Wednesday, June 20, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 151-152)


بسم الله الرحمن الرحيم

1.      Ayat 151
-          Ayat ini masih lagi berhubung dengan ayat  sebelumnya iaitu yang berbunyi:
وَلأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ
Bermaksud: “ Supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepadamu”
Antaranya telah diutuskan seorang rasul iaitu Muhammad s.a.w kepada kamu. Utusan itu juga dibangkitkan dari jenis kamu yang bukan daripada jenis Malaikat supaya kamu lebih mesra dan tidak takut. Dan beliaulah yang akan membaca ayat-ayat kami (al-Quran) sebagai mukjizat yang berkekalan. Beliau jugalah yang membersihkan kamu dari bersifat buruk iaitu bersifat syirik dan membuat dosa sehingga kamu menjadi umat yang bersih budi pekerti dan beradab sopan. Beliau jugalah yang mengajarkan perkara-perkara yang belum kamu ketahui daripada kisah-kisah lampau dan peristiwa yang akan datang.
-          Apa yang menarik perhatian disini adalah ayat ini mengulangi ayat doa nabi Ibrahim a.s sebelum ini ketika beliau membina tapak-tapak  asas Baitullah bersama nabi Ismail a.s yang mana doa itu meminta supaya Allah s.w.t membangkitkan dalam kalangan anak cucunya yang mendiami di kawasan Baitullah seorang rasul daripada kalangan mereka. Doa ini diulang untuk mengingatkan kaum muslimin bahawasanya kebangkitan Rasullullah s.a.w di dalam kalangan mereka dan kewujudan mereka sebagai kaum muslimin itu adalah bukti terkabulnya doa moyang mereka nabi Ibrahim a.s. Dan ini juga membuktikan bahawa status mereka ini bukan perkara yang baru dan begitu juga dengan qiblat mereka yang baru ini bukannya wujud secara mendadak, malah ianya adalah qiblat moyang mereka nabi Ibrahim a.s. Dan begitu jugalah dengan nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka dengan sempurnanya itu adalah tidak lain dan tidak bukan merupakan nikmat yang telah dijanjikanNya kepada Ibrahim a.s sejak dahulu lagi.

-          Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam menafsirkan firman Allah s.w.t[1] yang berbunyi:
كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِنْكُمْ
Bermaksud: “Sebagaimana Kami telah utuskan dikalangan kamu seorang rasul dari golongan kamu”
“Pengiriman rasul dikalangan kamu itu merupakan suatu penghormatan dan limpah kurniaan Allah s.w.t yang besar. Allah telah memilih rasulNya yang terakhir di dalam kalangan kamu sedangkan kaum Yahudi memohon kepada Allah s.w.t agar Allah memberi kemenangan kepada mereka untuk menguasai kamu dengan berkat rasul yang terakhir itu.”
-          Seterusnya Allah berfirman yang berbunyi :
يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا
Bermaksud: “ Yang membaca ayat-ayat Kami kepada kamu”
Ini adalah satu hujah yang cukup jelas bahawasanya ayat-ayat al-Quran yang dibacakan kepada kamu adalah ayat-ayat yang pastinya benar. Ayat ini juga memberi implikasi yang lain iaitu menyedarkan manusia terhadap kebesaran pengurniaan Allah s.w.t yang sudi berbicara dengan para hambaNya dengan kalamNya sendiri yang dibacakan oleh rasulNya kepada mereka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2] : “ Ia merupakan satu pengurniaan yang amat bermakna sekaligus membuat hati terharu apabila mereka menghayati hakikatnya dengan mendalam. Siapakah gerangan diri mereka? siapakah mereka dan apakah mereka? sehingga Allah s.w.t sudi berbicara dengan mereka melalui kalamNya sendiri dan memberi perhatian yang begitu besar kepada mereka? Siapakah mereka dan apakah akan terjadi kepada mereka jika Allah s.w.t tidak memberi limpah kurniaNya kepada mereka dan jika Allah s.w.t sejak awal lagi tidak mengurniakan kepada mereka nikmat tiupan ruh yang melayakkan mereka menerima pengurniaan ini?”


-          Allah s.w.t menyambung kembali firmanNya:
وَيُزَكِّيكُمْ
Bermaksud: “ Dan membersihkan kamu”
Ya’ni jika tidak kerana limpah kurniaaNya, tiada seorang pun dari mereka yang bersih jiwanya dan tiada jiwa yang bersih dan meningkat tinggi. Tetapi Allah s.w.t telah mengutus Rasullullah s.a.w untuk membersihkan jiwa mereka daripada kekotoran syirik, kecemaran jahiliyyah serta kefahaman dan pemikiran yang karut yang membebankan jiwa manusia serta menimbuskannya. Juga untuk membersihkan jiwa mereka dari kekotoran keinginan-keinginan nafsu agar jiwa mereka tidak terhumban ke lembah kehinaan. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3] : “ Orang-orang yang tidak dapat membersihkan jiwa mereka oleh Islam diserata pelusuk bumi dahulu dan sekarang, akan terus jatuh dan bergelumang di dalam paya yang busuk yang penuh dengan penyakit hawa nafsu yang menjatuhkan darjat insaniyyah manusia dan mengangkat darjat haiwan. Malah haiwan jauh lebih bersih dari manusia yang jatuh tanpa iman itu”
-          Ia juga membersihkan masyarakat itu daripada riba dan harta-harta yang haram dari penipuan, perampasan serta rompakan. Semuanya ini merupakan amalan keji yang mengotorkan jiwa dan perasaan serta mencemarkan masyarakat dan kehidupan. Ianya juga membersihkan kehidupan mereka dari kezaliman dan penganiayaan sekaligus menzahirkan keadilan yang bersih dan jelas, iaitu keadilan yang tidak pernah dinikmati manusia sebagaimana mereka nikmati dibawah naungan Islam.
-          Seterusnya firmanNya berbunyi:
وَيُعَلِّمُكُمْ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
Bermaksud: “ Dan mengajar kepada kamu al-Quran dan hikmah”
Ya’ni ayat ini menjelaskan bahawasanya bahan utama yang terkandung di dalam al-Quran adalah hikmah atau kebijaksanaan yang merupakan hasil dari pengajaran al-Quran itu sendiri[4]. Bermakna siapa yang mengikut al-Quran itulah dia orang yang penuh dengan hikmah dan bijaksana. Berkat al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “Hikmah atau kebijaksanaan ini ialah daya kemampuan untuk  meletakkan sesuatu persoalan ditempat yang wajar dan menilai sesuatu dengan neraca yang betul serta memahami  matlamat perintah serta arahan Ilahi. Natijahnya, satu hasil kajian yang matang dapat dicapai oleh mereka yang telah diasuh dan dididik oleh Rasullullah s.a.w yang telah membersihkan jiwa mereka dengan ayat-ayat Allah s.w.t”
-          Dan akhirnya Allah s.w.t mengakhiri firmanNya dalam ayat ini yang berbunyi:
وَيُعَلِّمُكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
Bermaksud: “ Dan mengajar kepada kamu perkara-perkara yang kamu tidak mengetahui”
Ayat ini menunjukkan secara jelas apa yang sebenarnya berlaku kepada umat yang bernama “muslimin”. Mereka sebenarnya “dipungut” oleh Islam dari masyarakat Arab yang jahil, yang hanya mengetahui serba sedikit ilmu pengetahuan yang tidak tersusun dan hanya layak untuk menjalani kehidupan secara berqabilah atau suku kaum dipadang pasir atau dibandar kecil yang terpencil ditengah-tengah padang pasir Sahra’. Tiba-tiba Islam datang membentuk mereka menjadi satu umat yang layak memimpin umat manusia dengan kepimpinan yang bijaksana, lurus dan benar dan dengan kepimpinan yang arif lagi alim. Dan kemudiannya Masjid Rasullullah s.a.w dibacakan al-Quran di dalamnya yang mana merupakan universiti agung yang mengeluarkan angkatan muslimin yang memimpin umat manusia dengan kepimpinan yang bijaksana iaitu satu kepimpinan yang tidak pernah diketahui tolok bandingnya oleh manusia dahulu dan kemudian disepanjang sejarah manusia. Kesemuanya ini tidak akan kesampaian melainkan dengan perantaraan wahyu daripada Allah s.w.t[6].
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [7]: “ Sistem hidup yang telah melahirkan angkatan dan kepimpinan ini masih bersedia untuk melahirkan angkatan-angkatan dan kepimpinan yang sama disepanjang zaman andainya umat muslimin kembali semula  kepada sumber ini dan beriman kepada al-Quran dengan keimanan yang sebenar. Dan andainya mereka menjadikan al-Quran ini sistem dan perlembagaan hidup mereka bukannya menjadikan al-Quran selaku kalimah-kalimah yang didendangkan oleh lisan untuk menghiburkan telinga.”

2.       Ayat 152:
-           Disini, Allah s.w.t mengurniakan kepada kaum muslimin suatu kurniaan yang lain pula, iaitu Allah s.w.t menyeru mereka supaya bersyukur kepadanNya dan mengingat mereka supaya jangan kufur terhadapNya. Ayat ini secara jelas menyuruh kita mengingati Allah s.w.t, dan Allah s.w.t akan mengingati kita. Dan seterusnya menyuruh kita mensyukuri Allah s.w.t, tetapi jangan sekali-kali kufur atau derhaka kepadaNya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[8]: “ Alangkah besarnya limpah kurniaan Allah s.w.t yang Maha Mulia dan Maha Pengasih. Dia menjadikan ingatanNya kepada para hambaNya sebagai balasan atas ingatan mereka terhadapNya di alam mereka yang kecil ini. Apabila para hamba itu menyebut dan mengingati Allah s.w.t, mereka menyebut dan mengingatinya di alam bumi yang kecil ini dan mereka sendiri terlalu kecil dibandingkan dengan bumi mereka yang kecil ini, tetapi apabila Allah s.w.t menyebut dan mengingati mereka, dia menyebut dan mengingati mereka di alam buana yang amat besar ini dan Allah s.w.t bersifat Maha Tinggi  dan Maha Besar. Alangkah besarnya limpah kurnia dan kemurahan Allah s.w.t”
-          Itulah limpah kurnia yang tidak dapat diberikan melainkan hanya oleh Allah s.w.t, Tuhan yang tidak mepunyai pengawal bagi perbendaharaan kurniaNya dan tidak mempunyai jurukira bagi pemberianNya. Itulah kemurahan yang melimpah ruah dari ZatNya yang Maha Tinggi  tanpa sebab dan tanpa yang mewajibkanNya melainkan semata-mata kerana sifatNya memang sebegitu iaitu Dia Maha Pemurah lagi Maha limpah KurniaNya. Tersebut dalam sebuah Hadith Sahih[9], Daripada Abu Hurairah r.a, Rasullullahi s.a.w bersabda: “ Allah berfirman : Wahai anak Adam, jika kamu mengingatiKu di dalam hatimu, Aku akan mengingatimu dalam diriKu. Dan jika kamu mengingatiKu ditengah khalayak yang ramai, Aku akan mengingatimu ditengah khalayak para Malaikat (dalam riwayat yang lain ditengah khalayak yang lebih baik darinya). Dan jika kamu mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekati kamu sehasta, dan jikalau kamu mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatimu sedepa dan jika kamu datang kepadaKu dengan berjalan, Aku akan datang kepadamu dengan berlari”. Itulah limpah kurnia Allah yang tidak dapat disifatkan dengan kata-kata dan tidak dapat diungkapkan kesyukuran yang wajar melainkan dengan hati yang sujud.
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [10]: “ Maksud menyebut dan mengingati Allah bukan semata-mata sebutan dengan lidah, malah maksudnya ialah mewujudkan rasa keterharuan ketika menyebutnya atau tanpa menyebutnya. Dan melahirkan rasa keinsafan dan kesedaran terhadap Allah s.w.t dan kewujudanNya dan terus terpengaruh dengan perasaan ini hingga membawa kepada ketaatan dalam batasnya yang paling hampir dan membawa kepada melihat Allah s.w.t yang Maha Esa sahaja dan tiada sesuatu yang lain dari Allah bagi mereka.”
-          Bersyukur kepada Allah itu mempunyai tahap dan darjatnya. Ia bermula dengan mengakui limpah kurnia Allah dan merasa segan dan malu untuk melakukan perbuatan maksiat terhadapNya dan berakhir dengan mengikhlaskan kesyukuran kepadaNya dan menyatakan kesyukuran itu dalam setiap pergerakan tubuh badan, pertuturan lidah, degup jantung dan setiap ingatan hati. Maka tujuan dari larangan bersikap kufur terhadap Allah disini ialah untuk mengingatkan kepada akibat yang akan berakhir  apabila manusia tidak mengingati Allah s.w.t dan bersyukur kepadaNya dengan sewajarnya. Ia memberi amaran bahawasanya penghujung hidup manusia itu akan bersifat amat malang sekiranya kehidupan mereka itu tidak dihiasi dengan mengingati Allah dan bersyukur kepadaNya.
-          Orang yang mengingati Allah dengan mentaatiNya, Allah akan mengingatinya dengan bantuanNya. orang yang ingat Allah pada masa lapang hidupnya dan sedang menikmati rezekiNya, Allah akan mengingatinya ketika kesusahan dan kemalangan menimpanya. Orang yang mengingati Allah dan beriman serta mentauhidkanNya, Allah akan mengingatinya dengan menjanjikan Syurga dan keredhaanNya. Orang yang mengingati Allah  dengan berhati ikhlas, Allah akan melapangkannya pada waktu kesempitan. Seterusnya, mengingati Allah dengan sepenuh hati serta berdoa, InsyaAllah akan dikurniakan segala yang dipinta.



[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 559-560
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 560
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 561
[4] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 30. Ada pendapat mengatakan hikmah itu adalah sunnah nabawiyyah.
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 562
[6] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 143
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 563
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 564
[9] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 37
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 566

No comments: