Wednesday, November 30, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 87-88)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 87:

- Ayat ini seterusnya menceritakan lagi tentang perangai bani Israel yang amat buruk. Allah s.w.t menolong mereka dengan berbagai pertolongan tetapi mereka kufur kepada Allah s.w.t. Mereka hanya percaya kepada Allah s.w.t semasa mereka diberi pertolongan olehNya. Selepas itu mahupun sebelumnya mereka sentiasa tidak percaya kepada Allah s.w.t. Ayat ini juga menjadi dalil bahawa kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s itu diturunkan sekaligus[1] tidak secara beransur-ansur seperti hal keadaan turunnya al-Quran. Adalah diriwayatkan dari Ibn ‘Abbas r.a[2], bahawa manakala kitab Taurat itu diturunkan kepada nabi Musa a.s dengan sekaligus, tidak berdaya ia mengangkatnya. Lalu Allah s.w.t utuskan Malaikat mengangkat tiap-tiap huruf seorang, juga mereka para Malaikat tidak berdaya mengangkatnya. Kemudian diringankan oleh Allah sehingga nabi Musa a.s kuat mengangkatnya.

- Selepas wafatnya nabi Musa a.s, kehidupan manusia pada masa itu kembali pincang lalu Allah s.w.t membangkitkan beberapa orang rasul dari kalangan bani Israel bagi meneruskan syariat nabi Musa a.s. Antaranya ialah Yusya’, Syamwil, Daud, Sulayman, Ays’iya’, Armiya’, ‘Uzair, Hizqil, Ilyas, Yasa’, Yunus, Zakariya, Yahya dan lain-lain[3]. Kesemua mereka adalah dari golongan bani Israel yang telah melaksanakan syariat nabi Musa a.s keatas kaum mereka. Disini jelas kelihatan kebesaran kaum bani Israel yang mana sebahagian besar para rasul itu dibangkitkan daripada golongan mereka. Para mufassirin menyatakan bahawa permulaan rasul daripada kaum bani Israel itu adalah nabi Musa a.s dan berakhir dengan nabi Isa a.s.

- Kemudian nabi Isa a.s ditugaskan untuk memansuhkan sebahagian besar syariat nabi Musa itu dengan syariat yang baru yang terkandung pula dalam kitab Injil. Nabi Isa dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai rasul dikurniakan kepadanya “ruh al-Quds”. Para Mufassirin berbeza pendapat dalam menafsirkan makna sebenar “ ruh al-Quds” ini[4]. Ada yang menafsirkan sebagai nama daripada nama-nama Allah s.w.t. Ada juga yang menafsirkannya sebagai kitab Injil. Dan akhir sekali ada yang menafsirkan sebagai malaikat Jibril. Dan pendapat inilah yang paling sesuai kerana malaikat itu adalah satu jisim yang halus sama seperti ruh . Ditambah lagi memang tugas Jibril sebagai pembawa wahyu Allah kepada para rasul sedangkan wahyu itu menjadi sebab untuk menghidupkan hati manusia.

- Antara mukjizat yang dikurniakan kepada nabi Isa a.s adalah dapat membuat burung daripada tanah, lalu ditiupkan ruh kedalamnya hingga burung itu betul-betul hidup. Nabi Isa juga dapat menyembuhkan orang yang buta, penyakit sopak dan menghidupkan orang yang sudah mati yang mana semua mukjizat ini adalah untuk menguatkan dan membuktikan kebenaran kenabiannya[5]. Tetapi penerimaan sebahagian besar kaum Yahudi terhadap para utusan Allah daripada golongan mereka ini tidak bersesuaian dengan kehendak hawa nafsu mereka. Lalu mereka membesarkan diri dengan mencela para rasul tersebut. Ada segolongan para rasul didustakan seperti nabi Isa a.s dan nabi Muhammad s.a.w. Ada juga segolongan yang dibunuh oleh mereka seperti nabi Zakaria dan nabi Yahya[6]. Hal ini demikian kerana mereka mahu para rasul itu mengikut kehendak hawa nafsu mereka. Dengan ini perbuatan mereka itu (ya’ni perbuatan meminta para rasul mengikut hawa nafsu mereka) menggambarkan mereka lebih cerdik dan bijak daripada para rasul. Tetapi hakikatnya, mereka tidak boleh mengatasi rasul dalam banyak perkara.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[7]: “ Selama ini alasan bani Israel ketika menolak Islam dan enggan menganutnya ialah kerana mereka telah pun mempunyai ajaran-ajaran para nabi mereka yang cukup lengkap dan mereka akan terus berpegang dengan agama mereka dan pengajaran-pengajarannya. Di dalam ayat ini, al-Quran telah membuka tembelang mereka dan mendedahkan hakikat pendirian mereka yang sebenar terhadap nabi-nabi mereka, syari’at-syari’at dan ajaran-ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi mereka. Al-Quran menjelaskan bahawa pendirian mereka sama sahaja dahulu atau sekarang apabila mereka menghadapi ajaran yang benar yang tidak tunduk kepada kehendak-kehendak hawa nafsu mereka.”

- Setelah wafatnya nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi yang terakhir, siapakah pula yang menggantikan para rasul? Yang menggantikan rasul adalah para ulama. Merekalah yang meneruskan dakwah dalam memastikan ajaran Islam itu tertegak dimuka bumi Allah s.w.t. Tetapi jikalau manusia itu mahu para ulama mengikut apa yang dikehendaki oleh hawa nafsu mereka, maka mereka sama sahaja seperti bani Israel yang mahu supaya para rasul itu mengikut mereka, bukan mereka mengikut para rasul. Hakikat yang sebenarnya yang bertepatan mengikut ajaran Islam adalah manusia seharusnya mengikut ulama kerana merekalah pewaris nabi. Tetapi yang menjadi masalahnya ada ulama yang mengikut kemahuan hawa nafsu manusia dan sememangnya ramai manusia yang berkehendakkan sedemikian ya’ni berkehandakkan supaya ulama mengikut telunjuk mereka. Kalau mereka mahukan sesuatu itu menjadi halal, mereka akan sedaya upaya mahu para ulama memutuskannya sebagai halal dan inilah yang menjadi kemahuan mereka. Dalam sebuah hadith, Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang berbunyi[8] :

لما وقعت بنو إسرئيل فى المعاصى نهَتْهم علماؤهم فلم ينتهوا, فجالسوهم ووكلوهم وشارَبوهم, فضرب الله تعالى قلوبَ بعضِهم ببعضٍ ولعنهم على لسانِ دأود....الأية. ثم جلس وكان مُتكِئًا فقال: لا والذي نفسي بيده حتى تاطِروهم على الحق اَطْرا

Bermaksud: “ Apabila bani Israiel jatuh kedalam maksiat, ulama-ulama mereka telah melarang mereka, tetapi mereka tidak juga berhenti. Ulama-ulama itu terus duduk bersama mereka , makan bersama mereka dan minum bersama mereka. (maka dengan perbuatan seperti itu) Allah campurkan (menyamakan) hati-hati mereka dan melaknat mereka atas lidah nabi Daud…sehingga akhir ayat[9]. Rasullullah pada mulanya mengiring, bangun duduk dan menambah dengan katanya: Demi Tuhan yang diri aku berada ditanganNya. Sehingga kamu bengkokkan mereka dengan betul (memalingkan mereka) kepada kebenaran.”

- Rasul dan ulama ada perbezaannya walaupun kedua-dua jenis manusia ini menerima ajaran Allah s.w.t dan menyebarkannya. Rasul menerima wahyu daripada Allah serta ma’sum (ya’ni terpelihara daripada dosa) dan apa yang dibawa oleh para rasul pastinya adalah benar. Oleh sebab itulah kehidupan mereka sentiasa didustakan atau pun diakhirkan dengan dibunuh. Ulama pula tidak ma’sum, kadangkala tepat di landasan Islam yang sebenar dan adakalanya melakukan dosa serta hanyut dalam arus penyelewengan. Justeru itu ada ulama yang didustakan dan dibunuh seperti hal keadaan para rasul. Dan ada juga ulama yang dapat dibeli dengan harga yang murah dan perkara ini berlaku dizaman sekarang ini.

- Bani Israel sepertimana yang telah dijelaskan dahulu, membunuh para rasul antaranya nabi Zakariya a.s dengan cara membelah kepalanya dengan gergaji dan nabi Yahya a.s disembelih hidup-hidup kerana kedua-dua nabi ini tidak berhukumkan kepada hukuman yang mengikut hawa nafsu manusia dan para pemerintah pada masa itu. Nabi Isa a.s pun hampir diperlakukan sedemikian, tetapi Allah s.w.t menyelamatkan beliau. Dewasa ini juga, ramai para ulama yang dibunuh sepertimana yang berlaku di negara-negara Arab seperti Mesir, Iraq, Syria, Iran (di zaman pemerintahan Syah Iran dahulu) Turki dan lain-lain. Ramai para ulama di negara-negara Arab ini dibunuh kerana kuatnya tekanan musuh-musuh Islam terhadap perjuangan mereka. Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[10]: “ Percubaan menundukkan para pembawa hidayah dan syari’at kepada kehendak –kehendak nafsu yang mendadak dan keinginan yang berubah-ubah merupakan suatu gejala yang muncul ketika rosaknya fitrah manusia dan ketika terhapusnya keadilan logik insan itu sendiri, iaitu logik yang memastikan bahawa syari’at itu harus dikembalikan kepada sumber Ilahi yang tetap, bukan kepada sumber manusia yang berubah-ubah, yang tidak turun naik kerana suka dan marah atau kerana sihat dan sakit.”

- Dinegara kita, tekanan terhadap ulama yang memperjuangkan Islam masih belum kuat lagi kalau hendak dibandingkan dengan negara Arab. Pembunuhan ini berlaku kerana para ulama itu semuanya menjadi pewaris kepada nabi. Ulama yang sebenarnya adalah ulama yang takut kepada Allah s.w.t dan berani bercakap dalam apa jua masalah pun walaupun diancam dengan hukuman bunuh kerana mereka percaya dengan yakin bahawa ulama yang mengikut sunnah nabi tidak takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah s.w.t semata-mata.

- Oleh sebab itulah, dalam menghadapi tekanan dan soal sanggup mati untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t ini kita tidak boleh buat sekadar bercakap sahaja untuk menyedapkan hati masing-masing. Soal ini mestilah dilihat dengan teliti terlebih dahulu supaya tidak berlaku apabila diancam, mereka yang berkobar-kobar untuk sanggup mati kerana agama tiba-tiba cabut lari. Hal ini demikian kerana kita tidak tahu siapa yang sebenarnya sanggup mati kerana Islam kecuali setelah Allah uji mereka dengan dugaan dan cubaan sepertimana Allah uji para rasul terdahulu. Inilah yang berlaku kepada para rasul di zaman mereka. Mereka tidak sama sekali ambil peduli terhadap pembohongan serta ancaman bunuh yang dilakukan oleh kaum masing-masing ke atas mereka. Kita memohon agar Allah s.w.t tetapkan hati kita dengan agamaNya agar kita tidak sekali-kali menyeleweng walaupun diancam bunuh dan sebagainya.

- Asy-Sayyid Qutb berkata [11]: “ Sehubungan dengan ini Allah s.w.t telah menceritakan kepada kaum muslimin berbagai-bagai cerita bani Israel untuk mengingatkan mereka dari terjatuh di dalam kesalahan seperti mereka supaya teraju khilafah dan amanah yang diletakkan diatas bahu mereka tidak dirampas kembali. Tetapi apabila kaum muslimin turut terjatuh di dalam kesalahan-kesalahan bani Israel dan bertindak membuang sistem hidup Islam dan syari’atnya, berhakimkan kehendak hawa nafsu, membunuh sekumpulan pembawa hidayah dan mendustakan sekumpulan yang lain, maka Allah s.w.t timpakan keatas mereka bala-bala yang ditimpakan keatas kaum bani Israel sebelum ini. Iaitu bala berpecah-belah, kedudukkan yang lemah serta susah dan sengsara. Kecuali mereka menundukkan kehendak hawa nafsu mereka kepada kehendak-kehendak syari’at Islam dan kitab suci al-Quran.”

2. Ayat 88:

- Ayat ini menjelaskan pendirian kaum bani Israel terhadap risalah baru (al-Quran) dengan didatangkan nabi yang baru (Rasululullah s.a.w), tiba-tiba pendirian mereka sama sahaja dengan pendirian mereka yang terdahulu terhadap para rasul yang sebelum ini.Ayat ini menunjukkan betapa beraninya orang yang sudah nekad dengan menyatakan secara terang-terangan sambil mencabar para rasul dengan perkataan قُلُوبُنَا غُلْفٌ yang bermaksud “ hati kami sudah tertutup” yang mana memberi pengertian bahawa tidak ada tempat lagi dihati mereka untuk menerima seruan Allah s.w.t apatah lagi untuk mempercayainya. Disini digambarkan antara jenis golongan manusia dalam menolak dakwah yang dibawa oleh para rasul. Diantara mereka ada yang mengatakan “ kamu tidak perlu ajak kami, kerana hati kami tidak terima pengajaranmu.” Manakala jenis yang lain pula ada yang mengatakan “ Hati kami tidak masuk ajaranmu kerana kami sudah pandai” Inilah yang berlaku kepada kaum bani Israel di zaman nabi Muhammad s.a.w yang mereka itu terdiri daripada ahli kitab yang mana mereka sudah merasakan bahawa mereka sudah terlebih pandai. Dan terbukti di zaman nabi Muhammad s.a.w, tidak ramai ahli kitab yang menerima serta mengikut nabi.

- Apakah makna ahli kitab? Mereka adalah orang yang menbaca serta tahu tentang isi kandungan Taurat dan Injil dan mereka jugalah yang mengatakan “hati kami telah tertutup” kerana menganggap diri mereka sudah banyak ilmu di dada dan tidak muat untuk diisi dengan ilmu tambahan yang para rasul mahu sampaikan[12]. Dengan megah dan sombongnya mereka berkata sebegitu. Ada diantara mereka yang berkata “ hati aku adalah gedung ilmu, aku lama dah mengaji, lebih lama daripada engkau, aku sudah pandai dan bijak, maka tidak payahlah mengajar aku”. Inilah dia perangai Yahudi di zaman dahulu. Oleh sebab itulah mereka mendapat kutukan daripada Allah s.w.t iaitu jauh daripada rahmatNya dan jauh daripada segala apa yang mendatangkan kebaikan keatasnya. Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[13] : “ Mereka berkata hati mereka telah tertutup rapat dan tidak dapat ditembusi oleh dakwah baru dan tidak dapat mendengar seruan rasul yang baru. Mereka berkata begitu dengan tujuan untuk menghancurkan harapan nabi Muhammad s.a.w dan kaum muslimin dari menyeru mereka kepada agama Islam atau dengan tujuan mengemukakan sebab-sebab mengapa mereka tidak menyambut dakwah Rasullullah s.a.w. Lalu Allah s.w.t menjawab pertanyaan mereka dengan firmanNya yang berbunyi :

بَلْ لَعَنَهُمْ اللَّهُ بِكُفْرِهِمْ

Maksudnya: “ Malah sebenarnya Allah telah mengutuk mereka dengan sebab kekufuran mereka”

Yak’ni Allah telah mengusir dan menjauhi mereka daripada hidayah dengan sebab kekufuran mereka. Mereka telah kafir dari awal-awal lagi (ya’ni sebelum datangnya hidayah dan panduan), kerana itulah Allah s.w.t membalas kekafiran mereka itu dengan pengusiran dan menghalang mereka daripada mengambil manfaat daripada hidayah Allah s.w.t”

- Seterusnya ayat ini diakhiri dengan firmanNya yang berbunyi:

فَقَلِيلاً مَا يُؤْمِنُونَ

Bermaksud : “ Amat sedikit mereka yang beriman”

Ya’ni sedikit sekali mereka yang beriman kerana telah diusir dari rahmah Allah s.w.t sebagai balasan diatas kekufuran mereka yang telah lalu dan kesesatan mereka yang lama atau beginilah selama-lamanya keadaan mereka. Kekafiran mereka amatlah buruk kerana mereka mengingkari nabi yang ditunggu-tunggu oleh mereka, nabi yang mereka pernah memohon kepada Allah s.w.t agar dengan kebangkitan nabi tersebut dapatlah mereka mengalahkan orang-orang musyrik arab. Maka, dengan sebab itulah kita dapati bahawa amat kecil bilangan orang Yahudi beriman kepada Allah s.w.t berbanding dengan orang musyrik arab itu sendiri[14].

- Jikalau dikaji, mengapakah Allah s.w.t sebut hal ini didalam al-Quran sedangkan orang Yahudi sudah pasti tidak membacanya apatah lagi mahu mengikutinya. Kita mungkin akan berkata, bukankah ayat ini terkena kepada kaum Yahudi? Maka tidak payahlah diceritakan dalam al-Quran. Hakikatnya Allah s.w.t menceritakan kisah ini agar orang Islam membacanya dan faham serta mengerti apakah ciri-ciri perangai Yahudi kerana dikalangan orang Islam pun sudah pasti ada yang berperangai seperti Yahudi dengan merasakan hatinya sudah tertutup atau pun akalnya sudah pandai dan cerdik justeru itu tidak perlulah mereka mengikut ajaran Allah s.w.t yang dibawa oleh para ulama.

- Ada diantara mereka itu tahu tentang hakikat kebenaran itu datangnya daripada Allah s.w.t, tetapi kerana mengejar dunia, kemewahan dan pangkat mereka lupa kepada kebenaran itu. Ada juga di antara mereka yang malu untuk mengikut kebenaran terutamanya golongan yang cerdik pandai serta mewah kehidupannya. Mereka takut dicerca dan dihina oleh kawan-kawan yang lain kerana pada pandangan mereka dan mereka yang sewaktu dengannya, mengikut kebenaran Islam itu adalah seperti mengikut satu budaya yang kolot, tidak “up to date”, tidak sepaksi dengan negara barat yang menjadi idola mereka dan sebagainya. Dan golongan agama yang cerdik pandai pula, kadang-kadang tersilap atau tidak sedar melakukan kesilapan dalam sesuatu perkara apatah lagi yang menyentuh kepada masalah dasar, mereka malu untuk mengkaji semula dalam ertikata melakukan perubahan kepada yang sebenarnya kerana tidak mahu jatuh air muka mereka. Maka orang yang berperangai sedemikian ini, disifatkan sebagai meniru perangai kaum Yahudi. Kita minta berlindung daripada Allah s.w.t agar tidak menjadikan kita seperti mereka-mereka yang berperangai seperti kaun Yahudi.



[1] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 107

[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 129

[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 107

[4] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 18

[5] Sila rujuk ayat 49 surah Ali Imran dan ayat 110 surah al-Maidah. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 107. Lihat juga Abi Tahir b. Ya’qub, Tanwir al-Miqbas min Tafsir Ibn ‘Abbas (t.t), mk 13.

[6] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 19

[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 337-338

[8] Diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam bab al-Fitan yang diambil daripada Abi ‘Ubaydah r.a dan lafaz olehnya. Diriwayatkan juga oleh al-Tirmizi daripada Abdullah b. Mas’ud dalam tafsirnya yang membicarakan ayat daripada surah al-Ma’idah dengan sedikit perbezaan pada lafaz. Tirmizi mengatakan bahawa hadith ini adalah hasan gharib. Abu Dawud juga meriwayatkannya dalam bab al-Malahim daripada Abdullah b. Mas’ud. Lihat juga Sa’id Hawwa, Jundullah, mk 39.

[9] Ayat 78 daripada surah al-Ma’idah yang berbunyi :

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

Maksudnya: “Telah dilaknati orang-orang kafir dari bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.”

[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 339

[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 339-340

[12] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 19. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 109. Lihat juga Abi Tahir b. Ya’qub, Tanwir al-Miqbas min Tafsir Ibn ‘Abbas (t.t), mk 13.

[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 344

[14] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 132

Wednesday, November 23, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 84-86)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 84& 85:

- Kedua-dua ayat ini juga sekali lagi mengingatkan persetiaan serta perjanjian kaum bani Israel dengan Allah s.w.t di dalam kitab Taurat. Perjanjian yang tidak berlaku kepada umat lain ini telah pun disebut sepintas lalu ketika Allah s.w.t mengingatkan kaum bani Israel tentang kemungkiran perjanjian mereka dengan Allah s.w.t didalam perbicaraan ayat yang telah lepas. Maka disini pula perjanjian itu dihuraikan dengan sedikit terperinci mengenai setengah-setengah isi perjanjian ini. Perjanjian tersebut mengandungi empat persetiaan iaitu yang pertama, jangan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan sesama sendiri). Kedua, jangan menghalau sesama saudara dari rumah masing-masing. Ketiga, jangan bertolong-tolongan pada berbuat dosa dan aniaya dan yang keempat, hendaklah menebus tawanan[1].

- Menurut ahli sejarah[2], kota Madinah pada asalnya didiami oleh suku-suku bangsa Yahudi dan suku-suku bangsa Arab dan dikenali sebagai Yathrib. Pada mulanya Yathrib ini adalah tempat pelarian kaum Yahudi yang dihalau daripada Syam dan Palestin yang mana pada masa itu negeri-negeri ini ditakluki oleh kerajaan Rom sehinggalah mereka menjadikan Yathrib ini menjadi tempat tinggal tetap bagi kaum bani Israel.

- Selepas itu, datanglah dua orang bangsa Arab dari Najran negeri Yaman merantau ke sana dan meminta kebenaran kepada kaum Yahudi untuk bermastautin dan permintaan perantau Arab itu telah dimakbulkan. Lalu mereka pun beranak-pinak serta berkembang biak di situ sehinggalah menjadi dua puak, yang pertama dipanggil “ Aus” dan yang kedua dipanggil Khazraj”. Tetapi kedua-dua puak ini selalu bertelagah zaman berzaman sehinggalah hijrahnya Rasullullah s.a.w, barulah mereka dapat didamaikan.

- Sifat permusuhan kedua-dua puak Arab ini rupanya menjadi satu tarikan kepada kaum Yahudi untuk bermusuh-musuhan pula sesama mereka. Suku kaum Yahudi yang digelar “bani Quraizah” memusuhi suku kaum Yahudi yang digelar “bani Nadhir” dan “bani Qainuqa’”. Malah, bani Quraizah telah menjadi sekutu suku Aus untuk memerangi bani Nadhir dan bani Qainuqa’ yang bersekutu pula dengan suku Khazraj[3]. Apabila kedua-dua puak Arab ni beperang maka puak-puak Yahudi itu turut berperang sama pada hal kitab Taurat mereka melarang berperang antara satu sama lain.

- Kalau dikaji, tindakan yang dimainkan oleh kaum Yahudi ini adalah merupakan satu siasah yang kotor. Mereka tidak yakin bahawa mereka akan menjadi satu umat yang kuat kalau mereka mengikut sepenuhnya hukum Allah s.w.t. Bani Quraizah bersatu dengan puak Aus sedangkan bani Nadhir dan bani Qainuqa’, sekutunya puak Khazraj. Mengapa kaum Yahudi ini tidak bersatu menentang Aus dan Khazraj? Sebab mereka sanggup berbuat demikian adalah sebab muslihat politik yang kotor dimana mereka dapat mengecapi kemenangan serta habuan perang dan berkesempatan untuk menyusup kedalam komuniti puak Arab. Ini menjelaskan bahawa mereka berbuat sedemikian adalah semata-mata untuk mencapai keuntungan didunia sahaja bukan untuk kepentingan agama Allah s.w.t.

- Umpamanya, banyak negera-negara Islam menjalankan maslahat politik cara Yahudi ini diperingkat antarabangsa, kononnya mahu berada di blok berkecuali. Dengan sebab itu, negara-negara Islam tersebut perlu berbaik-baik dengan kuasa–kuasa besar yang sememangnya kuffar seperti Amerika, Russia dan China. Ada diantara negara-negara besar yang kuffar ini adalah “ kafir harbi’. Mengikut kaedah hukum syarak, apabila negara Islam dicerobohi oleh sesebuah negara kafir atau pun menindas orang-orang islam yang berada di negara mereka hendaklah dianggap negara itu adalah kafir Harbi. Tetapi, di zaman sekarang tidak berlaku sedemikian kerana kebanyakkan negara yang mengaku Islam sekarang mengikut jejak langkah kaum Yahudi.

- Sebab turunnya ayat ini adalah kerana apabila selesai peperangan sesama mereka, pihak yang menang akan menghalau pihak yang kalah daripada kawasan mereka. Jika ada salah seorang dari dua pihak yang berperang-perangan itu tertawan, masing-masing mengumpulkan wang untuk menebusi yang ditawan. Sifat sebegini menjadikan puak-puak Arab merasa pelik lalu bertanya kepada puak Yahudi itu : “ Mengapakah kamu berperang dan orang-orang yang ditawan kamu tebusi?)” Mereka menjawab : “ Kami memang diwajibkan menebusi orang tawanan” Bertanya pula puak Arab: “ kalau sebegitu, apa gunanya kamu berperang-perangan?” Mereka menjawab lagi: “ Kami sebenarnya malu kalau tak membela sekutu kami, oleh itu kami akan bermati-matian supaya rakan sekutu kami tidak terhina”[4]

- Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam memberi komentar terhadap sebab turunnya ayat ini berkata [5]: “ Peristiwa yang disekemukakan oleh al-Quran ini kepada kaum Yahudi itu adalah peristiwa yang tidak lama berlaku dahulu, iaitu beberapa waktu sebelum Islam menguasai kaum Aus dan Khazraj yang mana kedua-dua suku kaum arab ini adalah kaum musyrikin belaka. Kedua-duanya merupakan dua suku Arab yang paling kuat bermusuh dan berseteru terhadap satu sama lain. Diwaktu itu juga ada tiga suku kaum Yahudi di Madinah yang masing-masing mengadakan perjanjian setia dengan dua suku Arab yang musyrikin itu. Suku bani Qainuqa’ dan bani Nadhir berikat setia dengan suku Khazraj sedangkan suku bani Quraizah pula berikat setia dengan suku Aus. Apabila peperangan berlaku diantara mereka, maka setiap pihak akan berperang bersama sekutu masing-masing. Puak Yahudi itu turut berperang membunuh musuh-musuh mereka kadang-kadang mereka terpaksa membunuh orang-orang Yahudi sendiri yang bersekutu dengan pihak yang lain sedangkan perbuatan ini haram mengikut perjanjian mereka dengan Allah s.w.t. Mereka mengusir orang-orang Yahudi dari kampung-kampung mereka apabila pihak mereka mencapai kemenangan. Mereka merampas harta benda mereka dan menjadikan mereka tawanan perang mereka sedangkan perbuatan ini juga adalah haram mengikut perjanjian mereka dengan Allah s.w.t. Kemudian apabila peperangan itu berhenti mereka akan menebus tawanan-tawanan dari kalangan Yahudi yang tertawan disana sini, iaitu yang tertawan disisi mereka atau disisi sekutu-sekutu mereka atau disisi musuh-musuh sekutu mereka demi mematuhi hukum Taurat yang menerangkan bahawa : Engkau tidak boleh membiarkan mana-mana bani Israel menjadi hamba abdi melainkan engkau pasti mengambilnya dan membebaskannya. Dan inilah perbuatan-perbuatan mereka yang bertentangan yang dikemukakan oleh al-Quran kepada mereka. Al-Quran mengemukakan pertanyaan yang mengandungi kecaman kepada mereka yang berbunyi:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Bermaksud : Apakah kamu hanya beriman dengan sebahagian sahaja ajaran kitab (Taurat) dengan mengingkari sebahagian yang lain?

Inilah perbuatan membatalkan perjanjian yang diancamkan Allah s.w.t dengan balasan kehinaan didalam kehidupan dunia dan balasan azab yang lebih dahsyat diakhirat disamping ancaman secara halus bahawa Allah s.w.t tidak lalai dan cuai terhadap tindak tanduk mereka itu”.

- Tidak dinafikan alangkah lemahnya alasan-alasan yang mereka kemukakan. Ini jelas menunjukkan dalam masalah menebus tawanan, mereka ikut kitab tetapi dalam masalah berperang, jangan menghalau sesama saudara dari rumah masing-masing dan jangan bertolong-tolongan untuk berbuat dosa dan aniaya mereka tidak mengikut kitab. Sangatlah pelik kelakuan mereka ini kerana sudah berpenat lelah berperang terpaksa pulak menebus tawanan diatas perbuatan mereka berperang itu. Amatlah kurang cerdiknya perbuatan mereka itu. Dan kalau diterjemahkan kepada masyarakat sekarang yang ambil separuh sahaja hukum Islam dan separuh lagi ditinggalkan, maka sebenarnya amat pelik dan menghairankan perbuatan mereka itu tetapi kebanyakkan umat Islam tidak menyedarinya.

- Mereka beriman dengan setengah isi kitab dan kafir dengan setengah yang lain. Penggunaan kalimah وَتَكْفُرُونَ yang bermaksud “ dan kamu kafir” menunjukkan serta menjelaskan betapa teruknya orang yang meninggalkan hukum Allah s.w.t kerana hakikat yang sebenarnya bukan meninggalkan hukum Allah s.w.t, tetapi kafir dengannya. Tidak ada balasan kepada manusia yang sebegini melainkan kerugian di dunia dan diakhirat nanti dicampakkan kedalam azab api neraka.

- Kenapakah berlakunya perbuatan beriman dengan setengah isi kitab dan kafir dengan setengah isi kitab yang lain? Hal ini demikian kerana tiada wala’ (kesetiaan) kepada Allah s.w.t sedangkan didalam al-Quran Allah sebut [6]:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

Maksudnya: “ sesungguhnya yang menjadi wali kamu (ya’ni yang kamu mesti taat setia kepadanya) ialah Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat serta ruku’ kepada Allah s.w.t”

Dan inilah sebenarnya yang sepatutnya diberikan taat setia kepada mereka. Allah s.w.t tidak benarkan orang Islam memberi taat setia kepada orang-orang kafir.

- Allah s.w.t berfirman lagi yang berbunyi [7] :

لا يَتَّخِذْ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنْ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلاَّ أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً وَيُحَذِّرُكُمْ اللَّهُ نَفْسَهُ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

Maksudnya: “ Tidak harus bagi orang mukmin memberi wala’ kepada orang kafir. Barang siapa yang berbuat sedemikian (dengan redhonya) maka tiada sesuatupun daripada Allah s.w.t kecuali mereka itu takut. Allah mempertakuti kamu dengan diriNya dan kepada Allah tempat kembali”

Jelas pada ayat ini menunjukkan orang mu’min ditegah memberi wala’ atau berpemimpinkan orang kafir bahkan hendaklah didahulukan orang-orang yang dapat menjamin kebaikan dan maslahat agama serta umat Islam. Tetapi jika kerjasama dengan mereka didasarkan atas maslahat orang-orang Islam maka tidaklah ditegah. hal ini demikian kerana Rasullullah s.a.w sendiri pernah bersetia (membuat perjanjian) dengan suku kaum Khuza’ah padahal mereka orang musyrik. Begitu juga tidak ditegah percaya serta mempercayai dengan orang yang bukan Islam di dalam pergaulan yang baik dan urusan keduniaan[8]. Apakah pula ertinya “ tidak ada sesuatupun dari Allah”. Ertinya , tidak ada daripaa agama Allah s.w.t bagi mereka sesuatu pun. Sesiapa yang memperlakukan sedemikian ya’ni memberi wala’ kepada orang kafir dalam masa yang sama meninggalkan orang mu’min sendiri sehinggakan perbuatan tersebut menyebabkan kerosakan maslahat agama Islam maka tali keimanan antara dia dengan Allah s.w.t putuslah sudah lalu tergolonglah dia sebagai orang kafir kerana terdapat ayat lain daripada firmanNya yang berbunyi[9]:

وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ

Maksudnya: “ barang siapa daripada kamu mempertuankan mereka, maka sesungguhnya dia tergolongan daripada mereka”

Dan ayat ini bersambung lagi yang bermaksud “ melainkan kerana mereka takut”. Apakah yang dimaksudkan takut disini?. Maksudnya, orang Islam boleh memberi wala’ kepada orang kafir sekiranya sudah sampai peringkat nyawa mereka diancam oleh orang kafir yang memerintah sesebuah negara orang Islam. Ketika itu harus kepada orang Islam yang lemah imannya mengaku (dengan lidah sahaja) member wala’ kepada orang kafir demi menyelamatkan nyawa mereka. Walaupun begitu, dari sudut hukum Islam memilih untuk mati syahid dengan wala’ kepada Allah s.w.t adalah lebih afdhal daripada melahirkan ketundukan kepada orang kafir. Mengapakah negara-negara Islam hari ini memberi wala’ atau mengadakan perjanjian dengan negara kafir harbi ? hal ini demikian kerana wala’ mereka tidak kepada Allah s.w.t malah kesetiaan mereka hanya kepada manusia.

- Seterusnya, walaupun ayat 84 dan 85 ini ditujukan kepada kaum Yahudi, tetapi ianya secara umum termasuklah juga kepada orang Islam. Kalau sekiranya ada dikalangan orang Islam ini beriman dengan setengah daripada isi al-Quran seperti dalam masalah sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja manakala dalam masa yang sama mereka kafir dengan setengah yang lain seperti masalah undang-undang negara, ekonomi dan seumpamanya maka serupalah mereka dengan kaum Yahudi yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Itulah sebabnya tanda-tanda kesusahan dan penderitaan sebahagian umat Islam telah nampak di dunia ini sebagai contoh terjadinya gejala dadah, aids, buang bayi, sumbang mahram dan banyak lagi yang kita sendiri pun tidak sanggup hendak membacanya dan yang pastinya mereka yang terlibat adalah dari kalangan orang Islam itu sendiri. Apalagi di akhirat nanti sudah pasti bersangatan seksanya. Hendaklah umat Islam insaf dalam hal ini, berimanlah menurut apa-apa yang diperintahkan Allah dalam al-Quran kesemuanya bukan satu atau dua ayat sahaja.

2. Ayat 86:

- Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang mempercayai hanya sebahagian isi kitab sahaja, adalah disifatkan seperti orang yang menjual akhiratnya untuk kepentingan dunianya. Ini adalah kerana siapa yang mengutamakan kelazatan dunia semata, nescaya luputlah kelazatan akhiratnya. Dan dengan sendirinya penderitaan atau seksaan itu nanti tiada siapa yang boleh diharap untuk meringankannya dan tiada siapa pula yang diharap untuk menolongnya.

- Ayat ini sekaligus memperlihatkan kaum yahudi ini lebih mengutamakan kehidupan dunia dari akhirat. Orang-orang Yahudi akan memerhatikan siapa yang kaya dan siapa yang menang dalam peperangan. Jika mereka dapati Aus yang menang mereka akan menyokong puak Aus dan begitulah sebaliknya kalau puak Khazraj yang menang. Begitu jugalah yang berlaku pada zaman sekarang. Sekiranya didapati orang barat kaya, mereka berpaling kepada barat dan sekiranya didapati Jepun kaya, maka berpalinglah pula mereka kearah Jepun dalam ertikata mereka meniru kemajuan berdasarkan kepada kebendaan dinegara dan blok tersebut. Inilah yang dinamakan wala’. Hal ini demikian tidak lain dan tidak bukan kerana membeli kehidupan dunia dengan akhirat dan menganggap kemuliaan dunia lebih baik daripada kemuliaan akhirat[10]. Mereka tidak yakin kepada Allah s.w.t tetapi sebaliknya yakin kepada manusia diatas sifat kebendaan dan bukan diatas sifat keimanan terhadap Allah s.w.t.

- Inilah dia puncanya (ya’ni tidak percaya akan Allah dari sudut memberi kemenangan dan kesejahteraan kepada umat Islam) dan perkara ini adalah satu perkara yang besar yang mesti kita memahaminya. Ramai orang Islam tidak faham dalam masalah ini, padahal perkara-perkara sebegini disebut dalam al-Quran. Kita akan dapat memahaminya dengan syarat kita membaca dan memahaminya dari awal hingga akhir ayat al-Quran.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[11]: “ Kisah mereka membeli kepentingan hidup dunia dengan akhirat disini ialah mereka bertujuan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan perjanjian Allah s.w.t itu ialah untuk mengekalkan perjanjian mereka dengan kaum musyrikin Arab yang telah mengadakan suatu perjanjian setia yang bertentangan dengan agama dan kitab suci mereka. Tindakan mereka berpecah kepada dua dan bergabung dalam dua perikatan setia itulah perjanjian turun temurun kaum Israel untuk membolehkan mereka memainkan peranan “memegang ditengah tongkat” (peranan menjaga imbangan). Perancangan mereka bergabung dengan puak-puak yang bertentangan (puak Arab) merupakan langkah-langkah hemah mereka untuk mendapatkan keuntungan dalam segala keadaan dan menjamin kepentingan kaum Yahudi sama ada yang menang itu puak ini atau pun puak yang itu. Inilah dia perjanjian yang diatur oleh puak-puak yang tidak yakin kepada Allah s.w.t , tidak berpegang teguh dengan perjanjian. Mereka hanya berpegang dengan tindak-tanduk dan langkah-langkah yang pintar dan licin sahaja. Mereka hanya berpegang kepada perjanjian bumi sahaja. Mereka hanya mengharapkan pertolongan pada manusia bukan pada tuhan manusia. Orang-orang yang beriman adalah diharamkan dari mengadakan sebarang perikatan yang bertentangan dengan perjanjian mereka dengan Allah s.w.t dan bertentangan dengan tugas-tugas agama mereka walau pun perikatan itu dibuat atas nama kepentingan atau keselamatan, kerana kepentingan yang sebenar itu ialah mematuhi ajaran agama mereka dan keselamatan yang sebenarnya adalah dengan memelihara perjanjian mereka dengan Allah s.w.t”



[1] Maksudnya bila didapati dimana sahaja daripada lelaki dan perempuan dari bangsa kaum Yahudi yang menjadi hamba,hendaklah mereka itu ditebus seberapa banyak pun harganya dan setelah itu hendaklah hamba itu dimerdekakan, sila lihat Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 108

[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 126

[3] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 105

[4] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 214

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 333-334

[6] Al-Maidah, ayat 55

[7] Ali-‘Imran, ayat 28

[8] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 3, mk 126

[9] Al-Maidah, ayat 51

[10] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 105

[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 336-337