saya sendiri pernah memohon tauliah utk mengajar sekitar Kuantan...dan urusannya amat mudah sekali ...just isi borang dan hantar je...berikut disertakan pengalaman seorang ustaz di sebuah negeri yang namanya Selangor...
PENGALAMAN DARIPADA USTAZ NAZRI CHIK TERHADAP ISU TAULIAH
Saya adalah pemegang tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor. Tujuan saya memohon kedua-duanya adalah untuk memudahkan urusan dakwah di masjid-masjid dan surau-surau Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
2. Saya memegang tauliah mengajar Wilayah Persekutuan sejak tahun 2002. Setelah mengisi borang dan menghantar salinan Sarjana Muda Syariah ke Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, saya dijemput untuk menghadiri kursus untuk bakal pemegang tauliah tanpa sebarang temuduga. Saya dimaklumkan bahawa temuduga tidak dilakukan kepada graduan universiti dan memadailah menghadiri kursus.
3. Kursus tersebut diadakan di Hotel Ansar, Kota Bharu, Kelantan. Kami seramai 60 orang dibawa menaiki dua bas ke Kota Bharu. Kursus diadakan selama dua hari dan antara yang dibentangkan kepada kami ialah tentang (1) pentadbiran Islam di Malaysia, (2) ajaran-ajaran sesat di Malaysia, (3) JAKIM dan peranannya dan lain-lain. Selepas kursus, kami diberikan sijil dan tidak lama kemudian menerima tauliah yang ditandatangani oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
4. Berbeza pula di Selangor, saya menerima tauliah sejak tahun 2007. Di Selangor, tiada kursus sebelum tauliah diadakan, kecuali temuduga dengan Mufti atau Timbalan Mufti dan kursus-kursus selepas tauliah iaitu program-program anjuran Bahagian Dakwah JAIS yang dimaklumkan dari masa ke semasa untuk meningkatkan pengetahuan para pendakwah. Saya belum berkesempatan untuk hadir ke program-program tersebut kerana halangan kerja, tetapi seingat saya (melalui surat jemputan) program-program tersebut membincangkan metodologi dakwah semasa, kaedah dakwah kepada bukan Islam, aplikasi ICT dalam dakwah dan lain-lain.
5. Semasa temuduga dengan SS Dato’ Abdul Majid Omar, Timbalan Mufti Negeri Selangor, beliau menyatakan kepada saya, “Kami bukannya nak menilai ilmu anta. Tetapi lebih kepada nak berkenalan dengan para pendakwah di negeri Selangor. Maklumlah Selangor ni negerinya luas. Ramai pendatang juga. Bimbang juga pendakwah-pendakwah dari kalangan pendatang Indonesia pun ada, yang entah dimana belajarnya. Orang macam anta, kami tak ragui kemampuan ilmunya. Cuma bila kami buat peraturan, maka eloknya terpakailah buat semua orang.” Selepas itu, sembang-sembang kami lebih kepada perbankan Islam kerana SS Dato’ tahu saya Ketua Jabatan Syariah Bank Islam ketika itu dan beliau pula Ahli Jawatankuasa Syariah, Bank Pembangunan.
6. Kerana itu, bila teman-teman ustaz memaklumkan, “lecehlah nak dapatkan tauliah,” saya tak nampak alasan itu wajar kerana urusannya cukup mudah kecuali kes-kes terpencil yang ada unsur campurtangan politik.
No comments:
Post a Comment