Showing posts with label al-Hadith. Show all posts
Showing posts with label al-Hadith. Show all posts

Sunday, March 28, 2010

KEDUDUKAN HADIS 9/10 REZEKI DARI PERNIAGAAN.

( DARI BLOG AL-MUQRY)

Hadith ini adalah di antara hadith yang popular dan sering digunakan oleh sebahagian masyarakat kita terutama dalam bidang perniagaan. Seperti yang telah kita sedia maklum - atau belum - , kesahihan atau kedhaifan sesuatu hadith tidak hanya diukur dengan popularitinya semata. Memang ada hadith yang sahih dan popular...tetapi dalam masa yang sama juga terdapat hadith-hadith dhaif malah palsu tetapi ia popular dan sering digunakan di mana-mana.

Apabila kita mengetahui hakikat bahawa populariti tidak menjamin kesahihan, (kaedah ini juga diakui dalam kajian lain) maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyelidiki kesahihan sesuatu hadith dan tidak hanya bergantung kepada kemasyhuran atau popularitinya sahaja.

Maka dari manakah asal datangnya hadith ini? Di antara disiplin dalam menyebutkan hadith -sebagaimana diketahui dalam kajian hadith- ialah menyatakan sumber atau asal sesebuah hadith. Ia membantu dalam proses seterusnya iaitu menilai sama ada ia sahih atau tidak.

SUMBER ASAL HADITH '9/10 REZEKI'

Berdasarkan pencarian dan dibantu oleh kajian-kajian terdahulu, hadith ini disebutkan dalam beberapa lafaz berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu 9/10 rezeki ada dalam perniagaan. Didapati hadith ini disebut oleh Imam al-Ghazali (wafat 505H) di dalam bukunya yang terkenal iaitu Ihya' Ulumiddin. Menurut cetakan yang ada pada saya iaitu cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, tahun 2001, ia disebut dalam jilid 2, muka surat 59 dalam Kitab Aadaab al-Kasb wa al-Ma'asy, Bab pertama 'Fadhl al-Kasb wa al-Hatth 'Alaih (Kitab adab-adab mencari rezeki dan pendapatan, bab kelebihan mencari rezeki dan galakkan ke atasnya). Tetapi ini tidak bermaksud Imam al-Ghazali 'meriwayatkannya' kerana beliau tidak menyebutkan sanad (rantaian periwayat) terhadap hadith ini. Maka yang lebih tepat ialah Imam al-Ghazali 'menyebutkannya' di dalam buku Ihya' Ulumiddin. (saya menasihatkan sahabat-sahabat yang menulis tentang hadith agar berhati-hati dengan perbezaan antara 'menyebutkan' da 'meriwayatkan' atau 'mengeluarkan' - ذكره, رواه, أخرجه )

Bagi yang pernah membaca buku Ihya' Ulumiddin, mereka pasti akan tahu bahawa terdapat seorang ahli hadith yang digelar al-Iraqi (wafat 806H) yang telah menyemak dan memberikan ulasan terhadap hadith-hadith yang ada di dalam buku Ihya' Ulumiddin. Apa yang beliau lakukan ialah atas permintaan pencinta ilmu untuk mengetahui kedudukan dan sumber asal hadith-hadith di dalam buku tersebut. Malah kebanyakan cetakan Ihya' Ulumiddin dimuatkan bersama komentar dan ulasan al-Iraqi ini dalam bentuk nota kaki di bawah teks asal Ihya' Ulumiddin.

KOMENTAR AL-IRAQI TERHADAP HADITH '9/10'

Apa kata al-Iraqi? Beliau telah menyatakan bahawa hadith ini telah diriwayatkan oleh: Ibrahim al-Harbi dalam bukunya Gharib al-Hadith melalui jalan Nu'aim Bin Abd. Rahman dan kesemua periwayatnya thiqat (dipercayai). Seterusnya beliau menyatakan kata-kata dari tiga imam hadith iaitu: Abu Hatim, Ibnu Hibban dan Ibn Mandah menyatakan bahawa Nu'aim Bin Abd. Rahman bukanlah seorang sahabat tetapi seorang tabi'i (sempat bertemu sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah s.a.w.), maka kata al-Iraqi: Hadith ini mursal.

Maksud al-Iraqi dengan kata-katanya: 'mursal' ialah hadith ini dinyatakan oleh Nu'aim Bin Abd. Rahman sebagai 'Nabi s.a.w. bersabda' sedangkan beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bahkan beliau merupakan seorang tabi'i. Hadith dalam kategori sebegini diistilahkan sebagai mursal dan ia adalah antara kategori hadith yang belum dipastikan sahih atau dhaif. Untuk lebih lanjut, sila rujuk mana-mana buku ilmu hadith dan cari perbincangan tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'.

KESIMPULAN DARIPADA KATA-KATA AL-IRAQI

Apa yang dapat kita fahami daripada ulasan al-Iraqi - bagi sahabat-sahabat yang memahami bahasa Arab, boleh baca ulasan beliau dalam jilid dan muka surat yang telah disebut di atas - ialah:

- Hadith ini sumber asalnya ialah buku Gharib al-Hadith hasil susunan Ibrahim al-Harbi.
- Di dalam hadith ini, didapati Nu'aim Bin Abd. Rahman telah menyebut bahawa ia berasal daripada Rasulullah s.a.w.
- Namun dalam periwayatan hadith, hanya seorang sahabat (sempat bertemu Rasulullah s.a.w.) yang boleh menyatakan demikian.
- Setelah dikaji oleh al-Iraqi, didapati Nu'aim bukan seorang sahabat, tetapi seorang tabi'i.
- Ini menjadikan hadith tersebut terputus. Dalam hal ini, ia diistilahkan sebagai 'mursal'. Seluruh ulama hadith sepakat bahawa hadith 'mursal' bukanlah salah satu kategori 'hadith sahih' . Ia perlukan kepada banyak syarat dan keadaan untuk menaikkan kedudukannya ke tahap 'sahih'. Bukalah mana-mana buku Mustolah al-Hadith, pasti akan ada perbincangan panjang tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'. Kebanyakan pengkaji juga menyebutkan bahawa 'mursal' pada penggunaan ulama awal ialah lebih luas dan ia membawa maksud kedhaifan.

SUMBER LAIN

Namun begitu, hadith ini juga ditemui dalam sumber yang lain. Mari kita lihat bersama. Hadith ini ditemui antaranya di dalam :

a) Buku Sunan Sa'id Bin Mansur - Ia dinyatakan oleh Markaz Fatwa dari laman web islamweb.net (fatwa no.61297), namun saya tidak dapat menemui ia dalam buku tersebut untuk mengesahkan kedudukannya dan nombor serta kedudukannya yang lebih terperinci. Namun Markaz Fatwa menyatakan ia berasal dari riwayat Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Tooi.

b) Buku Islah al-Mal, Ibnu Abi al-Dunya (wfat 281H) (cetakan Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, tahun 1993) - ia meriwayatkan hadith ini yang bersumberkan Nu'aim Bin Abd. Rahman (hadith no.213) . Maka ia sama juga seperti yang disebutkan di atas tadi. Ia hanya pengulangan rantaian periwayatan yang sama.

c) Buku al-Jami' al-Shaghir, al-Suyuti (wafat 911H)- dalam buku ini, hadith tersebut disebutkan (bukan diriwayatkan) dan seterusnya kita dapati al-Suyuti membuat ulasan yang amat ringkas iaitu - daripada Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Too'i secara 'mursal'. Kita dapati al-Suyuti menambah seorang lagi tabi'i yang meriwayatkan hadith tersebut. Tetapi beliau masih menyatakan ianya 'mursal' dan ia kembali kepada perbincangan panjang tentang kedudukan hadith 'mursal' dalam ilmu kajian hadith atau mustolah al-hadith.

d) Buku Gharib al-Hadith karya Abu Ubaid al-Qaasim Bin Sallaam (wafat 224H) (cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, tahun2003) - di dalam jilid pertama, muka surat 80, didapati Abu Ubaid telah menyebut hadith ini dan didapati jalannya juga melalui jalan periwayatan Nu'aim Bin Abd. Rahman.

KESIMPULAN PENTING

1- Hadith ini walaupun popular, ia tidak disebutkan atau diriwayatkan di dalam buku-buku hadith utama seperti: Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, buku-buku Sunan, Musnad-musnad dan lain-lain lagi. Ini merupakan di antara (salah satu) petunjuk tentang kedhaifan sesebuah hadith.

2- Di dalam semua buku utama hadith seperti di atas, terdapat bab-bab dan hadith-hadith tentang perniagaan. Sekiranya ia sahih dan penting - berdasarkan maksudnya - pasti ia akan berada di dalam buku-buku utama tersebut dan dijadikan dalil utama dalam menggalakkan perniagaan.

3- Tidak kita temui kenyataan dari mana-mana ahli hadith utama yang menyatakan kesahihan hadith ini. Apa yang ada hanyalah sebahagian ulama menyebutnya di dalam buku mereka dengan rantaian periwayat yang mana ia (rantaian periwayat itu) difahami - oleh pengkaji hadith - bahawa ia merupakan petunjuk kepada kedhaifannya. Ahli hadith moden juga didapati menilainya sebagai dhaif.

4- Untuk menyatakan bahawa perniagaan adalah baik dan Islam menggalakkannya, sudah memadai dengan ayat-ayat Al-Quran - contohnya ayat 275 surah Al-Baqarah - dan hadith-hadith yang penuh dengan panduan dalam perniagaan. Lagipun, hakikat bahawa Nabi s.a.w. pernah berniaga semasa mudanya dan para sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini juga sudah cukup menggalakkan kita untuk melakukannya. Kita tidak perlukan lagi hadith yang dhaif atau tidak pasti sebagai dalil. Begitu juga kita boleh mengetengahkan fakta-fakta sahih tentang para Nabi selain Rasulullah s.a.w. yang juga berniaga dan bekerja sendiri.

5- Hendaklah kita berhati-hati dengan populariti sesuatu hadith atau kata-kata, kerana ia mungkin tidak sahih atau tidak tepat.

6- Bagi mereka yang tetap ingin menyebut hadith ini sekadar menggunakan maknanya, adalah dinasihatkan mengikuti saranan imam-imam hadith seperti al-Nawawi, Ibn Hajar dan lain-lain yang mana mereka menyarankan agar membezakan antara 'cara menyebut' sesuatu hadith yang sahih atau dhaif. Seeloknya hendaklah digunakan ayat-ayat seperti - "terdapat sebuah riwayat menyatakan bahawa...", "sebagaimana di dalam sebuah hadith dhaif...", agar masyarakat tidak terkeliru.

7- Pandangan ini hanyalah sekadar kemampuan saya dan artikel ringkas ini diharapkan dapat dinilai dan diterima dengan adil. Jika berlaku kesilapan dan kekurangan, harap dapat diberi maklum balas secepat mungkin kepada penulis - sama ada dengan pm kepada nickname alitantawi di laman web al-ahkam.net atau dengan alamat e mail pemudaiman@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it , alitantawi@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it dan juga dalam facebook - adlan abd. aziz.

Wednesday, October 21, 2009

HADIS PALSU DALAM BUKU TEKS PASTI

(BAB CINTAKAN TANAHAIR)

Disebut dalam buku teks pasti PELAJARAN AL-QURAN tahap 2 (6 tahun), Ms 37 :

Hadis ketiga CINTAKAN TANAHAIR

حب الوطن من الإيمان

Maksudnya " Cintailah tanahair itu sebagian daripada Iman" )

Begitulah apa yang disebut di dalam buku tersebut. Sebenarnya ia bukanlah hadis yang sahih atau hasan malahan dhaif pun bukan, bahkan ia merupakan hadis yang palsu yang tidak sepatutnya dimasukkan kedalam silibus anak-anak kita.


Syeikh Al-Muhaddith Ismail Al-Ajluny (wafat tahun 1162 h) di dalam "Kasyful Khafa' " (Jilid 1 MS 345) menukilkan kata-kata ulama hadis berkaitan dengannya:

1) Imam As Shoghoni (salah seorang ulama yg mengarang khusus tentang hadis palsu) menghukmnya PALSU,

2) Imam As-Sakhawi di dalam kitabnya "Al-Maqasid (Al-Hasanah) menyatakan: Aku tidak berjumpa dengannya, tetapi maksudnya betul

3) Imam (Mulla Ali) Al-Qary menolak dakwaan As –Sakhawi tentang "maksudnya betul" bahawa tidak ada 'talazum' (kaitan yang kuat) di antara cintakan tanahair dan Iman, kerana ada ayat yang menyatakan bahawa Allah mencela orang-orang munafiq kerana tidak keluar berjihad disebabkan KASIHNYA KEPADA TANAHAIR.

Hadis ini juga disebut di dalam kitab "Tahzirul Muslimin Minal Ahadith Al-Maudhuah 'Ala Sayyidil Mursalin" (Peringatan kepada muslimin daripada hadis-hadis dipalsukan kepada Penghulu Rasul) karangan Syeikh Muhammad bin Al-Basyir Zhofir Al-Azhary (meninggal 1329 h) (MS 133, Hadis No: 116)

Kesimpulan:
1. Hadis ini memang jelas KEPALSUANNYA, sehinggakan para ulama hadis tidak menjumpainya di mana-mana kitab pun dan tidak diketahui siapakah perawinya.
2. Hadis PALSU tidak boleh (HARAM) diriwayatkan atau diajarkan melainkan untuk memberitahu kepalsuannya.

Cadangan:
Pihak yang bertanggungjawab menyusun silibus PASTI perlu membuat penelitian semula dan penambahbaikan di dalam buku-buku teks, supaya kesilapan seumpama ini tidak berulang (ana yakin ramai pakar-pakar ada di dalamnya)

Ust Khairul Azmi Al-Muqry

Thursday, January 29, 2009

IHSAN DARI AL-MUQRY

BERKABUNG 40 HARI BERTENTANGAN DGN SYARIAT

Sabda Rasulullah SAW

لاَ يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللهِ والْيَومِ الأَخِرِ أنْ تُحِدَّ عَلى ميّتٍ فوقَ ثَلاثٍ اِلاَّ على زَوْجٍ أَربعةَ أَشْهُرٍ وعَشْراً

Maksudnya:
Tidak halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat berkabung ke atas seseorang yg telah mati lebih dari tiga hari melainkan ke atas (kematian) suami, iaitu selama empat bulan sepuluh hari

Takhrij hadis:
Hadis sahih. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari zainab Bt Jahsy RA

Kesimpulan hadis:
1) Haram berkabung lebih dari tiga hari melainkan bagi isteri yang kematian suami, ia dibenarkan berkabung empat bulan sepuluh hari (bahkan wajib menurut sebahagian ulama seperti mazhab syafei dll)
2) Apa yang diamalkan oleh masyarakat kita jelas sekali bertentangan dengan syariat, bahkan mereka mendahulukan adat dari syariat

Wallahua’lam

Ust Khairul Azmi Ismail

Rujukan
1. sohih bukhari,
2. Sohih Muslim
3. Kifayatul Akhyar
dll

IHSAN DARI AL-MUQRY

FADHILAT MUHARRAM.

1.) Sabda Rasulullah SAW

أَفْضَلُ الصِّيامِ بَعْدَ شَهْرِ رمضانَ شَهْرُ اللهِ الذي تَدْعُونَهُ المحرم ، وأَفْضَلُ الصلاةِ بَعْدَ الفَريضَةِ قِيامُ الليل

Maksudnya:
“Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan yang kamu panggil (namakan) MUHARRAM, dan sebaik-baik sembahnyang selepas sembahyang fardhu ialah Qiamullail”

Takhrij:
Hadis ini diriwayakan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah RA.

2) Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW dengan katanya: Wahai Rasulullah! Khabarkanlah kepadaku satu bulan untuk aku puasa selepas Ramadhan? Lalu baginda bersabda:

اِنْ كُنْتَ صائِمًا شَهْرًا بَعْدَ رمضانَ فَصُمِ المحرمَ ، فَاِنَّهُ شَهْرُ اللهِ وفيه يَوْمٌ تابَ اللهُ فيه على قومٍ ، ويَتُوبُ على اَخَرِينَ

Maksudnya:
“Jika kamu (ingin) berpuasa sebulan selapas Ramadhan maka puasalah bulan Muharram, Maka sesungguhnya ia bulan Allah, padanya Allah telah menerima taubat satu kaum dan akan menerima taubat kaum yang lain”

Takhrij:
Hadis ini diriwayatkan oleh At Tirmizi dan Ahmad dari Sayyidina Ali RA. Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam ‘Lathoiful Ma’arif’ : Pada sanadnya ada Maqal iaitu pertikaian (bermakna hadis ini dhaif). Walaupun dhaif tetapi hadis pertama di atas sudah cukup untuk dijadikan rujukan.

Ust Khairul Azmi Ismail

Thursday, November 6, 2008

IHSAN DARI AL-MUQRY

MAKSUD “LAISA MINNA @ LAISA MINNI” DLM HADIS

Banyak terdapat di dalam hadis-hadis Nabi SAW kalimah “LAISA MINNA” atau “LAISA MINNI”. Yg bermakna ‘bukan dariku’.

Apakah yang dimaksudkan oleh baginda dengan kenyataan yang sedemikian. Kebanyakan orang memahami bahawa kenyataan sebegini menunjukkan bahawa baginda ‘tidak mengaku sebagai ummatnya’ dan bermaksud ‘terkeluarnya dari Islam’. Apakah benar kefahaman sebegini?

Ibnu Hajar Al-asqallani di dalam Fathul Bari ketika menerangkan hadis;

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الخُدُودَ وشَقَّ الجُيُوبَ ودَعا بِدَعْوَى الجاهِلِيَّة

Maksudnya; ‘Bukan dari kami sesiapa yang menampar-nampar muka, mengoyak-ngoyak pakaian dan menuturkan kata-kata jahiliyyah (ketika meratap kematian)”

Beliau berkata: “Bukan dari kami’ iaitu bukan dari sunnah dan cara kami, tidaklah ia bermaksud ‘terkeluarnya dari agama’, tetapi tujuan disebut dengan lafaz ini ialah bagi menunjukkan larangan keras dari melibatkan diri pada perkara tersebut.”

Di akhir syarah hadis ini beliau menyebut “ Jika menghalalkan perkara tersebut secara terang-terangan …maka tidak salah jika ia ditafsirkan dengan terkeluar dari agama.” (Fathul Bari , Syarh hadis no 1294)

Penjelasan Ibnu Hajar ini dapat membetulkan kefahaman sebahagian umat Islam terhadap hadis-hadis seperti ini. Lebih-lebih lagi jika dilihat secara menyeluruh kepada hadis-hadis yg seumpamanya. Di antaranya hadis:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالقُرْءَان

“Bukan dari kami sesipa yang tidak melagukan (memperelokkan) bacaan Al-Quran.”

Tidak ada seorg ulama pun yg menghukum kafir atau menyatakan nabi tidak mengaku umat org yg tidak memperelokkan bacaan Al-Quran.

Wallahua’lam.

Ust Khairul Azmi AlMuqry.

IHSAN DARI AL-MUQRY

HADIS NABI BERKAITAN ALAT MUZIK

1. Sabda Nabi SAW

لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَّ وَالْحَرِيرَ وَالْمَعازِفَ

Maksudnya: ‘Akan pasti ada dari kalangan umatku beberapa kaum yg menghalalkan zina, sutera dan alat-alat muzik (maazif)’.

Kedudukan hadis.
Hadis ini disebut oleh Imam Bukhari di dalam Sohihnya dlm bentuk ‘muallaq’ (tanpa sanad yg muttasil)
Ibnu Hazm di dalam kitab ‘AlMuhalla’ mendakwa bahawa hadis ini adanya terputus sanad ‘inqitho’
Ibnu Hajar Al-Asqallani di dalam ‘Fathulbari’ menolak kenyataan Ibnu Hazm ini dengan bukti-bukti yg terperinci dan menyatakan bahawa kenyataan Ibnu Hazm ini adalah satu kesilapan yang berpunca dari kurangnya peneliian. (Fathul Bari 11/136).

Ibnu Solah di dalam kitabnya ‘Al-Muqaddimah fi ulumil Hadis’ juga menolak kenyataan Ibnu Hazm tersebut dengan katanya : Sudah menjadi perkara yg dipersetujui oleh ahli hadis bahawa ‘shighah ta’liq’ (hadis yg zahirnya terputus sanad) yg disebut oleh Bukhari denagn lafaz yg jazam (putus) ianya adalah sohih. (Al-Muqaddimah 39)

Begitu juga Dr Nuruddin Etir Ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah Universiti Damsyiq menyokong Ibnu Solah dan lain-lain yang menolak kenyataan Ibnu Hazm dalam masalah ini. (Manhajun Naqd 79)

Kesimpulannya ;
hadis ini adalah sohih dan tidak boleh dipegang pandangan Ibnu Hazm dlm masalah ini setelah jelas kesilapannya.
Sesiapa yg inginkan penjelasan lanjut (bagi mereka yg bolehlah merujuk kitab-kitab yg disebut di atas)

2. Sabda Nabi SAW:

فَصْلُ ما بَينَ الحَلالِ وَالحَرامِ الدُفُّ والصَوْتُ في النِّكاح

Maksudnya: “ pemisah di antara halal dan haram ialah kompang dan suara (nyanyian) pada majlis pernikahan”

Kedudukan hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Attirmizi, Nasaei, Ibnu Majah, Imam Ahamad dan lain-lain. Imam Tirmizi menghukumnya sebagai hadis hasan.

Keterangan ringkas.
Nabi SAW telah memberitahu kita satu penyelewengan yang akan berlaku di kalangan umatnya iaitu menghalalkan perkara-perkara yg diharamkan Allah SWT seperti zina, sutera dan ‘maazif’ (alat muzik) kecuali kompang.

Wallahua’lam.

Ust Khairul Azmi AlMuqry
Jabatan Hadis Al-Azhar