Thursday, November 5, 2009

BAB MAD WAL QASR (1)

BAB MAD DAN QASR

Mad adalah satu elemen yang amat penting dalam pembacaan al-Qur´an. Kefahaman terhadap perkara ini perlu diperbetulkan dan seterusnya dipertingkatkan agar kefahaman kepada pembacaan al-Qur´an itu tidak terkeluar daripada ruang lingkup yang telah ditetapkan secara taufiqiyyah daripada Rasullullah s.a.w mahupun ikhtiyariyyah daripada imam-imam. Justeru penjelasan tentang perkara ini amat penting memandangkan terdapat kekeliruan yang berpanjangan dalam memahami hakikat sebenar perihal mad ini.

Antara sebab timbulnya kesilap fahaman dalam mempelajari bab ini ialah, kebanyakkan perbahasan yang terdapat pada sesetengah buku tajwid sekarang ini tidak menggabungkan sekali pengertian mad dan qasr[1]. Ini akan menjejaskan serba sedikit kefahaman tentang hakikat sebenar pengertian mad itu sendiri. Sebenarnya, gabungan kedua-dua pengertian ini saling berkaitan dan mempunyai impak yang amat besar dalam menyalurkan kefahaman yang sebenar. Maka tidak hairanlah kebanyakkan kitab-kitab ilmu qira’at yang dikarang oleh para ulama´ yang ahlinya pasti akan menggabungkan kedua-dua perkara tersebut di peringkat pengertian dan kemudiannya barulah dipisahkan.

PENGERTIAN MAD DAN QASR[2]

Apabila membicarakan tentang mad dan qasr, tidak dapat tidak lingkungan fokus perbincangan akan meliputi kesemua bacaan imam yang mutawatir[3] hingga kepada Rasullullah s.a.w. Ini adalah kerana kefahaman kepada pengertian mad dan qasr itu tidak boleh dikhususkan kepada qira’at, riwayat mahupun turuq tertentu. Pengertian mad dan qasr ini adalah bersifat umum terhadap semua qira’at yang ada dan sudah pasti bagi mereka yang ingin mendalami kedua-dua bab ini mestilah ada pengetahuan serba sedikit tentang ilmu al-qira´at agar kefahaman mereka tidak tersasar daripada yang sebenar.

Justeru bagi mereka yang terlibat di dalam pengajaran bacaan al-qur’an seharusnya tidak boleh berpuas hati dengan sekadar mengetahui ilmu bacaan setakat riwayat Hafs sahaja. Ini adalah kerana jikalau dibiarkan pengetahuan mereka sebegitu sahaja sudah pasti mereka dengan tidak sengaja akan tersilap mengajar khususnya melibatkan pengajaran bab mad kerana bab ini memerlukan pengetahuan tentang kesemua bacaan imam yang mutawatir.

Perihal Mad dan qasr ini boleh dikhususkan mengikut qira’at, riwayat dan turuq tertentu hanya kepada perkara yang melibatkan kadar harakat pemanjangan sesuatu hukum sepertimana yang terdapat di dalam buku-buku tajwid. Selain daripada itu, ianya perlu dibincangkan secara umum melibatkan kesemua imam. Penulis juga berpendapat antara sebab timbulnya ketidak fahaman kepada pengertian mad dikalangan masyarakat islam khususnya di Malaysia adalah kerana masih lagi berpegang kepada kefahaman yang mengkhususkan kesemua perihal mad kepada riwayat tertentu merujuk kepada riwayat Hafs b. Sulayman al-Kufi’

Kitab Ittihaf Fudhala’ al-Basyar bi al-Qira’at al-’Arba‘ah ‘Asyar, karangan Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Banna dalam menyatakan pengertian mad dan qasr memberi penjelasan bahawa apa yang dimaksudkan sebagai mad ialah far’i, iaitu tambahan pemanjangan daripada mad asli. Sepertimana kata Imam al-Syatibiy [4]:

إذا ألف أو ياؤها بعد كسرة أو الواو عن ضم لقي الهمز طولا

Maksudnya : Apabila huruf alif (sebelumnya fathah) atau ya´(sebelumnya kasrah) atau waw sebelumnya dhommah berjumpa hamzah, maka dipanjangkan bacaan.

Manakala maksud qasr pula ialah meninggalkan pemanjangan tambahan tersebut[5]. Rumusan daripada pengertian tersebut ialah apabila dikatakan mad, ia merujuk kepada mad far’i yang mana istilah ini biasa digunakan bagi menggambarkan pemanjangan tambahan yang menuntut kepada penglibatan huruf hamzah atau pun sukun. Ini termasuk mad badal walaupun dibaca dengan dua harakat oleh kebanyakkan imam. Bagi sesuatu hukum pemanjangan yang tidak ada penglibatan hamzah atau pun sukun tidak termasuk di dalam pengertian ini walaupun ianya dinamakan dengan mad seperti mad asli atau pun mad tabi’ei.

Dan apabila dikatakan qasr, ia merujuk kepada mana-mana hukum bacaan yang meninggalkan pemanjangan tambahan tersebut[6] walaupun hukum tersebut dinamakan dengan mad, seperti mad asli atau tabi’ei. Termasuk juga daripada bahagian mad far’i yang dihukumkan harus, seperti mad badal[7], mad munfasil[8], mad lin[9], mad silah kubra[10] dan mad ‘aridh lisukun.[11]

Rumusan ini juga secara tidak langsung telah menggambarkan bahawa perkataan mad ini. meliputi pemanjangan yang mesti bermula daripada tiga harakat dan keatas[12], manakala qasr pula hanya dua harakat sahaja[13].

Tetapi perlu diingatkan bahawa mad asli atau tabi’ei sama sekali tidak boleh dibaca lebih ataupun kurang daripada dua harakat kerana jika berlaku sedemikian, dikira haram disisi syara’ kerana bacaan sebegitu tidak ada nas daripada Rasullullah s.a.w.[14] Adapun bagi mad yang diharuskan membaca dengan qasr, ianya boleh dipanjangkan daripada dua harakat mengikut ikhtiyar imam tertentu kerana hukum pemanjangan mad tersebut adalah harus.



[1] Dalam erti kata lain, mengasingkan terus mad dengan qasr

[2] Pengertian ini adalah khusus untuk bab ini sahaja. Istilah mad dan qasr juga kadang-kadang terdapat didalam bab lain seperti bab Ha´ Kinayah, Hamzah min kalimah dll. Oleh itu perlulah berhati-hati apabila memahami kedua-dua istilah ini jikalau terdapat di dalam bab yang lain kerana kadangkala dalam bab yang sama juga terdapat perbezaan pada kedua-dua pengertian tersebut.

[3] Perpindahan al-Qur’an sejak dari generasi awal adalah bersifat mutawatir. Mutawatir bermaksud perpindahan yang dilakukan oleh satu jama’ah (sekumpulan) dari satu jama’ah yang lain yang tidak memungkinkan mereka melakukan pendustaan dari awal sanad hingga ke penghujungnya, tanpa penentuan tertentu terhadap bilangan jumlah (jama’ah) tersebut. Lihat juga Dr. ‘Abd al-Qayyum bin ‘Abd al-Ghafar al-Sindi (2001), Safahah fi ‘Ulum al-Qira’ah, Beirut: Dar al-Basyar al-Islamiyyat dan Makkah al-Mukarramah: Maktabah al-Imdadiyyat, cet 2, h. 51. Dalam Pengertian lain mutawatir ialah riwayat orang yang banyak, dijamin tidak berdusta terhadap Rasulullah (s.a.w), kemudian dari kumpulan ini diriwayatkan pula oleh kumpulan yang lain yang serupa dengannya. Lihat Urusetia Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan al-Qur’an Kementerian Dalam Negeri (2004) Buku Panduan Rasm ‘Uthmani, Pencetakan Nasional Malaysia Berhad., cet 2, h. 3

[4] Syatibiy, al-Qasim bin Firruh bin Khalaf bin Ahmad al-, (1996), Hirz al-Amani wa al-Wajh al-Tahani, (tahqiq: Muhammad Tamim al-Zu‘bi), cet. 3, Madinah al-Munawwarah: Maktabah Dar al-Huda, h.14.

[5] Banna, Syeikh Ahmad bin Muhammad al-, (1987), Ittihaf Fudala’ al-Basyar bi al-Qira’at al-’Arba‘ah ‘Asyar, (tahqiq: Dr. Sya’ban Muhammad Ismail), Beirut: ‘Alim al-Kutub, bab Mad wal Qasr, j. 1, h. 157. Lihat juga Muhammad Fahad Kharuf, (1995), al-Muyassar fi Qira´at al-’Arba‘ah ‘Asyarah, cet. 3, Beirut: Dar Ibn Kathir, j. 1, h. 157.

[6] Maksudnya dibaca dengan dua harakat sahaja tanpa tambahan.

[7] Melibatkan semua imam yang memilih untuk membaca dua harakat kecuali riwayat Warsy

[8] Melibatkan imam yang memilih untuk membaca dua harakat pada munfasil

[9] Melibatkan bacaan semua imam yang memilih untuk membaca dua harakat ketika waqaf.

[10] Melibatkan imam yang memilih untuk membaca dua harakat pada mad munfasil kerana pemanjangan pada mad silah kubra secara umumnya akan mengikut kadar pemanjangan mad munfasil

[11] Melibatkan bacaan semua imam yang memilih untuk membaca dua harakat ketika waqaf.

[12] Maksudnya tiga hingga enam harakat, kerana tiada satu pun imam yang meriwayatkan bacaan panjang lebih daripada enam harakat.

[13] Selepas pada ini penulis akan menggunakan perkataan mad bagi menggambarkan kadar harakat dalam lingkungan tiga hingga enam, dan perkataan qasr bagi menggambarkan dua harakat.

[14] Abu ‘Abd al-Rahman Ridha ‘Ali Darwisy dan Abu Sahl Samih bin Ahmad bin Muhammad, (2000), Fath al-Rahman fi Taisir Turuq Hafs bin Sulaiman, cet. 1, Kaherah: Maktabah Qurtubah lil Turath, h. 35.