Wednesday, May 18, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 30)

بسم الله الرحمن الرحيم

1- Ayat ke 30:

- Setelah Allah s.wt menerangkan kepada kita pada ayat yang lalu bahawa Dia yang menjadikan langit dan bumi, yang mana diletakkan jin di bumi dan para malaikat di langit[1]. Maka dalam ayat ini Allah menjelaskan pula tentang kejadian manusia dimana Allah s.w.t mengisytiharkan terlebih dahulu kepada malaikat apabila hendak menjadikan nabi Adam a.s. sebagai khalifah dimuka bumi ini.

- Khalifah bermaksud pengganti yang merujuk kepada pengganti kepada makhluk yang terdahulu iaitu jin kepada manusia dimana sebelum dijadikan manusia, Allah s.wt menjadikan jin[2] untuk mentadbir dimuka bumi ini. Disebabkan puak-puak jin telah melakukan kerosakan dan kejahatan maka Allah s.w.t menyatakan untuk menjadikan dari kalangan manusia sebagai khalifah bagi menggantikan mahkluk jin tersebut.

- Ayat ini juga menjadi hujah atau dalil yang amat kuat kepada para ulama dalam masalah perlunya negara dan pemerintahan Islam. Ayat ini juga menjadi dalil dan hujah bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu adalah wajib. Ini adalah kerana tujuan Allah s.w.t menjadikan khalifah dari kalangan manusia adalah untuk memelihara agama dan mentadbir bumi ini dengan hukum daripada Allah s.w.t. sepertimana pengisytiharan yang telah Allah s.w.t buat ketika hendak menjadikan nabi Adam a.s.

- Para ulama’ berpendapat, perkara ini disebut sebagai menegakkan agama dan siasah dunia dengannya (dengan agama). Mengikut istilah sekarang dipanggil politik, adapun mengikut istilah islam dipanggil imamah ataupun kepimpinan ataupun boleh juga dipanggil siasah. Perkataan siasah adalah bersamaan maksud dengan perkataan khilafah. Perkataan khilafah pula adalah terbitan daripada perkataan khalifah yang bermaksud menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya.

- Disini menunjukkan serta menjelaskan lagi kepada kita betapa bahayanya jikalau kita berpendapat bahawa di dalam Islam itu tiada politik atau lebih jelasnya tiada pemerintahan Islam. Ini adalah kerana perkara ini thabit dengan nas al-Quran[3], hadith nabi serta ijma’ para sahabat. Mengengkarinya samalah seperti engkar kepada perintah solat, puasa dan lain-lain daripada tuntutan yang telah Allah s.w.t tetapkan kepada hambanya. Antara hadith yang menjadi dalil tentang perkara ini sepertimana sabda nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “tidak harus bagi tiga orang musafir dengan tidak melantik salah seorang daripadanya menjadi ketua”. Kalau bertiga tidak dapat tidak mesti ada ketua, bagaimana pula dengan beribu-ribu atau berjuta-juta orang dalam sesebuah negara.

- Maka jelaslah dengan mafhum hadith di atas tadi bahawa menegakkan negara Islam itu thabit dengan nas hadith Rasullullah s.a.w dan sememangnya menjadi amalan nabi kita. Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah menegakkan negara Islam. Kalau mengikut istilah ilmu undang-undang antarabangsa hari ini pun sebenarnya telah mengiktiraf bahawa Rasullullah s.a.w telah menegakkan sebuah negara.

- Ini adalah kerana, mengikut penilaian mereka, sesebuah negara tidak boleh dinamakan sebagai negara ataupun daulah melainkan ada 5 syarat yang mana 5 syarat tersebut sudah dipenuhi dengan sempurna oleh kerajaan Islam di Madinah yang dipimpin oleh Rasullullah s.a.w.

- Pertama, mesti ada negeri yang mana merujuk kepada negeri Madinah.

- Kedua, mesti ada rakyat yang merujuk kepada kaum Muhajirin dan kaum Ansar.

- Ketiga, mesti ada pemimpin yang merujuk kepada Rasullullah s.a.w sendiri.

- Keempat, mesti ada perlembagaan atau undang-undang yang merujuk kepada al-Quran yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t .

- Kelima, mesti ada kedaulatan. Kedaulatan dalam bahasa arab dinamakan sebagai “syakhsiyyah maknawiyyah” yang bermaksud keperibadian sebagai sebuah negara (Islam). Dalam istilah bahasa melayu bermaksud negeri yang berdaulat dengan makna dunia mengiktiraf negara yang ditegakkan itu sebagai sebuah negara yang mana merujuk kepada kabilah-kabilah arab yang menghantar rombongan bertemu dengan Rasullullah s.a.w. Ini menunjukkan bahawa Madinah itu diiktiraf sebagai sebuah negara.

- Maka dengan ini jelaslah bahawa negara yang didirikan oleh Rasullullah s.a.w adalah sah dari segi ilmu politik dan ilmu undang-undang antarabangsa yang ada pada hari ini.

- Seterusnya dalil daripada ijma’ para sahabat ketika mana wafatnya Rasullullah s.a.w hanya beberapa orang sahaja sahabat-sahabat yang mengkebumikan jenazah Rasullullah s.a.w. Ini termasuk Saidina Ali, Saidina Abbas dan beberapa orang yang lain daripada kaum keluarga baginda sedangkan Saidina Abu Bakr, Saidina Umar, Saidina Uthman dan sebahagian besar para sahabat yang lain tidak pergi untuk menguruskan jenazah Rasullullah s.a.w.

- Mereka terus bermesyuarat di Sakifah Bani Sa’idah bagi melantik ketua negara yang memerintah mengikut hukum Islam menggantikan Rasullullah s.a.w dan tidak ada seorang pun dari para sahabat yang engkar.

- Malah mereka berkata bahawa wajib bagi orang Islam menegakkan negara Islam sehingga ada selepas itu kabilah-kabilah arab yang murtad (tidak mahu menegakkan negara Islam), dilancarkan serangan keatas mereka.

- Dalam hadith Rasullullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ubadah b. al-Somit yang menggambarkan perjanjian yang dibuat oleh para sahabat yang dikenali sebagai perjanjian ‘Aqabah, mereka berkata: “dan bahawa kami berjanji tidak akan membantah dalam urusan yang akan diberikan kepada ahlinya”. Ertinya mereka tidak akan derhaka kepada kerajaan yang menegakkan pemerintahan Islam dan berikrar taat setia walaumacamana zalim sekalipun, mereka tetap taat melainkan sekiranya kamu lihat pemerintah itu melakukan kufur yang nyata.

- Kufur yang nyata umpamanya melarang orang mengerjakan sembahyang, melarang orang berpuasa atas dasar boleh menjejaskan kerja dan sebagainya, melarang orang pergi haji atas alasan boleh menjejaskan ekonomi.

- Menurut al-Syeikh Muhammad al-Amin al-Syamqiqi di dalam kitabnya “ Adwa’ al-Bayan fi Idhahil Quran bi al-Quran”, antara kufur yang nyata itu adalah apabila pemerintah meninggalkan hukum Islam lalu menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia.

- Lalu malaikat melahirkan rasa tidak bersetuju dengan mengatakan :

قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ

- Bermaksud secara tersirat mengapa tidak perintahkan kami sahaja tinggal dimuka bumi sebagai khalifah. Mengapa perlu mencipta makhluk lain yang mana makhluk yang baru ini sudah diilhamkan dalam pemikiran malaikat sebagai mahkluk yang akan melakukan kerosakan dan kejahatan seperti makhluk yang sebelum itu.

- Lalu Allah s.w.t menjawab:

قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ

Dimana Allah s.w.t menyatakan kepada malaikat bahawa “Aku lebih tahu apa yang kamu tidak tahu”.

- Diatas muka bumi ini terdapat beberapa perkara yang perlu ditadbirkan dimana para malaikat tidak boleh tadbir. Antaranya ada kerja menangkap ikan, bercucuk tanam, berniaga dan lain-lain yang mana kesemua ini bukan jenis amalan yang mampu dilakukan oleh para malaikat.

- Bahkan perkara tersebut tidak sesuai dengan kejadian dan sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dimana para malaikat itu dijadikan daripada nur (cahaya), tidak lelaki dan tidak perempuan. Tidak makan dan minum. Maka tidak layaklah para malaikat ditugaskan menjadi khalifah diatas muka bumi ini.

- Walaupun para malaikat mendakwa bahawa mereka sentiasa mengucapkan tasbih dan tahmid memuji Allah s.w.t, tetapi Allah memilih nabi Adam a.s dari kalangan manusia menunjukkan bahawa untuk mentadbir dibumi bukan cukup sekadar mengucap tasbih sahaja.

Waallahu a’lam



[1] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi (Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Takwil) (1999), J. 1, mk 77

[2] Ini adalah kerana jin menetap dibumi dahulu sebelum nabi Adam dijadikan. Apabila puak-puak jin ini melakukan kejahatan dan pertumpahan darah, maka Allah mengarahkan tentera iblis membunuh mereka serta menghalau mereka ke laut dan kepuncak-puncak bukit. Lihat Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 189. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 61.

[3] Seperti ayat ke 30 ini.

Wednesday, May 11, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 28-29)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 28 :

- Ayat ini dengan jelas menggambarkan kekafiran terhadap Allah s.w.t setelah berdepan dengan berbagai-bagai dalil dan menerima berbagai-bagai ni’mat itu adalah satu kekafiran yang amat buruk dan keji[1].

- Berdasarkan ayat ini, al-Quran sekali lagi membuktikan kepada mereka dengan kisah perjalanan hidup mereka dan peringkat-peringkat perkembangan kewujudan mereka yang mana dahulunya mereka mati kemudian dihidupkan dan seterusnya dimatikan kembali dan kemudian dihidupkan kembali semula.

- Setelah asalnya semua makhluk itu mati, kehidupan pertama bermula didalam rahim ibu dan selepasnya sehinggalah dimatikan ketika sampainya ajal. Kemudian dibangkitkan semula sebagai kehidupan yang kedua pada hari qiyamat di padang Mahsyar.[2]

- Perkataan تُرْجَعُونَ dalam tatabahasa arab merupakan “mabni lil majhul” ( dibina untuk disembunyikan) bermaksud kamu dikembalikan oleh Allah dengan cara yang majhul (tidak diketahui) samada ke syurga ataupun ke neraka. Dalam ayat lain Allah s.w.t berfirman [3]:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثاً وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Adakah kamu menyangka bahawa kami jadikan kamu main-main sahaja dan kamu menyangka bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?

2. Ayat 29 :

- Ayat ini merupakan ayat yang menjadi dalil ketuhanan Allah s.w.t dan diantara tanda ketuhanan Allah s.w.t ialah menjadikan makhluk.

- Antara makhluk yang dijadikan oleh Allah s.w.t ialah bumi dan langit dan bukan sahaja menjadikan bumi tetapi menjadikan segala benda yang ada pada bumi.

- Al-Fuqaha’ menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa semua yang ada diatas muka bumi ini asalnya halal kecuali bila ada nas yang menyatakan haram, maka jadi haramlah ia.

- Semua yang ada diatas muka bumi ini adalah bagi kita samada yang terbang di udara, yang merayap, berjalan, tumbuh ataupun yang tertanam di dalam perut bumi seperti galian iaitu bijih timah, emas, besi, minyak, uranium dan seumpamanya.

- Oleh itu, apabila sedang mencari rezeki kita perlu semestinya ingat bahawa Allah s.wt yang menyediakan kesemua segala apa yang ada dimuka bumi ini untuk manusia sekaligus mengakui bahawa Allah s.w.t adalah tuhan kita yang tidak ada tuhan melainkan Dia.

- Maksud kalimah اسْتَوَى adalah merupakan lambang kekuasaan Allah s.w.t dan menggambarkan maksud Allah s.w.t hendak mencipta langit.[4]

- Ayat ini juga membuktikan bahawa kejadian langit adalah daripada Allah s.w.t dan mempunyai tujuh lapisan. Tetapi dalam memahami ayat ini bukan menjadi fokus utama untuk berbicara dengan panjang lebar tentang makna sebenar اسْتَوَى . Begitu juga untuk berbicara tentang makna tujuh langit[5], tentang rupa bentuknya, ukuran besar kecil, tinggi rendah atau dimensinya kerana memadailah dengan maksud yang umum itu sahaja kerana fokus utama adalah tujuan Allah s.w.t mencipta alam semesta ini termasuk langit dan bumi adalah untuk ditayangkan bagi maksud mengecam sikap orang kafir yang mensyirikkan Allah s.w.t yang telah menjadikan segala isi bumi untuk mereka dan mengaturkan urusan langit dan bumi dengan cara yang membolehkan semua makhluk yang bernyawa hidup rehat di bumi ini.

- Sebagai seorang islam, kita sepatutnya percaya kepada apa yang ada nas sahaja daripada al-Quran dan al-Hadith. Al-Quran tidak menyatakan langit itu diperbuat daripada apa begitu juga al-Hadith. Justeru, kita hanyalah percaya bahawa langit itu ada dan yang dikatakan langit itu adalah benda yang diatas kita serta ada 7 lapisan.[6]

- Ayat ini juga hanya menerangkan langit sahaja yang mempunyai 7 lapisan bukan bumi. Walau bagaimanapun terdapat satu ayat yang menunjukkan bahawa bumi pun mempunyai tujuh lapisan[7] sepertimana firman Allah s.wt yang berbunyi[8]:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنْ الأَرْضِ مِثْلَهُنَّ

Maksudnya: Allah yang mencipta 7 petala langit dan menciptakan bumi seperti itu juga.

- Disokong pula dengan hadith yang menerangkan bahawa bumi itupun mempunyai 7 lapisan, antaranya[9] :

روى مسلم عن سعيد بن زيد قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من أخذ شبرا من الأرض ظلما طُوِّقه إلى سبع أرضين

Maksudnya: barang siapa yang mengambil satu jengkal daripada bumi dengan zalim maka Allah akan lipatkan keatasnya pada hari qiyamat dengan tujuh lapis bumi.

- Ayat ini juga menyebut بِكُلِّ yang memberi maksud Allah s.w.t mengetahui tiap-tiap sesuatu bukan sekadar sesuatu sahaja yang menunjukkan pengetahuanNya adalah tidak terhingga. Begitu juga dengan kalimah شَيْءٍ yang tidak dimasukkan alif dan lam[10] yang menunjukkan terlalu umum dengan makna Allah s.w.t pengetahuannya meliputi tiap-tiap sesuatu samada sesuatu yang diketahui ataupun sebaliknya.

Wallahu ‘alam…..



[1] Iaitu kekafiran yang tiada mempunyai sebarang alasan dan sandaran

[2] Sa’id Hawwa, al-Asas fi al-Tafasir (1991), J. 1, mk 101.

[3] Al-Mu’minun, ayat 115.

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 189

[5] Antara perbahasan tentang kejadian langit dan bilangannya sebanyak tujuh itu mereka mengatakan langit itu adalah apa-apa yang ada diatas kepala kita. Ada juga yang berpendapat langit itu adalah awan dan tidak kurang juga yang menyatakan bahawa langit itu adalah bintang yang tujuh iaitu Utarid (Mercury), Zuhrah, Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn), Uranus dan Neptune. Ada sebahagian pula yang mengatakan tujuh langit itu terdiri daripada tujuh jenis anasir : langit pertama dari jenis gelombang yang berlapis-lapis, langit kedua dari jenis batu marmar yang putih, langit ketiga dari jenis besi, langit keempat dari jenis tembaga kuning, langit kelima dari jenis perak, langit keenam dari jenis emas dan langit ketujuh dari jenis batu permata yakut yang merah. Lihat Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 61.

[6] Maksudnya, apa yang diberitahu oleh al-Quran dan al-Hadith kita percaya dan apa yang tidak diberitahu terserahlah kepada manusia untuk mengkajinya.

[7] Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 122, lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 179

[8] Al-Talaq, ayat 12.

[9] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 179.

[10] Menjadi isim nakirah, jikalau dimasukkan alif dan lam menjadi isim ma’rifah yang membawa kepada sesuatu yang khusus.

Saturday, May 7, 2011

JAMA' IMAM SEPULUH (BAQARAH, 4)

Disebabkan ayat keempat ini terdapat mad al-munfasil padanya, adalah lebih elok difahami dahulu kaedah ikhtiyar[1] imam-imam terhadap mad al-Munfasil sekaligus mad al-Muttasil

Al-Syatibiyyah:

1. Munfasil:

- Qasr[2] : Ibn Kathir dan al-Susi secara qaulan wahidan dan Qalun serta al-Durri Abu ‘Amru secara khilaf.

- Tawassut: Ibn ‘Amir, ‘Asim, al-Kisaei secara qaulan wahidan serta Qalun serta al-Durri Abu ‘Amru secara khilaf.

- Mad atau Isyba’: Warsy dan Hamzah secara qaulan wahidan.

2. Muttasil:

- Tawassut: Qalun, Ibn kathir, Abu ‘Amru, Ibn ‘Amir, ‘Asim, al-Kisaei secara qaulan wahidan.

- Mad atau Isyba’: Warsy dan Hamzah secara qaulan wahidan.

Al-Durrah:

1. Munfasil:

- Qasr : Ibn Kathir ,al-Susi, Abu Ja’far dan Ya’qub[3] secara qaulan wahidan dan Qalun serta al-Durri Abu ‘Amru secara khilaf.

- Tawassut: Ibn ‘Amir, ‘Asim, al-Kisaei dan Khalaf al-‘Asyir secara qaulan wahidan serta Qalun serta al-Durri Abu ‘Amru secara khilaf.

- Mad atau Isyba’: Warsy dan Hamzah secara qaulan wahidan.

2. Muttasil:

- Tawassut: Qalun, Ibn kathir, Abu ‘Amru, Ibn ‘Amir, ‘Asim, al-Kisaei, Abu Ja’far, Ya’qub dan Khalaf al-‘Asyir[4] secara qaulan wahidan.

- Mad atau Isyba’: Warsy dan Hamzah secara qaulan wahidan.

Al-Toyyibah:

1. Munfasil:

- Qasr[5] : Ibn Kathir, Abu Ja’far secara qaulan wahidan dan Qalun, Asbahani, Abu ‘Amru, Hisyam, ‘Asim dan Ya’qub secara khilaf.

- Tawassut[6]: al-Kisaei dan Khalaf al-‘Asyir secara qaulan wahidan serta Qalun, Asbahani, Abu ‘Amru, Hisyam, Ibn Zakwan, ‘Asim dan Ya’qub secara khilaf.

- Mad atau Isyba[7]: Warsy dan Hamzah secara qaulan wahidan serta Ibn Zakwan secara khilaf.

2. Muttasil:

- Tawassut: Qalun, Ibn kathir, Abu ‘Amru, Hisyam, ‘Asim, al-Kisaei, Abu Ja’far, Ya’qub dan Khalaf al-‘Asyir secara qaulan wahidan dan Ibn Zakwan secara khilaf.

- Mad atau Isyba’: Warsy dan Hamzah secara qaulan wahidan serta Ibn Zakwan secara khilaf.

بسم الله الرحمن الرحيم

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالآخرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

Al-Syatibiyyah:

- Qalun baca secara qasr al-munfasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf pada kalimah هُمْ , hanya al-Durri Abu ‘Amru (wajah pertama) sahaja ikut.[8]

- Qalun membaca pula silah mim al-jama’ pada kalimah هُمْ dan Ibn Kathir ikut.

- Qalun membaca pula secara tawassut al-munfasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf pada kalimah هُمْ , al-Durri Abu ‘Amru (wajah kedua), Ibn ‘Amir, ‘Asim dan al-Kisaei ikut .[9]

- Qalun membaca pula silah mim al-jama’ pada kalimah هُمْ

- Hamzah baca secara mad al-munfasil dan saktah[10] pada kalimah وَبِالآخرَةِ

- Khallad (wajah kedua) pula ikut dengan meninggalkan saktah [11]pada kalimah وَبِالآخرَةِ

- Warsy baca tarqiq ra[12], naqal[13] dan tathlis al-Badal [14]pada kalimah وَبِالآخرَةِ dan ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

- Al-Susi baca qasr al-munfasil beserta ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

Al-Durrah:

- Qalun baca secara qasr al-munfasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf pada kalimah هُمْ , al-Durri Abu ‘Amru (wajah pertama) dan Ya’qub ikut.[15]

- Qalun membaca pula silah mim al-jama’ pada kalimah هُمْ dan Ibn Kathir ikut.

- Qalun membaca pula secara tawassut al-munfasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf pada kalimah هُمْ , al-Durri Abu ‘Amru (wajah kedua), Ibn ‘Amir, ‘Asim, al-Kisaei dan Khalaf al-‘Asyir ikut .[16]

- Qalun membaca pula silah mim al-jama’ pada kalimah هُمْ

- Hamzah baca secara mad al-munfasil dan saktah pada kalimah وَبِالآخرَةِ

- Khallad (wajah kedua) pula ikut dengan meninggalkan saktah pada kalimah وَبِالآخرَةِ

- Warsy baca tarqiq ra’, naqal dan tathlis al-Badal pada kalimah وَبِالآخرَةِ dan ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

- Al-Susi baca qasr al-munfasil beserta ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

- Abu Ja’far baca silah mim al-Jama’, qasr al-munfasil beserta ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

Al-Toyyibah

- Qalun baca secara qasr al-munfasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf pada kalimah هُمْ , Abu ‘Amru, Hisyam, ‘Asim dan Ya’qub (kesemuanya wajah pertama) ikut.[17]

- Qalun membaca pula silah mim al-jama’ pada kalimah هُمْ dan Ibn Kathir ikut.

- Qalun membaca pula secara tawassut al-munfasil dan sukun mim al-jama’ secara khilaf pada kalimah هُمْ , Abu ‘Amru (wajah ketiga), Hisyam (wajah kedua), Ibn Zakwan (wajah kedua) ‘Asim (wajah kedua), al-Kisaei, Ya’qub (wajah kedua) dan Khalaf al-‘Asyir ikut .[18]

- Qalun membaca pula silah mim al-jama’ pada kalimah هُمْ

- Ibn Zakwan (wajah pertama) membaca dengan mad al-munfasil, khallad ikut[19] (wajah kedua)

- Hamzah baca secara mad al-munfasil dan saktah pada mad al-Munfasil [20]dan kalimah وَبِالآخرَةِ [21]

- Asbahani baca qasr al-munfasil beserta naqal [22]pada kalimah وَبِالآخرَةِ dan ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ ,

- Asbahani baca tawassut al-munfasil beserta naqal pada kalimah وَبِالآخرَةِ dan ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

- Al-Azraq baca tarqiq ra’[23], naqal dan tathlis al-Badal [24]pada kalimah وَبِالآخرَةِ dan ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

- Abu ‘Amru (wajah kedua) baca qasr al-munfasil beserta ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

- Abu ‘Amru (wajah keempat) baca tawassut al-munfasil beserta ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ

- Abu Ja’far baca silah mim al-Jama’, qasr al-munfasil beserta ibdal hamzah pada kalimah يُؤْمِنُونَ



[1] Ikhtiyar ini hanya melibatkan kaedah dua martabat sahaja bagi pengertian mad, iaitu tawassut dan isyba’. Secara hakikatnya ada beberapa martabat yang dinaqalkan daripada imam-imam. Demi untuk menjimatkan masa, adalah lebih baik digunakan 2 martabat ini sahaja. Untuk lebih jelas dalam memahami kesemua martabat sila lihat al-Dani, al-Taysir fi al-Qira’at al-Sab’ (1996), mk 35. Lihat juga Felza Zulhibri b. Abd Hamid (2010),Riwayat Hafs bin Sulayman al-Kufi: Kajian Perbandingan antara Tariq al-Shatibiyyah dengan Tariq al-Jazariyyah. Disertasi, Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, mk 81.

[2] Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Mad wa al-Qasr, mk 14):

فإن ينفصل فالقصر بادره طالبا بخلفهما يرويك درا ومخضلا

[3] Kata Ibn al-Jazari (al-Durrah, al-Mad wa al-Qasr, mk 17):

وما انفصل اقصرن ألا حز

[4] Kata Ibn al-Jazari (al-Durrah, al-Mad wa al-Qasr, mk 17):

ومدهم وسط

[5] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr,bab al-Mad wa al-Qasr, mk 42):

وقصر منفصل بن لي حما عن خلفهم داع ثمل

[6] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr,bab al-Mad wa al-Qasr, mk 42):

وعن باقي الملا وسط

[7] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr,bab al-Mad wa al-Qasr, mk 42):

إن حرف مد قبل همز طولا جد فد ومز خلفا

[8] Maka yang tidak mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Warsy, Ibn Kathir, al-Durri Abu ‘Amru (wajah kedua), al-Susi, Ibn ‘Amir, ‘Asim, Hamzah dan al-Kisaei.

[9] Maka baki imam yang tidak membaca lagi setakat bacaan Qalun yang ketiga ini adalah Warsy, al-Susi dan Hamzah

[10] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Naql Harakat al-Hamz ila al-Sakin Qablaha, mk 19):

وعنده روى خلف فى الوصل سكتا مقللا

[11] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Naql Harakat al-Hamz ila al-Sakin Qablaha, mk 19):

وبعضهم لدى اللام للتعريف عن حمزة تلا وشئ وشيا لم يزيد

[12] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Mazahibhim fi al-Ra’at, mk 28):

ورقق ورش كل راء وقبلها مسكنة ياء أو الكسر موصلا

[13] Kata al-Syatibi (Hirz, bab Naql Harakat al-Hamz ila al-Sakin Qablaha, mk 19):

وحرك لورش كل ساكن اخر صحيح بشكل الهمز واحذفه مسهلا

[14] Bermula dengan qasr kemudian tawassut dan akhirnya mad. Kata al-Syatibi (Hirz, bab al-Mad wa al-Qasr, mk 14):

وما بعد همز ثابت أو مغير فقصر وقد يروى لورش مطولا ووسطه قوم

[15] Maka yang tidak mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Warsy, Ibn Kathir, al-Durri Abu ‘Amru (wajah kedua), al-Susi, Ibn ‘Amir, ‘Asim, Hamzah dan al-Kisaei, Abu Ja’far dan Khalaf al-‘Asyir

[16] Maka baki imam yang tidak membaca lagi setakat bacaan Qalun yang ketiga ini adalah Warsy, al-Susi, Hamzah dan Abu Ja’far.

[17] Maka yang tidak mengikut bacaan Qalun yang pertama ini adalah Warsy (Asbahani dan al-Azraq), Ibn Kathir, Abu ‘Amru (wajah kedua,ketiga dan keempat), al-Susi, Hisyam (wajah kedua),Ibn Zakwan, ‘Asim (wajah kedua), Hamzah dan al-Kisaei, Abu Ja’far, Ya’qub (wajah kedua) dan Khalaf al-‘Asyir

[18] Maka baki imam yang tidak membaca lagi setakat bacaan Qalun yang ketiga ini adalah Warsy (Asbahani dan al-Azraq), Abu ‘Amru (wajah kedua dan keempat), Ibn Zakwan (wajah pertama), Hamzah dan Abu Ja’far.

[19] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr, bab al-Sakt ‘ala al-Sakini Qabla al-Hamzi wa Ghayrihi, mk 47):

أو ليس عن خلاد السكت اطرد

[20] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr, bab al-Sakt ‘ala al-Sakini Qabla al-Hamzi wa Ghayrihi, mk 47):

وقيل بعد مد

[21] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr, bab al-Sakt ‘ala al-Sakini Qabla al-Hamzi wa Ghayrihi, mk 47):

والسكت عن حمزة في شئ وأل

[22] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr, bab Naql Harakat al-Hamzah ila al-Sakin Qablaha, mk 47):

وانقل إلى الآخر غير حرف مد لورش

[23] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr, bab Mazahibhim fi al-Ra’at, mk 54):

والراء عن سكون ياء رقق أو كسرة من كلمة للأزرق

[24] Kata Ibn al-Jazari (Tayyibah al-Nashr, bab al-Mad wa al-Qasr, mk 42):

وأزرق إن بعد همز حرف مد مد له واقصر ووسط