Thursday, March 29, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 117-119)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 117

- Ayat ini menjelaskan bahawa Allah s.w.t itulah yang mewujudkan langit dan bumi daripada tiada kepada ada. Menjadikannya cukup lengkap beserta keindahannya sekaligus diperakui keajaiban buatanNya. Malah lebih hebat lagi daripada apa yang dikatakan sebagai ajaib. Ayat ini juga bermaksud tiap-tiap ciptaanNya tidak perlu kepada contoh sebelumnya[1]. Dan setiap kali Allah s.w.t ingin menciptakan sesuatu, tidak perlu dipanggil tukang atau pakar untuk berbuat sesuatu, memadai dengan hanya mengatakan “ kun” ertinya: “ jadilah engkau”, maka “ fayakun” ertinya: “ maka jadilah ia”

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [2]: “ Disini kita sampai kepada satu konsep Islam yang bersih dan sempurna mengenai Allah s.w.t dan bentuk hubungan antara Khaliq dan makhluk, juga mengenai cara kemunculan makhluk dari ciptaanNya. Konsep ini merupakan setinggi-tinggi dan sejelas-jelas kefahaman mengenai semua hakikat ini. Alam buana ini muncul dari penciptaanNya dengan perantaraan keputusan iradat Allah yang mutlak dan maha berkuasa iaitu :

كُنْ فَيَكُونُ

Keputusan iradat Allah hendak menjadikan sesuatu makhluk sudah cukup untuk melahirkan makhluk itu kealam wujud mengikut rupa bentuk yang telah ditentukan tanpa perantaraan kekuatan dan bahan, tetapi cara bagaimana iradat Allah (yang kita tidak mengetahui hakikat itu) berhubung dengan makhluk yang hendak diciptakan itu adalah satu rahsia yang tidak didedahkan kepada kefahaman manusia kerana keupayaan manusia tidak dilengkapkan dengan kesediaan untuk memahaminya. Dan memang sebegitu kehendak Allah kerana kefahaman tersebut tidak diperlukan dalam menjalani tugas yang diserahkan kepada mereka iaitu tugas memerintah dan mengimarahkan bumi ini”

Gerakan iradat itu berlansung dengan suatu cara yang tidak dapat diketahui oleh daya pemikiran manusia kerana hal ini diluar kemampuan daya pemikiran mereka. Oleh itu menjadi kerja membuang tenaga yang sia-sia untuk berusaha membongkar rahsia ini dan seolah-olah meraba-raba dipadang pasir tanpa pemandu.

2. Ayat 118

- Ibn ‘Abbas mengatakan asbab nuzul ayat ini ialah ketika mana Rafi’ bin Khuzaimah berkata kepada Rasullullah s.a.w : “ Sekiranya engkau adalah nabi yang diutuskan oleh Allah sepertimana yang engkau katakan, maka bagitahu kepada Allah berkata-katalah dengan kami sehingga kami boleh mendengarnya,” Maka turunlah ayat ini[3].

- Setelah dijelaskan pada ayat ke 117 sebelum ini tentang Allah s.w.t itu tiada bandingan dan tandingannya, tetapi sayangnya terdapat juga mereka yang mengingkari perintahNya. Ayat ini menjelaskan satu keburukan yang lain yang ditujukan kepada kaum musyrikin penduduk kota Makkah yang mengingkari kenabian Rasullullah s.a.w. Keburukan tersebut adalah daripada perangai mereka yang kononnya hendak mengemukakan usul dan rayuan yang berbunyi: “ Mengapakah Allah tidak lebih dahulu membicarakan bersama kami tentang kenabian Muhammad itu, dan tidak pula lebih dahulu mendatangkan tanda-tanda kekuasaanNya sebagai mandatnya?” Maksudnya mereka mahu Allah bercakap dengan mereka dalam erti kata berdiri dihadapan mereka. Paling tidak pun, datangkan kepada mereka tanda-tanda serta bukti daripada Allah, pada hal sudah banyak bukti yang telah diberikan kepada mereka tetapi mereka tidak mahu menyedari dan mengetahuinya.

- Mereka meminta Rasullullah s.a.w naik ke langit dengan menggunakan tangga supaya mereka dapat melihat sendiri dengan dua biji mata mereka. Dan juga dengan cara sebegitu jugalah mereka mahu supaya Baginda s.a.w membawa turun al-Quran bersamanya. Meraka juga meminta agar Rasullullah s.a.w mengadakan sungai di Makkah, menjadikan bukit Sofa itu emas sebagai harta benda dan begitulah seterusnya sebagai bukti kenabian Rasullullah s.a.w. Maka sebenarnya pekerti mereka sama sahaja dengan umat yang terdahulu[4] sepertimana firmanNya:

كَذَلِكَ قَالَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ مِثْلَ قَوْلِهِمْ تَشَابَهَتْ قُلُوبُهُمْ

Bermaksud: “ Demikian itulah berkata oleh mereka yang dahulu daripada mereka, serupa sahaja hati mereka”

- Antara kata-kata orang yang terdahulu (sudah tentu bani Israel)

لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً[5]

Bermaksud: “ Kami tidak sekali-kali akan beriman dengan mu (wahai Musa) sehinggalah kami dapat melihat Allah secara terang-terangan”

لَنْ نَصْبِرَ عَلَى طَعَامٍ وَاحِدٍ[6]

Bermaksud: “ Kami sudah bosan dengan makan makanan yang sama sahaja”

هَلْ يَسْتَطِيعُ رَبُّكَ أَنْ يُنَزِّلَ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنْ السَّمَاءِ[7]

Bermaksud: “ Adakah Tuhanmu (wahai Musa) sanggup menurunkan hidangan dari langit untuk kami”

قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَل لَنَا إِلَهاً كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ[8]

Bermaksud: “ Mereka berkata, wahai Musa adakanlah satu Tuhan untuk kami sebagaimana mereka itu mempunyai beberapa tuhan”

- Beginilah kata-kata mereka dan lain-lain lagi seumpamanya yang merupakan pekerti buruk dan tidak sopan yang ditujukan kepada Allah s.w.t. Kata-kata bani Israel dan kata-kata orang musyrik Makkah dizaman Rasullullah s.a.w itu sama sahaja batilnya. Dan demikianlah pula hati mereka yang serupa sahaja kufurnya dan sama sahaja degilnya sedangkan telah jelas tanda-tanda kekuasaanNya untuk mereka yang mahu yakin. Begitu juga dengan mereka yang bersifat sedemikian sekarang ini. Hati mereka itu keliru dan ragu-ragu terhadap Allah s.w.t. Tidak ada beza juga orang kafir zaman dahulu dengan orang yang kafir zaman sekarang. Yang bezanya hanyalah nama-nama mereka sahaja. Adapun sikap, perangai dan telatah mereka tidak ada perbezaan langsung.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [9]: “ Yang dimaksudkan dengan orang-orang yang tidak mengetahui disini ialah orang Arab yang ummiy dan musyrikin kerana tidak mempunyai apa-apa ilmu pengetahuan yang diambil dari kitab suci. Mereka sering kali mencabar Rasullullah s.a.w supaya Allah berbicara dengan mereka secara langsung atau menunjukkan kepada mereka sesuatu mukjizat dari mukjizat fizikal. Tujuan perkataan ini disebut disini ialah untuk menyatakan bahawa manusia sebelum mereka iaitu Yahudi dan lainnya pernah membuat tuntutan yang serupa ini kepada nabi-nabi mereka misalnya kaum Musa telah menuntut hendaklah melihat Allah secara terang-terangan. Mereka juga dengan degil menuntut mukjizat yang luar biasa. Oleh itu nyatalah bahawa diantara kaum musyrikin dan kaum Yahudi terdapat titik-titik keserupaan dari segi tabiat, keserupaan dari segi kefahaman dan keserupaan dari segi kesesatan.” Sepertimana firmanNya :

تَشَابَهَتْ قُلُوبُهُمْ

Maksudnya: “ Hati mereka sama sahaja”

Yak’ni kaum Yahudi tidak melebihi kaum musyrikin. Hati mereka sama sahaja dari segi kefahaman, kedegilan dan kesesatan.

- Seterusnya ayat ini diakhiri dengan firmanNya:

قَدْ بَيَّنَّا الآيَاتِ لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Bermaksud: “ Sesungguhnya Kami telah menerangkan ayat-ayat Kami bagi kaum yang yakin”

Ayat-ayat Allah ini boleh dibahagikan kepada dua, yang pertama ayat “Maqru’ah” dan yang kedua ayat “Manzurah”. Ayat Maqru’ah ialah ayat yang dibaca sebagaimana terkandung di dalam al-Quran sampailah ke hari qiyamat, tiada makhluk yang boleh menandinginya sekaligus menunjukkan ayat-ayat itu sebenarnya daripada Allah s.w.t. Ayat Manzurah pula ialah tanda yang dapat dilihat seperti bintang, bulan, matahari dan makhluk yang lain. Sekuat dan sehebat mana pun kerajaan di muka bumi ini, tidak mungkin dapat mencipta matahari, bulan dan kejadian Allah s.w.t yang lain. Inilah ayat atau tanda daripada Allah s.w.t yang dapat dilihat serta dimanfaatkan sehinggalah ke hari qiyamat.

- Matahari yang ada pada hari ini, matahari itu jugalah yang wujud di zaman Rasullullah s.a.w. Begitu juga dengan bulan, bintang dan lain-lain daripada ciptaanNya. Begitu jugalah dengan al-Quran yang dibaca dizaman sekarang yang mana al-Quran itulah juga yang dibaca di zaman Rasulullah s.a.w. Termasuklah hukum-hukumnya juga sama seperti yang telah diamalkan oleh Baginda s.a.w. Jika ada manusia yang mengatakan undang-undang al-Quran itu tidak sesuai dilaksanakan sekarang adakah boleh dia mengatakan bahawa matahari yang ada pada hari ini tidak lagi sesuai digunakan? Kerana mereka yang mengatakan al-Quran itu tidak sesuai diamalkan sekarang beerti dia juga sebenarnya mengatakan matahari pada hari ini tidak sesuai digunakan.

- Adakah boleh mereka itu menukar matahari yang ada pada hari ini dengan matahari yang lain? Mana mungkin boleh seperti mana tidak mungkin boleh ditukarkan hukum Islam kepada hukum yang lain. Hal ini demikian kerana ayat Allah yang Manzurah dan juga ayat Allah yang Maqru’ah tidak boleh dipinda dan mesti diamal olah manusia sepertimana yang telah diperintah oleh Allah s.w.t. Hanya mereka yang beriman serta yakin dan percaya sahaja yang mengerti dan faham bahawa itu adalah ayat-ayat Allah s.w.t. Adapun yang tidak yakin atau kurang percaya, mereka tidak akan sedar dan tidak akan tahu bahawa itu adalah ayat-ayat Allah s.w.t

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[10] : “ Orang yang mencapai keyakinan yang mantap didalam hatinya akan menemui bukti keyakinan didalam ayat-ayat itu dan akan menemui ketenteraman hatinya pada ayat-ayat itu. Ayat-ayat itu sendiri tidak mewujudkan keyakinan, malah keyakinanlah yang dapat memahami maksud ayat-ayat itu dan menjadikan hati yakin pada hakikatnya. Seterusnya keyakinanlah yang menyediakan hati manusia untuk melakukan penerimaan yang betul dan sampai kepada hakikatnya.”

3. Ayat 119

- Dalam ayat jelas Allah s.w.t menyatakan kepada Rasullullah s.a.w iaitu Allahlah yang mengutusnya kepada seluruh umat manusia menjadi rasul yang membawa kebenaran, petunjuk dan hidayah supaya mereka itu taat kepada Allah. Oleh kerana Allah s.w.t mengutuskan Rasullullah s.a.w dengan kebenaran maka yakin dan percayalah kita dengan kebenaran yang dibawa adalah kebenaran yang sebenar-benarnya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[11] : “ Dalam ayat ini al-Quran tujukan pula pembicaraan kepada Rasullullah s.a.w. Ia menerangkan kepada Baginda garis-garis tugas dan tanggungjawab dan mendedahkan kepada Baginda hakikat pertarungan yang wujud antar beliau dengan kaum Yahudi dan kaum Nasrani dan bentuk pertikaian yang tidak dapat diselesaikan melainkan dengan membayar harga yang tidak dapat dilakukan oleh Baginda dan andainya Baginda menunaikan harga itu beliau akan terdedah kepada kemurkaan Allah s.w.t”

- Seterusnya firman Allah s.w.t yang berbunyi:

بَشِيراً وَنَذِيراً

Maksudnya: “ Memberi berita gembira dan memberi amaran”

Antara tugas Rasullullah s.a.w juga ialah memberi berita gembira kepada mereka yang beriman, yakin dan percaya kepada Allah s.w.t . Mereka yang beriman dan beramal soleh ini diberi berita gembira dengan balasan syurga daripada Allah s.w.t dengan janji kurniaan yang tidak terhingga daripadaNya. Dan juga memberi amaran kepada mereka yang kafir serta derhaka dan menentang Allah s.w.t dari segi ta’abud kepadaNya mahupun meninggalkan hukum-hukumNya, mereka itu diberi amaran dengan neraka dan azab seksaNya hasil daripada apa yang telah mereka lakukan diatas muka bumi ini. Dan akhirnya ayat ini ditutup dengan firmanNya:

وَلا تُسْأَلُ عَنْ أَصْحَابِ الْجَحِيمِ

Bermaksud: “ Dan engkau tidak dipertanggungjawabkan tentang ahli neraka”

Beerti Rasullullah s.a.w tidak dipertanggungjawabkan lagi terhadap mereka yang kafir kerana Allah s.w.t sudah semestinya mengetahui kekufuran mereka. Hal ini demikian Baginda s.a.w telah menjelaskan kepada mereka tentang kebenaran Islam tetapi mereka masih berdegil serta tidak mahu ikut. Maka jika semua itu telah nabi sampaikan, terlepaslah nabi dari taksir atau kecuaian dan tiadalah kelak nabi akan ditanya Allah tentang orang-orang yang mengingkariNya sekaligus menjadi penghuni neraka[12].

- Mungkin mereka akan berkata mereka tidak dapat petunjuk atau hidayah lagi diatas kesemua dakwah-dakwah islam yang telah berada disekeliling mereka. Tetapi sebenarnya mereka sendiri yang menutup hati mereka tidak mahu memberi hidayah itu masuk lalu Allah tidak memberi petunjuk kepada mereka. Oleh sebab itulah orang yang beriman mesti teguh dengan agama Islam kerana itulah sahaja kebenaran yang hakiki dan jikalau mereka ingkar dan derhaka serta dimasukkan kedalam neraka tiada sesesiapa yang dipertanggungjawabkan kerana telah jelas tanda-tanda serta bukti kebenaran Islam melainkan ianya secara total tanggungjawab empunya diri sendiri.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata [13]: “ Iaitu orang-orang yang masuk kedalam neraka dengan perbuatan maksiat mereka, kerana merekalah yang bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.



[1] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 140. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 124

[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 415-416

[3] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 286

[4] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 287-288

[5]Al-Baqarah, ayat 55

[6] Al-Baqarah, ayat 61

[7] Al-Maidah, ayat 112

[8] Al-‘A’raf, ayat 138

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 419-420

[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 420

[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 419-421

[12] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 170.

[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 419-423

No comments: