Wednesday, May 23, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 142-143)


بسم الله الرحمن الرحيم
1.      Ayat 142:
-         Bersempena menjelangnya Rejab dan Shaaban, umat Islam kebiasaanya memperkatakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad s.a.w. Namun harus diingat, terdapat suatu lagi peristiwa yang besar dan penting kepada umat Islam berdasarkan riwayat Sahih al-Bukhari yang secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa perkara ini berlaku sama ada pada pertengahan bulan Rejab atau pun Shaaban, kira-kira 16 atau 17 bulan selepas hijrah Nabi Muhammad s.a.w, sejurus sebelum berlakunya Peperangan Badar al-Kubra pada tahun kedua Hijrah itu. Peristiwa yang dimaksudkan itu adalah perpindahan qiblat daripada Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah. Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada al-Barraa’, beliau berkata:“Apabila Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi Baginda s.a.w amat suka seandainya Baginda berpeluang untuk bersolat mengadap ke arah Kaabah. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat[1] “Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan wajahmu ke langitMaka berkata-katalah orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia dan mereka itu adalah Yahudi, “Apakah yang telah memalingkan orang-orang Islam itu daripada qiblat mereka sebelum ini?” Lalu Allah s.w.t menjawab dengan menyatakan “Bagi Allah itulah timur dan barat”.
-         Diriwayatkan bahawasanya Ibnu ‘Abbas r.a dan al-Tabari berpendapat bahawa ayat 144 surah al-Baqarah adalah turun lebih awal daripada ayat 142 ini. Pendapat ini disokong oleh riwayat al-Bukhari dari al-Barraa’ yang telah disebutkan di atas. Akan tetapi al-Zamakhsyari menyatakan bahawa ayat 142 tentang komen Yahudi itu telah turun lebih awal sebelum turunnya ayat perintah menukar Qiblat (Al-Baqarah ayat 144). Ia adalah sebagai mukjizat daripada Allah s.w.t bahawa Nabi s.a.w telah lebih awal diperkhabarkan tentang pertukaran Qiblat berkenaan serta penentangan yang akan dihadapinya nanti sebelum ianya berlaku. Hal ini demikian supaya hati Baginda s.a.w dan umat Islam menjadi tenang menghadapi ejekan dan cemuhan Yahudi tersebut.
-         Pembelajaran di dalam ayat ini dan ayat seterusnya menumpukan hampir sepenuhnya kepada peristiwa peralihan qiblat dan suasana yang melingkunginya dan komplot-komplot yang dilakukan oleh kaum Yahudi di dalam kesatuan kaum muslimin berkaitan dengan peralihan qiblat. Ia juga membicarakan tentang fitnah yang telah di war-warkan oleh mereka disamping merawati kesan-kesan fitnah itu di dalam jiwa setengah kaum muslimin . Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2] : “ Disana tiada terdapat satu riwayat yang qat’i mengenai peristiwa ini sebagaimana tidak terdapat satu ayat yang menerangkan sejarah peralihan itu dengan terperinci. Ayat-ayat khusus mengenainya disini ialah ayat-ayat yang menerangkan perubahan qiblat dari Baitul Maqdis kepada Ka’bah. Ini berlaku di Madinah selepas enam belas atau tujuh belas bulan berhijrah ke sana.”
-         Diriwayatkan ketika di Makkah, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah, Rasulullah s.a.w bersolat di bahagian selatan Kaabah supaya Baginda s.a.w mengadap Baitul Maqdis sebagai perintah Allah, dan dalam masa yang sama Baginda s.a.w mengadap Kaabah, Qiblat Nabi Ibrahim a.s yang dikasihinya. Apabila Baginda s.a.w dan umat Islam berhijrah ke Madinah, Allah memerintahkan supaya solat dilakukan secara mengadap ke Baitul Maqdis. Tujuannya adalah supaya dengan ibadah yang dilakukan seumpama ini, ia akan membolehkan Nabi Muhammad s.a.w melembutkan hati orang-orang Yahudi di Madinah untuk menerima Islam. Ia juga sebagai isyarat bahawa Syariat yang dibawa oleh Baginda s.a.w adalah sama dengan risalah yang diseru oleh Nabi-nabi Bani Israel seperti Musa dan Isa a.s. Akan tetapi sifat mulia yang ditunjukkan oleh Baginda dan umat Islam itu, tidak langsung menggerakkan hati orang-orang Yahudi untuk menerima Islam, bahkan mereka mengejek-ngejek Baginda s.a.w. Kata mereka “Muhammad itu menentang agama kita, tetapi dalam masa yang sama mengadap Qiblat kita pula. Kalaulah agama kita tidak ada, nescaya Muhammad itu tidak tahu ke arah Qiblat mana dia mahu bersolat![3] Inilah ucapan kaum Yahudi sehingga menimbulkan kegelisahan dikalangan orang yang beriman. Kata-kata seumpama ini sememangnya amat melukakan hati Nabi Muhammad s.a.w. Sehingga diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w menyebut, “aku amat suka jika Allah s.w.t menghindarkan aku daripada Qiblat Yahudi itu (Baitul Maqdis)”.[4]
-          Sepertimana tafsiran ayat ini apabila Allah s.w.t memerintahkan orang yang beriman agar menukar kiblat ke Ka’abah, ianya juga menjadi bahan sendaan kaum Yahudi. Ayat ini berbunyi : “Orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia (iaitulah Yahudi) akan berkata (dengan ejekan): Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Bagi Allah itulah Timur dan Barat, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus”  Tetapi sayangnya, kaum Yahudi itu tidak langsung terbuka hati mereka untuk mempertimbangkan seruan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Sebaliknya, tindakan Baginda tersebut telah dijawab dengan soalan yang mengandungi nada ejekan, “Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini?”.
-          Lantas Allah memerintahkan kepada Nabi s.a.w supaya membidas sangkaan dangkal Yahudi itu dengan menyatakan bahawa semua arah yang dihadap adalah milik Allah. Tidak ada keistimewaan bagi sesuatu arah berbanding suatu arah yang lain. Allah itulah yang memerintahkan hambaNya supaya beribadah mengadap ke mana-mana arah yang dikehendakiNya. Persoalan memilih suatu arah dan tidak suatu arah yang lain, adalah dengan sifat patuh dan taat kepada perintah Allah dan bukannya atas motif-motif dangkal seperti yang dipercayai oleh Yahudi berkenaan.
-          Adapun perkataan “Al-Sufahaa” adalah kata jama’ daripada “safiihun” yang diambil daripada perkataan “al-Safahu” yang bermaksud ringan , tipis atau lemas. Dikatakan “ Thaubun safiihun” bermaksud baju yang teruk tenunannya[5]. “Al-Safahu” juga bermakna lemah fikiran kerana itulah Allah s.w.t menamakan anak-anak yang belum dewasa sebagai “Sufahaa” yang bermaksud orang yang belum sempurna aqalnya sepertiman firmanNya[6]:
وَلا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمْ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَاماً
Bermaksud: “ Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna aqalnya harta mereka yang ada dalam penguasaanmu yang kamu sendiri dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai pemeliharanya”. Mujahid berkata yang dimaksudkan dengan orang yang bodoh atau lemah fikiran ini adalah kaum Yahudi yang berada di Madinah manakala al-Suddiy pula mengatakan ianya adalah kaum munafiqin[7]. Bagaimana pula kaum Yahudi dianggap bodoh sedangkan mereka ahli kitab dan alim dengan apa yang terkandung didalamnya. Sebenarnya mereka dianggap bodoh kerana mereka tidak mengikut kebenaran walaupun mereka tahu kebenaran yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w. Seterusnya Allah berfirman :
يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
 Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus”. Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakkiNya ke jalan yang lurus walaupun hanya seorang badwi yang buta huruf.. Maka  sebaliknya mereka yang tidak dikehendakki olehNya tidak akan mendapat petunjuk sekalipun seorang ulama’, ustaz, tuan guru atau sesiapa sekali pun. Jika seseorang itu dikehendakki oleh Allah untuk mendapat hidayah  tiada siapa pun boleh menghalangnya dan begitu juga sebaliknya. Petunjuk Allah itu mengikut ikhtiyar seseorang itu sama ada dia mahu kepada kebenaran atau sebaliknya. Barang siapa yang tidak mahu kepada kebenaran dengan sombong dan takabburnya, bermakna dia telah menutup pintu hatinya daripada mendapat nur, ya’ni cahaya petunjuk daripada Allah s.w.t. Inilah yang berlaku kepada kaum Yahudi ahli kitab dizaman Rasullullah s.a.w. Walaupun mereka ahli Kitab yang alim dengan kitab Taurat malah lebih alim lagi daripada kalangan para sahabat, tetapi mereka tidak mendapat petunjuk kerana sombong dan takabbur atas ilmu mereka.  Segala-galanya adalah mengikut kehendak Allah s.w.t
-          Disini berlaku perselisihan qiblat manakah yang dikuti selepas difardhukan keatas nabi Muhammad s.a.w ketika di Mekah? Adakah kearah Baitul Maqdis atau kearah Mekah? Terdapat dua pendapat dikalangan para ulama’. Pertama, diarahkan ke Baitul Maqdis dan di Madinah selama 17 bulan lamanya. Kemudian Allah s.w.t mengubahnya ke Ka’abah dan beginilah yang dikatakan oleh Ibn ‘Abbas r.a. Kedua, diarahkan ke Ka’abah dan selepas berhijrah ke Madinah diubah kearah Baitul Maqdis selama 16 bulan ataupun 17 bulan dan kemudiannya  barulah ditukar semula ke Ka’abah atas perintah Allah s.w.t dan berkata Abu ‘Umar, pendapat ini paling sahih diantara dua pendapat tadi disisiku[8].
-           
2.      Ayat 143:
-          Dalam ayat ini menjelaskan bahawasanya Allah s.w.t menjadikan umat nabi Muhammad s.a.w sebagai umat pertengahan. Bermaksud tidak seperti kaum Nasrani yang mempertuhankan nabi dan tidak juga seperti kaum Yahudi yang membunuh nabi. Yahudi mencaci para Rasul dengan menuduh mereka dengan tuduhan zina dan sebagainya sehingga ada yang dibunuh oleh mereka, manakala Nasrani pula mengangkat martabat Rasul sehingga kepada ketuhanan lantas bertuhankan manusia. Akan tetapi Islam memuliakan seluruh Rasul dan dalam masa yang sama tidak mengangkat martabat mereka ke darjat melampau yang menceroboh hak Allah s.w.t. Umat pertengahan ini juga dita’rifkan sebagai umat yang mengikut jalan yang lurus tidak terpesong ke kanan atau ke kiri seperti mereka-mereka yang jelas sesat daripada jalan Allah s.w.t. Seperti mana yang berlaku dalam pergolakkan dunia hari ini, ada umat Islam yang mengikut blok Barat dengan menganut kapitalisme, libralisme dan ada pula yang mengikut blok timur dengan menganut sosialisme dan komunisme. Sistem sosialis menafikan kewujudan individu dengan anggapan bahawa individu itu hanyalah peralatan negara. Semua hasil perlu diserahkan kepada negara dan kemudian negara mengagihkannya sama rata kepada rakyat supaya secara teorinya, ia dapat membasmi kemiskinan dan jurang antara golongan kaya dan fakir. Manakala sistem kapitalis pula memberikan ketinggian kepada individu sebagai pemilik mutlak kepada sekalian hasil usaha individu berkenaan. Secara teori, ia akan menjadi motivasi yang menggalakkan persaingan dan tentunya persaingan akan meningkatkan mutu. Tetapi sistem sosialis menjadikan sekalian rakyat miskin, dan yang kaya hanyalah pemerintah yang berkuku besi. Manakala kapitalisma pula menjadikan golongan kaya bertambah kaya dan memonopoli segala hasil mahsul, sedangkan yang miskin terus ketinggalan dan tercengkam, lantas jurang antara keduanya terus melebar tanpa sekatan. Padahal Islam datang mengimbangkan antara keduanya. Individu berhak ke atas hasil usahanya, namun masih ada tanggungjawab sosial yang dinaiktarafkan sebagai rukun agama. 2.5% daripada pemilikan hendaklah dibayar sebagai zakat, supaya keseimbangan berlaku dan golongan miskin tidak terbiar hancur lebur oleh rempuhan monopoli pesaing gergasi. Kita umat Islam semestinya tidak ke timur mahupun ke barat serta tetap dijalan yang lurus dan inilah antara sebabnya dipanggil “ummatan wasatan” ya’ni umat pertengahan.
-           Di dalam ayat ini Allah s.w.t menerangkan bahawa umat Muhammad s.a.w akan menjadi saksi bagi sekalian manusia di hari qiyamat nanti. Manakala Nabi Muhammad s.a.w pula akan secara khusus menjadi saksi bagi umatnya. Keterangan tentang hal ini terujuk kepada hadith Nabi s.a.w[9]: Daripada Sai’d al-Khudri katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w (yang bermaksud)“Sesungguhnya umat-umat pada hari Qiamat mengingkari tentang perutusan para Nabi. Lantas Allah s.w.t memerintahkan kepada para Nabi supaya mendatangkan bukti (bahawa mereka telah menyampaikan risalah Allah s.w.t); dan Allah itu terlebih dahulu mengetahui tentang hakikat ini. Lalu para Nabi datang kepada umat Muhammad s.a.w untuk mendapatkan kesaksian. Umat-umat yang terdahulu bertanya: bagaimanakah kamu tahu tentang perihal kami (sehingga kamu boleh menjadi saksi bagi kami)? Lalu umat Muhammad s.a.w menjawab: kami mengetahui tentang perihal kamu semua melalui perkhabaran Allah di dalam kitabNya yang menyebut di atas lisan NabiNya yang benar. Lalu umat Muhammad s.a.w datang kepada Baginda s.a.w dan ditanya tentang perihal umatnya. Lalu Muhammad s.a.w menyucikan umatnya (dari anggapan keraguan) dan bersaksi di atas sifat adil mereka sebagai saksi. Dan demikian itulah Allah s.w.t menyebut[10] :
فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاءِ شَهِيداً
Bermaksud:“Maka bagaimanakah tatkala Kami datangkan bagi setiap umat itu saksi (bagi mereka) dan Kami datangkan kamu pula sebagai saksi bagi mereka (umat Muhammad s.a.w)
-          Sesungguhnya umat Muhammad s.a.w akan menjadi saksi kalau sekiranya mengikut nabi Muhammad s.a.w. Namun jika sebaliknya, maka mereka tidak layak untuk menjadi saksi. Kualiti yang melayakkan umat Muhammad s.a.w itu menjadi saksi di hadapan Allah untuk sekalian manusia adalah kualiti Wasathiyyah. Maksud Wasathiyyah di sini adalah keseimbangan yang ada pada Islam dan umatnya di antara dua sempadan keji.
-          Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[11]: “ Sekarang kami ingin kemukakan sepatah kata tentang hikmah perubahan qiblat dan tentang mengapa kaum muslimin dikurniakan qiblat khas untuk mereka hadapi didalam solat. Perubahan qiblat yang pertama daripada Ka’abah ke Baitul Maqdis itu ialah kerana sesuatu hikmah pendidikan yang ditunjukkan oleh firmanNya:
وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلاَّ لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنقَلِبُ عَلَى عَقِبَيْهِ
Bermaksud: “ Dan kami tidak jadikan qiblat yang kamu hadapi sekarang ini melainkan supaya Kami dapat mengetahui dalam (realiti yang sebenarnya) siapakah yang sebenarnya mengikut rasul dan siapa pula yang berbalik kebelakang (kembali kepada kekufuran). Orang Arab sentiasa memuliakan Baitullah dizaman Jahiliyyah dan mereka mengirakannya sebagai lambang kemuliaan bangsa mereka , tetapi oleh sebab Islam mahu membersihkan hati mereka supaya bulat kepada Allah semata-mata dan tidak bersangkut dengan sesuatu yang lain darinya dan supaya bersih dari segala rasa kemegahan perkauman dan semangat fanatik bangsa, iaitu rasa kesetiaan dan kemegahan yang lain daripada kesetiaan dan kemegahan kepada agama yang berhubung secara langsung dengan Allah s.w.t dan bersih daripada hubungan sejarah atau hubungan kebangsaan atau kenegerian. Maka Islam memilih qiblat kearah Baitul Maqdis dalam suatu tempoh yang tertentu untuk membersihkan jiwa mereka daripada keladak jahiliyyah dan segala sesuatu yang ada hubungan dengan jahiliyyah supaya dapat dilihat dengan jelas siapakah yang mengikut Rasullullah s.a.w dengan ikutan yang bersih dari segala tujuan yang lain, iaitu ikutan yang penuh taat, patuh, yakin , redha dan menyerah diri. Dan siapa yang kembali semula kepada kekufuran kerana dikongkong oleh semangat kebangsaan jahilliyyah yang ada kaitan dengan bangsa, kaum, negeri dan sejarah atau semangat kebanggaan jahilliyyah dari apa bentuk sekalipun yang tersemat dicelah-celah lipatan perasaan dan hati nurani mereka samada dari jauh atau pun dekat
-          Begitulah ujian yang dihadapi oleh umat Islam di zaman Rasullullah s.a.w. Mereka diuji dengan perubahan qiblat semata-mata untuk menyaring hati-hati umat Islam ketika itu siapa yang betul-betul mengikut Rasullullah s.a.w dengan penuh ketaat, patuh, yakin serta redho.  Dan siapa pula yang kekal dalam keladak atau karat jahililiyyah. Samalah juga seperti yang berlaku hari ini, kita diuji dengan bermacam-macam ujian. Timbulnya pertembungan pendapat tentang aurat, akhlaq, hubungan dengan orang yang bukan Islam, ketaatan kepada hukum Islam, kebanjiran unsur-unsur maksiat dan banyak lagi yang mana kesemua ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyaring hati-hati manusia sekarang ini siapa yang betul-betul mengikut Rasullullah s.a.w dan siapa yang tidak.
-          Seterusnya kaum Yahudi menimbulkan provokasi dengan berkata: “Dahulunya kamu mengadap ke Baitul Maqdis tetapi sekarang kamu mengadap ke Baitullah, apa pula nasibnya dengan orang yang sudah meninggal dunia dizaman dahulu?” Mereka ingin mempengaruhi kaum muslimin bahawasanya orang zaman dahulu kesemuanya akan masuk neraka disebabkan tidak sempat dengan perintah mengadapkan diri ke Baitullah semasa hidupnya untuk mendirikan sembahyang. Kenyataan sebegini membuatkan para sahabat tertanya-tanya, bagaimana pula dengan hal mereka yang dahulunya bersolat mengadap Baitul Maqdis dan kemudiannya telah meninggal dunia. Pertanyaan mereka itu adalah dengan rasa kebimbangan kalau-kalau iman mereka itu tersia-sia. Kerana itulah mereka menimbulkan persoalan ini dengan mengemukakan alasan bahawa bahkan mereka yang telah mati itu, mati kerana syahid terbunuh mempertahankan Islam. Alangkah ruginya jika iman mereka tersia-sia. Lantas Allah s.w.t menjawab:
وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ
Bermaksud: “Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu.”
-          Di dalam ayat ini juga Allah s.w.t menamakan solat itu sebagai Iman. Benar sekali kerana solat itu adalah ibu kepada segala ibadah dan di situlah letaknya benih, baja dan tunas kepercayaan kita kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya solat dan Iman mereka tidak akan sekali-kali tersia-sia kerana mereka itu semasa hayatnya, bersolat mengadap Baitul Maqdis adalah kerana ketaatan mereka kepada Allah, sama seperti ketaatan kamu pada hari ini yang bersolat mengadap ke Kaabah, juga dengan perintah Allah s.w.t. Tiada bezanya orang yang beriman dahulu dan sekarang. Walaupun berlainan tempat qiblatnya tetapi atas dasar itu adalah perintah Allah s.w.t, maka Allah tidak sekali-kali mensia-siakan iman mereka. Dan semestinya penilaian Allah terhadap hambaNya dalah berdasarkan keimanan dan keyakinan mereka.


[1] Al-Baqarah, ayat 144
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 507
[3] Al-Suyuti, al-Dur al-Manthur, J. 1, mk 147
[4] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 221
[5] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 100
[6] Al-Nisaa’, ayat 5
[7] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 100
[8] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 102. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 13
[9] Diriwayatkan oleh Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, al-Turmizi, al-Nasa’ie dan lain-lain.
[10] Al-Nisaa’, ayat 41
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 511-512

No comments: