi kita mesti merujuk kepada syara’ dan apabila kita kembali kepada syara’ kita dapati banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menggambarkan kepada kita mustahil bagi orang kafir boleh masuk syurga dimana ayat selepas ini sebagai contoh (ayat 81) menjadi bukti bahawa orang kafir itu kekal didalam neraka bukan sekadar beberapa hari sahaja.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata [4]: “ Diantara angan-angan mereka yang tidak selaras dengan dasar keadilan Islam, tidak sesuai dengan undang-undang Islam dan tidak secocok dengan konsep amalan dan balasan yang betul ialah mereka berfikir bahawa mereka akan terlepas dari azab Allah s.w.t walau apa pun kejahatan yang dilakukan oleh mereka dan bahawa mereka tidak akan disentuh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu sahaja dan selepas itu mereka akan dikeluarkan dari api neraka dan dimasukkan kedalam syurga. Di atas dasar apakah mereka landaskan angan-angan mereka itu? dan diatas perhingtungan apakah mereka menentukan masa azab itu seolah-olah mereka benar-benar yakin? seolah-olah perkara ini merupakan perjanjian yang telah Allah s.w.t menentukan masanya. Ianya tidak merupakan sesuatu apa pun kecuali angan-angan kosong orang jahil yang buta huruf dan pembohongan ahli agama yang menipu sahaja. Itulah angan-angan orang yang menyeleweng dari agama yang betul apabila mereka dilalui oleh masa yang amat lama dan terputus dari hakikat agama mereka yang sebenar hingga tiada lagi tinggal kecuali nama dan bentuknya sahaja, bukannya isi dan hakikanya dan ini pada mereka sudah cukup untuk menyelamatkan mereka dari azab api neraka”

- Tetapi Allah s.wt menyangkal dakwaan mereka dan sekaligus menggambarkan tanggapan mereka itu hanya bohong semata-mata dengan firmanNya:

قُلْ أَاتَّخَذْتُمْ عِنْدَ اللَّهِ عَهْداً فَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (ya Muhammad) kepada mereka: Adakah kamu telah berjanji dengan Allah (yak’ni perjanjian penyeksaan dalam masa yang pendek?) maka kerana itu Allah tidak akan memungkiri perjanjianNya? Atau kamu hanya mengatakan keatas Allah s.w.t sesuatu yang kamu tidak ketahui?”

Inilah hujjah yang diajar oleh Allah s.w.t yang dapat menundukkan mereka yang berpegang kepada tanggapan yang songsang. Pernyataan diayat ini menjelaskan hakikat yang sebenar yang dibuat dalam bentuk pertanyaan yang mengandungi kecaman dan celaan.

2. Ayat 81

- Dalam ayat ini mereka diberi jawapan yang tegas dan kata pemutus terhadap dakwaan mereka dalam bentuk menjelaskan salah satu dasar dari dasar-dasar umum pemikiran Islam yang terbit dari gagasan umum Islam terhadap alam semesta, kehidupan dan manusia iaitu dasar balasan mengikut jenis perbuatan dan yang secocok dengan perbuatan.

- Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[5]: “ Adakah kejahatan itu sesuatu perolehan? Pengertian yang dimaksudkan dari kata-kata كَسَبَ dari segi pengertian aqal ialah melakukan kejahatan. Tetapi ungkapan al-Quran ditujukan untuk menggambarkan keadaan jiwa yang diketahui umum, iaitu seseorang yang melakukan kejahatan itu biasanya ia melakukan dengan perasaan penuh kenikmatan dan menganggapkannya sebagai satu perolehan dan hasil pendapatan baginya. Sekiranya kejahatan itu tidak member kenikmatan kepada perasaan pelakunya sudah tentu dia tidak akan melakukannya. Dan sekiranya dia merasakan kejahatan itu satu kerugian jika dilakukan, sudah tentu dia melakukannya dengan tiada ghairah dan tentulah dia tidak membiarkan kejahatan itu memenuhi hatinya dan melingkungi alam hidupnya. Kerana adalah wajar bagi dia apabila merasa kejahatan itu mendatangkan kerugian kepadanya dia wajib melarikan diri daripada kejahatan itu, walaupun dia terdesak serta memohon keampunan Allah s.w.t dan berlindung padanya. Dalam keadaan sebegini tentulah kejahatan tidak dapat melingkungi dan memenuhi alam hidupnya dan tidak dapat menutup pintu hatinya untuk bertaubat dan membersihkan dosa. Maka seseorang yang dipancarkan oleh kejahatan, dimana dia hidup dalam lingkungan kejahatan, bernafas dalam suasana kejahatan, hidup bersama kejahatan dan untuk kejahatan dan ketika seseorang manusia sedemikian rupa, ya’ni terpancar dalam kejahatan dan tertutup pintu taubatnya, maka ketika itulah dia wajar menerima balasan adil yang tegas.”

3. Ayat 82

- Kemudian ayat seterusnya menjelaskan hukuman sebaliknya daripada golongan yang diatas tadi. Diantara kehendak keimanan ialah kemunculan dari hati seseorang dalam bentuk amalan yang salih. Inilah hakikat yang pasti difahami oleh setiap orang yang mengaku beriman. Alangkah perlunya hakikat ini disedari oleh setiap kita yang mengaku sebagai orang Islam. Keimanan itu tidak wujud sehingga muncul darinya amal-amal salih. Orang yang mengaku beriman kemudian melakukan kerosakan dibumi dan memerangi hakikat kebaikan yang utama iaitu menegakkan sistem hidup Ilahi di muka bumi ini, menegakkan syari’at dalam kehidupan dan mengamalkan akhlak yang diajar olehNya didalam pergaulan masyarakat, maka mereka adalah orang yang tidak mempunyai keimanan sedikit pun dan tidak mendapat pahala dari Allah s.w.t. Dan tiada siapa yang dapat member perlindungan dari azab Allah s.w.t walaupun mereka berangan-angan seperti kaum Yahudi sebagaimana yang telah diperjelaskan dahulu.



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 120

[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 203, lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 9

[3] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 203, lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 10 dan Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 104

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 324

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 326-327

No comments: