بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 135:
-
Ayat ini
ditujukan kepada ketua-ketua kaum Yahudi seperti Ka’ab b. Asyraf, Malik b.
Saif, Wahab b. Yahuda dan Abi Yasir b. Akhtab. Begitu juga ayat ini ditujukan
kepada ketua-ketua kaum Nasrani dari Najran seperti As-Sayyid dan al-‘Aqib
beserta rombongannya[1].
Mereka ini masing-masing menyeru kaum mu’minin agar mengikut agama mereka
kononnya agama merekalah yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. Lalu
Allah s.w.t memerintahkan Rasullullah s.a.w membalas dakwaan mereka dengan
mengatakan :
بَلْ
مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفاً وَمَا كَانَ مِنْ الْمُشْرِكِينَ
Bermaksud : “ Bahawasanya agama
Ibrahim yang patut dicenderungi dan bukanlah dia dari golongan Musyrik
(menyekutukan Allah s.w.t)”
Secara jelasnya ayat ini menggambarkan
bahawa agama nabi Ibrahimlah yang sebenarnya patut dicenderungi dan diikuti
disebabkan nabi Ibrahim bukan dari golongan orang yang menyekutukan Allah s.w.t
seperti mereka (kaum Yahudi dan Nasara)
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[2] : “
Kaum Yahudi berkata: Hendaklah kamu anuti agama Yahudi agar kamu mendapat
hidayah dan kaum Nasara pula berkata: Hendaklah kamu anuti agama Nasrani agar
kamu mendapat hidayah. Allah s.w.t satukan perkataan dua kaum ini untuk
mengarah Rasullullah s.a.w supaya menghadapi seluruh mereka dengan satu jawapan
sahaja. Maka jawablah (wahai Muhammad): Sebenarnya kita , ya’ni kami dan kamu
sepatutnya pulang kepada agama Ibrahim moyang kami dan juga moyang kamu. Iaitu
agama yang menjadi pokok pangkal agama Islam dan agama Ibrahim yang telah
berjanji dengan Allah s.w.t untuk mematuhinya. Dan beliau bukanlah daripada
golongan musyrikin, sedangkan kamu berpegang dengan kepercayaan syirik.”
-
Mengapa orang
Yahudi dan Nasara tergolong dikalangan mereka yang syirik kepada Allah s.w.t
sedangkan mereka juga mengaku tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t dan pengakuan
ini sama sahaja dengan pengakuan orang-orang Islam. Kaum Yahudi dianggap syirik
kerana mereka tunduk kepada kitab Taurat
yang telah diubah oleh pendita dan paderi mereka yang tidak tunduk dan
patuh kepada Allah s.w.t serta hukumNya dalam erti kata yang sebenar. Kaum
Nasrani pula dianggap syirik kerana percaya bahawa Tuhan itu terdiri daripada 3
unsur. Walaupun terdapat sebahagian mazhab Nasrani yang beranggapan bahawa Tuhan
itu hanya satu tetapi dengan menganut agama itu telah secara automatik dianggap
syirik kerana telah menolak ajaran nabi Muhammad s.a.w dan mengikut ajaran
paderi yang bertentangan dengan Islam.
-
Dewasa ini
perbuatan syirik itu lebih besar dan hebat lagi kalau hendak dibandingkan
dengan perbuatan syirik yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasara
dahulu. Zaman sekarang, walau pun lidah mengucap dua Kalimah Syahadah tetapi
tunduk dengan enakmen Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri yang bertentangan
dengan Islam. Perkara ini di anggap lebih syirik lagi sebab ketundukkan kaum
Yahudi dan Nasara adalah kepada peraturan yang direka oleh alim ulama’ mereka
dari golongan paderi dan pendita. Tetapi di dalam Dewan Rakyat atau pun Dewan
Undangan Negeri berlaku percampuran pemikiran antara orang Islam dan orang
barat yang kafir dan akhirnya melahirkan peraturan atau undang-undang yang
bertentangan dengan Islam. Justeru, kepatuhan kepada peraturan kedua-dua dewan
iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sekiranya kedua-dua dewan ini
jelas bertentangan dengan syari’at Islam adalah lebih syirik lagi jikalau
hendak dibandingkan dengan ketundukkan Yahudi dan Nasara kepada peraturan
paderi dan pendita mereka yang asalnya faham tentang agama mereka. Inilah perkara
yang amat wajib diperbetulkan.
-
Oleh sebab
itu perlu difahami sungguh-sungguh pengertian Islam yang sebenarnya sepertimana
firman Allah s.w.t yang berbunyi[3] :
فَلا
تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Bermaksud: “ Maka janganlah kamu
mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”
-
Beerti
hendaklah kita menyerah diri kepada Allah s.w.t bukan sahaja ketika beribadah
sahaja, ketika memerintah negara pun (sekiranya diamanah untuk memikul tugas
itu) kita juga menyerah diri kepada perintah Allah s.w.t yang telah dirakamkan
dalam al-Quran. Sekiranya kita menyerah diri kepada peraturan yang jelas
bertentangan dengan Islam, kita sudah jelas mensyirikkan Allah s.w.t dengan
sesuatu yang lain. Dizaman dahulu terdapat orang Islam yang melakukan upacara
“Semah” iaitu sebuah upacara pemujaan hantu laut kononnya. Mereka menyembelih
kerbau dan kemudian menghanyutkan kepalanya ke laut serta dagingnya dibuat
lauk-pauk untuk kenduri makan beramai-ramai. Hal ini demikian kerana
kepercayaan bahawa hantu laut itu boleh memperbanyakkan hasil tangkapan nelayan
dan tindakan sebegini diiktiraf disisi mereka sebagai ikhtiyar. Walaupun yang
melakukan perkara sebegini ialah daripada mereka yang sembahyang dan yang
mengucap dua Kalimah Syahadah, tetapi ianya tetap dianggap syirik atas dasar
kepercayaan mereka bahawasanya ada sesuatu yang boleh menambah dan mengurangkan
rezeki seseorang selain daripada Allah s.w.t. Perbuatan yang seumpama dengan
itu walaupun tidak dipanggil dengan nama “Semah” dianggap syirik juga atas
dasar menduakan Allah s.w.t. Oleh itu perlu difahami, antara pengertian Islam
yang sebenar, bahawasanya semua rezeki yang diterima oleh manusia adalah
datangnya daripada Allah s.w.t.
-
Walaupun pada
zahirnya memang jelas kelihatan manusia atau pun golongan yang tertentu memberi
“benda”, tetapi umat Islam tidak boleh sama sekali memutuskan hubungannya
dengan Allah s.w.t dari segi keimanan dan kepercayaan yang membawa kefahaman
bahawasanya hanya Allah s.w.t sahaja punca segala rezeki. Kalau dilihat para
paderi-paderi Kristian dan Yahudi sekali pun sentiasa beribadah di biara atau
gereja mereka dengan tasbih memuji dan memuja Allah dalam menyelesaikan masalah
kehidupan mereka. Bagaimana pula keadaan manusia yang mengucap dua Kalimah
Syahadah tetapi tidak pernah kenal rumah Allah kemudian dalam masa yang sama
memuja sesuatu yang lain daripada Allah dan mencari jalan penyelesaian yang
jauh menyimpang dari jalan yang diberi hidayah oleh Allah s.w.t kepada hambaNya
yang soleh.
-
Ayat ini juga
menjelaskan bagaimanakah dikatakan bahawa nabi Ibrahim a.s itu tidak syirik.
Ini adalah kerana beliau tidak tunduk kepada bapanya Azar dan raja Namrud yang
berkuasa ketika itu. Hal ini demikian kerana keyakinan beliau bahawasanya yang
paling berkuasa menentukan hidup mati manusia dan yang memberi rezeki ialah
Allah s.w.t bukannya raja Namrud. Justeru, dalam membersihkan diri daripada
sifat syirik kepada Allah s.w.t hendaklah mempercayai dengan sungguh-sungguh
bahawa Allah s.w.t yang memberi rezeki dan janganlah kita takut melainkan
kepada Allah s.w.t secara mutlaq kerana yang paling berkuasa adalah Allah
s.w.t. Inilah makna Islam yang ditunjukkan oleh nabi Ibrahim a.s yang tidak
syirik kepada Allah s.w.t
2.
Ayat 136:
-
Ayat ini
secara tegasnya memberi penjelasan dan penerangan kepada kaum Yahudi dan
Nasrani tentang asas keimanan Islam yang berlainan dengan keimanan palsu
mereka. Penjelasan itu berbunyi bahawasanya “Kami telah beriman dengan Allah
dan beriman dengan semua kitabNya samada diturunkan keatas nabi Muhammad s.a.w
(al-Quran) atau pun keatas nabi-nabi sebelumnya seperti Zabur, Taurat, Injil
dan lain-lain. Tidak kami beza-bezakan seseorang pun diantara mereka. Semuanya
benar menjadi pesuruh Allah s.w.t yang wajib kami percaya kepadanya. Tidaklah
kami disuruh mempercayai sebahagian daripada mereka dan mengingkari yang lain
seperti halnya berlaku kepada kaum Yahudi dan Nasara yang mana mereka percaya
kepada nabi yang diutus kepada mereka sahaja dan mengingkari nabi umat lain.
Padahal semua mereka itu adalah pesuruh Allah s.w.t, pembawa agama benar, yang
wajib kita tunduk, patuh serta taat setia kepadanya. Itulah namanya orang
Muslimin” [4]
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “
Kemudian pada ayat al-Quran ini menyeru umat muslimin supaya mengisytiharkan
kesatuan agama yang agung dari sejak Ibrahim bapa anbiya’ hingga kepada Musa
putera Maryam dan akhirnya kepada agama Islam yang terakhir dan menyeru semua
ahli Kitab supaya beriman dengan agama yang satu dan sama ini”. Maksud
secara keseluruhan ayat ini ialah kami percaya dengan keseluruhan perkara yang
telah disebutkan dalam al-Quran. Sebagai contoh, jikalau al-Quran sebut tentang
adanya mati, balasan akhirat, syurga, neraka, arak dan judi haram wajib
dipercayai secara total. Sebaliknya jikalau tidak mempercayainya, orang
tersebut sudah pasti tidak beriman dengan al-Quran. Dan apabila tidak beriman
dengan al-Quran, sekaligus dianggap tidak beriman kepada Allah s.w.t dan
pesuruhNya Rasullullah s.a.w kerana rantaian keimanan itu tidak boleh
diputuskan antara satu sama lain. Disini juga membuktikan bahawa semua
nabi-nabi itu adalah Islam. Dan semua umat Islam wajib beriman dengan semua
kitab yang diturunkan kepada mereka yang mana dakwah mereka mengajak manusia
kepada menyembah Allah s.w.t secara total dan menjauhkan diri daripada taghut.
Inilah satu-satunya dasar dan matlamat yang dibawa oleh semua nabi dan rasul
‘alaihim al-Solah wa al-Salam
-
Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “
Itulah kesatuan agung diantara semua agama Allah dan semua Rasul dan itulah
dasar kefahaman dan pemikiran Islam. Dan dasar inilah yang menjadikan umat
muslimin sebagai umat pewaris yang mempusakai warisan agama Allah s.w.t dimuka
bumi ini. Iaitu agama yang bersambung dengan asal-usul yang amat tua yang berjalan diatas jalan
hidayah dan nur. Dan seterusnya dasar inilah yang menjadikan sistem hidup
Islam, iaitu satu sistem sejagat yang membolehkan seluruh manusia hidup dibawah
naunganNya tanpa fanatik dan tanpa penindasan. Ia menjadikan masyarakat Islam
satu masyarakat yang terbuka kepada semua manusia dimana mereka dapat hidup
dalam suasana mesra dan damai”
3. Ayat 137:
-
Ayat ini
menjelaskan hakikat yang agung dan meneguhkan kedudukan orang-orang yang
beriman diatas aqidah ini, iaitu hakikat aqidah dan agama itu adalah hidayah.
Sesiapa yang mengikut agama ini beerti mendapat hidayah dan sesiapa yang enggan
menerimanya maka dia tidak akan tetap dan menetap diatas satu tapak pegangan
yang kukuh dan ia akan terus berada dalam keadaan pertentangan dengan
berbagai-bagai golongan dan puak yang tidak mempunyai pertemuan diatas sesuatu
pegangan yang tetap.
-
Ayat ini juga
secara jelasnya menggambar jaminan kepada orang-orang Yahudi dan Nasara yang
betul-betul beriman ya’ni tidak menduakan agamanya dan tidak menganggap ada
agama lain yang lebih tinggi melainkan agama Islam, nescaya mereka akan
mendapat petunjuk[7].
Namun, sekiranya mereka berpaling atau keimanan mereka tidak menepati keimanan
yang dikehendakki oleh Islam, maka dengan ini mereka akan terdedah kepada
perpecahan dan perbalahan. Memang orang Kafir selamanya tidak bersatu
sesama mereka sepertimana yang telah
difirmankan olehNya[8]:
تَحْسَبُهُمْ
جَمِيعاً وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى
Bermaksud: “ Kamu menyangka mereka
bersatu, pada hal hati-hati mereka berpecah belah”
Begitu jugalah terjadinya jikalau
orang Islam tidak mengikut al-Quran dan al-Hadith kelak akan berpecah belah
juga sepertimana berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani. Dan jalan penyelesaiannya
adalah kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Hadith bagi menyelesaikan segala
masalah yang hadir.
-
Allah s.w.t
telah menurunkan bala kepada kaum Yahudi dan Nasara dengan membiarkan mereka
berada dalam perpecahan dan pertelingkahan antara satu sama lain berpunca
daripada tidak beriman dan tidak mengikut petunjuk Allah s.w.t. Hal ini
demikian kerana petunjuk Allah s.w.t sahajalah yang dapat meletakkan manusia
dalam satu saf atau satu golongan yang baik dan mempunyai hubungan erat antara
satu sama lain. Sebaliknya tanpa petunjuk Allah s.w.t maka tersisihlah manusia
itu dari jalan yang benar dan matlamat untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t itu
tidak akan tercapai. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “
Ucapan dan pengakuan ini adalah dari Allah s.w.t. Ia mencurahkan kedalam hati
orang yang beriman rasa bangga dengan agama pegangan mereka. Oleh itu merekalah
sahaja golongan yang mendapat hidayah. Dan sesiapa yang tidak beriman seperti
keimanan mereka, maka beerti dia menentang agama yang benar dan bermusuh dengan
hidayah”
-
Seterusnya
Allah s.w.t berfirman:
فَسَيَكْفِيكَهُمْ
اللَّهُ
Bermaksud: “Maka Allah akan
memelihara (daripada mereka) engkau wahai Muhammad”
Seterusnya Allah s.w.t memberi jaminan kepada
Rasullullah s.a.w supaya Baginda tidak bimbang dengan segala tindakan jahat
yang dilakukan oleh kaum Yahudi walaupun mereka tergolong dikalangan ahli Kitab
sedangkan pengikut Baginda terdiri daripada mereka yang masih mentah lagi dalam
hal agama dan ada yang masih belum pernah membaca kitab. Allah menyatakan
Rasullullah s.a.w tidak perlu bimbang keupayaan pengikut dari segi ilmu untuk
berdepan dengan golongan ahli Kitab kerana Allah s.w.t akan memelihara Rasullullah
s.a.w. Kaum muslimin juga yang mereka (Yahudi dan Nasara) tentang itu akan
semestinya dipelihara oleh Allah s.w.t. Buktinya bagaimana Allah s.w.t
memelihara kemenangan dan kedaulatan Islam walaupun kaum Yahudi merancang
dengan komplot yang tersusun bermula dengan mewujudkan hubungan dengan kaum
munafiqin dikalangan para sahabat sehingga sampai ke peringkat menyediakan
pasukan Ahzab yang besar untuk memerangi Rasullullah s.a.w. Walaupun begitu
Allah s.w.t memelihara Rasullullah s.a.w, para sahabatnya serta umat Islam yang
menurut jejak langkah mereka semua daripada tipu daya serta tindakan jahat yang
dilakukan oleh kaum Yahudi. Bahkan Allah telah memberi kemenangan kepada Islam
dimana tentera Islam berjaya mengalahkan Yahudi kaum bani Quraydzah dan bani Qainuqa’
dengan membunuhnya dan kaum Yahudi bani Nadhir dihalau dan selebihnya dikenakan
pula keatas mereka jizyah (cukai atau ufti)[10].
[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 1, mk 189. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 1-2, mk 322
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 467
[3] Al-Baqarah, ayat 132
[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 1, mk 189
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 468
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 469
[7] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr
al-Athir (1992), J. 1, mk 189
[8] Al-Hasyr, ayat 14
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 470
[10] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 1-2, mk 337
No comments:
Post a Comment