بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 96
- Di dalam ayat ini, digambarkan kepada kaum Yahudi bahawa terdapatnya satu golongan kaum yang terlalu tamak sehinggakan mahu hidup selama-lamanya di dalam dunia ini. Hidup yang tidak terbatas walaupun mencapai seribu tahun lamanya. Sesungguhnya memang sudah terdapat golongan seperti ini yang bermimpi sebegini sehinggalah membawa kepada zaman sekarang ini. Sama ada merupakan hidup fahamnya iaitu kefahaman kepada kebendaan supaya kekal ataupun merupakan hidup simbolnya iaitu simbol cara kehidupannya yang sesat[1]. Golongan ini adalah golongan yang tidak percayakan adanya Allah s.w.t sebagai Tuhan yang menjadikan alam dan seisinya. Berkata Abu al-‘Aliyah[2] mereka dikenali sebagai orang Majusi yang mana mereka ini bercita-cita untuk hidup seribu tahun. Apabila mereka bertemu sesama sendiri, lalu mereka mengucapkan kalimah dengan simbol atau cogan kata yang berbunyi : “ Hidup seribu tahun lagi”[3] dan dibalas oleh kawannya dengan cogan kata yang sama.
- Adapun golongan Yahudi ataupun Nasrani, walaupun mereka itu menyekutukan Allah s.w.t, tetapi mereka masih tergolong daripada ahli kitab disebabkan adanya kepercayaan kepada Allah s.w.t dan mengakui Allah s.w.t itu sebagai Tuhan mereka serta percaya pula dengan adanya hari qiyamat iaitu hari manusia akan dibangkitkan semula daripada kubur. Tetapi golongan Majusi ini, memang benar-benar tidak mempercayai adanya Allah s.w.t dan tidak pula mempercayai datangnya hari qiyamat. Justeru itu mereka berpendapat hidup hanyalah sekali dan bila sudah mati, tidak akan hidup kembali.
- Maka dalam ayat ini jelaslah bahawa Allah s.w.t telah mencela kaum Yahudi kerana mereka lebih tamak dari golongan orang yang mahu hidup seribu tahun lagi (ya’ni golongan Majusi). Hal ini demikian kerana kaum Majusi tidak tahu apa-apa, tidak menyedari adanya azab neraka, tetapi kaum Yahudi menyedari semua itu dan oleh sebab itulah mereka mahu hidup lama di atas dunia kerana takut akan azab api neraka sepertimana firmanNya [4]:
وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَداً بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ
Bermaksud: “ Tiadalah suka mereka itu mencintai mati selama-lamanya, disebabkan dosa yang tangan mereka kerjakan”
Ayat ini menjelaskan apakah yang menarik hati mereka bercita-cita tamakkan hidup lama dan tidak menginginkan mati? Jawabnya ialah kerana mereka sedar bakal diseksa . Kalau boleh biarlah umur mereka panjang sampai seribu tahun. Tiap-tiap tahun bila sampai tarikh lahir, sambut hari jadi dan minta umur dipanjangkan lagi dengan niat untuk bersuka ria dan melakukan pelbagai maksiat bukannya untuk menginsafkan diri kerana umur sudah lanjut serta bertaubat atas dosa yang telah dilakukan dan sekaligus mengingati akan mati.
- Inilah dia perangai kaum Yahudi dan kita minta berlindung daripada berperangai sedemikian. Seterusnya Allah s.w.t mengatakan walaupun lanjut usia sehingga seribu tahun sekalipun, manusia tidak berdaya untuk menolak azab Allah s.w.t sepertimana firmanNya :
وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنْ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “ Tidak akan menjadi jauh daripada azab neraka itu (tetapi menjadi semakin hampir dengan neraka) meskipun panjang usianya dan Allah Maha Melihat dengan apa yang mereka itu amalkan”.
Seksa Allah itu tidak akan berenggang jauh dari manusia walaupun seberapa lama pun umur mereka dilanjutkan. Malah semakin berusia, semakin banyak pula masalah yang mendatang. Seperti daya tenaga yang semakin menyusut, kulit semakin berkedut dan ditambah pula penyakit yang bergilir-gilir datang bertandang. Sekalipun rajin berubat, masih tidak terlepas dari derita penyakit tersebut. Maka benarlah maksud firman Allah s.w.t diatas tadi “Tidak akan menjadi jauh daripada azab neraka itu (tetapi menjadi semakin hampir dengan neraka) meskipun panjang usianya” kerana pada realitinya, sebelum bertemu seksa azab neraka kita dahulu diazab dengan berbagai derita didalam dunia.
2. Ayat 97:
- Sebab turunnya ayat 97 ini sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Turmidzi, sesungguhnya telah berkata kaum Yahudi kepada Rasullullah s.a.w : “ Sesungguhnya tidaklah nabi itu daripada para anbiya’ kecuali didatangkan Malaikat oleh Allah s.w.t kepadanya dengan membawa risalah dan wahyu, maka siapakah temanmu (daripada kalangan Malaikat) untuk kami mengikutmu. Maka jawab baginda : “ Jibril’. Lalu mereka berkata: “ Itulah (Jibril) yang menurunkan peperangan dan pembunuhan, itulah musuh kami. Sekiranya kamu Katakan Mikail yang menurunkan ketenangan dan kemakmuran nescaya kami akan mengikutmu. Maka turunlah ayat ini[5].
- Berkata al-Imam Abu Ja’far al-Tabari : “Telah sepakat semua ulama’ bahawasanya ayat ini diturunkan untuk menjawab dan menafikan dakwaan kaum Yahudi yang menyatakan bahawasanya malaikat Jibril itu adalah seteru mereka dan Malaikat Mikail itu adalah wali mereka. Tetapi mereka berselisih terhadap sebab kenapa terjadinya sebegitu antaranya[6]”:
- Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibn ‘Abbas dan berkata Ibn ‘Abbas “ Sesungguhnya telah hadir beberapa orang Yahudi menemui Rasullullah s.a.w lalu mereka berkata : “ Wahai Abu al-Qasim[7] ! berkatalah kepada kami melalui apa yang kami tanyakanmu tentangnya, yang mana soalan-soalan ini tidak diketahui jawapannya melainkan seorang nabi.” Maka Rasullullah s.a.w menjawab : “ Tanyalah aku apa yang kamu mahu tanya”. Lalu mereka bertanya dan Baginda menjawab dan semua jawapan itu betul. Kemudian itu mereka bertanya lagi “ Maka beritahu kami pula siapa walimu, taulan yang akrab sekali dari kalangan Malaikat dan kalau kamu boleh menjawabnya, inilah yang menentukan sama ada kami bersama denganmu atau kami putus hubungan denganmu.” Maka Baginda menjawab: “ Waliku ialah Jibril dan Allah s.w.t tidak akan membangkit seorang nabi melainkan malaikat Jibrillah yang menjadi walinya”. Lalu mereka berkata : “ Disini dan sekarang ini, maka berpisahlah kita” Ertinya mereka tidak mahu mengikut Rasullullah s.a.w atas dasar Baginda mengakui Jibrillah sebagai taulan yang paling akrab dari kalangan Malaikat walaupun sudah dijawap soalan yang diberi dan mereka mengakui sendiri bahawa soalan itu hanya boleh dijawap oleh nabi sahaja. Baginda bertanya kembali “ Apakah yang menghalang kamu untuk membenarkannya?” mereka berkata: “ Ini (Malaikat Jibril) ialah musuh kami.”
- Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas b. Malik berkata: “ Aku mendengar Abdullah b. Salam[8] berjumpa dengan Rasullullah sedangkan pada masa itu dia berada di satu tempat yang bernama Yathrib lalu dia datang menemui Rasullullah dan bertanya : “Sesungguhnya aku mahu bertanyakanmu dengan 3 soalan dimana tidak mengetahui melainkan seorang nabi dan kalau kamu boleh menjawabnya, maka kamu benar-benar seorang nabi. Lalu beliau pun bertanya: “ Soalan pertama, apakah tanda yang pertama berlakunya qiyamat. Soalan kedua, apakah dia makanan pertama kepada ahli Syurga dan soalan yang ketiga, apakah yang menyebabkan seseorang anak itu menyerupai bapanya atau ibunya?” Lalu Baginda pun berkata: “ Telah memberitahu jawapannya oleh Jibril baru sebentar tadi” Terkejut Abdullah lalu berkata: “ Malaikat Jibril?” Baginda pun menjawab : “Ya”. Lalu Abdullah pun menyatakan bahawa Jibril adalah musuh kaum Yahudi dari kalangan Malaikat. Lalu terus Baginda membaca ayat ke 97 yang berbunyi :
قُلْ مَنْ كَانَ عَدُوّاً لِجِبْرِيلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَى قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ مُصَدِّقاً لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَهُدًى وَبُشْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ
Bermaksud: “ Katakanlah wahai Muhammad sesiapa yang berseteru kepada Malaikat Jibril maka sesungguhnya ia menurunkan al-Quran kedalam hatimu dengan izin Allah, membenarkan apa yang ada padanya dan memberi petunjuk serta berita gembira bagi orang mukmin.”
Lalu baginda memberitahu jawapan kepada ketiga-tiga soalan tersebut: “ Bahawa jawapan yang pertama yang berkait dengan tanda qiyamat ialah api yang keluar dari negeri sebelah timur dimana api ini akan mengumpulkan manusia ke negeri sebelah barat. Jawapan bagi soalan yang kedua ialah adapun makanan yang pertama bagi ahli syurga adalah pati hati ikan dan jawapan yang ketiga ialah yang menjadikan anak itu menyerupai bapa atau ibunya ialah apabila mendahului mani lelaki daripada mani perempuan maka anak itu akan menyerupai bapanya dan begitulah sebaliknya. Apabila mendengar jawapan Rasullullah s.a.w, maka Abdullah bin Salam pun berkata “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan engkau wahai Muhammad pesuruh Allah”. Dan Abdullah meminta izin kepada Baginda untuk menyembunyikan diri dan meminta jikalau datang kaum Yahudi mencarinya, tanyakan kepada mereka dahulu siapakah sebenarnya Abdullah b. Salam. Maka apabila rombongan Yahudi sampai maka ditanyakan kepada mereka siapakah Abdullah. Lalu rombongan Yahudi ini menjelaskan bahawa Abdullah adalah seorang yang alim, mulia, dihormati dan dianggap sebagai pemimpin atau ketua dikalangan mereka. Sedang mereka memuji dengan pujian yang amat banyak, maka keluarlah Abdullah dengan kalimah syahadah meniti dibibirnya. Maka pada ketika dan saat itu juga Abdullah b. Salam yang tadinya alim serta berbagainya lagi pujian yang diucapkan tadi oleh rombongan tersebut bertukar menjadi Abdullah yang jahil, bodoh dan pengkhianat[9].
- Diriwayatkan juga pada suatu hari Sayyidina ‘Umar Ibn al-Khattab r.a berangkat ke ladang yang terletak dihulu Madinah. dalam perjalanan tersebut beliau melalui tempat orang Yahudi mempelajari kitab Taurat sambil singgah dan berbual-bual dengan mereka disana. Maka kaum Yahudi pun bertanya tentang siapakah yang datang kepada Rasullullah s.a.w dari kalangan Malaikat. Lalu Sayyidina ‘Umar pun menjawab “ Malaikat Jibril namanya”. Lalu mereka berkata : “ Jibril itu seteru kami, dialah memecahkan rahsia kami, sehingga diketahui oleh Muhammad. Dialah yang membawa seksa, yang membuat kebinasaan dan kesusahan. tetapi kalau Malaikat Mikail memang baik kerana dia membawa kemakmuran dan ketenteraman[10]. Kata ‘Umar pula: “ Kamu telah pun tahu malaikat Jibril, tetapi kamu ingkari pula Muhammad”. Mereka menjawab : “ Ya! sudah tentu”. Berkata pula ‘Umar: “Apa yang kamu ketahui tentang malaikat Jibril dan Mikail berkenaan kedudukkan mereka disisi Allah s.w.t?” Mereka menjawab : “ Jibril itu di kanan Allah dan Mikail di kiri Allah dan Mikail itu musuh kepada Jibril”. Maka berkata ‘Umar: “ aku naik saksi bahawa barang siapa menjadi seteru kepada salah satu dari kedua malaikat tadi, adalah ia seteru kepada kedua-dua sekali. Dan barang siapa menjadi seteru kepada kedua-duanya adalah ia seteru kepada Allah s.w.t. Lalu Sayyidina ‘Umar pun beredar pulang untuk menemui Rasullullah s.a.w tetapi sebelum sampai kesana, Jibril sudah terlebih dahulu membawa wahyu Allah iaitu ayat 97 ini untuk disampaikan kepada Rasullullah s.a.w[11].
- Mengapakah kaum Yahudi amat bermusuh dengan Malaikat Jibril kerana Malaikat itu diantara tugasnya ialah menurunkan wahyu disamping menjadi pemimpin Malaikat yang menurunkan bala bagi menghancurkan musuh-musuh Allah. Ertinya mereka bermusuh dengan Jibril sebab marahkan Jibril kerana menurunkan wahyu kepada Rasullullah s.a.w tidak kepada mereka sedang mereka sangat-sangat mengharapkan nabi akhir zaman itu mestinya dari golongan mereka. Malah banyak wahyu-wahyu tersebut membongkar tembelang mereka. Dan juga mereka mengetahui sendiri bala-bala yang diturunkan kepada kaum sebelum mereka seperti kaum ‘Ad, Thamud dan moyang mereka sendiri pernah ditimpa bala yang mana bala ini diturunkan oleh Allah dan Jibrillah yang ditugaskan untuk menyempurnakannya. Oleh sebab-sebab inilah membuatkan mereka kecewa sekaligus memusuhi Jibril a.s
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata:[12] “ Di dalam kisah cabaran ini kita dapat mengetahui satu lagi sifat kaum Yahudi yang sungguh aneh. Mereka terlalu marah kerana Allah s.w.t telah menurunkan limpah kurnia (wahyuNya) kepada mana-mana hamba yang dikehendakiNya hingga melampai segala batas. Kemarahan itu telah membawa mereka kepada satu sikap yang bertentangan sekaligus gus tidak diterima aqal. Mereka telah mendengar Jibril menurunkan wahyu dari Allah s.w.t kepada Rasullullah s.a.w dan oleh kerana permusuhan mereka dengan Baginda telah sampai ketahap dendam kesumat, maka mereka telah merekakan satu cerita yang lemah dan alasan yang kosong. Mereka mendakwa kononnya Jibril itu musuh mereka kerana dialah yang menurunkan kebinasaan, kehancuran dan azab keseksaan dan inilah sebab yang menghalang mereka dari beriman kepada Rasullullah s.a.w. Ya’ni mereka tidak beriman kepada Baginda kerana Jibril . Andainya Malaikat yang menurunkan wahyu itu Mikail tentulah mereka beriman kerana Mikail menurunkan kemakmuran, hujan dan kesuburan. Itulah suatu ketololan yang lucu. Tetapi kemarahan dan dendam kesumat sememangnya membawa manusia kepada segala macam ketololan. Jika tidak, mengapakah mereka memusuhi Jibril? Sedangkan Jibril bukan manusia yang bekerja bersama mereka atau menentang mereka. Ia tidak berbuat sesuatu dari perancangan dirinya sendiri malah dia hanya seorang hamba Allah yang bekerja mengikut apa yang diperintahkan Allah dan tidak melanggar segala suruhanNya”
- Allah s.w.t menurunkan al-Quran kedalam jiwa Rasullullah s.a.w melalui perantaraan Jibril sehingga Baginda mengingatinya dengan sepenuhnya dan menjadi ilmu yang tidak akan dilupai lagi. Maksudnya Jibril itu bukannya didorong oleh keinginan dan kemahuanya sendiri menurunkan al-Quran ini kedalam hati Baginda. Malah dia hanya melaksanakan perintah Allah s.w.t. Hati itu merupakan wadah penerima wahyu dan hatilah yang memahami wahyu setelah menerimanya dan didalam hatilah diletak dan dipeliharakan al-Quran itu.Terdapat banyak cara jibril menurunkan wahyu kepada Baginda s.a.w. Kadang-kadang Baginda mendengar suara yang bergema seperti loceng dengan dia tidak melihat Malaikat Jibril tetapi para sahabat dapat memastikan bahawa Baginda telah menerima wahyu. Apabila Baginda mengulangi ayat yang diwahyukan itu, wajahnya berbeza daripada kebiasaan. Apabila menerima wahyu, wajahnya berubah dan badannya berpeluh sehingga basah tubuh Baginda s.a.w. Kadang-kadang di masa yang lain pula, Jibril merupakan dirinya seperti seorang lelaki, dan kadang-kala merupakan dirinya yang asal yang hanya dapat dilihat oleh Rasullullah s.a.w mengikut cara yang diizinkan oleh Allah s.w.t
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[13]: “ Al-Quran pada umumnya membenarkan segala kitab samawi yang diturunkan sebelumnya, kerana asas agama Allah itu sama sahaja dalam semua kitab samawi dan seluruh agama Ilahi. Al-Quran itu memberi hidayah dan berita gembira kepada para mukminin yang membuka pintu hati mereka dan memberi sambutan mereka kepadanya. Inilah hakikat yang harus ditonjolkan. Ayat –ayat al-Quran ini mencurahkan rasa mesra kedalam hati mukmin, juga pintu-pintu ma’rifah dan melimpahkan berbagai-bagai saranan dan perasaan yang tidak mungkin wujud tanpa keimanan dan kerana itu hati mukmin mendapat hidayah dari al-Quran dan merasa senang dengan berita gembira yang terkandung didalamnya. Kita dapati hakikat ini berulang-ulang kali disebut di dalam berbagai-bagai hubungan antaranya;
هُدًى لِلْمُتَّقِينَ[14]
Memberi hidayah kepada para muttaqin
هُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ[15]
Memberi hidayah dan rahmah kepada kaum yang beriman
وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ[16]
Memberi hidayah dan rahmah kepada kaum yang mempunyai keyakinan
شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ[17]
Menjadi penawar dan rahmah kepada para mukminin
Jadi, hidayah itulah hasil dan buah dari keimanan, ketaqwaan dan keyakinan sedangkan bani Israel tidak beriman atau tidak bertaqwa atau tidak mempunyai keyakinan.
- Maka dengan ini jelas tugas Jibril, iaitu membawa wahyu daripada Allah s.w.t yang membenarkan apa yang ada pada orang Yahudi dan petunjuk yang membezakan mana yang hak dan mana yang batil. Petunjuk yang membawa kearah kebenaran, kebahagian di dunia dan kebahagian di akhirat serta berita gembira khas untuk orang-orang beriman. Apakah berita gembira tersebut? Ianya adalah berita tentang syurga, balasan pahala yang telah disediakan oleh Allah s.w.t kepada mereka yang beriman.
[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 137
[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 112.
[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 112
[4] Al-Baqarah, ayat 95
[5] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 36. Lihat juga Asbab al-Nuzul oleh al-Suyuthi, mk. 23 dan Asbab al-Nuzul oleh al-Wahidi, mk 15.
[6] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 234
[7] Antara gelaran nabi Muhammad s.a.w
[8] Seorang ulama besar Yahudi dan kisah ini telah diceritakan pada pelajaran yang lalu. Mengikut riwayatnya memang Abdullah b. Salam ini ditugaskan oleh kaum Yahudi untuk berbahas dan mengemukakan beberapa soalan kepada Nabi Muhammad s.a.w
[9] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 234-235. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 129-130 dan juga al-Imam Abu Ja’far al-Tabari, Tafsir al-Tabari, J.2, mk 342
[10] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 235-236
[11] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 139-140. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 114.
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 360
[14] Al-Baqarah, ayat 2
[15] Al-‘A’raf, ayat 52
[16] Al-Jathiyah, ayat 20
[17] Al-Isra’, ayat 82.
No comments:
Post a Comment