Sunday, December 18, 2011

Ber'SMS' ketika khutbah Jumaat




Kebiasaanya di setengah2 masjid sebelum khutbah jumaat, selalu dipeingatkan supaya jangan berkata2 ketika khatib sedang berkhutbah berdasarkan hadis Rasulullah SAW kalau tak silap saya yang di riwayatkan oleh abu hurairah ra, kerana sia2 lah pahala jumaatnya.


Bagaimana pula dengan orang yang ber"SMS" ketika khatib sedang berkhutbah? Mintak penjelasan dari sheikh2 ahkam ttg perkara ini.

Wassalam

Wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Terima kasih akhi Desaputra. Insyaallah, kami akan cuba menjawab sekadar kemampuan yang ada.

Benar kata akhi Desaputra, memang kita selalu diingatkan (bukan semasa khutbah Jumaat) melalui sebuah Hadith :

عن أبي هريرة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " إذا قلت لصاحبك والإمام يخطب يوم الجمعة أنصت فقد لغوت " . رواه البخاري ( 892 ) ومسلم ( 851 ) .

"yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi saw bersabda : Jika anda berkata kata kepada teman anda [dengan perkataan] "dengar!" sementara Imam sedang membaca Khutbah, anda telah laghw" - Riwayat al-Bukhari #892, Muslim #851.

Hadith ini mengingatkan kita bahawa melalaikan diri semasa khutbah bahkan menegur orang yang lalai (berkata-kata) didalam khutbah pun tidak dibenarkan semasa Imam sedang membaca khutbah. Begitulah adab yang diajar oleh Nabi saw kepada umatnya semasa menghadirkan diri mendengar khutbah Jumaat. Mendengar dengan khusyuk khutbah Jumaat ini adalah dituntut! Para jemaah diseru agar mendengar dengan baik ucapan/khutbah Imam dan mengambil tauladan didalamnya. Cuba kita lihat hadith yang selanjutnya yang lebih keras dari ucapan menegur orang daripada bercakap.

عن أبي الدرداء قال : جلس النبي صلى الله عليه وسلم على المنبر وخطب الناس وتلا آية وإلى جنبي أُبيّ بن كعب فقلت له : يا أُبيّ متى أنزلت هذه الآية ؟ فأبى أن يكلمني ثم سألته فأبى أن يكلمني حتى نزل رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال لي أبيٌّ : مالك من جمعتك إلا ما لغوت ، فلما انصرف رسول الله صلى الله عليه وسلم جئته فأخبرته فقال " صدق أُبيّ إذا سمعت إمامك يتكلم فأنصت حتى يفرغ " . رواه ابن ماجه ( 1111 ) ، وأحمد ( 20780 ) .

"Dari Abu Darda' berkata :"Nabi saw duduk diatas mimbar dan berkhutbah kepada manusia dan membacakan satu ayat. Ubai ibnu Ka'ab yang duduk disebelahku dan aku bertanya :'Ya Ubai, Bila diturunkan ayat tersebut? Beliau ENGGAN menjawab soalanku. Aku bertanyakan mengenai ayat tersebut lagi sekali dan dia tidak melayanku, dan aku bertanya lagi sekali kepadanya dan dia masih enggan bercakap denganku sehinggalah Nabi saw turun dari mimbar. Kemudian Ubai berkata kepadaku ,'Apa yang anda dapat pada hari Jumaat ialah melainkan LAGHW (cakap yang sia-sia)'. Setelah perginya Nabi saw, Aku pergi kepada beliau dan memberitahu apa yang berlaku, dan sabda beliau :'Ubai telah berkata Benar, Jika kamu mendengar Imam berkhutbah, maka dengarlah akan ia sehingga ia selesai" (Riwayat Ibn Majah #1111, Ahmad #20780. Dikelaskan sebagai sahih oleh Al-Busayri dan Sheikh Al-Albani didalam Tamaam Al-Minnah, ms 338)."

Bertanyakan mengenai AYAT pada hari Jumaat pun MEMBATALKAN PAHALA Jumaat, bagaimana pula mereka-mereka yang bercakap-cakap pasal hal dunia, perniagaan, berSMS dan sebagainya semasa Imam sedang berkhutbah?? Sudah tentu kita tahu jawapannya. Cuba kita renungkan baik-baik.

Malahan terdapat situasi dimana sekalipun kita tidak memahami apa yang disampai oleh Khatib (contohnya khatib membaca didalam bahasa asing eg: Arab, Urdu dsb), kita disuruh agar memberikan sahaja tumpuan kepada khatib yang membaca. Dibawah ini kami petik soalan yang dijawab oleh Sheikh Abdul Al-Karim Al-Khudayr[2].

------------------------------------
Soalan:

Saya buat masa ini menetap di Afrika. Maka saya tidak tahu bertutur didalam bahasa mereka disana. Semasa khutbah Jumaat, saya tidak mendapat apa-apa daripadanya. Apakah yang harus saya lakukan ketika khutbah? Bolehkan saya membaca Al-Quran dan berzikir kepada Tuhan atau pun adakah perlu saya duduk mendengar kepada sesuatu yang tidak saya fahami?

Jawab Sheikh Abdul Al-Karim Al-Khudayr :

الحمد لله إن استمعت ولو لم تفهم فأنت على خير إن شاء الله ، ورخص بعض أهل العلم للذي لا يفهم لغة الخطبة أن يتشاغل بالذكر أو القراءة شريطة أن لا يشوّش على غيره ممّن يستمع الخطبة ، والذي أميل إليه أنه عليه الاستماع ولو لم يفهم .

Alhamdulillah. Jika anda mendengarnya, walaupun anda tidak memahami apa-apapun, anda telah melakukan sesuatu yang baik, Insyaallah. Ada juga beberapa ulama' yang memberi keizinan kepada sesiapa yang tidak memahami bahasa khutbah tersebut dibenarkan mengisi masa mereka dengan zikir dan membaca Al-Quran, dengan syarat mereka tidak menganggu orang yang lain yang sedang mendengar Khutbah. Pandangan yang saya pilih ialah anda haruslah mendengar walaupun anda tidak memahaminya.

--------------------------------------------

Bukan setakat bercakap sahaja yang dilarang, membaca al-Quran pun tidak digalakkan. Malah menurut ulama', menjawab SALAM dan mengucap Tashmit keatas orang yang bersin pun tidak dibenarkan semasa Imam sedang berkhutbah. Menurut Fatwa #4769 yang dikeluarkan oleh Al-Lajnah Al-Buhuth Daa'imah[3] (8/242) :

لايجوز تشميت العاطس، ولا رد السلام، والإمام يخطب على الصحيح من أقوال العلماء؛ لأن كلامنهما كلام، وهو ممنوع والإمام يخطب؛

"Tidak dibenarkan menjawab Bersin dan memulangkan Salam, semasa Imam sedang berkhutbah, dan ia sahih dikalangan pendapat Ulama! Sesungguhnya kedua-duanya adalah percakapan, dan ia dilarang semasa Imam sedang berkhutbah"

Adalah sunnah melihat kearah Imam semasa beliau membaca Khutbah. Ini terdapat didalam Hadith berikut :

وعن يحيى بن سعيد الأنصاري قال : ( السنة إذا قعد الإمام على المنبر يوم الجمعة ، يقبل عليه القوم بوجوههم جميعاً )

Telah diriwayatkan bahawa Yahya ibnu Sa'ed Al-An asari berkata : "Adalah sunnah apabila Imam duduk diatas Mimbar pada hari Jumaat untuk semua hadirin memandang kearahnya"

وعن نافع : ( أن ابن عمر كان يفرغ من سبحته بوم الجمعة قبل خروج الإمام ، فإذا خرج لم يقعد الإمام حتى يستقبله )

Diriwayatkan oleh Naafi' bahawa Ibnu Umar menhabiskan tasbihnya sebelum Imam keluar, dan apabila Imam keluar, beliau akan memandang kearah Imam sebelum sempat Imam duduk.

(Al-Abani telah mengumpulkan Hadith-Hadith ini didalam al-Silsilat al-Sahiiah, # 2080)

Menurut Sheikh Abdul Aziz bin Baaz[4] :

فينبغي للمؤمن في الجمعة أن ينصت ويخشع ويحذر العبث بالحصى أو غيره ، وإذا سلم عليه أحد أشار إليه ولم يتكلم ، وإن وضع يده في يده إذا مدها من غير كلام فلا بأس كما تقدم ، ويعلمه بعد انتهاء الخطبة أن هذا لا ينبغي له ، وإنما المشروع له إذا دخل والإمام يخطب أن يصلي ركعتين تحية المسجد ولا يسلم على أحد حتى تنتهي الخطبة ، وإذا عطس فعليه أن يحمد الله في نفسه ولا يرفع صوته .

"Semasa solat Jumaat, orang yang Mu'min hendaklah mendengar Khutbah Jumaat dengan Khusyuk dan Senyap sunyi, dan ia ditegah dari bermain batu di atas tanah atau selainnya. Jika seseorang memberi salam kepadanya, hendaklah ia memberi isyarat dengan menggunakan isyarat tanpa bercakap. Jika ia meletakkan tangan untuk bersalam, tanpa bercakap, ia dibenarkan. Dia harus memberitahunya selepas Khutbah bahawa dia tidak boleh melakukan perkara tersebut, sesungguhnya dibolehkan kepada seseorang yang masuk masjid semasa Imam sedang berkhutbah untuk menunaikan 2 rakaat Tahiyat Al-Masjid, dan tidak memberi salam kepada sesiapa sehingga khutbah selesai., dan jika dia bersin, maka pujilah Allah (Alhamdulillah) untuk dirinya sendiri dan tidak menaikkan suaranya".

Jelas fatwa dari Sheikh Abdul Aziz bin Baaz yang sekali gus menjawab soalan yang anda nyatakan itu, maka "Adalah dikatakan telah lalai Jumaat seseorang itu jika semasa Imam sedang berkhutbah, ia sibuk menghantar mesej SMS melalui handphone". Bayangkanlah, bertanyakan mengenai ayat, menjawab bersin, menjawab salam yang selama ini sunnat, tidak digalakkan semasa khutbah, inikan pula menghantar SMS!. Ibnu Baaz mengatakan, sehingga mereka yang bemain-main dengan batu ditangan (handphone ke, GameBoy ke, PDA ke)semasa Imam berkhutbah pun ditegah, maka sudah tentu selain dari mendengar Khutbah dengan khusyuk, perkara-perkara lain adalah dilarang (secara umumnya).

wallahu' alam

-wassalam-
-------------------------

Rujukan :

1]. Sheikh Abdul Al-Karim Al-Khudayr Tidak faham Khutbah url : http://63.175.194.25/index.php?cs=prn&ln=ara&QR=21624&dgn=3&dgn=2

2] Sheikh Nasyiruddin Al-Albani Tammaam Al-Minnah. Riyad : Dar Al-Rayan, 1999. ms 338

3] Fataawa Al-lajnah Daa'imah - 8. cetakan ke 3. Riyad : Dar Al-Mu'ed, 2000.

4] Majmu’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah li Samaahat al-Shaykh al-‘Allaamah Abdul Aziz bin Baaz - 12. Riyad : Dar Al-Watan, 1998. ms 410

Wednesday, December 14, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 92-95)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 92:

- Di dalam ayat ini, Allah s.w.t menyuruh nabi Muhammad s.a.w menempelak mereka yang mana mereka telah didatangkan dengan nabi Musa a.s yang membawa penerangan (بِالْبَيِّنَاتِ). Yang dimaksudkan dengan al-Bayyinat ini adalah tanda-tanda dan bukti-bukti , sepertimana firmanNya[1] :

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى تِسْعَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Musa Sembilan mu’jizat yang jelas dan nyata (bagi membuktikan kebenarannya)”

Sembilan mukjizat itu adalah tongkat, bertahun kemarau, tangan yang putih, darah, taufan, belalang, kutu, katak dan terbelah laut. Ada pendapat yang mengatakan ianya adalah Taurat dan keterangan yang terdapat didalamnya[2].

- Tetapi mengapakah kamu menyembah anak lembu pula sedangkan selama ini kamu pernah memberitahu bahawa kamu hanya mahu mengikut apa yang diperintah oleh nabi Musa a.s sahaja padahal kamu adalah sememangnya orang yang zalim.

- Perangai sebegini akan berjangkit kepada orang Islam bila orang Islam itu sendiri berada dalam keadaan jahil sekaligus tidak beriman kepada apa yang diberitahu kepada mereka. Sudahlah mereka tidak mengetahui selok-belok ajaran Allah s.w.t, mereka menentang pula orang yang memberitahu mereka tentang hukum Allah s.w.t. Inilah perangai orang Yahudi dimana perangai ini tidak sepatutnya ada pada orang Islam melainkan orang Islam itu sendiri mahu jadi seperti orang Yahudi.

- Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[3]: “ Apakah perbuatan kamu menyembah patung anak lembu itu dari ilham keimanan setelah Musa membawa kamu bukti-bukti mukjizat yang jelas dan semasa beliau masih hidup lagi? Apakah perbuatan ini sesuai dengan dakwaan kamu bahawa kamu beriman kepada pengajaran-pengajaran yang diturunkan kepada kamu?”

- Samalah keadaannya jikalau kita umat Islam sekiranya engkar dengan sesuatu hukum yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t, adakah itu adalah ilham daripada keimanan kita setelah jelasnya bukti dan kita sendiri mengakui bahawa al-Quran itu tiada keraguan padanya? Dan apakah perbuatan yang sebegitu sesuai dengan dakwaan berdabik dada mengatakan bahawa kita beriman dengan pengajaran yang diturunkan didalam al-Quran?

- Bagi kaum Yahudi, ini bukannya kali yang pertama mereka berbuat sedemikian. Disana ada perjanjian yang dibuat dibawah ancaman humbanan batu keatas mereka dan disana juga ada tindakan mereka yang memberontak dan melanggar perintah Allah s.w.t. Kesimpulan yang mudah dapat dipelajari dalam ayat ini ialah sikap yang selalu ingin memberontak dan melanggar perintah Allah s.w.t dalam apa segi sekalipun adalah terbukti daripada sikap kaum Yahudi dan semoga kita jauh daripada sikap yang sebegini.

2. Ayat 93:

- Ayat ini menjelaskan kembali ketika mana nabi Musa a.s mengambil Taurat, mereka telah bersetia dengan Allah s.w.t hinggakan diancam hendak menghempapkan bukit keatas mereka. Bilamana mereka disuruh berpegang teguh dengan pengajaran Taurat itu, dimulut sahaja mereka mengaku taat tetapi pada amalan tetap maksiat, hinggakan mereka mengatakan “ kami dengar dan kami derhaka” . Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[4] : “ Mereka berkata : “Kami dengar” dan mereka tidak berkata “kami derhaka”. Apakah tujuan penceritaan kata-kata mereka disini? Itulah satu gambaran yang sungguh hidup dan melukiskan satu realiti yang senyap hingga menjadi satu realiti yang bertutur. Mereka berkata dengan mulut mereka : “kami dengar” tetapi mereka berkata dengan perbuatan mereka : Kami menderhaka. Realiti yang amali itulah yang memberi makna kepada kata-kata bibir mulut mereka dan makna amali itu lebih kuat dari kata-kata yang dituturkan. Gambaran yang menggambarkan realiti ini dengan gambaran yang hidup itu adalah bertujuan menunjukkan salah satu dasar umum Islam, iaitu dasar tiada nilai bagi perkataan tanpa amalan kerana amalan itulah nilai yang diambil kira atau dasar persamaan diantara kalimah yang ditutur dengan harakah yang ditunjuk dialam kenyataan dan itulah asas hukuman dan penilaian.”

- Hal ini demikian masih meresap lagi didalam hati mereka kasihkan anak lembu untuk disembah. Penyembahan itu pula telah bersebati di dalam hati mereka menyerupai seseorang yang minum air dan bersebatilah tubuhnya dengan air yang diminum. Jelas daripada ayat ini hati mereka telah disebatikan dengan patung anak lembu tersebut. iaitu gambaran patung anak lembu dimasukkan kedalam hati mereka dan disebatikan dengan mereka. Begitulah perbandingan betapa percayanya mereka dengan apa yang diberitahu oleh Musa al-Thamiri. Begitu jugalah umat Islam dewasa ini, sekiranya sudah sebati dengan kemungkaran serta maksiat sehingga diakui oleh mereka kebenaran ancaman dosa dan neraka tetapi masih lagi meresap didalam hati mereka kasihkan kemungkaran dan maksiat maka samalah seperti perangai bani Israel yang amat susah untuk kembali ke jalan yang benar malah bertambah pula keengkaran mereka. Ditambah pula program-program maksiat yang telah saban tahun menghiasi kalendar umat Islam menambahkan lagi kesebatian masyarakat terhadap kemungkaran dan kemaksiatan.

- Malah mereka mengatakan (dalam keadaan masih menyembah lembu) mereka tidak kafir lagi kerana masih lagi menjadi pengikut nabi Musa a.s dan percaya kepada Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t berfirman:

قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَانُكُمْ إِنْ كُنتُمْ مُؤْمِنِينَ

Bermaksud: “ Katakanlah wahai Muhammad, alangkah jahatnya apa yang iman kamu perintahkan, jika sekiranya kamu orang-orang yang beriman.”

Maknanya, kalau sebenarnya kamu beriman, sesungguhnya iman kamu itu adalah jahat. Maksudnya, alangkah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kerana penyembahan lembu tidak terdapat didalam Taurat[5] dan alangkah jahatnya cara beriman seperti ini[6].

- Golongan Yahudi ini mendengar apa yang diberitahu oleh nabi Musa a.s tentang Taurat dan isi kandungannya tetapi tingkah laku mereka menjelaskan penderhakaan mereka terhadap Allah s.w.t. Thabit dengan firmanNya[7]:

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَاراً بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “ Bandingan orang-orang yang ditanggungkan kitab Taurat ke atas mereka, kemudian mereka pula tidak bertanggung-jawab keatas kitab itu samalah seperti keldai yang membawa barang diatas belakangnya”

Inilah perbandingan terhadap perangai kaum Yahudi. Begitu jugalah terkena juga terhadap orang Islam, jikalau asyik memikul al-Quran, kitab tafsir dan kitab-kitab pengajian Islam yang lain tetapi dalam masa yang sama tidak mahu pakai hukum Islam yang sudah pasti terpahat kukuh dalam al-Quran, maka serupa jugalah dengan perangai kaum Yahudi yang Allah s.w.t sifatkan seperti keldai yang tahu membawa barang diatas belakangnya tetapi tidak mengetahui serta tidak beramal dengan barang yang dipikul. Inilah tujuannya diceritakan kisah ini agar umat Islam beramal dengan kitab Allah dengan sepenuhnya bukan hanya mengeksploitasinya dimulut sahaja tetapi dari segi amalannya, jauh panggang dari api.

3. Ayat 94 & 95:

- Kedua ayat ini sekali lagi menempelak mereka dengan mengatakan sekiranya benar kaum Yahudi ini mendapat syurga dikampung akhirat pada sisi Allah s.w.t dengan tiada beserta orang lain, maka cintailah mati sekiranya mereka dari golongan orang yang benar. Hal ini demikian syurga itu tiada akan diperolehi sekiranya masih hidup. Tetapi memang sudah pasti sebenarnya mereka tidak mencintai mati. Orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t memang bercita-cita untuk mati disebabkan mereka percaya kepada balasan Syurga yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Barang siapa yang berkasih untuk bertemu dengan Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan kasih untuk bertemu dengannya.

- Asbab Nuzul ayat ke 94 dan 95 ini sepertimana yang telah disebut oleh Ibn Jarir al-Tabari daripada Abi al-‘Aliyah yang menceritakan bahawa berkata kaum Yahudi[8]:“ Tidak akan masuk syurga kecuali mereka yang Yahudi sahaja.” Maka turunlah ayat ini untuk menempelak dakwaan mereka itu. Ayat ini juga menjadi satu jawapan kepada rentetan dakwaan mereka yang telah Allah s.w.t rakamkan di dalam al-Qur’an antaranya[9], sepertimana firmanNya[10]:

وَقَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ إِلاَّ أَيَّاماً مَعْدُودَةً

Maksudnya: “ Dan mereka berkata: Kami tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari sahaja yang boleh dibilang”

Dan juga firmanNya[11] :

وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلاَّ مَنْ كَانَ هُوداً أَوْ نَصَارَى

Bermaksud: “ Dan mereka berkata : Tidak akan masuk syurga kecuali mereka yang Yahudi dan Nasara sahaja”

Begitu juga dengan firmanNya[12]:

وَقَالَتْ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ

Bermaksud: “ Berkatalah kaum Yahudi dan Nasara kami adalah anak-anak buah Allah dan kekasihNya.” Maka Allah telah jawap dengan ayat ke 94 ini dalam menyangkal dakwaan palsu mereka itu.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[13]: “ Mereka telah membuat dakwaan-dakwaan yang panjang lebar, iaitu mereka adalah umat pilihan Allah s.w.t, merekalah satu-satunya umat yang mendapat hidayah dan satu-satunya umat yang akan mendapat kejayaan dinegeri akhirat sedangkan umat-umat lain dari mereka tidak akan mendapat apa-apa habuan disisi Allah s.w.t diakhirat nanti. Dakwaan itu juga beerti bahawa orang-orang yang beriman kepada nabi Muhammad s.a.w tidak akan mendapat apa-apa habuan di akhirat. Matlamat pertama mereka ialah untuk menggoncangkan kepercayaan kaum muslimin terhadap agama mereka . Oleh itulah sebabnya Allah s.w.t memerintah Rasullullah s.a.w supaya mengajak kaum Yahudi bermubahalah, iaitu kedua-dua pihak sama berdiri dan berdoa agar Allah s.w.t membinasakan mana-mana pihak yang berdusta. Cabaran ini diiringi pula dengan suatu kenyataan yang menerangkan bahawa mereka tidak akan menerima mubahalah itu dan tidak akan menuntut kematian. Kerana mereka tahu bahawa mereka adalah pembohong. Mereka takut Allah s.w.t akan membinasakan mereka kerana mereka tahu bahawa segala perbuatan yang dilakukan mereka itu tidak akan membolehkan mereka menerima apa-apa bahagian di akhirat. ini beerti mereka akan mengalami kerugian dunia dengan kematian yang didoakan oleh mereka dan akan mengalami kerugian di akhirat dengan amalan-amalan jahat yang dilakukan oleh mereka. Oleh sebab itulah mereka tidak akan menerima cabaran itu kerana mereka adalah golongan manusia yang paling sayang kepada kehidupan dunia. Dalam hubungan ini mereka adalah sama sahaja dengan golongan musyrikin.”

- Oleh kerana itulah umat Islam di zaman dahulu dalam menyatakan Islam ini, mereka tidak takut kepada mati kerana mereka memang bercita-cita untuk mati dalam Islam. Sebagai contoh yang berlaku pada seorang khalifah yang bernama Ibn al-Walid, apabila berkehendak untuk menyerang sesebuah negeri, mengikut riwayatnya beliau menghantar surat terlebih dahulu yang berbunyi:

“ Adapun kemudian daripada itu, inilah surat daripada orang Islam kepada kamu. Pertama, kamu masuk Islam. (Jikalau tidak mahu) Kedua, kamu berdamai dan membayar jizyah serta mempunyai hak dalam negara Islam. (Jikalau tidak mahu juga) Ketiga, mata pedang. Maka Allah s.w.t yang menentukan sama ada kami menang atau kamu menang. Sesungguhnya kami datang kesini adalah bersama dengan satu kaum yang kasih untuk mati.”

- Begitu juga yang berlaku kepada seorang ulama dari zaman Tabi’en yang bernama Sa’id b. Jubayr yang tidak mengaku sahnya Hajjaj b. Yusof al-Thaqafi sebagai khalifah dizaman kerajaan ‘Amawiyah. Lalu Sa’id pun ditangkap oleh kerajaan Hajjaj yang memang zalim dan kejam serta suka membunuh orang ramai dan diantaranya termasuklah ulama-ulama yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan pada masa itu. Apabila Hajjaj mengetahui yang Sa’id ini seorang yang wara’ dan kuat agamanya lalu beliau meminta agar dibuat persembahan muzik dan tarian dihadapan ulama tersebut. Sa’id b. Jubayr menangis ketika mana persembahan itu dibuat dihadapan matanya kerana memang beliau amat membencikan maksiat tetapi bertukar gembira yang amat sangat apabila mendengar kata-kata Hajjaj yang berbunyi: “ Pada hari ini aku mahu menyembelihmu”. Maka berasa hairanlah Hajjaj dan seraya bertanya: “ Mengapakah kamu bersifat pelik, menangis ketika disajikan persembahan dan gembira ketika diancam bunuh?” Lalu Sa’id berkata: “Aku gembira dan ketawa sebab geli hati terhadap kamu yang tergamak menentang Allah s.w.t”.

- Inilah dia sifat golongan Salafu al-Soleh yang berani untuk berhadapan dengan mati kerana memang mereka bercita-cita untuk mati agar cepat bertemu dengan Allah s.w.t. Antara doa yang diajar dalam memupuk diri untuk mencintai mati adalah “ Ya Allah ya Tuhanku, kalaulah mati ini lebih baik, maka aku suka kepada mati. Tetapi kalaulah sekiranya hidup itu lebih baik untuk mencapai keredhaanMu, maka biarlah aku hidup.

- Jadi, jelaslah kepada kaum Yahudi, sekiranya akhirat dan syurga itu hanya untuk kamu, maka cubalah kamu bercita-cita untuk mati. Mereka yang membaca kitab Taurat memang semestinya tahu tentang syurga dan neraka tetapi mereka langgar juga perintah Allah s.w.t. Sebab itulah mereka takut kepada mati kerana terkenangkan balasan neraka nanti. Kalau boleh mereka berkehendakkan agar hidup tanpa mati kerana mereka akui banyaknya dosa yang diusahakan oleh tangan mereka seperti engkar dengan suruhan nabi Muhammad s.a.w, mengubah isi kitab Taurat dan sebagainya[14]. Dan ingatlah diakhir ayat ke 95 ini Allah s.w.t mengakhirinya dengan ancaman bahawa Allah mengetahui bagaimana mestinya memberi balasan terhadap orang-orang yang zalim atau pun aniaya.



[1] Al-Isra’, ayat 101

[2] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 15, mk 169. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 22

[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 350

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 352

[5] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 111

[6] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 135.

[7] Al-Jumu’ah, ayat 5

[8] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 230

[9] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 22

[10] Al-Baqarah, ayat 80

[11] Al-Baqarah, ayat 111

[12] Al-Maidah, ayat 18

[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 353-354

[14] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 111

Thursday, December 8, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 89-91)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 89:

- Ayat ini sekali lagi menegaskan bahawa Allah s.w.t telah mengutus nabi Muhammad s.a.w kepada kaum Yahudi di Madinah dengan membawa pengajaran kitab al-Quran, yang mana al-Quran itu menceritakan kebenaran kitab mereka pula iaitu Taurat. Tambahan pula sebelum dibangkitkan nabi Muhammad s.a.w, kaum Yahudi itu mengharap serta berdoa: “ Ya tuhan kami, datangkanlah kepada kami nabi yang akhir zaman, supaya menolong kami untuk menghalau musuh-musuh kami”[1]. Tetapi bila dibangkit sahaja Rasullullah s.a.w , mereka ingkari maka sewajarnyalah mereka dilaknat diatas kekafiran mereka.

- Dalam satu riwayat menceritakan ketika mana bapa saudara nabi, Abu Talib membawa nabi (ketika itu masih kanak-kanak lagi) berniaga ke Syam, seorang paderi yang muslim yang beriman kepada Allah s.w.t dan mengikut syari’at nabi terdahulu (sebelum bangkitnya nabi Muhammad s.a.w) memanggil Abu Talib lalu bertanya siapakah kanak-kanak yang bersamanya itu. Lalu Abu Talib mengatakan bahawa itu adalah anaknya. Paderi itu berkata: “ Kamu bohong kepadaku”. Akhirnya Abu Talib mengaku bahawa kanak-kanak itu bukan anaknya kerana ayahnya sudah meninggal dan dilahirkan dalam keadaan yatim. Lalu paderi itu memberitahu kepada Abu Talib agar tidak membawa nabi berjalan kemana-mana serta mengarahkannya terus membawa nabi pulang. Hal ini demikian jikalau diketahui oleh kaum Yahudi, boleh jadi dia akan dibunuh. Paderi itu menambah lagi “ anak saudara kamu ini akan diberikan keistimewaan daripada Allah s.w.t, iaitu akan menjadi rasul akhir zaman” Abu Talib yang memang teramat sayang kepada nabi segera membawanya pulang, tetapi sayangnya Abu Talib tidak masuk Islam hingga ke mati padahal beliau sudah mendengar cerita kerasulan nabi daripada mulut paderi tersebut.

- Kesimpulannya, banyak kesan al-Quran yang dinyatakan kepada umat Islam menceritakan golongan ahli Kitab Yahudi mahu pun Nasrani ini tahu dan kenal nabi Muhammad s.a.w malah mereka juga mengenali tanda-tanda yang ada pada batang tubuh Baginda s.a.w. Tetapi sayangnya mereka kafir dengannya walaupun mereka kenal itulah rasul dan nabi. Allah s.w.t tidak kata mereka tidak mahu ikut, tetapi Allah s.w.t berkata mereka kafir dengan rasul itu ya’ni secara berterus-terang sepertiman firmanNya:

كَفَرُوا بِهِ

Maksudnya: “ Mereka mengingkarinya (ya’ni kafir dengan rasul)”. Tetapi manusia sekarang akan marah jikalau berkata sedemikian. Dan seterusnya ayat ini diakhiri dengan firmanNya:

فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “ Maka Allah melaknat keatas orang-orang yang kafir” . Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata: “ Perbuatan ini wajar menerima balasan laknat dan kemurkaan Allah s.w.t kerana keburukannya. Oleh sebab itulah Allah timpakan kutukan keatas mereka dan capkan mereka sebagai orang kafir.” Beliau berkata lagi: “Kekafiran mereka amatlah buruk kerana mereka dengan mengingkari nabi yang ditunggu-tunggu oleh mereka, nabi yang mereka pernah memohon kepada Allah s.w.t agar dengan kebangkitannya mereka dapat mengalahkan orang-orang musyrik Arab. Ya’ni mereka mengharap dapat menguasai kaum-kaum yang lain dari mereka dengan datangnya rasul itu.[2]

2. Ayat 90:

- Ayat ini pula menyatakan bahawasanya teramatlah jahatnya pekerti kaum Yahudi itu. Rela menjual nasib diri mereka menjadi kafir. Semata-mata kerana hasad dengki melihat kurniaan Allah yang dilimpahkan kepada hambaNya yang dikehendakiNya iaitu Muhammad s.a.w. Hal ini demikian kerana mereka ingin mendapatkan dunia sekaligus membuktikan mereka tidak ikut nabi Muhammad s.a.w sebab mahu kepada dunia. Mereka menganggap sekiranya mereka menyokong nabi Muhammad s.a.w, maka Bagindalah yang akan menjadi ketua di Madinah dan tertutuplah peluang mereka untuk menjadi ketua. Dan jikalau mereka ikut Baginda, tiada peluanglah mereka untuk menguasai masjid sekaligus baginda akan disanjung oleh masyarakat. maka dengan ini akan tertutuplah pekuang mereka untuk menguasai masjid dan menjadi sanjungan masyarakat. Itu sahaja yang difikirkan oleh mereka kerana tamakkan harta dunia dan kaum Yahudi memang tidak sanggup mengikut kebenaran kerana terlalu mengabdikan diri kepada dunia.

- Hasad dengki mereka terserlah dengan kemarahan mereka terhadap Allah s.w.t kerana melantik Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman. Hal ini demikian kerana Allah sudah semestinya tidak akan melantik mereka menjadi rasul kerana memperbodohkan diri dan menyembah dunia. Maka akibat yang mereka dapat diatas hasad dengki itu adalah murka bertimpa murka. Iaitu pertama, mereka dimurkai kerana kufur dengan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s dan kedua, mereka dimurkai sebab kufur dengan kitab al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w[3]. Begitu juga dengan kemurkaan Allah s.w.t kepada datuk moyang mereka yang banyak mengingkari suruhan Allah s.w.t sepertimana yang telah diperjelaskan sebelum ini. Dan sepertimana firmanNya[4] :

الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “ yang dimurkai keatas mereka” merujuk kepada golongan Yahudi kerana mereka lebih mengerti tentang kebenaran tetapi merekalah yang pertama sekali yang menentangnya[5].

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[6]: “Perbuatan menjual diri yang paling merugikan ialah perbuatan mereka mengkufurkan wahyu yang diturunkan Allah s.w.t. Seolah-olah kekufuran itu merupakan harga jualan diri mereka. Manusia boleh dinilai dengan sesuatu yang berharga samada banyak atau sedikit. Tetapi jika ia dinilaikan dengan kekufuran, maka itulah seburuk-buruk dan serugi-rugi dagangan, dan itulah yang menjadi kenyataan walaupun pada lahirnya kenyataan ini hanya merupakan perbandingan dan gambaran sahaja. Mereka sebenarnya telah merugikan diri sendiri apabila mereka tidak bergabungdengan angkatan orang-ornag yang beriman. Mereka telah merugikan diri mereka diakhirat kerana mereka akan ditunggu oleh azab keseksaan yang amat menghina. Apakah sesuatu yang didapati oleh mereka pada akhir hidup mereka? Mereka hanya berhasil mendapat kekufuran dan itulah satu-satunya perolehan yang dapat dicapai dan diambil oleh mereka.”

- Tabiat kaum Yahudi yang amat ketara disini ialah tabiat tidak mengenangkan kebaikan, pementingan diri sendiri yang sempit yang hidup dalam lingkungan fanatik kaum yang tebal. Mereka merasa bahawa setiap kebaikan yang dicapai oleh orang lain dari mereka adalah dipotong dan dirampas dari mereka. Mereka tidak mempunyai perasaan bahawa mereka terjalin dengan hubungan insaniyah yang agung yang mengikat seluruh umat manusia. Demikianlah mereka yang selama-lamanya hidup dalam pengasingan dan pemencilan diri. Mereka menunggu umat-umat manusia yang lain dilanda mala petaka dan menaruh dendam kesumat kepada kaum-kaum yang lain. Ini adalah kerana kaum Yahudi ini menderita azab hasad dengki.

- Mereka menjadikan umat-umat lain merasa kesan hasad dengki mereka dalam bentuk fitnah dan huru-hara yang dicetuskan olah mereka diantara setengah-setengah bangsa dengan bangsa-bangsa yang lain. Mereka menyalakan api peperangan untuk menangguk keuntungan di air yang keruh dan memuaskan dendam kesumat mereka yang tidak pernah padam. Hal ini juga dapat dilihat dalam bentuk kemusnahan yang dilakukan keatas kaum-kaum yang lain, disamping kaum-kaum yang lain bertindak balas terhadap mereka. Semua kejahatan dan angkara mereka ini adalah terbit dari tabiat pementingan diri mereka sendiri.

3. Ayat 91:

- Ayat ini menerangkan ketika mana kaum Yahudi diseru supaya beriman dengan al-Quran, mereka menyatakan bahawa mereka hanyalah beriman dengan kitab Taurat sahaja, dan tidak beriman dengan kitab-kitab yang lain (yang terkemudian seperti Injil dan al-Quran) padahal al-Quran itu benar dan datangnya daripada Allah s.w.t sekaligus membenarkan pula apa yang terkandung dalam kitab Taurat mereka. Allah s.w.t menempelak mereka kerana sesungguhnya al-Quran itu daripada Allah s.w.t membenarkan kitab Taurat yang ada disisi mereka. Dan keduanya daripada Allah s.w.t. Bagaimanakah kamu kufur pada sebahagian kitab dan beriman dengan sebahagian yang lain[7]? Diantara contohnya, pernah berlaku di zaman Rasullullah s.a.w seorang Yahudi dibicarakan atas kesalahan zina. Sebelum itu mereka telah bersepakat sesama sendiri bahawa mereka akan menjatuhkan hukuman yang ringan sahaja dan sekiranya hukuman itu adalah rejam, mereka tidak akan menerimannya. Setelah dibicarakan dihadapan Rasullullah s.a.w, lalu baginda memutuskan untuk menjatuh hukuman sepertimana yang terdapat didalam Taurat. Lalu kitab Taurat itu dibuka maka jelas terdapat disitu hukuman berzina adalah direjam walaupun sebelum itu hukuman tersebut ditutup dengan jari oleh kaum Yahudi.

- Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[8] : “ Apa peduli mereka dengan kebenaran? Apa peduli mereka dengan al-Quran yang mengesahkan kitab yang ada ditangan mereka sedangkan mereka tidak dapat membolot al-Quran itu untuk diri mereka sahaja. Sebenarnya mereka menyembah diri sendiri dan menyembah perkauman mereka. Bukan sahaja setakat itu, malah mereka menyembah hawa nafsu mereka kerana sebelum ini mereka telah menolak pengajaran yang dibawa oleh nabi-nabi mereka sendiri.”

- Lalu Allah s.w.t mengajar Rasullullah s.aw supaya mengemukakan hakikat yang sebenarnya kepada mereka untuk mendedahkan pendirian mereka yang sebenarnya dan membuka tembelang dakwaan mereka. Maka dengan itu nabi Muhammad bertanyakan kepada mereka “ Kalau betul beriman dengan Taurat, mengapa dahulu membunuh para nabi? Sedang para anbiya’ itulah yang telah membawa kitab-kitab suci itu yang mereka mendakwa mereka beriman kepadanya. Sebenarnya memang mereka tidak beriman malah mereka telah mengingkari pengajaran yang telah dibawa oleh nabi Musa a.s, nabi mereka yang pertama dan penyelamat mereka yang agung. Dan sudah tentu mereka tidak boleh menjawab kerana memang merekalah yang membunuh para nabi.



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 129. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 109. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 222. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 108

[2] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 344-345

[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 109. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 109

[4] Al-Fatihah, ayat 7

[5] Sa’id Hawwa, Al-Asas fi al- Tafsir (1991), J.1, mk 185

[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 346

[7] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 224-225

[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 349