Thursday, November 6, 2008

BIDA'AH HASANAH DAN DHOLALAH?

Dipetik dari Blog al-Fadhil Ust. Mokhtar Senik

KESEPAKATAN ULAMA' TENTANG ADANYA BIDA'AH HASANAH DAN DHOLALAH.

Sebahagian besar ulama, samaada ulama salaf atau Khalaf bersepakat mengenai pembahagian bidaah antara Hasanah dan Dholalah[1]. Orang yang pertama mengatakan demikian ialah Umar r.a;

نعمة البدعة هذه
Sebaik-baik bidaah ialah ini (dirujuk kepada solah Tarawih yang dilakukan oleh para sahabat secara berjamaah)

Para Ulama juga bersepakat bahawa Sabda RasuluLlah saw yang mengatakan; وكل بدعة ضلالة (Dan setiap yang bidaah itu sesat) adalah hadis yang bersifat umum yang perlu ditakhsiskan (dikhususkan).

Tidak ada yang menyanggahi kesepakatan ini kecuali Imam As-Syatiby[2]. Beliau menolak ada pembahagian tersebut. Walaupun begitu beliau menerima bahawa ada antara bidaah itu bidaah yang dituntut samaad dalam bentuk wajib atau sunat. Cumanya beliau tidak menamakan bidaah yang dituntut itu sebagai bidaah, tetapi memasukkannya kedalam katogeri Maslahah al-Mursalah. Kelainan pandangan beliau hanya dari sudut lafaz sahaja. Dengan kata lain beliau tidak menamakan bidaah yang hasanah itu sebagai bidaah tetapi Maslahah.[3]

Imam As-Syafie berkata;
Setiap yang mempunyai sandaran dari sudut syara’ bukannya bidaah yang dicela, sekalipun ianya tidak dilakukan oleh generasi salaf. Mereka tidak melakukannya mungkin kerana;
Terdapat keuzuran atau ketidakmampuan untuk melakukannya.
Ada suatu yang lebih utama untuk dilakukan waktu itu, atau
mungkin amalan tersebut tidak sampai kepengetahuan mereka waktu itu.

Kesepakatan ulama juga disandarkan kepada hujjah bahawa sesuatu yang tidak diamalkan oleh generasi salaf tidak bermakna ianya boleh dihukum haram atau makruh jika melakukannya. Apa yang tidak diamalkan oleh mereka hanya menunjukkan “keharusan meninggalkannya dan tiada halangan untuk melakukannya”. Menghukumkan “haram” atas setiap perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah dan generasi salaf adalah suatu kekeliruan yang besar. Ini adalah kerana tidak semua perkara yang sunat dan harus itu dilakukan oleh Rasulullah saw. Malahan sebahagian perkara sunat sengaja tidak dilakukan oleh Baginda kerana bimbang ianya dianggap wajib oleh ummat, sehingga menjadi kesukaran kepada mereka.

Ibnu Al-‘Arabi berkata;

Bidaah atau Muhdathah (perkara baru yang diada-adakan) itu dicela bukanlah keran namanya atau maknanya. Tetapi ia dicela kerana menyanggahi sunnah. Seketul roti tidak menjadi najis jika diberi nama Tahi, tetapi ia menjadi najis jika roti tersebut sememangnya diadun dari campuran gandum dan tahi.Justeru itu tidak semua perkara baru itu bidaah yang sesat (dholalah)

notakaki

[1] Bidaah yang baik dan bidaah yang dicela.
[2] Pengarang kitab Al-‘Itisam.
[3] Lihat As-Syatiby: al-I’tisam jilid 1 halaman 35-40 dan jilid 2 halaman 311-320.

No comments: