Wednesday, May 4, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 26-27)

(بسم الله الرحمن الرحيم)

1. Ayat 26:

- Ayat ini membayangkan bahawa kaum-kaum munafiqin, yahudi dan musyrikin yang telah Allah s.w.t perbandingkan sebelum ini dengan beberapa perumpamaan telah menggunakan beberapa perbandingan yang telah Allah s.w.t datangkan dalam surah-surah Makiyyah yang lain sebagai asbab untuk menimbulkan keraguan terhadap kebenaran al-Quran. Mereka mendakwa bahawa tamsilan yang sebegitu yang melibatkan labah-labah[1] dan lalat[2] itu tidak layak terbit dari Allah s.w.t.

- Oleh itu ayat ini diturunkan untuk menolak pakatan jahat mereka dan untuk menjelaskan hikmah Allah s.w.t di dalam perbandingan itu, juga untuk orang-orang yang tidak beriman dari akibat mengelirukan perbandingan tersebut disamping menyakinkan orang beriman bahawa perbandingan itu akan menambahkan keimanan mereka[3].

- Hanya yang beriman sahaja yang menerima apa sahaja yang terbit dari Allah s.w.t dengan keyakinan mereka mereka terhadap hikmah kebijaksanaanNya. Keimanan tersebut telah melahirkan nur dalam hati mereka, member kepekaan dalam jiwa mereka serta membuka pintu kefahaman kepada aqal fikiran mereka.

- Adapun yang kafir, nur Allah serta hikmahNya terhijab dari mereka sekaligus memutuskan hubungan dengan sunnatullah dan tadbirNya. Malah sikap mereka tidak menunjukkan adab yang layak dari seorang hamba terhadap penciptanya. Mereka telah mempertikaikan perbandingan Allah s.w.t dengan penuh kejahilan dan biadab samada dalam susunan kata ungkapan bantahan dan sangkalan mereka atau dalam cara mereka menimbulkan keraguan dan kesangsian terhadap perbandingan yang terbit daripada Allah s.w.t.

- Banyak orang yang dikelirukan oleh Allah s.w.t dan disesatkanNya, kerana tidak memahami tamsil-tamsil ibarat yang diberikan kepada mereka dengan sebab kekufuran. Sebagaimana pula orang yang diberi petunjuk oleh Allah s.w.t dapat memahami tamsil ibarat tersebut dengan sebab mereka beriman dan percaya serta yakin terhadap Allah s.w.t. Dan Allah s.w.t tiada akan menyesatkan melainkan orang-orang yang fasik sahaja iaitu enggan untuk mentaatiNya.

2. Ayat ke 27:

- Disini Allah melanjutkan keteranganNya terhadap ciri-ciri orang fasik tadi, bahawa mereka terdiri daripada:

- Pertama, orang-orang yang memecahkan perjanjian dengan Allah. Pernah dibacanya Taurat dan Injil yang mengkhabarkan akan kedatangan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi teakhir dan sebagai utusan Allah yang mereka akui dengan pengakuan yang teguh. Tetapi bila tiba masanya nabi Muhammad s.a.w muncul, mereka memungkirinya[4]. Ada riwayat yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan janji Allah disini ialah al-‘Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘an al-Mungkar. Inilah janji manusia dimana manusia itu akan akan ikut apa yang diperintah oleh Allah s.w.t dan akan meninggalkan apa yang ditegah olehNya[5]. Ada juga dikalangan mufassirin yang menafsirkan yang dimaksudkan dengan janji disini ialah dalil-dalil keesaan Allat s.w.t melalui kejadian langit dan bumi yang dapat dilihat oleh manusia dengan mata kasar[6]. Manusia melihat segala kejadian yang ada dimuka bumi ini sebagai dalil yang mencukupi untuk percaya bahawa Allah s.w.t itu maha Esa.

- Kedua, yang merujuk kepada suruhan menegah jangan berpecah belah. Orang-orang yang memutuskan silaturrahim yang mana Allah s.w.t menyuruh memelihara perhubungan antara sesuatu keluarga, antara sesama orang Islam dan diantara sesama manusia. Ada juga ulama’ menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan menghubungkan disini ialah dimana perkataan itu hendaklah dihubungkan dengan amal perlakuan[7]. Ini menunjukkan bahawa amal dan perbuatan itu lebih dititik beratkan daripada masalah percakapan. Kalau sekadar cakap sahaja tanpa amal, termasuklah dikalangan orang yang memutuskan apa yang disuruh oleh Allah s.w.t supaya menghubunginya. Sebahagian ulama’ pula menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan memutuskan disini ialah tidak memelihara syariat Allah s.w.t dan hukumNya yang diperintahkan untuk dilaksanakan, dan inilah yang dipilih oleh jumhur ulama’.[8]

- Ketiga, orang-orang yang membuat bencana dimuka bumi ini dengan sebab mengerjakan pekerjaan maksiat dan membuat kederhakaan. Sesungguhnya mempelopori sesuatu maksiat meskipun kemudiannya dihentikan, jalan yang telah dirintisnya pula akan diteruskan oleh orang lain sehingga hasil daripada maksiat tersebut menimbulkan bahaya dan bencana terhadap kebendaan mahupun kemanusiaan, maka tidak luput ia juga selama-lamanya akan terlibat dalam kesalahan itu dan tidak terlepas pula dari golongan orang fasik. Al-Syahid Sayyid Qutb merakamkan dalam tafsirnya yang berbunyi “ dan yang menjadi kepala kerosakan dibumi ialah penyimpangan dari agama Allah yang telah dipilih untuk memerintah dan mengendalikan kehidupan manusia. Inilah peyimpangan jalan yang pasti membawa kepada kerosakan. Keaadaan kehidupan di bumi ini tidak akan menjadi baik selagi agama Allah atau sistem hidup yang diaturkan itu diletak jauh dari teraju pentadbiran dan selagi syari’at Allah diketepikan dari kehidupan. Maka sudah tentu ia menimbulkan kerosakan yang menyeluruh, iaitu kerosakan yang merangkumi jiwa, keadaan dan kehidupan serta kerosakan yang mencakupi bumi dan penghuninya dari manusia dan harta benda,”[9]

- Mereka tergolong dalam golongan yang rugi kerana menukarkan taat setia dengan keengkaran, menyambung hubungan dengan memutuskan, kebaikan dengan kerosakan dan ganjaran dengan azab seksa.[10]



[1] Surah al-‘Ankabut, ayat 41:

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنْكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

[2] Surah al-Hajj, ayat 73:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَنْ يَخْلُقُوا ذُبَاباً وَلَوْ اجْتَمَعُوا لَهُ وَإِنْ يَسْلُبْهُمْ الذُّبَابُ شَيْئاً لا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 175

[4] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 75. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (1997), J. 1, mk 57.

[5] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 171.

[6] Ibid.

[7] Ibid.

[8] Ibid. Seperti dalam masalah sembahyang, puasa, zakat, munakahat mengikut ketetapan Islam, tetapi bila sampai kepada masalah hukum Islam seperti hukum memotong tangan si pencuri diputuskan hubungan dengan Allah dengan masalah tersebut.

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 181-182.

[10] Sa’id Hawwa, al-Asas fi al-Tafasir (1991), J. 1, mk 100.

No comments: