Wednesday, March 7, 2012

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 111-113)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 111:

- Ayat ini menggambarkan bahawasanya kaum Yahudi mendakwa tidak ada yang akan masuk syurga kecuali kaum Yahudi dan begitu jugalah dengan kaum Nasrani mendakwa mereka sahaja yang akan masuk syurga[1]. Kedua-dua kaum ini dengan jelas mengangankan yang batil kerana Allah s.w.t telah menyuruh bertanyakan kebenaran terhadap hujah-hujah mereka sekiranya betul apa yang mereka dakwakan. Jangan sekali-kali kita biarkan mereka hanya pandai berhujah tanpa sebarang dalil yang kukuh daripada Allah s.w.t mahu pun daripada Rasullullah s.a.w untuk membenarkan dakwaan mereka. Allah s.w.t mencabar mereka dan Allah s.w.t juga memerintah supaya kita mencabar mereka supaya membawa bukti sekiranya benar dakwaan mereka itu.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[2] : “ Kaum ahli kitab yang menentang kaum muslimin di Madinah ialah kaum Yahudi kerana disana tidak ada kumpulan kaum Nasrani yang mengambil sikap seperti sikap kaum Yahudi, tetapi nas disini merupakan satu nas yang umum untuk menghadapi dakwaan-dakwaan kedua golongan itu kemudian disemukakan mereka satu sama lain disamping menceritakan pandangan kaum musyrikin Arab terhadap kedua golongan itu. Ayat ini juga merupakan penceritaan perkataan dua golongan secara penceritaan yang sama. Kedua-dua dakwaan ini sama sahaja iaitu kedua-duanya tidak berlandaskan sebarang dalil selain dari dakwaan kosong sahaja. Oleh sebab itulah Allah s.w.t mengajar Rasullullah s.a.w mencabar mereka supaya mengemukakan dalil”

2. Ayat 112 :

- Pada ayat ini Allah s.w.t menyatakan orang yang bakal masuk syurga itu ialah orang yang menyerah kepada Allah s.w.t, iaitu orang Islam namanya. Perkataan Islam itu dari kata “aslama” ertinya : Menyerahkan. Maka orang Islam beerti mereka yang tunduk dan patuh kepada syari’at yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w. Termasuk mereka yang mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t dan tiada menyekutukanNya[3]. Syari’at Islam pula ialah segala peraturan dan undang-undang yang dikanunkan melalui lisan Rasullullah s.a.w yang merupakan al-Quran dan al-Hadith yang tersimpul di dalamnya hukum Islam yang lima, dua merupakan suruhan iaitu wajib dan sunat. Dua merupakan tegahan iaitu haram dan makruh dan satu perkara harus dan mubah[4].

- Islam dengan makna menyerah diri kepada semua ajaran Allah s.w.t bukan hanya mengikut sebahagian sahaja seperti kaum Yahudi. Orang Yahudi hanya menerima nabi Musa a.s sahaja dan tidak menerima nabi lain. Ada hukum Allah s.w.t yang mereka terima dan ada yang mereka tolak sebab tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka. Sekiranya kita hanya mengikut Islam dalam bab sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja tetapi dalam bab lain kita tidak sedemikian, maka sama sahajalah kita dengan kaum Yahudi yang hanya mengikut ajaran Islam yang sejajar dengan hawa nafsu mereka sahaja.

- Allah s.w.t menggunakan lafaz “Wajhahu” supaya difikirkan apakah tujuannya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[5] : “ Disini ditonjolkan cirri Islam yang pertama iaitu penyerahan muka yang melambangkan penyerahan seluruh diri. Kata-kata “aslama” beerti penyerahan diri yang mencakupi kedua-dua segi kepercayaan batin dan amalan yang zahir sekali. Ia juga seperti menumpukan seluruh dirinya kepada Allah s.w.t dan menumpukan seluruh perasaannya kepada Allah s.w.t berbanding dengan orang yang menumpukan dirinya kepada kejahatan dan dosa”

- “Wajhahu” disini dengan makna muka yang mana bermaksud seluruh diri kerana muka adalah satu anggota tubuh yang paling utama dan berharga bagi anak Adam yang sangat perlu di jaga dan dipelihara[6]. Hal ini demikian kerana muka mengambil peranan penting pada serba-serbi tingkah laku manusia. Bila muka seseorang yang merupakan anggota yang paling utama itu telah diserahkan bulat-bulat untuk Allah s.w.t, maka seluruh tubuh akan terserah pula. Seterusnya setelah menyerah diri seluruhnya kepada Allah s.w.t, maka ayat ini disambung dengan firmanNya yang berbunyi:

وَهُوَ مُحْسِنٌ

Bermaksud: “ Dan dia juga berbuat kebaikan”

Kebaikan yang dimaksudkan disini ialah kebaikan yang disuruh oleh Allah s.w.t yang semestinya bertepatan dengan nilai agama Islam bukan mengikut nilaian yang dibuat oleh manusia. Orang Hindu, Budha menilai kebaikan mengikut pendapat mereka dan iblis juga menilai kebaikan mengikut pandangan dan hawa nafsunya. Sekiranya masing-masing menilai kebaikan mengikut pendapat masing-masing, maka tidak ada kebaikan itu dan itu bukannya kebaikan yang sebenar. Yang dimaksudkan sesiapa yang melakukan kebaikan disini adalah kebaikan yang selaras dengan agama Allah s.w.t dan kelak ia mendapat pahala dari Allah s.w.t. Mereka tidak akan ketakutan di atas muka bumi ini serta tiada berduka cita.

