Wednesday, July 4, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 155-157)


بسم الله الرحمن الرحيم

1.      Ayat 155:
-         Berdasarkan ayat ini, Allah s.w.t akan pasti menguji umat Islam untuk membezakan antara mereka siapa yang taat dan siapa yang engkar. Ujian itu berupa ketakutan kepada musuh, kelaparan merujuk kepada kekurangan bahan makanan, kekurangan harta merujuk kepada kerugian dalam perniagaan, kekurang diri manusia merujuk kepada ramainya manusia sudah mati dan akhirnya kekurangan buah-buahan merujuk kepada datangnya musim kemarau yang menjejaskan hasil pertanian. Imam al-Syafie[1] menafsirkan tentang ujian ini dengan menyatakan bahawa ketakutan itu adalah ujian takut kepada Allah s.w.t . Kelaparan ialah merujuk kepada ibadah puasa dibulan Ramadhan. Kekurangan harta merujuk kepada ibadah zakat dan bersedekah. Kekurangan diri manusia merujuk kepada keadaan ditimpa penyakit dan akhirnya kekurangan buah-buahan merujuk kepada kematian anak[2] kerana anak itu adalah buah hati manusia.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3] : “ Jama’ah muslimin itu pastilah dididik jiwa mereka untuk menghadapi kesusahan dan kegigihan mereka dalam menempuh perjuangan kebenaran itu dan pastilah diuji dengan berbagai –bagai ketakutan, kesulitan, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan kekurangan buah-buahan. Orang yang beriman pastilah menempuh kesemua kesusahan ini supaya mereka dapat memberi pengorbanan kerana aqidah agar aqidah itu dipandang mulia dan tinggi dihati mereka mengikut sebesar mana pengorbanan yang diberikan mereka kepadanya. Aqidah –aqidah yang murah yang tidak diberikan pengorbanan oleh penganutnya akan ditinggalkan oleh mereka dengan mudah pada kali pertama mereka bertembung dengan kesusahan. Kesemua pengorbanan itu merupakan harga atau nilai kejiwaan yang membayangkan betapa mulia dan tingginya aqidah itu dihati penganutnya sendiri sebelum ia dipandang mulia dan tinggi di hati orang lain. Setiap kali mereka menderita dan berkorban kerana aqidah itu, setiap kali pula aqidah itu menjadi lebih mulia dan tinggi dihati mereka dan setiap kali pula mereka menjadi lebih sayang kepadanya. Begitu juga orang lain yang bukan penganutnya tidak akan dapat menilai harga aqidah itu melainkan apabila mereka melihat kesanggupan para penganutnya menderita untuk mempertahankannnya.” Inilah didikan yang ditetapkan Allah keatas barisan kaum muslimin untuk menyediakan mereka dengan suatu penyediaan yang menarik. Inilah cara didikan Ilahi terhadap mereka yang dikehendakki oleh Allah diantara umat manusia seluruhnya supaya benar-benar ikhlas kepadaNya, kepada dakwahNya dan kepada agamaNya.
-         Sudah semestinya orang beriman akan diuji dengan berbagai ujian seperti yang dinyatakan diatas tadi untuk mengetahui sejauh mana keimanan mereka kepada Allah s.w.t. Ia juga bertujuan untuk mengetahui sejauh mana mereka tahan dan cekal menghadapi ujian tersebut dalam usaha memperolehi kebaikan dunia dan akhirat. Mereka itu pastinya akan diuji agar pegangan hati mereka bertambah kukuh dan kuat kerana kesusahan dan penderitaan itulah yang dapat meransangkan segala kekuatan dan daya tenaga mereka yang terpendam dan tersembunyi. Ia dapat membuka pintu dan lorong rahsia di dalam hati yang tidak dapat diketahui oleh seorang mu’min kecuali ia berada dibawah tekanan kesusahan dan penderitaan. Sesungguhnya mereka yang berjaya menghadapi kesemua ujian tersebut, itulah dia yang dinamakan golongan yang sabar iaitu sabar menghadapi segala ujian yang didatangkan oleh Allah s.w.t untuk melahirkan keimanan yang hakiki kepadaNya sepertimana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:
وَبَشِّرْ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “ Dan berilah khabar gembira kepada mereka yang sabar
-          
2.       Ayat 156:
-         Ayat ini menjelaskan lagi siapakan dia yang sebenarnya termasuk dalam golongan “al-Sobirin”  itu. Merekalah orang-orang yang sabar yang disampaikan berita gembira daripada Allah s.w.t, pemberi nikmat yang Maha Agung kepada mereka oleh rasulNya yang mulia. Mereka adalah orang yang bila ditimpa sesuatu kesusahan, mereka tidak hilang semangat dan sentiasa ingatkan Allah s.w.t malah mereka segera mengucapkan ungkapan sepertimana firmanNya:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”
-         Dari sebuah Hadith al-Tirmizi yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari[4], bahawasanya Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“ Jika seorang anak hamba Allah mati, Allah akan bertanya kepada MalaikatNya. “Sudahkah kamu matikan anak hambaKu?” Malaikat menjawab: “Ya!” Bertanya Allah: “ Sudah kamu matikan buah hatinya?” Mereka menjawab : “Ya?” Bertanya pula Allah: “Kemudian apa pula dia kata?” Mereka menjawab: “ Dia puji Tuhanku dan dia baca “istirja’” yakni lafaz إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ . Berkata Allah : “ Buatkan untuknya sebuah rumah di Syurga dan namakan rumah itu  بيت الحمد  (Rumah pujian)
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Kita semua milik Allah. Seluruh kita dan segala apa yang ada pada kita, seluruh kewujudan dan diri kita adalah milik Allah belaka. KepadaNyalah kembali semua urusan dan segala kesudahan. Itulah penyerahan secara mutlaq kepada Allah, iaitu penyerahan diri mencari perlindungan yang terakhir yang terbit dari hasil penemuan dengan hakikat yang tunggal dan kefahaman yang betul”

3.       Ayat 157:
-         Ayat ini secara jelas menggambarkan bahawasanya orang yang sabar itu akan mendapat berbagai-bagai kebaikan hasil dari kesabaran mereka menghadapi ujian diatas muka bumi dan juga ujian dalam perjuangan untuk menegakkan hukum Allah s.w.t diatasnya. Jika terus bersabar dan terus berjihad, pasti Allah s.w.t akan memberi kemenangan kepada mereka di suatu hari nanti sekiranya perjuangan mereka dilakukan dengan penuh ikhlas kepada Allah s.w.t. Dan sekurang-kurangnya jikalau mereka tidak dapat mengecapi kesemua kebaikan itu di dunia, sudah pasti mereka akan mendapat kemenangan diakhirat nanti dan seterusnya memasuki Syurga.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [6]: “ Ya’ni mereka dikurniakan berbagai rahmat dari Tuhan mereka. Dengan rahmat itu Allah mengangkat darjat mereka ketahap dapat ikut serta menikmati habuan rahmat yang diterima oleh nabiNya yang diselawatkan Allah  dan para Malaikat keatasnya. Ini adalah suatu darjat yang amat tinggi, suatu rahmat yang amat besar dan suatu pengakuan dari Allah bahawasanya mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayah. Disini Allah s.w.t tidak menjanjikan kemenangan kepada mereka, tidak juga menjanjikan mereka kedudukkan yang teguh serta harta rampasan perang yang bertimbun. Tidak ada dijanjikan sesuatu pun melainkan rahmat dan pengakuanNya. Allah s.w.t menyediakan serta melengkapkan kaum muslimin untuk satu tugas yang lebih besar dari diri mereka sendiri dan lebih penting dari hidup mereka sendiri. Hal ini demikian Allah s.w.t membersihkan mereka dari segala tujuan dan matlamat yang lain. Allah s.w.t membersihkan mereka dari segala cita-cita keinginan manusia yang lain hingga cita-cita untuk melihat kemenangan aqidah itu tercapai. Allah s.w.t membersihkan mereka dari segala sesuatu yang boleh menodai keikhlasannya yang mutlaq terhadap Allah s.w.t, ketaatan kepadaNya serta dakwahnya kepada Allah s.w.t. Kewajipan mereka adalah mara terus dijalan perjuangan mereka tanpa mengharapkan sesuatu selain dari keredhaan Allah s.w.t, rahmatNya dan pengakuanNya bahawa mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayah. Inilah satu-satunya matlamat dan tujuan perjuangan mereka”


[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 32-33. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 144
[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 40
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 586-587
[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 33. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 119
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 589
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 589-591

No comments: