Thursday, January 7, 2010

RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI (4)

PENGENALAN RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI

Ibn al-Jazari menjelaskan dalam kitabnya Takhbir al-Taisir fi Qira’at al-‘A’immah al-‘Asharah[1], satu fenomena yang songsang telah pun meracuni pemikiran umat Islam pada masa itu yang mana mereka hanya mengakui dan mengiktiraf bacaan al-Qur’an daripada tariq al-Shatibiyyah sahaja[2]. Bacaan yang bukan daripada tariq ini, dikira bukan daripada al-Qur’an yang mana pada pendapat Ibn al-Jazari, kepercayaan sebegini adalah jelas terpesong daripada yang sebenarnya.

Bertitik tolak daripada fenomena inilah, Ibn al-Jazari menumpukan separuh umurnya mengumpul kitab-kitab berkaitan[3] dalam menyusun kembali turuq yang bertunjangkan sanad yang mutawatirah hingga kepada Rasullullah s.a.w. Sepertimana riwayat lain, riwayat Hafs juga tidak terlepas daripada pegangan yang songsang ini. Maka disini dibentangkan lima puluh dua turuq riwayat Hafs b. Sulayman sepertimana yang terdapat dalam kitab al-Nashr.

Secara umumnya bersambungnya sanad kesemua aliran ini dengan riwayat Hafs berdasarkan kitab al-Nashr adalah melalui dua turuq iaitu turuq ‘Ubayd b. Sabbah dan turuq ‘Amru b. Sabbah. Al-Hafiz Abu ‘Amru al-Dani mengatakan bahawa kedua-dua pewaris perawi ini adalah adik beradik. Pendapat ini disokong oleh al-Zahbi dalam kitabnya Ma‘rifatu al-Qurra’ al-Kibar, j. 1, h. 203.

Walau bagaimanapun pendapat ini ditolak oleh Abu ‘Ali al-´Ahwazi yang mengatakan kedua-dua pewaris perawi ini bukan adik beradik. Ibn al-Jazari bagaimanapun berkata, pendapat yang paling jauh daripada kebenaran adalah mengatakan kedua-dua mereka ini adalah orang yang sama.[4]

TURUQ ‘UBAYD DAN ‘AMRU B. SABBAH

Turuq ‘Ubayd b. Sabbah adalah disandarkan kepada ‘Ubayd b. Sabbah b. Sabih Abu Muhammad al-Nahshali al-Kufi al-Muqri´. Beliau mengambil bacaan daripada Hafs b. Sulayman secara sam’an wa ‘aradan. Turuq ini diperkembangkan melalui Ahmad b. Sahl b. al-Fairuzani al-´Usynani yang mengambil bacaan daripada beliau juga secara sam’an wa ‘aradan.

Ada dua puluh empat tariq yang terpecah daripada turuq ini dan kesemuanya bersambung sanadnya dengan turuq ´Ubayd melalui turuq al-´Usynani. Daripada turuq al-´Usynani ini terpecah kepada dua turuq dahulu iaitu melalui al-Hashimi dengan sepuluh turuq dan Abu Tahir dengan empat belas turuq. Ini menjadikan turuq di bawah ‘Ubayd b. Sabbah berjumlah dua puluh empat turuq kesemuanya.

Manakala turuq ‘Amru b. Sabbah adalah disandarkan kepada ‘Amru b. Sabbah b. Sabih Abu Hafs al-Baghdadi al-Muqri´. Beliau juga mengambil bacaan daripada Hafs b. Sulayman secara sam’an wa ‘aradan. Turuq ini diperkembangkan melalui Abu Humaid al-Fil dan Zar’an sehingga terpecah daripada kedua-dua turuq ini kepada empat belas turuq setiap satu. Ini menjadikan turuq di bawah ‘Amru b. Sabbah berjumlah dua puluh lapan turuq kesemuanya.

Kesimpulannya, daripada dua puluh empat turuq ´Ubayd b. Sabbah dicampurkan dengan dua puluh lapan turuq ‘Amru b. Sabbah, maka genaplah lima puluh dua turuq yang bernaung di bawah riwayat Hafs b. Sulayman al-Kufi.



[1] al-JazarÊ, (1983), TakhbÊr al-TaisÊr fi QirÉ’Ét al-‘A’immah al-‘Asharah, (tahqiq: JamÉ’ah min al-‘Ulama’), BeirËt: DÉr al-Kutub al-‘Ilmiah, h. 7.

[2] Bermaksud mempercayai bacaan yang ÎaÍÊÍ adalah daripada tujuh imam melalui ÏarÊq al-ShÉÏibiyyah sahaja

[3] Sila lihat 3.3

[4] Ibn AbÊ Maryam, al-ImÉm NaÎr b. ‘AlÊ b. MuÍammad ´Abi ‘Abd AllÉh al-SyÊrÉzÊy al-NaÍwiy (1993), al-MËÌaÍ fÊ wujËhi al-QirÉ´Éti wa ‘ilalihÉ, tahqiq : Dr. ‘Umar ×amdÉn al-KabÊsiy, Jeddah: al-JamÉ’ah al-Khairiyah li TahfÊÐ al-Qur´Én al-KarÊm, j. 1, h. 140.

No comments: