Friday, September 19, 2008

Muqaddimah pembuka minda

PENGENALAN BACAAN

QIRÓ’AT ‘ASYARAH MUTAWÓTIRAH

( Melalui Toriq al-Syathibiyyah & al-Durrah al-MuÌiyyah )

Ilmu Qiraat dianggap asing oleh masyarakat melayu kerana ia tidak diperkenalkan secara meluas di negara kita, sedangkan ia berkembang dengan meluasnya pada zaman Rasullullah s.a.w dan selepasnya. Tetapi hakikatnya, ilmu Qiraat bukannya suatu ilmu yang asing bagi umat Islam di Malaysia, malah al-Qur’an yang dibaca sekarang adalah sebahagian daripada ilmu Qiraat itu sendiri.

Pengajian tilawah al-Quran di Malaysia berjalan seiring dengan perkembangan dakwah Islam yang telah sampai di gugusan nusantara sejak sekian lama dahulu. Ketika itu, pengajian tilawah al-Qur’an hanya diajar oleh para ulama’ dan guru-guru agama melalui institusi pondok, madrasah atau rumah kediaman mereka.

Setelah negara mencapai kemerdekaan sekolah-sekolah rasmi kerajaan pula turut menyediakan pengajian yang berhubung dengan tilawah al-Qur’an dan perkara yang melibatkan ilmu Qiraat tidak di perluaskan. Ini adalah kerana keutamaan dalam mempelajari bacaan al-Quran adalah membaca beserta dengan tajwid dan menjadi kewajipan bagi guru-guru al-Qur’an memberi penekanan serta tumpuan kepada kaedah bacaan al-Qur’an beserta tajwid. Seperti mana yang di utarakan oleh Imam Ibnu al-Jazariy[1] :

والأخذ بالتجويد حتم لازم * من لم يجود القرآن آثم

لأنه به الإلـه أنـزل * وهكذا منه إلينا وصلا

Maksudnya:

Mengamalkan tajwid itu ( ketika membaca al-Qur’an ) satu kewajipan,

Sesiapa yang tidak mengelokkan bacaan (membaca al-Qur’an beserta tajwid) adalah berdosa,

Kerana beserta tajwidlah Tuhan menurunkan alQur’an,

Dan begitulah kepada kita sampainya bacaan.

Justeru itu pengetahuan terhadap ilmu Qiraat ini di ketepikan dahulu agar masyarakat dapat membaca dengan betul sebelum mendalami ilmu Qiraat ini.Di samping itu juga, pengetahuan sebegini sebahagian besarnya hanya mampu di pelajari di Timur Tengah seperti Mesir, Syiria, Arab Saudi dan sesetengah negara arab yang lain maka timbullah masalah kekurangan pakar-pakar yang khusus dalam bidang ini untuk menerangkan kepada masyarakat pengetahuan tentang ilmu ini.

Keghairahan masyarakat Islam di Malaysia mempelajari seni ilmu bacaan al-Qur’an ini semakin meningkat. Ini terbukti dengan adanya sambutan yang menggalakkan terhadap kelas-kelas pengajian al-Qu’ran samada dibawah kerajaan, swasta mahu pun persendirian. Walaupun begitu, sebahagian besar kelas-kelas tersebut masih lagi belum memperkenalkan ilmu Qiraat ini kerana lebih menekankan kepada memperbetul dan memperelokkan bacaan.

Masyarakat Islam di Malaysia mula memahami bahawa bacaan yang mereka pelajari selama ini adalah bacaan daripada riwayat ×afÎ bin SulaimÉn al-KËfiy melalui majlis-majlis dan pertandingan-pertandingan yang melibatkan tilawah al-Qur’an yang sebahagian besarnya menonjolkan identiti bacaan ini sekaligus memperkenalkan kepada masyarakat Islam di Malaysia bahawa bacaan yang dipersembahkan adalah mengikut bacaan riwayat ×afÎ bin SulaimÉn al-KËfiy sepertimana yang mereka amalkan sebelum ini.

Disamping itu, dengan timbulnya beberapa Maahad Tahfiz samada dibawah kerajaan atau pun swasta yang mengambil sukatan pelajaran daripada Universiti Al-Azhar, Kaherah telah membuka sedikit ruang kefahaman masyarakat Islam di Malaysia tentang ilmu Qiraat yang mana sebelum ini pengetahuan sebegitu hanya tertumpu kepada individu-individu tertentu sahaja.

Sukatan pelajaran yang diambil adalah diantaranya mempelajari bacaan Qiraat melalui aliran al-Syatibiyyah dengan menggunakan matan Hirzu al-AmÉni wa Wajhu al-TahÉni. Justeru itu, penggunaan aliran al-Syatibiyyah bagi riwayat ×afÎ bin SulaimÉn al-KËfiy ini semakin popular dan terkenal dengan adanya sistem pelajaran yang sebegini dan ramainya lepasan-lepasan pelajar dari maahad-maahad tahfiz. Hakikatnya, sebelum aliran al-Syatibiyyah ini dikenali oleh masyarakat Islam di Malaysia sememangnya mereka sudah pun membaca mengikut aliran ini tanpa mereka sedari.

Bersama ini di bentangkan definisi Ilmu Qiraat :

i) Nama : Ilmu Qiraat

ii) Definisi : Membincangkan tentang kalimah-kalimah al-Qur’an dan keadaan kalimah tersebut seperti panjang, pendek bacaan serta perubahan yang akan diterangkan selepas ini.

iii) Sumber : Dari sunnah dan ijma’ ulama’

iv) Faedahnya : Memelihara daripada kesilapan ketika menyebut kalimah-kalimah al-Qur’an dan juga menjadi dalil dan hujah kepada fuqaha’ dalam mencari hukum-hukum syara’ sebagai panduan kepada umat Islam.

v) Objektif : Mengetahui bacaan Imam-imam Qiraat sekaligus memahami apakah yang dimaksudkan “ tujuh huruf”

vi) Kelebihan : Semulia-mulia ilmu kerana mempunyai hubung-kait dengan al-Qur’an.

vii) Hukum : Fardu kifayah.

Bilakah timbulnya Qiraat ?

Sesungguhnya Qiraat telah pun wujud pada al-Qur’an semasa di Lauhul Mahfuz yang mana setelah itu diturunkan ke Baitul ‘Izzah di langit dunia, dan kemudian di turunkan secara beransur-ansur kepada Rasullullah s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s.

Ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t telah pun mengetahui bahawa Rasullullah s.a.w akan mengadu dan meminta agar dipermudahkan lagi bacaan al-Qur’an kepada umatnya. Diantara hadis yang menceritakan tentang perkara ini ialah :

حدثنا أحمد بن منيع حدثنا الحسن بن موسى حدثنا شيبان عن عاصم عن زر بن حبيش عن أبي بن كعب قال : لقي رسول الله صلى الله عليه وسلم جبريل فقال يا جبريل :" إني بعثت إلى أميين منهم العجوز والشيخ الكبير والغلام والجارية والرجل الذي لم يقرأ كتابا قط " قال يا محمد : " إن القرآن أنزل على سبعة أحرف .."

رواه الترميذي

Maksudnya :

Daripada Ubai bin Ka’ab berkata : Rasullullah s.a.w berjumpa Jibril lalu bersabda : “ Wahai Jibril, sesungguhnya aku diutuskan kepada umat yang buta huruf diantara mereka lelaki dan perempuan yang tua dan lemah, budak lelaki dan budak perempuan dan juga lelaki yang tidak boleh membaca sedikit pun.” Jibril menjawab : “ Wahai Muhammad, Sesungguhnya al-Qur’an itu diturunkan diatas tujuh huruf.”

Hadis riwayat al-Tirmidzi

Apakah yang dimaksudkan 7 huruf ?

Ibn Hajar al-Askolani berpendapat 7 huruf bermaksud 7 wajah bacaan dan harus membaca mana-mana wajah daripada 7 wajah tersebut. Ada pendapat yang mengatakan huruf dengan makna bahasa iaitu 7 bahasa Arab yang terkenal.[2]Adapun perbahasan makna 7 huruf dikalangan para ulama’ terbahagi kepada beberapa pendapat, sehingga sampai kepada 40 pendapat antaranya :

i) Cegah, suruh, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujjah

ii) Balasan baik dan buruk, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujjah.

iii) 7 bahasa : Quraisy, Yaman, Jarham, Hairizam, Qurda’ah, Tamim, Thoyy.

iv) 7 bacaan yang disandarkan kepada Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Mas’ud, Ibnu ‘Abbas dan Ubay bin Ka’ab.

Dan pendapat yang paling tepat disisi jumhur ulama’ ialah pendapat daripada Imam ar-Razi r.a iaitu :

1) Perselisihan pada ifrad, muthanna, jama’, tazkir dan ta’nis, contoh:

Kalimah [3] رسالة lafaz ini adalah mufrad dengan makna satu risalah. Terdapat juga qiraat lain yang membaca dengan lafaz jama’ رسالات yang membawa maksud risalah-risalah.

2) Perselisihan pada tasrif fi’el madhi, mudhori’ dan amar, contoh :

Kalimah [4] واتخَذوا lafaz ini fi’el madhi dengan makna kamu telah mengambil. Terdapat qiraat lain yang membaca dengan lafaz fi’el amar واتخِذوا dengan makna kamu hendaklah mengambil.

3) Perselisihan pada wajah-wajah i’rab, contoh: kalimah [5] آدمُ dibaca dengan baris hadapan pada huruf mim menjadikannya faa’el iaitu yang membuat. Terdapat qiraat lain membaca dengan baris آدمَ atas pada huruf mim menjadikannya maf’ul iaitu terkena perbuatan itu keatasnya.

4) Perselisihan pada pengurangan dan penambahan, contoh: kalimah [6] ملك ditulis tanpa alif selepas huruf mim. Terdapat qiraat lain yang menambah alif ملك selepas huruf mim.

5) Perselisihan pada ta’dim dan ta’khir, contoh : kalimah [7] وقَتلوا وقُتلوا .Terdapat qiraat lain yang menukarkan kalimah yang didepan kebelakang. وقُتلوا وقَتلوا

6) Perselisihan pada ibdal , contoh: kalimah يَقُصُّ[8] huruf ص pada kalimah tersebut ditukarkan kepada huruf ض pada qiraat yang lain.

7) Perselisihan pada sebutan bahasa, contoh : Fathah, imalah, taqlil, tebal,nipis, idghom, izhar,dan sebagainya yang mana sebahagiannya telah pun diperjelaskan dalam kitab tajwid.

Mengapakah Rasullullah tidak menerangkan makna ahrufu sab’ah?

Sesungguhnya tidak terdapat dalam hadis bahawa Rasullullah s.a.w menerangkan makna ahrufu sab’ah. Kemungkinan para sahabat telah maa’ruf dan maklum tentang perkara tersebut sehinggakan mereka tidak berhajat kepada penerangan. Maka dengan sebab itulah kita dapati tiada hadis dan riwayat yang menyatakan bahawa Rasullullah s.a.w pernah ditanya, ataupun menerangkan tentang perkara ini.

Dan sepanjang kajian yang telah di buat oleh ulama’ masih belum menjumpai mana-mana kitab yang menyatakan bahawa Rasullullah s.a.w menerangkan tentang apakah makna ahrufu sab’ah.

Nama-nama Imam Qiraat yang terdapat dalam kitab Hirzu al-AmÉni wa Wajhu al-TahÉni :

i) NÉfi’ al-Madaniy

ii) Ibn Kathir al-Makkiy

iii) Abu ‘Amru al-Basriy

iv) Ibn ‘Ómir al-Dimasyqiy

v) ÓÎim al-KËfiy

vi) Hamzah al-KËfiy

vii) Al-KisÉei al-KËfiy

Imam Ibn al-Jazariy menambah 3 lagi Imam sepertimana yang terdapat dalam matan al-Durrah al-MuÌiyyah iaitu:

i) Abu Ja’far al-Madaniy

ii) Ya’qËb al-HaÌramiy

iii) Khalaf al-‘Ósyir al-KËfiy

Setiap Imam mempunyai 2 orang anak murid yang paling masyhur[9].Dan bacaan yang disandarkan kepada anak murid di gelar sebagai riwayat. Sebagai permulaan kelas ini akan dimulakan dengan riwayat anak murid yang pertama bagi Imam NÉfi’ iaitu Riwayat Imam QÉlËn.

Penjelasan makna istilah qiraat, riwayat, turuq.

i) Qiraat ialah bacaan yang disandarkan kepada Imam tersebut samada Imam 7 atau 10.

ii) Riwayat ialah bacaan yang disandarkan kepada anak murid Imam yang disebutkan diatas.

iii) Turuq ialah bacaan yang disandarkan kepada pewaris bacaan anak murid yang disebutkan diatas

Perkembangan bacaan Qiraat seluruh dunia Islam

o Bolehlah disimpulkan sebegini:

Qiraat NÉfi’ bin Abd Rahman melalui riwayat QÉlËn terdapat di Libya dan sebahagian di Tunisia (0.7%). Adapun melalui riwayat Warsy terdapat di Jazair, Maghribi, sebahagian di Tunisia dan sebahagian di Sudan(3%).

Qiraat Abu ‘Amru al-Basriy terdapat disebahagian wilayah di Sudan (0.3%)

Qiraat Ibn ‘Ómir al-Dimasyqiy terdapat di Yaman (1%)

Dan selain daripada itu, kesemuanya mengamalkan Qiraat ‘ÓÎim bin Abi Najud melalui riwayat ×afÎ bin SulaimÉn al-KËfiy.(95%)



[1] Ibnu al-Jazariy, Muhammad b. Muhammad b. Muhammad b. Ali bin Yusuf, Toyyibatu al-Nasyr,

[2] al-Asqolaani, Ibn Hajar, Fathu al-Baari, J. 8 mk.664

[3] al-A’raaf 93

[4] al-Baqarah 125

[5] al-Baqarah 37

[6] al-Faatihah 4

[7] Ali Imran 195

[8] al-An’am 57

[9] dan setiap anak murid mempunyai ramai pewaris yang digelar Turuq

No comments: