Wednesday, September 28, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 60-61)

بسم الله الرحمن الرحيم

1- Ayat 60:

- Ayat ini seterusnya menyambung kembali peringatan yang berterusan kepada bani Israel, ketika mana mereka menderita kehausan di padang pasir al-Tih yang kering kontang tidak berair. Lalu Allah s.w.t mewahyukan kepada nabi Musa a.s supaya memukul batu dengan tongkatnya maka terpancarlah dua belas mata air daripadanya mengikut bilangan dua belas suku keturunan bani Israel yang berpangkal dari dua belas orang anak nabi Ya’qub a.s[1]. Menunjukkan bahawa masing-masing suku atau keturunan sebanyak dua belas tersebut mendapat mata air yang khusus untuk mereka dan tidak mereka minum mata air yang bukan dikhususkan untuk mereka[2]. Sepertimana firman Allah:

قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَشْرَبَهُمْ

Bermaksud: “Sesungguhnya telah mengetahui tiap-tiap manusia akan tempat minumnya masing-masing.”

Kemudian diumumkan kepada mereka bahawa nikmat itu semua adalah daripada Allah s.w.t sambil memberi amaran supaya jangan melakukan pencerobohan dan kerosakan dimuka bumi ini.

- Dan seterusnya Allah berfirman:

كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِزْقِ اللَّهِ وَلا تَعْثَوْا فِي الأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Maksudnya: “Makan dan minumlah daripada rezeki yang telah Allah berikan dan janganlah kamu melakukan kejahatan dimuka bumi ini dengan melakukan kerosakan”

- Disini Allah s.w.t menyeru kepada bani Israel agar menikmati segala nikmat yang telah dianugerahkan kepada mereka berupa makanan serta minuman yang mana kemunculan nikmat ini amat menakjubkan yang tidak pernah terjadi kepada mana-mana kaum sebelum ini.

- Kuluu” disini merujuk kepada nikmat Allah kepada mereka yang berupa al-Manna dan al-Salwa, manakala “wasyrabu” disini merujuk kepada air yang terpancar daripada batu yang telah dipukul oleh nabi Musa a.s[3]. Dan seterusnya ayat ini diakhiri dengan amaran agar mereka tidak berbuat kejahatan serta kerosakan dimuka bumi ini.

2- Ayat 61:

- Seterusnya ayat ini memperlihatkan sekali lagi tentang perangai buruk bani Israel yang tidak bersyukur dengan pemberian Allah s.w.t. Mereka mendakwa sudah muak dengan makanan yang serupa setiap hari[4] lalu menyuruh nabi Musa a.s supaya berdoa kepada Allah agar mengeluarkan kepada mereka apa yang keluar daripada bumi dari sayur-sayuran, mentimun, bawang putih, kacang dal dan bawang besar.

- Allah s.w.t mengurniakan makanan yang begitu istimewa dan ianya tidak pernah diberi kepada umat yang lain. Lalu nabi Musa a.s pun berkata: Adakah kamu minta tukar dengan makanan yang lebih rendah daripada makanan yang lebih baik yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kamu? (jikalau kamu betul-betul berkehendak) kamu boleh pergi ke bandar dan tidak usah minta dengan Tuhan makanan-makanan tersebut sepertimana firmanNya:

قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَى بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ اهْبِطُوا مِصْراً فَإِنَّ لَكُمْ مَا سَأَلْتُمْ

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata:[5] “Ayat ini boleh diertikan bahawa makanan yang dipinta oleh kaum bani Israel itu merupakan satu permintaan yang amat kecil yang tidak perlu kepada berdoa kerana makanan itu boleh didapati dengan banyak dimana-mana negeri. Atau pun boleh diertikan jika begitulah keadaannya (perangai jemu dengan makanan yang telah diberikan oleh Allah s.w.t) maka kembalilah kamu ke negeri Mesir, dimana kamu telah dikeluarkan darinya, kembalilah kepada kehidupan kamu yang biasa, iaitu kehidupan yang hina dina”.

- Ayat ini juga memberi pengajaran kepada umat Islam supaya tidak mencela makanan sepertimana gambaran sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak pernah mencela apa jua makanan yang dihidangkan kepada Baginda. Kalau baginda mahu, beliau akan makan dan sebaliknya sekira beliau tidak mahu, tidak akan dimakan makanan itu. Ini sifat Nabi Muhammad s.a.w.

- Dikecualikan sekiranya kita mahu mengajar orang memasak, kita boleh memberitahu keadaan makanan itu sama ada terlalu masin atau seumpamanya dengan tujuan yang baik. Maka perkara ini bersalahan dengan apa yang dimaksud disini iaitu mencela makanan. Apabila kita mencela makanan yang diberikan, maknanya kita secara tidak langsung mencela orang yang memberi atau membuat makanan tersebut. Pernah satu ketika para sahabat mengajak Rasullullah s.a.w makan “Dhab” ( sejenis binatang halal dari padang pasir seakan-akan biawak tetapi kepalanya seperti kepala ikan gelama dan ekornya berduri serta besar). Setelah para sahabat memanggang binatang tersebut lalu mengajak Baginda makan bersama-sama, lalu Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Makanlah kamu semua, sesungguhnya “Dhab” ini bukan dari binatang yang ada di negeriku. Oleh itu aku tidak berapa mahu makan (tidak menggemarinya)”

- Dalam hadith yang lain, Rasullullah s.a.w bersabda: “Janganlah orang perempuan itu menghina hadiah yang diberikan oleh jiran perempuan yang lain walaupun sekadar daging yang melekat pada celah kaki kambing” Oleh itu jangan menghina apa-apa pun pemberian orang kepada kita. Kebiasaanya orang miskin menghadiahkan sesuatu menurut kemampuannya dengan ikhlas dan jujur, tetapi orang yang kaya, kadang-kadang menghadiahkan sesuatu dengan tujuan yang lain. Semua ini terserah kepada Allah s.w.t kerana dialah yang maha mengetahui segala-galanya. Kesimpulannya, sama ada pemberian itu barang yang berharga atau berharga murah, itu adalah sebagai satu penghormatan yang perlulah kita terima dan jangan menghinanya. Inilah sifat yang diajar oleh Rasullullah s.a.w supaya tidak menjadi seperti perangai bani Israel. Allah s.w.t menghadiahkan sesuatu yang istimewa dan tinggi mutunya tetapi mereka tetap mahu yang lebih rendah mutunya. Ini membuktikan bahawa perkara yang baik pun mereka hina, apatah lagi perkara yang tidak baik.

- Hal ini demikian boleh disamakan dengan penerimaan sesetengah manusia berkaitan dengan hukum-hakam yang telah Allah kurniakan kepada manusia sebagai anugerah yang istimewa dalam menjadi pedoman untuk menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Tetapi manusia lebih rela menggunakan hukum ciptaan manusia yang terbukti tidak akan dapat menyelesaikan masalah bahkan boleh menambahkan lagi masalah disamping berdosa kerana engkar kepada tuntutan Allah s.w.t

- Akibat daripada perangai dan sifat mereka itu, Allah jadikan bani Israel ini berada dalam kehinaan dan kenistaan akibat daripada menentang Allah s.w.t. sehingga menjadikan mereka bangsa yang dibenci oleh semua orang walaupun mereka bangsa yang mulia sepertiman firmanNya:

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمْ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ

Maksudnya: “Dan Allah telah menentukan bagi mereka kerendahan dan kehinaan”

- Kejahatan mereka tidak boleh ditandingi oleh bangsa lain di dunia ini. oleh sebab itulah mereka ditakdirkan tidak ada negeri diatas muka bumi ini berkurun lamanya walaupun mereka bangsa yang paling tua diatas muka bumi ini. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata kepada Sa’ad b. Abi Waqas dan kepada tentera-tentera Islam: “ Wahai Sa’ad, janganlah kamu berkata kamu lebih baik daripada orang lain dengan sebab itu kamu kamu tidak dapat dikalahkan kerana Allah s.w.t telah menghancurkan Bani Israel dengan Bakhtanussor yang kafir apabila mereka itu derhaka kepada Allah s.w.t

- Walaupun dewasa ini mereka berupaya mempengaruhi akhbar dan media massa di Amerika, bangsa lain sebenarnya amat membenci kepada Yahudi tetapi kerana besarnya pengaruh Yahudi ini terhadap kuasa besar dunia serta sumber keewangan yang mantap, ada yang takut dan terpaksa mengikut sahaja telunjuk mereka. Sekarang ini mereka balik ke Palestin kerana ingin menegakkan kerajaan Regim Zionis. Ini adalah tanda akhir zaman yang telah disebutkan oleh Rasullullah s.a.w bahawasanya diakhir zaman nanti yahudi akan kembali ke Palestin dan mereka mempunyai negara.

- Sabda Baginda itu menjadi satu kenyataan tetapi kita hendaklah yakin bahawa kembalinya yahudi ke Semenanjung Arab untuk mewujudkan negara bukan untuk menjadikan satu empayar yang besar atau kerajaan yang besar tetapi untuk berkubur di negeri tersebut dimana akan datang satu masa nanti mereka akan dibunuh oleh orang Islam. Ini adalah janji Allah dan janji Rasullullah s.a.w.

- FirmanNya seterusnya:

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

Bermaksud: “Yang demikian (mereka ditimpa kehinaan dan dimurkai Allah) itulah disebabkan mereka mengkufuri ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa ada alasan yang benar. Yang demikian itu adalah disebabkan mereka menderhaka dan melampaui batas”

- Dalam ayat ini Allah s.w.t menjelaskan lagi sebab kenapa mereka ditimpa kehinaan dan kemurkaan Allah s.w.t. Bertitik tolak daripada perangai mereka yang mencela nikmat Allah kepada mereka dan juga kisah sejarah lama mereka yang Allah bongkarkan sebagai tatapan umat Muhammad s.a.w iaitu perbuatan mereka membunuh nabi-nabi seperti nabi Zakariya, Yahya dan lain-lain.

- Mereka membunuh nabi Yahya a.s semata-mata kerana Maharaja Erodus (seorang raja Yahudi yang tinggal di Palestin) yang pada masa itu berkehendak untuk berkahwin dengan anak tirinya yang mana perbuatan tersebut haram disisi Allah s.w.t. Lalu nabi Yahya a.s tolong memperbetulkan tindakan tersebut tetapi beliau disembelih seperti menyembelih kambing sehingga kepalanya putus. Nabi Zakariya a.s pula ditangkap dan digergaji tubuhnya sehingga terbelah dua dan banyak lagi nabi-nabi yang dibunuh oleh orang yahudi. Dizaman tiada nabi, para ulama’ dibunuh dan dilakukan berbagai-bagai kejahatan keatas mereka seperti berlaku di Mesir yang memperlihatkan Sayyid Qutb dihukum gantung dan Hassan al-Banna ditembak mati.

- Kalau kita kaji dengan lebih mendalam tentang musibah ini, walaupun orang yang menembak atau menggantung itu orang Islam tetapi yang mengupahnya samada Rusia ataupun Amerika sudah pasti dibelakangnya ada orang Yahudi yang menjadi dalang atau penasihat mereka. Oleh kerana itu kita boleh senaraikan siapa penasihat Presiden Amerika. begitu juga dengan setiausaha Agung parti Kominis Russia. Sudah pasti kita akan bertemu dengan nama seperti Jacob, David dan lain-lain. Ini adalah nama dalam bahasa Ibrani yang menunjukkan bahawa mereka itu daripada bangsa Yahudi

- Ertinya pembunuhan ulama-ulama, tekanan keatas gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia termasuk menaburkan fitnah melalui surat khabar dari agensi Rueter, UPI, AP dan lain-lain (yang syarikat berita ini dikuasai oleh yahudi) adalah daripada perancangan jahat Yahudi. Kadang kala berita yang disiarkan itu adalah fitnah semata-mata dan dengan sebab itu kita perlu berwaspada dalam meneliti berita yang tersebar. Yahudi pernah menguasai Asia Tenggara sebagai contoh, di Singapura orang Yahudi menjadi ketua menteri negara tersebut di satu ketika dahulu iaitu David Marshall. Ramai orang menyangka dia orang Singapura tetapi dia sebenarnya orang yahudi. Dan orang yang sebegini masih lagi berperanan di Asia Tenggara sehingga dalam negera kita pun terdapat peranan mereka. Mereka menguasai pemimpin-pemimpin negara, raja-raja yang memerintah negeri-negeri umat Islam dengan kegiatan-kegiatan yang tidak disedari dan inilah dia perangai Yahudi.

- Orang Yahudi juga pernah membuat cubaan membunuh nabi Isa a.s tetapi Allah s.w.t menyelamatkannya lalu diangkat ke langit sepertimana firmanNya[6]:

وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ

Maksudnya: “Mereka itu tidak membunuhnya mahupun menyalibnya”

Apa yang dipercayai oleh orang Kristian pada hari ini adalah palsu semata-mata kerana mereka sebenarnya dikelirukan oleh Allah s.w.t

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[7]: “Sejarah mana-mana bangsa tidak pernah menyaksikan peristiwa seperti yang disaksikan oleh sejarah bani Israel yang penuh dengan kekejaman, keingkaran, pencerobohan dan penindasan terhadap para pendakwah. Mereka telah membunuh, menyembelih dan menggergaji sebilangan nabi-nabi mereka. Itulah perbuatan yang paling keji yang dilakukan oleh satu umat terhadap pendakwah-pendakwah yang benar dan ikhlas. Mereka telah lakukan kekufuran, pencerobohan dan penderhakaan yang paling keji yang tidak ada tolok bandingnya.”

- Orang yahudi pernah juga berusaha untuk membunuh Rasullulah s.a.w dengan cara meracun dan menyihirkan Baginda. Pernah satu ketika Baginda disihir oleh Labib seorang Yahudi yang duduk di Madinah yang Labib ini bergaul dengan orang Islam tetapi tidak bijak berhujjah dengan mereka serta tidak berupaya untuk menentang dengan senjata. Akhirnya beliau menggunakan ilmu sihir terhadap Rasullullah s.a.w sehingga baginda dalam keadaan yang tidak bermaya dan tidak dapat berbuat apa serta tidak berperasaan langsung. Dengan sebab inilah turunnya surah “al-Mu’awwazatain” iaitu surah al-Falaq dan al-Nas dimana kedua-dua surah ini diturunkan ketika mana baginda terjebak dalam musibah ini yang bertujuan untuk membinasakan Nabi Muhammad s.a.w

- Rasullullah s.a.w sendiri disihir padahal Allah s.w.t boleh menghalangnya. Ini adalah antara ujian daripada Allah s.w.t terhadap hambaNya. Mengikut riwayatnya, Labib membuat sihir di patung yang diperbuat daripada lilin. Dia menyimpul benang dan melilit-liltnya kepada patung tersebut kemudian diambilnya jarum dan menikamnya sehingga Baginda merasai dirinya seperti ditikam dalam keadaan yang tidak bermaya. Lalu Allah s.w.t menurunkan “ al-Mu’awwazatain” sebagai satu wirid bagi menyembuh daripada sihir tersebut dan wirid ini amat baik bagi orang Islam untuk diamalkan ketikamana berhadapan dengan musibah seperti ini.

- Mereka juga pernah berusaha untuk meracun Baginda dengan meletakkan racun yang dihadiahkan kepada Baginda. Ada riwayat yang mengatakan bahawasanya, kewafatan Rasullullah s.a.w adalah kesan daripada racun tersebut. Inilah dia kerja perbuatan Yahudi disepanjang zaman, menentang agama Allah dan menentang orang yang menegakkan agama Allah s.w.t

- FirmanNya:

ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

Maksudnya: “Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka kepada Allah dan mereka itu melampaui batas”

Maka dengan sebab itu mereka dilaknat oleh Allah, mereka dihukum dengan kehinaan dan kejatuhan serta kerendahan dikalangan manusia dan mereka diisytiharkan sebagai umat yang dimurkai oleh Allah s.w.t



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 90. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 96

[2] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 286

[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 286

[4] Walaupun makanan tersebut adalah makanan yang paling istimewa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada mereka iaitu al-Manna dan al-Salwa.

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 274

[6] al-Nisa’, ayat 157

[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 274

No comments: