بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 177:
-
Ayat ini secara jelasnya menggambarkan
al-Quran itu meletakkan dasar-dasar kefahaman dan pemikiran keimanan yang betul
dan dasar-dasar perilaku keimanan yang betul serta menentukan sifat-sifat orang
yang benar-benar bertaqwa. Sebenarnya, ayat ini mempunyai perhubungan dengan ayat perintah perubahan qiblat dan
pertikaian yang timbul disekitarnya yang ditimbulkan oleh kaum Yahudi yang
saban hari mengelirukan manusia dalam memahami tuntutan dan suruhan Allah s.w.t.
Khitab ayat ini kepada ahli Kitab kerana qiblat Nasara adalah sebelah timur
Baytul Maqdis dan qiblat Yahudi
disebelah baratnya[1].
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2]: “
Objektif perubahan qiblat serta syiar-syiar ibadah yang berkait dengannya
pada umumnya bukanlah supaya manusia itu menghadapkan muka mereka kehala timur
dan barat, ya’ni kehala Baytul Maqdis atau Masjidil Haram. Begitu juga matlamat
amalan kebaktian (iaitu seluruh amalan yang baik) bukanlah syiar-syiar yang
lahiriyyah itu, kerana syiar-syiar yang lahir itu sendiri ( yang terpisah dari
perasaan yang menyertainya di dalam hati dan terpisah dari perilaku di dalam
kehidupan yang hakiki) tidak melahirkan kebaktian dan mewujudkan kebaikan,
malah kebaktian itu ialah bentuk pemikiran, kefahaman, perasaan kesedaran,
tindakan-tindakan dan perilaku iaitu bentuk pemikiran, kefahaman dan tindakan
yang melahirkan kesan di dalam hati nurani individu dan masyarakat. Dan hakikat
yang mendalam ini tidak boleh digantikan dengan semata-mata menghalakan muka
kearah timur dan barat samada menghadap kearah qiblat ini atau qiblat itu atau
di dalam pergerakan memberi salam kiri dan kanan di dalam solat atau di dalam
seluruh pergerakan yang dilakukan manusia di dalam melaksanakan syiar-syiar
ibadah.”
-
Antara kebaktian yang menjadi wadah segala
kebaikan yang telah disebutkan di dalam ayat ini sepertimana firmanNya:
مَنْ
آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ
Bermaksud:
“ (Kebaktian itu adalah) mereka yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat,
para Malaikat, Kitab-Kitab Suci dan para Nabi (kesemuanya)”
Keimanan kepada Allah s.w.t
adalah merupakan titik perubahan di dalam kehidupan manusia daripada perhambaan
kepada berbagai-bagai kuasa, benda dan segala macam perkara kepada perhambaan
kepada Allah s.w.t yang Maha Esa sahaja. Ia juga merupakan satu titik perubahan
dari keadaan kelam- kabut kepada keadaan yang berperaturan, dari keadaan yang
tidak tahu tujuan hidup kepada hidup yang mempunyai tujuan yang tertentu dan
dari keadaan yang berpecah-belah kepada keadaan yang mempunyai tujuan yang
sama. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3]: “
Umat manusia yang hidup tanpa keimanan kepada Allah s.w.t yang Maha Esa tidak
akan mengenal satu tujuan yang lurus dan satu matlamat yang teratur, tidak akan
mengenal satu titik pertemuan dimana mereka dapat berkumpul disekelilingnya
dengan serius dan samarata sebagaimana berkumpulnya seluruh alam wujud ini
dengan hubungan, pertalian dan matlamat yang jelas.”
Keimanan kepada Hari Akhirat
pula merupakan keimanan kepada keadilan yang mutlak dalam hal ehwal pembalasan.
Ianya juga merupakan keimanan bahawasanya kehidupan di muka bumi ini bukan
sia-sia serta caca marba tanpa ukuran dan pertimbangan yang mana sesuatu amalan
yang baik itu akan mendapat balasannya walaupun di dunia ini ianya kelihatan
seperti tidak menerima apa-apa balasan.
Keimanan kepada Malaikat pula
merupakan dari sebahagian keimanan kepada alam ghaib yang menjadi persimpangan
jalan yang memisahkan diantara daya pemikiran dan kefahaman manusia dengan daya
pemikiran kefahaman haiwan. Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “Iaitu
manusia yang dapat beriman dengan sesuatu yang wujud disebalik pancaindera,
sedangkan haiwan hanya terikat dengan alam pancainderanya sahaja dan tidak
melewatinya”
Manakala keimanan kepada Kitab-Kitab
suci dan para Anbiya’ merupakan keimanan kepada semua risalah dan
kesemua para rasul. Iaitu keimanan kepada kesatuan dan persamaan umat manusia,
kepada kesatuan dan persamaan Tuhannya, kepada kesatuan dan persamaan agamanya
dan kepada kesatuan dan persamaan sistem Ilahi yang ditetapkan kepada mereka.
Kesedaran yang seperti ini mempunyai nilai yang amat besar dalam kesedaran
seseorang mu’min yang mewarisi warisan para rasul dan risalah yang dibawa oleh
mereka.
-
Seterusnya, firman Allah s.w.t yang berbunyi:
وَآتَى
الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ
وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ
Bermaksud: “(Kebaktian itu juga adalah)
memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat (ahli keluarga dan
sanak-saudara), anak-anak yatim, faqir miskin, orang yang terlantar di dalam
perjalanan, orang yang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi…”
Nilai kebaktian ini membebaskan
seseorang daripada belenggu haloba, kedekut, jiwa yang lemah serta mementingkan
diri. Ianya juga membebaskan jiwa dari kasih yang teramat sangat kepada harta
duniawi yang selalu menahan tangan untuk menderma dan menahan hati dari
bermurah hati. Itulah nilai kesedaran agar seseorang itu menghulurkan tangan
serta jiwanya untuk mendermakan harta yang disayanginya bukan harta yang murah
dan tidak elok. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “
Itulah nilai insaniyyah yang agung di dalam pemikiran Islam yang sentiasa
berusaha membebaskan manusia dari bisikan jiwa mereka yang tamak dan lemah
sebelum ia membebaskan mereka di dunia luar dalam lingkungan masyarakat dan
perhubungannya. Hal ini demikian kerana Islam yakin bahawa orang yang sanggup
menjadi hamba kepada nafsu keinginan jiwa sendiri akan sanggup pula menjadi
hamba kepada orang lain. Dan orang yang berjiwa bebas dari kongkongan nafsu
keinginan diri sendiri, merekalah orang yang berjiwa bebas di dalam masyarakat”
Hubungan kaum kerabat (ذَوِي
الْقُرْبَى ) dalam
bentuk sebegini dapat mencerminkan kehormatan diri dan keluarga serta
mengukuhkan pertalian kekeluargaan yang mana keluarga itu merupakan inti
pertama bagi masyarakat. Oleh itulah keluarga diberi keutamaan dan perhatian
seperti ini bertepatan dengan kedudukannya di dalam ayat ini[6].
Sabda Rasullullah s.a.w[7]:
صدقتُك
على المسكين صدقةً وعلى ذوي رحِمِك صدقةً وصلةَ
Bermaksud: “ Sedekah kamu kepada seorang
miskin dikira sebagai sedekah (ibadah) , tetapi kepada kaum kerabat yang
mempunyai pertalian keluarga dikira sebagai sedekah serta mengeratkan
silaturrahim”
Sabda
Rasullullah s.a.w lagi[8]:
صدقتك
على المسلمين صدقة وعلى ذوي رحِمِك اثنتَيْن
Bermaksud: “ Sedekah kamu kepada
orang-orang Islam dikira sebagai sedekah tetapi kepada kaum kerabat yang mempunyai
pertalian keluarga dikira dua (sedekah serta mengeratkan silaturrahim)”
Bagi anak-anak yatim (وَالْيَتَامَى) pula, nilai ini merupakan hubungan takaful diantara
orang-orang dewasa dengan kanak-kanak yang kecil di dalam masyarakat, diantara
orang-orang yang kuat dengan orang-orang yang lemah. Berkata al-Syahid Sayyid
Qutb[9] :
“ Ia merupakan pampasan kepada kanak-kanak yang kecil yang telah kehilangan
perlindungan dan pemeliharaan dua ibu bapa disamping merupakan satu langkah
melindung umat agar kanak-kanak tidak hidup berkeliaran dan tidak terdedah
kepada kerosakkan akhlak. Dan juga supaya mereka tidak menaruh dendam terhadap
masyarakat yang tidak pernah menghulurkan kebaktian dan pembelaan kepada
mereka.”
Bagi orang miskin (وَالْمَسَاكِينَ) pula yang sememangnya tidak mempunyai wang untuk berbelanja
tetapi mengambil sikap diam dan tidak mengemis, maka nilai kebaktian ini dapat
memelihara kehormatan diri merekadan menyelamatkan mereka dari kebinasaan serta
menimbulkan perasaan di dalam hati mereka bahawa disana adanya semangat
membantu dan semangat takaful dalam masyarakat Islam, dimana tiada seorang pun
yang diabaikan dan ditinggalkan terbiar begitu sahaja.
Bagi musafir (وَابْنَ
السَّبِيلِ ) yang
terlantar dan terputus dari harta dan keluarga mereka, nilai kebaktian ini
merupakan sesuatu kewajipan menghulurkan bantuan di saat kesusahan dan
terlantar diperjalanan tanpa keluarga harta dan rumahtangga. Berkata al-Syahid
Sayyid Qutb[10]
: “ ( Nilai ini juga) disamping menimbulkan perasaan di dalam hati mereka
bahawa seluruh manusia itu adalah keluarga mereka belaka dan seluruh negeri itu
adalah tanah air yang mempertemukan satu keluarga dengan keluarga yang lain,
mempertemukan harta dengan harta yang lain, satu hubungan dengan satu hubungan
yang lain, satu tempat tinggal dengan satu tempat tinggal yang lain”
Bagi peminta-peminta bantuan (وَالسَّائِلِينَ ), nilai kebaktian ini merupakan pertolongan untuk memenuhi
keperluan mereka disamping merupakan penghalang yang menyekat mereka daripada
menjadi pengemis yang dibenci oleh Islam kerana di dalam Islam, seseorang yang
mempunyai keperluan yang secukupnya serta mempunyai kemampuan untuk bekerja
adalah dilarang mengemis malah ia disuruh oleh Islam untuk bekerja supaya hidup
sekadarnya yang mampu tanpa mengemis kecuali sekiranya ia betul-betul tidak
mempunyai kerja dan harta walau sedikit pun.
Bagi hamba-hamba abdi (وَفِي
الرِّقَابِ) pula, kehendak
nas dalam ayat ini terlaksana samada dengan membeli abdi kemudian
memerdekakannya atau memberi kepadanya hak menunaikan bayaran yang dipersetujui
oleh tuannya sebagai bayaran kemerdekaan. kesemua ini membolehkan hamba abdi
itu memerdekakan dirinya dan mengambil balik kemerdekaan dengan segera.
-
Seterusnya,
Allah berfirman yang berbunyi:
وَأَقَامَ
الصَّلاةَ
Bermaksud;
“(Kebaktian itu juga adalah) Mendirikan solat”
Amalan solat ini bukan sahaja
mengadap kearah timur dan barat tetapi ianya adalah satu amalan dimana
seseorang itu memfokuskan keseluruhan dirinya kepada Allah s.w.t zahir dan batin,
beserta tubuh badan, aqal dan ruh secara keseluruhannya. Berkata al-Syahid
Sayyid Qutb[11]
: “ Solat bukan semata-mata pergerakan senaman badan dan bukan pula
semata-mata amalan tawajjuh secara soufiyyah dengan ruh sahaja. Solat yang
sebenarnya mensebatikan konsep Islam yang asasi terhadap hidup. Islam mengakui
manusia itu dengan badan, aqal dan ruh dalam satu kewujudan. Islam juga tidak
mengandaikan adanya sebarang pertentangan diantara kegiatan daya badan, aqal
dan ruh yang membentuk manusia itu. Ia menjadikan solat itu dalam bentuk qiam,
ruku’ dan sujud untuk mewujudkan kegiatan pergerakan badan. Solat itu juga
terdiri daripada bentuk bacaan, renungan dan pemikiran memahami makna dan
susunan kata untuk mewujudkan kegiatan aqal dan seterusnya solat itu juga
terdiri dalam bentuk tawajjuh dan penyerahan diri yang bulat kepada Allah s.w.t
untuk mewujudkan kegiatan ruh. Semuanya berlangsung dalam satu waktu.
Mendirikan ibadah solat dengan bentuk seperti ini mengingatkan kepada seluruh
konsep Islam terhadap hidup dan menegakkan seluruh konsep Islam terhadap hidup
dalam setiap raka’at solat itu sendiri.”
-
Seterusnya,
Allah berfirman yang berbunyi:
وَآتَى
الزَّكَاةَ
Maksudnya:
“(Kebaktian itu juga adalah) Mengeluarkan zakat”
Zakat secara umumnya adalah merupakan
pembayaran cukai kemasyarakatan Islam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t
keatas harta kekayaan kaum hartawan untuk kebajikan kaum faqir miskin dengan
sifatNya sebagai tuan punya harta kekayaan yang dikurniakan kepada seseorang
manusia. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [12]: “Ia
disebut dalam ayat ini setelah memperkatakan tentang pendermaan harta yang
disayangi kepada mereka yang disebut secara umum sebelum ini menunjukkan bahawa
pendermaan harta kekayaan kepada pihak-pihak tersebut bukanlah merupakan
gantian dari penunaian zakat dan juga penunaian zakat bukanlah merupakan
gantian dari pendermaan harta kekayaan. Kerana zakat merupakan cukai yang
diwajibkan sedangkan pendermaan harta kekayaan merupakan pemberian sukarela yang
bebas. Kebaktian itu tidak sempurna melainkan dengan menunaikan zakat dan
mendermakan harta kekayaan kerana kedua-duanya merupakan teras-teras nilai
Islam.”
-
Seterusnya,
Allah berfirman yang berbunyi:
وَالْمُوفُونَ
بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا
Bermaksud: “(Kebaktian itu juga adalah)
Menunaikan janji apabila mereka berjanji”
Inilah sifat Islam yang amat
ditekankan dan perkara ini sering disebut-sebut di dalam al-Quran. Ia merupakan
tanda keimanan, tanda kemanusian serta merupakan suatu keperluan untuk mewujudkan
suasana kepercayaan dan ketenteraman di dalam hubungan individu, kelompok serta
hubungan antarabangsa dan negara. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [13]: “
Pada permulaannya, ianya di asaskan diatas kesetiaan kepada perjanjian denga
Allah s.w.t. Tanpa sifat ini setiap individu akan hidup dalam keadaan gelisah
dan tidak percaya kepada sebarang perjanjian dan tidak percaya kepada sesiapa.
Islam telah sampai ke kemuncak kesetiaan perjanjian kepada kawan dan lawan yang
tidak pernah di capai oleh umat manusia disepanjang sejarahnya dan manusia
tidak akan sampai kekemuncak tersebut melainkan dengan seruan dan hidayah
Islam.”
-
Seterusnya,
Allah berfirman yang berbunyi:
وَالصَّابِرِينَ
فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ
Bermaksud: “(Kebaktian itu juga adalah)
orang-orang yang sabar menghadapi kesempitan dan penderitaan dan sabar dalam
masa peperangan”
Nilai kebaktian disini pula adalah
untuk mendidik, mengasuh dan menyediakan jiwa manusia itu supaya tidak hancur
berterbangan setiap kali dilanda malapetaka, tidak hilang kerana kecewa setiap
kali ditimpa kesusahan, tidak rebah tertiarap sekiranya dihadapkan dengan
kesempitan. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[14] :
“ Satu umat yang ditugaskan untuk memimpin dan menerajui umat manusia dan
untuk menegakkan keadilan dibumi serta menyebarkan kebaikan, pastilah bersedia
untuk menghadapi segala kesulitan dan kesukaran diperjalanan dengan penuh
kesabaran di masa kesempitan dan penderitaan dan ketika peperangan. Ianya
bermaksud sabar dalam masa kesempitan dan kemiskinan, sabar dalam masa
kesakitan dan kelemahan, sabar ketika berada dalam kesedikitan dan kekurangan,
sabar dalam masa peperangan menghadapi kepungan musuh dan seterusnya sabar di
dalam segala keadaan supaya mereka dapat melaksanakan tugas mereka yang besar
dan memainkan peranan mereka yang telah ditetapkan Allah dengan penuh gigih,
tabah, penuh kepercayaan, ketenangan dan kesederhanaan.”
- Demikianlah
sepotong ayat yang panjang mengumpulkan dasar aqidah dan segala kewajipan diri
dan harta serta menjadikan semuanya satu paduan dan kesatuan yang tidak
berbelah bagi dan mengklasifikasikan kesemua itu dengan nama الْبِرَّ (kebaktian)
atau “wadah segala kebaikan” atau di sebut juga sebagai “keimanan”
sebagaimana yang telah diterangkan di dalam sesetengah Athar para sahabat.
Sebenarnya, inilah intipati kefahaman Islam yang sempurna dan intipati
dasar-dasar sistem hidupm Islam yang sepadu dan tanpanya Islam tidak mungkin
tegak dan teguh.
- Dan
ayat ini diakhiri dengan firmanNya:
أُوْلَئِكَ
الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُتَّقُونَ
Bermaksud: “ Merekalah orang-orang
yang benar-benar berbakti dan merekalah orang-orang yang benar-benar bertaqwa”
Merekalah sebenarnya yang menunjukkan
sifat keislaman mereka yang sebenarnya kepada Allah s.w.t[15],
merekalah orang-orang yang benar di dalam keimanan dan kepercayaan mereka,
mereka juga adalah orang-orang yang benar-benar menterjemahkan keimanan dan
kepercayaan itu kepada pengertiannya yang hakiki di alam wujud ini. Berkata
al-Syahid Sayyid Qutb [16]:
“ Merekalah orang-orang yang benar bertaqwa dan takut kepada Allah s.w.t
serta berhubung denganNya. Merekalah orang-orang yang menunaikan kewajipan
mereka terhadap Allah dengan penuh kepekaan dan kebimbangan.”
[1] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 153
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 647-648
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 649-650
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 650
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 651
[6] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 153
[7] Diriwayatkan oleh Ahmad,
al-Tirmidzi, al-Nasa’ei, Ibn Majah daripada Hadith Salman b. Amir.
[8] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir
al-Munir (1991), J. 2, mk 97
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 652
[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 653
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 654-655
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 655
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 656
[14] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 657
[15] Al-Nasafi, Tafsir
al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 154
[16] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi
Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 659