بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 65:
- Ayat ini menjelaskan lagi tentang sifat melampaui batas bani Israel ketika mana Allah s.w.t menguji mereka dengan hari Sabtu iaitu hari kebesaran bagi mereka. Kisah ini dikatakan berlaku pada zaman nabi Daud a.s[1] dan ada yang mengatakan berlaku dizaman nabi Musa a.s[2]. Mereka tidak dibenarkan bekerja pada hari Sabtu tetapi Allah s.w.t menguji mereka dengan mentakdirkan bahawa pada hari Sabtu itulah banyak ikan masuk kedalam teluk berhampiran penempatan mereka. Didalam surah yang lain Allah s.w.t berfirman[3] :
وَاسْأَلْهُمْ عَنْ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَتْ حَاضِرَةَ الْبَحْرِ إِذْ يَعْدُونَ فِي السَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعاً وَيَوْمَ لا يَسْبِتُونَ لا تَأْتِيهِمْ كَذَلِكَ نَبْلُوهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ
Maksudnya: “Dan tanyalah mereka tentang penduduk sebuah Bandar yang terletak ditepi laut sewaktu mereka menceroboh larangan hari Sabtu, ketika ikan-ikan yang diidami oleh mereka datang dan timbul pada hari Sabtu sedangkan pada hari bukan Sabtu ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka”
- Berkata al-Suddiy dan Qatadah bahawasanya Bandar itu bernama Ailah[4]
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[5]: “ Mereka telah meminta diadakan satu hari rehat yang suci untuk mereka, lalu Allah s.w.t jadikan hari Sabtu sebagai hari rehat yang suci dimana mereka tidak boleh bekerja untuk kehidupan mereka. Kemudian Allah s.w.t menguji mereka dengan timbulnya ikan-ikan yang banyak pada hari Sabtu sedangkan pada hari-hari yang lain semua ikan-ikan itu menghilangkan diri.”
- Mengikut riwayatnya peristiwa ini berlaku di Teluk ‘Aqabah, satu teluk yang terdapat di Laut Merah. Allah s.w.t menguji mereka sama ada mereka ingat arahan Allah s.w.t atau lebih ingat pada ikan-ikan. Lalu disebabkan mereka takut untuk menentang secara terang-terangan, mereka membuat helah iaitu membuat terusan pada hari Jumaat dan seterusnya ikan-ikan masuk pada hari Sabtu dan terkurung akibat air surut, kemudiannya pada hari Ahad mereka mengambil ikan-ikan tersebut.
- Cerdiknya pemikiran mereka diatas helah tersebut tetapi amat bodohnya mereka kerana menyangka bahawa Allah s.w.t tidak mengetahui tentang helah itu sekaligus tindakan mereka itu dianggap cuba menipu Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t mengutuk mereka dan berfirman:
فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ
Maksudnya: “Maka kami berfirman kepada mereka, jadilah kamu kera-kera yang hina”
- Mengikut riwayatnya mereka terdiri daripada 3 golongan. Golongan pertama ialah golongan yang melanggar perintah Allah s.w.t. Golongan yang kedua ialah golongan yang berdiam diri terhadap kemungkaran tetapi tidak melakukan perbuatan tersebut. Kemudian golongan yang pertama itu balik mereka makan bersama-sama daripada hasil tangkapan. Mereka tidak menunjukkan sikap penentangan atau tidak bersetuju dengan perbuatan golongan yang pertama. Golongan yang ketiga pula adalah daripada golongan yang mencegah serta menasihati agar tidak melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah s.w.t
- Golongan pertama dan kedua iaitu yang melakukan kemungkaran dan berdiam diri terhadap kemungkaran tersebut semuanya menjadi kera. Mereka berdiam diri terhadap kemungkaran tersebut. Mereka tidak bersetuju tetapi hanya sekadar benci didalam hati sahaja. Mereka berdiam diri terhadap kemungkaran yang dilakukan itu kerana mereka menjadikan keluarga sebagai asas kepada tidak perlunya sebarang pencegahan atau larangan terhadap perbuatan tersebut[6] sepertimana firmanNya[7]:
كَانُوا لا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (79)
Maksudnya: “Mereka antara satu sama lain tidak pernah menegah tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan”
- Disebabkan itu kita dapati dalam sebuah hadith, Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa dikalangan kamu yang melihat perkara mungkar hendaklah mengubah dengan tangannya, kalau tidak berkuasa mengubah dengan tangan, maka dengan lidah, kalau tidak berkuasa dengan lidah maka benci di dalam hati.” (Mengikut riwayat lain ada tambahan iaitu “dan tiada selepas daripada itu iman walaupun sebesar biji sawi.”) Ertinya kalau tiada langsung perasaan benci dalam hati bermakna bersetujulah dengan kemungkaran yang berlaku.
- Berhubung dengan arahan mencegah kemungkaran ini, ada ulama’ menafsirkan “mengubah dengan tangan” ini ialah mengubah dengan kuasa kerajaan terhadap rakyatnya. Bila kerajaan itu melihat kemungkaran berlaku, maka wajib mengubah kemungkaran tersebut dengan kuasa yang ada padanya.
- Kalau tidak berupaya dengan tangan, maka hendaklah mencegah dengan lidah. Ini adalah tanggung-jawab dan kewajipan para ulama’ yang tahu tentang hukum Allah s.w.t. Mereka sepatutnya tidak boleh berdiam diri atau sekadar benci di dalam hati sahaja. Yang mencegah didalam hati adalah selayaknya bagi orang awam yang tidak tahu berhujjah dengan orang yang terlibat dalam kemungkaran. Kalau pandai berhujjah dengan ilmu yang ada, maka menjadi kewajipan kepada orang berkenaan mencegah dengan lidah.
- Berilmu disini bukan beerti menimba ilmu sebanyak-banyaknya sehingga bertaraf ulama’ atau sampai keperingkat dapat menafsirkan al-Qur’an, tahu menguasai bahasa Arab sehingga dapat membezakan hukum-hakam al-Quran dengan jelas barulah boleh kita berhujjah dengan manusia. sekurang-kurangnya kita boleh memberi nasihat mengikut kadar ilmu masing-masing termasuk melalui lisan dan penulisan. Kalau tidak mampu dengan itu, barulah wajib benci di dalam hati. Umpamanya tiada daya dan kemampuan dengan kuasa dan lidah kita boleh menyuarakan penentangan terhadap kemungkaran dengan bermacam-macam kaedah. Antaranya kita boleh melakukan pemulauan, tidak menegur mereka yang terlibat di dalam kemungkaran atau seumpamanya yang menunjukkan kita tidak bersetuju dengan kemungkaran yang dilakukan. Inilah dia cara yang diajar oleh Islam melalui Rasullullah s.a.w.
- Hanya golongan yang ketiga sahaja yang terselamat daripada azab tunai Allah s.w.t kerana sifat mereka mencegah dan menghalang kemungkaran tersebut daripada berlaku. Terdapat dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dari Mu’az bin Jabal r.a yang mengatakan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda[8]:
إنكم على بينة من ربكم مالم تظهر فيكم سكرتان سكرة الجهل وسكرة حب العيش وأنتم تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتجاهدون في سبيل الله فإذا ظهر فيكم حب الدنيا فلا تأمرون بالمعروف ولا تنهون عن المنكر ولا تجاهدون في سبيل الله القائلون يومئذ بالكتاب والسنة كالسابقين الأولين من المهاجرين والأنصار
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan tetap berada dijalan yang benar dari Tuhan kamu selagi mana tidak timbul dikalangan kamu dua perkara mabuk, iaitu mabuk kejahilan dan mabuk sayangkan hidup. Kamu akan terus menyuruh kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran serta terus berjihad pada jalan Allah s.w.t. Tetapi apabila timbul pada kamu perasaan sayang dan kasihkan dunia maka kamu tidak lagi menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan berjihad ke jalan Allah. Diketika itu jika kedapatan orang-orang yang memperkatakan al-Kitab dan al-Sunnah, maka mereka berkedudukan sama seperti generasi pertama Islam yang terdiri dari al-Muhajirin dan al-Ansar.”
- Kefahaman Hadith diatas jelas membuktikan jikalau umat Islam sekarang ini sudah tiada sifat amar ma’ruf dan nahi mungkar maka ini akan menyebabkan umat Islam itu telah kehilangan sifat istimewa bagi mereka iaitu “ummat terbaik” sepertimana yang firmanNya[9]:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Maksudnya: “ Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah”
Dan berwaspadalah daripada akibat tidak mengendahkan kemungkaran yang berlaku disekeliling kita sepertimana yang disabdakan oleh Rasullullah s.a.w yang berbunyi[10]:
إن الناس إذا رأوا المنكر ولم يغيروه أوشك أن يعمهم الله بعقاب
Maksudnya: “Sesungguhnya apabila manusia melihat kemungkaran dan mereka tidak mengubahnya adalah dibimbangkan yang Allah akan menyiksa mereka semua”
- Jumhur ulama’ mengatakan yang menjadi kera itu adalah menjadi kera yang sebenarnya[11]. Bagaimanapun, Mujahid mengatakan hanya perangai sahaja berubah seperti kera . Ada juga pendapat yang mengatakan golongan muda yang menjadi kera dan yang tua menjadi khinzir kerana merujuk kepada firman Allah s.w.t[12]:
قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُمْ بِشَرٍّ مِنْ ذَلِكَ مَثُوبَةً عِنْدَ اللَّهِ مَنْ لَعَنَهُ اللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ وَجَعَلَ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ الطَّاغُوتَ أُوْلَئِكَ شَرٌّ مَكَاناً وَأَضَلُّ عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ
Bermaksud: “ Katakanlah (wahai Muhammad): mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang orang yang lebih buruk pembalasannya disisi Allah? iaitu orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkainya serta pernah diantara mereka ada yang dijadikanNya kera dan babi (dengan mengubah rupa mereka) dan penyembah taghut (syaitan). Mereka inilah yang lebih buruk kedudukkannya (kerana ditempatkan didalam neraka) dan lebih sesat dari jalan yang benar”
- Hal ini demikian golongan tua dari bani Israel ini hanya melihat sahaja kemungkaran yang dilakukan sambil menundukkan kepala seperti khinzir sebagai tanda mendiamkan diri[13]. Walaupun begitu riwayat yang paling kuat adalah mereka itu menjadi kera yang sebenar-benarnya dan apabila orang-orang beriman berkata kepada mereka :“ Dengan sebab kamu derhaka kepada Allah s.w.t menyebabkan kamu jadi begini”. Mereka itu menganggukkan kepala, mengerti apa yang dikatakan tetapi mereka tidak dapat bercakap. Mengikut riwayatnya, kera-kera ini hidup sekadar tiga hari sahaja dan selepas itu mereka mati semuanya[14]. Dan ini menunjukkan bahawa kera-kera tersebut tiada kena mengena dengan keturunan kera yang ada sekarang.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[15]: “ Mereka memang wajar menerima balasan kerana memungkiri perjanjian mereka dengan Allah s.w.t dan kerana menjatuhkan diri mereka dari taraf manusia yang mempunyai iradat kealam haiwan yang tidak mempunyai iradat serta hidup terkongkong kepada nafsu perut sahaja. Mereka telah jatuh kembali kealam haiwan apabila mereka meninggalkan ciri pertama yang menjadikan manusia itu manusia, iaitu ciri iradat yang luhur yang berpegang teguh kepada perjanjian dengan Allah s.w.t”
- Bani Israel diuji dengan hari Sabtu yang mana mereka tidak boleh bekerja pada hari tersebut. Berlainan dengan kita umat nabi Muhammad s.a.w yang mana hari kebesaran kita adalah hari Jumaat tetapi kita dibenarkan bekerja selagimana tidak menganggu waktu sembahyang Jumaat sepertimana firmanNya[16]:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka berjalanlah kamu untuk mengingati Allah dan tinggallah kamu akan jual beli, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar)”
- Berdasarkan ayat diatas tadi, apabila telah masuk waktu sembahyang Jumaat maka tidak boleh berbuat apa-apa pekerjaan lain lagi . Dan apabila telah selesai sahaja sembahyang Jumaat, kerja harian atau kerja-kerja lain boleh dilaksanakan sepertimana firmanNya[17]:
فَإِذَا قُضِيَتْ الصَّلاةُ فَانتَشِرُوا فِي الأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيراً لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Apabila sudah selesai sembahyang (Jumaat) maka bertebaranlah kamu dimuka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah limpah kurniaan Allah s.w.t, serta ingatlah Allah s.w.t sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan) moga-moga kamu berjaya (didunia dan diakhirat)”
- Berdasarkan dua ayat surah al-Jumu’ah diatas tadi jelas menggambarkan kepada kita bahawa Islam itu menggalakkan umatnya berkerja dengan segigih-gigihnya lebih daripada bangsa Jepun lagi. Kalau kita lihat dalam al-Qur’an (seperti dua ayat diatas) masa yang diberi oleh Islam tiada tolok bandingnya dalam mencari rezeki Allah s.w.t. Oleh itu, apa motifnya kita mahu ikut orang Jepun sedangkan dalam Islam ini semuanya ada. Mengapa ramai umat Islam yang berbangga dengan Jepun dan apa yang dibuat oleh Jepun. Sebenarnya umat Islam itu mundur kerana sifat sesetengah bangsa yang mengakui mereka Islam tetapi tidak menghayati Islam yang sebenar. Tidak nampak keindahan Islam dari ruang lingkup yang bertepatan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka hanya melihat Islam sebagai ibadah sahaja bukan merangkumi keseluruhan kehidupan mereka.
- Ditambah sifat jahil yang teramat sangat sehingga tidak nampak betapa banyaknya anjuran berbentuk galakkan untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat terdapat dalam al-Qur’an. Hal ini demikian membawa seseorang itu mengagumi bangsa lain yang kafir kononnya cara kehidupan bangsa itulah yang paling baik dan patut diteladani demi mencari kejayaan di dunia ini. Betapa jahilnya umat Islam tentang Islam itu sendiri. Kesimpulannya, bukan Islam itu lemah tetapi umat Islam itu sendiri yang menggambarkan Islam itu lemah kerana tidak berpegang kepada Islam yang sebenarnya.
- Berjual beli pada hari Jumaat mempunyai hukumnya tersendiri. Sungguhpun asal hukum berjual beli itu harus di dalam Islam, namun hukumnya berbeza pada hari Jumaat. Sebagaimana yang pernah terjadi bahawa sebahagian jemaah sembahyang fardhu Jumaat meninggalkan Rasulullah Shallallahu ‘alalihi wasallam yang sedang berkhutbah kerana mereka pergi ke tempat kafilah yang datang membawa barang dagangan. Maka dengan itu turunlah ayat yang melarang perbuatan sedemikian seperti firmanNya yang berbunyi[18]:
وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْواً انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِماً قُلْ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ اللَّهْوِ وَمِنْ التِّجَارَةِ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barangbarang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) suatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah).
Katakanlah (wahai Muhammad: “Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.” Jelasnya, hukum berjual beli pada hari Jumaat itu boleh dibahagikan kepada berikut[19]:
(1) Selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat sehingga selesai sembahyang fardhu Jumaat :
- Haram ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat dan khatib
duduk diatas mimbar. Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di Masjid. Adapun mereka yang sudah berada di Masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.
(2) Selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat
- Makruh ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua
sembahyang fardhu Jumaat. Ini kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.
(3) Sebelum tergelincir matahari
- Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.
(4) Selepas sembahyang fardhu Jumaat
- Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli setelah selesai mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.
Perkara Yang Melekakan Selain Berjual Beli
- Hukum haram dan makruh itu tidak hanya terbatas pada jual beli sahaja malahan termasuk juga perkara-perkara lain yang melekakannya dari bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.
Orang Yang Dikecualikan Daripada Larangan Berjual Beli
- Hukum haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat atau hukum makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu ialah ke atas orang yang diwajibkan sembahyang fardhu
Jumaat. Perempuan, kanak-kanak yang belum baligh atau lelaki dewasa yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti dalam pelayaran atau ada keuzuran, terkecuali daripada hukum haram atau makruh tersebut. Demikian juga dikecualikan daripada hukum tersebut, orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat yang terpaksa berjual beli ketika waktu-waktu larangan tersebut kerana dharurat seperti membeli kain kafan si mati yang ditakuti berubah apabila dilambatkan atau membeli air kerana untuk bersuci atau membeli pakaian untuk menutup aurat atau seumpamanya.
Haram Berjual Beli Bersama Orang Yang Diwajibkan Sembahyang Fardhu Jumaat
- Walaupun orang yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat harus berjual beli pada waktu-waktu yang dilarang, namun jika dia berjual beli bersama orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat, maka kedua-dua mereka berdosa. Ini kerana dia telah bersubahat pada melakukan yang haram.
Adakah Sah Jual Beli?
- Akad Jual beli yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat itu adalah sah. Ini kerana larangan itu tidak ada kaitannya dengan kesahihan akad akan tetapi disebabkan kelekaannya berurusan jual beli dan perbuatan melengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat. Ini sama keadaannya seperti sah sembahyang orang yang mengerjakannya dalam rumah yang dirampas.
- Sebagai kesimpulannya, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua sembahyang fardhu Jumaat.
Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat pun berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat.
2. Ayat 66:
- Ayat ini secara jelasnya meminta agar mereka yang ada pada masa itu mahupun pada masa sekarang samada dari golongan Yahudi mahupun Islam atau Islam tetapi berperangai seperti yahudi bermuhasabah diri dan mengambil iktibar bahawa inilah dia balasan bagi orang yang derhaka kepada Allah s.w.t. Yang untungnya bagi kita umat Islam, jika ada diantara kita yang melanggar larangan –larangan pada hari Jumaat, Allah s.w.t tidak menjelmakan kita menjadi kera atau monyet. Tetapi tidakkah berkemungkinan sifat kera itu boleh Allah jelmakan dalam peribadi seseorang? Dan yang pastinya peristiwa itu berlaku sebagai satu contoh teladan yang boleh mencegah penderhakaan dizaman itu dan zaman kemudian juga menjadi pengajaran yang berguna kepada orang beriman diseluruh zaman.
[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 104
[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 180
[3] Al-‘Araf, ayat 163
[4] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 91
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 282-283
[6] Berkemungkinan hujjah mereka “ bagaimana mahu menentang mereka kerana mereka adalah puak kita. kalau fir’aun yang melakukannya barulah boleh kita menentang. Ini bukan fir’aun tetapi ini adalah bani Israel, orang kita.” kalau dikaitkan denagn orang melayu pula , kita mungkin akan berkata “ tidak boleh menentang orang melayu sebab mereka sebangsa dengan kita (walaupun terang-terang melakukan kemungkaran) , lainlah kalau mereka bangsa asing” Maka serupa jugalah seperti perangai bani Israel, mereka berdiam diri apabila mereka melihat kemungkaran itu berlaku dalam keluarga mereka.
[7] Al-Maidah, ayat 79
[8] Sa’id Hawwa, Jundullah (2009), mk 7
[9] Ali- Imran, ayat 110
[10] Sa’id Hawwa, Jundullah (2009), mk 14
[11] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 182
[12] Al-Maidah, ayat 60
[13] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 92
[14] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 180
[15] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 283
[16] Al-Juma’ah, ayat 9
[17] Al-Juma’ah, ayat 10
[18] Al-Juma’ah, ayat 11
[19] Sila rujuk http://jomfaham.blogspot.com/search?q=jual+beli+ketika+jumaat&submit.x=17&submit.y=11
No comments:
Post a Comment