Dari blog Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir
Sudah lama saya tidak menulis di dalam laman ini. Ya, bukan sudah tapi
sangat lama. Menulis perlukan tumpuan.Jika ingin menulis tentang resepi
masakan pun perlukan penelitian bimbang masakan tidak menjadi, apatah
lagi menulis berkenaan agama yang sangat tinggi iaitu Islam. Sudah tentu
lebih diperlukan penelitian dan penumpuan. Bimbang disalahertikan dan
disalah tafsirkan. Bukan hanya percakapan yang akan menjadi penilaian
pada timbangan neraca akhirat kelak, malah tulisan juga sangat berat
penilaiannya kelak. Jika baik apa yang ditulis maka baiklah natijahnya,
jika buruk dan jelek apa yang dikarang dan disajikan pada pembaca maka
buruk jugalah natijahnya.
Sehari dua ini , ada suasana baru yang saya kira mula wujud dalam benak
pemikiran masyarakat khususnya golongan muda-mudi , siswa-siswi,
pemikir-pemikir dan lain-lain. Suasana yang saya maksudkan ialah sukakan
perdebatan atau dengan bahasa yang lebih sopan PERBAHASAN dan BERBALAS
HUJAH.
Ada yang mengatakan bahawa inilah yang paling Islamik, inilah yang
paling sesuai dengan zaman sekarang, zaman orang suka berfikir dan boleh
menilai. Jika diadakan perdebatan maka kita secara tidak langsung
membuka ruang untuk masyarakat membuat pilihan mana yang baik dan mana
yang buruk.
Persoalannya , benar atau tidak persepsi sebegini? Benar-benarkah ianya mengikut acuan agama?
Apakah Maksud Perdebatan @ Mujadalah ?
Kata Al-Allamah al-Muhaddis Al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah
rahimahullah : Perdebatan @ Mujadalah bermaksud berbalas hujah dengan
harapan dapat mengalahkan dan menundukkan musuh.
Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali rahimahullah pula menyebut bahawa
dengan perdebatan ini akan menyebabkan yang kalah akan dihina manakala
yang menang akan disanjung dan membangga diri dengan digelar sebagai
seorang yang bijak dan berilmu.
Hakikatnya perdebatan bukan untuk mencari kebenaran tetapi sebaliknya
hanya semata-mata untuk menjatuhkan lawan dihadapan orang ramai.
Mungkin ada yang akan bertanya : Bagaimana kita ingin membezakan di
antara berdebat untuk menjatuhkan seseorang dan berdebat untuk
menegakkan kebenaran?
Bagi membezakan kedua perkara ini , menurut Al-Allamah al-Syeikh Abdul
Fattah Abu Ghuddah seseorang perlu menilai kepada dirinya sendiri : Jika
dia berbahas dengan seseorang dan dia berusaha untuk menjatuhkan air
muka seseorang maka ketika tersebut dia termasuk di dalam perdebatan
yang dicela. Tetapi jika dia berusaha untuk memahamkan dan memberikan
penerangan sebaik mungkin terhadap perkara yang benar kepada lawannya
dengan menghormati pihak lawan maka pada ketika tersebut dia dikira
berdebat menegakkan kebenaran.
Perkara ini akan dirasai oleh kedua-dua pihak lawan tersebut sendiri.
Jika kesudahannya berakhir dengan kebencian di dalam hati maka itu
adalah perdebatan yang dicela, manakala jika ianya berakhir dengan
masing-masing mengakui kesilapan jika dia tersilap dan mengikut kepada
kebenaran jika pihak lawan di pihak yang benar, maka inilah perbincangan
@ debat yang dipuji oleh syarak.
Sebenarnya terdapat beberapa istilah yang sepatutnya difahami oleh kita
bagi membezakan apa yang disebut sebagai debat yang dicela, debat yang
dipuji @ perbincangan, dan lain-lain.
Al-Allamah Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid rahimahullah, salah seorang
ulama yang pernah mengajar di Masjid al-Azhar menyebut di dalam kitabnya
: Risalah al-Adab Fi Ilmi Aadab al-Bahsi wal Munazarah ( Risalah Adab
yang menerangkan tentang ilmu adab berbahas dan berbincang) berkenaan
perbezaan antara istilah mujadalah dan munazarah .
Tajuk kitab itu sahaja sudah dapat menunjukkan kepada kita bahawa ulama
tidak menggunakan tajuk ( adab bermujadalah) sebaliknya digunakan tajuk (
adab bermunazarah) . Kedua-dua ini adalah mempunyai maksud yang sangat
berbeza.
Maksud Mujadalah sudah saya terangkan pada permulaan tulisan saya.
Manakala maksud bagi Munazarah pula ialah : Perbincangan dua pihak
yang bertujuan untuk mempertahankan hujahnya yang benar dan membatalkan
hujah saudaranya dengan keinginan kedua-dua pihak bagi menjelaskan
kebenaran ( bukan berniat menjatuhkan dan memalukan pihak yang lain).
Cerita Menarik
Seorang lelaki telah pergi bertemu dengan seorang ahli bijak pandai lalu
berkata : " Aku ingin berdebat denganmu" , maka jawab Ahli Bijak Pandai
tersebut : " Boleh, jika kamu mampu tepati syarat-syarat yang aku
letakkan:
1) Jangan Marah
2) Jangan Tergesa-gesa
3) Jangan Bangga Diri
4) Jangan Cepat menghukum salah kepada orang lain
5) Jangan mentertawakan pihak lawan
6) Jangan menjadikan dakwaanmu ( tanpa bukti) sebagai dalil utamamu
7) Jika kita menggunakan khabar angin , maka tujuan kita hanyalah untuk bertanyakan adakah khabar itu benar atau tidak
8) Jika kita menggunakan hujah daripada akal maka jadikan pertentangan
itu sebagai taaruf ( untuk saling mengenali antara satu sama lain )
9) Perlu kita sematkan di dalam hati bahawa perdebatan ini hanya untuk mencari kebenaran bukan untuk menjatuhkan pihak lawan
10) Jangan sekali-kali berpaling kepada orang lain @ ke tempat lain ketika aku sedang berbicara denganmu
Adab-adab ini disebutkan oleh al-Imam Mahfuz bin Ahmad al-Kalwazani ,
Ketua Ulama Hanbali pada zamannya di dalam kitab ( al-Intisar Fi
al-Masail al-Kibar)
Kesimpulan
Jika semua jelas dengan istilah dan maksud sebenar perkara ini, maka
kita akan dapat menilai sebenarnya apa yang diingin-inginkan oleh
pemuda-pemuda sekarang yang hanya melihat kepada selesainya sesuatu
masalah dengan berdebat. Namun hakikatnya , setelah selesai perdebatan
langsung tiada tindakan daripada hasil perdebatan ke arah lebih baik.
Malah lebih buruk ingin menyerahkan kepada orang ramai membuat
penilaian. Adakah semua layak memberikan penilaian? Kebanyakkan orang
pada zaman sekarang hanya memberikan penilaian mengikut selera dan
pandang sisinya. Bukan kepada kebenaran. Hanya memandang kepada siapa
yang lebih hebat susunan katanya, berketerampilan dan lain-lain. Bukan
kepada kebenaran.
Ini hakikat yang mesti diterima , bukan dongengan.
Tak salah kalau saya katakan bahawa debat zaman sekarang hanya lebih
menyeronokkan nafsu bukan membangkitkan iman. Semoga Allah taala
menyelamatkan kita daripada fitnah akhir zaman ini.
Rujukan :
1) Risalah al-Musytarsyidin oleh al-Imam Al-Haris al-Muhasibi rahimahullah (165-243H)
2) Maraqi al-Ubudiyyah Syarah Bidayah al-Hidayah oleh al-Syeikh
Al-Allamah Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani rahimahullah ( 1315H)
3) Risalah al-Adab Fi Ilmi Aadab al-Bahsi wal Munazarah oleh Al-Allamah Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid al-Azhari rahimahullah.
Anda mungkin juga meminati: