Sunday, November 8, 2009

ISTILAH ILMU AL-QIRA'AT 1 (Makna qira'at)

KEPENTINGAN PENGERTIAN ISTILAH ILMU AL-QIRA’AT

Secara umumnya, sebahagian besar umat Islam khususnya di Malaysia masih lagi tidak menyedari bahawa bacaan al-Qur’an yang mereka baca dan dengar ketika ini sebenarnya mempunyai berbagai-bagai bentuk bacaan dan kesemua bentuk bacaan ini dikenali sebagai ilmu al-Qira’at. Kesemua bacaan ini juga disusun mengikut imam-imam dan seterusnya diperkembangkan oleh pengikut-pengikutnya.

Maka dengan ini, sudah tentulah ilmu al-Qira’at berkait rapat dengan para qurra’ yang telah menghabiskan sebahagian besar usia mereka mengembangkan bacaan al-Qur’an dan hasil daripada usaha mereka yang murni itu diterima tanpa sebarang bangkangan oleh jumhur ‘ulama’ sehinggalah ke hari ini. Bilangan mereka yang terlibat secara langsung dalam menjaga kemurnian kalamullah ini tidak terkira ramainya. Justeru perlu ada satu mekanisma yang boleh membezakan yang mana imam, perawi dan pewaris kepada perawi.

Perbezaan ini penting kerana kekeliruan akan timbul jika berlaku pencampuran atau pertindihan bacaan antara ketiga-tiga tahap bacaan ini. Ini akan membawa kepada jurang perbezaan yang ketara dalam memahami ruang lingkup ilmu al-Qira’at. Dan masalah ini akan bertambah rumit lagi jika tiada inisiatif daripada pihak tertentu mahupun perseorangan untuk menjelaskannya secara terperinci.

Perlu diingatkan bahawa bacaan yang diamalkan oleh sebahagian besar umat Islam di dunia ini khususnya di Malaysia ialah dari riwayat Hafs b. Sulayman yang menjadi perawi kepada gurunya ‘Asim b. Abi Najud.

PENGERTIAN ISTILAH QIRA’AT

Qira’at adalah merujuk kepada setiap bacaan yang disandarkan kepada imam-imam para qurra’. Bacaan ini disepakati oleh semua perawi dan pewarisnya. Ada tujuh imam di sisi al-Shathibi yang terlibat dalam ruang lingkup ilmu al-Qira’at ini sepertimana katanya[1]:

فَمِنهُمْ بُدُورٌ سَبْعَةٌ قَدْ تَوَسَّطَتْ * سَمَاءَ اْلعُلَى وَاْلعَدْلِ زُهْرًا وَكُمَّلاَ

Maksudnya: Di antara mereka (para-para qurra’), terdapat tujuh imam yang dianggap umpama tujuh bulan yang kemasyhurannya menjangkau tingginya langit dan bersinar jelas sifat adil dan sempurna.

Manakala di sisi Ibn al-Jazari pula meningkat kepada sepuluh imam, sepertimana katanya[2] :

وَمِنْهُمْ عَشْرٌ شُمُوْسٌ ظَهَرَا * ضِيَاؤُهُمْ وَفِي اْلأَنَامِ انْتَشَرَا

Maksud: Di antara mereka (para qurra’) terdapat sepuluh imam. Mereka laksana matahari-matahari yang jelas cahayanya dan bertebaran mereka (mengajar) kepada seluruh manusia

Dengan ini, sudah tentu setiap qira’at ini mempunyai perbezaannya, contoh: Membaca dengan mad[3] huruf mim pada kalimah مَالِكِ pada ayat : مَالِكِ يَوْمِ الدِّين

Surah al-FÉtiÍaÍ (1): 5

Bacaan sebegini, mengikut al-Shatibi adalah dari qira’at ‘Asim b. Abi Najud al-Kufi dan al-Kisaei al-Kufi sepertimana katanya[4] :

وَمَلِكِ يَوْمِ اْلدِّيْنِ رَوِيْهِ نَاصِرٌ

Maksudnya : Dibaca dengan mad kalimah ملك pada ayat ملك يوم الدين oleh al-Kisaei dan ‘Asim[5].

Ibn al-Jazari pula menambah seorang lagi imam iaitu Ya’qub al-HaÌrami sepertimana katanya[6]:

مَالِكِ نَلْ ظِلاًّ رَوَى

Maksudnya: Dibaca dengan mad kalimah ملك oleh ‘Asim[7], Ya’qub dan al-Kisaei

Maka dengan ini kesemua perawi dan pewaris perawi yang berada di bawah ketiga-tiga imam ini sahaja yang membaca dengan cara tersebut. Sebaliknya, imam-imam yang lain membaca dengan tanpa mad. Demikianlah perbezaan sesuatu qira’at dengan qira’at yang lain walaupun bacaan imam-imam tersebut kesemuanya berasal daripada apa yang diturunkan kepada Rasullullah s.a.w.



[1] al-ShÉÏibÊ, al-QÉsim b. FÊrruh b. Khalaf b. AÍmad, (1996), ×irz al-AmÉnÊ wa al-Wajh al-TahÉnÊ, (tahqiq: MuÍammad TamÊm al-Zu‘bÊ), cet. 3, MadÊnah al-Munawwarah: Maktabah DÉr al-HudÉ, h.2

[2] al-JazarÊ, MuÍammad b. MuÍammad b. MuÍammad b. ‘Ali b. YËsuf, (1994) Ùayyibah al-Nashr, (taÍqiq: MuÍammad TamÊm al-Zu‘bÊ), MadÊnah: Maktabah DÉr al-HudÉ, h. 32.

[3] Mad di sini bermaksud meletakkan alif selepas huruf mÊm dan dibaca dengan dua harakat. Lihat al- QÉÌÊ, ’Abd al-FatÉÍ, (1999), al-WÉfÊ fi SharÍ al-ShÉÏibiyyah fi al-QirÉ’Ét al-Sab‘, cet. 5, Jeddah: Maktabah al-SawÉdÊ, h.50

[4] al-ShÉÏibÊ, (1996), op., cit., h. 9

[5] Rumuz bagi ‘ÓÎim diwakili dengan huruf nËn pada kalimah nÉÎirun. Ibid., h. 95

[6] al-JazarÊ , (1994), op., cit., h. 38

[7] Rumuz bagi ‘ÓÎim diwakili dengan huruf nËn pada kalimah nal. Ibid., h. 105


2 comments:

Unknown said...

ada kitab qiraat antum jual milik abu ja'far..atau qunbul 'an ibnu katsir..trims hubungi sy via email ..
ammar.jaaz@gmail.com

Unknown said...

ada kitab qiraat antum jual milik abu ja'far..atau qunbul 'an ibnu katsir..trims hubungi sy via email ..
ammar.jaaz@gmail.com