Friday, May 18, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 138-141)


بسم الله الرحمن الرحيم

1.       Ayat 138:
-         Didalam ayat ini Allh s.w.t menggunakan perkataan “sibghah” yang membawa maksud celupan. Perkataan “sibghah” ini dipanggil “ Isti’arah Tasrikhiyyah” (kata pinjaman untuk penjelasan)[1]. Maka “ SibghataAllah” membawa pengertian Celupan agama Allah. Apakah dia itu celupan agama Allah s.w.t? Ianya adalah celupan yang menjadikan manusia itu beriman dengan keimanan yang penuh ikhlas kepada Allah s.w.t. Inilah celupan yang sebenarnya iaitu celupan iman dan Islam dengan menjadikan seseorang itu betul-betul beriman dan betul-betul mengikut Islam yang sebenarnya. Selain daripada celupan ini, kesemuanya hanya celupan yang batil.
-         Mengikut Ibn ‘Abbas , “ SibghataAllah” ditafsirkan sebagai “agama Allah” . Dinamakan sedemikian kerana orang yang telah beragama ibaratnya telah dicelup. Maka tanda agama itu telah melekat dan kelihatan terlekat di sisi pemeluknya, sebagaimana tanda celupan itu nampak dibaju yang telah diberi celupan yang kemudiannya celupan itu tidak akan berpisah lagi daripadanya[2].
-         Terdapat juga daripada sebahagian al-Mufassirin menta’wilkan “ SibghataAllah”  sebagai “FitrataAllah” iaitu suatu kesucian yang sesuai dengan fitrah atau tabiat manusia. Hal ini demikian mengikut Islam, bayi yang baru dilahirkan adalah bersih, tidak berdosa sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah Hadith yang bermaksud:
“ Setiap anak yang dilahirkan itu, dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), maka kedua-dua orang tuanya lah yang meyahudikan atau menasranikan atau memajusikannya (mengikut pendidikan yang diberi kepada anak tersebut)”  Maka celupan Allah itu adalah celupan fitrah ya’ni celupan orang yang beriman. Menjadi orang yang beriman dan Islam itulah sebenar-benarnya celupan.
-         Ada juga daripada kalangan al-Mufassirin yang menta’wilkan “ SibghataAllah” sebagai berkhatan, kerana orang yang berkhatan itu biasanya berlumuran darah seolah-olah dicelup dengan darah. Maka upacara berkhatan ini diibaratkan pencelupan dalam agama Islam. Asbab Nuzul ayat ini sepertimana berkata Ibn ‘Abbas r.a [3]: “ Orang Nasrani jika mendapat anak, setelah umurnya 7 hari dibawa anak itu untuk diselamkan di dalam air yang berwarna kuning yang dinamakan air “ma’mudiyyah” (dinamakan upacara baptist atau mengkristiankan) untuk mencelupnya supaya suci sebagai ganti berkhatan. Jika yang demikian itu telah dilaksanakan, berkatalah mereka sekarang dia telah menjadi orang Kristian yang sejati” Maka turunlah ayat ini.
Celupan Allah bukan celupan yang dibuat seperti orang Kristian. Mereka mempercayai bahawa kanak-kanak yang baru lahir itu sememangnya telah bergelumang dengan dosa dan kekotoran maksiat, oleh itu kanak-kanak tersebut perlu dibaptistkan untuk dibersihkan daripada segala kekotoran.
-         Ayat ini juga menjadi satu jawapan yang amat kuat bagi kaum muslimin sekiranya diajak masuk agama lain, dipujuk supaya mengikuti fahaman ataupun ideologi yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenarnya. Samada ideologi tersebut daripada barat mahu pun dari pandangan orang Islam itu sendiri yang sebenarnya sudah dipengaruhi dengan unsur-unsur sekular. Jikalau semua ideologi ini jelas menyimpang daripada kefahaman, ajaran, tatatertib dan peraturan Islam dan ianya dipersembahkan kepada kita agar kita mengikutnya sekaligus mentaati segala isi kandungnya, maka ingatlah kepada ayat ini yang seharusnya ditegakkan oleh semua umat Islam yang mengandungi ikrar bahawa  “ Kami telah beriman, telah mendapat celupan agama Allah. Iaitu celupan yang teramat baik, tiada bandingannya. Celupan yang tidak akan luntur selama-lamanya walaupun dimakan zaman, memasuki berbagai-berbagai perubahan namun kami tetap mengabdikan diri kepada Allah s.w.t”  
-         Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[4] : “ Agama (celupan) Allah yang dikehendakkiNya sebagai agama yang terakhir kepada umat manusia agar dapat ditegakkan diatas kesatuan insaniah yang luas, dimana tiada ruang bagi bangsa-bangsa dan warna kulit. Disini marilah kita berhenti, memerhati salah satu dari ciri-ciri pengungkapan al-Quran yang mengandungi maksud yang mendalam. Permulaan ayat ini adalah dari kenyataan Allah s.w.t iaitu:
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنْ اللَّهِ صِبْغَةً
Bermaksud: “ Iaitu celupan (agama) Allah dan tidak ada yang lebih elok dari celupan (agama) Allah.”
Dan baki akhir ayat ini iaitu :
وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
Bermaksud: “Dan kami sekalian beribadah kepadaNya”
merupakan dari kenyataan orang-orang yang beriman. Ia disambung terus dengan kenyataan Allah s.w.t tanpa tercerai. Semua kenyataan itu merupakan ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t, tetapi sebahagian awalnya menceritakan kenyataan Allah s.w.t dan bahagian kedua (yang akhir) menceritakan tentang kenyataan orang-orang yang beriman. Itu adalah satu penghormatan yang amat besar, kerana kenyataan orang-orang yang beriman itu disambung terus dengan kenyataan Allah s.w.t dalam serangkai ayat sahaja. Ini berdasarkan kepada kejujuran iman yang menghubungkan diantara mereka dengan Allah s.w.t.”

2.       Ayat 139:
-         Ayat ini mengandungi celaan kepada kaum Yahudi dan Nasara kerana mendakwa agama mereka lebih baik daripada yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w atas dasar merekalah yang lebih tua dan banyak para nabi yang terbit daripada kaum mereka dan semuanya menganut agama mereka maka sudah pastilah mereka yang diutamakan oleh Allah s.w.t. Celaan ini berupa pertanyaan adakah kamu mahu mengajak kami bertengkar, membangkang dan berhujjah tentang agama yang Allah perintahkan supaya diikuti sedangkan Allahlah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Begitu juga adakah kamu mahu berhujjah dengan Rasullullah s.a.w[5] sedangkan Allah sendiri telah menyatakan dalam al-Quran yang berbunyi:
الَّذِينَ آتَيْنَاهُمْ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ
Bermaksud: “ Sesungguhnya mereka yang dikurniakan Kitab, mereka mengenali nabi (Muhammad s.a.w) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri.”
Kamu percaya kepada Allah tetapi mengapa kamu tidak kembali kepada ajaranNya dengan cara yang sebenar? Dan jikalau kamu degil maka bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu dan kami ikhlas kepada Allah s.w.t
-         Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[6]: “ Tiada ruang untuk mempertikaikan keesaan Allah s.w.t . Dia adalah Tuan kami dan Tuhan Kamu. Kami dihisab  terhadap amalan-amalan kami dan kamu menanggung dosa amalan kamu. Kami beribadah kepadanya dengan ikhlas dan kami tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu apa pun dan kami tidak meletakkan harapan pada yang lain dari Allah s.w.t. Inilah kenyataan yang menjelaskan pendirian dan i’tiqad kaum muslimin dan kenyataan ini tidak boleh dipertikaikan lagi”

3.       Ayat 140 :
-         Ayat ini juga menggambarkan rentetan fitnah yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani kerana mengatakan nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’qub dan anak-cucunya adalah beragama Yahudi dan Nasara sedangkan mereka ini lebih dahulu hidup daripada nabi Musa dan Isa a.s. Adakah mereka lebih tahu daripada Allah s.w.t? Dan penyaksian yang ditutup oleh kaum Yahudi dan Nasara seperti didalam ayat ini adalah merujuk kepada kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Ini menunjukkan kitab-kitab mereka menjadi saksi tentang perkara tersebut tetapi kenapa mereka menyembunyikan isi kandungannya dan sekaligus tidak memberitahu perkara tersebut kepada kaumnya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[7] : “ Mereka adalah lebih dahulu daripada Musa dan lebih dahulu daripada agama Yahudi dan Nasara dan Allah s.w.t sendiri menyaksikan hakikat agama mereka sebagai agama Islam sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.” Dan seterus pertanyaan kepada mereka “ Siapakah yang lebih mengetahui, kamu atau Allah?” Itulah pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan. Ia mengandungi kecaman yang membuat lidah tidak dapat memberi jawapan. Kamu sememangnya mengetahui bahawa mereka wujud sebelum wujudnya agama Yahudi dan Nasara dan mereka berpegang dengan agama hanifah yang pertama yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun. Dan kamu juga menyimpan pengakuan Allah s.w.t didalam Kitab kamu bahawa diakhir zaman akan dibangkitkan seorang nabi yang membawa agama hanifah, iaitu agama Ibrahim, tetapi kamu telah menyembunyikan pengakuan itu.”
-          Sesungguhnya tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan apa yang terkandung dalam kitabNya sepertimana firmanNya[8]:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلْنَا مِنْ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُوْلَئِكَ يَلْعَنُهُمْ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمْ اللاَّعِنُونَ
Bermaksud: “ Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan apa yang Kami turunkan di dalam ayat Kami daripada keterangan dan kenyataan yang ada di dalam Kitab, setelah dinyatakan oleh Allah s.w.t, mereka menyembunyikan, maka mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh  Allah dan dilaknat oleh seluruh yang melaknat”
Yang dimaksudkan “Seluruh yang melaknat” itu ialah manusia , Malaikat di langit, ikan-ikan yang ada di laut, burung-burung yang berterbangan diudara dan binatang-binatang yang melata diatas muka bumi ini[9]. Inilah balasan orang yang menyembunyikan ilmu dan apa sahaja yang dinyatakan oleh  Allah s.w.t di dalam al-Quran. Walaupun ayat ini ditujukan kepada kaum Yahudi dan Nasara, tetapi jikalau ada dikalangan orang Islam yang berbuat sedemikian kerana menjaga pangkat dan kemewahan duniawi, maka samalah keadaan mereka akan dilaknat oleh  Allah s.w.t dan dilaknat oleh seluruh yang melaknat. Seterusnya sambungan bagi ayat ini melalui firmanNya[10]:
إِلاَّ الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُوْلَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Bermaksud: “ Melainkan orang yang bertaubat dan melakukan kebaikan serta menerangkan kepada manusia hakikat yang sebenar, mereka itulah orang-orang yang Aku terima taubat mereka dan sesungguhnya Aku adalah Tuhan yang menerima taubat dan Maha penyayang”
Maka jikalau mereka bertaubat, melakukan pengislahan dengan membetulkan semula segala perkara yang bertentangan dengan Islam yang pernah diucapkan atau dilakukan dahulu lebih-lebih lagi sekiranya segala ucapan dan perbuatan itu mempunyai hubungkait dengan kesejahteraan kehidupan manusia di dunia dan diakhirat. Maka jikalau mereka berjaya berbuat sedemikian dengan membuang sifat malu diatas kesilapan yang mereka buat sebelum ini, sudah semestinya seperti janji Allah di dalam ayat ini, taubat mereka akan diterima oleh Allah s.w.t.
-         Allah mengetahui bahawa kaum Yahudi dan Nasara telah menyembunyikan  pengakuan yang telah diamanahkan kepada mereka dan mengetahui bagaimana mereka mempertikaikan pengakuan ini dengan tujuan untuk mengelirukan. Justeru, akhirnya ayat ini disudahi dengan firmanNya:
وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Bermaksud : “ Dan tiadalah Allah itu lalai dari mengetahui apa yang kamu kerjakan”
Ya’ni Allah tidak sekali-kali lalai dan tidak mungkin boleh dikelirukan oleh apa jua amalan yang mereka (Yahudi dan Nasara) usahakan untuk mengganggu gugat kesempurnaan Islam.

4.      Ayat 141
-          Ayat ini sebagai ulangan dari ayat 134 dahulu . Diletakkan disini juga kerana bersesuaian tempatnya untuk mengulangi  celaanNya terhadap pekerti kaum Yahudi dan Nasrani yang telah mulai berani mengajak orang Islam berhujjah dengan mengemukakan alasan-alasan yang dusta dan bohong. Justeru, dari semasa ke semasa ketika turunnya wahyu, Allah kerap mengulang-ulang sebahagian ayat hingga lebih daripada sekali bersesuainya dengan keadaan dan munasabah dan sekaligus menunjukkan al-Quran mempunyai kekuatan hujjah yang terus menerus hidup, dapat dipergunakan untuk semua masa dan ketika.
-         Ayat ini sekali lagi menyarankan agar tidak bersikap sombong dengan menyebut kononnya mereka ada pertalian dengan keturunan nabi terdahulu tetapi tidak melihat kepada diri sendiri yang menentang ajaran nabi yang dibanggakan itu. Sebenarnya mereka tiada kena mengena langsung dengan nabi-nabi mereka yang telah melakukan kerja kebaikan. Datuk moyang mereka dipilih untuk menjadi nabi serta menjadi orang –orang soleh tetapi mereka tidak mengikut jejak langkah datuk dan moyang mereka sebagai orang yang beriman dan beramal soleh. Justeru, disisi Islam, mereka tiada sedikit pun berkait hubung dengan datuk moyang mereka.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[11]: “ Apabila penerangan ayat-ayat itu sampai kepada kemuncak hujjah yang tidak dapat dijawab dan kepada titik penyelesaian masalah dan kepada tahap menjelaskan perbezaan yang menyeluruh dari segenap sudut diantara pegangan Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’qub dan anak-anaknya dengan kaum Yahudi yang sezaman dengan Rasullullah s.a.w. Maka al-Quran kembali mengulangi ayat yang menjadi penamat kata sebelum ini ketika ia memperkatakan tentang Ibrahim dan zuriatnya yang muslimin. Ayat ini mengandungi kata pemutus, pengakhir perdebatan dan kalimah terakhir terhadap dakwaan mereka.”



[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 328
[2] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 98
[3] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 275. Lihat juga Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 190
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 471
[5] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 135
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 472
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 473
[8] Al-Baqarah, ayat 159
[9] Al-Jamal, al-Futuhat al-Ilahiyah (1996), J. 1, mk 190
[10] Al-Baqarah, ayat 160
[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 474

Wednesday, May 16, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 135-137)


بسم الله الرحمن الرحيم

1.       Ayat 135:
-         Ayat ini ditujukan kepada ketua-ketua kaum Yahudi seperti Ka’ab b. Asyraf, Malik b. Saif, Wahab b. Yahuda dan Abi Yasir b. Akhtab. Begitu juga ayat ini ditujukan kepada ketua-ketua kaum Nasrani dari Najran seperti As-Sayyid dan al-‘Aqib beserta rombongannya[1]. Mereka ini masing-masing menyeru kaum mu’minin agar mengikut agama mereka kononnya agama merekalah yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t memerintahkan Rasullullah s.a.w membalas dakwaan mereka dengan mengatakan :
بَلْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفاً وَمَا كَانَ مِنْ الْمُشْرِكِينَ
Bermaksud : “ Bahawasanya agama Ibrahim yang patut dicenderungi dan bukanlah dia dari golongan Musyrik (menyekutukan Allah s.w.t)”
Secara jelasnya ayat ini menggambarkan bahawa agama nabi Ibrahimlah yang sebenarnya patut dicenderungi dan diikuti disebabkan nabi Ibrahim bukan dari golongan orang yang menyekutukan Allah s.w.t seperti mereka (kaum Yahudi dan Nasara)
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[2] : “ Kaum Yahudi berkata: Hendaklah kamu anuti agama Yahudi agar kamu mendapat hidayah dan kaum Nasara pula berkata: Hendaklah kamu anuti agama Nasrani agar kamu mendapat hidayah. Allah s.w.t satukan perkataan dua kaum ini untuk mengarah Rasullullah s.a.w supaya menghadapi seluruh mereka dengan satu jawapan sahaja. Maka jawablah (wahai Muhammad): Sebenarnya kita , ya’ni kami dan kamu sepatutnya pulang kepada agama Ibrahim moyang kami dan juga moyang kamu. Iaitu agama yang menjadi pokok pangkal agama Islam dan agama Ibrahim yang telah berjanji dengan Allah s.w.t untuk mematuhinya. Dan beliau bukanlah daripada golongan musyrikin, sedangkan kamu berpegang dengan kepercayaan syirik.”
-         Mengapa orang Yahudi dan Nasara tergolong dikalangan mereka yang syirik kepada Allah s.w.t sedangkan mereka juga mengaku tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t dan pengakuan ini sama sahaja dengan pengakuan orang-orang Islam. Kaum Yahudi dianggap syirik kerana mereka tunduk kepada kitab Taurat  yang telah diubah oleh pendita dan paderi mereka yang tidak tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t serta hukumNya dalam erti kata yang sebenar. Kaum Nasrani pula dianggap syirik kerana percaya bahawa Tuhan itu terdiri daripada 3 unsur. Walaupun terdapat sebahagian mazhab Nasrani yang beranggapan bahawa Tuhan itu hanya satu tetapi dengan menganut agama itu telah secara automatik dianggap syirik kerana telah menolak ajaran nabi Muhammad s.a.w dan mengikut ajaran paderi yang bertentangan dengan Islam.
-         Dewasa ini perbuatan syirik itu lebih besar dan hebat lagi kalau hendak dibandingkan dengan perbuatan syirik yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasara dahulu. Zaman sekarang, walau pun lidah mengucap dua Kalimah Syahadah tetapi tunduk dengan enakmen Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri yang bertentangan dengan Islam. Perkara ini di anggap lebih syirik lagi sebab ketundukkan kaum Yahudi dan Nasara adalah kepada peraturan yang direka oleh alim ulama’ mereka dari golongan paderi dan pendita. Tetapi di dalam Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri berlaku percampuran pemikiran antara orang Islam dan orang barat yang kafir dan akhirnya melahirkan peraturan atau undang-undang yang bertentangan dengan Islam. Justeru, kepatuhan kepada peraturan kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sekiranya kedua-dua dewan ini jelas bertentangan dengan syari’at Islam adalah lebih syirik lagi jikalau hendak dibandingkan dengan ketundukkan Yahudi dan Nasara kepada peraturan paderi dan pendita mereka yang asalnya faham tentang agama mereka. Inilah perkara yang amat wajib diperbetulkan.
-         Oleh sebab itu perlu difahami sungguh-sungguh pengertian Islam yang sebenarnya sepertimana firman Allah s.w.t yang berbunyi[3] :
فَلا تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Bermaksud: “ Maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”
-         Beerti hendaklah kita menyerah diri kepada Allah s.w.t bukan sahaja ketika beribadah sahaja, ketika memerintah negara pun (sekiranya diamanah untuk memikul tugas itu) kita juga menyerah diri kepada perintah Allah s.w.t yang telah dirakamkan dalam al-Quran. Sekiranya kita menyerah diri kepada peraturan yang jelas bertentangan dengan Islam, kita sudah jelas mensyirikkan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain. Dizaman dahulu terdapat orang Islam yang melakukan upacara “Semah” iaitu sebuah upacara pemujaan hantu laut kononnya. Mereka menyembelih kerbau dan kemudian menghanyutkan kepalanya ke laut serta dagingnya dibuat lauk-pauk untuk kenduri makan beramai-ramai. Hal ini demikian kerana kepercayaan bahawa hantu laut itu boleh memperbanyakkan hasil tangkapan nelayan dan tindakan sebegini diiktiraf disisi mereka sebagai ikhtiyar. Walaupun yang melakukan perkara sebegini ialah daripada mereka yang sembahyang dan yang mengucap dua Kalimah Syahadah, tetapi ianya tetap dianggap syirik atas dasar kepercayaan mereka bahawasanya ada sesuatu yang boleh menambah dan mengurangkan rezeki seseorang selain daripada Allah s.w.t. Perbuatan yang seumpama dengan itu walaupun tidak dipanggil dengan nama “Semah” dianggap syirik juga atas dasar menduakan Allah s.w.t. Oleh itu perlu difahami, antara pengertian Islam yang sebenar, bahawasanya semua rezeki yang diterima oleh manusia adalah datangnya daripada Allah s.w.t.
-         Walaupun pada zahirnya memang jelas kelihatan manusia atau pun golongan yang tertentu memberi “benda”, tetapi umat Islam tidak boleh sama sekali memutuskan hubungannya dengan Allah s.w.t dari segi keimanan dan kepercayaan yang membawa kefahaman bahawasanya hanya Allah s.w.t sahaja punca segala rezeki. Kalau dilihat para paderi-paderi Kristian dan Yahudi sekali pun sentiasa beribadah di biara atau gereja mereka dengan tasbih memuji dan memuja Allah dalam menyelesaikan masalah kehidupan mereka. Bagaimana pula keadaan manusia yang mengucap dua Kalimah Syahadah tetapi tidak pernah kenal rumah Allah kemudian dalam masa yang sama memuja sesuatu yang lain daripada Allah dan mencari jalan penyelesaian yang jauh menyimpang dari jalan yang diberi hidayah oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang soleh.
-         Ayat ini juga menjelaskan bagaimanakah dikatakan bahawa nabi Ibrahim a.s itu tidak syirik. Ini adalah kerana beliau tidak tunduk kepada bapanya Azar dan raja Namrud yang berkuasa ketika itu. Hal ini demikian kerana keyakinan beliau bahawasanya yang paling berkuasa menentukan hidup mati manusia dan yang memberi rezeki ialah Allah s.w.t bukannya raja Namrud. Justeru, dalam membersihkan diri daripada sifat syirik kepada Allah s.w.t hendaklah mempercayai dengan sungguh-sungguh bahawa Allah s.w.t yang memberi rezeki dan janganlah kita takut melainkan kepada Allah s.w.t secara mutlaq kerana yang paling berkuasa adalah Allah s.w.t. Inilah makna Islam yang ditunjukkan oleh nabi Ibrahim a.s yang tidak syirik kepada Allah s.w.t

2.       Ayat 136:
-         Ayat ini secara tegasnya memberi penjelasan dan penerangan kepada kaum Yahudi dan Nasrani tentang asas keimanan Islam yang berlainan dengan keimanan palsu mereka. Penjelasan itu berbunyi bahawasanya “Kami telah beriman dengan Allah dan beriman dengan semua kitabNya samada diturunkan keatas nabi Muhammad s.a.w (al-Quran) atau pun keatas nabi-nabi sebelumnya seperti Zabur, Taurat, Injil dan lain-lain. Tidak kami beza-bezakan seseorang pun diantara mereka. Semuanya benar menjadi pesuruh Allah s.w.t yang wajib kami percaya kepadanya. Tidaklah kami disuruh mempercayai sebahagian daripada mereka dan mengingkari yang lain seperti halnya berlaku kepada kaum Yahudi dan Nasara yang mana mereka percaya kepada nabi yang diutus kepada mereka sahaja dan mengingkari nabi umat lain. Padahal semua mereka itu adalah pesuruh Allah s.w.t, pembawa agama benar, yang wajib kita tunduk, patuh serta taat setia kepadanya. Itulah namanya orang Muslimin”  [4]
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Kemudian pada ayat al-Quran ini menyeru umat muslimin supaya mengisytiharkan kesatuan agama yang agung dari sejak Ibrahim bapa anbiya’ hingga kepada Musa putera Maryam dan akhirnya kepada agama Islam yang terakhir dan menyeru semua ahli Kitab supaya beriman dengan agama yang satu dan sama ini”. Maksud secara keseluruhan ayat ini ialah kami percaya dengan keseluruhan perkara yang telah disebutkan dalam al-Quran. Sebagai contoh, jikalau al-Quran sebut tentang adanya mati, balasan akhirat, syurga, neraka, arak dan judi haram wajib dipercayai secara total. Sebaliknya jikalau tidak mempercayainya, orang tersebut sudah pasti tidak beriman dengan al-Quran. Dan apabila tidak beriman dengan al-Quran, sekaligus dianggap tidak beriman kepada Allah s.w.t dan pesuruhNya Rasullullah s.a.w kerana rantaian keimanan itu tidak boleh diputuskan antara satu sama lain. Disini juga membuktikan bahawa semua nabi-nabi itu adalah Islam. Dan semua umat Islam wajib beriman dengan semua kitab yang diturunkan kepada mereka yang mana dakwah mereka mengajak manusia kepada menyembah Allah s.w.t secara total dan menjauhkan diri daripada taghut. Inilah satu-satunya dasar dan matlamat yang dibawa oleh semua nabi dan rasul ‘alaihim al-Solah wa al-Salam
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Itulah kesatuan agung diantara semua agama Allah dan semua Rasul dan itulah dasar kefahaman dan pemikiran Islam. Dan dasar inilah yang menjadikan umat muslimin sebagai umat pewaris yang mempusakai warisan agama Allah s.w.t dimuka bumi ini. Iaitu agama yang bersambung dengan asal-usul  yang amat tua yang berjalan diatas jalan hidayah dan nur. Dan seterusnya dasar inilah yang menjadikan sistem hidup Islam, iaitu satu sistem sejagat yang membolehkan seluruh manusia hidup dibawah naunganNya tanpa fanatik dan tanpa penindasan. Ia menjadikan masyarakat Islam satu masyarakat yang terbuka kepada semua manusia dimana mereka dapat hidup dalam suasana mesra dan damai”

3.       Ayat 137:
-         Ayat ini menjelaskan hakikat yang agung dan meneguhkan kedudukan orang-orang yang beriman diatas aqidah ini, iaitu hakikat aqidah dan agama itu adalah hidayah. Sesiapa yang mengikut agama ini beerti mendapat hidayah dan sesiapa yang enggan menerimanya maka dia tidak akan tetap dan menetap diatas satu tapak pegangan yang kukuh dan ia akan terus berada dalam keadaan pertentangan dengan berbagai-bagai golongan dan puak yang tidak mempunyai pertemuan diatas sesuatu pegangan yang tetap.
-         Ayat ini juga secara jelasnya menggambar jaminan kepada orang-orang Yahudi dan Nasara yang betul-betul beriman ya’ni tidak menduakan agamanya dan tidak menganggap ada agama lain yang lebih tinggi melainkan agama Islam, nescaya mereka akan mendapat petunjuk[7]. Namun, sekiranya mereka berpaling atau keimanan mereka tidak menepati keimanan yang dikehendakki oleh Islam, maka dengan ini mereka akan terdedah kepada perpecahan dan perbalahan. Memang orang Kafir selamanya tidak bersatu sesama  mereka sepertimana yang telah difirmankan olehNya[8]:
تَحْسَبُهُمْ جَمِيعاً وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى
Bermaksud: “ Kamu menyangka mereka bersatu, pada hal hati-hati mereka berpecah belah”
Begitu jugalah terjadinya jikalau orang Islam tidak mengikut al-Quran dan al-Hadith kelak akan berpecah belah juga sepertimana berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani. Dan jalan penyelesaiannya adalah kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Hadith bagi menyelesaikan segala masalah yang hadir.
-         Allah s.w.t telah menurunkan bala kepada kaum Yahudi dan Nasara dengan membiarkan mereka berada dalam perpecahan dan pertelingkahan antara satu sama lain berpunca daripada tidak beriman dan tidak mengikut petunjuk Allah s.w.t. Hal ini demikian kerana petunjuk Allah s.w.t sahajalah yang dapat meletakkan manusia dalam satu saf atau satu golongan yang baik dan mempunyai hubungan erat antara satu sama lain. Sebaliknya tanpa petunjuk Allah s.w.t maka tersisihlah manusia itu dari jalan yang benar dan matlamat untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t itu tidak akan tercapai. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “ Ucapan dan pengakuan ini adalah dari Allah s.w.t. Ia mencurahkan kedalam hati orang yang beriman rasa bangga dengan agama pegangan mereka. Oleh itu merekalah sahaja golongan yang mendapat hidayah. Dan sesiapa yang tidak beriman seperti keimanan mereka, maka beerti dia menentang agama yang benar dan bermusuh dengan hidayah”
-         Seterusnya Allah s.w.t berfirman:
فَسَيَكْفِيكَهُمْ اللَّهُ
Bermaksud: “Maka Allah akan memelihara (daripada mereka) engkau wahai Muhammad
Seterusnya Allah s.w.t memberi jaminan kepada Rasullullah s.a.w supaya Baginda tidak bimbang dengan segala tindakan jahat yang dilakukan oleh kaum Yahudi walaupun mereka tergolong dikalangan ahli Kitab sedangkan pengikut Baginda terdiri daripada mereka yang masih mentah lagi dalam hal agama dan ada yang masih belum pernah membaca kitab. Allah menyatakan Rasullullah s.a.w tidak perlu bimbang keupayaan pengikut dari segi ilmu untuk berdepan dengan golongan ahli Kitab kerana Allah s.w.t akan memelihara Rasullullah s.a.w. Kaum muslimin juga yang mereka (Yahudi dan Nasara) tentang itu akan semestinya dipelihara oleh Allah s.w.t. Buktinya bagaimana Allah s.w.t memelihara kemenangan dan kedaulatan Islam walaupun kaum Yahudi merancang dengan komplot yang tersusun bermula dengan mewujudkan hubungan dengan kaum munafiqin dikalangan para sahabat sehingga sampai ke peringkat menyediakan pasukan Ahzab yang besar untuk memerangi Rasullullah s.a.w. Walaupun begitu Allah s.w.t memelihara Rasullullah s.a.w, para sahabatnya serta umat Islam yang menurut jejak langkah mereka semua daripada tipu daya serta tindakan jahat yang dilakukan oleh kaum Yahudi. Bahkan Allah telah memberi kemenangan kepada Islam dimana tentera Islam berjaya mengalahkan Yahudi kaum bani Quraydzah dan bani Qainuqa’ dengan membunuhnya dan kaum Yahudi bani Nadhir dihalau dan selebihnya dikenakan pula keatas mereka jizyah (cukai atau ufti)[10]. 


[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 189. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 322
[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 467
[3] Al-Baqarah, ayat 132
[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 189
[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 468
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 469
[7] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 189
[8] Al-Hasyr, ayat 14
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 470
[10] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 337