Monday, April 9, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 120)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 120:

- Ayat ini sebagai sambungan daripada ayat yang terdahulu yang menggambarkan bahawasanya kaum Yahudi dan Nasara akan terus memerangi serta merancang tipu daya terhadap Rasullullah s.a.w. Mereka sama sekali tidak akan berdamai dan tidak akan berpuas hati kecuali Baginda meninggalkan dakwah ini, meninggalkan agama yang benar ini sekali gus kembali kepada kesesatan jahiliyah, kesyirikan dan kefahaman yang amat buruk.

- Ayat ini merupakan satu tegasan daripada Allah s.w.t kepada RasulNya akan niat orang-orang Yahudi dan niat orang-orang Nasrani yang sebenar. Iaitu mereka itu tidak akan suka melainkan engkau turut agama mereka kedua-dua sekali. Bagaimana mungkin seseorang itu menganut dua agama apatah lagi dua agama ini saling bertentangan. Tetapi itulah satu-satunya harga yang dapat memuaskan hati mereka dan selain daripada itu (yakni mengikut agama mereka) segalanya ditolak. Jangan terpengaruh dengan mereka walau bagaimana baik sekalipun mereka itu. Mereka tidak akan redha kepada Islam dan umatnya selagi umat Islam tidak meninggalkan agama mereka.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[1] : “Begitulah celarunya jiwa mereka yang berterusan yang dapat kita lihat buktinya disetiap zaman dan tempat yang menunjukkan bahawa aqidahlah yang menjadi persoalan pokok. Itulah hakikat pertarungan yang dilancarkan oleh kaum Yahudi dan kaum Nasara dimana-mana negara dan pada mana-mana waktu terhadap umat Islam. Pertarungan aqidahlah yang selalu dinyalakan diantara khemah kaum muslimin dengan dua khemah kaum Yahudi dan Nasara yang kadang-kadang bertelingkah diantara satu sama lain dan kadang-kadang puak-puak dalam satu agama itu bertelingkah sesama sendiri tetapi semua golongan dan puak-puak itu bertemu dan berpadu dalam perjuangan menentang Islam dan kaum muslimin.”

- Apabila mereka menjadi kuasa besar dunia, bank dunia berada ditangan Yahudi, kuasa besar ditangan orang Kristian ataupun ditangan orang Kominis dan negara mereka menjadi kaya raya dan mereka memberi bantuan pula kepada negara yang sedang membangun. Walaupun mereka memberi bantuan, mereka sebenarnya tidak akan redha selagi mana tidak mengikut jejak langkah mereka dan mereka sentiasa mencari jalan untuk merosakkan umat Islam.

- Ini terbukti di negara blok Barat yang menganut fahaman kapitalis seperti Amerika, Jerman dan Perancis. Mereka tidak akan memberi bantuan melainkan kepada negara yang bersetuju mengikut dasar dan undang-undang mereka. Begitu jugalah dengan negara blok Kominis seperti China. Sistem kominis di China membenarkan umat Islam mengerjakan sembahyang serta menunaikan haji dan ibadah lain tetapi pentadbiran dan undang-undang mestilah mengikut acuan Kominis. Inilah yang berlaku di beberapa buah negara Arab yang terpengaruh dengan negara di blok barat yang berfahaman Kapitalis serta Liberal. Seterusnya Allah berfirman:

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى

Bermaksud: “ Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya petunjuk Allah itu adalah sebenar-benar petunjuk”

- Berkata Al-Syahid Sayyid Qutb [2]: “ Ayat ini dalam (konteks mengumumkan hidayah Allah itu) dengan ungkapan yang begitu menentu dan membatas. Iaitu hanya hidayah Allah sahaja hidayah yang benar dan yang selain daripada hidayah Allah bukannya hidayah. Oleh itu engkau tidak boleh berpisah dari hidayah Allah, tidak boleh menyeleweng darinya dan tidak boleh memuaskan hati orang dengan mengorbankannya. Hidayah Allah juga tidak boleh tawar menawar baik sedikit atau pun banyak. Siap yang suka boleh ambil dan siapa yang tidak suka boleh menolaknya. Oleh itu ingatlah dan berhati-hatilah dalam menarik mereka kepada keimanan atau untuk bersahabat serta bermesra dengan mereka jangan sampai membawa engkau menyeleweng dari jalan hidayah Allah yang amat halus ini.”

Disini Allah menegaskan lagi bahawa petunjuk daripadaNya adalah sebenar-benar petunjuk dalam apa jua masalah yang dihadapi oleh manusia. Tetapi dapat kita lihat sendiri betapa hinanya nasib negara-negara Islam yang melutut kepada kuasa-kuasa besar untuk meminta pandangan dan bantuan sedangkan mereka sendiri tidak dapat menyelesaikan masalah mereka walaupun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu. Sepatutnya negara Islam sudah serik dengan gejala meminta bantuan dan pandangan apatah lagi masih menggunakan undang-undang yang dicipta oleh kuasa-kuasa besar dunia kerana lama-kelamaan masalah yang dihadapi semakin lama semakin berat. Sebagai contoh, negara Arab yang mengikut telunjuk kuasa besar dunia dalam menentang Zionis. Lama –kelamaan banyak negara Arab dikuasai oleh Yahudi disamping rakyatnya juga berperangai seperti Yahudi.

- Berkata Al-Syahid Sayyid Qutb [3]: “ Itulah pertarungan aqidah dari segi intisari dan hakikatnya. Tetapi mereka menggambarkan pertarungan itu dengan berbagai-bagai warna. Mereka mengangkat berbagai-bagai panji perjuangan dengan cara yang amat pintar licin dan sulit. Mereka telah menguji semangat keghairahan kaum muslimin terhadap agama dan aqidah mereka apabila mereka memerangi kaum muslimin dibawah bendera agama. Oleh sebab itulah musuh-musuh ketat yang lama itu mencari jalan yang lain iaitu mengubah bendera (agenda) perjuangan. Mereka tidak mengisytiharkan peperangan itu atas nama peperangan kerana aqidah, sedangkan peperangan kerana aqidah itulah yang menjadi tujuan mereka yang sebenarnya. Hal ini demikian kerana mereka takut kepada keghairahan (kaum muslimin) berperang kerana aqidah dan takut kepada semangat yang berkobar-kobar lalu mereka mengisytiharkan peperangan kerana tanah air, kerana ekonomi, kerana politik, kerana mempertahankan kedudukan yang strategik dan sebagainya. Meraka mencampakkan kedalam hati umat Islamyang tertipu dan lalai bahawa cerita aqidah dan agama itu telah menjadi cerita lama yang basi. Ia tiada mempunyai apa-apa erti lagi dan tidak pula wajar diangkat bendera perjuangan dan seterusnya tidak wajar turun ke medan pertempuran atas nama aqidah dan agama. Inilah sifat kaum fanatik yang mundur (dari segi aqidah) supaya mereka terselamat dari akibat keghairahan (kaum muslimin) berperang kerana aqidah dan semangat mereka yang berkobar-kobar, sedangkan didalam hati mereka (iaitu barisan Zionis antarabangsa, barisan Salib antarabangsa dan barisan Kominis antarabangsa) semuanya memasuki medan pertempuran dengan motif utamanya untuk menghancurkan batu aqidah Islam yang pejal, iaitu batu yang telah menimpa mereka sekian lama yang menyebabkan mereka mendapat luka-luka dan berdarah”

- Mereka telah memalsukan agenda-agenda mereka kepada umat Islam dengan satu tujuan yang tersembunyi di dalam hati mereka untuk mengelirukan umat Islam tentang hakikat tujuan pertarungan yang sebenar. Oleh itu apabila umat Islam kelirukan diri mereka dengan pengeliruan yang dicipta oleh musuh-musuh Islam ini, maka umat Islam tidak boleh mempersalahkan orang lain melainkan diri sendiri. Hal ini demikian akibat terlalu menjauhkan diri dari mengingati bimbingan dan arahan Allah s.w.t kepada RasulNya dan sekelian umatnya.

- Begitu jugalah dengan Malaysia, kerana terlalu mahu membangunkan negara setaraf dengan kuasa-kuasa besar, diterima tanpa ditapis segala bentuk pembangunan dari segi kerohanian mahu pun dari segi fizikal dari barat yang terbukti didalamnya ada agenda untuk menghancurkan umat Islam. Lihatlah bagaimana musuh-musuh Islam ini menguasai bidang ekonomi, hiburan, sukan malah telah meresapi pendidikan umat Islam itu sendiri. Terbukti dengan berbagai garis panduan yang telah mereka ciptakan kebanyakkannya mengganggu gugat aqidah umat Islam baik dari segi kefahaman, makanan, pakaian dan sebagainya. Ditambah pula gejala keruntuhan akhlak yang kurang dititik beratkan malah di “up grade” kan lagi anasir-anasir barat yang menyuburkan lagi masalah sosial yang tiada penghujungnya akibat daripada tidak mengikut petunjuk Allah s.w.t kerana lebih senang dan secocok dengan hawa nafsu mereka dengan mengikut petunjuk orang kafir. Bertepatan dengan sambungan firmanNya:

وَلَئِنْ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ

Bermaksud: “ Sekiranya engkau mengikut hawa nafsu mereka selepas datang kepada ilmu Allah

Pada ayat ini Allah s.w.t tidak menyatakan ikut sistem atau teori atau falsafah mahupun ideologi mereka, Allah sebut ikut hawa nafsu mereka. Ini adalah jawapan bagi mereka yang berpendapat apa salahnya kita pandang ke timur mengikut sistem Jepun dalam soal rajin bekerja. Memang tidak dinafikan hakikat itu, tetapi mereka tidak percaya kepada Allah dan rajin atau cerdiknya mereka adalah rajin atau cerdik yang mengikut hawa nafsu.

- Mengikut ulama tafsir, ayat ini adalah khusus untuk mereka yang telah diberi ilmu oleh Allah s.w.t tetapi masih lagi mengikut hawa nafsu manusia. Sepatutnya ilmu yang telah diamanahkan itu disebarkan dalam erti kata mengikut petunjuk Allah s.w.t. Tetapi kebanyakkan orang yang berilmu sekarang ini sanggup berlutut dan mengikut sahaja secara total kepada manusia yang menjadi ketua mereka walaupun ketua itu jahil tentang agama serta menjauhi konsep Islam yang sebenarnya, sepertimana firmanNya[4]:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنْ الْغَاوِينَ

Bermaksud: “ Bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) akan kisah orang yang Kami beri ilmu kepada mereka lalu dia melepaskan diri daripada ilmu Allah lalu syaitan menjadikan dia sebagai orang yang diikuti.”

Disebabkan dia pandai dan mengerti agama, syaitan melantiknya menjadi ketua dan amat payah untuk menyedarinya kerana yang mengemudikan dirinya dari belakang adalah syaitan. Inilah akibatnya meninggalkan petunjuk Allah s.w.t kerana ikutkan hawa nafsu dan menjadi ketua kepada syaitan dan kita berlindung daripada Allah s.w.t dari yang sedemikian. Akhirnya ayat ini ditutup dengan firmanNya:

مَا لَكَ مِنْ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ

Bermaksud: “ Maka tiadalah pelindung serta penolong lagi bagimu”

Berdasarkan ayat ini, maka jelaslah penolong yang sebenar itu adalah Allah s.w.t dan mana-mana penolong di atas dunia ini tidak lain dan tidak bukan hanya penolong yang bertaraf sementara sahaja.

- Berkata Al-Syahid Sayyid Qutb [5]: “ Dengan ancaman yang menakutkan ini serta amaran yang tegas dengan janji yang menggerunkan ini al-Quran hadapkannya kepada Rasullullah s.a.w selaku rasul dan kekasihNya yang mulia. Itulah sebenarnya kehendak nafsu untk menyeleweng dari hidayah Allah s.w.t. Tiada hidayah yang lain melainkan hidayah dari Allah s.w.t. Itulah juga kehendak nafsu yang menyebabkan mereka mengambil pendirian yang seperti itu terhadap engkau, bukannya kerana kekurangan hujah serta kelemahan dalil”.



[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 424

[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 426-427

[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 424-425

[4] Al-‘A’raf, ayat 174

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 424-425

Sunday, April 1, 2012

Nota Kelas bacan 7 imam (al-Baqarah 6-7)

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ ءأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لا يُؤْمِنُونَ

1. Qalun baca secara tawassut al-muttasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf dan tashil [1]hamzah yang kedua beserta idkhal [2]pada kalimah ءأَنذَرْتَهُمْ, hanya al-Durri Abu ‘Amru dan Hisyam (wajah pertama) ikut.[3]

2. Al-Susi membaca ibdal pada kalimah يُؤْمِنُونَ

3. Hisyam (wajah kedua) membaca dengan tahqiq kedua-dua hamzah beserta idkhal.

4. Ibn Zakwan dengan tahqiq kedua-dua hamzah tanpa idkhal, ‘Asim dan al-Kisaei ikut.

5. Qalun membaca pula silah mim al-jama’ secara khilaf dengan qasr dan tashil hamzah yang kedua beserta idkhal pada kalimah ءأَنذَرْتَهُمْ

6. Ibn Kathir membaca silah mim al-jama’ dan tashil hamzah yang kedua tanpa idkhal pada kalimah ءأَنذَرْتَهُمْ

7. Qalun membaca pula secara tawassut pada silah mim al-jama’ dan tashil hamzah yang kedua beserta idkhal pada kalimah ءأَنذَرْتَهُمْ .[4]

8. Warsy membaca dengan mad al-Muttasil, tashil hamzah kedua[5] tanpa idkhal, mad silah mim al-jama’ [6]dan ibdal pada kalimah يُؤْمِنُونَ

9. Warsy membaca dengan mad al-Muttasil, ibdal hamzah kedua menjadi huruf mad[7], mad silah mim al-jama’ dan ibdal pada kalimah يُؤْمِنُونَ

10. Hamzah membaca dengan dommah huruf ha’ pada kalimah عَلَيْهِمْ , tahqiq kedua-dua hamzah pada kalimah ءأَنذَرْتَهُمْ serta ibdal pada kalimah يُؤْمِنُونَ [8]

11. Khalaf (wajah kedua) membaca saktah sakin mafsul pada kalimah عَلَيْهِمْ ءأَنذَرْتَهُمْ أَمْ serta ibdal pada kalimah يُؤْمِنُونَ

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

------------------------------------------------------------------------------------

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ

1. Qalun baca dengan iskan mim jama’ , semua ikut kecuali Ibn Kathir

2. Qalun baca dengan silah mim jama’ dan Ibn Kathir ikut

وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

1. Qalun baca dengan qasr al-Munfasil dan iskan mim jama’

2. Qalun baca dengan qasr al-Munfasil dan silah mim jama’ dan Ibn Kathir ikut

3. Abu ‘Amru (al-Susi dan wajah pertama Durri) qasr al-Munfasil dan imalah kalimah أَبْصَارِهِمْ [9]

4. Qalum membaca dengan tawassut al-Munfasil dan iskan mim jama’, Ibn ‘Amir , ‘Asim dan al-Kisaei ikut.

5. Qalun membaca dengan tawassut al-Munfasil dan silah mim jama’

6. Durri Abu ‘Amru (wajah kedua) membaca tawassut al-Munfasil dan imalah kalimah أَبْصَارِهِمْ

7. Warsy membaca dengan isyba’ al-Munfasil serta taqlil kalimah أَبْصَارِهِمْ [10]

8. Khalaf membaca dengan fathah kalimah أَبْصَارِهِمْ dan tark al-Ghunnah pada

غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ [11]

9. Khallad membaca dengan fathah kalimah أَبْصَارِهِمْ dan isbat al-Ghunnah pada

غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ



[1] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Hamzatain min kalimah, mk 15):

وتسهيل أخرى همزتين بكلمة سما وبذات الفتح خلف لتجملا

[2] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Hamzatain min kalimah, mk 16):

ومدك قبل الفتح والكسر حجة بها لذ

[3] Maka yang tidak mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Warsy, Ibn Kathir, al-Susi, Hisyam (wajah kedua), Ibn Zakwan, ‘Asim, Hamzah dan al-Kisaei.

[4] Maka baki imam yang tidak membaca lagi setakat bacaan Qalun yang ketiga ini adalah Warsy dan Hamzah.

[5] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Hamzatain min kalimah, mk 15):

و في بغداد يروى مسهلا

[6] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Surah Umm al-Qur’an, mk 10):

ومن قبل همز القطع صلها لورشهم

[7] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Hamzatain min kalimah, mk 15):

وقل ألفا عن أهل مصر تبدلت لورش

[8] Jikalau waqaf pada kalimah يُؤْمِنُونَ, Hamzah akan ibdal sepertimana kata al-Syatibi (Hirz, bab Waqf Hamzah wa Hisham ‘ala al-Hamz, mk 19):

فأبدله عنه حرف مد مسكنا ومن قبله تحركه قد تنزلا

[9] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Fath wa al-Imalah wa baina al-Lafzain, mk 26):

وفى ألفات قبل را طرف أتت بكسر أمل تدعى حميدا وتقبلا

كأبصارهم والدارثم الحمار مع حمارك والكفار واقتس لتنضلا

ومع كافرين الكافرين بيائه

[10] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Fath wa al-Imalah wa baina al-Lafzain, mk 26):

وورش جميع الباب كان مقللا

[11] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Ahkam al-Nun al-Sakinah wa al-Tanwin, mk 24):

وكل بينمو أدغموا مع غنة وفى الواو واليا دونها خلف تلا

Friday, March 30, 2012

Nota Kelas bacan 7 imam (al-Baqarah 1-5)

BACAAN JAMA’ SURAH AL-BAQARAH (1-5)

MELALUI TARIQ AL-SYATIBIYYAH

بسم الله الرحمن الرحيم

الم

1. Qalun baca dan semua ikut

ذَلِكَ الْكِتَابُ لا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

1. Qalun baca semua ikut kecuali Ibn Kathir dan al-Susi

2. Al-Susi dengan idgham kabir[1]

3. Ibn Kathir dengan silah ha’ kinayah[2]

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلوة وَمِمَّا رَزَقْنَهُمْ يُنفِقُونَ

1. Qalun baca sukun mim jama’ secara khilaf[3] pada kalimah رَزَقْنَهُمْ , semua ikut kecuali Warsy, Ibn Kathir dan al-Susi.[4]

2. Qalun membaca pula silah mim jama’ pada kalimah رَزَقْنَهُمْ dan Ibn Kathir ikut.

3. Warsy baca taghliz lam [5]pada kalimah الصَّلوة dan ibdal hamzah [6]pada kalimah يُؤْمِنُونَ

4. Al-Susi baca ibdal hamzah [7] pada kalimah يُؤْمِنُونَ

Disebabkan ayat keempat selepas ini terdapat mad al-munfasil padanya, adalah lebih elok difahami dahulu kaedah ikhtiyar[8] imam-imam terhadap mad al-Munfasil sekaligus mad al-Muttasil

Munfasil:

1. Qasr[9] : Ibn Kathir dan al-Susi secara qaulan wahidan dan Qalun serta al-Durri Abu ‘Amru secara khilaf.

2. Tawassut: Ibn ‘Amir, ‘Asim, al-Kisaei secara qaulan wahidan serta Qalun serta al-Durri Abu ‘Amru secara khilaf.

3. Mad atau Isyba’: Warsy dan Hamzah secara qaulan wahidan.

Muttasil:

1. Tawassut: Qalun, Ibn kathir, Abu ‘Amru, Ibn ‘Amir, ‘Asim, al-Kisaei secara qaulan wahidan.

2. Mad atau Isyba’: Warsy dan Hamzah secara qaulan wahidan.

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالآخرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

1. Qalun baca secara qasr al-munfasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf pada kalimah هُمْ , hanya al-Durri Abu ‘Amru (wajah pertama) sahaja ikut.[10]

2. Qalun membaca pula silah mim al-jama’ pada kalimah هُمْ dan Ibn Kathir ikut.

3. Qalun membaca pula secara tawassut al-munfasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf pada kalimah هُمْ , al-Durri Abu ‘Amru (wajah kedua), Ibn ‘Amir, ‘Asim dan al-Kisaei ikut .[11]

4. Qalun membaca pula silah mim al-jama’ pada kalimah هُمْ

5. Hamzah baca secara mad al-munfasil dan saktah[12] pada kalimah وَبِالآخرَةِ

6. Khallad (wajah kedua) pula ikut dengan meninggalkan saktah [13]pada kalimah وَبِالآخرَةِ

7. Warsy baca tarqiq ra[14], naqal[15] dan tathlis al-Badal [16]pada kalimah وَبِالآخرَةِ dan ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

8. Al-Susi baca qasr al-munfasil beserta ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

أُوْلَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ

1. Qalun baca dengan tawassut al-Muttasil dengan sukun mim al-Jam’ pada kalimah رَبِّهِمْ semua ikut kecuali Warsy, Ibn Kathir dan Hamzah.[17]

2. Qalun membaca pula dengan silah mim al-Jam’ pada kalimah رَبِّهِمْ dan Ibn Kathir ikut.[18]

3. Warsy membaca dengan mad al-Muttasil dan Hamzah ikut.



[1] Kata al-Syaikh Hassan Khalaf al-Hussaini (Mukhtasar bulughu al-Umniyyah,, bab Hukm ma fi al-Idgham al-Kabir wa Ha al-Kinayah, mk 5):

والادغام بالسوسي خص

[2] Kata al-Syatibi (Hirz, bab ha’ al-Kinayah, mk 13):

وما قبله التسكين لإبن كثيرهم

[3] Kata al-Syatibi (Hirz, bab surah Umm al-Qur’an, mk 9):

وصل ضم ميم الجمع قبل محرك دركا وقالون بتخييره جلا

[4] Maka yang mengikut bacaan Qalun adalah al-Duri Abu ‘Amru, Ibn ‘Amir, ‘Asim, Hamzah dan al-Kisaei.

[5] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Lamat, mk 29):

وغلظ ورش فتح لام لصادها أوالطاء أو للظاء قبل تنزلا

إذا فتحت أو سكنت كصلاتهم ومطلع أيضا ثم ظل ويوصلا

[6] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Hamz al-Mufrad, mk 18):

إذا سكنت فاء من الفعل همزة فورش يريها حرف مد مبدلا

Jikalau waqaf pada kalimah يُؤْمِنُونَ, Hamzah akan ibdal sepertimana kata al-Syatibi (Hirz, bab Waqf Hamzah wa Hisham ‘ala al-Hamz, mk 19):

فأبدله عنه حرف مد مسكنا ومن قبله تحركه قد تنزلا

[7] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Hamz al-Mufrad, mk 18):

ويبدل للسوسى كل مسكن من الهمز مدا

[8] Ikhtiyar ini hanya melibatkan kaedah dua martabat sahaja bagi pengertian mad, iaitu tawassut dan isyba’. Secara hakikatnya ada beberapa martabat yang dinaqalkan daripada imam-imam. Demi untuk menjimatkan masa, adalah lebih baik digunakan 2 martabat ini sahaja. Untuk lebih jelas dalam memahami kesemua martabat sila lihat al-Dani, al-Taysir fi al-Qira’at al-Sab’ (1996), mk 35. Lihat juga Felza Zulhibri b. Abd Hamid (2010),Riwayat Hafs bin Sulayman al-Kufi: Kajian Perbandingan antara Tariq al-Shatibiyyah dengan Tariq al-Jazariyyah. Disertasi, Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, mk 81.

[9] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Mad wa al-Qasr, mk 14):

فإن ينفصل فالقصر بادره طالبا بخلفهما يرويك درا ومخضلا

[10] Maka yang tidak mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Warsy, Ibn Kathir, al-Durri Abu ‘Amru (wajah kedua), al-Susi, Ibn ‘Amir, ‘Asim, Hamzah dan al-Kisaei.

[11] Maka baki imam yang tidak membaca lagi setakat bacaan Qalun yang ketiga ini adalah Warsy, al-Susi dan Hamzah

[12] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Naql Harakat al-Hamz ila al-Sakin Qablaha, mk 19):

وعنده روى خلف فى الوصل سكتا مقللا

[13] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Naql Harakat al-Hamz ila al-Sakin Qablaha, mk 19):

وبعضهم لدى اللام للتعريف عن حمزة تلا وشئ وشيا لم يزيد

[14] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Mazahibhim fi al-Ra’at, mk 28):

ورقق ورش كل راء وقبلها مسكنة ياء أو الكسر موصلا

[15] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Naql Harakat al-Hamz ila al-Sakin Qablaha, mk 19):

وحرك لورش كل ساكن اخر صحيح بشكل الهمز واحذفه مسهلا

[16] Bermula dengan qasr kemudian tawassut dan akhirnya mad. Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Mad wa al-Qasr, mk 14):

وما بعد همز ثابت أو مغير فقصر وقد يروى لورش مطولا ووسطه قوم

[17] Maka yang mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Abu ‘Amru, Ibn ‘Amir, ‘Asim dan al-Kisaei

[18] Maka yang masih tidak membaca lagi setakat bacaan Qalun yang kedua ini ialah Warsy dan Hamzah