Wednesday, October 19, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 67-73)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 67

- Bermula daripada ayat ini masih lagi mengisahkan tentang bani Israel dan kali ini dengan seekor lembu dan daripada kisah inilah surah ini dinamakan surah al-Baqarah iaitu bermaksud “seekor lembu betina”. Mengikut riwayatnya pada zaman tersebut berlaku satu kes pembunuhan seorang kaya dikalangan bani Israel yang hanya mempunyai anak saudaranya sahaja sebagai pewaris yang sah terhadap harta orang kaya tersebut. Oleh kerana anak saudaranya tidak tahan sabar kerana lambatnya bapa saudaranya mati, lalu dibunuhnya bapa saudaranya dan dicampakkan mayat bapa saudaranya diantara dua kampung qabilah bani Israel[1].

- Lalu anak saudaranya itu bertemu nabi Musa a.s dan mendakwa bahawa bapa saudaranya telah dibunuh oleh orang lain sebagai helah melepaskan diri dari tuduhan orang bahawa dia yang sebenarnya pembunuh. Tetapi orang-orang yang dituduh itu menyangkal, hal ini demikian berlakulah pertengkaran serta tuduh menuduh diantara satu sama lain lalu timbullah kerumitan bagi pihak nabi Musa a.s untuk mengadili perkara ini lalu bermohonlah ia kepada Allah s.w.t moga-moga dapat menerangkan kedudukan perkara ini dengan sebenarnya dan mereka tidak ragu-ragu dan menuduh antara satu sama lain.

- Kemudiannya Allah memberitahu kepada nabi Musa a.s akan perintahnya kepada bani Israel, jikalau mahu penyelesaian tentang kes pembunuhan tersebut maka sembelihlah seekor lembu betina. Itu sahaja perintah Allah s.wt. Tetapi mereka membalas dengan berkata yang telah dirakamkan dalam ayat ini yang berbunyi:

قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُواً

Maksudnya: “ Adakah kamu mahu buat main-main (perkara yang serius ini)”

Ertinya mereka menganggap sembelih lembu itu bukan cara yang sebetulnya untuk menyelesaikan masalah sedangkan arahan itu datang daripada mulut Rasul mereka sendiri bahkan mereka sendiri maklum bahawa arahan tersebut sebenarnya adalah dari Allah s.w.t. Al-Qurtubiy didalam tafsirnya jelas mengatakan bahawa tidak sah iman seseorang itu jikalau berkata sedemikian kepada seorang rasul yang sudah jelas kerasulannya serta mukjizatnya dan jika ada seseorang pada hari ini berkata sedemikian terhadap kata-kata nabi Muhammad s.a.w maka wajib menkafirkan orang yang berbuat sedemikian[2].

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[3]: “ Sebenarnya dengan perkataan ini sahaja sudah cukup untuk mereka menerima dan melaksanakan perintah itu, kerana nabi mereka ialah pemimpin mereka yang telah menyelamatkan mereka dari azab penindasan Fir’aun yang amat dahsyat. Dia juga menyelamatkan mereka dengan rahmah dari Allah, dengan pemeliharaan dan tunjuk ajar. Dia juga telah menyatakan kepada mereka bahawa perkara ini bukanlah dari urusannya dan bukanlah keluar dari pemikirannya, malah ia adalah dari urusan Allah s.w.t yang selama ini memimpin mereka supaya mengikuti hidayatNya. Apakah jawapan mereka? Jawapan mereka amat kasar dan biadab. Mereka menuduh nabi mereka yang mulia itu sebagai mempermain-mainkan mereka seolah-olah terfikir oleh mereka bahawa seseorang yang mengenal Allah apatah lagi menjadi rasulNya tergamak menggunakan nama Allah dan urusanNya sebagai bahan senda gurau diantara orang ramai”.

- Setelah itu nabi Musa a.s pun menjawab:

قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنْ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “ Aku berlindung dengan Allah s.w.t daripada termasuk dikalangan orang yang jahil” . Ayat ini jelas menggambarkan bahawa segala kritikan, bangkangan serta persoalan atas dasar tidak setuju terhadap setiap hukum Allah s.w.t akan mencampakkan seseorang itu kedalam lembah kejahilan sepertimana sabda Rasullullah s.a.w yang berbunyi : “ Apa yang aku suruh buat, buat segera dan apa yang aku larang jangan kamu buat dan jangan kamu banyak bertanya. Sesungguhnya umat-umat zaman dahulu mereka menjadi binasa kerana banyak bertanya secara main-main dan mereka bertelingkah dengan nabi-nabi mereka”

2. Ayat 68:

- Ayat ini jelas menggambarkan sikap tidak puas hati kaum bani Israel terhadap jawapan yang diberi oleh nabi Musa a.s merujuk kepada penyelesain kes pembunuhan itu. Sebenarnya jika mereka kerjakan sekadar apa yang disuruh sahaja sudah cukup dan memadai[4]. Tetapi oleh kerana cerewet sangat, bertanyakan perkara yang remeh temeh yang bukan menjadi perkara pokok semata-mata kerana hendak menunjukkan pandainya mereka berbahas sedangkan mudaratnya lebih banyak daripada manfaatnya[5]. Sabda Rasullullah s.a.w[6] :

