Thursday, June 16, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 38-40)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 38:

- Dalam ayat ini secara jelas menyebut kepada kita bahawa Allah s.w.t memerintahkan nabi Adam a.s, Hawa, iblis serta ular turun daripada syurga kerana derhaka kepada Allah s.w.t. Ada pendapat yang mengatakan bahawa arahan turunnya mereka yang terlibat itu dua peringkat. Pertama: dari Syurga ke langit yang merujuk pada ayat 36, Kedua: dari langit ke bumi yang merujuk kepada ayat ini. Atas dasar inilah menguatkan lagi pendapat yang mengatakan Syurga itu terletak dilangit yang ketujuh sepertimana yang telah dijelaskan oleh hadith tentang peristiwa al-Isra’.[1]

- Kemudian Allah s.w.t menyatakan kepada Adam a.s serta cucunya akan datang kepada mereka petunjuk (هُدًى)[2]. Sebahagian ulama’ menafsirkan huda ini sebagai turunnya nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa petunjuk. Ada juga ulama’ yang menafsirkan huda ini dengan kitab-kitab yang Allah turunkan kepada nabi-nabi tertentu. Secara ringkasnya kedua-dua penafsiran itu boleh diterima kerana tidak dinafikan bahawa nabi-nabi serta rasul-rasul begitu juga kitab-kitab yang diturunkan adalah sumber utama petunjuk umat hingga ke akhir zaman.

- Dari segi apakah itu “petunjuk”, terbahagi kepada dua pengertian. Pertama: ia merupakan pengajaran yang disampaikan kepada manusia. Kedua: ia merupakan hidayah yang ditanam oleh Allah s.wt kedalam hati manusia iaitu perasaan menyerah diri serta mengikut kebenaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul melalui kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka.[3]

- Seterusnya Allah s.w.t menyatakan barang sesiapa yang mengikut petunjukNya, nescaya tidak ada kebimbangan bagi mereka dari sesuatu yang tidak baik dan mereka juga tidak akan berdukacita. Mereka tidak takut untuk menghadapi kematian kerana mereka yakin semakin cepat bertemu dengan Allah semakin baik baginya, semakin mereka mahu.

- Sebab itulah orang-orang Islam zaman dahulu dalam perjuangan untuk menegakkan Islam, mereka berebut untuk mati bukan berebut untuk dipanjangkan umur berdasarkan doa yang diajarkan oleh Rasullullah s.a.w:

sekiranya hidup lebih baik bagiku maka panjangkanlah umurku dan sekiranya mati itu lebih baik kepadaku, biarlah aku mati”

- Disamping itu juga terdapat diantara doa nabi meminta berlindung daripada Allah agar jangan kita dilanjutkan umur sehingga nyanyuk, tidak tahu nak buat apa sehingga percakapan pun orang tak faham. Ertinya biarlah kita mati sebelum daripada itu.

- Kesimpulannya, sesiapa yang mengikut petunjuk itu tidak akan merasa susah walaupun apa orang sekeliling nak berkata. Kalau manusia yang tidak mengikut perintah Allah seperti tidak sembahyang, tidak menutup aurat, menghina hukum Islam dan ulama’ mengatakan kita jahat dan tidak berguna, itu tidak menjadi masalah. Tetapi yang berhak kita takut apabila Allah s.w.t sendiri yang mengatakan kita jahat dan tidak berguna menjadi manusia.

2. Ayat 39:

- Seterusnya ayat ini memberi penjelasan bagi mereka yang kafir dan mendustakan ajaran Allah s.w.t, mereka menjadi ahli neraka dan kekal selama-lamanya. Ini bermakna orang kafir akan kekal didalam neraka dan tiada harapan untuk masuk syurga sepertimana firmanNya[4]:

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) kami dan menyombongkan diri terhadapnya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk kelubang jarum[5]. Demikianlah Kami membalas orang yang melakukan kejahatan”.

- Dengan keterangan yang jelas daripada kedua-dua ayat diatas tadi, maka tertolaklah pendapat yang mengatakan bahawa orang kafir ini tidak kekal didalam neraka[6]. Termasuklah pendapat daripada orang yahudi sendiri yang mengatakan bahawa Allah s.w.t memasukkan seseorang kedalam neraka selama 50 puluh tahun sahaja[7]. Selepas 50 puluh, seseorang itu bebas daripada neraka. Oleh kerana itulah mereka berkata, kalau tak ikut Nabi Muhammad pun boleh masuk syurga juga. Ini adalah kerana mereka berpegang kepada pendapat yang mana mereka akan masuk kedalam neraka hanya selama mana yang mereka sifatkan sebagai “beberapa hari yang boleh dibilang”

- Ada juga pendapat daripada ahli falsafah yang bernama Ibn ‘Arabi al-To’ei yang terpengaruh dengan falsafah-falsafah yang bukan daripada Islam. Beliau mengatakan bahawa ahli neraka ini pada permulaan sahaja merasai azab neraka. Tetapi selepas itu, oleh kerana sudah menjadi kebiasaan merasa azab tersebut, maka ianya sudah sebati dan seterusnya merasa nikmat pula duduk didalam neraka. Sudah pasti pendapat ini tidak boleh diterima lagi karut serta menyesatkan.

3. Ayat 40:

- Ayat ini bermulanya kisah Bani Israel didalam surah al-Baqarah. Kisah bani Israel ini bukan sahaja terdapat disurah ini tetapi diulang-ulang dalam surah yang lain. Makna bani Israel ialah anak cucu Israel. Yang dimaksudkan Israel disini ialah Nabi Ya’qub a.s yang diberi gelaran Israel. Tersusun dari dua kalimat Ibrani (bahasa Hebrew), Isra : bermaksud hamba dan El: bermaksud Allah. Maka Israel bermaksud: hamba Allah yang menjadi pilihanNya[8].

- Secara ringkas sejarah kaum bani Israel ini bermula sejak Nabi Ibrahim keluar daripada Mesir kemudian dikurniakan dua orang anak iaitu Ismail dan Ishaq. Ismail telah menurunkan zuriat yang dikenali sebagai bangsa Arab. Adapun Ishaq telah mendapat anak yang bernama Ya’qub yang digelarkan Israel. Kemudian Ya’qub dikurniakan 12 orang anak dan salah seorangnya dapat memperolehi pangkat yang tinggi di sisi Fir’aun Raja Mesir ketika itu, iaitu Nabi Yusof a.s. Maka berkembang biaklah bani Israel di Mesir pada masa itu disebabkan Nabi Yusof a.s melindungi dan menolong mereka ketika mereka dilanda bahaya kelaparan ketika berada dinegeri mereka iaitu Kan’an sebuah kawasan diutara semenanjung tanah Arab.

- Kemudian Fir’aun Raja Mesir selepas itu menindas mereka, diperas tenaga mereka untuk dipaksa bekerja. Maka Allah s.w.t mengutuskan nabi Musa a.s untuk membela mereka sehingga berbagai-bagai mu’jizat yang telah Allah kurniakan kepada Nabi Musa a.s dalam menolong bani Israel dalam menghadapi ancaman Fir’aun serta ancaman-ancaman yang lain. Selepas kewafatan Nabi Musa a.s, digantikan oleh Nabi Yusha’ sebagai ketua bani Israel dan pada ketika inilah pemerintahan bani Israel meliputi Syam (sekarang dikenali dengan semenanjung Sinai, Jordan, Palestin dan Syiria). Maka sejak itu kerajaan bani Israel semakin membesar sehingga dapat menawan negeri Babylon di Iraq dari kerajaan Parsi. Pada masa itu juga banyak para-para nabi dan Rasul dari bani Israel diutuskan untuk member peringatan, memimpim dan membimbing mereka mengikut perintah dan ajaran Allah s.w.t. Antaranya nabi Samwil, Daud dan Sulayman a.s. Dan dalam pemerintahan nabi Sulaymanlah, kaum bani Israel meningkat kecemerlangan menuju ketinggian.

- Tetapi setelah wafatnya nabi Sulayman a.s dan digantikan pula oleh anaknya Rahba’am ( (رحبعام mulalah kegemilangan bani Israel itu semakin pudar setelah mereka berpecah belah dan ini memudahkan musuh-musuh dengan mudah dapat mengalahkan mereka. Pada masa itu Parsi telah menawan kembali Babylon dan mereka dihalau ke Palestin dan selepas itu mereka bergilir-gilir dikuasai oleh Rom dan Parsi yang mana kedua-dua kerajaan ini adalah kerajaan yang amat kuat pada masa itu. Sehinggalah pada tahun 135 masihi, tarikh hancurnya kota Baitul Maqdis akibat tindakan raja Rom yang bernama Adrian, berseleraklah kaum Yahudi keseluruh muka bumi. Dan ada diantara mereka yang bermusafir serta merayau-rayau di negeri Madinah sehingga mereka dapat bertapak disana.

- Sejarah memang mengakui keagungan kaum Bani Israel, namun sejarah juga tidak lupa mencatatkan penderitaan dan kehinaan yang mereka deritai. Buktinya, al-Qur’an sendiri yang dianggap semulia-mulia kitab bagi orang Islam pun tidak ketinggalan mencatatkan kisah mereka. Allah s.w.t menceritakan semua ini kepada pesuruhNya, nabi Muhammad s.a.w tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menghiburkan hati Baginda kerana Baginda selalu runsing ketika berhadapan dengan kaum Yahudi kerana mereka ini apabila diseru supaya masuk Islam, sentiasa berdolak-dalik.

- Oleh kerana banyaknya nikmat dan kelebihan diberikan kepada kaum bani Israel, Allah s.w.t menyeru mereka supaya bersyukur akan nikmat Allah yang mana nikmat dan kelebihan ini tidak diberi kepada umat-umat yang lain. Begitu juga dengan janji-janji yang telah mereka buat dengan Allah s.w.t seperti yang terdapat dalam surah al-Baqarah, ayat 83, dan surah-surah yang lain.



[1] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 224, lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 83

[2] Mengikut riwayat Ibn ‘Abbas r.a dimana manusia masih lagi dalam keadaan baik ketika mana nabi Adam a.s mengetuai mereka sehinggalah sepuluh kurun kemudian (lebih kurang seribu tahun). Selepas itu terdapat manusia yang Berjaya digoda oleh iblis dan sudah mula menyekutukan Allah s.wt sehinggalah Allah mengutuskan nabi Nuh a.s. Begitulah seterusnya, bila ada saja kesesatan mahupun kemungkaran, ada nabi atau rasul yang akan diutuskan sehinggalah nabi Muhammad s.a.w. Maka selepas daripada nabi akhir zaman ini, penggantinya pula adalah ulama-ulama yang menjadi pewaris para nabi-nabi dan rasul-rasul.

[3] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 224

[4] al-A’raf, ayat 40

[5] Kata kiasan bagi sesuatu yang mustahil akan berlaku.

[6] Walaupun ada dikalangan masyarakat yang mengatakan bahawa rahmah Allah itu sangat luas sepertimana firmanNya dalam surah al-A’la, ayat 7:

إِلاَّ مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّهُ يَعْلَمُ الْجَهْرَ وَمَا يَخْفَى

[7] Seperti penjara didunia

[8] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 67. Lihat juga Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 75

Monday, May 30, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 35-37)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 35 & 36 :

- Tiada khilaf dikalangan ulama selepas iblis kufur terhadap Allah s.w.t, Allah jauhkan iblis daripada syurga. Seterusnya Allah s.w.t meletakkan nabi Adam a.s dan pasangannya Hawa di dalam syurga dan memerintah keduanya supaya mereka tinggal di dalamnya serta makanlah dengan sepuas-puasnya di dalam syurga ini kecuali pokok kayu ini. Jangan kamu hampiri pokok kayu ini.

- Terdapat kekhilafan dikalangan ulama tafsir tentang pengertian “janganlah kamu berdua menghampiri pokok kayu ini”, ada ulama berpendapat jangan makan hampir dengan pokok kayu ini kerana perbuatan demikian akan membawa kepada memakan buah-buahan pokok kayu tersebut.

- Sebahagian ulama pula menafsirkan yang dimaksudkan dengan hampir itu ialah hampir yang sebenarnya. Bermaksud hampir pun tak boleh apatah lagi memakan buahnya.

- Dikalangan mufassirin juga berselisih pendapat tentang apakah dia pokok kayu itu[1]? Allah s.w.t Cuma mengatakan pokok dan jangan hampiri pokok ini. Itu sahaja yang diberitahu oleh Allah s.w.t maka cukuplah sebegitu sahaja bagi kita untuk mempercayainya. Tidak wajib kita mengetahui apa nama pokok tersebut dan kita serahkan sahaja kepada Allah s.w.t

- Ada ulama’ mengatakan pokok kayu itu adalah pokok anggur, ada yang mengatakan pokok yang jenis bertangkai sperti pokok padi, gandum dan seumpamanya. Tidak ketinggalan juga yang mengatakan pokok tin[2].

- Larangan menghampiri pokok tersebut adalah ujian pertama daripada Allah s.w.t kepada manusia yang pertama iaitu nabi Adam a.s. Mengikut apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Tobari, iblis ini mencuba untuk masuk ke dalam syurga. Usaha iblis terhalang disebabkan ada malaikat yang menjaganya, lalu iblis mencari helah yang lain dalam usaha untuk memasuki syurga dalam misi menggoda Adam dan Hawa.

- Mengikut riwayatnya, iblis mengadakan pakatan dengan ular, iaitu sejenis binatang yang memang ada dalam syurga dengan masuk kedalam mulut ular lalu dibawa masuk ke syurga tanpa disedari oleh para malaikat yang menjaga[3].

- Yang mula-mula ditipu adalah hawa dengan memberi ucapan-ucapan yang menarik sepertimana disebut dalam al-Quran[4] :

هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لا يَبْلَى

Maksudnya: adakah kamu suka kalau aku tunjukkan akan pokok kayu yang boleh mengekalkan kamu selama-lamanya di dalam syurga dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?

- Pada awalnya Nabi Adam a.s tidak terpedaya, Cuma Hawa sahaja yang pertama memetik buah kayu tersebut lalu memakannya[5]. Lalu hawa mengatakan kepada Adam a.s bahawa apa yang dimakan itu tidak memberi kesan apa-apa. Selepas itu Adam a.s pula yang memakannya lalu berterbanganlah pakain-pakain yang ada pada tubuh badan mereka[6] apabila mereka dimurkai olah Allah s.w.t

- Maka berlakulah apa yang telah ditakdirkan akibat daripada penipuan yang dilakukan oleh iblis yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Dan Allah seperti firmanNya dalam ayat 36 ini memerintahkan kepada semua yang terlibat iaitu Adam a.s, Hawa, iblis dan ada pendapat yang mengatakan sekali dengan ular keluar dari syurga dan dihantar keatas muka bumi. Allah s.w.t juga mengatakan bahawa mereka akan bermusuhan antara satu sama lain dan bumi itu kan manjadi tempat mereka menetap serta mencari kehidupan sehingga beberapa masa sahaja (إِلَى حِينٍ )

- Sebahagian ulama mengatakan maksud beberapa masa itu ialah hingga mati dan ada setengah ulama pula mengatakan sehingga hari qiyamat[7]. Kedua-dua penafsiran ini semuanya betul dan boleh dipakai. Dengan ini bolehlah difahami bahwa Allah s.w.t menjadikan dunia ini penuh dengan kenikmatan tetapi kenikmatan tersebut adalah kenikmatan yang sementara sahaja.

- Timbul pula persoalan adakah tindakan nabi Adam a.s itu merupakan sikap derhakanya terhadap Allah s.w.t? bagaimanakah pula dengan sifat ‘ismah yang ada pada para-para nabi dan rasul[8]? Jikalau makna ‘ismah ini tidak melakukan kerja dosa, bagaimanakan pula nabi Adam a.s melakukan perbuatan yang telah dilarang oleh Allah s.w.t? tidakkah ia bercanggah dengan sifat para nabi dan rasul?

- Ada 3 pendapat ulama dalam memperjelaskan masalah ini, pertama: ada ulama ynag mengatakan bahwa perbuatan nabi Adam a.s memakan buah kayu terlarang itu adalah sebelum beliau dilantik menjadi nabi. Maka kesalahan tersebut adalah kesalahan sebelum nabi Adam a.s dilantik sebagai nabi.

- Kedua: sebahagian ulama pula mengatakan nabi Adam a.s terlupa sepertimana firman Allah s.w.t yang berbunyi[9]:

وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْماً

Bermaksud: dan sesungguhnya kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia terlupa dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

- Ketiga: ada juga yang mengatakan bahawa nabi Adam a.s tersalah ijtihad kerana berkefahaman bahawa larangan yang Allah s.w.t tersebut merujuk kepada pokok yang berada ditempat yang khusus[10]. Sekiranya ambil ditempat lain tidak mengapa. Justeru orang yang tersalah ijtihad tidak berdosa.

- Maka pendapat yang paling kuat ialah pendapat yang kedua iaitu sebenarnya nabi Adam a.s itu terlupa bukan dengan sengaja, sepertima maksud sebuah hadith daripada Rasullullah s.a.w yang berbunyi:

“Diangkat daripada umatku dengan sebab dia tersalah, terlupa atau dipaksa”

- Berdasarkan hadith diatas ini menjelaskan orang yang terlupa itu tidak berdosa dan hakikatnya lupa yang dilakukan oleh nabi Adam a.s itu adalah kerana sebuah hikmah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Nabi Adam a.s bukannya tempatnya disyurga yang mana syurga itu sebenar-benar tempat tinggal bagi orang muttaqin ialah selepas hari qiyamat. Tugas beliau sebenar adalah menjadi khalifah dimuka bumi ini. Maka Allah s.w.t menjadikan peristiwa memakan buah pokok larangan ini sebagai sebab untuk menghantar nabi Adam a.s ke muka bumi ini untuk melahirkan keturunan yang menjadi khalifah.

2. Ayat 37:

- Lalu nabi Adam a.s menerima beberapa kalimah daripada Allah s.w.t yang mana kalimah tersebut mengandungi makna bertaubat kepada Allah s.w.t. Terdapat beberapa pendapat merujuk kepada kalimah-kalimah tersebut, mengikut apa yang diriwayatkan oleh al-Tha’labi daripada Ibn ‘Abbas kalimah sepertimana firman Allah s.w.t yang berbunyi:

قَالا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ

“wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri maka jika sekiranya Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami nescaya termasuklah kami dalam kalangan orang yang rugi”

- Adapun mengikut riwayat lain yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut ialah ilmu tentang mengerjakan ibadat haji. Begitu juga mengikut riwayat ‘Abd b. Humayd daripada Abdullah b. Zayd makna kalimah tersebut adalah:

“ tidak ada tuhan melainkan Engkau, maha suci Mu wahai Tuhanku dan dengan segala pujiMu, aku telah melaksanakan kerja yang jahat, dan aku telah menzalimi diriku sendiri maka ampunilah dosaku, sesungguhnya Engkau sebaik-baik yang mengampunkan dosa.”

- Inilah diantara kalimah-kalimah yang diajar oleh Allah s.w.t kepada nabi Adam a.s dan apabila nabi Adam melafazkan kalimah-kalimah tersebut Allah telah menerima taubat beliau dan sesungguhnya Allah s.w.t amat pengasih dan penyayang lagi maha menerima taubat hambaNya.



[1] Ini adalah kerana Allah s.w.t tidak menyebut dengan jelas apakah pokok kayu itu. Cumanya ulama tafsir telah menafsir berdasarkan kepada beberapa riwayat yang diterima oleh mereka samada daripada ahli Kitab, kitab-kitab zaman dahulu ataupun daripada ijtihad mereka sendiri.

[2] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 141

[3] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi (Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Takwil) (1999), J. 1, mk 82. Lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 214

[4] Toha, ayat ke 120.

[5] Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 142

[6] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 66.

[7] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 220

[8] ‘Ismah bermaksud sunyi daripada dosa kecil dan besar. Ada ulama yang menambah sifat ini kepada 4 sifat para nabi dan rasul yang telah sedia ada iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

[9] Toha, ayat 115

[10] Ada riwayat yang mengatakan pokok tersebut tumbuh juga ditempat lain.

Thursday, May 26, 2011

JAMA' IMAM SEPULUH (BAQARAH, 5)

أُوْلَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ

Al-Syatibiyyah:

- Qalun baca dengan tawassut al-Muttasil dengan sukun mim al-Jam’ pada kalimah رَبِّهِمْ semua ikut kecuali Warsy, Ibn Kathir dan Hamzah.[1]

- Qalun membaca pula dengan silah mim al-Jam’ pada kalimah رَبِّهِمْ dan Ibn Kathir ikut.[2]

- Warsy membaca dengan mad al-Muttasil dan Hamzah ikut.

Al-Durrah:

- Qalun baca dengan tawassut al-Muttasil dengan sukun mim al-Jam’ pada kalimah رَبِّهِمْ semua ikut kecuali Warsy, Ibn Kathir, Hamzah dan Abu Ja’far.[3]

- Qalun membaca pula dengan silah mim al-Jam’ pada kalimah رَبِّهِمْ dan Ibn Kathir serta Abu Ja’far ikut.

- Warsy membaca dengan mad al-Muttasil dan Hamzah ikut.

Al-Toyyibah:

- Qalun baca dengan tawassut al-Muttasil dengan sukun mim al-Jam’ pada kalimah رَبِّهِمْ semua ikut kecuali al-Azraq, Ibn Kathir, Ibn Zakwan (wajah kedua), Hamzah, Abu Ja’far dan Ya’qub (wajah kedua)[4]

- Ya’qub (wajah kedua) membaca ha’ saktah pada kalimah الْمُفْلِحُونَ

- Qalun membaca pula dengan silah mim al-Jam’ pada kalimah رَبِّهِمْ dan Ibn Kathir serta Abu Ja’far ikut[5].

- Al-Azraq membaca dengan mad al-Muttasil dan Ibn Zakwan (wajah kedua) serta Khallad (wajah kedua) ikut.

- Hamzah (termasuk wajah pertama Khallad) membaca dengan saktah pada mad muttasil.



[1] Maka yang mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Abu ‘Amru, Ibn ‘Amir, ‘Asim dan al-Kisaei

[2] Maka yang masih tidak membaca lagi setakat bacaan Qalun yang kedua ini ialah Warsy dan Hamzah

[3]Maka yang mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Abu ‘Amru, Ibn ‘Amir, ‘Asim, al-Kisaei, Ya’qub dan Khalaf al-‘Asyir

[4]Maka yang mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Asbahani, Abu ‘Amru, Hisyam, Ibn Zakwan (wajah pertama) ‘Asim, al-Kisaei, Ya’qub (wajah pertama) dan Khalaf al-‘Asyir.

[5] Maka yang masih tidak membaca lagi setakat turutan bacaan yang ketiga ini yang ialah al-Azraq, Ibn Zakwan (wajah kedua) dan Hamzah.