Thursday, December 29, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 98-101)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 98

- Ayat ini sebagai sambungan daripada ayat yang terdahulu iaitu menyatakan barangsiapa yang memusuhi salah satu daripada Malaikat yang disebut pada ayat ini, bermakna memusuh semuanya. Kalau memusuhi Mikail, dia adalah pegawai yang membahagi-bahagikan rezeki dan rezeki itu sudah pasti kepunyaan Allah s.w.t. Kalau memusuhi Jibril, dia juga penghantar wahyu dari Allah s.w.t yang mana wahyu itu merupakan makanan roh yang pasti lebih penting daripada makanan untuk tubuh badan. Dan kalau memusuhi para rasul dan utusan Allah s.w.t bermakna juga memusuhi Allah s.w.t[1]. Bagaimanakah seseorang itu bermusuh dengan Allah s.w.t? kalau bermusuh dengan sesama manusia, kemungkinan besar akan membawa senjata serta ajak berlawan. Bermusuhan dengan Allah s.w.t pula ialah dengan mengerjakan maksiat dan bermusuh dengan wali-wali Allah (ya’ni pemimpin Allah s.w.t dari kalangan orang yang beriman). Siapakah mereka ini? Mereka ialah terdiri daripada pemimpin yang menjalankan hukum Allah s.w.t termasuklah para ulama’ yang membawa risalah daripada Allah s.w.t melalui para RasulNya.

- Berkata Asy-Syahid Sayyid Qutb[2]: “ Mereka (kaum Yahudi) seperti adat kebiasaan mereka yang suka membeza-bezakan agama dan para rasul. Mereka telah pula membeza-bezakan Malaikat Allah yang mereka dengar nama dan tugas mereka. Mereka mendakwa mempunyai hubungan persahabatan dengan Mikail. Oleh sebab itulah ayat ini mengumpulkan Jibril, Mikail, para Malaikat Allah dan para RasulNya dalam satu barisan ayat untuk menerangkan kesatuan dan persamaan mereka dan untuk mengumumkan bahawa sesiapa yang memusuhi mana-mana satu dari mereka (yang telah disebut dalam ayat ini) beerti memusuhi seluruh mereka dan memusuhi Allah s.w.t dan sesiapa yang berbuat demikian tergolong di dalam golongan orang-orang kafir”

- Dengan ini, dapatlah difahami bahawasanya orang yang bermusuh dengan ulama (yang menegakkan Islam) adalah sebenarnya memusuhi Allah s.w.t. Dan juga apabila seseorang itu berseteru dengan orang yang menjalankan kerja-kerja menegakkan hukum Allah s.w.t, maka itulah juga maknanya orang itu bermusuh dengan Allah s.w.t. Berkata Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad :“Memusuhi Allah s.w.t” disini bermaksud mereka memusuhi hamba-hamba Allah yang taat kepadaNya. Hal ini demikian kerana hamba-hamba yang taat inilah selalu dihadapkan tentangan, sekatan dan pencabulan. Bagi Allah s.w.t, permusuhan orang yang kufur itu tiadalah menjejaskan dan tiada sekali-kali memberi bekas kepda Allah s.w.t malah menyebabkan orang yang kufur itu menerima seksa yang berkekalan [3].

- Di dalam ayat ini juga secara jelas dan terang menunjukkan bahawa orang yang menentang Allah s.w.t, para ulama’ Islam yang membawa ajaran Islam yang sebenarnya adalah kafir disisi Allah s.w.t. Mereka bermusuh semata-mata kerana para ulama ini mahu menegakkan hukum Allah s.w.t. Oleh kerana itulah mengikut apa yang disebutkan di dalam kitab-kitab yang membahaskan tentang masalah aqidah, antara perkara yang membolehkan seseorang itu menjadi kufur ialah bermusuh dengan Allah s.w.t, wali-waliNya dan mereka-mereka yang menyebarkan ajaran Islam yang sebenarnya diatas muka bumi ini. Justeru itu jelaslah bahawa barangsiapa yang bermusuh dengan Allah s.w.t, bermusuh dengan para pemimpin yang menyebarkan ajaranNya, bermusuh dengan para rasulNya, Jibril, Mikail serta para Malaikat yang lain adalah kafir sepertimana amaran Allah di akhir ayat ini yang berbunyi:

فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِلْكَافِرِينَ

Bermaksud: “ Sesungguhnya Allah seteru bagi orang-orang yang kafir”

Oleh itu, hendaklah kita sedar dan faham tentang akibatnya apabila berseteru dengan Allah s.w.t dan menentang para wali-waliNya. Kebanyakkan masyarakat tidak sedar akan perkara ini malah mereka semakin sombong dengan pendapat mereka walaupun jelas tersasar daripada hukum Islam yang sebenarnya. Perkara disebut dengan jelas dalam ayat yang lain melalui firmanNya[4]:

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

Bermaksud: “ Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit[5] dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk dilubang jarum[6]. Dan demikianlah kami balas orang-orang yang melakukan kesalahan.”

Kita minta berlindung dengan Allah s.w.t daripada yang demikian itu agar Allah s.w.t menjadikan kita ini termasuk dikalangan pengikut agamanya, dikalangan “jundullah” (tentera Allah). Dan menjadikan kita jikalau memimpin, pemimpin yang menjalankan hukum Allah s.w.t serta menegakkan hukumNya bukan menjadi pemimpin yang mahu mencari keredhaan manusia semata-mata sehingga sanggup membelakangi keredhaan Allah s.w.t

2. Ayat 99:

- Ayat ini memberi penjelasan bahawa maksud “ beberapa ayat yang jelas-jelas” di dalam ayat ini merujuk kepada peraturan-peraturan yang menjadi penerangan bagi umat manusia iaitu mana yang halal dan mana yang haram. Begitu juga hukum-hukum yang sudah jelas. Semuanya ini tidak boleh diingkari kecuali orang-orang yang fasik sahaja iaitu mereka yang melanggari perintah Allah s.w.t. Berkata Asy-Syahid Sayyid Qutb[7]: “ Kemudian al-Quran berbicara dengan Rasullullah s.a.w . Ia memperkatakan tentang pengajaran yang benar dan ayat-ayat yang jelas yang dikurniakan Allah s.w.t kepada beliau dan menegaskan bahawa hanya orang-orang fasiq yang menyeleweng sahaja yang menolak ayat-ayat itu. Ia mengecam bani Israil yang tidak pernah mematuhi mana-mana perjanjian samada perjanjian mereka dengan Allah s.w.t dan nabi-nabi mereka sebelum ini atau perjanjian mereka dengan Rasullullah s.a.w disamping mengecam mereka kerana menolak kitab yang terakhir yang membenarkan kitab suci yang ada pada tangan mereka.”

- Mengikut kaedah ilmu tafsir, iktibar dan pengajaran itu diambil daripada lafaz yang umum bukan dari sebabnya yang khusus. Oleh itu ayat al-Quran ini hendaklah diambil iktibar oleh setiap orang Islam khususnya dan manusia umumnya agar mereka tidak berperangai seperti orang Yahudi. Hal ini demikian adalah amat sukar kaum Yahudi untuk membaca al-Quran dan orang Islam sahajalah yang bertanggungjawab membacanya. Maka umat Islam jugalah yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengambil iktibar dari apa yang dibaca. Ayat ini juga menjadi tanda serta alamat yang nyata bahawa nabi Muhammad s.a.w sebenarnya seorang pesuruh Allah. Walaupun ayat ini Allah s.w.t tidak mengatakan “melainkan orang-orang kafir” sebaliknya mengatakan “melainkan orang-orang fasiq” kerana sememangnya sifat fasiq itu terdapat pada orang kafir. Dan diantara mereka ialah orang kaum bani Israel yang duduk di Madinah dan mereka melihat sendiri sifat dan batang tubuh Baginda serta mengetahui tentang kelahiran Baginda s.a.w tetapi masih lagi menidakkan kerasulan Baginda walaupun perkara itu sudah jelas dengan sejelas-jelasnya.

- Berkata Asy-Syahid Sayyid Qutb[8]: “ Disini al-Quran mendedahkan punca penyakit kekafiran bani Israeil terhadap ayat-ayat yang jelas yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Punca penyakit itu ialah kefasiqan dan penyelewengan fitrah mereka. Fitrah yang lurus tetap mempercayai ayat-ayat yang jelas itu kerana ayat-ayat itu begitu kuat memaksa dan mendesak hati-hati yang lurus. Apabila kaum Yahudi atau yang lainnya mengingkari ayat-ayat ini maka bukanlah beerti ayat-ayat ini tidak memberi keyakinan dan tidak mempunyai hujah yang kuat malah sebenarnya kerana fitrah mereka telah rosak dan kafir”

- Begitu jugalah sekiranya ada diantara umat Islam sekarang ini cuba menafikan hukum-hukum Islam atau segala tuntutannya yang telah jelas kewajipannya untuk dilaksanakan, maka sama jugalah dengan kaum bani Israel sekaligus termasuk dalam golongan kaum yang fasiq dan sifat fasiq ini adalah satu sifat yang pasti berada di dalam hati golongan kafir.

3. Ayat 100:

- Ayat ini merupakan sekali lagi celaan terhadap pekerti orang Yahudi yang telah berkhianat dan tidak menepati janji. Sebagai contoh dalam peperangan Ahzab mereka berjanji untuk beriman kepada nabi serta menolong mereka dengan bekerjasama menentang musuh yang datang untuk melanggar orang-orang Islam di Madinah. Tetapi sebahagian daripada mereka mengkhianati perjanjian tersebut bahkan mereka sememangnya tidak beriman. Bukan disini sahaja, malah banyak lagi perjanjian yang telah mereka mungkiri seperti yang telah dijelaskan pada ayat-ayat yang terdahulu. Banyak peristiwa yang menggambarkan bahawa untuk mereka mengikat perjanjian perlu di hadirkan beberapa ancaman seperti diangkat bukit Thursina keatas kepala mereka , dipetir sehingga mati dan dihidupkan semula barulah mereka mahu mengikat perjanjian. Tetapi selepas itu mereka ingkar semula.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “ Kemudian ayat ini berpaling kepada kaum muslimin dan kepadamanusia umumnya dan disini ia mengecam kaum Yahudi dan mendedahkan salah satu daripada sifat-sifat mereka yang berpenyakit. Masyarakat mereka merupakan satu masyarakat yang tidak bersatu padu walaupun mereka berpegang kukuh dengan semangat fanatik perkauman mereka yang keji. Mereka tidak pernah sepakat didalam sesuatu pemikiran, tidak pernah mematuhi sesuatu perjanjian dan tidak berpegang kepada sesuatu pegangan yang kukuh. Walaupun mereka fanatik terhadap diri dan bangsa mereka, dan mereka tidak suka Allah s.w.t mengurniakan limpah kurnianya kepada kaum lain dari mereka, tetapi mereka tidak berpegang kepada perpaduan dan tidak mematuhi janji terhadap satu sama lain. Apabila mereka mengadakan sesuatu perjanjian sesama mereka, maka ada sahaja satu puak daripada mereka yang keluar dari kumpulan dan bertindak melanggar perjanjian itu dan memberontak terhadap persetujuanyang telah dicapai oleh mereka.”

4. Ayat 101:

- Ayat ini juga merupakan celaan juga tetapi lebih besar lagi kerana pengkhianat mereka yang lebih besar. Iaitu apabila Rasullullah s.a.w membawa al-Quran lalu mereka bandingkan dengan Taurat dan didapati ada persamaan antara keduanya. Maka dengan segera setengah daripada mereka tergamak memcampakkan (meninggalkan terus dan tidak mempedulikan hukum-hakam dan ajaranNya) isi Taurat dengan tidak mahu memakai isinya semata-mata kerana adanya persamaan dengan al-Quran (iaitu membenarkan kerasulan nabi Muhammad s.a.w)[10]. Seolah-olah mereka tidak tahu bahawasanya kedua-dua kitab itu adalah benar dan hak, datangnya daripada Allah s.w.t[11]. Sememangnya golongan ini tidak mengaku menjadi kafir dengan mendakwa nabi yang tidak betul dan mengkafirinya. Dengan itu sekaligus mereka menolak Taurat dan tidak percaya kepada isi kitab tersebut kerana menyatakan tentang kerasulan nabi Muhammad s.a.w.

- Berkata Asy-Syahid Sayyid Qutb[12]: “ Ayat ini mengandungi sindirin yang halus bahawa kaum ahli kitab sendiri telah tergamak mencampakkan kitab Allah dibelakang mereka. Andainya mereka kaum musyrikin tentulah perbuatan mencampakkan kitab Allah s.w.t dibelakang mereka itu dapat difahami, tetapi yang melakukan perbuatan ini ialah mereka sendiri selaku kaum ahli kitab yang arif tentang risalah dan para rasul. Mereka telah berhubung dengan hidayah dan melihat nur hidayah tetapi apakah mereka telah buat? mereka telah mencampakkan kitab Allah dibelakang mereka. Ungkapan ini tentulah bermaksud menyatakan bahawa mereka telah mengingkarkan kitab suci itu dan tidak lagi beramal dengannya. Mereka telah menyingkirkan kitab suci itu dari bidang pemikiran dan kehidupan mereka”

- Ada juga dari kalangan mufassirin berkata yang dimaksudkan dengan kitab disini adalah al-Quran. Mereka itu menolak al-Quran. Kitab Taurat itu mereka beramal juga tetapi banyak perkara yang mereka tinggalkan. Yang mana berkenan dihati mereka amalkan dan begitulah sebaliknya. Sekuat-kuat amalan mereka ialah membaca Taurat di malam Sabtu sebagaimana amalan umat Islam membaca al-Quran di malam Jumaat. Selepas itu mereka tidak pun beramal dengan apa yang mereka baca. Seterusnya firman Allah s.w.t diakhir ayat ini yang berbunyi :

كَأَنَّهُمْ لا يَعْلَمُونَ

Bermaksud: “ Seolah-olah mereka itu tidak mengetahui”

Apakah makna seolah-olah mereka itu tidak mengetahui padahal mereka mengetahui? Ertinya bukan mereka itu sebenarnya tidak tahu. Mereka mengetahui isi kandungan kitab Allah tetapi mereka tidak mahu mengikutnya dan beramal dengannya seolah-seolah mereka tidak mengetahui isi kandungan kitab Allah s.w.t. Seolah-olah samalah mereka itu dengan orang yang buta kitab atau orang-orang yang jahil tentang kitab padahal mereka itu alim orangnya, mengetahui akan kitab Allah s.w.t, membacanya serta memahaminya[13].

- Berkata Ays-Syahid Sayyid Qutb[14] : “ Kemudian apakah pula yang dilakukan oleh mereka setelah membuang kitab al-Quran yang membenarkan kitab yang ada didalam tangan mereka? Apakah mereka mendapat kitab yang lebih baik? Apakah mereka mencari kebenaran yang bersih daripada sebarang kekeliruan? Apakah mereka berpegang teguh dengan kitab suci mereka yang disahkan oleh al-Quran itu? Tidak, tiada satu pun yang dibuat oleh mereka, malah mereka telah mencampakkan kitab Allah dibelakang mereka untuk mengajar dongengan yang mengelirukan serta tidak bersandarkan kepada hakikat yang kukuh”

Beginilah jahatnya perangai orang Yahudi. Begitulah juga dikalangan orang Islam sekiranya mengerti al-Quran, membacanya serta memahaminya tetapi menentangnya serta menentang orang yang menegakkan al-Quran, maka serupalah seperti orang yang jahil dan buta al-Quran. Semoga kita umat Islam dijauhkan mengikut jejak langkah orang-orang yang telah membelakangkan kitab Allah s.w.t



[1] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 114

[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 361

[3] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 143

[4] Al-‘A’raf, ayat 40

[5] Ya’ni semasa hidupnya tidak diterima doa dan amalan mereka dan semasa matinya pintu langit tidak dibukakan kepada roh mereka, sebagaimana dibukakan kepada roh orang-orang beriman.

[6] Inilah suatu bandingan yang menunjukkan sesuatu perkara yang mustahil akan berlaku. Ya’ni orang-orang yang demikian sifatnya tidak akan dapat masuk Syurga sama sekali.

[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 362

[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 363

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 363

[10] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 115

[11] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 144

[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 366

[13] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 29

[14] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 367

Thursday, December 22, 2011

Politik Islam ada feqahnya



Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.

Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:

Maksudnya: (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah: 122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

Maksudnya: (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya faqeh (faham) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud:

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi: Al Quran, Hadith, Ijmak, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan: kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah?

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

Maksudnya: (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Khadam Perjuangan Islam

Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

Wednesday, December 21, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 96-97)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 96

- Di dalam ayat ini, digambarkan kepada kaum Yahudi bahawa terdapatnya satu golongan kaum yang terlalu tamak sehinggakan mahu hidup selama-lamanya di dalam dunia ini. Hidup yang tidak terbatas walaupun mencapai seribu tahun lamanya. Sesungguhnya memang sudah terdapat golongan seperti ini yang bermimpi sebegini sehinggalah membawa kepada zaman sekarang ini. Sama ada merupakan hidup fahamnya iaitu kefahaman kepada kebendaan supaya kekal ataupun merupakan hidup simbolnya iaitu simbol cara kehidupannya yang sesat[1]. Golongan ini adalah golongan yang tidak percayakan adanya Allah s.w.t sebagai Tuhan yang menjadikan alam dan seisinya. Berkata Abu al-‘Aliyah[2] mereka dikenali sebagai orang Majusi yang mana mereka ini bercita-cita untuk hidup seribu tahun. Apabila mereka bertemu sesama sendiri, lalu mereka mengucapkan kalimah dengan simbol atau cogan kata yang berbunyi : “ Hidup seribu tahun lagi”[3] dan dibalas oleh kawannya dengan cogan kata yang sama.

- Adapun golongan Yahudi ataupun Nasrani, walaupun mereka itu menyekutukan Allah s.w.t, tetapi mereka masih tergolong daripada ahli kitab disebabkan adanya kepercayaan kepada Allah s.w.t dan mengakui Allah s.w.t itu sebagai Tuhan mereka serta percaya pula dengan adanya hari qiyamat iaitu hari manusia akan dibangkitkan semula daripada kubur. Tetapi golongan Majusi ini, memang benar-benar tidak mempercayai adanya Allah s.w.t dan tidak pula mempercayai datangnya hari qiyamat. Justeru itu mereka berpendapat hidup hanyalah sekali dan bila sudah mati, tidak akan hidup kembali.

- Maka dalam ayat ini jelaslah bahawa Allah s.w.t telah mencela kaum Yahudi kerana mereka lebih tamak dari golongan orang yang mahu hidup seribu tahun lagi (ya’ni golongan Majusi). Hal ini demikian kerana kaum Majusi tidak tahu apa-apa, tidak menyedari adanya azab neraka, tetapi kaum Yahudi menyedari semua itu dan oleh sebab itulah mereka mahu hidup lama di atas dunia kerana takut akan azab api neraka sepertimana firmanNya [4]:

وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَداً بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ

Bermaksud: “ Tiadalah suka mereka itu mencintai mati selama-lamanya, disebabkan dosa yang tangan mereka kerjakan”

Ayat ini menjelaskan apakah yang menarik hati mereka bercita-cita tamakkan hidup lama dan tidak menginginkan mati? Jawabnya ialah kerana mereka sedar bakal diseksa . Kalau boleh biarlah umur mereka panjang sampai seribu tahun. Tiap-tiap tahun bila sampai tarikh lahir, sambut hari jadi dan minta umur dipanjangkan lagi dengan niat untuk bersuka ria dan melakukan pelbagai maksiat bukannya untuk menginsafkan diri kerana umur sudah lanjut serta bertaubat atas dosa yang telah dilakukan dan sekaligus mengingati akan mati.

- Inilah dia perangai kaum Yahudi dan kita minta berlindung daripada berperangai sedemikian. Seterusnya Allah s.w.t mengatakan walaupun lanjut usia sehingga seribu tahun sekalipun, manusia tidak berdaya untuk menolak azab Allah s.w.t sepertimana firmanNya :

وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنْ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “ Tidak akan menjadi jauh daripada azab neraka itu (tetapi menjadi semakin hampir dengan neraka) meskipun panjang usianya dan Allah Maha Melihat dengan apa yang mereka itu amalkan”.

Seksa Allah itu tidak akan berenggang jauh dari manusia walaupun seberapa lama pun umur mereka dilanjutkan. Malah semakin berusia, semakin banyak pula masalah yang mendatang. Seperti daya tenaga yang semakin menyusut, kulit semakin berkedut dan ditambah pula penyakit yang bergilir-gilir datang bertandang. Sekalipun rajin berubat, masih tidak terlepas dari derita penyakit tersebut. Maka benarlah maksud firman Allah s.w.t diatas tadi “Tidak akan menjadi jauh daripada azab neraka itu (tetapi menjadi semakin hampir dengan neraka) meskipun panjang usianya” kerana pada realitinya, sebelum bertemu seksa azab neraka kita dahulu diazab dengan berbagai derita didalam dunia.

2. Ayat 97:

- Sebab turunnya ayat 97 ini sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Turmidzi, sesungguhnya telah berkata kaum Yahudi kepada Rasullullah s.a.w : “ Sesungguhnya tidaklah nabi itu daripada para anbiya’ kecuali didatangkan Malaikat oleh Allah s.w.t kepadanya dengan membawa risalah dan wahyu, maka siapakah temanmu (daripada kalangan Malaikat) untuk kami mengikutmu. Maka jawab baginda : “ Jibril’. Lalu mereka berkata: “ Itulah (Jibril) yang menurunkan peperangan dan pembunuhan, itulah musuh kami. Sekiranya kamu Katakan Mikail yang menurunkan ketenangan dan kemakmuran nescaya kami akan mengikutmu. Maka turunlah ayat ini[5].

- Berkata al-Imam Abu Ja’far al-Tabari : “Telah sepakat semua ulama’ bahawasanya ayat ini diturunkan untuk menjawab dan menafikan dakwaan kaum Yahudi yang menyatakan bahawasanya malaikat Jibril itu adalah seteru mereka dan Malaikat Mikail itu adalah wali mereka. Tetapi mereka berselisih terhadap sebab kenapa terjadinya sebegitu antaranya[6]”:

- Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibn ‘Abbas dan berkata Ibn ‘Abbas “ Sesungguhnya telah hadir beberapa orang Yahudi menemui Rasullullah s.a.w lalu mereka berkata : “ Wahai Abu al-Qasim[7] ! berkatalah kepada kami melalui apa yang kami tanyakanmu tentangnya, yang mana soalan-soalan ini tidak diketahui jawapannya melainkan seorang nabi.” Maka Rasullullah s.a.w menjawab : “ Tanyalah aku apa yang kamu mahu tanya”. Lalu mereka bertanya dan Baginda menjawab dan semua jawapan itu betul. Kemudian itu mereka bertanya lagi “ Maka beritahu kami pula siapa walimu, taulan yang akrab sekali dari kalangan Malaikat dan kalau kamu boleh menjawabnya, inilah yang menentukan sama ada kami bersama denganmu atau kami putus hubungan denganmu.” Maka Baginda menjawab: “ Waliku ialah Jibril dan Allah s.w.t tidak akan membangkit seorang nabi melainkan malaikat Jibrillah yang menjadi walinya”. Lalu mereka berkata : “ Disini dan sekarang ini, maka berpisahlah kita” Ertinya mereka tidak mahu mengikut Rasullullah s.a.w atas dasar Baginda mengakui Jibrillah sebagai taulan yang paling akrab dari kalangan Malaikat walaupun sudah dijawap soalan yang diberi dan mereka mengakui sendiri bahawa soalan itu hanya boleh dijawap oleh nabi sahaja. Baginda bertanya kembali “ Apakah yang menghalang kamu untuk membenarkannya?” mereka berkata: “ Ini (Malaikat Jibril) ialah musuh kami.”

- Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas b. Malik berkata: “ Aku mendengar Abdullah b. Salam[8] berjumpa dengan Rasullullah sedangkan pada masa itu dia berada di satu tempat yang bernama Yathrib lalu dia datang menemui Rasullullah dan bertanya : “Sesungguhnya aku mahu bertanyakanmu dengan 3 soalan dimana tidak mengetahui melainkan seorang nabi dan kalau kamu boleh menjawabnya, maka kamu benar-benar seorang nabi. Lalu beliau pun bertanya: “ Soalan pertama, apakah tanda yang pertama berlakunya qiyamat. Soalan kedua, apakah dia makanan pertama kepada ahli Syurga dan soalan yang ketiga, apakah yang menyebabkan seseorang anak itu menyerupai bapanya atau ibunya?” Lalu Baginda pun berkata: “ Telah memberitahu jawapannya oleh Jibril baru sebentar tadi” Terkejut Abdullah lalu berkata: “ Malaikat Jibril?” Baginda pun menjawab : “Ya”. Lalu Abdullah pun menyatakan bahawa Jibril adalah musuh kaum Yahudi dari kalangan Malaikat. Lalu terus Baginda membaca ayat ke 97 yang berbunyi :

قُلْ مَنْ كَانَ عَدُوّاً لِجِبْرِيلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَى قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ مُصَدِّقاً لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَهُدًى وَبُشْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ

Bermaksud: “ Katakanlah wahai Muhammad sesiapa yang berseteru kepada Malaikat Jibril maka sesungguhnya ia menurunkan al-Quran kedalam hatimu dengan izin Allah, membenarkan apa yang ada padanya dan memberi petunjuk serta berita gembira bagi orang mukmin.”

Lalu baginda memberitahu jawapan kepada ketiga-tiga soalan tersebut: “ Bahawa jawapan yang pertama yang berkait dengan tanda qiyamat ialah api yang keluar dari negeri sebelah timur dimana api ini akan mengumpulkan manusia ke negeri sebelah barat. Jawapan bagi soalan yang kedua ialah adapun makanan yang pertama bagi ahli syurga adalah pati hati ikan dan jawapan yang ketiga ialah yang menjadikan anak itu menyerupai bapa atau ibunya ialah apabila mendahului mani lelaki daripada mani perempuan maka anak itu akan menyerupai bapanya dan begitulah sebaliknya. Apabila mendengar jawapan Rasullullah s.a.w, maka Abdullah bin Salam pun berkata “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan engkau wahai Muhammad pesuruh Allah”. Dan Abdullah meminta izin kepada Baginda untuk menyembunyikan diri dan meminta jikalau datang kaum Yahudi mencarinya, tanyakan kepada mereka dahulu siapakah sebenarnya Abdullah b. Salam. Maka apabila rombongan Yahudi sampai maka ditanyakan kepada mereka siapakah Abdullah. Lalu rombongan Yahudi ini menjelaskan bahawa Abdullah adalah seorang yang alim, mulia, dihormati dan dianggap sebagai pemimpin atau ketua dikalangan mereka. Sedang mereka memuji dengan pujian yang amat banyak, maka keluarlah Abdullah dengan kalimah syahadah meniti dibibirnya. Maka pada ketika dan saat itu juga Abdullah b. Salam yang tadinya alim serta berbagainya lagi pujian yang diucapkan tadi oleh rombongan tersebut bertukar menjadi Abdullah yang jahil, bodoh dan pengkhianat[9].

- Diriwayatkan juga pada suatu hari Sayyidina ‘Umar Ibn al-Khattab r.a berangkat ke ladang yang terletak dihulu Madinah. dalam perjalanan tersebut beliau melalui tempat orang Yahudi mempelajari kitab Taurat sambil singgah dan berbual-bual dengan mereka disana. Maka kaum Yahudi pun bertanya tentang siapakah yang datang kepada Rasullullah s.a.w dari kalangan Malaikat. Lalu Sayyidina ‘Umar pun menjawab “ Malaikat Jibril namanya”. Lalu mereka berkata : “ Jibril itu seteru kami, dialah memecahkan rahsia kami, sehingga diketahui oleh Muhammad. Dialah yang membawa seksa, yang membuat kebinasaan dan kesusahan. tetapi kalau Malaikat Mikail memang baik kerana dia membawa kemakmuran dan ketenteraman[10]. Kata ‘Umar pula: “ Kamu telah pun tahu malaikat Jibril, tetapi kamu ingkari pula Muhammad”. Mereka menjawab : “ Ya! sudah tentu”. Berkata pula ‘Umar: “Apa yang kamu ketahui tentang malaikat Jibril dan Mikail berkenaan kedudukkan mereka disisi Allah s.w.t?” Mereka menjawab : “ Jibril itu di kanan Allah dan Mikail di kiri Allah dan Mikail itu musuh kepada Jibril”. Maka berkata ‘Umar: “ aku naik saksi bahawa barang siapa menjadi seteru kepada salah satu dari kedua malaikat tadi, adalah ia seteru kepada kedua-dua sekali. Dan barang siapa menjadi seteru kepada kedua-duanya adalah ia seteru kepada Allah s.w.t. Lalu Sayyidina ‘Umar pun beredar pulang untuk menemui Rasullullah s.a.w tetapi sebelum sampai kesana, Jibril sudah terlebih dahulu membawa wahyu Allah iaitu ayat 97 ini untuk disampaikan kepada Rasullullah s.a.w[11].

- Mengapakah kaum Yahudi amat bermusuh dengan Malaikat Jibril kerana Malaikat itu diantara tugasnya ialah menurunkan wahyu disamping menjadi pemimpin Malaikat yang menurunkan bala bagi menghancurkan musuh-musuh Allah. Ertinya mereka bermusuh dengan Jibril sebab marahkan Jibril kerana menurunkan wahyu kepada Rasullullah s.a.w tidak kepada mereka sedang mereka sangat-sangat mengharapkan nabi akhir zaman itu mestinya dari golongan mereka. Malah banyak wahyu-wahyu tersebut membongkar tembelang mereka. Dan juga mereka mengetahui sendiri bala-bala yang diturunkan kepada kaum sebelum mereka seperti kaum ‘Ad, Thamud dan moyang mereka sendiri pernah ditimpa bala yang mana bala ini diturunkan oleh Allah dan Jibrillah yang ditugaskan untuk menyempurnakannya. Oleh sebab-sebab inilah membuatkan mereka kecewa sekaligus memusuhi Jibril a.s

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata:[12] “ Di dalam kisah cabaran ini kita dapat mengetahui satu lagi sifat kaum Yahudi yang sungguh aneh. Mereka terlalu marah kerana Allah s.w.t telah menurunkan limpah kurnia (wahyuNya) kepada mana-mana hamba yang dikehendakiNya hingga melampai segala batas. Kemarahan itu telah membawa mereka kepada satu sikap yang bertentangan sekaligus gus tidak diterima aqal. Mereka telah mendengar Jibril menurunkan wahyu dari Allah s.w.t kepada Rasullullah s.a.w dan oleh kerana permusuhan mereka dengan Baginda telah sampai ketahap dendam kesumat, maka mereka telah merekakan satu cerita yang lemah dan alasan yang kosong. Mereka mendakwa kononnya Jibril itu musuh mereka kerana dialah yang menurunkan kebinasaan, kehancuran dan azab keseksaan dan inilah sebab yang menghalang mereka dari beriman kepada Rasullullah s.a.w. Ya’ni mereka tidak beriman kepada Baginda kerana Jibril . Andainya Malaikat yang menurunkan wahyu itu Mikail tentulah mereka beriman kerana Mikail menurunkan kemakmuran, hujan dan kesuburan. Itulah suatu ketololan yang lucu. Tetapi kemarahan dan dendam kesumat sememangnya membawa manusia kepada segala macam ketololan. Jika tidak, mengapakah mereka memusuhi Jibril? Sedangkan Jibril bukan manusia yang bekerja bersama mereka atau menentang mereka. Ia tidak berbuat sesuatu dari perancangan dirinya sendiri malah dia hanya seorang hamba Allah yang bekerja mengikut apa yang diperintahkan Allah dan tidak melanggar segala suruhanNya”

- Allah s.w.t menurunkan al-Quran kedalam jiwa Rasullullah s.a.w melalui perantaraan Jibril sehingga Baginda mengingatinya dengan sepenuhnya dan menjadi ilmu yang tidak akan dilupai lagi. Maksudnya Jibril itu bukannya didorong oleh keinginan dan kemahuanya sendiri menurunkan al-Quran ini kedalam hati Baginda. Malah dia hanya melaksanakan perintah Allah s.w.t. Hati itu merupakan wadah penerima wahyu dan hatilah yang memahami wahyu setelah menerimanya dan didalam hatilah diletak dan dipeliharakan al-Quran itu.Terdapat banyak cara jibril menurunkan wahyu kepada Baginda s.a.w. Kadang-kadang Baginda mendengar suara yang bergema seperti loceng dengan dia tidak melihat Malaikat Jibril tetapi para sahabat dapat memastikan bahawa Baginda telah menerima wahyu. Apabila Baginda mengulangi ayat yang diwahyukan itu, wajahnya berbeza daripada kebiasaan. Apabila menerima wahyu, wajahnya berubah dan badannya berpeluh sehingga basah tubuh Baginda s.a.w. Kadang-kadang di masa yang lain pula, Jibril merupakan dirinya seperti seorang lelaki, dan kadang-kala merupakan dirinya yang asal yang hanya dapat dilihat oleh Rasullullah s.a.w mengikut cara yang diizinkan oleh Allah s.w.t

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[13]: “ Al-Quran pada umumnya membenarkan segala kitab samawi yang diturunkan sebelumnya, kerana asas agama Allah itu sama sahaja dalam semua kitab samawi dan seluruh agama Ilahi. Al-Quran itu memberi hidayah dan berita gembira kepada para mukminin yang membuka pintu hati mereka dan memberi sambutan mereka kepadanya. Inilah hakikat yang harus ditonjolkan. Ayat –ayat al-Quran ini mencurahkan rasa mesra kedalam hati mukmin, juga pintu-pintu ma’rifah dan melimpahkan berbagai-bagai saranan dan perasaan yang tidak mungkin wujud tanpa keimanan dan kerana itu hati mukmin mendapat hidayah dari al-Quran dan merasa senang dengan berita gembira yang terkandung didalamnya. Kita dapati hakikat ini berulang-ulang kali disebut di dalam berbagai-bagai hubungan antaranya;

هُدًى لِلْمُتَّقِينَ[14]

Memberi hidayah kepada para muttaqin

هُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ[15]

Memberi hidayah dan rahmah kepada kaum yang beriman

وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ[16]

Memberi hidayah dan rahmah kepada kaum yang mempunyai keyakinan

شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ[17]

Menjadi penawar dan rahmah kepada para mukminin

Jadi, hidayah itulah hasil dan buah dari keimanan, ketaqwaan dan keyakinan sedangkan bani Israel tidak beriman atau tidak bertaqwa atau tidak mempunyai keyakinan.

- Maka dengan ini jelas tugas Jibril, iaitu membawa wahyu daripada Allah s.w.t yang membenarkan apa yang ada pada orang Yahudi dan petunjuk yang membezakan mana yang hak dan mana yang batil. Petunjuk yang membawa kearah kebenaran, kebahagian di dunia dan kebahagian di akhirat serta berita gembira khas untuk orang-orang beriman. Apakah berita gembira tersebut? Ianya adalah berita tentang syurga, balasan pahala yang telah disediakan oleh Allah s.w.t kepada mereka yang beriman.



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 137

[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 112.

[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 112

[4] Al-Baqarah, ayat 95

[5] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 36. Lihat juga Asbab al-Nuzul oleh al-Suyuthi, mk. 23 dan Asbab al-Nuzul oleh al-Wahidi, mk 15.

[6] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 234

[7] Antara gelaran nabi Muhammad s.a.w

[8] Seorang ulama besar Yahudi dan kisah ini telah diceritakan pada pelajaran yang lalu. Mengikut riwayatnya memang Abdullah b. Salam ini ditugaskan oleh kaum Yahudi untuk berbahas dan mengemukakan beberapa soalan kepada Nabi Muhammad s.a.w

[9] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 234-235. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 129-130 dan juga al-Imam Abu Ja’far al-Tabari, Tafsir al-Tabari, J.2, mk 342

[10] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 235-236

[11] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 139-140. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 114.

[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 358-359

[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 360

[14] Al-Baqarah, ayat 2

[15] Al-‘A’raf, ayat 52

[16] Al-Jathiyah, ayat 20

[17] Al-Isra’, ayat 82.