Wednesday, November 9, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 80-82)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 80:

- Ayat ini memberi gambaran bahawa kaum Yahudi itu berpendapat bahawa Allah s.w.t tidaklah akan menyeksa mereka di dalam neraka pada hari akhirat kelak dalam masa yang lama. Kalau pun diseksa hanyalah dalam masa beberapa hari sahaja[1]. Dengan ini dapatlah disimpulkan bahawa kaum Yahudi mempunyai tanggapan tiap-tiap kesalahan sememangnya ada hukuman, tetapi kesalahan mereka pada anggapan mereka adalah kecil, ya’ni seksa dalam neraka hanyalah beberapa hari sahaja. Padahal kesalahan mereka adalah amat besar kerana menyekutukan Allah s.w.t

- Mengikut Ibn ‘Abbas, kesalahan mereka itu ialah kerana mereka kufur dan syirik, ertinya menyekutukan Allah s.w.t. Kesalahan tersebut terhitung sebagai satu dosa yang amat besar dan hukumannya adalah menjadi penghuni neraka dan kekal selama-lamanya. Kalau dimisalkan dengan hukuman didunia, umpamanya hukuman penjara seumur hidup, tiada peluang lagi akan keluar dari penjara itu selama-lamanya sehinggalah datang ajal. Tetapi diakhirat nanti, manusia tidak akan mati lagi maka hukuman akhirat bagi orang yang syirik , kufur atau murtad akan dirasai selama-lamanya.

- Sebab nuzulnya ayat ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas[2], ada diantara kaum Yahudi memberitahu bahawasanya masa di dalam dunia ini ialah tujuh ribu tahun dan sesungguhnya kita di azab, tiap-tiap seribu tahun setahun daripada hari-hari didunia. Setiap seribu tahun menjadi setahun daripada hari dunia ini maka ia tinggal menjadi satu hari sahaja di dalam neraka ataupun ia tinggal menjadi tujuh hari yang boleh dibilang kemudian dihapuskan neraka dan semuanya masuk syurga belaka. Hal ini demikian (mengikut pendapat mereka) bukan orang Islam sahaja yang masuk syurga, tetapi orang yang bukan Islam pun boleh masuk syurga.

- Dengan kefahaman yang sebegini mereka berpendapat tidak mengapalah masuk neraka dahulu pun, sebab akhirnya nanti akan masuk syurga juga. Ini adalah kata-kata untuk menyedapkan hati semata-mata tetapi sebenarnya jauh menyimpang daripada kefahaman dan hakikat yang sebenar. Perkara ini berlaku di zaman Rasullullah s.a.w dan boleh juga berlaku di zaman sekarang kerana sudah pasti akan ada manusia akan berkata sedemikian sampai ke hari qiyamat.

- Menurut Ibn Jarir al-Tabari pula[3], kaum Yahudi berkata bahawasanya mereka tidak dimasukkan kedalam api neraka melainkan 40hari dan 40 malam sahaja merujuk kepada kesalahan mereka menyembah anak lembu selama 40 hari dahulu. Mereka ingat peristiwa datuk nenek mereka menyembah lembu dahulu, iaitu apabila nabi Musa a.s meninggalkan mereka selama 40 hari. Dalam tempoh itulah mereka menganggap mereka didalam neraka dan selepas itu masuk syurga pula untuk selama-lamanya.

- Pendapat yang mengatakan orang kafir hanya tinggal beberapa hari sahaja di dalam neraka adalah pendapat yang berasaskan kepada pandangan orang yahudi bahkan juga ada terdapat beberapa orang ahli falsafah yang Islam turut berpandangan sedemikian. Ada diantaranya mengkaji rohani manusia yang dikatakan boleh menjadi suci dan kononnya kesucian murni manusia boleh meningkat naik sehingga sampai ke martabat Malaikat. Mereka beranggapan bahawa kalau roh sampai ke martabat Malaikat maka tiadalah manusia itu. Kemudian martabatnya semakin tinggi dan akhirnya menjadi fana dan begitulah seterusnya dianalisakan roh sebegitu rupa.

- Mereka menambah pula, bila seseorang itu masuk neraka, dia akan sebati dengan neraka itu. Oleh kerana terlalu lama diseksa akhirnya dia tidak berasa terseksa dengan seksaan api neraka. Bahkan menjadi nikmat pula tinggal didalam neraka . Pandangan seperti ini jelas sesat dan bertentangan dengan prinsip Islam dan umat Islam wajib menolaknya. Memang dari segi hukum aqal, Allah s.w.t berhak secara mutlak untuk menentukan hukumNya dimana orang kafir sekiranya Allah berkehendak, mereka boleh masuk syurga tetapi kita mesti merujuk kepada syara’ dan apabila kita kembali kepada syara’ kita dapati banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menggambarkan kepada kita mustahil bagi orang kafir boleh masuk syurga dimana ayat selepas ini sebagai contoh (ayat 81) menjadi bukti bahawa orang kafir itu kekal didalam neraka bukan sekadar beberapa hari sahaja.

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata [4]: “ Diantara angan-angan mereka yang tidak selaras dengan dasar keadilan Islam, tidak sesuai dengan undang-undang Islam dan tidak secocok dengan konsep amalan dan balasan yang betul ialah mereka berfikir bahawa mereka akan terlepas dari azab Allah s.w.t walau apa pun kejahatan yang dilakukan oleh mereka dan bahawa mereka tidak akan disentuh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu sahaja dan selepas itu mereka akan dikeluarkan dari api neraka dan dimasukkan kedalam syurga. Di atas dasar apakah mereka landaskan angan-angan mereka itu? dan diatas perhingtungan apakah mereka menentukan masa azab itu seolah-olah mereka benar-benar yakin? seolah-olah perkara ini merupakan perjanjian yang telah Allah s.w.t menentukan masanya. Ianya tidak merupakan sesuatu apa pun kecuali angan-angan kosong orang jahil yang buta huruf dan pembohongan ahli agama yang menipu sahaja. Itulah angan-angan orang yang menyeleweng dari agama yang betul apabila mereka dilalui oleh masa yang amat lama dan terputus dari hakikat agama mereka yang sebenar hingga tiada lagi tinggal kecuali nama dan bentuknya sahaja, bukannya isi dan hakikanya dan ini pada mereka sudah cukup untuk menyelamatkan mereka dari azab api neraka”

- Tetapi Allah s.wt menyangkal dakwaan mereka dan sekaligus menggambarkan tanggapan mereka itu hanya bohong semata-mata dengan firmanNya:

قُلْ أَاتَّخَذْتُمْ عِنْدَ اللَّهِ عَهْداً فَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (ya Muhammad) kepada mereka: Adakah kamu telah berjanji dengan Allah (yak’ni perjanjian penyeksaan dalam masa yang pendek?) maka kerana itu Allah tidak akan memungkiri perjanjianNya? Atau kamu hanya mengatakan keatas Allah s.w.t sesuatu yang kamu tidak ketahui?”

Inilah hujjah yang diajar oleh Allah s.w.t yang dapat menundukkan mereka yang berpegang kepada tanggapan yang songsang. Pernyataan diayat ini menjelaskan hakikat yang sebenar yang dibuat dalam bentuk pertanyaan yang mengandungi kecaman dan celaan.

2. Ayat 81

- Dalam ayat ini mereka diberi jawapan yang tegas dan kata pemutus terhadap dakwaan mereka dalam bentuk menjelaskan salah satu dasar dari dasar-dasar umum pemikiran Islam yang terbit dari gagasan umum Islam terhadap alam semesta, kehidupan dan manusia iaitu dasar balasan mengikut jenis perbuatan dan yang secocok dengan perbuatan.

- Asy- Syahid Sayyid Qutb berkata[5]: “ Adakah kejahatan itu sesuatu perolehan? Pengertian yang dimaksudkan dari kata-kata كَسَبَ dari segi pengertian aqal ialah melakukan kejahatan. Tetapi ungkapan al-Quran ditujukan untuk menggambarkan keadaan jiwa yang diketahui umum, iaitu seseorang yang melakukan kejahatan itu biasanya ia melakukan dengan perasaan penuh kenikmatan dan menganggapkannya sebagai satu perolehan dan hasil pendapatan baginya. Sekiranya kejahatan itu tidak member kenikmatan kepada perasaan pelakunya sudah tentu dia tidak akan melakukannya. Dan sekiranya dia merasakan kejahatan itu satu kerugian jika dilakukan, sudah tentu dia melakukannya dengan tiada ghairah dan tentulah dia tidak membiarkan kejahatan itu memenuhi hatinya dan melingkungi alam hidupnya. Kerana adalah wajar bagi dia apabila merasa kejahatan itu mendatangkan kerugian kepadanya dia wajib melarikan diri daripada kejahatan itu, walaupun dia terdesak serta memohon keampunan Allah s.w.t dan berlindung padanya. Dalam keadaan sebegini tentulah kejahatan tidak dapat melingkungi dan memenuhi alam hidupnya dan tidak dapat menutup pintu hatinya untuk bertaubat dan membersihkan dosa. Maka seseorang yang dipancarkan oleh kejahatan, dimana dia hidup dalam lingkungan kejahatan, bernafas dalam suasana kejahatan, hidup bersama kejahatan dan untuk kejahatan dan ketika seseorang manusia sedemikian rupa, ya’ni terpancar dalam kejahatan dan tertutup pintu taubatnya, maka ketika itulah dia wajar menerima balasan adil yang tegas.”

3. Ayat 82

- Kemudian ayat seterusnya menjelaskan hukuman sebaliknya daripada golongan yang diatas tadi. Diantara kehendak keimanan ialah kemunculan dari hati seseorang dalam bentuk amalan yang salih. Inilah hakikat yang pasti difahami oleh setiap orang yang mengaku beriman. Alangkah perlunya hakikat ini disedari oleh setiap kita yang mengaku sebagai orang Islam. Keimanan itu tidak wujud sehingga muncul darinya amal-amal salih. Orang yang mengaku beriman kemudian melakukan kerosakan dibumi dan memerangi hakikat kebaikan yang utama iaitu menegakkan sistem hidup Ilahi di muka bumi ini, menegakkan syari’at dalam kehidupan dan mengamalkan akhlak yang diajar olehNya didalam pergaulan masyarakat, maka mereka adalah orang yang tidak mempunyai keimanan sedikit pun dan tidak mendapat pahala dari Allah s.w.t. Dan tiada siapa yang dapat member perlindungan dari azab Allah s.w.t walaupun mereka berangan-angan seperti kaum Yahudi sebagaimana yang telah diperjelaskan dahulu.



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 29, mk 120

[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 203, lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 9

[3] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 203, lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 10 dan Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 104

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 324

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 326-327

Wednesday, November 2, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 79)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 79:

- Seterusnya dalam ayat ini Allah s.w.t memberi amaran yang keras kepada mereka yang berkenaan dalam ayat ini dengan perkataan “Wailun” iaitu bermaksud Neraka Wail yang akan disediakan untuk mereka berulang-ulang sebanyak 3 kali[1]. Tegasnya mereka yang berani menyatakan, baik secara tulisan mahupun secara lisan akan sesuatu yang tidak ada pada sisi Allah s.w.t lalu dikatakannya : “ Ini daripada Allah” dan sebaliknya sesuatu yang pasti sudah terang ianya daripada Allah s.w.t dikatakan pula : “ Ini bukan daripada Allah” semata-mata diperdaya oleh wang dan harta yang sedikit dan juga orang-orang yang mengusahakan urusan tersebut, semuanya akan disediakan untuk mereka seksa dan azab iaitu Neraka Wail namanya.

- Terdapat khilaf antara ulama’ tentang makna “Wailun”[2]. Diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan bahawasanya Rasullullah s.a.w mengatakan ia adalah satu bukit daripada neraka. Manakala Abi Sa’id Al-Khudri mengatakannya sebuah lembah berdasarkan sebuah hadith Rasullullah s.a.w bersabda[3] :

ويل واد فى جهنم

Bermaksud: “ Dan Wailun itu adalah satu lembah di neraka jahannam”

Al-Zahrawi mengatakan ianya satu pintu daripada pintu-pintu neraka Jahannam. Ibn ‘Abbas mengatakan ianya adalah antara kesusahan daripada kesemua kesusahan yang ada dalam azab. Al-Khalil mengatakan bahawa ianya adalah keburukan yang amat sangat dan Sibawaih pula mengatakan al-Wail ini adalah kepada sesiapa yang terjerumus kedalam kecelakaan.

- Ayat ini secara ringkasnya menjelaskan terdapat di kalangan bangsa Yahudi orang-orang yang menulis kitab dengan tangan mereka dengan ciptaan mereka sendiri kemudian mereka menyatakan bahawa kenyataan daripada penulisan mereka itu adalah daripada Allah s.w.t. Begitu juga terdapat dari kalangan orang Nasara (Kristian) apabila nabi Isa a.s diangkat ke langit, mereka cipta kitab Injil dengan berbagai-bagai nama dan memberitahu kepada semua bahawa itulah kitab Allah yang diwahyukan kepada nabi Isa a.s.

- Begitu juga dikalangan orang Islam pun ada juga yang bersikap demikian iaitu menulis peraturan-peraturan yang dinamakan peraturan agama ataupun undang-undang Syar’iyyah dan undang-undang ini hanya mengenakan hukuman pesalah kepada hukuman penjara dan denda sebanyak Rm 30 atau lebih kepada pesalah. Inikah yang mereka katakan undang-undang syar’iyyah? Inikah yang mereka katakan undang-undang daripada kitab Allah s.w.t?. Sebenarnya undang-undang yang sebegini tidak ada kena-mengena langsung dengan hukum Syara’ kerana semuanya adalah ciptaan manusia belaka. Walaupun beberapa kali pindaan yang berlaku kepada undang-undang yang dikatakan undang-undang Syar’iyyah ini tetapi ia masih tetap ciptaan manusia. Perkara ini juga berlaku dizaman penjajah British dahulu tetapi yang menulis undang-undang tersebut adalah orang Islam sendiri yang ‘alim dengan ilmu agama dan bekerja dengan pejabat agama pada masa itu kerana penjajah tidak ada kefahaman untuk menulisnya.

- Kalau kita benar-benar mahu ikut al-Quran, bukan kita pinda undang-undang tersebut tetapi kita buang terus undang-undang itu kerana undang-undang yang ada itu adalah diluluskan oleh penjajah barat yang bukan Islam. Kita mestilah mengambil al-Qur’an dan al-Hadith serta apa yang ditulis oleh ulama’ yang muktabar berdasarkan kedua-dua sumber utama serta ijtihad mereka yang betul sebagai peraturan. Inilah yang sepatutnya diamalkan oleh orang Islam tetapi umat Islam hari ini telah ditipu dengan peraturan-peraturan dan undang-undang yang dijadikan satu pilihan yang lain daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t sekali gus pilihan tersebut tiada kena mengena langsung dengan peraturan yang telah Allah tetapkan dalam al-Qur’an. Dan mereka yang sebegini adalah amat sesat dalam erti kata sesat yang amat nyata sepertimana firmanNya[4]:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالاً مُبِيناً

Maksudnya: “ Tidak wajar (haram) bagi seorang lelaki mu’min dan seorang perempuan mu’minah ketika mana Allah dan RasulNya menetapkan sesuatu perkara, ada pula bagi mereka pilihan tentang perkara yang telah ditetapkan tersebut. Dan barang siapa yang mengkhianati Allah dan rasulNya sesungguhnya telah sesat mereka dengan kesesatan yang amat nyata”

- Asy-Syahid Sayyid Qutb berkata[5]: “ Bagaimanakah golongan manusia yang seperti ini dapat diharap akan menyambut dakwah yang benar[6], bersikap mengikuti hidayah dan mempunyai perasaan malu dan segan dari mengubah dan memesongkan nas-nas kitab suci mereka sendiri yang dianggap menjadi batu penghalang ditengah jalan mereka? Sebenarnya mereka tiada harapan lagi akan percaya kepada kaum muslimin. Yang menunggu mereka hanyalah kecelakaan dan kebinasaan. Itulah balasan terhadap tulisan-tulisan yang digariskan oleh tangan mereka terhadap rekaan pendustaan kepada Allah s.w.t. Itulah balasan terhadap pemalsuan dan pembohongan mereka.”

- Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata didalam tafsirnya merujuk kepada ayat ini “ Kecelakaan dan azab yang amat hebat kepada mereka dari kalangan bani Israel yang mengubah Taurat dengan menggantikan ayat-ayatnya dengan tangan-tangan mereka. Mereka juga mengubah sifat-sifat Rasullullah s.a.w yang sudah termaktub dalam kitab Taurat. Dan Azab ini juga terkena kepada mereka disebabkan mereka mengambil rasuah (iaitu mengambil habuan diatas tindakan mereka mengubah ayat-ayat Allah s.w.t), keengkaran mereka terhadap suruhan Allah dan rekaan mereka terhadap ayat-ayat Allah untuk mendapat habuan dunia berupa harta, pangkat dan kuasa. Maka celakalah bagi mereka dengan apa yang telah mereka lakukan kerana telah melakukan tiga jenayah besar terhadap Allah s.w.t iaitu yang pertama, mengubah sifat-sifat Rasullullah s.a.w. Kedua, membuat rekaan terhadap ayat-ayat Allah s.w.t dan yang ketiga, mengambil rasuah terhadap perbuatan tersebut”.[7]

- Kesimpulannya, mereka yang menggubal undang-undang ciptaan manusia itu termasuklah juga didalam ayat ini yang Allah s.w.t menegaskan bahawa mereka akan dimasukkan kedalam Neraka Wail kerana menulis undang-undang tersebut dengan tangan-tangan mereka dan kemudian berkata : “ Ini adalah hukum Syara’ (iaitu daripada undang-undang Allah s.w.t)” padahal ia bukan malah tiada kena mengena langsung dengan mana-mana hukum yang telah Allah s.w.t tetapkan terhadap hambaNya. Inilah dia bala yang paling besar yang sedang dihadapi oleh umat Islam hari ini di seluruh dunia kerana mereka tidak menyedari bahawa mereka berdepan dengan “taghut” yang paling besar dan dahsyat yang telah memesongkan mereka daripada agama mereka.

- Taghut daripada bahasa Arab (طاغوت‎ ) yang bermaksud syaitan, berhala, dan pelbagai kepercayaan dan amalan yang menyesatkan manusia daripada ajaran Islam[8]. Sebenarnya kaum yang dilabelkan “taghut” ini sudah muncul dari zaman permulaan nabi Adam a.s lagi ketika mana pada masa itu Iblis adalah taghut yang mana bersikap melampaui batas diatas sifatnya yang tidak mahu tunduk kepada perintah Allah s.w.t agar sujud kepada nabi Adam a.s. Di zaman nabi Musa a.s pula, firaun pula mengambil alih tempat iblis sebagai taghut yang mengaku tuhan. Maka nabi Musa a.s diutuskan untuk menjelaskan bahawa firaun itu adalah taghut yang berperangai seperti iblis.

- Di zaman Rasullullah s.a.w pula, puak-puak Abu Lahab dan Abu Jahal pula yang menyambung sifat taghut tersebut. Maka Baginda diutuskan menjelaskan kepada umatnya siapa dia taghut yang wajib dijauhi. Di zaman Sayyidaina Abu Bakr , Parsi dan Rom pula yang menjadi taghut dan begitulah seterusnya dari masa ke semasa penyelewengan ini merupakan perkara yang berpanjangan yang akan berlaku sehinggalah hari qiyamat dan termasuklah di zaman sekarang ini, memang sudah pasti ada puak-puak yang dikategorikan sebagai taghut. Oleh itu sudah menjadi kewajipan kepada semua para ulama’ agar dapat menjelaskan perkara ini sepertimana yang telah di lakukan oleh para nabi sebelum ini agar masyarakat tidak tertipu sekaligus menjadi pengikut taghut.

- Lebih bahaya lagi jika sekiranya penyelewengan ini dilakukan dengan menamakannya sebagai hukum Allah, ayat-ayat Allah atau peraturan Allah dan sudah pasti ianya adalah sesat serta boleh menyesatkan orang ramai. Inilah merupakan cara yang amat bahaya dan Allah s.w.t member amaran kepada kaum Yahudi yang melakukan kerja jahat ini, dimana yang mempelopori kerja jahat ini adalah kaum Yahudi dan orang yang kemudian daripada mereka adalah orang yang mengikuti jejak langkah Yahudi, falsafah dan cara mereka.

- Apabila kita mengetahui semua perkara tersebut (ya’ni perkara yang melibatkan sifat taghut) maka kita akan selamat disebabkan telah mengetahui bahawa betapa dasyatnya balasan daripada Allah s.w.t sekiranya bersifat sedemikian mahupun menjadi pengikut kepada mereka yang bersifat sedemikian. Oleh sebab itulah kita diperintah untuk kembali kepada al-Quran dan al-Hadith kerana sekiranya kita kembali kepada kitab Allah, maka akan bertemulah kita dengan penjelasan-penjelasan terhadap segala sifat dan perangai golongan yang telah dimaksudkan sebelum ini. Sebagai contoh, bila kita kembali kepada al-Quran dan penafsirannya, kita akan bertemu dengan penjelasan golongan orang yang berilmu tetapi menipu orang jahil dengan mengatakan bahawa ini adalah daripada Allah s.w.t. Semuanya ini akan ditemui apabila dibaca kitab Allah, dikaji dan diteliti tafsirnya kerana Allah s.w.t akan sebut sifat-sifat yang sedemikian dalam al-Quran satu persatu.

- Di dalam membicarakan hal ini maka para ulama menyebutkan bahawa taghut ini tersangatlah banyak namun ianya dapat disimpulkan kepada lima kepala dan ketua kerana seperti maksud Syeikh Muhammad Abd Wahab ra : “Taghut ini ialah umum maka setiap sesuatu yang disembah selain daripada Allah swt itu dan redha kepadanya bermaksud taghut…”

- Syaitan[9]
Dinyatakan di dalam Al-Qur’an bahawa Syaitan itu termasuk ketua taghut (melampaui batas) yang sentiasa mengajak manusia menyembah selain daripada Allah swt dan merekalah yang menyesatkan anak-anak Adam sehingga mengambil taghut sebagai tuhan selain daripada Allah swt seperti mana firmanNya[10]:

يَا بَنِي آدَمَ لا يَفْتِنَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنْ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, dia menanggalkan dari keduanya pakaian mereka untuk memperlihatkan kepada keduanya 'aurat mereka. Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu pula melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.”

- Pemerintah Zalim yang Tidak Berhukum dengan Hukum Allah
Hal ini suatu yang jelas di sisi para ulama’ Islam sejak berzaman dan mereka telah pun bangun menyatakan kebenaran malangnya hari ini umat Islam lantaran takut kepada pemerintah dan kuasa yang ada di sisi pemimpin yang taghut tunduk dan akur sambil menyembunyikan ketakutan mereka dengan beberapa patah dalil yang menyuruh mentaati pemerintah tanpa berani membicara lanjut di dalam persoalan tersebut.
Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an yang berbunyi[11]:

إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ فَلا تَخْشَوْا النَّاسَ وَاخْشَوْنِي وَلا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْكَافِرُونَ


Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara Kitab-Kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan oleh Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”
Malangnya pada hari ini situasi tidaklah seperti dahulu apabila Firaun dengan terbuka mengaku dirinya sebagai tuhan sebaliknya pada waktu hari ini mereka yang memerintah menjadi taghut apabila menganjurkan orang tunduk dan patuh kepada mereka dan mengadakan jalan-jalan ke arah tujuan tersebut sekalipun mereka diam dan tidak mengaku diri mereka sebagai tuhan walaupun sebenarnya hati mereka redha dan gembira apabila ditaati oleh manusia. Hakikatnya, sudah cukup seseorang pemerintah itu menjadi taghut apabila mereka tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah swt dalam keadaan mereka mampu dan boleh berbuat demikian.

- Apa-apa yang ditaati dan dijadikan Hukum yang bukan daripada Allah dan rasulnya
Segala sesuatu yang ditaati oleh manusia baik sistem, budaya dan adat atau perundangan yang menguasai dan mengatur hidup manusia yang bukan diturunkan oleh Allah swt dan juga bukan disampaikan oleh Rasulullah s.a.w, maka ianya merupakan salah satu di antara apa yang di sebut sebagai taghut oleh para ahli ilmu Islam sepertimana firmanNya[12]:

وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ الإِنجِيلِ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فِيهِ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya:“Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah didalamnya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.”


Para ulama menyebutkan sekalipun ayat di atas ini secara khusus diturunkan kepada orang-orang yahudi dan nasrani namun hakikatnya umat Islam lebih utama untuk memenuhi apa yang diperintahkan oleh ayat-ayat ini. Apakah yahudi di dalam kekurangan kitab Taurat mereka berbanding kesempurnaan kitab Al-Qur’an dan Nasrani di dalam penyelewengan Injil mereka berbanding kesucian Al-Qur’an wajib melaksanakan hukum-hukum di dalam kitab mereka dan kita yang beriman hanya cukup mengambil pengajaran sahaja ? Lalu membiarkan hukum-hukum buatan kuffar terus menaungi hidup kita lantaran konon beralasan mahu menjaga keamanan dan ingin menjaga hubungan baik sesama manusia antara yang beriman dan yang kafir ? Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an yang berbunyi[13]:

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفاً


Maksudnya:“Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, karena Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

- Mereka yang Mengaku Mengetahui Ilmu Ghaib Tanpa dari Kitab dan Sunnah
Golongan yang mengaku sebagai mengetahui perkara ghaib dan boleh menyembuhkan sakit, mengetahui di manakah letaknya barang yang hilang, serta dapat menunjukkan siapakah yang mencuri dan mengambil barang orang-orang serta pelbagai lagi hal yang berkait sihir dan ilmu ghaib tanpa pertunjuk dan dalil daripada kitab dan sunnah ialah salah satu di antara kepala-kepala thaghut. Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an yang berbunyi[14]:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَداً

إِلاَّ مَنْ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَداً

Maksudnya: “(dia adalah Tuhan) Yang mengetahui hal yang ghaib, Maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya, Maka Sesungguhnya Dia Mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya.”

- Pada hari ini, para ahli sihir dan golongan yang mengaku mengetahui hal yang ghaib tidak lagi seperti Hamman pembantu Firaun yang berjampi serapah atau seperti datuk-datuk dukun yang bertasbih besar bersila menyembuhkan sakit demam dan menjenguk (melihat) geluk jampi seperti gaya cerita Nujum Pak belalang rekaan P. Ramlee sebaliknya para taghut hari ini yang mengaku mengetahui kisah-kisah yang ghaib ialah para saintis dan ahli teknologi dan kemodenan yang berpakaian kot dan sut-sut mewah dengan bertali leher sambil mengaku mengetahui apa sahaja dan boleh menjelaskan apa sahaja secara rasional yang berlaku di alam ini.

- Mereka mengatakan itu dan ini berdasarkan teori-teori dari makmal mereka lalu kemudian menjangka hujan dan cuaca di mana-mana sahaja pelusuk bumi. Mereka juga mampu menciptakan klon dan genetik baru lalu mendakwa berjaya menciptakan manusia dan boleh mengubah suai segala ciptaan Allah swt menurut kehendak mereka. Golongan inilah yang mengatakan manusia berasal daripada kera dan mawas menurut teori evolusi mereka. Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an yang berbunyi[15]:

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَداً وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana Dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengerti.”

- Golongan Yang Menyembah Selain daripada Allah swt

Tidak ada sesiapa pun yang lebih malang daripada mereka yang kerugian di dunia dan juga di akhirat dan mereka ini ialah golongan yang menyembah selain daripada Allah swt lalu kehinaan menjadi milik mereka di dunia dan di akhirat. Di akhirat kelak apa-apa yang telah disembah oleh golongan yang malang ini akan berlepas diri daripada mereka. Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an yang berbunyi[16] :

قَالَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمْ الْقَوْلُ رَبَّنَا هَؤُلاءِ الَّذِينَ أَغْوَيْنَا أَغْوَيْنَاهُمْ كَمَا غَوَيْنَا تَبَرَّأْنَا إِلَيْكَ مَا كَانُوا إِيَّانَا يَعْبُدُونَ


Bemaksud:“Berkatalah orang-orang yang telah tetap hukuman ke atas mereka; "Ya Tuhan Kami, mereka Inilah orang-orang yang Kami sesatkan itu; Kami telah menyesatkan mereka sebagaimana Kami (sendiri) sesat, Kami menyatakan berlepas diri (dari mereka) kepada Engkau, mereka sekali-kali tidak menyembah kami".

- Termasuk mereka ini sebahagian daripada kepala-kepala thaghut apabila mereka menyembah selain daripada Allah swt dan mengambil sesuatu selain daripada Allah sebagai sembahan mereka dan mentaatinya baik secara sukarela atau pun kerana dipaksa.
Hakikatnya pada hari ini manusia ramai sekali yang menyembah dan tunduk sujud kepada selain Allah swt tetapi mereka tidak mengakuinya sebaliknya mengatakan apa yang mereka lakukan tidak lebih daripada sekadar usaha mereka mendekatkan diri kepada Allah swt. Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an yang berbunyi[17] :

أَلا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلاَّ لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Bermaksud:“ Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). dan orang-orang (musyrik) yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan Kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat engkar.”

- Sebahagian yang lain pula mungkin akan mengatakan kami tidak pun menyembah sesiapa pun, sebaliknya kami tunduk dan ruku’ serta patuh kepada peraturan yang sudah dipakaikan ke tengkuk kami sebelum kami lahir yang telah dipegang oleh orang-orang tua kami. Kami ditanamkan mesti patuh kepada sistem yang ada demi menjaga keharmonian masyarakat, demi kemakmuran dan demi keselesaan serta kebaikan itu ialah apa yang telah diajarkan kepada kami.

- Di atas nama disiplin seorang bawahan dibasuh supaya mentaati orang atasan tanpa persoalan dan di atas nama keselamatan dan keharmonian maka rakyat dipupuk mengikuti peraturan yang telah ditetapkan kepada mereka manakala pihak atasan dan orang-orang yang berkuasa berlumba-lumba menyamun dan merompak serta melanggar segala batasan dan had demi kepuasan hawa nafsu mereka lalu menjadilah mereka sebagai taghut yang tersenarai di dalam kitab Allah swt.
Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an yang berbunyi[18] :

وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً
Maksudnya:“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipersoalkan.

- Mengikut pandangan Ibnu ‘Abbas r.a, berhukum dengan selain daripada hukum Allah s.w.t boleh termasuk ke dalam kufur akbar yg mengeluarkan seorang dari Islam dan boleh pula termasuk ke dalam kufur ashgar yang tidak mengeluarkan seseorang dari Islam. Hal ini demikian sesuai dengan keyakinan pelakunya disebabkan orang yang berhukum dengan selain hukum Allah s.w.t ada beberapa jenis:


1. Orang yang berhukum dengan selain hukum Allah s.w.t kerana merendahkan hukum Allah s.w.t sekaligus membenci hukum tersebut. Hal ini termasuk kufur akbar yang mengeluarkan pelaku dari Islam.


2. Orang yang berhukum dengan selain hukum Allah s.w.t dengan keyakinan bahwa hukum selain Allah s.w.t lebih afdhal dan lebih baik dari hukum Allah s.w.t. Inipun kufur akbar yang boleh mengeluarkan pelakunya dari Islam.


3. Orang yang berhukum dengan selain hukum Allah s.w.t dengan keyakinan bahwa hukum selain Allah s.w.t tersebut adalah sama adilnya dengan hukum Allah s.w.t. Inipun kufur akbar.


4. Orang yang berhukum dengan selain hukum Allah s.w.t kerana meyakini tentang boleh dan halal berhukum dengan selain hukum Allah s.w.t. Inipun kufur akbar kerana pelakunya telah menghalalkan apa yang Allah s.w.t haramkan.


5. Orang yang berhukum dengan selain hukum Allah s.w.t dalam keadaan masih meyakini bahwa hukum Allah s.wt lebih afdhal dan tidak menyamakan hukum selain Allah s.w.t dengan hukumNya bahkan ia mengatakan bahwa hukum Allah s.w.t lebih afdhal dan lebih tinggi. Dia tidak menghalalkan tindakan berhukum dengan selain daripada hukum Allah s.w.t. Tetapi, dia berhukum dengan selain hukum Allah s.w.t kerana terpaksa atas tekanan jawatan yang dimiliki dan kepentingan peribadi dalam keadaan yakin dan tahu bahawa dirinya salah dan sedang berbuat maksiat. Yang semacam ini termasuk kufur ashgar dan pelakunya tidak terkeluar dari Islam.
Inilah bermacam-macam taghut di alam ini. Jika diamati keadaan manusia sekarang ini, maka akan diperlihatkan bahawa kebanyakan manusia telah berpaling dari ibadah kepada Allah s.w.t dan sekaligus menuju ibadah mereka kepada taghut. Mereka berpaling dari ketaatan kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya menuju ketaatan kepada taghut dan mengikutinya.



[1] Sebahagian ulama berpendapat sebegini.

[2] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 2, mk 8

[3] Diriwayatkan oleh Ibn Mubarak dalam Zawa’id al-Zuhd (344). Sila lihat Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 104

[4] Al-Ahzab, ayat 36

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 323

[6] Masih merujuk kepada ayat sebelum ini (ayat 75) yang mana berhubung dengan harapan sebahagian para sahabat yang inginkan agar golongan Yahudi agar beriman kepada Allah s.w.t

[7] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 202-203

[8]Sila lihat http://ms.wikipedia.org/wiki/Taghut

[9] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 211

[10] Al-A’raf, ayat 27

[11] Al-Maidah, ayat 44

[12] Al-Maidah, ayat 47

[13] Al-Nisa’, ayat 76

[14] Al-Jin, ayat 25-26

[15] Luqman, ayat 34

[16] Al-Qasas, ayat 63

[17] Al-Zumar, ayat 3

[18] Al-Isra’, ayat 36