Wednesday, December 23, 2009

ULASAN ARTIKEL DR. MAZA

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim
Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia. Berkelulusan PhD (Fiqh & Usul Fiqh) dari UIA dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang al-Fiqh wa al-Tasyri' (Universiti of Jordan)

Saya diminta untuk mengulas artikel 'Salah Guna Nama Ijmak' oleh Dr. MAZA dalam Utusan Malaysia, 13 Disember 2009 dalam keadaan saya bukan peminat ruangannya. Di sebabkan tajuknya penting dan dalam bidang saya iaitu ijmak, saya rasa, saya perlu juga memberi komen terhadap tajuk ini. Selamat membaca.

Artikel Dr. Maza : Salah guna nama ijmak
Rujuk di sini
Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservatif agama itu sendiri. Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah 'tidak laku' atau menghadapi 'tarikh luput' di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai.

Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas. Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan. Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama. Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.
[Komen Dr. Asmadi: Cara biasa MAZA dalam mengkritik orang-orang Tareqat dan orang-orang agama. Dikaitkan agama sebagai sumber pendapatan. Sebenarnya, ulama-ulama terkenal di Persidangan Fiqh Antarabangsa pun membenarkan pengambilan upah terhadap urusan mengajar agama. Bahkan bila menjemput mereka membentangkan kertas kerja, kita bayar juga pada mereka saguhati. Tak tahulah pula kalau MAZA mengajar di USM, dulu jadi Mufti di Perlis, bagi ceramah dan menulis dilakukan secara FOC 'free of charge'. Kalau dia juga ambil gaji, jadi apa bezanya. Yang ini gaji tetap, yang itu tidak tetap.

Tidak baik mengkritik orang Tareqat secara umum. Apa yang saya kenali, ramai orang-orang Tareqat jujur orangnya. Khususkan tareqat yang macam mana dikritik].

Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi 'ijmak ulamak'. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama. Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijmak. Kesan, membawa kepada kekufuran.

[Komen Dr Asmadi: Orang yang menyanggah MAZA tidak tuduhpun dia kufur. Cuma kata dia bertentangan dengan Ijmak ulama Nusantara].

Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut 'kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama'. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya "Pendapat ulama-ulama kita la..". Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama. Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijmak atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijmak yang sebenar?

Takrif bagi perkataan al-Ijmak ini di sisi majoriti ulama ialah "Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak". (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.

[Komen Dr Asmadi: Kitab Sheikh Wahbah al-Zuhaili itu rujukan kami ketika tahun 1 dan 2 Kuliah Syariah. Ia rujukan sekunder, bukan rujukan utama. Bila tahun 3 dan 4, penulisan guna kitab moden sebagai rujukan tak diberi markah penuh].

Kesepakatan

Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman. Maksudnya, para mujtahidin tanpa mengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak. Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.

Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr 'Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah). Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa 'arus perdana' atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.
[Komen Dr Asmadi: Sekiranya MAZA jumpa kitab-kitab usul fiqh silam atau baca kitab-kitab tersebut (sebaiknya mengadap guru), dia akan jumpa dengan istilah Ijmak al-ummah, ijmak ulama ahl al-sunnah, ijmak empat mazhab, ijmak ahl al-Iraq, Ijmak ulama al-Hijaz dan Ijmak ulama al-Madinah lain-lain. Tidak cukup untuk membuat kesimpulan tentang ijmak dengan hanya merujuk kitab-kitab moden.

Untuk faedah pembaca saya perincikan: Ijmak al-ummah ialah ijmak ulama lapan (8) mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, Zahiri, Syiah Imami, Syiah Zaidi dan Ibadi (berasal dari serpihan Khawarij). Ijmak ahl al-sunnah ialah kesepakatan keseluruhan 4 mazhab dan Zahiri. Ijmak empat mazhab ialah sepakat empat mazhab yang utama tadi. Jadi kekuatan setiap ijmak tadi ialah bergantung kepada sejauh mana penghujahan setiap kumpulan tersebut.

Oleh itu, boleh kita pakai istilah Ijmak ulama Nusantara atau ijmak ulama India. Cuma kekuatan hujjahnya tidak sekuat ijmak mutlak oleh ulama-ulama setiap tempat di dunia ini].

Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya. Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira. Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid. Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: "Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).

[Komen Dr Asmadi: Ulama sememangnya sepakat, mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya. Tidak wajib mengikut mana-mana mazhab. Cuma dalam konteks kita, ramai ustaz-ustaz yakin dengan cara penghujahan Imam Syafie dan anak-anak muridnya. Lantas, ustaz-ustaz pun mengeluarkan pandangan atas pandangan Imam Syafie, maka orang-orang awam pun mengambil pandangan Ustaz tadi yang berpegang dengan mazhab Syafie.

Kata-kata al-Qardhawi: Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin". Benar, kesepakatan yang diiktibarkan (diambil kira) ialah kesepakatan para Mujtahid.

Tapi kata-kata MAZA: 'kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya'.

Ulama tidak mensyaratkan para mujtahidin mencapai peringkat mujtahid mutlaq (boleh bina Mazhab sendiri) atau mujtahid tarjih, baru boleh diambil kira ijtihadnya. Imam al-Nawawi, mujtahid tetapi tidak keluar dari Mazhab Syafie. Imam Abu Yusof dan Imam Muhammad adalah mujtahid mazhab, namun tidak keluar dari kaedah Mazhab Hanafi. Justeru, kesepakatan para Mufti yang tahu dalil (walau masih bermazhab) masih boleh diambil kira. Sekiranya diberi kebebasan kepada sesiapa tanpa terikat dengan pandangan Majlis Fatwa, boleh menghuru-harakan masyarakat].

Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian. Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina 'Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir .

[Komen Dr.Asmadi: Ya, bukan senang mendakwa sesuatu itu ijmak. Perlu kepada banyak pemeriksaan. Hukuman sebat untuk peminum arak adalah sesuatu yang ada nasnya. Ulama hanya khilaf pada mengklasifikasikannya hudud atau takzir].

Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja. Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijmak (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: "Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu" (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).

[Komen Dr Asmadi: Ya, saya setuju].

Maka kita anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham. Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

[Komen Dr Asmadi: Orang-orang agama ada dua golongan iaitu pertama yang merasakan diri bukan mujtahid, dan kedua: yang merasa diri mujtahid. Kalau tuan-puan memang yakin dengan ilmu ustaz-ustaz yang merasa diri mujtahid tu dan ketaqwaannya, silalah ikut mereka. Masalah saya ialah saya tak yakin dengan ilmu dan ketaqwaan ustaz-ustaz yang merasakan diri mujtahid tadi. Sebab itu saya masih mengeluarkan pandangan kebanyakkannya dalam Mazhab Syafie disebabkan keyakinan saya pada ilmu dan ketaqwaan (kewarakan) Imam Syafie dan anak-anak muridnya Rahimahumullah.

Seorang ulama masih lagi ulama walaupun dia mengikut mazhab. Mereka di atas dari golongan muqallid iaitu digelar 'muhafiz' atau 'muttabi'' (istilah ini ada dalam kitab primer (utama) dan tidak ada dalam kitab moden), iaitu mengikut mazhab dengan juga melihat dalil. Sebagai contoh, batal wudu' apabila menyentuh isteri. Dia menyedari ada hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW menggerakkan kaki Aisyah yang sedang tidur ketika Rasulullah SAW hendak bersolat tahajjud. Dia berpuas hati dengan hujah Mazhab Syafie yang mengatakan Rasulullah SAW memegangnya dalam keadaan berlapik. Kenapa dia berpuas hati dengan demikian? Kerana secara umumnya adab 'tidur bersama isteri' ialah dalam keadaan berselimut. Padanya, mana mungkin Rasulullah SAW dan isteri bertelanjang. Boleh baca nas-nas lain menceritakan adab tidur bersama isteri dan sunnah memakai 'izar' ketika mandi. Apatah lagi, di Timur Tengah, malamnya suhu melampau, bila dibuka selimut kaki, terasa sejuk sampai ke tulang! Cuma bagi sesetengah orang, dia terbayangkan seolah-olah Rasulullah SAW macam dia yang tidur tak berselimut dengan isterinya! Wallahu a'lam.]

Selamat menilai artikel ini dan komen-komen saya.

Allahu musta'an.

Abu al-'Izz

Sumber : Dr. Asmadi

Tuesday, December 22, 2009

PERSOALAN MAD WAL QASR (4)

MAD MUTTASIL MELIBATKAN RAWM DAN ISHMAM KETIKA WAQAF

Di dalam ilmu al-Qira´at terdapat permasalahan yang memerlukan sepenuhnya metode talaqqi dan musyafahah bersama guru[1] agar bentuk bacaan tersebut tidak terkeluar daripada apa yang telah ditetapkan oleh para qurra´. Ini adalah kerana menjadi suatu kesukaran untuk menterjemahkan sesuatu bunyi kepada pemahaman teori melalui penulisan.

Jikalau diterjemahkan juga sesuatu bunyi itu melalui penulisan, kemungkinan kefahaman seseorang itu tidak kesampaian dan mungkin juga tidak memberi apa-apa kefahaman langsung. Justeru metode talaqqi dan musyafahah ini adalah elemen yang amat penting dalam memastikan kesahihan sesuatu bacaan al-Qur’an.

Antara permasalahan tersebut adalah melibatkan wajah rawm dan ishmam. Rawm bermaksud melemahkan suara baris huruf terakhir ketika memberhentikan bacaan. Maksud “melemahkan suara baris huruf” ialah dibunyikan sebahagian sahaja barisnya dan hanya orang yang berdekatan sahaja yang dapat mendengar suara huruf tersebut.[2] Manakala ishmam pula adalah memuncungkan kedua bibir selepas memberhentikan huruf yang terlibat tanpa mengeluarkan sebarang bunyi.[3]

Penulis hanya akan membentangkan perkara yang tidak disepakati sahaja oleh dua Tariq yang terlibat kerana dengan ini ianya akan mewujudkan perbezaan antara kedua Tariq. Antara penglibatan rawm dan ishmam dalam pembacaan al-Qur´an adalah ketika memberhentikan bacaan (waqaf). Asal memberhentikan bacaan adalah dengan cara mematikan baris huruf yang terakhir ataupun di panggil sakin mahd [4] sepertimana kata imam al-Shatibi [5]:

وَاْلإِسْكاَنُ أَصْلُ اْلوَقْفِ....

Maksudnya: Dan al-Iskan (mematikan baris huruf) adalah asal kaedah waqaf.

Disokong oleh Ibn al-Jazari dengan katanya[6] :

وَالْلأََ صْلُ فِى اْلوَقْفِ السُّكُونُ....

Maksudnya: Asal pada hal waqaf adalah al-Sukun (mematikan baris huruf)

Terdapat juga wajah alternatif yang diharuskan oleh para qurra´ iaitu rawm dan ishmam. Tetapi kedua-dua wajah ini hanya melibatkan baris dammah dan kasrah sahaja sepertimana kata imam al-Shatibi : [7]

وَفِعْلُهُمَا فِى الضَّمِّ وَالرَّفْعِ وَارِدٌ وَرَوْمُكَ عِنْدَ اْلكَسْرِ وَاْلجَرِّ وُصِّلاَ

Maksudnya : Penggunaan kedua-duanya (rawm dan ishmam) adalah warid pada dammah dan raf’i dan rawm ketika kasrah dan majrur.

Ibn al-Jazari pula menambah melalui katanya[8]:

وَلَهُمْ فِى الرَّفْعِ وَالضَّمِّ أشْمِمَنَّهُ وَرُمْ وَامْنَعْهُمَا فِى النَّصْبِ وَاْلفَتْحِ بَلَى فِى اْلجَرِّ وَاْلكَسْرِ يُرَامُ مُسْجَلاَ

Maksudnya: Dan mereka (qurra´) ishmam dan rawm pada raf’i dan dammah, dan dilarang kedua-duanya ketika nasab dan fath dan rawm pada majrur dan kasrah.

Dengan ini dapatlah difahami bahawa wajah rawm melibatkan baris kasrah dan dammah, manakala wajah ishmam pula hanya melibatkan baris dammah sahaja. Adapun baris fathah tidak menerima kedua-dua wajah tersebut. Merujuk kepada komentar imam al-Shatibi dan Ibn al-Jazari mengenai hal rawm dan isymam, maka dengan jelas dapat difahami bahawa kedua-dua Tariq yang menjadi kajian penulis bersepakat tentang penglibatan kedua-dua wajah ini ketika waqaf. Adapun perbezaan itu timbul apabila ianya melibatkan sesuatu pemanjangan mad yang mempunyai perbezaan tersendiri mengikut persepsi kedua-dua Tariq.[9]

Pemanjangan mad yang dimaksudkan adalah merujuk kepada mad muttasil yang ada huruf hamzah di hujung kalimah ketika waqaf. Penglibatan rawm dan ishmam juga bergantung kepada baris hamzah tersebut. Maka disini disimpulkan bahawa bagi kalimah yang hamzah berbaris fathah seperti : (الأَسْمَاءَ) mengikut Tariq al-Shatibiyyah ada dua wajah sahaja iaitu empat dan enam harakat secara sakin mahd. Manakala Tariq al-Jazariyyah pula mempunyai tiga wajah iaitu empat, lima dan enam harakat juga secara sakin mahd. [10]

Bagi kalimah yang hamzah berbaris kasrah seperti : (السَّمَاءِ)mengikut Tariq al-Shatibiyyah ada tiga wajah sahaja iaitu empat dan enam harakat secara sakin mahd dan ditambah dengan empat harakat beserta rawm. Manakala Tariq al-Jazariyyah pula mempunyai lima wajah iaitu empat, lima dan enam harakat secara sakin mahd. Dan di tambah dengan empat dan lima harakat beserta rawm. [11]

Bagi kalimah yang hamzah berbaris dammah seperti : (السُّفَهَاءُ)mengikut Tariq al-Shatibiyyah ada lima wajah sahaja iaitu empat dan enam harakat secara sakin mahd, ditambah dengan empat dan enam harakat beserta ishmam dan empat harakat beserta rawm. Manakala Tariq al-Jazariyyah pula mempunyai lapan wajah iaitu empat, lima dan enam harakat secara sakin mahd. Kemudian ditambah dengan empat, lima dan enam harakat berserta ishmam dan empat dan lima harakat beserta rawm. [12]



[1] Guru tersebut mestilah berkeupayaan menterjemahkan kaedah rawm dan ishmÉm ini dengan bentuk yang telah disepakati oleh para qurra´.

[2] ‘Abd AllÉh b. Abd al-Mu´min b. al-WajÊh al-WÉÎiÏÊ, (1998), al-Kanz fÊ al-QirÉ´Ét al-‘Ashr, (tahqiq: Hana´ al-×imÎÊ), Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, h. 99.

[3] Ibid.

[4] Cara yang kebiasaan digunakan oleh pembaca al-Qur’an dalam memberhentikan bacaan.

[5] al-ShÉÏibÊ, (1996), op. cit., h. 30.

[6] al-JazarÊ , (1994), op. cit., h.56

[7] al-ShÉÏibÊ, (1996), op. cit.

[8] al-JazarÊ , (1994), op. cit.

[9] Sepertimana yang telah diperjelaskan di awal bab mad muttaÎil.

[10] MuÍammad Abd DÉyim KhamÊs, (1996), op. cit., h. 249-250

[11] Ibid.

[12] Ibid.


MAZHAB FIQH VS MAZHAB QIRA'AT

Kita tidak berijtihad, tetapi kita memilih salah satu dari dua pendapat imam-imam. Bagaimana pula ini dikatakan sebagai ijtihad? Mengapa kita hanya perlu mengikut satu mazhab sahaja? Tidak bolehkah kita mencampur-adukkan semua pendapat dan memilih yang terbaik?

Menjawab persoalan di atas, ijtihad bermakna mengeluarkan pendapat. Apabila terdapat dua pendapat yang berlainan, memilih salah satu dari kedua pendapat itu juga dikira sebagai ijtihad. Ikhtilaf yang timbul antara mazhab hari ini sebenarnya adalah ikhtilaf dan perbezaan pendapat sejak zaman para sahabat lagi.

Sekiranya terdapat percanggahan pendapat antara dua sahabat, maka imam-imam akan terlebih dahulu meneliti yang mana satukah antara percanggahan tersebut yang lebih menepati syarak.

Hasilnya adalah ikhtilaf yang kita lihat pada hari ini. Imam Abu Hanifah lebih condong dalam memilih pendapat Ibnu Mas’ud misalnya dan Imam Syafie lebih kepada Ibnu Abbas. Tidaklah bermakna mereka tidak mengetahui pendapat sahabat-sahabat yang lain.

Jadi, apabila kita melihat terdapat dua pendapat yang berlainan, maka memilih salah satu ke atas yang lain juga dikira sebagai ijtihad kerana ini jualah amalan imam-imam mujtahid yang terdahulu. Dan untuk kita memilih salah satu dari pendapat tersebut kita mestilah mempunyai dalil dan nas yang cukup di samping mengetahui kesemua dalil dan nas, pro dan kontra masalah berkenaan.

Alasan bahawa kita tidak mengeluarkan pendapat dan masih berpegang kepada pendapat seseorang imam tanpa mengikut imam tersebut dalam lain-lain masalah adalah tidak dapat diterima sama sekali. Oleh itu sekiranya ada dalam kalangan kita yang mahu berbuat demikian, hendaklah dia fikirkan kesemua jawapan terhadap persoalan yang bakal dibangkitkan dari segi bahasa, usul, hadis dan lain-lain sebelum dia memilih untuk memilih sebarang pendapat kerana inilah yang telah dilakukan oleh mujtahid-mujtahid terdahulu.

Pernah satu ketika Khalifah Harun ar-Rashid mencadangkan kepada Imam Malik agar disatukan kesemua mazhab dan diambil yang terbaik. Jawapan Imam Malik ialah kesemua perbezaan pendapat adalah berdasarkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya diambil satu sahaja dari kesemua perbezaan tersebut dan ditinggalkan yang lain sedangkan ada kemungkinan yang ditinggalkan itu sebenarnya tepat maka seolah-olah kita meninggalkan sunnah Nabi s.a.w. Jadi tiada keperluan untuk menyatukan semua mazhab apabila kesemua sunnah Nabi s.a.w dapat diamalkan walaupun oleh berlainan puak.

Majoriti ummah pada hari ini membaca al-Quran dengan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim al-Kufi. Seperti yang diketahui umum, terdapat 10 qiraat hari ini yang masih boleh dibaca dalam solat. Di utara Afrika misalnya mereka membaca al-Quran dengan riwayat Qalun atau Warsh dari Imam Nafi’ Madani. Ulama qiraat mengatakan bahawa qiraat yang boleh dibaca pada hari ini hanyalah sepuluh dan setiap sepuluh qiraat tersebut mencapai darjat mutawatir (terlalu ramai bersepakat mengenai cara pembacaannya sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga kini sehingga mustahil untuk mereka berkomplot untuk menipu mengenainya).

Semua ahli qiraat bersetuju bahawa diperbolehkan untuk membaca kesemua qiraat dalam satu tilawah dengan cara kita membaca setiap ayat beberapa kali di samping mengkhatamkan setiap cara bacaan. Ataupun kita kumpulkan kesemua qiraat tanpa mengulang ayat tersebut berulang kali, sebaliknya menghabiskan setiap qiraat terhadap setiap perkataan. Untuk memahami hal ini lebih lanjut kita bolehlah mendengar tilawah dari Syeikh Abdul Basit atau dari bacaan Syeikh Na’ina misalnya.

Pun begitu ahli qiraat mengatakan ketika tilawah tidak dibolehkan membaca satu ayat dalam sesuatu qiraat, kemudian membaca ayat yang berikutnya dalam qiraat yang lain kerana perkara ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak. Hal ini disepakati oleh semua sama ada pihak yang bermazhab atau selainnya. Jadi sekiranya kita tidak boleh mengambil qiraat dan membacanya bercampur-aduk dengan sesuka hati, bagaimana pula kita boleh mencampur-adukkan pendapat antara mazhab sesuka-hati?

Mengapa golongan yang tidak bermazhab dalam bidang fiqh bertaqlid dengan Imam Hafs dan Imam ‘Asim dalam bidang qiraat? Mengapa tidak mengatakan bahawa Imam ‘Asim tidak pernah memaksa sesiapun untuk bertaqlid dengan beliau? Mengapa soalan-soalan yang sering diutarakan dalam perbahasan fiqah langsung tidak pernah diutarakan dalam ilmu qiraat?

Sekiranya kita berpendapat perlu kita bertaqlid dengan Imam qiraat, maka tidak dapat tidak kita juga mesti bertaqlid dengan imam-imam mujtahidin.

credit to: Harakahdaily.net

P/S: bila baca artikel ini...teringat masa aku bertanyakan kepada seorang pilot yg berlagak alim....konon tak nak bertaqlid...aku tanya...enta baca quran ikut siapa?...dia jwp ...ikut hok ust dia ajar la...bengap jugak dia ni...camner boleh jadi pilot....bila aku sebut imam hafs je...terkebil2 biji mata...maknanya...dia baca quran bertaqlidkan ust dia semata2...aku pasti mmg dia ni tak berape reti nak baca quran sbb sebut afdol pun jadi afdal...geram aku nak suruh dia baca fatihah sket...tp disebbkan dia jahil ttg perkara ni...aku blah dulu lah...wasting my time ckp dgn org bodoh sombong ni tapi nak berlagak hebat...

PERSOALAN MAD WAL QASR (3)

MAD MUTTASIL MELIBATKAN HAMZAH KETIKA WAQAF

Kesimpulan yang diperjelaskan sebelum ini (bab mad Muttasil) adalah merujuk kepada pemanjangan mad muttasil ketika wasal dan waqaf. Ada pun ketika waqaf melibatkan huruf hamzah yang terletak di akhir kalimah, semua imam[1] menambah ikhtiyarnya kepada satu peringkat lagi iaitu enam harakat kerana berkumpulnya dua sebab[2] dalam satu tempat, seperti kalimah : السُّفَهَاءُ

Sepertimana kata Shaykh Ibrahim ‘Ali Shihatah al-Samanudi dalam matannya Lali´a al-bayan[3]:

وَزَادَ فِى كَالْمَاءِ سِتًّا إِنْ يَقِفْ...

Maksudnya: Dan ditambah (oleh semua qurra´) seperti kalimah al-Ma´ (kalimah yang ada hamzah di hujung) enam harakat ketika waqaf.

Di dalam kitab al-Nafahat al-´Ilahiyyah fi Syarh matn al-Shatibiyyah , karangan Muhammad ‘Abd Dayim Khamis mengatakan bahawa bagi imam yang ikhtiyarnya lima harakat, maka pada permasalahan ini ikhtiyarnya lima dan enam harakat. Ada pun imam yang ikhtiyarnya empat harakat, maka pada permasalahan ini ikhtiyarnya empat dan enam harakat[4].

Pemanjangan ini juga akan melibatkan rawm dan ishmam yang akan melahirkan wajah[5] yang lain bergantung kepada baris hamzah tersebut. Perkara ini akan diperbincangkan pada bab yang seterusnya.

Maka dengan ini dapatlah disimpulkan bahawa pemanjangan bagi mad muttasil yang melibatkan huruf hamzah di akhir kalimah ketika waqaf bagi Tariq al-Shatibiyyah adalah empat dan enam harakat. Manakala bagi Tariq al-Jazariyyah jikalau memilih empat harakat, maka pemanjangannya bersamaan Tariq al-Shatibiyyah. Jikalau memilih lima harakat, maka pemanjangan adalah lima dan enam harakat dan tiada tambahan kadar harakat sekiranya memilih enam harakat.



[1] Kecuali bagi imam yang ikhtiyÉrnya enam harakat

[2] Hamzah dan sukun ‘ÉriÌ berada di tempat yang sama.

[3] Ibid., h.97

[4] MuÍammad Abd DÉyim KhamÊs, (1996), Al-NafaÍÉt al-´Ilahiyyah fÊ SharÍ matn al-ShÉÏibiyyah, Kaherah: DÉr al-ManÉr, h. 249

[5] Iaitu alternatif bentuk bacaan yang lain


Thursday, December 10, 2009

KALAU PHD JADI UKURAN....

Kalau PHD Jadi Ukuran, Lebih Baik Setuju Dengan Ulama Syiah Di Iran..

Thursday, December 10, 2009

Sudah lama tidak menulis di dalam laman saya ini. Memang saya akui tahun ini agak sibuk berbanding tahun sebelum ini. Kelas pengajian, kerja-kerja persatuan dan masa untuk saya menulis agak terbatas. Namun itu bukannya alasan untuk menafikan bahawa penulisan melalui internet juga merupakan satu wasilah utama untuk menyampaikan dakwah yang tidak boleh untuk dipandang ringan. Malah tertarik ketika membaca Akhbar al-Liwa’ al-Islami bilangan ke 1454 yang bertarikh 16 Zulhijjah 1430 Hijriyah bersamaan 3 Disember 2009 yang mana memuatkan pendapat dan saranan para ulama al-Azhar al-Syarif untuk menggunakan ruang internet sebagai salah satu medium dakwah. Malah mereka mengatakan bahawa ini adalah salah satu cabang jihad yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak termasuk para ulama. Al-Syeikh Dr Muhammad Abu Lailah , salah seorang ahli Majlis Penyelidikan Islam Mesir dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam al-Azhar al-Syarif mengatakan bahawa sudah menjadi kewajipan pada zaman sekarang untuk menyusun dan membina generasi mujahid di dalam bidang elektronik ini.

Alhamdulillah, Moga Allah taala memasukkan saya dan sahabat-sahabat semua di dalam generasi pelapis perjuangan tersebut aminn.

Tapi bilamana membaca ruangan sembang yang saya sediakan disebelah ini, hati ini kadang-kadang tertawa melihat sebahagian manusia yang mana mereka ini merasakan bahawa diri mereka sahaja yang benar malah tanpa segan silu mengeluarkan istilah-istilah yang mereka sendiri keliru penggunaannya. Digunakan istilah “kritikan” untuk sesuatu yang bermaksud kasar dan kurang adab. Malah cuba untuk menggunakan istilah “nasihat” supaya nampak lebih molek.

Pokok masalahnya adalah satu sahaja. Bilamana orang yang mereka sanjung dikritik dan ditegur maka mulalah melenting dan mencari-cari apa perkara yang boleh untuk kami hujum kembali peribadi si penulis ini. Bilamana saya dan sahabat-sahabat membaca apa yang mereka tulis dan kononnya menjawab penulisan yang saya tulis ini , terus terang saya katakan bahawa tiada apa-apa hujah sebenarnya yang dikeluarkan. Cuma tuduhan-tuduhan seperti “ taasub” dan istilah-istilah sebegitulah yang digunakan berulang-ulang kali.Rujuk kembali tulisan saya apakah yang dimaksudkan dengan taasub yang sebenar. Jangan hanya pandai guna istilah namun tidak tahu maksud sebenarnya. Nanti jelas pekung di dada.

Oleh sebab itulah saya pernah menulis sebelum ini permasalahan “salah faham dan salah guna istilah” yang berleluasa sekarang. Bilamana kita mengkritik dan menegur maka ini dikatakan tidak seperti memberi nasihat. Tetapi bilamana , “Guru” mereka yang cukup mereka sanjung itu mengkritik para ulama yang muktabar, maka perkataan mengkritik tersebut terus ditukar menjadi satu penilaian ilmiyah dan kalimah-kalimah “ ulama tidak ma’sum” mula kedengaran di sana sini.

BELAJAR TAK HABIS JANGAN PANDAI KRITIK ORANG LAIN

Ini salah satu bahasa yang digunakan. Cukup menarik. Namun terselit kejahilan.Inikah bahasa orang-orang yang “sudah belajar habis”??

Saya mengakui, pemikiran masyarakat sekarang yang lebih meletakkan bahawa pangkat dan kelulusan itu lebih utama berbanding ilmu sebenar sudah semakin membarah.

Saya tidak menafikan bahawa pangkat dan kelulusan itu penting pada zaman sekarang. Namun jangan dijadikan sandaran utama untuk menilai seseorang. Jangan disangka semua yang mempunyai pangkat kedoktoran itu sudah menggunung ilmunya kalau sekadar tesisnya telah dinilai dan disemak oleh 3 atau 4 orang doktor yang lain bagi meletakkan sesuatu pangkat. Malah bukanlah semua bidang ilmu dibahaskan, cuma tajuk tertentu yang dipilih.

Kalau begitu, saya juga ingin membandingkan dengan karya al-Imam Syamsuddin al-Ramli rahimahullah yang telah mengarang kitab Nihayatul Muhtaj yang telah disemak hampir 400 orang ulama terkemuka pada zaman tersebut. Mana nilai doktor sekarang jika dibandingkan dengan nilai karangan para ulama terdahulu??

Risalah Doktor yang ditulis pula terkadang tidak memakan masa yang lama untuk penilaiannya, mungkin selama 3 sehingga 4 tahun sahaja maka sudah cukup untuk mendapat gelar Doktor PHD. Mana nilainya jika dibandingkan dengan karya yang ditulis oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullah yang telah menyusun Sahih al-Bukhari selama hampir 16 tahun barulah dikeluarkan. Al-Imam Malik bin Anas rahimahullah , menyusun kitab al-Muwatta’ juga memakan masa selama 16 tahun. Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah mengelilingi dunia dua kali semasa penyusunan kitab Musnadnya dilakukan.Setelah dua kali mengelilingi dunia , barulah kitabnya dikeluarkan. Ini seperti yang diceritakan oleh al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah di dalam kitabnya al-Saidu al-Khatir. Mana nilainya risalah PHD yang ditulis jika dibandingkan dengan karangan ulama terdahulu??

Sebab itulah saya katakan, jangan suka membandingkan. Jika membandingkan maka jelas nampak kejahilan kita dalam berbicara.

Perkataan “ tunggu habis belajar dahulu baru boleh berbicara” juga satu perkara yang perlu dinilai semula. Persoalan saya, bilakah akan “habis belajar” ?

Adakah golongan yang menilai habis belajar tersebut dengan sekadar tahun-tahun di Kuliyyah dan sekadar habiskan sejumlah kitab untuk mengatakan bahawa orang tersebut sudah habis belajar??

Guru Kami yang mulia al-Allamah Dr Yusri Rusydi hafizahullah mengatakan bahawa :

“ Ilmu sebenar adalah nur yang terpancar daripada huruf-huruf di dalam kitab. Ilmu sebenar adalah ilmu yang diamalkan dan padanya mengeluarkan natijah taqwa kepada Allah taala”.

Adakah golongan sebegini ingin menafikan kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam yang bersabda :

بلغوا عنى ولو آية

Maksudnya : Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walaupun satu ayat.

Baginda tidak menyebutkan pula pada ketika tersebut bahawa “ bila sudah habis belajar” ,mendapat Degree atau pangkat tertentu barulah sampaikan ilmu. Malah hadis ini umum. Golongan sebegini , kalau tidak kena dengan kehendak mereka maka mereka akan katakan bahawa hadis ini punya pengkhususan pada golongan tertentu. Bukan kepada semua golongan. Nabi sallallahu alaihi wasallam menyebutkan perkara ini ketika Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan) di hadapan sahabat Baginda ridwanullah alaihim ajma’in. Malah ketika tersebut, ada sahabat yang baru sahaja memeluk Islam. Tidak pula Baginda meletakkan khusus untuk golongan tertentu menyampaikan ilmu.

Apa yang penting ialah benar atau tidak penyampaian tersebut. Jika tidak benar tunjukkan tempatnya. Jangan sekadar menuduh mengatakan bahawa “ ini sesat” , “ini bid’ah” dan lain-lain ayat untuk melepaskan diri.

Kita tidak akan mengkritik jika penyampaiannya benar menurut jumhur. Namun jika sengaja mencari jalan masyhur dengan memilih pendapat bertentangan dengan jumhur maka jangan salahkan orang ramai yang menolaknya. Koreksi semula diri sendiri kenapa kita ditempelak??

Saya hargai perhatian golongan sebegini. Namun saya ingin berpesan sekali lagi. Berhujahlah dengan fakta dan ilmu yang jelas. Jangan berbasa-basi. Jangan penuhkan ruangan sembang tersebut dengan nafsu yang dianggap iman.

Kalau PHD yang menjadi ukuran ilmu seseorang, sebaiknya para ulama Syiah di Iran lebih utama untuk kamu semua jadikan ikon kerana untuk mendapat gelar Ayatullah kita melihat ada di antara mereka yang punya PHD sehingga 3-5 dan punya Master juga dalam jumlah yang sama. Bayangkan seorang Ayatullah punya 3-5 PHD?? Sebab itulah saya mengatakan PHD bukanlah menentukan seseorang itu benar atau tidak..

Nasihat saya , kembalilah kepada pemahaman jumhur ulama. Tinggalkan perkataan-perkataan kamu yang mengatakan bahawa " perkara ini tidak ada dalil" , " perkara ini Nabi tak buat".. Tidak lain, yang mengeluarkan kalam sebegini tanpa mengkaji kebenarannya adalah golongan yang tertipu dengan diri sendiri.. Sama-sama kita muhasabah.. Kita menyuruh orang menerima nasihat..kita juga jangan lupa untuk mendengar nasihat.. Ingat tu!!

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff dan Masjid al-Asyraff,
Pejabat MKKK Hayyu Sabie'
Kaherah Mesir