- Ayat ini juga menunjukkan bahawa tidak cukup sekadar kepercayaan sahaja tanpa sebarang amal kebaikan yang mana mestilah diiringi kepercayaan itu dengan amal-amal yang soleh[7] sepertimana firmanNya[8]:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنْ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُوْلَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلا يُظْلَمُونَ نَقِيراً

Maksudnya: “ Dan barang siapa yang mengerjakan amal-amal soleh daripada lelaki atau perempuan sedangkan mereka itu beriman, maka mereka itu akan dimasukkan ke dalam syurga dan tiada akan dianiaya.”

- Inilah orang yang layak masuk syurga. Yang menyerah sepenuhnya diri mereka kepada Allah s.w.t. Tidak seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang menganut agama yang dicipta mengikut kemahuan diri mereka sendiri. Begitulah juga dengan mana-mana jenis bangsa pun yang ada di dunia ini, jikalau tidak mengikut ajaran Islam sepenuhnya dan lebih rela mengikut undang-undang yang dicipta oleh hawa nafsu manusia yang sememangnya lemah maka tipislah harapan untuk masuk kedalam syurga kerana berperangai seperti kaum Yahudi dan Nasrani. Oleh sebab itulah Allah s.w.t cabar mereka supaya mengeluarkan dalil dari mana-mana kitab Allah yang mengatakan orang yang seperti mereka akan masuk syurga.

- Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “ Sifat Islam atau penyerahan diri merupakan kesatuan dan persamaan diantara perasaan dan tingkah laku, diantara aqidah dan amalan, diantara iman hati dan ihsan amali. Dengan kesatuan ini aqidah Islam dapat berubah menjadi satu sistem hidup yang lengkap dan dengan kesatuan ini juga syakhsiyah manusia menjadi sepadu dengan segala kegiatan dan haluan hidupnya dan dengan kesatuan itu wajarlah seseorang mu’min itu menerima seluruh ganjaran dan pemberianNya. Ganjaran yang terjamin itu pula tidak akan hilang disisi Allah s.w.t dan keamanan yang dikurniakan itu tidak akan diganggu oleh sebarang perasaan ketakutan dan kesukaan yang penuh itu tidak akan disentuh oleh sebarang perasaan dukacita. Itulah dasar umum yang menyamaratakan seluruh lapisan manusia. Tiada pilih kasih dan pilih bulu disisi keadilan Allah s.w.t.”

3. Ayat 113

- Ayat ini, sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas r.a [10]diturunkan oleh Allah s.w.t merujuk kepada rombongan kaum Nasrani dari Najran bertemu dengan Rasullullah s.a.w di Madinah. Ketika itu di Madinah terdapat lagi kaum Yahudi yang mana mereka masih belum dihalau lagi dari Madinah dan masih lagi menjadi rakyat di negara Islam di Madinah. Apabila sampai rombongan dari Najran untuk berjumpa dengan Rasullullah, mereka disambut dahulu dengan kutukan dan celaan daripada Rafi’ bin Hurmilah (seorang pendita Yahudi) dengan ucapannya : “ Kamu adalah kafir wahai orang-orang Najran”. Rafi’ ini tidak beriman dengan nabi Isa a.s dan kitab Injil. Beliau hanya beriman dengan nabi Musa serta kitab Taurat sahaja. Berkata pula rombongan daripada Najran: “ kamilah yang benar dan sebenarnya kaum kamu yang tidak benar” . Selepas itu ada pula satu kumpulan orang musyrik Arab yang berkata seperti perkataan kaum Yahudi dan Nasrani dengan mendakwa pula agama yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w itu tidak benar. Mereka ini dilabel dalam ayat ini sebagai

الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ

iaitu “orang-orang yang tidak mengetahui”. Al-Syahid Sayyid Qutb berkata [11]: “Mereka ini ialah orang Arab yang ummi yang tidak mempunyai sebarang kitab suci. Mereka memandang golongan Yahudi dan golongan Nasara yang berpecah belah dan saling bertuduh tuduhan satu sama lain dan berpegang dengan kepercayaan khurafat dan dongeng itu tidaklah banyak melebihi kepercayaan khurafat dan dongeng bangsa Arab dari segi kepercayaan syirik mereka. Dan mereka juga memandang kecil kepada agama Yahudi dan Nasara dan mereka berkata: “ kedua –dua golongan itu tidak mempunyai apa-apa pegangan. Al-Quran merakamkan semua tuduhan yang dilemparkan oleh semua pihak terhadap satu sama lain setelah mematahkan dakwaan kaum Yahudi dan Nasara yang mengaku memiliki syurga itu dan menyerahkan perselisihan diantara mereka kepada keadilan Allah s.w.t”

- Maka turunlah ayat ini untuk menunjukan perbalahan antara kaum-kaum yang telah dikurniakan kitab masing-masing dan kitab-kitab tersebut sebenarnya membenarkan antara satu sama lain. Mengapa mereka tidak mahu membuka kitab mereka? Hal ini demikian jikalau mereka buka kitab mereka akan terserlah dan terbukti kesalahan mereka.

- Termasuklah juga manusia di zaman sekarang ini yang degil dengan kebenaran, tidak bersedia untuk membuka al-Quran dan al-Hadith. Mereka termasuklah seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang masing-masing mendakwa diri masing-masing itu betul dan tidak bersedia untuk kembali kepada kitab al-Quran. Inilah yang berlaku dewasa ini. Kominis akan berkata fahaman kominis itu betul, orang yang pakar undang-undang akan mengatakan undang-undang ciptaan manusia itu betul dan adil dan mereka sendiri akan berbalah sesama mereka. Kita yang mahu kepada Islam yang syumul akan mengatakan Islam yang syumul itulah yang betul. Kita mesti Islam semua sekali termasuklah sembahyang, puasa, zakat, haji dan semua urusan hidup dalam erti kata mengikut hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran. Ada pula yang mengatakan Islam seperti ini tidak betul. Mereka berpendapat laksanakanlah sahaja Islam sekadar yang mahu dilaksanakan manakala hukum yang dirasakan tidak mahu dilaksanakan, ditinggalkan sahaja. Inilah bentuk pertelingkahan yang berlaku dikalangan Yahudi dan Nasrani dan juga dikalangan orang-orang yang tidak mengerti dan jahil akan agama Allah s.w.t. Kalau semua berkata merekalah yang betul, Abu Jahal dan Abu Lahab di zaman nabi Muhammad s.a.w pun mengakui bahawa mereka adalah diatas jalan yang hak walaupun terbukti mereka hanya menegakkan benang yang basah. Walaupun apa yang mereka perjuangkan itu adalah suatu yang pastinya batil, mereka tetap mengatakan ianya adalah benar. Sekiranya manusia mahu berkata seperti itu maka tunggulah sampainya hari qiyamat sepertimana firmanNya:

فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Maksudnya: “ Maka Allah jua yang akan menghukum dikalangan mereka pada hari qiyamat terhadap apa-apa yang mereka selisihkan”

Hari qiyamat pasti berlaku. Sekiranya manusia itu percaya kepada hari qiyamat, mereka akan gerun serta kembali kepada kitab Allah s.w.t dan hukumNya. Mereka sesekali tidak akan berdegil jika tersalah dan sekaligus kembali ke jalan yang sebenar. Yang pastinya masing-masing akan menerima akibatnya dihari qiyamat. Yang benar akan menerima balasan kebenarannya dan yang salah akan menerima akibat daripada kebatilannya pada hari tersebut. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[12]: “ Dialah Hakim yang Maha Adil dan kepadaNya dikembalikan segala urusan. Tindakan merujuk perkara ini kepada pengadilan Allah s.w.t itulah satu-satunya tindakan yang berfaedah dalam menghadapi kaum yang tidak menggunakan logik dan tidak berpegang kepada dalil selepas dipatahkan dakwaan kosong mereka bahawa mereka sahaja yang akan menjadi penghuni syurga dan mereka sahaja kaum yang mendapat hidayah.”



[1] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 275

[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 403

[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 121

[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 161

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 405-406

[6] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 52

[7] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 276

[8] Al-Nisa’, ayat 124

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 406-407

[10] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 135. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 52

[11] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 408.

[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 408.

Wednesday, February 29, 2012

Larangan mengambil “Bithanah” dari kalangan orang bukan Islam

Nasruddin Hassan, 01 Mac 2012
Dalil larangan syara' terhadap perlantikan orang bukan Islam dalam kepimpinan jamaah Islam atau ahli mesyuarat utama dan tetap

1. Larangan mengambil “Bithanah” dari kalangan orang bukan Islam

Firman Allah;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bithanah (teman kepercayaanmu) dari orang-orang yang bukan dari kalanganmu (karena) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya”.

(Ali Imran: 118)

Apa makna Bithanah dalam ayat di atas? Dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman, bithanah diterjemahkan sebagai “orang dalam” (yang dipercayai).

Menurut Tafsir al-Jalalain; Bithanah ialah; orang-orang terpilih yang didedahkan rahsia kaum muslimin kepada mereka.

Menurut Imam ar-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya al-Mufradaat; Bithanatan” maknanya; “Orang-orang yang (mempunyai kedudukan) khusus bagi kamu di mana ia mengetahui secara dalaman urusan-urusan kamu”.

Berdasarkan huraian Said Hawa, termasuk juga dalam pengertian Bithanah ialah; al-istisyarah (iaitu meminta pandangan atau pendapat)[1], al-Istinshah (iaitu meminta nasihat), menjadi penyimpan rahsia dan teman rapat”.[2]

Adapun pengertian “min dunikum” (orang-orang yang bukan dari kalangan kamu), menurut Imam Ibnu Kathir; “orang-orang dari agama selain kamu (yakni orang-orang bukan Islam)”.

Menurut Tafsir al-Jalalain; “Orang-orang yang bukan dari kamu (kaum muslimin) iaitu Yahudi, Nasara dan munafik”. [3]
Lebih jelas, Syeikh Said Hawa menerangkan dalam al-Asas fi at-Tafsir; Firman Allah “Min Dunikum” termasuk dalam pengertiannya sekelian penganut agama-agama (selain Islam), orang-orang mulhid dan munafik, serta juga orang yang tergolong dalam ucapan Rasulullah “Laisa minna” (bukan dari kalangan kami)…..[4]

Beliau menjelaskan lagi; “Maksud pertama bagi yang demikian itu (yakni “orang-orang yang bukan dari kalangan kamu”) ialah orang-orang kafir ahli Kitab (yakni Yahudi dan Nasara). Jika begitu, maka orang-orang kafir lainnya sudah tentunya lebih utama untuk kita berhati-hati dan (lagipun) tegahan dalam ayat tersebut adalah bersifat umum.

Maka asas tegahan tersebut ialah ketidakharusan mengambil bithanah dari orang-orang yang bukan dari kalangan kita dan termasuk di dalam pengertiannya orang-orang kafir sekeliannya sama ada ahli kitab (yakni Yahudi dan Nasara), orang-orang Musyrikin, mulhid serta orang-orang munafik kerana mereka bukan dari kalangan kita….

dan sebagai ihtiyat (*yakni mengambil pendirian yang lebih berhati-hati) kita memasukkan juga dalam pengertiannya orang-orang orang yang dinafikan oleh Rasulullah bahawa ia tergolong dari kalangan kita (yakni kaum muslimin) seperti sabda baginda;

من غشنا فليس منا
“Sesiapa yang menipu kami maka ia bukan dari kami”

من رغب عن سنتي فليس مني

“Sesiapa yang berpaling dari sunnahku, ia bukan dari kalanganku”

من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
“Sesiapa tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”.

ليس منا من دعا إلى عصبية، وليس منا من قاتل على عصبية، وليس منا من مات على عصبية
“Bukan dari kalangan kami seorang yang mengajak kepada ‘Asabiyyah, bukan dari kalangan kami seorang yang berperang di atas dasar ‘Asabiyyah”.

Beliau (yakni Syeikh Said Hawa) menegaskan; “Orang-orang seumpama mereka hendaklah kita berhati-hati/berjaga-jaga. Maka janganlah kita menjadikan mereka orang-orang yang khusus bagi kita dan janganlah kita mendedahkan rahsia-rahsia kita kepada mereka, mendedahkan kejelikan/keburukan kita (yakni menceritakan masalah-masalah dalaman), menceritakan perancangan-perancangan kita dan bermesyuarat dengan mereka dalam masalah-masalah kita…”5]

2. Larangan memberikan wala' kepada orang bukan Islam

Allah tidak melarang kaum muslimin untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam sebagaimana firmanNya;
Namun wala' tidak diizinkan Allah untuk diberikan melainkan kepada orang mukmin sahaja. Berbuat baik kepada orang bukan Islam dan berlaku adil kepada mereka tidak harus dicampur adukkan dengan wala'. Al-Birr wa al-Adl adalah hak untuk semua manusia tanpa mengira agama dan pegangan hidup. Adapun wala' hanya khusus untuk orang yang seaqidah sahaja.

Apa maksud wala'? Dan apa yang terkandung dalam skop wala'?

Di antara ayat Allah yang menyentuh tentang walak ialah;

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

“Janganlah orang-orang mu'min mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu'min. Barangsiapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali karena (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa) Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (mu)”.

(Ali Imran: 28)

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَتُرِيدُونَ أَنْ تَجْعَلُوا لِلَّهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا مُبِينًا

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu'min. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu)?”.

(an-Nisa’: 144)

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil untuk menjadi wali-wali kamu orang-orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan, (yaitu) di antara orang-orang yang telah diberi Kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman”.

(al-Maidah; 57).

إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ ءَاوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَالَّذِينَ ءَامَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُمْ مِنْ وَلَايَتِهِمْ مِنْ شَيْءٍ حَتَّى يُهَاجِرُوا وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلَّا عَلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajiban sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”.

(al-Anfal: 72)

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma`ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka ta`at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

(at-Taubah: 71)

Ayat-ayat di atas menegas satu perkara kepada kita iaitu; larangan menjadikan orang-orang bukan Islam sama ada ahli Kitab (yakni orang-orang Yahudi dan Nasara/Kristian) atau penganut-penganut agama lainnya sebagai wali-wali kita, atau dalam pengertian yang lain, dilarang kita memberi wala’ kita kepada mereka.

Maksud wali secara amnya ialah rakan atau teman khusus yang dipercayai, diberi kesetiaan, diserahkan urusan dan kepimpinan, diambil pandangan atau perdapatnya, diamanahkan menjaga rahsia, diberi pertolongan (tatkala ia memerlukannya) dan dipohon pertolongan darinya (tatkala diperlukan bantuan darinya). Rakan atau teman khusus ini paling utama difahami dalam konteks perjuangan dan jihad kerana ia memiliki implikasi langsung dengan Islam dan masa depan umat Islam.

Syeikh Muhammad as-Shobuni dalam tafsirnya Sofwatu at-Tafasir menghuraikan wala’ kepada orang kafir dengan makna; “Memberi pertolongan kepada mereka, meminta pertolongan dari mereka, bersama-sama mereka dalam saf/barisan dan bergaul-rapat dengan mereka sebagaimana pergaulan dengan kaum muslimin”.[6]

Menurut Syeikh Musthafa al-Khairi; “Terkandung juga dalam makna memberi al-Wala’ kepada orang kafir ialah meminta pertolongan dari mereka dalam peperangan. Sebahagian ulama’ mengharuskannya jika ada keperluan dan diyakini kejujuran mereka…”.[7]

Dalam tafsir al-Qurthubi, Imam al-Qurthubi menaqalkan dari Ibnu Khuwaiz Mindad yang menyatakan; “Ayat ini (*yakni ayat 57 dari surah al-Maidah) sama seperti firman Allah dalam surah al-Maidah (ayat 51) dan Ali Imran (ayat 118) yang terkandung di dalamnya tegahan at-ta’yiid (yakni menguatkan pasukan) dan al-isti’anah (yakni memohon pertolongan/bantuan) dengan orang-orang Musyrikin dan yang seumpama mereka (yakni orang-orang bukan Islam).

Diriwayatkan dari Jabir r.a. yang menceritakan; “Tatkala Rasulullah s.a.w. hendak keluar ke peperangan Uhud, datang satu kumpulan orang Yahudi dan berkata; ‘Kami ingin keluar berperang bersama kamu’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab; ‘Sesungguhnya kami tidak akan meminta pertolongan dalam urusan kami dari orang-orang Musyrikin”.[8]
Dan lebih tegas lagi, ada sebahagian ulama’ memasukkan juga dalam pengertian memberi wala’ kepada orang kafir; memberi jawatan kepada mereka dalam bidang/skop yang sepatutnya diisi oleh orang Islam seperti mengambil mereka untuk bekerja atau berkhidmat di diwan-diwan (yang merekod dan menjaga maklumat-maklumat dan rahsia Negara).[9]

Hujjah mereka ialah riwayat yang menceritakan celaan Umar terhadap gabenornya di Yaman iaitu Abu Musa al-Asy’ari yang mengambil seorang bukan Islam sebagai pencatat (bagi urusan yang bersangkutan kaum muslimin) dan ia mengarahkan Abu Musa supaya memecatnya.[10] (Sila baca riwayat ini di depan nanti bawah tajuk; Tegahan para sahabat
Sebagai penjelasan akhir bagi wala’ ini, kita memetik ulasan Asy-Syahid Syed Qutb dalam kitab tafsirnya yang terkenal “Fi Dzilalil-Quran”;

Islam tidak menegah orang Islam untuk bermu’amalah (yakni berinteraksi) secara baik dengan orang yang tidak memeranginya kerana agama sekalipun orang itu tidak seagama dengannya. Akan tetapi wala’ adalah suatu yang lain dari bermu’amalah dengan baik itu.[11]

Wala’ adalah irtibath (keterikatan), tanashur (saling bantu-membantu) dan tawaaddu (saling kasih-mengasihi). Wala’ ini tidak wujud dalam hati seorang yang benar-benar beriman kepada Allah melainkan untuk diberikan kepada orang-orang beriman yang mempunyai ikatan dengannya kerana Allah, yang tunduk bersamanya kepada manhaj Allah dalam kehidupan dan yang berhukum kepada kitabNya dengan penuh taat, patuh dan berserah[12]”.

(Fi Dzilalil-Quran, Jil. 1, hlm. 387 (Surah Ali Imran, ayat 28))

3. Larangan Nabi dari melibatkan orang bukan Islam dalam permesyuaratan yang khusus berkait dengan maslahah agama dan kaum muslimin
Sabda Nabi s.a.w.;
لَا تَسْتَضِيئُوا بِنَارِ الْمُشْرِكِينَ

“Janganlah kamu menumpang cahaya orang-orang Musyrik” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai dari Anas r.a.).
Menurut Imam Ibnu al-Athir dalam kitabnya an-Nihayah fi Gharibil-Hadith; maksud hadis ini ialah;

أي لا تستَشِيُروهم ولا تأْخُذوا آراءهم، جعل الضوءَ مَثلا للرأي عند الحيرة

“Yakni; janganlah kamu bermesyuarat dengan mereka dan janganlah mengambil pandangan-pandangan mereka. Rasulullah menjadikan cahaya sebagai misalan bagi pandangan/pendapat …”.

Menurut Imam al-Hasan al-Basri, maksud hadis tersebut ialah;[13]Janganlah kamu bermesyuarat dengan orang-orang musyrikin dalam urusan-urusan kamu”. Dalil bagi tafsiran ini menurut beliau ialah firman Allah;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bithanah (teman kepercayaanmu) dari orang-orang yang bukan dari kalanganmu (karena) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya”. (Ali Imran: 118)

4. Keengganan Rasulullah s.a.w. untuk menerima penyertaan orang kafir dalam saf jihad

Terdapat riwayat-riwayat hadis menceritakan Rasulullah s.a.w. menolak orang kafir dari menyertai jihad/peperangan bersama pasukan baginda meskipun ketika dalam keadaan gawat (seperti dalam peperangan Badar, Uhud dan Ahzab di mana bilangan tentera Islam amat sedikit). Antara riwayat yang dapat kita kemukakan di sini;
1. Imam Muslim meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; “Semasa Rasulullah sedang berjalan bersama tenteta Islam menuju ke Badar, ketika sampai di Harratil-Wabarah seorang lelaki datang menemui baginda. Lelaki itu dikenali sebagai seorang yang kuat dan berani menyebabkan para sahabat berasa gembira apabila melihat kedatangannya.

Lelaki itu berkata kepada Rasulullah; “Aku datang untuk menyertaimu dan memperolehi habuan rampasan perang bersamamu”. Lalu baginda bertanya kepadanya; “Adakah kamu beriman dengan Allah dan RasulNya”. Ia menjawab; “Tidak”.

Rasulullah lalu berkata kepadanya; “Pulanglah. Sesungguhnya aku sekali-kali tidak akan meminta bantuan dari seorang musyrik (فَارْجِعْ، فَلَنْ أَسْتَعِينَ بِمُشْرِكٍ )”. Saidatina Aisyah r.a. menceritakan lagi; ‘Kemudian Rasulullah meneruskan perjalanannya, hinggalah tatkala kami singgah berhampiran sebuah pokok, lelaki itu datang lagi dan meminta seperti tadi.

Rasulullah juga menjawab sebagaimana tadi; “Pulanglah! Aku sekali-kali tidak akan meminta bantuan dari seorang musyrik”. Rasulullah meneruskan lagi perjalanannnya hingga sampai di al-Baida’. Di situ lelaki tersebut datang lagi dan mengulangi permohonannnya itu. Rasulullah bertanya sekali lagi kepadanya; “Adakah kamu beriman kepada Allah dan RasulNya”. Kali ini ia menjawab; “Ya (saya telah beriman)”. Lalu Rasulullah berkata kepadanya: “Ayuh! Bergeraklah (bersama kami)”.

(Lihat; Soheh Muslim, Kitab al-Jihad wa as-Siyar, bab Karahati al-Isti’anah fi al-Ghazwi bi kafirin…)
2. Diriwayatkan dari Jabir r.a. yang menceritakan; “Tatkala Rasulullah s.a.w. hendak keluar ke peperangan Uhud, datang satu kumpulan orang Yahudi dan berkata; ‘Kami ingin keluar berperang bersama kamu’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab; ‘Sesungguhnya kami tidak akan meminta pertolongan dalam urusan kami dari orang-orang Musyrikin”.

(Lihat Riwayat ini dalam; Tafsir al-Qurthub, surah al-Maidah, ayat 57).

3. Ibnu Abbas r.a. menceritakan; seorang sahabat iaitu ‘Ubadah bin as-Shomit r.a. mempunyai rakan-rakan dari kalangan orang Yahudi. Semasa peperangan Ahzab, beliau (yakni Ubadah) berkata kepada Nabi s.a.w.; “Wahai Nabi Allah, saya mempunyai rakan-rakan dari orang Yahudi seramai 500 orang dan saya merasakan perlu untuk mengajak mereka keluar bersama saya untuk memerangi musuh. Lalu Allah menurunkan ayat;
لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

“Janganlah orang-orang mu'min mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu'min”.

(Ali Imran: 28)

(Rujuk riwayat ini dalam Tafsir al-Qurthubi dan juga Rawai’ul Bayan, Syeikh Muhammad Ali as-Shobuni, jil. 1, hlm. 440).

Perhatikan; jika untuk menjadi tentera biasa telahpun ditolak atau dilarang oleh Nabi, maka bagaimana untuk mengambil mereka (yakni orang-orang bukan Islam) bagi mengisi barisan kepimpinan? Sudah tentu ianya lebih dilarang oleh baginda.

4. Tegahan para sahabat terhadap perlantikan orang bukan Islam untuk jawatan yang berkait urusan kaum muslimin

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, terdapat riwayat dari Ibnu Abi Dahqanah yang menceritakan; pada zaman Umar r.a., terdapat seorang budak lelaki dari al-Hirah yang memiliki kepandaian menulis, namun ia tidak Islam. Lalu dicadangkan kepada Umar supaya mengambilnya sebagai penulis Negara. Namun umar menjawab; “Jika aku mengambilnya bermakna aku mengambil orang kepercayaan bukan dari kalangan orang-orang beriman”.[14]

Ibnu Kathir mengulas; Athar dari Saidina Umar ini berserta ayat di atas menjadi dalil bahawa tidak harus mengambil ahli zimmah (yakni orang bukan Islam yang menjadi warganegara daulah Islam) untuk bekerja atau bertugas (sebagai pencatat/penulis atau sebagainya) dalam hal-hal dalaman kaum muslimin kerana dibimbangi mereka akan mendedahnya kepada musuh-musuh Islam. Kerana itu Allah berfirman;
لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ
“…mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu”.[15]

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari ‘Iyadh yang menceritakan bahawa Abu Musa al-Asy’ari melantik seorang Nasrani sebagai pencatatnya. Pada suatu hari, atas suatu urusan ia membawa pencatatnya itu berjumpa Umar. Melihat kebolehan pencatat tersebut, Umar berasa takjub dengannya, lalu Umar memintanya untuk membaca suatu surat yang datang dari Syam yang berada di dalam masjid. Namun Abu Musa menjawab; ‘Ia tidak boleh memasuki masjid (wahai Umar)’. Umar bertanya; ‘Apakah ia berjunub?’. Jawab Abu Musa; ‘Bukan, tetapi kerana ia seorang Nasrani’. Umar lalu memarahi Abu Musa dan menampar pahanya. Kemudian Umar membaca firman Allah;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi wali-wali kamu”. (al-Maidah: 51)

(Lihat riwayat ini dalam Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Maidah, ayat 51).

AMALAN RASULULLAH S.A.W. DALAM PENGLIBATAN KERJASAMA DAN PAKATAN DENGAN ORANG BUKAN ISLAM

Menolak perlantikan orang bukan Islam untuk jawatan dalam kepimpinan tertinggi Jamaah tidak bermakna kita menentang segala bentuk pakatan atau kerjasama dengan orang bukan Islam. Jika kita membaca Sirah Nabi –khusus berkenaan interaksi baginda dengan orang bukan Islam- kita akan perhatikan; dalam aspek-aspek tertentu baginda amat bertegas menolak penglibatan orang bukan Islam (iaitu aspek yang berkait dengan bithanah, walak dan sebagainya tadi), namun dalam aspek-aspek lain pula baginda menerima penglibatan mereka, antara contoh yang boleh kita sebutkan ialah;

1. Hilful Fudhul
Nabi pernah bersabda;

لقد شهدتُ في دار عبد الله بن جُدعان حلفاً لو دُعيتُ له في الإسلام لأجبت، تحالفوا أن يردوا الفضول على أهلها، وألاّ يغزوَ ظالمٌ مظلوماً

“Aku pernah menyaksikan suatu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an yang seandainya sekarang ini (yakni di masa Islam) jika aku diajak untuk ikut serta dalam perjanjian tersebut pasti aku akan ikut. Mereka berjanji untuk mengembalikan semua hak orang yang teraniaya kepada pemiliknya agar orang yang zalim tidak dapat berbuat sewenang-wenangnya kepada orang lemah”

(Riwayat Imam al-Humaidi dalam

Dalam riwayat yang dicatatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra, lafaznya;

لَقَدْ شَهِدْتُ فِى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جُدْعَانَ حِلْفًا مَا أُحِبُّ أَنَّ لِى بِهِ حُمْرَ النَّعَمِ وَلَوِ أُدْعَى بِهِ فِى الإِسْلاَمِ لأَجَبْتُ

“Sesungguhnya aku pernah menyaksikan satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an. Ia lebih aku suka dari unta merah. Jika aku diajak untuk turut sama menyertai persepakatan serupa, nescaya aku akan menyertainya”

(as-Sunan al-Kubra, Imam al-Baihaqi, hadis no. 13461. Riwayat ini dikemukakan oleh Imam al-Mawardi dalam kitabnya; al-Ahkam al-Sultaniyah).

Perjanjian di atas dikenali dengan Halful-Fudhul iaitu satu persepakatan yang dibuat oleh beberapa pemimpin dari pelbagai Kabilah Quraiysh yang berpengaruh di Mekah untuk menuntut hak dan keadilan bagi orang-orang yang ditindas di Mekah.

Perjanjian tersebut berlaku 20 tahun sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul dan Rasul, iaitu pada zaman Jahiliyah. Perhatikan, bagaimana Rasulullah berhasrat menyertai persepakatan yang baginda sendiri tahu bahawa mereka yang terlibat semuanya bukan Islam. Namun oleh kerana isi persepakatan itu sama dengan apa yang dituntut oleh Islam iaitulah keadilan untuk manusia, maka baginda menyokongnya.

2. Piagam Madinah; Kontrak Sosial

Di antara yang pernah dilakukan oleh Nabi ialah mengadakan Mitsaq al-Madinah (Piagam/Perjanjian Madinah) sebaik baginda tiba di Madinah selepas hijrahnya. Perjanjian/Piagam ini tidak hanya membabitkan orang Islam (Ansar dan Muhajirin), tetapi juga membabitkan orang-orang bukan Islam yang tinggal di Madinah (khususnya golongan Yahudi). Di antara nas yang terkandung dalam piagam tersebut;

“Bahawa orang Yahudi yang menyertai kita mereka mendapat pertolongan dan bimbingan tanpa dizalimi dan tidak boleh ada pakatan yang tidak baik terhadap mereka”

(nas ke 16. Rujukan; Fiqh al-Harakah, Tn Guru Hj Abdul Hadi, jilid 2, halaman 23).

“Bahawa kaum-kaum Yahudi (dari bani Auf, Bani an-Najjar dan sebagainya) adalah satu umat (warganegara) bersama-sama kaum mukminin. Bagi mereka kebebasan menganut agama mereka dan bagi kaum muslimin agama mereka sendiri. Hak ini meliputi orang-orang yang bersekutu dengan mereka dan untuk diri mereka sendiri, kecuali terhadap orang yang berbuat zalim dan melakukan dosa, maka akibat perbuatannya tidak menimpa melainkan dirinya sendiri dan keluarganya”

(nas ke 25, kitab yang sama, halaman 23).

3. Nabi menerima perlindungan dari orang bukan Islam

Kisah yang masyhur ialah; Nabi menerima perlindungan bapa saudaranya Abu Thalib yang tidak pernah masuk Islam, memerintahkan golongan mustadh’afin berhijrah ke Habsyah untuk berlindung di bawah pemerintah Najasyi (seorang raja Kristian yang belum memeluk Islam ketika itu, tetapi terkenal dengan sikap adilnya), baginda menerima perlindungan Mat’am bin ‘Adiy ketika pulang dari Taif dan baginda mengizinkan Abu Bakar untuk menerima perlindungan yang ditawarkan oleh Ibnu Daghnah (seorang pemimpin Mekah yang bersimpati dengan Abu Bakar, tetapi tidak memeluk Islam).

(Rujuk; Fiqh a-Harakah, Tn Guru Hj Hadi, jilid 1, halaman 142-145).

4. Mengadakan perjanjian Hudaibiyah dengan Musyrikin Quraiysh
Berlaku pada tahun ke 6 hijrah (bulan Dzul Qaedah); perjanjian perdamaian di antara Rasulullah dan Quraiysh Mekah. Antara isi utama perjanjian ialah; gencatan senjata selama 10 tahun

(Rujuk; Fiqh a-Harakah, Tn Guru Hj Hadi, jilid 2, halaman 240).

5. Nabi menjalankan mu’amalah dengan orang bukan Islam
Telah sabit dengan nas yang soheh bahawa Nabi pernah melakukan hal berikut;

a) Menerima hadiah dari orang bukan Islam
b) Meminjam wang dari orang bukan Islam dengan menggadaikan baju besinya.
c) Menziarahi orang bukan Islam yang sakit.
d) Bangun menghormati jenazah orang bukan Islam yang dibawa lalu di hadapannya.

6. Saranan al-Quran dan as-Sunnah supaya kaum muslimin berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam dan memelihara hak mereka

"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam"

(al-Anbiya', ayat 107).

"Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlalu adil"

(Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

“Dan jika mereka berdua (yakni ibu dan bapa) mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…”

(Surah Luqman, ayat 15)

Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’) bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab; “Ikatlah hubungan dengannya”.

(HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

CADANGAN
Melihat kepada amalan Rasulullah di atas, saya mencadangkan;

1. Aspek-aspek dalam jamaah yang ada kaitan dengan persoalan bithanah dan wala' (antaranya soal kepimpinan tertinggi, ahli permesyuaratan atau majlis Syura, keanggotaan jamaah, dalam menentukan halatuju jamaah dan sebagainya) tidak perlu dilibatkan orang bukan Islam. Ia hendaklah khusus kepada orang beriman sahaja sebagai mengambil contoh dan tauladan dari amalan Nabi tadi.

2. Aspek-aspek yang membabitkan hak rakyat, keadilan, kesamarataan, membenteras penyelewengan, mencari alternative pemerintahan terbaik dan sebagainya; inilah ruang yang terbuka luas untuk kita mengadakan kerjasama dan pakatan dengan sesiapa sahaja yang memperjuangkan hak dan keadilan termasuk dengan orang bukan Islam selagi tidak melanggar batasan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah).

3. Kesimpulannya; tidak usahlah kita membuka kepimpinan Jamaah kepada orang bukan Islam kerana ia bercanggah dengan ayat-ayat walak dan bithanah tadi, sebaliknya kita mengeratkan kerjasama dan pakatan dengan mereka dalam mewujudkan amalan politik dan pemerintahan yang bersih dan adil untuk semua rakyat Malaysia.

PAS mesti dikekalkan sebagai Parti yang 100% berjiwa dan berwajah Islam (dalaman dan luarannya) dan pada masa yang sama ia membuka ruang ta’awun (kerjasama) dan tahaluf (pakatan) yang seluas-luasnya dengan siapa sahaja yang memperjuangkan keadilan selagi tidak melanggari Syariat.