بسم الله الرحمن الرحيم
1. Ayat 108:
- Ayat ini menceritakan tentang telatah orang kafir yang menanyakan kepada nabi Muhammad s.a.w sebagaimana mereka bertanya kepada nabi Musa a.s. Kepada nabi Musa mereka meminta membawa Tuhan supaya mereka dapat melihat Tuhan berdiri dihadapan mereka. Maka sesudah itu barulah mereka akan beriman. Dan di zaman Rasullullah s.a.w pun begitu juga, mereka bertanya seakan-akan pertanyaan yang menyerupai pertanyaan bani Israel kepada nabi Musa a.s.
- Mengikut apa yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq, Ibn Jarir, Ibn Abi Hatim daripada Ibn ‘Abbas berkata Rafi’ b. Huraiminah b. Wahab b. Zaid kepada Rasullullah s.a.w : “ Wahai Muhammad, bawalah kitab yang turun daripada langit dalam keadaan kami melihat kamu naik membawa balik kitab itu dan kamu membaca kitab itu dihadapan kami, barulah kami beriman. Ataupun kamu sanggup mengeluarkan sungai daripada bumi Mekah yang kering-kontang ini, baru kami beriman. Kalau tidak , kami tidak akan beriman”.
- Begitu juga dengan orang kafir di zaman sekarang ini sampailah ke hari qiyamat dimana mereka memberi syarat untuk mengikut Islam sekiranya Islam boleh memberi kebendaan dan kemewahan kepada mereka. Jikalau tidak mereka tidak akan beriman. Inilah perangai orang kafir sejak dari dulu hingga sekarang dan akan datang.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata: “ kecaman pada ayat ini di sebabkan setengah-setengah orang yang beriman menunjukkan kedegilan yang sama dengan kedegilan kaum Musa a.s yang sering menuntut dalil-dalil, mukjizat-mukjizat dan melakukan tindak-tanduk yang menyusahkan Rasul mereka setiap kali ia menyuruh mereka melakukan sesuatu atau menyampaikan kepada mereka sesuatu taklif yang baru sebagaimana di ceritakan di dalam berbagai-bagai surah yang lain”
- Kemudian Allah s.w.t mengakhiri ayat ini dengan firmanNya:
وَمَنْ يَتَبَدَّلْ الْكُفْرَ بِالإِيمَانِ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ
Maksudnya: “ Dan barang siapa yang mempertukarkan kufur dengan meninggalkan iman maka sesungguhnya telah sesat ia dari jalan yang lurus”
Al-Syahid Sayyid Qutb berkata : “ Peringatan ini juga untuk mengingatkan mereka dari kesudahan jalan itu, iaitu kesesatan dan menukarkan kekufuran dengan keimanan. Itulah kesudahan yang dialami oleh bani Israel. Dan itulah juga kesudahan yang dicita-cita oleh kaum Yahudi jika mereka dapat menarik kaum muslimin kearah itu.”
2. Ayat 109:
- Ayat ini pada mulanya ditujukan kepada pendeta-pendeta Yahudi yang telah berkata kepada dua sahabat nabi yang bernama Huzayfah b. al-Yamani dan ‘Ammar b. Yasir selepas peperangan Uhud, kata mereka: “ Bukankah telah terbukti, kamu kalah dalam peperangan Uhud itu menampakkan kamu tiada dalam kebenaran. Kalau kamu dalam kebenaran , kamu tidaklah akan kalah perang dan tiada akan ditimpa musibah. Maka kembali sahajalah kamu kepada kami. Itulah yang lebih baik dan lebih utama kerana jalan kami yang lebih sempurna peraturannya dari jalan yang kamu tempuh.” Dijawab oleh ‘Ammar dengan katanya pula: “ Bagaimana kami akan mungkir janji yang semata-mata untuk kamu?” Mereka berkata pula: “ Ini perkara besar lagi penting”. Berkata ‘Ammar: “ Aku telah bersetia dengan Allah bahawasanya aku tidak akan mengingkari Muhammad seumur hidupku.” Mereka berkata pula : “ Oh! Orang ini sudah menjadi sobi’in rupanya (penganut agama yang baru)” Lalu Huzayfah yang sekian lama berdiam diri dari tadi menjawab: “ Sebenarnya kami telah redha bertuhankan Allah, beragamakan Islam, berimankan al-Quran, berkiblatkan Ka’abah dan bersaudarakan orang-orang mu’min.” kemudian keduanya pun beredar meninggalkan mereka lalu menemui nabi Muhammad s.a.w dan menceritakan kepada baginda perkara yang berlaku. Baginda pun menyatakan bahawa pendapat keduanya adalah benar dan baik. Maka turunlah ayat tadi.
- Iktibar pada ayat ini menunjukkan bahawa ahli Kitab dan orang-orang yang seumpamanya banyak yang telah berusaha memujuk dengan halus, atau menarik dengan cara-cara yang tidak disedari supaya orang-orang yang beriman, kiranya lemah imannya akan dipujuk dan ditariknya sehingga terpengaruh, kemudian bertukar menjadi kufur. Tujuan mereka menarik dan memujuk ini bukan dengan niat baik dan bukan untuk menjamin kebahagian, tetapi untuk memporak-perandakan. Terbukti mereka berusaha untuk orang Islam menjadi kafir. Diantara yang telah dipujuk dengan halus hinggakan kita sendiri tidak sedari ialah teori-teori politik, ekonomi dan pendidikan yang dilaksanakan pada hari ini yang dikenali sebagai sosialisme, kapitalisme, pragmatism, demokrasi dan lain-lain seumpamanya. Jika dikaji teori-teori ini adalah dilahirkan oleh orang Yahudi dan Nasrani.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata : “ Itulah pengaruh hasad dengki di dalam jiwa mereka. Ia menimbulkan keinginan untuk merampaskan kebaikan yang dicapai oleh orang lain. Mengapa?...Mereka berbuat sedemikian bukan kerana jiwa mereka yang jahat itu tidak mengetahui, tetapi mereka berbuat begitu kerana mereka benar-benar tahu.”
- Seterusnya Allah s.w.t berfirman:
حَسَداً مِنْ عِنْدِ أَنفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ الْحَقُّ
Maksudnya: “ Kerana dengki dalam hati mereka sesudah nyata kebenaran bagi mereka”
Membuktikan usaha-usaha mereka hendak menjadikan orang mu’min itu kembali kufur adalah menunjukkan niat mereka yang busuk, iaitu didorong oleh irihati dan dengki selepas mereka mengetahui yang hak , iaitu kenabian Muhammad s.a.w itu mempunyai dasar yang kuat, kukuh dan konkrit. Sesungguhnya sifat dengki itu merupakan penyakit peribadi yang amat berbahaya. Erti dengki atau hasad itu ialah : “Mengharapkan terhapusnya nikmat-nikmat yang dipunyai orang lain”. Dalam sebuah hadith , Rasullullah s.a.w bersabda :
إياكم والحسدَ فإن الحسدَ يأكلُ الحسناتِ كما تاكلُ النارُ الحطبَ
Maksudnya: “ Janganlah kamu bersifat dengki, bahawasanya sifat dengki itu memakan kebajikan, seperti api yang memakan kayu api.”
Orang yang dikurniai Allah sesuatu nikmat, kemudian nikmat itu didengkikan oleh orang lain dan orang lain itu bercita-cita pula agar terhapusnya nikmat itu dari empunya, maka pekerti itulah yang dinamakan hasad dengki dan haram hukumnya pada agama. Sepertimana mengharapkan sikaya itu miskin, si alim itu mendapat malu, si saudagar itu mendapat kerugian, si sihat itu jatuh sakit, si senang itu mendapat kesusahan dan lain-lain lagi.
- Berlainan pula bilamana nikmat itu dipergunakan ke jalan yang salah seperti jalan maksiat, orang yang dengki serta bercita-cita agar terhapus nikmat itu tidaklah dikatakan hasad dan tidaklah pula haram hukumnya. Hal ini demikian kerana hasadnya bukan kerana nikmat yang diberikan, tetapi kerana penggunaan yang menjurus kepada maksiat dan kejahatan. Sebab itu tidak salah kita melahirkan rasa tidak puas hati terhadap golongan yang dianugerahkan harta yang banyak yang mana mereka membelanjakan harta itu untuk memberansangkan lagi pesta-pesta maksiat . Begitu juga mereka yang dianugerahkan dengan pangkat-pangkat yang besar yang mana dengan pangkat itu mereka berkuasa menipu rakyat dan sekaligus menindas rakyat dengan membelanjakan duit rakyat atas dasar kepentingan peribadi sendiri. Kesemua nikmat ini sama ada kekayaan atau pun pangkat tidak salah untuk kita hasad dengkikan kerana mereka yang dianugerahkan nikmat itu membawa nikmat tersebut kearah maksiat dan kemungkaran.
- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata : “ Hasad dengki adalah perasaan hitam yang hina yang melimpah di dalam jiwa kaum Yahudi terhadap Islam dan kaum muslimin dan perasaan ini masih terus melimpah. Perasaan inilah yang melahirkan semua komplot dan perancangan jahat kaum Yahudi yang berterusan. Al-Quran mendedahkan motif hasad ini kepada kaum muslimin supaya mereka tahu dan menyedari bahawa hasad dengki itulah punca yang wujud dibelakang setiap usaha kaum Yahudi yang mahu mengukuhkan aqidah di dalam jiwa mereka dan mengembalikan mereka selepas itu kepada kekufuran seperti mereka. Sedangkan kaum muslimin telah diselamatkan Allah s.w.t dari kekufuran itu dengan keimanan dan kerana itu Allah menganugerahkan kepada mereka sebesar-besar kurnia dan semulia-mulia nikmat yang diirihatikan oleh kaum Yahudi.”
- Seterusnya, Allah s.w.t mengakiri ayat ini dengan firmanNya:
فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: “ Maka maafkanlah mereka dan tinggalkanlah mereka! Sehingga Allah s.w.t menurunkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Berkuasa di atas segala sesuatu”
Maksudnya mereka yang menganjurkan kufur, membuat dusta terhadap nabi serta mencerca Islam, maafkanlah mereka dan lepaskanlah disebabkan kejahilan mereka, sehingga tiba masanya Allah memerintahkan apa yang patut lakukan. Keampunan ini adalah amaran kepada golongan ahli kitab pada masa itu kerana Allah belum lagi memerintahkan orang Islam memerangi mereka. Ayat tentang memaafkan mereka ini telah dinasakhkan hukumnya dengan firmanNya di surah yang lain yang berbunyi:
قَاتِلُوا الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلا بِالْيَوْمِ الآخِرِ
Bermaksud: “ Perangilah orang-orang yang tidak beriman dengan Allah s.w.t dan tidak beriman dengan hari akhirat”
- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb : “ Disaat terdedah hakikat ini dan ketaranya niat jahat dan hasad dengki yang hina itu, al-Quran menyeru orang yang beriman supaya jangan membalas hasad dengki mereka dengan hasad dengki juga, kejahatan mereka dengan kejahatan yang setimpal. Malah al-Quran menyeru mereka supaya memberi kemaafan kepada mereka sehingga di putuskan Allah pada bila-bila masa yang dikehendakkiNya.”
3. Ayat 110:
- Selain daripada diseru supaya memberi maaf di atas kesalahan orang, juga mereka diseru supaya mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat untuk kebaikan diri sendiri. Hal ini demikian dengan menunaikan dua kewajipan ini dapatlah mereka memperbaiki diri sendiri. Solat dan zakat itu menjadi sebab kepada pertolongan Allah di dunia dan juga menjadi sebab kebahagian di akhirat nanti. Al-Syahid Sayyid Qutb berkata: “ Demikianlah al-Quran membangkitkan kesedaran kaum muslimin dan memusatkan perhatian mereka kepada sumber bahaya dan komplot jahat kaum Yahudi dan menggembelingkan rasa kewaspadaan mereka terhadap niat yang jahat, tipu daya yang licin dan hasad dengki yang keji itu. Kemudian al-Quran membimbing mereka dengan tenaga kesedaran yang siap sedia ini menuju kepada Allah untuk menunggu perintahNya dan meletakkan tindakan mereka dibawah keizinanNya. Dan sementara menunggu perintah itu, al-Quran menyeru mereka mengambil sikap member kemaafan dan keampunan untuk menyelamatkan hati mereka dari hasad dengki dan dendam kesumat serta membiarkan mereka sentiasa berada dalam keadaan lurus dan jujur menunggu perintah dari Allah s.w.t yang memiliki teraju segala urusan dan mempunyai kehendak yang bebas.”
- Dan janganlah dibimbangi kepada penat lelah dan jerih untuk menyempurnakan kebajikan kerana tiadalah ianya akan percuma dan sia-sia. Malah sudah tersedia ganjarannya oleh Allah s.w.t. Oleh itu berusahalah serta berkhidmat untuk kebajikan kerana kesemuanya itu adalah bekalan untuk akhirat. Tetapi harus diingat, segala kebajikan itu hendaklah ditujukan semata-mata kerana Allah s.w.t. Dalam ertikata kebajikan yang menjurus kepada usaha untuk menegakkan hukumNya dimuka bumi ini. Bukan kebajikan yang semata-mata mengharap di puji oleh manusia tetapi jauh daripada keredhaan Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui akan amal seseorang dan tahu kemana niat amalannya itu diarahkan.