Monday, May 30, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 35-37)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 35 & 36 :

- Tiada khilaf dikalangan ulama selepas iblis kufur terhadap Allah s.w.t, Allah jauhkan iblis daripada syurga. Seterusnya Allah s.w.t meletakkan nabi Adam a.s dan pasangannya Hawa di dalam syurga dan memerintah keduanya supaya mereka tinggal di dalamnya serta makanlah dengan sepuas-puasnya di dalam syurga ini kecuali pokok kayu ini. Jangan kamu hampiri pokok kayu ini.

- Terdapat kekhilafan dikalangan ulama tafsir tentang pengertian “janganlah kamu berdua menghampiri pokok kayu ini”, ada ulama berpendapat jangan makan hampir dengan pokok kayu ini kerana perbuatan demikian akan membawa kepada memakan buah-buahan pokok kayu tersebut.

- Sebahagian ulama pula menafsirkan yang dimaksudkan dengan hampir itu ialah hampir yang sebenarnya. Bermaksud hampir pun tak boleh apatah lagi memakan buahnya.

- Dikalangan mufassirin juga berselisih pendapat tentang apakah dia pokok kayu itu[1]? Allah s.w.t Cuma mengatakan pokok dan jangan hampiri pokok ini. Itu sahaja yang diberitahu oleh Allah s.w.t maka cukuplah sebegitu sahaja bagi kita untuk mempercayainya. Tidak wajib kita mengetahui apa nama pokok tersebut dan kita serahkan sahaja kepada Allah s.w.t

- Ada ulama’ mengatakan pokok kayu itu adalah pokok anggur, ada yang mengatakan pokok yang jenis bertangkai sperti pokok padi, gandum dan seumpamanya. Tidak ketinggalan juga yang mengatakan pokok tin[2].

- Larangan menghampiri pokok tersebut adalah ujian pertama daripada Allah s.w.t kepada manusia yang pertama iaitu nabi Adam a.s. Mengikut apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Tobari, iblis ini mencuba untuk masuk ke dalam syurga. Usaha iblis terhalang disebabkan ada malaikat yang menjaganya, lalu iblis mencari helah yang lain dalam usaha untuk memasuki syurga dalam misi menggoda Adam dan Hawa.

- Mengikut riwayatnya, iblis mengadakan pakatan dengan ular, iaitu sejenis binatang yang memang ada dalam syurga dengan masuk kedalam mulut ular lalu dibawa masuk ke syurga tanpa disedari oleh para malaikat yang menjaga[3].

- Yang mula-mula ditipu adalah hawa dengan memberi ucapan-ucapan yang menarik sepertimana disebut dalam al-Quran[4] :

هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لا يَبْلَى

Maksudnya: adakah kamu suka kalau aku tunjukkan akan pokok kayu yang boleh mengekalkan kamu selama-lamanya di dalam syurga dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?

- Pada awalnya Nabi Adam a.s tidak terpedaya, Cuma Hawa sahaja yang pertama memetik buah kayu tersebut lalu memakannya[5]. Lalu hawa mengatakan kepada Adam a.s bahawa apa yang dimakan itu tidak memberi kesan apa-apa. Selepas itu Adam a.s pula yang memakannya lalu berterbanganlah pakain-pakain yang ada pada tubuh badan mereka[6] apabila mereka dimurkai olah Allah s.w.t

- Maka berlakulah apa yang telah ditakdirkan akibat daripada penipuan yang dilakukan oleh iblis yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Dan Allah seperti firmanNya dalam ayat 36 ini memerintahkan kepada semua yang terlibat iaitu Adam a.s, Hawa, iblis dan ada pendapat yang mengatakan sekali dengan ular keluar dari syurga dan dihantar keatas muka bumi. Allah s.w.t juga mengatakan bahawa mereka akan bermusuhan antara satu sama lain dan bumi itu kan manjadi tempat mereka menetap serta mencari kehidupan sehingga beberapa masa sahaja (إِلَى حِينٍ )

- Sebahagian ulama mengatakan maksud beberapa masa itu ialah hingga mati dan ada setengah ulama pula mengatakan sehingga hari qiyamat[7]. Kedua-dua penafsiran ini semuanya betul dan boleh dipakai. Dengan ini bolehlah difahami bahwa Allah s.w.t menjadikan dunia ini penuh dengan kenikmatan tetapi kenikmatan tersebut adalah kenikmatan yang sementara sahaja.

- Timbul pula persoalan adakah tindakan nabi Adam a.s itu merupakan sikap derhakanya terhadap Allah s.w.t? bagaimanakah pula dengan sifat ‘ismah yang ada pada para-para nabi dan rasul[8]? Jikalau makna ‘ismah ini tidak melakukan kerja dosa, bagaimanakan pula nabi Adam a.s melakukan perbuatan yang telah dilarang oleh Allah s.w.t? tidakkah ia bercanggah dengan sifat para nabi dan rasul?

- Ada 3 pendapat ulama dalam memperjelaskan masalah ini, pertama: ada ulama ynag mengatakan bahwa perbuatan nabi Adam a.s memakan buah kayu terlarang itu adalah sebelum beliau dilantik menjadi nabi. Maka kesalahan tersebut adalah kesalahan sebelum nabi Adam a.s dilantik sebagai nabi.

- Kedua: sebahagian ulama pula mengatakan nabi Adam a.s terlupa sepertimana firman Allah s.w.t yang berbunyi[9]:

وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْماً

Bermaksud: dan sesungguhnya kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia terlupa dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

- Ketiga: ada juga yang mengatakan bahawa nabi Adam a.s tersalah ijtihad kerana berkefahaman bahawa larangan yang Allah s.w.t tersebut merujuk kepada pokok yang berada ditempat yang khusus[10]. Sekiranya ambil ditempat lain tidak mengapa. Justeru orang yang tersalah ijtihad tidak berdosa.

- Maka pendapat yang paling kuat ialah pendapat yang kedua iaitu sebenarnya nabi Adam a.s itu terlupa bukan dengan sengaja, sepertima maksud sebuah hadith daripada Rasullullah s.a.w yang berbunyi:

“Diangkat daripada umatku dengan sebab dia tersalah, terlupa atau dipaksa”

- Berdasarkan hadith diatas ini menjelaskan orang yang terlupa itu tidak berdosa dan hakikatnya lupa yang dilakukan oleh nabi Adam a.s itu adalah kerana sebuah hikmah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Nabi Adam a.s bukannya tempatnya disyurga yang mana syurga itu sebenar-benar tempat tinggal bagi orang muttaqin ialah selepas hari qiyamat. Tugas beliau sebenar adalah menjadi khalifah dimuka bumi ini. Maka Allah s.w.t menjadikan peristiwa memakan buah pokok larangan ini sebagai sebab untuk menghantar nabi Adam a.s ke muka bumi ini untuk melahirkan keturunan yang menjadi khalifah.

2. Ayat 37:

- Lalu nabi Adam a.s menerima beberapa kalimah daripada Allah s.w.t yang mana kalimah tersebut mengandungi makna bertaubat kepada Allah s.w.t. Terdapat beberapa pendapat merujuk kepada kalimah-kalimah tersebut, mengikut apa yang diriwayatkan oleh al-Tha’labi daripada Ibn ‘Abbas kalimah sepertimana firman Allah s.w.t yang berbunyi:

قَالا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ

“wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri maka jika sekiranya Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami nescaya termasuklah kami dalam kalangan orang yang rugi”

- Adapun mengikut riwayat lain yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut ialah ilmu tentang mengerjakan ibadat haji. Begitu juga mengikut riwayat ‘Abd b. Humayd daripada Abdullah b. Zayd makna kalimah tersebut adalah:

“ tidak ada tuhan melainkan Engkau, maha suci Mu wahai Tuhanku dan dengan segala pujiMu, aku telah melaksanakan kerja yang jahat, dan aku telah menzalimi diriku sendiri maka ampunilah dosaku, sesungguhnya Engkau sebaik-baik yang mengampunkan dosa.”

- Inilah diantara kalimah-kalimah yang diajar oleh Allah s.w.t kepada nabi Adam a.s dan apabila nabi Adam melafazkan kalimah-kalimah tersebut Allah telah menerima taubat beliau dan sesungguhnya Allah s.w.t amat pengasih dan penyayang lagi maha menerima taubat hambaNya.



[1] Ini adalah kerana Allah s.w.t tidak menyebut dengan jelas apakah pokok kayu itu. Cumanya ulama tafsir telah menafsir berdasarkan kepada beberapa riwayat yang diterima oleh mereka samada daripada ahli Kitab, kitab-kitab zaman dahulu ataupun daripada ijtihad mereka sendiri.

[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 141

[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi (Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Takwil) (1999), J. 1, mk 82. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 214

[4] Toha, ayat ke 120.

[5] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 142

[6] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 66.

[7] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 220

[8] ‘Ismah bermaksud sunyi daripada dosa kecil dan besar. Ada ulama yang menambah sifat ini kepada 4 sifat para nabi dan rasul yang telah sedia ada iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

[9] Toha, ayat 115

[10] Ada riwayat yang mengatakan pokok tersebut tumbuh juga ditempat lain.

No comments: