بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 144:
-
Seperti yang
telah diterangkan pada pelajaran yang terdahulu[1],
disokong oleh al-Qurtubiy di dalam tafsirnya, ayat ini diturunkan dahulu
daripada ayat 142 yang lalu. Cumanya dari segi penyusunan mushaf, ayat ini
dikemudiankan tetapi dari segi penurunannya, ayat ini lebih dahulu turunnya. Kerana
cemuhan Yahudi kepada perbuatan Nabi Muhammad s.a.w bersolat mengadap Baitul
Maqdis, Baginda s.a.w sering pada waktu malam keluar dan mendongak-dongak ke
langit mengharapkan kalau-kalau turunnya wahyu dari Allah untuk menukar Qiblat.
Baginda sangat malu untuk berdoa kerana sikapnya yang penuh dengan adab dan
sopan terhadap Allah s.w.t tetapi apa yang dilakukan oleh Baginda s.a.w
diketahui oleh Allah s.w.t kerana sememangnya kesemua perkara yang berdetik
mahupun tidak, adalah didalam limgkungan ilmu Allah s.w.t.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[2]: “
(Tindakan Baginda s.a.w mendongak-dongak ke langit) Ia membayangkan keinginan
beliau yang kuat agar Allah s.w.t menghalakan beliau ke qiblat yang lain dari
qiblat yang sedang dihadapinya itu setelah kaum Yahudi banyak mengeluarkan
hujah-hujah dan alasan yang menyakitkan hati. Hal ini demikian kerana mereka
mendapat punca yang baik dari kedudukkan kaum muslimin yang menghadap qiblat
mereka (Baitul Maqdis) untuk menimbulkan kekeliruan , kebingungan dan
kegelisahan dikalangan kaum muslimin. Sebab itulah nabi Muhammad s.a.w kerap
kali menghadapkan mukanya ke langit tanpa tanpa memohon dengan terus terang
kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah s.w.t dan kerana segan mengemukakan
sesuatu cadangan kepada Allah s.w.t atau mendahuluiNya didalam sesuatu
perkara.”
-
Diriwayatkan
bahawasanya solat yang pertama dikerjakan oleh Nabi Muhammad s.a.w mengadap
Kaabah di Makkah adalah solat Asar. Riwayat daripada Malik pula menyatakan
bahawa solat itu adalah Solat Fajar dan ada juga yang menyebut Zohor[3].
Muhammad bin Muhammad Abu Shahbah di dalam kitabnya[4]
telah cuba menggabungkan riwayat-riwayat ini dan kesimpulannya adalah seperti
berikut:
-
Pada masa itu Nabi Muhammad s.a.w telah pergi
menziarahi Ummu Bashar bin al-Barraa’ bin Ma’roor di kediaman Bani Salimah di
luar Madinah. Selepas dijamu makan oleh tuan rumah, waktu Zohor menjelang, dan
Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama mengerjakan solat Zohor. Ketika di rakaat kedua,
Jibril a.s telah datang membawa perintah Allah supaya menukar Qiblat. Jibril memegang
tangan Nabi Muhammad s.a.w dan memusing Baginda s.a.w hampir-hampir tepat ke
arah belakang iaitu ke arah Kaabah di Masjidil Haram di Makkah dan ia diikuti
bersama oleh Jamaah yang bersolat bersama Baginda s.a.w. Peristiwa di mana
berlakunya peristiwa itu, kini dikenali sebagai Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua
Qiblat) tidak jauh dari Masjid Nabawi di Madinah.
-
Selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w kembali ke
Madinah dan di situ Baginda s.a.w bersama para sahabat menunaikan solat Asar
secara lengkap sepenuhnya mengadap ke Kaabah. Kemudian salah seorang daripada
mereka yang bersolat bersama Nabi Muhammad s.a.w itu telah pergi melawat Bani
Harithah dan dia telah memaklumkan kepada mereka tentang hal pertukaran Qiblat
lalu mereka menukarnya. Selepas itu, lelaki yang sama atau mungkin juga lelaki
yang lain telah pergi ke Quba’ dan menyampaikan perkhabaran itu kepada Jamaah
di situ lalu mereka menunaikan solat Fajar mengadap Kaabah di Masjidil Haram di
Makkah al-Mukarramah. Berkaitan Kaabah, Rasulullah pernah bersabda: “Kaabah itu
kiblat bagi orang yang di dalam masjid, dan masjid itu bagi orang yang di Tanah
Haram (Makkah), dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat
hingga ke timur daripada umatku.” [5]
-
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6]
: “ Kemudian Allah s.w.t memperkenankan qiblat yang disukai oleh Baginda
s.a.w dan pengungkapan yang menyatakan limpah perkenan itu membayangkan betapa
besarnya hubungan kasih mesra Allah s.w.t terhadap Baginda s.a.w sepertimana
firmanNya:
فَلَنُوَلِّيَنَّكَ
قِبْلَةً تَرْضَاهَا
Bermaksud: “ Sesungguhnya Kami berkenan
memalingkanmu ke arah qiblat yang kamu suka”
Seterusnya firmanNya:
فَوَلِّ
وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Bermaksud: “ Oleh itu hadapkanlah mukamu ke
Masjidilharam”
Kemudian al-Quran menentukan qiblat yang disukai
oleh Baginda s.a.w sebagai qiblat untuk beliau dan umatnya samada yang sedang
bersama beliau atau yang akan datang selepas beliau sehinggalah hari qiyamat
menjelang. Seterusnya firmanNya:
وَحَيْثُ
مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Bermaksud: “ Dan dimana sahaja kamu berada, maka
halakanlah muka kamu kearahnya”
Ya’ni dari mana-mana hala diseluruh muka bumi
ini. Ia merupakan satu qiblat yang tunggal yang menyatukan seluruh ummah
muslimin dari berbagai-bagai negeri dan arah kedudukkan dari qiblat itu dan
dari berbagai-bagai bangsa, bahasa dan warna kulit. Ia merupakan satu qiblat
yang sama, dimana seluruh umat muslimin menghala kepadanya dimerata pelusuk
timur dan barat dibumi ini. Dan disana mereka merasa diri mereka selaku satu
jisim dan selaku satu diri yang menghadap satu matlamat dan berjuang untuk
menegakkan sistem hidup yang sama, iaitu sistem hidup yang lahir dari hakikat
diri mereka yang menyembah Tuhan yang sama dan beriman kepada rasul yang sama
dan menghadap qiblat yang sama.”
-
Sebenarnya kaum Yahudi mengetahui qiblat yang
sebenarnya itu adalah Ka’abah kerana Ka’abah itulah yang didirikan oleh nabi
Ibrahim a.s yang menjadi qiblat sebelum mereka menghadap ke Baitul Maqdis. Nabi
Ibrahim a.s yang mendirikan Ka’bah untuk menjadikan qiblat kepada semua manusia
dan kesemua ini telah dirakamkan dalam Kitab kaum Yahudi dan Nasrani, tetapi
mereka sengaja buat tidak tahu dan dalam ayat
ini Allah s.w.t mendedahkan tembelang mereka bahawasanya mereka-mereka
yang telah diberikan kitab sebelum turunnya al-Quran telah maklum tentang
perubahan qiblat sekaligus perubahan itu adalah arahan daripada Allah s.w.t.
Dan mereka tidak akan terlepas daripada tindakan mereka itu kerana Allah s.w.t
sekali-kali tidak akan lalai daripada apa yang mereka kerjakan.
-
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[7]
: “ Ya’ni mereka memang mengetahui bahawa masjidil haram itu ialah
BaitulAllah yang pertama. Yang mana tapak-tapak asasnya telah dibina oleh
Ibrahim a.s moyang umat pewaris dan moyang seluruh umat muslimin dan seterusnya
mereka memang mengetahui bahawa perintah berqiblat kepada masjidilharam adalah
satu perintah yang benar daripada Allah s.w.t yang tidak dapat dipertikaikan
lagi. Tetapi kaum ahli Kitab akan bertindak bertentangan dengan saranan yang
telah disarankan oleh ilmu pengetahuan yang diketahui oleh mereka. mereka tidak
akan tunduk kepada dalil kerana selama ini mereka bukannya kekurangan dalil,
malah mereka tidak mempunyai keikhlasan dan kebebasan dari hawa nafsu dan tidak
mempunyai kesediaan untuk menerima kebenaran apabila mereka mengetahuinya.Oleh
itu tidak ada apa-apa kebimbangan kepada kaum muslimin dari tindakan mereka
itu, kerana Allah itu adalah pemelihara dan penjamin yang berkuasa menolak dan
membalas tipu daya mereka yang licin.”
-
Perubahan qiblat ini adalah merupakan cara yang
sebenarnya untuk menyatukan umat Islam ini dengan satu syiar ummah yang terdiri
daripada bangsa-bangsa dan puak-puak diatas dasar aqidah, Tuhan (Allah s.w.t)
dan nabi Muhammad s.a.w yang satu. Dan inilah konsep penyatuan manusia yang
terunggul berbeza dengan penyatuan haiwan atau binatang. Penyatuan haiwan ialah
berpunca dari masalah kandang yang terhad, padang rumput untuk meragut dan
sumber ekonomi yang satu. Oleh kerana itu, mereka yang menjadikan ekonomi atau
negeri mahupun bangsa sebagai asas perpaduan adalah mereka yang merujuk kepada
penyatuan haiwan bukannya penyatuan kemanusiaan yang ditentukan oleh Allah
s.w.t. Justeru, penyatuan manusia itu adalah secara mutlaq berdasarkan kepada
aqidah dan iman dimana perubahan qiblat ini adalah sebahagian daripada
penyatuan manusia disamping ianya menjadi qiblat tempat orang Islam menghadap
ketika mengabdikan diri kepada Allah s.w.t
-
Berkata al-Syahid Sayyiq Qutb[8]:
“ Demikianlah Allah menyatukan umat muslimin. Dia menyatukan mereka dari
segi Tuhan mereka, Rasul mereka, agama mereka dan qiblat mereka. Dia menyatukan
mereka dari berbagai-bagai negara, bangsa, warna dan bahasa. Allah tidak
menyatukan mereka diatas landasan negara, bangsa, warna kulit malah Dia
menyatukan mereka diatas landasan aqidah dan qiblat walaupun mereka berbeza
dari segi negara , bangsa warna dan bahasa. Itulah kesatuan dan perpaduan yang
layak dengan makhluk insan. Hal ini demikian kerana insan seharusnya bersatu
dan berpadu diatas landasan aqidah hati nurani dan qiblat ibadah, berbeza
dengan haiwan yang bersatu dan berpadu dipadang ragut dan dalam lingkungan pagar
dan kandang”.
2. Ayat 145:
-
Ayat ini
menjelaskan penerimaan golongan ahli Kitab terhadap dalil-dalil daripada
ayat-ayat Allah s.w.t. Oleh kerana mereka beranggapan bahawa mereka sudah
terlampau bijak dan terlalu mengerti akan ajaran Allah s.w.t, mereka tidak
mengikuti qiblatmu, wahai Muhammad s.a.w. Mereka terlalu degil walaupun
mengetahui itu adalah perintah Allah s.w.t. Justeru menampakkan bahawasanya
mereka memilih jalan dunia bukannya jalan akhirat. Inilah perangai manusia yang
mengabdikan diri kepada dunia semata-mata. Mereka akan mempertikaikan hasil
kebendaan yang diperolehi sekiranya diajak untuk memperjuangkan Islam dengan
kata-kata “ Apakah yang kamu dapat dari hasil yang kamu perjuangkan itu” Hal
ini demikian mereka tidak akan berpegang melainkan pegangan yang mendatangkan hasil
kebendaan kepada mereka bukan berdasarkan haq dan inilah sikap kaum Yahudi ahli
Kitab. Walaupun mereka mempunyai Kitab malah alim tentang isinya, tetapi
apabila dunia sudah menjadi dasar perjuangan, Islam yang haqiqi mereka
tinggalkan.
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb [9]: “
Mereka tetap degil kerana dipimpin oleh hawa nafsu dan dikongkong oleh muslihat
dan kepentingan. Ramai dari mereka yang baik hati menyangka bahawa sebab yang
menghalang kaum Yahudi dan Nasara dari Islam itu ialah kerana mereka tidak
mengetahuinya atau kerana agama Islam itu tidak pernah dikemukakan kepada
mereka dalam bentuk yang meyakinkan. Pendapat ini adalah karut. Sebenarnya
mereka tidak mahukan Islam sebab mereka telah mengenal hakikat Islam. Oleh sebab
itulah mereka takut Islam mengancam kepentingan dan kekuasaan mereka. Oleh
sebab itulah mereka mengatur berbagai-bagai tipu daya yang jahat terhadap
Islam. Mereka tidak jemu-jemu melakukannya dengan berbagai-bagai jalan dan
wasilah samada secara langsung atau tidak. Mereka memerangi Islam secara
berhadapan dan secara tersembunyi. Juga mereka memerangi Islam dengan diri
mereka sendiri atau dengan memperalatkan orang Islam yang lain.”
-
Seterusnya
firmanNya:
وَمَا
أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ
Bermaksud:
“ Dan engkau juga tidak akan mengikut qiblat mereka”
Jelas menunjukkan bahawasanya inilah
sanjungan Allah s.w.t kepada orang yang beriman. Allah s.w.t meminta supaya
orang yang beriman bersifat dengan sifat yang disanjung iaitu sifat yang tetap
teguh berpegang dengan apa yang diperintah oleh Allah s.w.t, ya’ni apabila
Allah s.w.t memerintah supaya menghadap kearah qiblat yang telah ditentukanNya,
maka tidak lagi kita memandang kearah yang lain. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[10] :
“ Ianya memberi saranan yang kuat kepada kaum muslimin selepas Baginda s.a.w.,
iaitu mereka tidak akan memilih qiblat lain daripada qiblat rasul mereka yang
telah dipilih dan diredhoi oleh Allah untuk merelakan hati beliau, dan mereka
tidak akan mengibarkan panji-panji yang lain daripada panji-panji Allah s.w.t, dan
tidak akan mengikut sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Ilahi yang
berlambangkan qiblat yang terpilih ini. Inilah dia sikap orang muslimin yang
sebenarnya selama mereka mengaku diri mereka adalah orang Islam. Andainya
mereka tidak bersikap sedemikian, maka mereka bukanlah dari orang-orang Islam,
malah mereka sebenarnya adalah pendakwa-pendakwa Islam sahaja.”
-
Seterusnya
firmanNya:
وَمَا
بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ
Bermaksud: “ Dan mereka sesama
mereka (ahli Kitab) tidak akan mengikut
qiblat yang sama” Ya’ni, kaum Yahudi tidak akan mengikut qiblat Nasrani dan
begitulah sebaliknya. masing-masing ada kepentingan kaum masing-masing. Mereka
mempunyai kepentingan duniawi, kedaerahan, keturunan dan fanatik dengan
pegangan yang tidak serupa dan sudah tentu dengan sebegini akan melahirkan
permusuhan antara satu sama lain. Hubungan mereka tidak erat disebabkan
mempunyai kepentingan yang berbeza walaupun mereka kafir. Dan sekiranya
sedemikian, mana mungkin mereka boleh bersatu. seterusnya firmanNya:
وَلَئِنْ
اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ إِنَّكَ إِذاً
لَمِنْ الظَّالِمِينَ
Bermaksud: “ Dan jika engkau
mengikut hawa nafsu mereka selepas datang kepadamu ilmu (wahyu daripada Allah
s.w.t) sesungguhnya jikalau sebegitu, engkau termasuk dikalangan orang yang
zalim”
Ya’ni, adalah menjadi kewajipan bagi
nabi Muhammad s.a.w untuk mengikut apa sahaja yang diwahyukan oleh Allah s.w.t.
Maka dengan itu, selain daripada yang diajar oleh Allah s.w.t adalah hawa nafsu
semuanya. Oleh itu kita tidak boleh mengikut apa yang dilakukan oleh orang
kafir, walaupun nampak pada zahirnya baik tetapi pada hakikatnya semua itu
adalah hawa nafsu. Ada diantara umat Islam yang tidak percaya kepada konsep
Islam dan mengikut ideologi orang bukan Islam malah memandang sepi kepada apa
yang telah dianjurkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran. Berkata al-Syahid
Sayyid Qutb[11]
: “ Marilah kita berhenti sejenak dihadapan amaran Allah s.w.t yang tegas
dan keras ini kepada rasulNya yang mulia, sedangkan baru sekejap tadi Allah
berfirman kepada beliau dengan firman yang lembut dan mesra. Persoalan disini
ialah persoalan yang berkaitan dengan kejujuran mematuhi hidayah dan arahan
Allah, juga berkaitan dengan dasar keikhlasan yang tidak berbelah bagi dalam
ketaatan dan kepatuhan kepada Allah dan agamaNya. Oleh sebab itulah Allah
menyampaikan firmanNya dengan tegas dan amaran yang keras.”
-
Mereka yang mengikut hawa nafsu ini adalah
mereka yang hanyut mengikut arus masa. Mereka akan melihat siapa kuat dari segi
kebendaan samada orang barat atau pun timur. Sekiranya Jepun kaya, mereka akan
pandang ke Jepun dan sekiranya India kaya mereka akan beralih pula ke India dan
begitulah seterusnya. Hal ini demikian kerana dasar hidup mereka adalah dunia
semata-mata dan inilah hakikat yang berlaku dizaman Rasullullah s.a.w dan juga
sekarang ini. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[12] :
“ Jalan yang terbentang dihadapan amatlah jelas dan lurus, iaitu samada
mengikut jalan wahyu yang datang daripada Allah s.w.t atau mengikut jalan hawa
nafsu yang lain darinya. Seorang muslim tidak seharusnya menerima arahan
melainkan daripada Allah s.w.t. Ia tidak seharusnya meninggalkan ilmu yang
diyakini benar kerana mengikut kehendak hawa nafsu yang berubah-ubah dan segala
apa yang bukan daripada Allah itu adalah tidak diragui lagi datang daripada
kehendak hawa nafsu”.
[1] Sila rujuk aqwal ulama’ pada
masalah ini pada ayat 142
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 540
[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 100
[4] Muhammad bin Muhammad Abu
Shahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhou’ al-Qur’an wa al-Sunnah 1992, J.
2 mk 104
[5] Riwayat al-Qurtubiy
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 540-541
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 542-543
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 542
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 543-544
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 545
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 546
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 546-547
No comments:
Post a Comment