Wednesday, March 27, 2013

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 191 )


بسم الله الرحمن الرحيم
1.      Ayat 191:
-         Berdasarkan ayat ini, Allah s.w.t menyuruh membunuh orang-orang yang memerangi dimana sahaja berjumpa samada ditanah halal atau pun haram seperti di Mekah. Adapun perintah berjihad (berperang) pada ayat 190 yang lalu merujuk kepada musuh yang bertindak menyerang dahulu. Tetapi, suruhan pada ayat ini merujuk kepada suruhan jihad secara total samada musuh sedia berlawan atau pun tidak melawan dan juga musuh yang dahulunya menghalau Rasullullah s.a.w dari Mekah, hendaklah juga dihalau. Hal ini demikian pekerti mereka itu adalah merupakan fitnah merujuk kepada menyekutukan Allah dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari membunuh orang.
-         Fitnah di dalam Islam lebih besar bahayanya daripada membunuh. Hal ini demikian kesan pembunuhan membawa erti kematian terhadap jasad. Adapun fitnah itu membawa erti kematian terhadap nilai kerohanian yang menghapuskan nilai-nilai kemanusiaan dan sekaligus memudharatkan manusia keseluruhannya. Maka insan yang mati rohnya, hidup seperti sudah dibunuh, kewujudannya serupa tiada kerana sudah tiada mempunyai ertinya lagi. Al-Zamakhsyari berkata[1]: “ Fitnah itu ialah penderitaan yang amat sangat dan dugaan yang menimpa seseorang lantas menjadikan dirinya merasa seksa kerananya. Keadaan seperti ini adalah lebih berat baginya dari pembunuhan
-         Fitnah yang berlaku pada awal Islam yang dianggap lebih besar daripada membunuh itu adalah berupa penekanan terhadap kebebasan beragama, penyeksaan terhadap tubuh badan, sekatan ekonomi dan menghalang dari makan minum sebagaimana yang telah dilakukan oleh kaum Quraisy terhadap orang yang baru memeluk Islam. kemuncak fitnah  yang disaksikan pada awal Islam ialah tindakan kekerasan yang dilakukan terhadap keluarga Yasir, Bilal bin Rabah al-Habashi, sekatan ekonomi terhadap Bani Hashim dan mengusir keluar orang Islam dari bumi Mekah sehingga mereka terpaksa berhijrah keluar kerana mencari tempat untuk melindungi aqidah mereka yang baru setahun jagung[2].
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3]: “ Penindasan terhadap agama Allah merupakan satu pencabulan terhadap sesuatu yang paling suci di dalam hidup manusia. Oleh sebab itulah penindasan itu adalah lebih jahat daripada pembunuhan, ya’ni lebih buruk daripada membunuh, mencabut nyawa dan menghapuskan hidup seseorang. Adalah sama sahaja samada penindasan itu dilakukan dengan ancaman dan tindakan keras yang menyakiti atau dengan mengadakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang jahat yang boleh menyesatkan orang ramai, merosakkan akhlak mereka dan menjauhkan mereka daripada agama Allah atau menggalakkan mereka supaya kafir dan menolak Islam. Sebagai contoh yang terdekat adalah sistem hidup kominis yang mengharamkan pengajian agama dan menghalalkan pengajian yang menolak Tuhan serta mengadakan undang-undang yang menghalalkan perbuatan yang haram seperti berzina dan minum arak dan menggalakkan orang ramai kearah itu dengan berbagai cara bimbingan dan dalam waktu yang sama memberi gambaran yang buruk kepada mereka supaya jangan mengikut tatasusila yang baik yang telah disyari’atkan oleh agama Islam. Ia menggunakan undang-undang dan peraturan tersebut sebagai kewajipan yang sudah pasti orang ramai tidak dapat untuk mengelakkannya”
-         Dengan prinsip inilah Islam membenarkan perang terhadap unsur-unsur yang mengancam keselamatan rohani dan menamakan peperangan itu dengan perang pada jalan Allah sekaligus menggariskan beberapa panduan supaya peperangan tersebut tidak menyeleweng daripada prinsip-prinsip yang dibenarkan oleh syara’. Maka dengan itu peperangan yang berprinsipkan Islam tidak boleh dianggap sebagai keganasan dan anti keamanan malah peperangan ini pada hakikatnya membawa kehidupan yang sebenarnya dan bakal mempertahankan kehidupan yang lebih beerti.
-         Al-Quran secara hakikatnya tidak menyebut kata “Jihad” atau “Qital” melainkan dengan disertai “ Fi Sabilillahi”. Hal ini demikian menunjukkan bahawa tujuan dari peperangan dalam Islam adalah tujuan suci, lagi mulia iaitu menegakkan kalimah Allah sekaligus tidak menyasarkan untuk memperolehi kekuasaan, keuntungan material jauh sekali memperlihatkan kesombongan dan keangkuhan dimuka bumi ini[4]. Sepertimana sabda Rasullullah s.a.w yang berbunyi[5]:
مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللهِ هِيَ العُلْيَا فَهُو فِي سَبِيلِ اللهِ
Bermaksud: “ Barang siapa berperang dengan tujuan agar kalimat Allah itu adalah tinggi, maka ia berjuang atas jalan Allah”
-         Diakhir ayat ini, Allah s.w.t melarang untuk berperang di dalam MasjidilHaram. Tetapi sekiranya musuh melawan, barulah diperangi, kerana demikian itu adalah balasan bagi orang-orang yang kafir. Pencabulan ditempat suci hendaklah dibalas dengan balasan yang seimbang yang mana Islam telah meletakkan satu dasar umum iaitu “ darah dibayar dengan darah” walaupun pada bulan-bulan suci dan ditempat-tempat suci. Fitnah terhadap agama Allah dan penganut-penganutnya tidak boleh dibiarkan berleluasa malahan perlu ditentang habis-habisan dengan jihad yang tidak pernah mengenal jemu atau mengalah. Itulah balasan yang sesuai terhadap orang kafir yang menindas orang Islam kerana memusuhi agamanya dan tidak menghormati kesucian Masjidil Haram yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.
-         Firman Allah s.w.t:
وَلا تُقَاتِلُوهُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Imam al-Qurtuby dalam tafsirnya mengatakan disini terdapat dua pendapat dari kalangan ulama’. Pertama[6], ayat ini telah dimansukhkan oleh ayat  yang berbunyi[7]:
فَإِذَا انسَلَخَ الأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ
Bermaksud: “ Apabila sudah habis bulan-bulan Haram, maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu dimana sahaja kamu jumpai mereka”
Kedua, ayat ini adalah muhkam (ya’ni tetap berlaku sebagai hukum). Menurut Mujahid, ianya tidak diperkenankan melakukan sebarang peperangan di Masjidil Haram kecuali jika diperangi[8].
-         Sebagai bukti atas kebenaran pendapat diatas, terdapat sebuah Hadith daripada Ibn ‘Abbas ketika mana Rasullullah s.a.w berkhutbah pada hari kemenangan merebut Mekah yang berbunyi[9]:
يَاايها الناسُ إنَّ اللهَ حَرَّمَ مَكَّةَ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأرْضَ وَلَمْ تَحِلُّ لِأحَدٍ قَبْلِي وَلَا تَحِلُّ لِأحَدٍ بَعْدي وإنَّما أُحِلَّتْ لِي سَاعَةً مِن النَّهارِ ثُمَّ عَادَتْ حَراَماً إلى يَومِ القِيَامَةِ
Maksudnya: “ Hai manusia, Sesungguhnya Allah telah mengharamkan Mekah (untuk dijadikan tempat bagi peperangan) sejak Dia menciptakan langit dan bumi. Mekah tidak pernah dihalalkan (untuk menjadi medan peperangan) bagi siapa pun sebelum ku dan tidak juga pernah dihalalkan bagi siapa yang sesudah ku. Ianya hanya dihalalkan untukku sesaat sahaja disiang hari ini, kemudian kembali menjadi haram sampai qiyamat.”
Berkata Ibn al-Arabi [10]: “ Maka mantaplah bahawa larangan melakukan peperangan di kota suci Mekah samada berdasarkan al-Quran mahupun Hadith. Jikalau seorang kafir mencari perlindungan ditempat itu, tiadalah jalan untuk membunuhnya. Akan tetapi terhadap orang yang berzina atau yang melakukan pembunuhan maka harus dilakukan hukuman. Dikecualikan juga bagi orang kafir yang mendahului peperangan ditempat itu yang mana harus dibunuh berdasarkan nas al-Quran.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[11]: “ Tidak dibenarkan berperang dikawasan masjidil Haram yang telah ditetapkan Allah sebagai kawasan aman, dimana setiap orang yang berada dikawasan itu mendapat keamanan sebagai memperkenankan doa kekasihNya Ibrahim a.s. Allah telah menjadikan Masjidil Haram tempat pertemuan manusia, dimana mereka dapat menikmati keamanan, kebebasan dan kedamaian. Tidak dibenarkan berperang di kawasan Masjidil Haram kecuali terhadap orang-orang kafir yang tidak menghormati kesuciannya lantas memulakan peperangan terhadap kaum muslimin dikawasan itu. Ketika inilah orang Islam dibenar berperang menentang mereka sehingga berjaya membunuh mereka. Itulah balasan yang sesuai terhadap orang-orang kafir yang menindas orang Islam kerana agama Islam dan tidak menghormati kesucian Masjil Haram.”
-         Tanah Haram sebenarnya mempunyai kehormatan yang tidak boleh dicabuli dengan peperangan dan pembunuhan diatasnya. Bumi Haram ini adalah bumi tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman yang ditentukan oleh Allah s.w.t kepada manusia dan seharusnya mereka tidak boleh mencabuli Tanah Haram ini bertepatan dengan Hadith Rasullullah s.a.w yang berbunyi[12]:
فإنَّ اللهَ تَبَارَكَ وَتَعَلى قَدْ حَرَّمَ دِمَاءَكُمْ وأَمْوَالَكُمْ وأَعْرَاضَكُم إلاَّ بِحَقِّهَا كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا
Bermaksud: “ Sesungguhnya Allah s.w.t mengharamkan darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu daripada dicerobohi kecuali kerana haknya, sebagaimana haramnya pada hari kamu ini, dinegeri kamu ini dan pada bulan kamu ini”
-         Maka hasilnya, pada tahun kelapan Hijrah, Kota Mekah telah dapat ditawan oleh Rasullullah s.a.w dengan angkatan perangnya yang berjumlah 10,000 orang. Ditawan pada 20 Ramadhan yang kesemuanya berpuasa. Tiada darah yang tertumpah dan tiada siapa pun yang dihalau, bahkan dengan adanya sifat Nabi yang “Halim” (berkasih sayang), semua penduduk Mekah mendapat keampunan. Ini adalah catatan yang terpahat dalam sirah Rasullullah s.a.w. Ianya juga memberi gambaran bahawa pejuang-pejuang Islam pada zaman Nabi s.a.w tidak meninggalkan puasa atau merayu untuk dikecualikan walaupun mereka sedang bertugas di medan perang. Maka sangatlah dikesalkan jika ada fatwa yang kononnya merayu mengecualikan puasa yang dianggap boleh mematikan tenaga perjuangan[13].


2.       Ayat 192:
-         Ayat ini memberi isyarat kepada berakhirnya penerusan arahan jihad itu sekiranya mereka berhenti sekaligus tidak mahu mengadakan perlawanan, atau tidak kufur malahan menyerah diri masuk Islam. Penamat ini (ya’ni terhentinya mereka memerangi Islam) yang mewajarkan mereka mendapat keampunan dan rahmat merujuk kepada berhentinya mereka dari kekafiran bukan semata-mata berhenti daripada memerangi orang Islam atau menindas mereka kerana agama mereka. Hal ini demikian jikalau penamatnya sedemikian sahaja, ianya hanya membolehkan orang Islam berdamai dengan mereka sahaja dan ianya belum mewajarkan mereka untuk mendapat keampunan dan rahmat Allah s.w.t. Ini adalah kerana tujuan Allah menyebut keampunan dan rahmat disini adalah untuk menggalakkan orang kafir supaya mereka mendapat keampunan dan rahmat setelah lama mereka bersikap kafir dan melakukan pencerobohan.
-         Sesungguhnya Allah akan mengampuni kesalahan mereka yang lalu dan Dia Maha Penyayang kepada hambaNya kerana tidak menyegerakan seksaNya keatas mereka. Dengan ini juga ianya menjadi rangsangan supaya orang kafir itu kembali memeluk Islam kerana pengampunan di sini membawa erti orang kafir yang diberi rahmat dan keampunan itu digugurkan daripada hukum bunuh balas dan bayaran diat sebaik sahaja mereka memasuki barisan kaum muslimin yang pernah diperangi dan difitnah oleh mereka dahulu dengan berbagai-bagai fitnah. Menurut pandangan al-Razi[14], peperangan dalam Islam hanya jalan bagi mencapai keamanan bukan matlamat. Jika keamanan boleh dicapai tanpa perang, maka itulah yang sepatutnya yang dicari.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[15]: “ Matlamat peperangan ialah untuk mendapat jaminan agar tidak ada orang yang ditindas kerana memeluk agama Islam dengan menggunakan kekuatan atau sebagainya seperti kekuatan undang-undang yang mereka hayati dibawah naunganNya atau peraturan yang mengongkong mereka dengan perkara-perkara yang menggoda iman mereka, menyesatkan aqidah mereka dan merosakkan akhlak mereka. Dan matlamat itu dapat dicapai apabila kedudukkan agama Allah itu kuat dan kukuh hingga digeruni musuh-musuhnya. Oleh sebab itu mereka tidak berani bertindak melakukan penindasan dan tiada siapa pun yang ingin beriman merasa takut dihalang oleh mana-mana kuasa atau takut mendapat penindasan dan tindakan yang menyakitinya. Disini jelaslah bahawa kaum muslimin adalah ditugaskan supaya terus berperang sehingga mereka dapat menghapuskan kuasa-kuasa penceroboh dan zalim itu sehingga agama Allah mencapai kemenangan dan kedudukkan yang teguh”


[1] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 402
[2] Dr. Abdul Hayei b. Abdul Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 278
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 130-131
[4] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 401-402
[5] Hadith ini disabdakan oleh Rasullullah s.a.w sebagai jawapan kepada seorang yang bertanya kepada Baginda mengenai orang yang berperang kerana keberanian, dan ada pula kerana kesombongan dan tidak kurang pula yang berperang kerana riya’ dalam mencari pujian manusia. Lalu pertanyaan itu ingin diberi penjelasan yang manakah digolongkan dalam peperangan atas jalan Allah? Maka Baginda s.a.w menjawab dengan Hadith ini. Sila lihat M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 402
[6] Pendapat ini diriwayatkan oleh Qatadah. Sila lihat Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 330
[7] Al-Taubah, ayat 5
[8] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 412
[9] Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
[10] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, ms 414
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 132-133
[12] Al-Bukhari, : al-Hudud: Zahr al-Mu’min hima, bil. 6287
[13] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 78
[14] Tafsir al-Razi, J. 15, ms 179
[15] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 133-134

Thursday, March 7, 2013

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 190 )



بسم الله الرحمن الرحيم
1.      Ayat 190:
-         Sebab nuzul ayat ini sepertimana yg diriwayatkan oleh al-Wahidi[1] daripada Ibn ‘Abbas r.a ketika mana berlakunya Sulhu al-Hudaybiyyah yang berlaku pada bulan Zulqaedah, tahun keenam hijrah. Ianya bertitik tolak daripada tindakan gologan musyrikin yang menghalang Rasullullah s.a.w serta para sahabatnya yang sudah berpakaian ihram  ( daripada Muhajirin dan Ansar serta suku Arab yang lain iaitu seramai 1,400 orang) untuk  mengerjakan umrah ke Baytullah. Ini juga menyebabkan Baginda s.a.w terpaksa menyembelih binatang korban di Hudaybiyyah.
-         Kemudian Baginda s.a.w bersama para sahabatnya membuat kesepakatan genjatan senjata dengan kaum musyrikin dimana kaum muslimin terpaksa menangguh ibadah umrah dan pulang semula ke Madinah pada tahun itu. Bagaimanapun, mereka diberikan kebebasan pada tahun berikutnya untuk tawaf mengelilingi Kaabah dan tinggal menetap selama 3 hari di Mekah. Maka pada tahun berikutnya, Baginda s.a.w membuat persiapan untuk melakukan umrah qadha’ namun mereka berasa bimbang takut-takut kaum Quraisy tidak menepati janji serta menghalang mereka untuk pergi ke Masjidil haram dan memerangi mereka. Apatah lagi ianya akan berlaku pada bulan haram (ya’ni haram berperang) dan berlaku juga dikawasan Tanah Suci yang kesemua ini amat-amat tidak disukai oleh para sahabat. Maka turunlah ayat ini yang bermaksud:
Dan berperanglah untuk menegakkan agama Allah, menentang orang-orang yang memerangi kamu” (ya’ni orang-orang Quraisy)
-         Antara hikmah yang tersembunyi disebalik tindakan Rasullullah s.a.w membawa rombongan untuk mengerjakan umrah adalah supaya bangsa Arab yang bukan Islam (yang terdiri daripada kaum Quraisy yang masih lagi menentang Islam dan bila-bila masa sahaja mereka bersedia untuk memerangi orang Islam) mengetahui bahawasanya rombongan ini benar-benar merupakan rombongan yang mencintai keamanan, bukannya merupakan angkatan perang. Hal ini demikian tidak ada bekalan peperangan yang disediakan, malah tidak ada sebilah pedang pun yang terhunus. Kesemuanya tersimpan di dalam sarungnya[2].
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[3] : “ Ayat surah ini yang merujuk kepada pelajaran ini sedang berdepan dengan kedudukan kaum muslimin di Madinah menghadapi kaum musyrikin Quraisy yang telah mengusir orang-orang yang beriman dari kampung halaman mereka dan menindas mereka kerana agama dan aqidah mereka dan disamping itu ianya menjadi dasar hukum jihad di dalam Islam. Ayat ini dimulakan dengan memerintah kaum muslimin supaya memerangi orang-orang yang telah memerangi mereka dan masih terus memerangi mereka. Arahan ini juga mencakupi supaya mereka memerangi siapa sahaja yang memerangi mereka pada bila-bila masa dan dimana-mana tempat tanpa ada unsur pencerobohan.”
-         Di dalam ayat ini juga terdapat batasan yang tegas terhadap matlamat peperangan dan terhadap panji-panji perjuangan yang terang dan jelas sepertimana firmanNya:
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ
Bermaksud: “ Dan hendaklah kamu memerangi demi jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu”
Ya’ni berperang kerana Allah, bukan kerana sesuatu matlamat yang lain dari matlamat –matlamat perang yang dikenali umat manusia dalam sejarah peperangan mereka yang panjang. Berperang kerana jalan Allah bukan berperang kerana matlamat kemuliaan, kemegahan dan kedudukkan yang tinggi dimuka bumi, bukan berperang kerana harta rampasan perang dan kerana habuan-habuan yang lain. Bukan juga kerana kepentingan pasaran-pasaran ekonomi dan bahan-bahan mentah. Bukan juga berperang kerana mempertuankan satu bangsa terhadap bangsa yang lain atau satu golongan terhadap golongan yang lain. Bukan juga kerana matlamat-matlamat yang tertentu.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “ Berperang di jalan Allah adalah berperang untuk meninggikan agama Allah dimuka bumi dan menegakkan sistem hidup Islam dalam kehidupan manusia. Juga berperang melindungi kaum mu’min yang tertindas kerana Islam dan dari dihanyutkan oleh kesesatan dan kebejatan. Maka selain daripada matlamat-matlamat ini, maka peperangan itu tidak halal mengikut hukum Islam dan orang-orang yang menceburkan diri dalam peperangan itu tidak akan mendapat pahala dan kedudukkan di sisi Allah s.w.t”
-         Perkataan jihad dalam bahasa Arab diambil daripada kata nama al-Jahd, ertinya penat atau al-Juhd yang membawa erti tenaga. Tentera digelarkan mujahid, kerana mereka bersedia mengorbankan tenaga dan kekuatannya untuk berjihad. Berasaskan pengertian ini istilah jihad dalam Islam bermaksud: Pengorbanan tenaga bagi mencapai cita-cita atau bagi mengelak sesuatu yang tidak dingini berlaku[5]. Oleh itu sudah pasti bagi seseorang yang mengharapkan kejayaan dalam cita-citanya sanggup berkorban apa sahaja dengan apa sahaja cara, jalan, kaedah dan lapangan yang ada dihadapannya. Maka dengan ini lahirlah berbagai-bagai bentuk jihad, seperti jihad melawan hawa nafsu, menentang tipu daya syaitan, menentang penindasan dan kezaliman, menghapus kejahilan, menentang kuffar dan munafiqin.
-         Ibn Qayyim membahagikan jihad kepada 13 jenis. Termasuk didalam 13 ini ialah jihad yang merujuk kepada peperangan menentang orang kafir dengan menggunakan kekerasan tenaga dan senjata[6]. Jihad ini lebih khusus disebut sebagai qital ertinya perang sebagaimana dalam ayat 190 ini. Jihad dengan pengertian peperangan menentang orang kafir hanya disyari’atkan setelah umat Islam berpindah ke Madinah dan setelah mereka mempunyai kekuatan dan tempat tinggal yang memungkinkan mereka berperang untuk membebaskan diri mereka daripada penindasan sebagaimana arahan daripada ayat 190 ini.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[7] : “ Tersebut di dalam setengah-setengah riwayat bahawa ayat ini adalah ayat yang pertama yang diturunkan mengenai peperangan dan sebelum ini telah diturunkan ayat-ayat yang telah memberi keizinan berperang dari Allah s.w.t kepada orang mu’min yang telah diperangi oleh orang-orang kafir kerana mereka telah dianiyai, dan orang-orang mu’min telah pun merasa bahawa keizinan ini merupakan pendahuluan untuk difardhukan Jihad keatas mereka dan untuk memberi kedudukan yang kuat kepada mereka sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya[8]:
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
Bermaksud: “ Sesungguhnya (peperangan itu) telah diizinkan kepada (orang Islam) yang diperangi kerana mereka telah dianiayai dan sesungguhnya Allah amat berkuasa menolong mereka.”
Oleh sebab itulah mereka mengetahui bahawa sebab dizinkan berperang ialah kerana mereka telah dianiaya dan mereka telah diberi isyarat supaya menuntut keadilan terhadap kezaliman itu setelah mereka dilarang menentang dan menolak kezaliman tersebut ketika mereka berada di Mekah yang mana mereka diperintah sepertimana firmnaNya[9]:
كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
Bermaksud: “ Tahanlah tangan kamu (dari melawan) dan dirikanlah solat dan tunaikan zakat”
-         Apabila memperkatakan keizinan berperang dari segi syari’at, sebelum berlaku peristiwa hijrah, peperangan adalah dilarang dan ini dapat dibuktikan dalam banyak ayat-ayat al-Quran antaranya[10]:
ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Bermaksud: “ Hindarilah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik”

Begitu juga firmanNya[11]:
فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Bermaksud: “ Maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik.

Antara lain firmanNya[12]:
قُلْ لِلَّذِينَ آمَنُوا يَغْفِرُوا لِلَّذِينَ لا يَرْجُونَ أَيَّامَ اللَّهِ
Bermaksud: “ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman agar mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari- hari (pembalasan yang telah ditentukan Allah)

Kemudian Allah s.w.t memansukhkan semua arahan wajib tersebut dengan ayat-ayat perang yang diturunkan di Madinah seperti ayat 190 ini.
-         Antara sebab larangan daripada melawan atau bertindak secara agresif  yang boleh membawa kepada peperangan ketika di Mekah, berdasarkan pendapat al-Syahid Sayyid Qutb antaranya, untuk membiasakan jiwa para mu’min dari orang-orang Arab itu supaya bersabar menjunjung perintah dan patuh kepada kepimpinan dan setia menunggu keizinan. Biasanya dizaman Jahilliyyah mereka mempunyai semangat perang yang berkobar-kobar. Mereka akan menyahut sebaik sahaja diseru berperang dan mereka tidak sanggup bersabar menerima kezaliman dan penganiyaan. Justeru pembentukan umat muslimin yang memikul peranan yang agung itu memerlukan mereka mengawal tabiat-tabiat jiwa mereka dan membiasakannya supaya tunduk kepada kepimpinan yang merancang dan mengatur dan patuh kepada arahan-arahan yang dirancang dan diaturkan itu walaupun ketaatan dan kepatuhan itu menekan saraf mereka yang biasa bertindak terburu-buru dan bersemangat yang berkobar-kobar apabila diseru untuk berperang.
-         Oleh sebab itulah tokoh-tokoh seperti Umar Ibn al-Khattab yang berdarah panas dan Hamzah Ibn Abd al-Mutalib yang bersemangat pahlawan dan lainnya dari tokoh-tokoh para mu’min yang gagah berani sanggup bersabar menerima kezaliman yang menimpa golongan kaum muslimin. Mereka sanggup mengikat saraf mereka menunggu perintah Rasullullah s.a.w dan sanggup mematuhi perintah pemimpin tertinggi yang melarang mereka. Kerana itulah wujudnya keseimbangan diantara perasaan yang terburu-buru dengan tindakan yang berhemah, antara semangat berkobar-kobar dengan sikap yang berhati-hati, antara darah yang panas dengan kepatuhan di dalam jiwa muslimin yang disediakan untuk satu tugas yang amat besar.
-         Selain daripada sebab ini, kaum muslimin di waktu itu merupakan satu golongan kecil yang terkepung di Mekah.  Mungkin mereka akan terbunuh kesemuanya jika mereka bangkit memerangi kaum musyrikin yang pada ketika itu kuat dari segi kepimpinan dan juga senjata. Oleh itu, Allah s.w.t mengkehendaki agar kaum muslimin itu bertambah ramai dan agar mereka dapat berpusat pada satu tempat yang aman dan selepas itu barulah mereka dizinkan berperang.
-         Disamping mengkhususkan matlamat perang agar ianya kejalan Allah sahaja, al-Quran juga mengkhususkan batas peperangan itu sendiri sepertimana firmanNya:
وَلا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Bermaksud: “ Dan janganlah kamu menceroboh ( ya’ni melampaui batas). Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang menceroboh (melampaui batas)”
Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[13] : “ Pencerobohan itu berlaku dengan melancarkan peperangan yang berlebih-lebihan keatas askar musuh yang menceroboh sehingga membabitkan pihak-pihak yang bukan askar iaitu pihak awam yang aman dan damai serta tidak membahayakan atau pun mengancam dakwah Islam dan kaum muslimin seperti wanita, kanak-kanak, orang tua, dan ahli ibadah yang menumpukan kegiatan mereka di dalam ibadah dari pemeluk-pemeluk setiap agama. Pencerobohan itu juga boleh berlaku dengan tindakan yang melewati batas-batas peradaban dan etika perang yang telah disyari’atkan oleh Islam untuk mencegah perlakuan yang kejam dan ganas yang terkenal di dalam peperangan jahiliyyah dahulu dan sekarang.”
-         Diriwayatkan dari Buraydah sebuah Hadith yang bermaksud[14]:
Bahawasanya Rasullullah s.a.w manakala melantik ketua angkatan perang yang diutusnya pergi berperang, diberi wasiat supaya takutkan Allah- suatu pesanan yang khas untuknya dan amnya untuk yang lain supaya berlaku baik dalam tugasnya. Kemudian Baginda s.a.w berkata: Berperanglah kamu atas jalan Allah, perangilah siapa yang kufur kepada Allah, seranglah mereka, jangan khianat, jangan melampaui batas, jangan mengerat-ngerat musuh yang sedang mati dan jangan membunuh kanak-kanak.!”
-         Kesimpulannya, tujuan jihad pastilah untuk mencapai matlamat yang telah disebutkan tadi. Ini sahaja objektifnya dan tidak bercampur aduk dengan suatu matlamat yang lain atau dengan suatu lambang yang lain. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[15]: “ Itulah jihad untuk aqidah dan jihad untuk melindungi aqidah dari kepungan musuh serta penindasan. Jihad untuk melindungi sistem dan syari’at Islam di dalam kehidupan serta menegakkan panji-panjiNya di bumi sehingga digeruni oleh musuh-musuh yang ingin menceroboh sebelum mereka menceroboh. Sehinggalah setiap orang yang ingin menganut Islam tidak menaruh takut kepada mana-mana kuasa di bumi yang ingin mengganggu, menghalang dan menindas Islam. Inilah satu-satunya jihad yang disuruh oleh Islam, satu-satunya jihad yang diwajibkan serta diberi pahala dimana orang yang gugur di dalam perjuangan dianggap para Syuhada’ dan orang-orang yang memikul bebannya dianggap para Auliya’”


[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 176
[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 76
[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 123
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 124
[5] Dr. Abdul Hayei b. Abdul Sukor, Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 2, (2010), mk 274
[6] Zal al-Ma’ad, J. 1, ms 7
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 113
[8] Al-Hajj, 39
[9] Al-Nisa’, 77
[10] Fussilat, 34
[11] Al-Maidah, 13
[12] Al-Jathiyah, 14
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 124
[14] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 77
[15] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (2), (1988), ms 122