Tuesday, November 17, 2009

PERSOALAN MAD WAL QASR (2)

MAD MUTTASIL[1]

Mad muttasil adalah satu-satunya kumpulan mad far’i yang wajib[2] hukumnya. Wajib di sini bermaksud, mesti membacanya dengan mad[3] oleh jumhur ulama’ secara ittifaq. Pembacaan secara qasr adalah dilarang dan dianggap tidak ada nas daripada Rasullullah s.a.w berdasarkan kajian yang dibuat oleh Ibn al-Jazari r.a sehingga beliau mengatakan[4] :

" تَتَبَعْتُ قَصْرُ اْلمُتَّصِلُ فَلَمْ أَجِدْهُ فِي قِرَاءَةٍ صَحِيحَةٍ، وَلاَ شَاذَةٍ"

Maksudnya : Telah aku kaji secara mendalam tentang qasr pada mad muttasil, tidak langsung aku jumpa bacaan sebegini dalam qira’at yang sohih mahupun yang syazah

Ibn al-Jazari mengukuhkan lagi kajian beliau dengan berkata: “ Malah aku lihat nas yang sahih daripada hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud ketika mana seorang lelaki membaca ayat :

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ

Surah al-Taubah (9): 60

Lelaki tersebut membaca secara qasr (pada mad muttasil). Maka berkatalah Ibn Mas’ud: “ Bukan begitu yang Rasullullah s.a.w membaca keatas aku”. Maka berkatalah lelaki tersebut: “Bagaimanakah bacaan yang dibaca oleh baginda keatas engkau wahai Abu ‘Abd al-Rahman? Maka berkata Ibn Mas’ud: “ Baginda mengajarku sebegini”:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ

Beliau membaca secara mad (pada mad muttasil).

Hadith ini adalah satu hujah yang kuat kerana sanadnya terdiri daripada individu-individu yang diakui thiqah[5]. Berdasarkan hadith di atas, dapatlah difahami bahawa secara tauqifiyyah[6] mad muttasil wajib bertepatan dengan syara’[7] dipanjangkan atas daripada dua harakat dan telah dipersetujui oleh semua qurra´[8].

Walau bagaimanapun mereka berselisih pada menentukan kadar harakatnya mengikut ikhtiyar masing-masing. Kadar harakat mad muttasil yang khusus bagi sesuatu qira’at, riwayat mahupun turuq bergantung kepada ikhtiyar imam yang tertentu dan inilah yang dipanggil konsep ikhtiyariyyah dalam pembacaan al-Qur´an.

Antara imam ada yang memilih tiga atau empat harakat dan ada yang memilih enam harakat. Pilihan kadar pemanjangan imam-imam tersebut tetap dianggap mutawatir selagi mana tidak terkeluar dari lingkungan yang telah ditetapkan iaitu atas daripada dua harakat hinggalah enam harakat.

Imam al-Shatibi diriwayatkan hanya memilih dua tahap sahaja pada mad muttasil memandangkan beliau sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk percakapan, penulisan mahupun pengakuan yang menggambarkan beliau membaca pada mad muttasil dengan kadar yang tertentu. Perkara sebegini memang sudah menjadi sifat beliau yang kadang-kala hanya memperkatakan sesuatu masalah secara umum jikalau melibatkan kefahaman teori. Sebaliknya beliau mengkhususkan masalah tersebut di dalam sessi talaqqi bersama anak-anak murid beliau.

Justeru pengkhususan kepada perkara yang umum yang melibatkan ikhtiyar beliau perlu didokong oleh para qurra’ yang mempunyai sanad yang bersambung dengan beliau. Di dalam masalah yang melibatkan mad muttasil, beliau hanya menggambarkan pemanjangan mad muttasil secara umum sahaja melalui kata-kata beliau di dalam permulaan bab mad dan qasr yang berbunyi:[9]

إِذَا أَلِفٌ أَوْ يَاؤُهَا بَعْدَ كَسْرَةٍ أَوِ اْلوَاوُ عَنْ ضُمٍّ لَقِيَ اْلَهمْزَ طُوِّلاَ

Maksudnya : Apabila huruf alif (sebelumnya fathah) atau ya´(sebelumnya kasrah) atau waw sebelumnya dammah berjumpa hamzah , maka dipanjangkan bacaan.[10]

Kenyataan ini dikhususkan oleh ‘Ali MuÍammad al-Dhiba‘ di dalam kitabnya Mukhtasar Bulugh al-’Umniyyah ‘ala Nazm Tahrir masail al-Syatibiyyah, yang mana menjelaskan sekiranya ditanya dari mana datangnya periwayatan yang mengatakan imam al-Shatibi membaca dengan dua tahap sahaja pada mad muttasil jikalau beliau tidak pernah mengkhusus kadar pemanjangan mad tersebut, maka jawapannya ialah dari pendengaran yang sahih dan pembacaan yang bertunjangkan sanad yang sarih yang dinaqalkan daripada al-Ja’bariy[11] daripada al-Sakhawi[12] yang meriwayatkan bahawa sesungguhnya imam al-Shatibi membaca dengan dua tahap pada mad muttasil. Dua tahap yang dimaksudkan itu adalah :

1) Tahap pertama: Enam harakat bagi Warsh dan Hamzah sepertimana kata al-Shaykh Hassan Khalaf al-Hussaini al-Muqri´ r.a[13] :

وَمُنْفَصِلاً أشْبِعْ لِوَرْشٍ وَحَمْزَة كَمُتَصِلٍ

Maksudnya: Dan pada munfasil dibaca isyba’ (enam harakat) oleh Warsh dan Hamzah seperti muttasil

2) Tahap kedua: Empat harakat bagi imam selain daripada Warsh dan Hamzah sepertimana kata al-Shaykh Hassan Khalaf al-Hussaini al-Muqri´ r.a[14]

وَالشَّام مَعَ عَاصِمٍ تَلاَ بِأَرْبَعَةٍ ثُمَّ اْلكِسَائِّ كَذَا اجْعَلَنْ

Maksudnya: Dan Ibn ‘Amir bersama ‘Asim membaca empat harakat dan kemudiannya al-Kisa’ei sedemikian juga.

Maka dengan ini jelas menunjukkan bahawa mad muttasil dan munfasil [15]bagi riwayat Hafs b. Sulayman melalui Tariq al-Shatibiyyah adalah empat harakat berdasarkan tahap kedua yang melibatkan ‘Asim dan juga daripada apa yang dinaqalkan oleh al-Sakhawi dan al-Ja’bariy. Kenyataan ini juga telah menjadikan kitab Hirz al-Amani wa al-Wajh al-Tahani bersalahan dengan kitab al-Taisir karangan al-Hafiz Abu ‘Amru al-Dani sedangkan al-Hirz mengadaptasikan al-Taisir dalam bentuk syair. Sebenarnya perkara ini tidaklah menjadi suatu perselisihan yang besar sehingga menafikan sesuatu pendapat, tetapi ia hanya perselisihan yang menjurus kepada pendapat yang mana lebih kuat.[16]

Dengan kenyataan sebegini sudah tentu akan membangkitkan beberapa persoalan yang mungkin terhasil daripada silap faham terhadap pengertian yang menyeluruh terhadap persoalan mad dan qasr dan juga mungkin terhasil daripada pemikiran yang hanya terkongkong kepada maklumat yang disalurkan daripada buku-buku tajwid karangan tempatan.

Rumusan daripada penjelasan di atas, maka dapatlah difahami bahawa kadar pemanjangan bagi mad muttasil bagi riwayat Hafs b. Sulayman melalui tariq al-Shatibiyyah ialah empat harakat sahaja dan perkara ini dianggap muktamad kerana tiada seorang pun daripada ashab al-tawassut[17] yang mengambil bacaan daripada imam al-Shatibi meriwayatkan pemanjangan mad muttasil selain daripada empat harakat[18].

Ibn al-Jazari dalam memberi komentar terhadap ikhtiyar imam al-Shatibi ini menyatakan bahawa ikhtiyar sebegini sememangnya menjadi pilihan imam-imam terdahulu seperti imam Abu Bakr b. Mujahid, Abu al-Qasim al-Tarsusi, Abu Tahir b. Khalaf dan juga imam al-Shatibi sendiri. Mereka tidak langsung menyebut selain daripada ikhtiyar dua tahap ini. Beliau juga menambah “ Dan aku cenderung kepada dua tahap ini dan aku menggunakannya dalam hampir semua pembacaanku dan aku juga menambah (kadar bacaan yang lain) keatasnya”.[19] Dengan sebab inilah diletakkan pendapat dua tahap ini di awal bait syairnya di dalam bab mad dan qasr.

Berdasarkan pengalaman penulis ketika menuntut di Ma’had Qira’at al-Azhar di Shuobra, Mesir ketika sessi talaqqi bacaan sepuluh imam secara jama’, guru-guru qira´at hanya menggunakan dua tahap ini sahaja walaupun pembacaan tersebut adalah dari tariq al-Jazariyyah. Ini adalah kerana hendak menjimatkan masa[20] dan agak sukar untuk membezakan tahap-tahap pemanjangan jika melibatkan kadar yang berhampiran.

Dengan ini dapatlah dirumuskan bahawa pemanjangan melalui dua tahap ini bagi mad muttasil adalah menjadi pilihan sama ada dari para qurra’ terdahulu mahupun yang ada sekarang. Tetapi rumusan ini tidaklah menafikan pemanjangan yang menjadi ikhtiyar Ibn al-Jazari yang akan diperjelaskan selepas ini. Kedua-dua pendapat al-Shatibi dan Ibn al-Jazari tetap mempunyai sanad yang mutawatir, cuma sekadar menjelaskan pendapat mana yang lebih diamalkan oleh majoriti para qurra’.

Adapun lima harakat yang kebiasaan terdapat dalam buku-buku tajwid adalah meraikan pendapat Abu ‘Amru al-Dani di dalam kitabnya, al-Taisir. Pendapat ini sebenarnya lebih merujuk kepada ikhtiyar imam ‘Asim keseluruhannya bukan khusus untuk ikhtiyar imam al-Shatibi.[21] Dan penulis berpendapat disebabkan imam Hafs adalah perawi imam ‘Asim maka disertakan juga kadar lima harakat tersebut atas dasar al-Hirz asalnya mengadaptasikan al-Taisir. Tetapi hakikat yang sebenarnya secara muktamad riwayat Hafs b. Sulayman melalui tariq al-Shatibiyyah hanya ada empat harakat sahaja bagi mad muttasil berdasarkan kajian dan hujah-hujah yang telah dibentangkan sebelum ini.

Manakala di sisi Ibn al-Jazari , ikhtiyarnya dianggap lebih meluas lagi kerana melibatkan enam, lima dan empat harakat. Bagi enam harakat mengambil pendapat sebahagian qurra’ yang mengatakan bahawa semua imam membaca dengan satu tahap sahaja iaitu enam harakat[22], sepertimana kata Ibn al-Jazari :[23]

...أَوَ اشْبِعْ مَااتَّصَلْ لِلْكُلِّ عَنْ بَعْضٍ

Maksudnya: ….atau secara isyba’ (enam harakat) pada muttasil terhadap semua (imam yang sepuluh)

Bagi lima harakat pula mengambil pendapat sebahagian qurra´ yang mengatakan bahawa pemanjangan mad muttasil mempunyai empat tahap[24] sepertimana yang dirakamkan oleh al-Hafiz Abu ‘Amru al-Dani dalam kitabnya al-Taisir fi al-Qira’at al-Sab’i :

1) Tahap pertama: Enam harakat bagi Hamzah, Warsh daripada tariq al-Azraq dan Ibn Zakuan daripada tariq al-Akhfash. Sepertimana kata Ibn al-Jazari [25]:

إِنْ حَرْفُ مَدٍّ قَبْلَ هَمْزٍ طَوَّلاَ جُدْ فِدْ وَمِزْ خُلْفاً

Maksudnya: Sekiranya selepas huruf mad terdapat hamzah dibaca panjang (enam harakat) oleh Warsh, Hamzah dan Ibn Zakuan secara khilaf.

2) Tahap kedua: Lima harakat bagi ‘Asim, sepertimana kata Ibn al-Jazari [26]

وَقِيلَ دُوْنَهُمْ نَلْ

Maksudnya: Dan ada pendapat yang mengatakan lima harakat[27] bagi ‘Asim

3) Tahap ketiga: Empat harakat bagi Ibn ‘Asmir, al-Kisae’i dan Khalaf. Sepertimana kata Ibn al-Jazari [28]:

ثُمَّ كَلْ رَوَى

Maksudnya: “Kemudian empat harakat bagi Ibn ‘Amir al-Kisae’i dan Khalaf”

4) Tahap keempat: Tiga harakat bagi Qalunn, Warsh daripada tariq al-´Asbahani, Ibn Kathir, Abu ‘Amru, Abu Ja’far dan Ya’qub. Sepertimana kata Ibn al-Jazari [29]:

فَبَاقِيهِمْ

Maksudnya: Maka baki imam (yang tidak disebut) memilih tiga harakat.

Maka dengan ini jelas terbukti bahawa kadar lima harakat yang menjadi salah satu kadar ikhtiyar bagi Ibn al-Jazari adalah berdasarkan tahap yang kedua daripada empat tahap di atas.

Bagi empat harakat pula, Ibn al-Jazari bersepakat dengan al-Shatibi mengambil pendapat sebahagian qurra´ yang mengatakan pemanjangan mad muttasil mempunyai dua tahap iaitu:

1) Tahap pertama: Enam harakat bagi Warsh, Hamzah serta Ibn Zakwan secara khilaf sepertimana kata Ibn al-Jazari [30] :

إِنْ حَرْفُ مَدٍّ قَبْلَ هَمْزٍ طَوَّلاَ جُدْ فِدْ وَمِزْ خُلْفاً

Maksudnya: “ Setiap huruf mad yang bertemu dengan (merangkumi muttasil dan munfasil) hendaklah dipanjang secara isyba’(enam harakat) oleh Hamzah, Warsh secara tetap dan Ibn Zakwan secara khilaf”

2) Tahap kedua: Empat harakat bagi imam selain daripada Warsh, Hamzah dan Ibn Zakwan secara khilaf sepertimana kata Ibn al-Jazari[31] :

وَعَنْ بَاقِي اْلمَلاَ وَسِّطْ

Maksudnya: “ Dan baki imam[32] yang lain membaca (muttasil dan munfasil) secara tawassut iaitu empat harakat.

Maka dengan ini jelas terbukti bahawa kadar empat harakat yang menjadi salah satu kadar ikhtiyar bagi Ibn al-Jazari adalah berdasarkan tahap yang kedua daripada dua tahap di atas.

Kesimpulannya, mad muttasil di sisi tariq al-Shatibiyyah adalah empat harakat manakala di sisi tariq al-Jazariyyah adalah enam, lima dan empat harakat. Ikhtiyar kedua-dua tariq ini menepati pengertian mad pada mad muttasil yang mana wajib hukumnya iaitu wajib dibaca dengan mad (pemanjangan atas daripada dua harakat).

Mengikut kajian penulis, di antara kesemua pendapat yang dibentangkan di atas, pendapat yang mengatakan bahawa pemanjangan mad muttasil hanya melibatkan dua tahap sahaja iaitu enam dan empat harakat lebih menjadi pilihan utama para qurra’ terdahulu termasuklah Imam al-Shatibi sendiri. Ini adalah kerana penggunaan dua tahap ini amat berkesan dalam memperjelaskan kadar harakat daripada penggunaan empat tahap. Sudah pasti suatu perkara yang sukar bagi orang awam untuk membezakan antara enam dengan lima harakat, lima dengan empat harakat serta empat dan tiga harakat.

Perbezaan yang sedikit ini mungkin hanya boleh dirasai oleh mereka yang ahlinya sahaja. Ada pun melalui penggunaan dua tahap iaitu enam dan empat harakat dianggap lebih praktikal dan efektif dalam merealisasikan kefahaman kadar harakat bacaan sesuatu hukum pemanjangan kepada masyarakat awam[33]. Ianya juga menghindar daripada pencampuran kadar harakat dan seterusnya mengakibatkan banyak kesalahan. Shaykh Ibrahim ‘Ali Shihatah al-Samanudi [34] dalam matannya Lali´a al-bayan berkata[35] :

قَدْ مَدَّ ذَا فَصْل وَمَا يَتَّصِل خَمْسًا وَأَرْبَعًا وَهَذَا أَعْدَلْ

Maksudnya: Dipanjangkan muttasil dan munfasil dengan kadar lima dan empat harakat dan inilah (empat harakat) yang paling sesuai (dipraktikkan).



[1] Perbahasan tentang mad muttaÎil di dalam kajian ini mungkin berbeza dengan perbahasan yang biasa dijumpai di buku-buku tajwid kerana fokus penulis adalah untuk menjelaskan bahawa apabila memperkatakan tentang bab mad, ianya akan melibatkan kesemua imam yang ada.

[2] Kebiasaan masyarakat akan memanggil mad ini dengan nama mad wÉjib. Tindakan sebegini mungkin akan menimbulkan kekeliruan terhadap pemahaman mad muttaÎil itu sendiri kerana makna wÉjib meliputi kesemua qirÉ’at yang ada sedangkan penamaannya sebagai mad wÉjib akan pasti membawa kepada pengertian wÉjib tersebut hanya untuk riwÉyat ×afÎ sahaja. Adalah lebih baik dinamakan mad muttaÎil sahaja sepertimana yang terdapat di dalam kitab-kitab ilmu QirÉ’Ét.

[3] Bermaksud atas daripada dua harakat iaitu tiga harakat hingga enam harakat. Lihat al-BannÉ, Shaykh AÍmad b. MuÍammad, (1987), IttiÍÉf FuÌala’ al-Bashar bi al-QirÉ’Ét al-’Arba‘ah ‘Ashar, (tahqiq: Dr. Sya’bÉn MuÍammad IsmÉ’il), BeirËt: ‘Ólim al-Kutub, j. 1, h.157.

[4] ‘AÏiyyah QÉbil NaÎr, (1997), op., cit., h.96

[5] al-JazarÊ, (2002.), op., cit., h. 312.

[6] Tunjuk ajar daripada Rasullullah s.a.w

[7] al-ÖhibÉ‘, ‘Ali MuÍammad, (1997), MinÍah zhÊ al-JalÉl fi SharÍ TuÍfah al-’AÏfÉl, (tahqiq: AbË MuÍammad ’Asyraf b. ’Abd al-MaqÎud), RiyaÌ: Maktabah ’AÌwa’ al-Salaf, h. 96.

[8] Dr. MuÍammad SÉlim MuÍaysin, (1993), al-MughnÊ fÊ taujÊh al-QirÉ´Ét al-‘Ashr al-MutawÉtirah, cet. 3, Beirut : DÉr al-JÊl, j. 1, h. 103. Lihat juga Dr. RaÌwÉn JamÉl ×ussÊn, (2004), Pamphlet in The Art of Tajwid, Kaci Trading Sdn.Bhd, h. 82.

[9] al-ShÉÏibÊ, (1996), op., cit., h.14

[10] Perkataan طولا hanya merujuk kepada pemanjangan atas daripada dua harakat tanpa mengkhususkan kepada mana-mana kadar. Lihat al-MËÎilÊ, Abi ‘Abd AllÉh MuÍammad b. AÍmad b. MuÍammad b. AÍmad b. MuÍammad b. al-Hussain, (1997), SharÍ Syu’lah ‘alÉ al-ShÉÏibiyyah al-MusammÉ Kanz al-Ma’ÉnÊ – SharÍ ×irz al-AmÉnÊ, Kaherah, Maktabah al-Azhariyyah lil al-ThurÉth, h. 103.

[11] Beliau adalah IbrÉhÊm b. ‘Umar b. IbrÉhÊm b. KhalÊl. Seorang yang alim dalam ilmu QirÉ´Ét dan salah seorang ahli fuqaha´ mazhab SyÉfi’Ê.

[12] Beliau adalah AbË al-×assan ‘AlÊ b. MuÍammad b. Abd al-Øamad. Beliau merupakan anak murid kepada imam al-ShÉÏibÊ. Beliau juga dikatakan penyebab masyhurnya ÏarÊq al-ShÉÏibiyyah ke pelusuk dunia Islam melalui kitabnya yang bernama Fath al-WaÎÊd. Meninggal pada tahun 643 hijrah.

[13] al-ÖhibÉ‘, ‘Ali MuÍammad, (1999), MukhtaÎar BulËgh al-’Umniyyah ‘alÉ NaÐm TaÍrÊr masÉil al-ShÉÏbiyyah. (tahqiq: MuÍammad ’Abd al-QÉdir SyÉhÊn), cet. 1, BeirËt: DÉr al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h. 6.

[14] Ibid.

[15] Akan dijelaskan di bab mad munfaÎil selepas ini.

[16] Ibid., h. 7

[17] Para qurra’ yang membaca dengan empat dan lima harakat.

[18] al-QÉÌÊ, (1999), op., cit., hal. 74.

[19] al-, JazarÊ, (2002), op., cit., J. 1, h. 333.

[20] Kerana jika dibaca kesemua tahap mad muttaÎil di sisi ÏarÊq al-Jazariyyah , sudah pasti sessi talaqqi tersebut akan berlangsung dalam masa yang amat panjang kerana ada tiga kadar mad dan setiap perubahan pada kadar mad perlu diulang semula.

[21] ‘AÏiyyah QÉbil NaÎr, (1997), op., cit., h. 99.

[22] al-JazarÊ, MuÍammad b. MuÍammad b. ‘Ali b. YËsuf (1997), SharÍ Ùayyibah al-Nashr fÊ al-QirÉ´Ét al-‘Ashr, (tahqiq: Shaykh Anas Mihrah), BeirËt: DÉr al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h. 72. Pendapat ini menjadi pegangan sebilangan besar qurra´ di Iraq.

[23]al- JazarÊ, (1994), op., cit., h. 42.

[24] al-DÉnÊ, al-Imam AbÊ ‘AmrË ‘UthmÉn b. Sa’Êd (1996), al-TaisÊr fÊ al-QirÉ´Ét al-Sab’ , (tahqiq: Otto Yartzel), BeirËt: DÉr al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h. 35.

[25] al-JazarÊ (1994), op., cit.

[26] Ibid.

[27] Kalimah دونهم merujuk kepada pengurangan satu tahap daripada tahap yang sebelumnya (enam ke lima harakat). Sila lihat QamÍÉwÊ, MuÍammad ØÉdiq, (t.t), al-Kaukab al-Durriy fÊ SharÍ Ùayyibah Ibn al-JazarÊ , MukhtaÎar SharÍ al-Ùayyibah lil NuwairÊ, cet. 1, Maktabah al-KulliyÉh al-Azhariyyah, h. 130. Dan mengikut disiplin ilmu QirÉ´Ét, apabila disebut nama imam seperti ‘ÓÎim pada sesuatu permasalahan ianya secara langsung akan melibatkan terus perawi-perawinya termasuklah riwÉyat HÉfÎ tanpa perlu menyebut nama perawi-perawinya.

[28] al-JazarÊ (1994), op. cit.

[29] Ibid.

[30] Ibid.

[31] Ibid.

[32] Baki imam termasuklah ‘ÓÎim yang mana salah seorang perawinya adalah ×afÎ

[33] Ini adalah kerana perbezaan yang ketara dapat dirasai apabila membezakan empat dan enam harakat. Lihat al-ÖhibÉ‘, (1999), op., cit., h. 10

[34] Beliau merupakan ulama´ tajwid yang terkenal pada zamannya. Merupakan tenaga pengajar di Ma’had QirÉ´Ét al-Azhar. Beliau bersama-sama Shaykh Abd al-‘Aziz al-ZiyÉt dan Shaykh Ómir al-Sayyid ‘UthmÉn melahirkan kitab TanqÊÍ FatÍ al-KarÊm fi TaÍrÊr ’Awjah al-Qur’an al-‘AÐÊm

[35] ‘AÏiyyah QÉbil NaÎr, (1997), GhÉyah al-MurÊd fÊ ‘Ilmi al-TajwÊd, cet. 6, Jeddah: Maktabah KunËz al-Ma’rifah, h. 99.