Thursday, November 12, 2009

RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI (2)

PENGENALAN IMAM HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI

Beliau adalah Hafs b. Sulayman b. al-Mughirah b. Dawud al-Asadi al-Kufi al-Bazaz. Dikenali dengan Hufais dan di gelar juga sebagai Abu ‘Umar. Lahir di Kufah pada tahun 90 hijrah. Di dalam disiplin ilmu al-Qira’at beliau diletakkan sebagai perawi kedua selepas Shu’bah b. ‘Aiyyash bagi imam yang kelima iaitu ‘Asim b. Abu Najud. Walaupun diletak sebagai perawi kedua selepas Shu’bah, beliau dianggap murid yang paling alim dari kalangan murid-murid ‘Asim dalam bidang al-Qira’at sebagaimana yang telah diakui oleh Yahya b. Mu’ain: “ Riwayat yang paling sahih daripada ‘Asim ialah melalui Hafs b. Sulayman”[1]

Abu Hisyam al-Rifa’e dalam menyebut tentang ketinggian ilmu beliau berkata: “Sesungguhnya Hafs adalah paling alim di kalangan murid-murid ‘Asim dalam ilmu al-Qira’at dan beliau sentiasa menjadi rujukan bagi Shu’bah dalam memperbetulkan huruf.”[2] Kenyataan-kenyataan ini tidaklah menjadi sesuatu yang janggal di kalangan para qurra’ kerana beliau sebenarnya adalah anak tiri kepada gurunya ‘Asim[3] dan sudah semestinya beliau mempunyai masa yang banyak bersama gurunya ditambah dengan sifat tekun yang ada padanya, sepertimana kata Ibn al-Munada : “Sesungguhnya beliau (Hafs) membaca dengan ‘Asim berkali-kali”[4]

Diriwayatkan bahawa Hafs pada mulanya merupakan seorang murid yang lemah dalam pelajaran dan terpaksa ‘Asim mengajarnya secara sedikit-sedikit hanya dalam lima ayat dalam satu masa, namun berkat kesabarannya dan gurunya beliau telah menjadi ahli Qira’at yang masyhur. Dengan sebab ketekunan dalam mempelajari dan mengembangkan riwayatnya menjadikan riwayat beliau masyhur dan diterima serta beliau sendiri menjadi rujukan dalam tempoh yang amat panjang selepas ‘Asim meninggal dunia. Beliau meninggal dunia pada tahun 180 hijrah.

PENJELASAN BERSAMBUNGNYA SANAD RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN

Imam Hafs mengambil bacaan secara sam’an wa ‘aradan[5] daripada gurunya ‘Asim b. Abi Najud dan ketekunan beliau kepada perkara ini bukan sahaja dimaklumi, bahkan disaksikan oleh ramai ulama’ sehinggakan imam al-Shatibi memuji dan mengiktiraf ketekunan beliau dan merakamkannya dalam syairnya yang berbunyi:[6]

وَحَفْصٌ وَبِاْلإِتْقَانِ كَانَ مُفَضِّلاَ

Maksudnya : “Dan Hafs terkenal dengan tekunnya memperbetulkan bacaan dan beliau sebaik-baik tempat rujukan.

‘Asim adalah salah seorang daripada imam yang tujuh dan juga tergolong dari golongan tabi’in yang mulia. Adapun sanadnya sampai kepada Saidina ‘Ali b. Abi Talib r.a dan ‘Abd Allah b. Mas’ud r.a dan sudah pasti kedua-dua sahabat ini mengambil bacaan daripada Rasullullah s.a.w.

Maka secara telitinya, ‘Asim membaca dari Abu ‘Abd al-Rahman al-Salmi dan al-Salmi membaca dari saidina ‘Ali b. Abu Talib dan Saidina ‘Ali membaca dari Rasullullah s.a.w. sepertimana juga beliau membaca dari Zir b. Hubaish al-Asadi dan Zir membaca dari ‘Abd Allah b. Mas’ud r.a. dan Ibn Mas’ud membaca dari Rasullullah s.a.w.[7]

Diberitakan Hafs pernah bertanya kepada ‘Asim perihal tentang bacaan yang diberi kepadanya mempunyai beberapa perbezaan dengan Shu’bah walaupun mereka berdua mengambil bacaan daripada beliau[8].

Lalu ‘Asim pun berkata : “ Aku membaca kepada engkau daripada apa yang aku ambil daripada Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami daripada Ali b. Abi Talib r.a., manakala aku baca kepada Shu’bah daripada apa yang aku ambil daripada Zir b. Hubaish daripada ‘Abd Allah b. Mas’ud.



[1] Al-LaÍÍÉm, Sa’Êd MuÍammad, (1990) FaiÌ al-RaÍÊm fi QirÉ´Ét al-Qur´Én al-KarÊm, Beirut: ‘Ólimu al-KitÉb, h. 9

[2] Al-QÉÌÊ, ‘Abd al-FattaÍ, (t.t) op., cit., h. 27

[3] Diriwayatkan ÓÎim mengambil ibu ×afÎ yang sudah kematian suami sebagai isteri. Perkara sebegini juga berlaku kepada imam QÉlun dengan gurunya NÉfi’ al-MadanÊ. Lihat Dr. MuÍammad SÉlim MuÍaysin, (1989) op., cit., h.341

[4] Ibid.

[5] Dengar bacaan guru dan baca semula dengan pantauan guru, iaitu kaedah yang paling sempurna dalam mendalami ilmu QirÉ´Ét.

[6] al-ShÉÏibÊ, (1996), op., cit., h. 3

[7] ‘AÏiyyah QÉbil Nasr, (1997), GhÉyah al-MurÊd fÊ ‘lmi al-TajwÊd, cet. 6, Jeddah : Maktabah Kunuz al-Ma’rifah, h. 31.

[8] Dalam kitab al-Nashr hanya menyebut riwÉyat ×afÎ dan Shu’bah sahaja dan kajian ini hanya melibatkan turuq daripada riwÉyat ×afÎ b. SulaymÉn sahaja. Bagi riwÉyat ×ammÉd b. AbÊ ZiyÉd dan Al-MufaÌÌal, sila lihat : HamazÉniy, al-ImÉm al-Muqri’ Abi al-‘AlÉ’ al-×asan bin AÍmad bin ×asan al-, (1993), GhÉyah al-’IkhtiÎÉr fi Qira’Ét al-‘Asyarah ’A’immah al-’AmÎÉr, (tahqiq: Dr. ’Asyraf MuÍammad Fu’ad Ùala‘at), cet. 1, Jeddah: al-JÉmi‘ah al-Khairiyyah li TaÍfÊÐ al-Qur’an al-KarÊm, j. 1, h.76.


No comments: