بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 52:
- Ayat ini menjelaskan kurniaan Allah s.w.t keatas kaum bani Israel iaitu merupakan pengampunan diatas kesalahan mereka menyembah anak lembu, dan dinamakan al-‘ijil kerana liisti’jalihim (tergesa-gesa) dalam ibadah[1]. iaitu pekerti buruk mereka sepertimana yang disebutkan dalam ayat 51 sebelum ini.
2. Ayat 53:
- Maka setelah selesai nabi Musa bermunajat kepada Allah s.w.t, seterusnya Allah s.w.t mengurniakan kepada mereka kitab Taurat sebagai prinsip dan pengajaran kepada mereka untuk membezakan yang mana benar dan yang mana batil atau yang merupakan petunjuk dan mana yang sesat.
- Tetapi apabila nabi Musa a.s balik semula ke kaumnya dalam keadaan bersyukur kepada Allah s.w.t kerana menerima kitab Taurat, tiba-tiba beliau menerima berita yang amat mendukacitakan iaitu bani Israel telah menyembah patung anak lembu sepeninggalannya. Bertapa nabi Musa a.s kecewa dan marah yang amat sangat[2] sepertimana firmanNya[3]:
فَرَجَعَ مُوسَى إِلَى قَوْمِهِ غَضْبَانَ أَسِفاً قَالَ يَا قَوْمِ أَلَمْ يَعِدْكُمْ رَبُّكُمْ وَعْداً حَسَناً أَفَطَالَ عَلَيْكُمْ الْعَهْدُ أَمْ أَرَدْتُمْ أَنْ يَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبٌ مِنْ رَبِّكُمْ فَأَخْلَفْتُمْ مَوْعِدِي (86)
Maksudnya: Maka kembalilah Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita. Dia berkata: Wahai kaumku! Bukankah tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan perjanjian yang baik? apakah terasa lama masa yang berlalu bagi kamu atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan daripada Tuhan kamu lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku.?
- Mengikut riwayatnya, sekembalinya nabi Musa bersama 70 orang pilihannya, didengari suara riuh rendah dari sekumpulan orang ramai yang menari-nari disekeliling patung anak lembu. Lalu nabi Musa a.s pun berkata: “Inilah suara yang membawa fitnah”. Mengikut al-Qurtubiy dalam tafsirnya beliau berkata: Manakala Imam Abu Bakar al-Torsyusyi ditanya orang dan diminta fatwanya mengenai satu jamaah yang banyak membaca zikir dengan menyebut nama Allah dan RasulNya kemudian memukul-mukul semacam gendang dengan palu, dan setengahnya pula menari-nari dan merasa sangat seronok sehingga jatuh pengsan tidak sedarkan diri dan selepas itu mereka menjamu makan, adakah menghadiri majlis seperti itu hukumnya harus ataupun tidak? Maka dijawab olehnya: “Inilah dia mazhab ahli sufi yang tidak ada kerja, jahil dan sesat. Tiada yang lain pengajaran Islam itu ialah berpandukan kitab Allah dan Sunnah Rasullullah s.a.w.” Kemudian diterangkannya: “Bahawasanya perbuatan tari-menari dan berseronok itu, mula-mula yang menciptanya ialah kaum Thamiri yang mengambil anak lembu sebagai tuhan dan mereka memujanya dengan berdiri, menari-nari dan berseronok. Itulah agama orang-orang kafir penyembah anak lembu. Adapun gendang pula, mula-mula yang menciptanya ialah kaum zindiq (berpura-pura iman padahal kafir), mereka memukul gendang untuk melalaikan umat Islam dari berpegang dengan kitab Allah”. Seterusnya Imam Abu Bakar menerangkan lagi : “Adapun tentang majlis Nabi Muhammad s.a.w dengan sahabat-sahabatnya, adalah dalam suasana sopan seolah-olah kepala mereka dihinggapi burung kerana khusyu’nya. maka sepatutnya pihak pemerintah atau wakilnya menegah tari-menari dan memukul gendang, jangan dibiarkan hadir dalam masjid atau selainnya. Dan tidak dibenarkan seorang pun yang beriman dengan Allah s.w.t dan hari akhirat turut hadir bersama mereka, atau menolong mereka diatas perbuatan yang salah. Demikianlah Mazhab Imam Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’e dan Ahmad bin Hanbal serta lain-lain Imam kaum muslimin.”[4]
- Adakah 40[5] hari itu terlalu lama bagi mereka untuk menunggu kedatangan kitab Taurat sehinggakan mereka sanggup menyalahi dan melupakan perjanjian teguh dengan agama mereka. Atau memang mereka sengaja mencari jalan supaya turunnya kemurkaan Allah s.w.t dan seksaanNya keatas mereka disebabkan perbuatan menyembah anak lembu itu dan berlaku kufur terhadap Allah s.w.t
- Mengikut riwayatnya, dengan marahnya nabi Musa a.s memegang kepala nabi Harun sambil menyoal mengapa dibiarkan bani Israel menyembah lain daripada Allah s.w.t, sepertimana firmanNya[6]:
قَالَ يَا هَارُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوا (92) أَلاَّ تَتَّبِعَنِي أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي (93) قَالَ يَبْنَؤُمَّ لا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلا بِرَأْسِي إِنِّي خَشِيتُ أَنْ تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي (94)
Maksudnya: “Musa berkata: Wahai Harun, apakah yang menghalang kamu ketika engkau melihat mereka sesat. Daripada menurutku? adakah engkau engkar akan suruhanku?. Harun menjawab: Wahai anak ibuku! Janganlah engkau memegang janggutku dan kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku, Engkau telah memecah belahkan kaum bani Israel sesama sendiri dan engkau tidak memelihara amanatku”
- Kalau diperhatikan jawapan nabi Harun a.s diatas, jelas menggambarkan sikap kasar nabi Musa a.s terhadapnya tidak dibalas dengan kasar. Apatah lagi ketika mana rambut dikepalanya ditarik dengan tangan kanannya dan janggutnya ditarik dengan tangan kirinya. Beliau hanya membahasakan nabi Musa itu dengan memanggilnya “ Hai anak ibuku” Padahal kedua-duanya adalah adik beradik. Hal ini demikian untuk menarik perhatian nabi Musa a.s supaya mempunyai sedikit perasaan kasihan iaitu satu sifat biasanya terdapat pada seorang ibu[7]. Ditambah lagi beliau adalah seorang abang, tentulah menaruh lebih kesabaran dan menjelaskan bahawa beliau tidak menderhakai perintahnya atau cuai di dalam tugasnya.
- Inilah dalil harusnya berijtihad[8] sepertimana kenyataan nabi Harun a.s bahawasanya tindakan beliau sebegitu kerana khuatir terjadinya perpecahan diantara yang menyembah lembu dan yang tidak menyembah seterusnya akan berlakunya perang saudara dan akibatnya beliau pula akan dituduh oleh adiknya sebagai penyebab bagi perkara itu. Dan juga beliau khuatir akan dituduh sebagai penyebab mengingkari wasiat adiknya agar menjaga bani Israel dan berlaku baik terhadap mereka. Sememangnya nabi Harun juga melarang kaum bani Israel terhadap perbuatan mereka, tetapi disebabkan ketegasan nabi Harun tidak sehebat nabi Musa, kaum bani Israel tidak mengendahkan amaran beliau, sepertimana firmanNya[9]:
وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَارُونُ مِنْ قَبْلُ يَا قَوْمِ إِنَّمَا فُتِنتُمْ بِهِ وَإِنَّ رَبَّكُمْ الرَّحْمَنُ فَاتَّبِعُونِي وَأَطِيعُوا أَمْرِي (90) قَالُوا لَنْ نَبْرَحَ عَلَيْهِ عَاكِفِينَ حَتَّى يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَى (91)
Maksudnya: Sesungguhnya, Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu, Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu dan sesungguhnya Tuhan kamu adalah Allah yang Maha Pemurah, oleh itu ikutlah aku dan taatlah akan perintahku. Mereka menjawab: Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, kami tetap menyembahnya hingga Musa kembali kepada kami.
- Kesimpulan daripada kata-kata nabi Harun itu merupakan suatu nasihat yang amat baik. Mula-mula kaumnya ditegur kerana tersalah jalan sehingga tersesat menjadi kufur apabila menerima ujian dengan kata-kata (sesungguhnya kamu diuji). Nasihat sebegini adalah untuk dihilangkan segala halangan ditengah jalan yang merintangi i’tiqad dan kepercayaan. Kemudian mereka diseru supaya mengenal Allah s.w.t dengan kata-kata (Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan yang maha Pengasih). Bermaksud mengajak mengenal Allah dengan menyebut sifatNya[10] kerena itulah yang paling penting dalam memberi nasihat. Kemudian mereka diseru supaya mengenal akan nabi yang diutus kepada mereka dengan kata-kata (oleh itu ikutlah aku). Dan akhirnya mereka diseru supaya kembali kepada syari’at, yakni agama yang dibawanya untuk disampaikan kepada mereka dengan kata-kata (dan patuhlah kepada perintahku). Tetapi sayangnya semua aturan nasihat yang amat baik ini ditolak mentah-mentah oleh sebahagian besar kaum bani Israel. Lalu nabi Harun pun menyisihkan diri daripada mereka bersama kumpulan bani Israel yang masih patuh kepadanya lebih kurang 12,000 orang.
- Lalu nabi Harun pun menceritakan perkara yang sebenarnya berlaku. Nabi Musa a.s pun melepaskan nabi Harun a.s dan terus menerkam kepada Musa al-Thamiri. Dan setelah Musa al-Thamiri menerangkan perbuatannya, nabi Musa a.s memerintahkan beliau supaya menjauhkan dirinya dan jangan seorang pun bercampur dengan beliau sepertimana firmanNya[11]:
قَالَ فَاذْهَبْ فَإِنَّ لَكَ فِي الْحَيَاةِ أَنْ تَقُولَ لا مِسَاسَ وَإِنَّ لَكَ مَوْعِداً لَنْ تُخْلَفَهُ وَانظُرْ إِلَى إِلَهِكَ الَّذِي ظَلَلْتَ عَلَيْهِ عَاكِفاً لَنُحَرِّقَنَّهُ ثُمَّ لَنَنسِفَنَّهُ فِي الْيَمِّ نَسْفاً (97)
Maksud: Musa berkata kepada Thamiri: pergilah kamu, kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu dalam kehidupan dunia ini mengatakan: janganlah menyentuhku, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan lihatlah kepada tuhan kamu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menabur serbuknya di laut sehingga lenyap.
- Walaupun didunia ini boleh juga Musa al-Thamiri ini berkata “jangan campur urusanku”. Dan jangan dilupa juga hukuman yang dijanjikan didunia mahupun diakhirat nanti. Adalah diriwayatkan Musa al-Thamiri telah melarikan diri, lalu merayau-rayau dipadang belantara hidup bersama-sama binatang liar dan terasing tidak bercampur dengan manusia[12]. Dan sebelum nabi Musa menghalau al-Thamiri dia juga mengatakan agar al-Thamiri melihat kepada patung anak lembu rekaan beliau yang selama ini beliau asyik dengan memujanya. Hal ini demikian agar beliau dapat memastikan bahawa apa yang beliau lakukan itu adalah salah dan tiada kebenaran langsung. Oleh itu, perkara yang salah patut dimusnahkan agar tidak menjadi fitnah yang akan menyesatkan kepada generasi yang akan datang. Dan sejurus selepas itu, terus dibakar patung itu kedalam api dengan mengikirnya halus-halus supaya menjadi habuk. Setelah itu terus dibuang dengan menaburkannya melalui angin kedalam laut, agar tidak ada lagi bekasnya yang akan tinggal.
3. Ayat 54:
- Ayat ini menjelaskan bahawa kaum bani Israel yang murtad menyembah anak lembu diperintahkan oleh Allah s.w.t supaya bertaubat kerana telah murtad (yakni keluar dari agama mereka). Bagaimana cara bertaubat mengikut syari’at nabi Musa?. Caranya ialah : “Bunuhlah diri kamu sendiri” yang mana hukuman itu sesuai dengan kejahatan yang dilakukan oleh mereka[13]. Mereka baru sahaja diselamatkan oleh Allah s.w.t daripada fir’aun dengan cara yang menakjubkan, tiba-tiba mereka terus menderhaka kepada Allah s.w.t. Ini menggambarkan kaum bani Israel dalam hal ini tidak cukup bertaubat dengan memohon ampun daripada Allah s.w.t tetapi mereka dihukum dengan hukuman yang sepadan dengan dosa yang dilakukan oleh mereka.
- Mengikut riwayatnya hukuman ini dilaksanakan dalam satu peperangan yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t. Ada riwayat yang mengatakan yang tidak menyembah anak lembu memegang senjata lalu membunuh mereka yang menyembah lembu yang tidak bersenjata[14]. Mereka pada mulanya nampak ada mempunyai perasaan belas kasihan, pandang-memandang serta pilih-memilih kerana ada diantara yang mesti dibunuh itu adalah anak atau pun bapa, adik atau pun saudara serta kawan atau pun jiran sekaligus menimbulkan kesulitan bagi mereka untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t.
- Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa yang menyembah dan yang tidak, kesemuannya terkena hukuman yang sama[15]. Ini adalah kerana yang tidak menyembah dikena hukuman juga disebabkan mereka berdiam diri, tidak menegur mereka yang menyekutukan Allah dengan patung tersebut sepertimana firmanNya[16]:
كَانُوا لا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (79)
Maksudnya: “Mereka antara satu sama lain tidak pernah menegah tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan”
- Mereka berdiam diri terhadap kemungkaran tersebut. Mereka tidak bersetuju tetapi hanya sekadar benci didalam hati sahaja. Mereka berdiam diri terhadap kemungkaran yang dilakukan itu kerana mereka menjadikan keluarga sebagai asas kepada tidak perlunya sebarang pencegahan atau larangan terhadap perbuatan tersebut[17]. Disebabkan itu kita dapati dalam sebuah hadith, Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa dikalangan kamu yang melihat perkara mungkar hendaklah mengubah dengan tangannya, kalau tidak berkuasa mengubah dengan tangan, maka dengan lidah, kalau tidak berkuasa dengan lidah maka benci di dalam hati.” (Mengikut riwayat lain ada tambahan iaitu “dan tiada selepas daripada itu iman walaupun sebesar biji sawi.”) Ertinya kalau tiada langsung perasaan benci dalam hati bermakna bersetujulah dengan kemungkaran yang berlaku.
- Berhubung dengan arahan mencegah kemungkaran ini, ada ulama’ menafsirkan “mengubah dengan tangan” ini ialah mengubah dengan kuasa kerajaan terhadap rakyatnya. Bila kerajaan itu melihat kemungkaran berlaku, maka wajib mengubah kemungkaran tersebut dengan kuasa yang ada padanya.
- Kalau tidak berupaya dengan tangan, maka hendaklah mencegah dengan lidah. Ini adalah tanggung-jawab dan kewajipan para ulama’ yang tahu tentang hukum Allah s.w.t. Mereka sepatutnya tidak boleh berdiam diri atau sekadar benci di dalam hati sahaja. Yang mencegah didalam hati adalah selayaknya bagi orang awam yang tidak tahu berhujjah dengan orang yang terlibat dalam kemungkaran. Kalau pandai berhujjah dengan ilmu yang ada, maka menjadi kewajipan kepada orang berkenaan mencegah dengan lidah.
- Berilmu disini bukan beerti menimba ilmu sebanyak-banyaknya sehingga bertaraf ulama’ atau sampai keperingkat dapat menafsirkan al-Qur’an, tahu menguasai bahasa Arab sehingga dapat membezakan hukum-hakam al-Quran dengan jelas barulah boleh kita berhujjah dengan manusia. sekurang-kurangnya kita boleh memberi nasihat mengikut kadar ilmu masing-masing termasuk melalui lisan dan penulisan. Kalau tidak mampu dengan itu, barulah wajib benci di dalam hati. Umpamanya tiada daya dan kemampuan dengan kuasa dan lidah kita boleh menyuarakan penentangan terhadap kemungkaran dengan bermacam-macam kaedah. Antaranya kita boleh melakukan pemulauan, tidak menegur mereka yang terlibat di dalam kemungkaran atau seumpamanya yang menunjukkan kita tidak bersetuju dengan kemungkaran yang dilakukan. Inilah dia cara yang diajar oleh Islam melalui Rasullullah s.a.w.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata “Disamping merupakan hukuman tebusan dosa, ia juga merupakan suatu pendidikan untuk membetulkan tabiat mereka yang jatuh begitu rendah dan kosong ketika itu iaitu tabiat tidak dapat melarang dan menahan satu sama lain dari kejahatan dan kemungkaran. Andainya mereka dapat menahan satu sama lain dari kemungkaran semasa ketiadaan nabi Musa a.s, tentulah mereka tidak menyembah patung anak lembu. Dan oleh kerana mereka tidak dapat menahan satu sama lain dengan perkataan, maka hendaklah mereka menahan satu sama lain dengan mata pedang dan membayar cukai yang berat yang akan member manfaat dan didikan kepada mereka[18].”
- Maka bagi mengatasi masalah belas kasihan itu, Allah s.w.t telah menyelubungi mereka dengan awan yang tebal hinggakan mereka berada didalam kegelapan, lalu berbunuh-bunuhlah mereka sesama sendiri dari pagi membawa ke petang sehingga banyaknya nyawa terkorban mengikut riwayatnya lebih kurang 70,000 orang kesemuanya[19]. Melihat yang demikian, nabi Musa a.s menangis meratapi nasib kaumnya, memohon belas kasihan kepada Allah s.w.t diatas malapetaka yang ditimpa keatas umatnya. Maka Allah s.w.t menghilangkan kegelapan awan sekaligus dihentikan perbunuhan lantas berkata kepada nabi Musa a.s dengan firmanNya yang bermaksud: “ Tidakkah engkau suka dan redha, orang yang membunuh dan yang terbunuh itu kesemuanya aku masukkan kedalam syurga? Orang yang terbunuh mati syahid dan orang yang masih hidup diampunkan dosanya?” Apabila menerima wahyu ini nabi Musa berasa lega dan bersyukur kerana Allah s.w.t telah menerima taubat umatnya. Tiada ia memohonkan ampun, hanyalah semata-mata kerana kasihkan umatnya. Dan mereka diselamatkan oleh rahmah Allah s.w.t setelah menjalani pembersihan tersebut sebagaiman firmanNya:
فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
[1] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 270
[2] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 2, mk 378
[3] Taha, ayat 86
[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 16, mk 199-200
[5] Mengikut pendapat kebanyakkan al-Mufassirin yang dimaksudkan 40 hari ini adalah dibulan Zu al-Qa’idah dan sepuluh hari daripada bulan Zi al-Hijjah. Lihat Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 162
[6] Taha, ayat 92-94
[7] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.3, mk 155
[8] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 2, mk 380
[9] Taha, ayat 90-91
[10] Menyebut sifat Allah ini bermaksud menyebut dengan mengetahui maksudnya kerana merujuk kepada ayat ini jikalau mereka telah tersesat jalan dan mahu bertaubat nescaya mereka akan bertaubat kerana mereka faham akan sifat Allah itu penerima taubat dan maha Pengasih. Sila lihat Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 16, mk 199-206
[11] Taha, ayat 97
[12] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 16, mk 210. Terdapat juga riwayat yang mengatakan Musa al-Thamiri disembelih oleh nabi Musa a.s dan dicampakkan kedalam laut sebagai hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.
[13] Berlainan dengan syari’at Nabi Muhammad s.a.w yang mana jauh lebih ringan iaitu orang yang sudah murtad diberi kesempatan lagi untuk bertaubat dengan tidak serta-merta dihukum bunuh. Ada 4 syarat bertaubat dalam syari’at Islam: Pertama, bertaubat dengan menarik diri dari dosa yang dilakukannya. Kedua, menyesali akan dosanya. Ketiga: bercita-cita tidak akan kembali melakukannya. Keempat: Masa bertaubat itu hendaklah jangan luput (jangan pada masa nyawanya hendak tercabut baharulah hendak bertaubat.)
[14] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 273
[15] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 89
[16] Al-Maidah, ayat 79
[17] Berkemungkinan hujjah mereka “ bagaimana mahu menentang mereka kerana mereka adalah puak kita. kalau fir’aun yang melakukannya barulah boleh kita menentang. Ini bukan fir’aun tetapi ini adalah bani Israel, orang kita.” kalau dikaitkan denagn orang melayu pula , kita mungkin akan berkata “ tidak boleh menentang orang melayu sebab mereka sebangsa dengan kita (walaupun terang-terang melakukan kemungkaran) , lainlah kalau mereka bangsa asing” Maka serupa jugalah seperti perangai bani Israel, mereka berdiam diri apabila mereka melihat kemungkaran itu berlaku dalam keluarga mereka.
[18] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 261.
[19] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 89
No comments:
Post a Comment