Isti’azah
Allah swt berfirman [1]:
فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
(Apabila kamu membaca Al-Qur’an hendaklah kamu beristi’azah (meminta perlindungan) kepada Allah dari syaitan yang terkutuk)
Beristi’azah maksudnya mengucapkan
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Ataupun yang seumpama dengannya
الشيطان
Pembangkang yang teramat angkuh dan sombong. Berasal daripada kata kerja “syathona” yg bererti jauh dan makin jauh.
Berkata al-Qurtubi[2]: Disebut Syaitan ialah kerana:
1- Jauhnya daripada kebenaran
2- Membangkang terhadap kebenaran
Kedua-dua sifat ini termasuklah jin dan manusia. Maka Syaitan, tidak khusus bagi bangsa jin sahaja, melainkan dikenakan juga kepada bangsa manusia sepertimana firman Allah swt[3]:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّاً شَيَاطِينَ الإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُوراً وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
Surah al-Fatihah
Sebahagian ulama’ mengatakan turun di Madinah dan sebahagian lagi mengatakan turun di Mekah. Dan secara tepatnya surah ini turun di Mekah dan Madinah. Diturunkan di Mekah ketika arahan kefarduan solat kemudian turun di Madinah ketika arahan pertukaran qiblat ke Ka’bah[4]. Sepakat ulama’ mengatakan ayatnya 7, Cuma mereka berselisih ditempat fawasilnya sahaja. Mempunyai berbagai gelaran antaranya Umm al-Quran[5], al-Kanz[6], al-Syifa’[7],al-Mathani[8], al-Asas[9] dan banyak lagi.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Qurra’ dari Madinah, Basrah dan Syam berpendapat basmalah bukan daripada al-Fatihah dan juga bukan daripada mana-mana surah yang lain dan inilah pegangan mazhab Abu Hanifah r.a.[10] Dan qurra’ di Mekah dan Kufah sahaja yang mengira basmalah adalah satu ayat daripada al-Fatihah dan inilah yang dipegang oleh mazhab al-Syafie r.a
Berasal daripada firman Allah swt[11]:
إِنَّهُ مِنْ سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Sabda Rasullullah s.a.w[12]:
كل أمر ذى بال لا يبدأ فيه ببسم الله فهو أقطع
Penggunaan basmalah secara asasnya ada 5 hukum[13]:
1- Wajib pada Fatihah dalam solat
2- Dituntut kepada perkara yang dititik beratkan oleh syara’, lebih-lebih kepada perkara-perkara yang penting seperti yang dianjurkan oleh hadith diatas. Kecuali basmalah ini tidak dituntut oleh syara’ ketika memulakan azan dan khutbah.
3- Haram kepada perkara yang haram
4- Makruh kepada perkara yang makruh
5- Harus kepada perkara yang harus
الْحَمْدُ
-al-Hamd lebih luas maknanya dari al-Syukr. Al-Hamd fungsinya memberi makna keseluruhan pujian itu terhadap Allah swt, manakala al-Syukr diucapkan kerana sesuatu nikmat yang diperolehi.
-al-Hamd atau pujian dilakukan dengan ucapan lisan, sedangkan al-Syukr dinyatakan dengan hati, lisan dan anggota badan.
رَبِّ
-Pengatur hal ehwal makhluknya dan Dialah yang mengasuh dan mendidik mereka
الْعَالَمِينَ
- bentuk jama’ daripada kata عالم
-Abu Su’ud berkata عالم member erti sebagai pengenal bagi segala sesuatu
-Ibn al-Jauzi berkata menurut ahli bahasa Arab عالم adalah nama bagi semua makhluk dari permulaan kejadiannya sampai kesudahan terakhirnya. Adapun menurut ahli falsafah عالم ialah keseluruhan alam dunia yang dicipta oleh Allah swt seperti bintang dan planet, langit dan bumi dan segala isinya.
-Selanjutnya Ibn al-Jauzi berkata , asal kata عالم adalah dari kata علامة yang bermaksud tanda atau indikasi. Hal ini demikian menunjukkan bahawa segala yang ada di alam wujud ini ada penciptanya yang mengatur lagi maha bijaksana.
الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
-Kedua-duanya berasal dari kata الرحمة
- الرَّحْمَنِ ertinya yang mengurniakan nikmat-nikmat yang besar manakala الرَّحِيمِ ertinya pemberi nikmat yang kecil-kecil.
-al-Khattabi berkata الرَّحْمَنِ beerti yang mempunyai rahmat yang menyeluruh yang meliputi kemua makhluk tidak kira yang mu’min atau kafir, sebaliknya الرَّحِيمِ ia khusus bagi orang-orang mu’min sahaja.
يَوْمِ الدِّينِ
-Bermaksud hari pembalasan dan penganugerahan
نَعْبُدُ
-kami menghambakan, merendahkan diri dan tunduk
اهْدِنَا
-Tunjukkanlah kami jalan yg lurus dan tuntunlah kami ke arahnya[14]
الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
-Agama Islam, jalan yang haq yang dikurniakan kepada mukminin, para-para nabi dan kaum musa sebelum mereka berubah engkar kepada Allah.
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلا الضَّالِّينَ
-Jumhur mengatakan makna الْمَغْضُوبِ merujuk kepada Yahudi[15] dan الضَّالِّينَ merujuk kepada nasara[16].
- Ada pendapat yang mengatakan الْمَغْضُوبِ merujuk kepada kaum musyrikin dan الضَّالِّينَ merujuk kepada kaum munafiqin.[17]
-Jumhur sepakat mengatakan lafaz أمين bukan daripada al-Quran. Bagi hamzah,terdapat dua cara untuk memanjangkannya iaitu dibaca mad dan qasr[18].
[1] Al-Nahl, ayat 98
[2] Al-Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an 1996, J. 1-2, mk 64.
[3] Al-An’am, ayat 112
[4] Al-Nasafi,Tafsir al-Nasafi (Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil) 1999, J. 1, mk 25.
[5] Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, no Hadith 394:
لا صلاة لمن لم يقرأ بأم القرأن
[6] Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Rahawiyah (Faid al-Qadir, J 4, mk 420):
فاتحة الكتاب كنز من كنوز عرشي
[7] Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Sai’d b. Mansur (Faid al-Qadir, J 3, mk 418):
فاتحة الكتاب شفاء من كل داء إلا السام
[8] Maknanya berulang-ulang kerana sentiasa diulang ketika solat
[9] Berdasarkan kata Ibn ‘Abbas r.a:
إذا اعتللت أو اشتكيت فعليك بالأساس
[10] Kerana itulah mereka tidak jaharkan basmalah ketika solat.
[11] Al-Naml, ayat 30
[12] Diriwayatkan oleh Abu Daud dan beliau berkata bahawa hadith ini Hassan.
[13] Al-Durrah al-Yatimah (1998), al-Imam Ahmad Toha al-Hadad, mk 19-20.
[14] Al-Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an 1996, J. 1-2, mk 102.
[15] Berdasarkan firman Allah s.w.t pada ayat 61 (al-Baqarah) dan ayat 112 (Ali Imran) :
وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنْ اللَّهِ
[16] Berdasarkan firman Allah s.w.t pada ayat 77 (al-Maidah):
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيراً وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ
[17] Al-Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an 1996, J. 1-2, mk 104-105.
[18] Mad bermaksud 6 harakat dan qasr bermaksud 2 harakat
1 comment:
salam,mu tlg compile kan semua nota2 mu,,nanti aku nak buat rujukan dan masukkan dlm "buku @kitab2 yg wajib dibaca oleh KAGAT"..
Post a Comment