Thursday, October 6, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 62-64)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 62:

- Ayat ini memperlihatkan bagaimana Allah s.w.t menyatakan ada empat golongan kaum yang sedang menghadapi seruan nabi Muhammad s.a.w pada zaman permulaan tersiarnya dakwah Islam[1], iaitu:

- Pertama: Orang-orang terdahulu yang telah beriman dengan kebangkitan para nabi. Ada ulama berpendapat mereka adalah orang munafiqin yang membenarkan kerasulan nabi Muhammad s.a.w secara zahir sahaja bukan dari hati yang ikhlas. Sebab itulah mereka ini disusuli dengan orang Yahudi, nasara dan al-Sobi’ien selepas itu[2].

- Kedua: Orang-orang beragama Yahudi yang mengikut syariat nabi Musa a.s

- Ketiga: Orang-orang beragama Nasrani yang mengikut syariat nabi Isa a.s

- Keempat: Orang-orang yang mencari agama yang dahulunya penyembah bintang-bintang dan lain-lain.

- Sebaik sahaja datang dakwah Islam kepada golongan ini, jikalau mereka beriman kepada Allah s.w.t serta hari qiyamat disusuli pula dengan amalan-amalan soleh, nescaya Allah s.w.t menyediakan pahala diakhirat sebagai upah diatas keimanan mereka . Disamping mereka tidak akan hidup dalam ketakutan dan tiada berduka cita didalam kehidupan duniawi.

- Sebab nuzulnya ayat ini mengikut riwayatnya berhubung dengan seorang sahabat nabi yang bernama Salman al-Farisi r.a yang bertanyakan tentang perihal beliau pada masa sebelum masuk Islam. Salman yang berasal dari Parsi telah mendengar tentang kelahiran nabi Muhammad s.a.w daripada mulut pendita-pendita Yahudi lalu beliau meninggalkan keluarganya dan agama Majusi berpindah ke satu pendita kepada satu pendita yang lain sehingga bertemu nabi Muhammad s.a.w dan terus menganut Islam.

- Ramai dari kalangan pendita-pendita Yahudi menantikan kelahiran nabi Muhammad s.a.w. Ada diantara mereka yang mati, tidak sempat bertemu dengan Baginda dan tidak kurang juga yang sempat bertemu lalu terus beriman. Ramai juga yang sempat bertemu tetapi tidak beriman malah bertambah permusuhan mereka terhadap Islam kerana marah kepada Allah s.w.t tidak melantik nabi akhir zaman daripada bangsa mereka.

- Mengikut riwayatnya, perkataan Yahudi berasal daripada perkataan Yahuza merujuk kepada Yahuza bin Ya’qub a.s salah seorang daripada anak-anak nabi Ya’qub yang paling tua dan kepada Yahuza inilah dinisbahkan keturunan Yahudi. Digantikan huruf zal kepada huruf dal maka jadilah Yahuda. Ada juga riwayat yang mengatakan Yahudi ini satu kalimah yang bermaksud “sesungguhnya kami bertaubat kepadamu”. “ Hada” bermaksud “ Taba” dan al-Ha’id bermaksud al-Ta’ib[3]. Hal ini demikian ketika mana kaum bani Israel menyembah patung lembu lalu Allah s.w.t melaknat mereka dengan hukuman yang amat dahsyat. Lalu mereka merayu kepada Allah s.w.t dengan berkata: “ Sesungguhnya kami bertaubat kepadaMu wahai tuhanku” Berdasarkan kepada inilah mereka dinamakan Yahudi dan bukan kerana dinisbahkan kepada Yahuza bin Ya’qub a.s.

- Manakala perkataan Nasara pula, berdasarkan pandangan ulama’ ianya daripada perkataan “Nasran”[4] iaitu dinisbahkan kepada nama tempat kelahiran agama Nasrani. Al-Jauhari mengatakan tempat tersebut terletak di Syam. Ada juga berpendapat bahawa asal perkataan Nasara ini berdasarkan perkataan nabi Isa a.s yang dirakamkan dalam firmanNya[5]:

فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَى مِنْهُمْ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maksudnya: “ Maka tatkala nabi Isa a.s berasa (serta mengetahui dengan yakin) akan keingkaran daripada mereka (kaum Yahudi), beliau berkata: Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya), lalu al-Hawariyyun (penyokong-penyokong nabi Isa) betkata: kamilah penolong-penolong agama Allah, kami telah beriman kepada Allah dan saksikanlah wahai Isa sesungguhnya kami adalah orang Islam yang berserah sepenuhnya kepada Allah s.w.t.”

Mereka yang dipanggil al-Hawariyyun itu ialah sahabat nabi Isa a.s yang “sehidup semati” dengan nabi Isa a.s dan daripada perkatan “Man ansori” inilah lahirnya perkataan Nasrani ataupun Nasara.

- Adapun perkataan “ al-Sobi’ien” pula mengikut setengah riwayat, merujuk kepada ahli kitab yang percaya kepada kitab mereka tetapi telah berpindah agama sehingga menjadi penyembah malaikat dan mereka ini berasal dari kalangan bangsa Arab. dan mereka ini dianggap terkeluar daripada ahli Kitab[6]. Ada juga berpendapat bahawa perkataan “al-Sobi’ien” ini beerti berpindah daripada satu agama kepada satu agama yang lain. Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[7]: “ Menurut pendapat yang “arjah”, ia merujuk kepada kumpulan musyrikin arab sebelum kebangkitan Rasullullah s.a.w yang mana mereka telah meragui kepercayaan kaum mereka yang menyembah berhala lalu mereka mencari satu aqidah yang dapat diterima oleh mereka dan menjumpai aqidah tauhid. Mereka berkata: Mereka beribadah mengikut agama Hanifah yang pertama iaitu agama nabi Ibrahim a.s. Mereka mengasingkan diri dari ibadah kaum mereka tanpa berdakwah kepada mereka. Atas sebab itu kaum musyrikin Arab telah menggelarkan mereka sebagai “al-Sobi’ien” (orang-orang yang telah meninggalkan agama datuk nenek mereka). Pendapat ini lebih rojih daripada pendapat yang mengatakan bahawa kaum “al-Sobi’ien” ialah penyembah bintang-bintang sebagaimana yang dihuraikan oleh setengah kitab tafsir”

- Tiada khilaf disisi ulama bahawa sembelihan ahli Kitab daripada Yahudi dan Nasara boleh dimakan begitu juga boleh bernikah dengan perempuan-perempuan mereka[8]. Adapun “al-Sobi’ien”, para ulama berselisih pendapat tentang masalah ini. Berkata al-Suddi: “mereka adalah daripada ahli Kitab juga”. Berkata Ibn Munzir, Ishaq dan Abu Hanifah:“ Tidak mengapa (diharuskan) penyembelihan mereka dan pernikahan dengan perempuan-perempuan mereka”. Manakala Mujahid, al-Hassan dan Ibn Abi Najih melarang makan sembelihan mereka dan Ibn ‘Abbas dan al-Hassan pula melarang pernikahan dengan perempuan-perempuan mereka[9].

2. Ayat 63:

- Ayat ini masih lagi mengisahkan tentang bani Israel yang dilaknat oleh Allah s.w.t dimana kisah ini dibacakan oleh Rasullullah s.a.w kepada kaum Yahudi dizaman Baginda untuk menjadi pengajaran. Allah s.w.t menceritakan pula bahawa kaum bani Israel telah membuat persetiaan denganNya tetapi persetiaan tersebut telah dikhianati oleh keturunan mereka di zaman kebangkitan Rasullullah s.a.w , antaranya mengingkari kebangkitan tersebut.

- Perintah-perintah yang ada didalam kitab Taurat hendaklah mereka patuhi dan jikalau mereka engkar nescaya akan dihempap oleh bukit yang telah sedia diangkat diatas kepala mereka sepertimana firmanNya[10]:

وَإِذْ نَتَقْنَا الْجَبَلَ فَوْقَهُمْ كَأَنَّهُ ظُلَّةٌ وَظَنُّوا أَنَّهُ وَاقِعٌ بِهِمْ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ

وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون

Maksudnya: “Dan ingatlah ketika Kami mengangkat bukit keatas mereka seakan-akan bukit itu naungan awan dan mereka yakin bahawa bukit itu akan jatuh menimpa mereka. Dan kami katakan kepada mereka : Peganglah dengan teguh apa yang telah kami berikan kepada kamu serta ingatlah selalu apa yang tersebut didalamnya supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa”.

- Peristiwa ini berlaku ketika mana datang nabi Musa a.s membawa kitab Taurat dan berkata kepada kaumnya : “Ambillah kitab ini dan beriltizamlah denganya”. Maka mereka berkata : “Tidak!..kami akan berbuat sedemikian sekiranya kami dapat berkata-kata dengan Allah sepertimana kamu berkata-kata dengan Allah”. Lalu mereka disambar petir dan pengsan lalu mati kemudian dihidupkan semula. Maka setelah itu dikatakan kepada mereka sekali lagi: “Ambillah kitab Taurat ini” Mereka menjawab : “ Tidak!” Lalu Allah mengarahkan Malaikat (Jibril a.s) mengangkat bukit keatas kepala mereka. Dan jadilah bukit tersebut seperti awan yang meneduhkan mereka[11]. Mengikut riwayatnya bukit itu adalah tempat nabi Musa a.s mendengar kata-kata Allah serta menerima kitab Taurat.

- Bukit yang diangkat itu banyaknya sama dengan jumlah bani Israel. Ertinya, sekiranya bukit itu jatuh keatas mereka maka tiada seorang pun yang boleh hidup. Lalu bani Israel menjenguk keatas lalu didapati bukit berada diatas bukannya awan yang meneduhkan mereka maka pada saat itu barulah mereka menerima perjanjian dengan Allah s.w.t dan mengikut nabi Musa a.s. Mengikut riwayatnya, cara sujud mereka pada ketika itu ialah sebelah muka mereka diarahkan kebawah dan sebelah lagi diarahkan keatas kerana memerhatikan bukit yang hendak menghempapkan mereka[12]. Itulah sebabnya seseorang Yahudi sekiranya sujud, dicecahkannya mukanya yang sebelah kiri ke tanah.

- Inilah dia bani Israel. Untuk mereka mengikut nabi Musa a.s terpaksa diancam dengan diangkat bukit keatas kepala mereka. Oleh itu, adakah kita umat nabi Muhammad s.a.w hendak jadi seperti apa yang berlaku kepada bani Israel barulah mahu beriman dengan al-Quran sebagaimana yang dibawa oleh Baginda. Atau kita mahu bermain-main serupa dengan perangai orang zaman sekarang yang mendakwa hukum al-Quran itu boleh pakai sebahagian dan tidak pada sebahagian yang lain? Ataupun seperti setengah orang yang mengatakan al-Quran tidak layak dipakai kesemuanya dizaman sekarang atau kita rela dan redha tunggu bukit berada diatas kepala kita barulah mahu beriman sebagaimana bani Israel?

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[13]: “ Allah s.w.t menyuruh mereka berpegang teguh dengan kandungan perjanjian dan berazam dengan gigih untuk melaksanakannya, kerana tidak ada sikap lemah lembut dan lembik dalam urusan mematuhi aqidah. Ia tidak menerima penyelesaian separuh-separuh dan sikap bermain-main. Ia merupakan janji Allah dengan orang beriman. Ia merupakan urusan yang sungguh-sungguh dan benar. Oleh itu tidak mempunyai jalan yang lain melainkan bersungguh-sungguh dan benar. Ia mempunyai taklif –taklif yang berat. Inilah dia sifat aqidah. Ia merupakan satu urusan yang amat besar, lebih besar dari segala isi alam ini. Oleh sebab itulah ia pasti dihadapi oleh seseorang dengan hati yang bersungguh, berminat dan tahu segala tugasnya, hati yang bertekad dan berazam penuh untuk melaksanakan tugas-tugas itu. Maka setiap orang yang berpegang dengan aqidah ini pastilah sedar bahawa dia telah memberi ucapan selamat jalan kepada kehidupan yang senang lenang serta mewah sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w kepada isterinya apabila beliau diseru menjalankan tugas dakwah yang bermaksud:

“Zaman tidur telah berlalu wahai Khadijah”

Dan sepertimana firmanNya kepada pesuruhNya[14]:

إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً

Maksudnya: “sesungguhnya Kami akan turunkan kepadamu firman-firman yang berat”

- Maksud “berat” disini mengikut al-Hassan bin al-Fadhal iaitu tidak terpikul melainkan hati yang disokong oleh taufik dan oleh jiwa yang dihiasi oleh tauhid. Pada ayat ini seolah-seolahnya Allah mengingatkan: Engkau wahai Muhammad terdedah kepada pelbagai bahaya dan kepayahan dalam melaksanakan dakwah dan menarik orang supaya menerimanya. Betapa engkau dapat melaksanakan tugas yang berat ini seandainya engkau masih berehat-rehat dengan berselubung dalam berselimut ditempat tidur dengan tidak melucutkan selimutmu kemudian bangun pada waktu malam mengerjakan ibadah, sembahyang tahajjud serta membaca al-Quran, memahami makna dan mengkajinya dengan sedalam-dalamnya? Oleh itu bangunlah dari tempat tidurmu dan berjaga malam pada sebahagian besar waktu malam untuk merayu dan memohon kepada Tuhanmu sebagai persiapan untuk menjalankan tugas dakwah yang berat dan memberikan kegembiraan kepada manusia dengan kedatangan agama baru[15]

- Hal ini demikian agar urusan perjanjian itu bukan hanya merupakan semata-mata perintah semangat yang berkobar-kobar sahaja kerana perjanjian Allah merupakan satu sistem hidup yang ditegakkan didalam hati dalam bentuk pemikiran dan perasaan. Ianya juga perlu ditegak dialam kehidupan dalam bentuk undang-undang serta peraturan dan seterusnya ditegakkan dialam tingkah laku dalam bentuk adab sopan dan akhlak tertentu. Dan pada akhirnya ia membawa seseorang itu kepada taqwa dan kepekaan terhadap pemerhatian Allah s.w.t juga membawa kepada ketakutan terhadap akibat atau kesudahan hidup. Tetapi alangkah jauhnya bani Israel dari konsep ini, mereka telah dikongkong oleh tabiat mereka serta ditewaskan oleh perangai mereka sendiri.

- Antara kesan yang kita dapati dari ayat ini, dalam syariat nabi Musa a.s terdapat satu cara untuk menguatkuasakan syariat Allah dengan mendatangkan ancaman secara tunai dengan tidak bertangguh-tangguh lagi. sekiranya tidak mahu menerimanya, segera akan diterima padahnya dan kebinasaan seketika itu juga. Mungkin fikiran kita yang sihat akan dapat menimbangkan bahawa cara sedemikian adalah satu paksaan. Mungkin cara itu sesuai pada zaman itu ditambah pula perangai bani Israel yang masih lagi engkar kepada Allah setelah diberi bermacam-macam nikmat yang tidak pernah diberi kepada kaum lain.

- Tetapi berlainan dengan syariat nabi Muhammad s.a.w yang mana kita akan dapati tiada paksaan dalam untuk memilih agama kerana manusia dikurniakan akal fikiran yang mampu memilih yang mana baik serta yang mana buruk. Ditambah pula Islam sendiri dari sudut aqidah dan hukum-hukum yang ada jelas membuktikan bahawa hanya tata cara hidup ini sahajalah yang diterima oleh Allah s.w.t. Sudah tentu mereka yang dibekalkan dengan akal yang waras berpandukan ilmu yang tinggi akan mudah memilih Islam sebagai tata cara hidup mereka. Maka tidak payah ancaman dilakukan, tidak payah orang-orang ditakuti dan diugut tetapi gunakanlah kebijaksanaan serta ajaklah masyarakat bertukar fikiran dengan cara yang sebaik-baiknya.

- Kesimpulannya, dalam syariat nabi Muhammad s.a.w orang yang berpegang kepada Islam yang sebenarnya akan mendapat pahala yang besar disisi Allah s.w.t dan orang yang tidak berpegang kepada Islam diberi peluang kepadanya supaya berfikir untuk kembali ke jalan Alla s.w.t dan Allah tidak melakukan tindakan sepertimana apa yang berlaku terhadap bani Israel. Bila kita memahami cerita ini, kita mesti menyedari betapa peluang untuk bertaubat itu masih terbuka yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita umat nabi Muhammad s.a.w tidak seperti umat nabi Musa a.s.

- Walaupun sebegitu keadaannya, harus diingat kematian itu tiada lewat sesaat pun jikalau telah ditetapkan. Maka kembalilah kepada kebenaran secepat mungkin kerana ditakuti kita dimatikan dalam keadaan belum sempat untuk berfikir kepada jalan yang benar.

3. Ayat 64:

- Ayat ini memperlihatkan lagi selepas daripada peristiwa bukit diatas kepala mereka kembali kepada perangai asal mereka iaitu engkar terhadap Allah s.w.t dan kemudian. Sekali lagi al-Quran menyebut peristiwa-peristiwa kemungkiran janji, kejatuhan akhlak, kecuaian serta kelemahan mereka mematuhi perjanjian dengan Allah s.w.t dan melaksanakan tugas-tugasnya, juga kelemahan mereka dihadapan godaan nafsu serta tarikan faedah dunia yang dekat. Walaupun begitu, mereka sekali lagi diselamatkan oleh rahmah Allah s.w.t dan limpah kurniaNya yang besar dimana mereka telah diselamatkan daripada kerugian yang amat besar.

- Kalaulah tidak kerana kurniaan Allah s.w.t keatas mereka dan rahmahNya nescaya jadilah mereka itu dikalangan orang yang rugi. Ini adalah kerana Allah s.w.t boleh menurunkan bala bila-bila masa sahaja tetapi Allah s.w.t juga mempunyai sifat kasihan belas yang terlalu luas dan tidak terhingga.



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 101.

[2] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 292

[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 293

[4] Ini adalah pendapat Sibawaih

[5] Ali Imran, ayat 52

[6] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 295

[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 278.

[8] Akan diterangkan lebih lanjut dalam surah al-Maidah

[9] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 295

[10] al-‘Araf, ayat 171

[11] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 297

[12] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 104.

[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 279-280.

[14] Al-Muzammil, ayat 5

[15] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 147

No comments: