Pandangan Imam Shafie Rahimahullah:
Berkata Imam al-Shafie Rahimahullah (nasir al-sunnah) dalam kitabnya al-Risalah (Hal: 510) yang bermaksud: Tidaklah berijtihad (qiyas) kecuali sesiapa yang mempunyai kemampuan iaitu ilmu mengenai kitabullah samada perkara fardhunya, kesusasteraannya (balaghahnya), nasikhnya, mansukhnya, ‘amnya, khasnya dan panduannya. Dia (mujtahid) berdalilkan pada perkara-perkara yang boleh ditakwilkan dengan sunnah Rasulullah SAW. Sekiranya tidak ada, maka dengan ijma’ al-muslimin. Sekiranya tiada ijma’, maka dengan qiyas.
Kemudian Imam Syafie berkata lagi: Tidaklah boleh untuk sesiapapun berijtihad sehingga ia menjadi alim dengan sunnah-sunnah, perkataan-perkataan Salaf, persepakatan masyarakat dan perbezaan pandangan di kalangan mereka dan mahir bahasa Arab.
Imam Shafie berkata lagi: Tidaklah boleh untuknya berijtihad (qiyas) sehingga dia merupakan seorang yang berakal sehingga boleh membezakan antara yang musytabih, tidak gopoh untuk memperkatakan sesuatu sehingga ia mempastikannnya.
Tambah Imam besar itu lagi: Dia (mujtahid) tidak menolak untuk mendengar pandangan orang yang menyanggahnya kerana kemungkinan melalui mendengar tersebut dapat mengelakkan lupa dan menambah keyakinannya pada perkara yang ia yakin kebenaran.
Tegahan Imam Shafie:
Imam Shafie berkata lagi dalam kitabnya al-Risalah (Hal. 511): Manakala sesiapa yang sempurna akalnya, namun bukan seorang yang berilmu (sebagaimana diperkatakan tadi), tidak halal baginya berijtihad, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui apa yang diijtihadkannya, sebagaimana tidak dibolehkan seorang ahli fiqh memperkatakan mengenai harga dirham walhal dia tidak mempunyai pengalaman di pasar.
Dengan itu benarlah kata-kata Rasulullah: Ulama` adalah pewaris para nabi. Merekalah yang menyambung tugas-tugas masyarakat.
Kesimpulannya, urusan agama ini adalah urusan ulama. Ulama sahajalah yang dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Kebanyakan ajaran sesat dilahirkan apabila dibiarkan orang-orang awam mentafsirkan agama sewenang-wenangnya. Demikian juga aliran sesat menyesat secara taksub pada perkara khilafiyah dalam ibadah diikuti oleh masyarakat awam yang lemah asas agama.
No comments:
Post a Comment