لو اعترضوا أدنى بقرةً فذبحوها لَكَفَتْهم ولكن شدّدوا فشدّد الله عليهم

Maksudnya: “Jikalau mereka mencari mana-mana lembu sahaja dan menyembelih sudah cukup lembu itu bagi mereka, tetapi mereka sengaja menyusahkan (dengan banyak pertanyaan) maka Allah menyusahkan keatas mereka (dengan berbagai-bagai syarat bagi lembu tersebut)”

- Maka turunlah beberapa wahyu dalam menambahkan hukum kepada pencarian lembu tersebut tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk memberatkan usaha pencarian lembu tersebut disebabkan banyaknya persoalan terhadap arahan Allah s.w.t . Secara logiknya mereka memang berupaya mendapatkan mana-mana lembu betina dan terus menyembelihnya untuk menjunjung perintah Allah s.w.t dan melaksanakan suruhan rasulNya, tetapi mereka telah dikongkong oleh tabiat suka berlengah-lengah dan menyeleweng dan kerana itu mereka banyak bertanya.

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[7]: “Ciri-ciri utama tabiat dan watak bani Israel kelihatan begitu jelas dalam kisah lembu ini iaitu putus hubungan hati mereka dengan mata air keimanan yang jernih hening, iaitu mata air keimanan dan kepercayaan kepada Allah s.w.t dan kesediaan untuk mempercayai segala apa yang dibawa oleh para rasul. Juga ciri enggan menyambut dan mematuhi perintah , ciri berpura-pura mencari alasan dan ciri suka mempersenda-sendakan yang terbit dari hati yang kasar dan lidah yang lancang”

- Mereka pun berkata: “Wahai Musa! lembu apakah itu? Ini kerana lembu itu banyak jenis dan warnanya dan orang yang memeliharanya pun ramai” Lalu nabi Musa a.s berkata berdasarkan wahyu yang diterima “ Lembu itu tidak tua dan tidak muda dan buatlah apa yang disuruh dengan segera dan tidak payah bertanya lagi”

3. Ayat 69-71:

- Tetapi mereka bertanya lagi “ Bagaimana pula tentang warnanya? kerana kami masih dalam keraguan dan insyaAllah kalau engkau terangkan semuanya tentu kami dapat mencarinya” maka turun lagi wahyu, lalu menjawab nabi Musa : “ Lembu itu berwarna kekuningan seperti emas yang menggembirakan setiap orang yang melihatnya ( senang hati atau gembira melihat lembu itu)” . Demikianlah mereka menyempitkan ruang pilihan keatas diri mereka sendiri. Pada awalnya mereka mempunyai pilihan yang amat luas. Kini mereka diperintah bukan lagi mencari mana-mana lembu betina, malah lembu betina yang cukup syarat-syaratnya yang amat membebankan mereka.

- Walaupun mereka berkata insyaAllah tetapi mereka tetap berdegil, bertangguh lagi dengan tidak bersegera melaksanakan terus apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t .Turun lagi wahyu yang mana Allah s.w.t berfirman kepada nabi Musa a.s: “ Lembu itu ialah lembu yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah, menyiram tanaman, tidak ada cacat dan tidak ada warna lain walaupun sedikit”. Allah s.w.t berfirman:

قَالُوا الآنَ جِئْتَ بِالْحَقِّ

Maksudnya: “ Sekarang barulah engkau menerangkan sifat-sifat yang sebenar”

- Maka setelah perkara itu menjadi rumit dan dikenakan berbagai syarat yang banyak dan setelah ruang pilihan menjadi begitu sempit barulah mereka mengakui perintah itu benar seolah-olah perintah yang diawal tadi tidak menyakinkan mereka bahawa itu adalah benar.

- Mengikut riwayatnya mereka mencari lembu tersebut dalam keadaan bersusah payah dan hampir mereka tidak menemuinya. Akhirnya mereka bertemu juga dengan lembu tersebut yang dipelihara oleh seorang lelaki yang amat taat kepada ibunya yang diberi kelebihan oleh Allah s.w.t untuk menjadi kaya raya. Mereka ingin membeli lembu tersebut tetapi lelaki itu menjual dengan harga yang cukup tinggi iaitu emas seberat lembut tersebut. Ini adalah ilham daripada Allah s.w.t kepada lelaki itu untuk menaikkan harga lembu itu agar menjadi bebanan kepada bani Israel yang terlalu banyak mempersoalkan perintah Allah s.w.t dan menjadi kelebihan kepada orang yang taat kepada orang tuanya.

- Maka mencarilah mereka emas dan hampirlah mereka tidak berjaya mendapatkannya. Hendak cari lembu lain , tiada yang menepati ciri-ciri ataupun spesifikasi yang telah ditetapkan. Mahu tidak mahu terpaksalah mereka mengumpul emas sesama sendiri dan akhirnya dapat juga dibeli lembu tersebut lalu disembelih.

4. Ayat 72:

- Ayat ini objektifnya untuk peringatan kaum Yahudi yang hidup sezaman dengan nabi Muhammad s.a.w bahawa terdapat suatu pembunuhan (kes pembunuhan yang telah diceritakan sebelum ini) yang telah dilakukan oleh kaum bani Israel terhadap kaumnya yang lain sehingga peristiwa yang menggemparkan ini mengakibatkan pertengkaran dan tuduh menuduh sesama mereka kerana tiada tahu hal yang sebenarnya. Kesulitan yang telah mereka hadapi itu dapat diselesaikan oleh Allah s.w.t dengan arahannya menunjukkan semua jalan penyelesaian terhadap semua masalah yang tidak dapat diketahui apatah lagi yang dapat diketahui oleh manusia adalah perlu mengikut segala perintah dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

5. Ayat 73:

- Ayat ini menggambarkan suruhan Allah s.w.t kepada bani Israel agar memukul orang yang terbunuh itu dengan sebahagian anggota lembu yang disembelih tadi. Maka dengan takdir Allah s.w.t hiduplah mangsa pembunuhan itu seketika itu lalu bangun dan bercerita bahawasanya anak saudaranyalah yang membunuhnya kemudian mangsa tersebut mati semula. Ayat ini juga menunjukkan betapa hebatnya kekuasaan Allah s.w.t oleh itu berimanlah kamu kepadaNya dan percayalah kepada kekuasanNya. Tetapi mengapakah dengan cara menyembelih lembu? sedangkan Allah s.w.t berkuasa menghidupkan yang mati tanpa sebarang cara pun. Dan apa pula hubung kaitnya lembu betina tersebut dengan mangsa yang terbunuh itu?

- Mengikut adat bani Israel lembu-lembu itu disembelih kerana qurban. Ertinya kejahatan itu mesti ditebus dan dibasuh dengan darah yang dialirkan dengan penyembelihan seekor lembu sebagai qurbannya[8]. Sepotong anggota dari lembu yang disembelih itu dapat mengembalikan nyawa kepada jasad yang terbunuh sedangkan anggota itu tidak mempunyai hayat dan qudrat untuk menghidupkan yang mati. Ianya adalah merupakan satu cara atau wasilah yang zahir yang dapat menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t kepada mereka. Qudrat yang tidak diketahui manusia bagaimana ia bertindak. Mereka hanya melihat kesan-kesan qudrat sahaja tetapi tidak mengetahui hakikat dan cara ia bekerja.

- Firman Allah s.w.t:

كَذَلِكَ يُحْيِ اللَّهُ الْمَوْتَى

Maksudnya: “Demikianlah Allah menghidupkan orang yang mati”

Ya’ni beginilah caranya Allah menghidupkan yang mati (merujuk kepada kes pembunuhan ini). Kamu melihatnya berlaku tetapi kamu tidak mengetahui bagaimana ia berlaku. Allah s.w.t menghidupkan yang mati dengan cara yang amat mudah seperti kes ini tanpa sebarang kesulitan dan kesukaran. Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[9]: “Jarak diantara tabiat mati dan tabiat hidup adalah satu jarak amat jauh yang memeningkan kepala manusia, tetapi didalam perhitungan Allah s.w.t , jarak ini amat kecil. Bagaimana sebegitu? Ini adalah suatu rahsia yang tiada siapa pun mengetahuinya dan tidak mungkin bagi sesiapa pun mengetahuinya”

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata lagi[10] : “Ketika mula membaca kisah yang pendek ini kita merasa berada dihadapan cerita majhul yang tidak diketahui tujuan sebaliknya. kita tidak mengetahui dipermulaan kisah ini mengapa Allah s.w.t menyuruh bani Israel menyembelih seekor lembu betina dan bani Israel juga tidak mengetahuinya. Ini adalah bertujuan untuk menguji sejauh mana ketaat, sambutan dan kepatuhan mereka. Kemudian pada penghabisan kisah ini bersua dengan suatu kejadian yang memeranjatkan sebagaimana terperanjatnya bani Israel dengan kejadian si mati tiba-tiba bangun dan hidup kembali serta boleh pula bercakap apabila dipukul dengan sepotong anggota lembu yang disembelih itu, iaitu sepotong anggota yang tidak mempunyai hayat . Disinilah bertemunya keindahan pengungkapan al-Quran dengan hikmah perbicaraan ayat dalam sebuah kisah yang pendek diantara kisah-kisah al-Quran”



[1] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 94. Terbukti disini sifat “baling batu sembunyi tangan” ini adalah daripada sifat buruk bani Israel yang diikuti oleh setengah –setengah manusia dewasa ini.

[2] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 303

[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 288

[4] Ertinya cari sahaja lembu betina yang mereka jumpa dimana-mana pun tanpa menetapkan seekor lembu betina yang khusus.

[5] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 108

[6] Diriwayatkan oleh al-Bazzar seperti dalam kitab Kasyf al-‘Astar (2188), dan Ibn Abi Hatim dan Ibn Mardawiyah seperti dalam kitab al-Dar al-Manthur J. 1, mk 189. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 98

[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 287

[8] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 111

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 296

[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 297-298

No comments: