Wednesday, October 10, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 163-164 )



بسم الله الرحمن الرحيم
1.       Ayat 163 :
-       Seterusnya ayat-ayat berikutnya terus berbicara dalam menegakkan kefahaman Islam diatas tapak asasnya yang agung, iaitu tapak asas tauhid. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[1]: “ Keesaan Uluhiyah merupakan tapak asas yang agung dan diatas tapak inilah ditegakkan kefahaman keagamaan. Di sana tidak ada pertikaian disekitar kepercayaan kewujudan Tuhan. Yang ada hanya perbezaan kefahaman disekitar zat Tuhan, sifat-sifatNya serta hubunganNya dengan para makhluk yang mana kesemua pertikaian ini tidak menidakkan kewujudan Tuhan. Tidak pernah berlaku bahawasanya fitrah manusia itu telah melupakan hakikat kewujudan Tuhan melainkan di zaman kebelakangan ini dimana lahirnya pertumbuhan golongan manusia yang terputus dari pangkal kehidupan, terputus dari pangkal fitrah dan mengingkari kewujudan Allah s.w.t. Itulah kehidupan manusia yang tidak mempunyai akar umbinya di alam buana ini dan oleh sebab itu nasib mereka pasti akan berakhir dengan kemusnahan kerana tabiat kejadian dan fitrah alam wujud ini tidak sanggup menerima kewujudan makhluk yang terputus daripada akar umbinya”.
-        Sepertimana asbab nuzul ayat 163 ini ketika mana orang kafir Quraisy bertanyakan kepada Rasullullah s.a.w tentang sifat-sifat Allah. Hal ini demikian kerana mereka ingin tahu adakah Tuhan nabi Muhammad s.a.w itu seperti mana berhala-berhala mereka yang berbilang-bilang banyaknya itu.  Maka, untuk menolak sangkaan mengarut mereka itu sekaligus menjelaskan perihal Tuhan yang sebenar, diturunkan ayat ini dan juga beberapa ayat yang lain yang semaksud dengannya. Diantaranya, apa yang difirmankan oleh Allah s.wt yang berbunyi[2]:
-       قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُواً أَحَدٌ (4)
Bermaksud: “ Katakanlah olehmu ya Muhammad, Allah itu Esa. Allah itu tempat meminta. Tiada Dia beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tiada seorang pun yang menyerupaiNya”.
Maksud “Tuhan yang Esa” disini adalah Tuhan yang tidak berbilang-bilang, tidak dapat dipadankan dengan zat ketuhanan yang lain. Tidak dapat diserupakan perbuatanNya dengan perbuatan makhluk dan tidak boleh diserupakan sifatNya dengan sifat-sifat makhluk. Esa pada perbuatanNya dan Esa pada sifatNya[3].
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[4] : “ Dari dasar keesaan Uluhiyah yang tegas dan disokong dengan bermacam-macam cara penegasan inilah tertegaknya keesaan Tuhan ma’bud yang tunggal, dimana seluruh makhluk menumpukan perhambaan dan ketaatan mereka kepadaNya. Begitu juga tertegaknya kekuasaan pihak yang tunggal, dimana seluruh makhluk menerima segala arahan mengenai dasar-dasar akhlak dan perilaku mereka dariNya. Tertegak juga sumber perundangan dan peraturan dariNya dan tertegaknya sistem hidup yang tunggal yang mengatur kehidupan manusia di setiap jalan”. Penjelasan rangkaian ayat-ayat keesaan Tuhan ini bertujuan untuk menyediakan umat muslimin untuk memainkan peranan mereka yang besar dimuka bumi ini. Ianya adalah sesuatu hakikat yang sentiasa diperdalamkan akar umbinya oleh al-Quran dan diperluaskan konsepnya sehingga meliputi segala sudut perasaan dan aqal serta segala aspek kehidupan dan segala kewujudan. Hakikat ini juga perlu ditegakkan diatas seluruh perundangan, peraturan dan tugas-tugas kewajipan. 
-         Kemudian pengakhiran ayat ini berbunyi:
هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ
Bermaksud: “ Yang Maha penyayang dan Maha pengasih”
Iaitu, dari rahmatNya yang melimpah ruah, mendalam dan berterusan itulah lahirnya segala undang-undang, peraturan dan tugas-tugas kewajipan.

2.       Ayat 164:
-         Asbab nuzul ayat ini mengikut riwayatnya ketika mana Rasullullah s.a.w mengatakan kepada orang kafir Quraisy dengan firman Allah yang berbunyi :
وَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ
Bermaksud : “ Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa”
Lalu orang kafir Quraisy pun meminta Baginda datangkan bukti kerana mereka merasa sangat ta’ajub bagaimana Tuhan itu satu sahaja sedangkan mereka ada mempunyai berhala-berhala sebanyak 360 buah yang terletak disekeliling Ka’bah. Maka turunlah ayat ini[5] untuk menjelaskan keesaan Allah s.w.t yang boleh disusun menjadi 7 perkara yang terkandung di dalamnya bukti nyata dan tepat bahawasanya Allah s.w.t adalah Tuhan yang Maha berkuasa dan Tuhan yang Maha Esa.
-         Pertama, sepertimana firman Allah yang berbunyi:
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ
Bermaksud: “ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi..”
Ayat ini menyarankan agar memerhatikan kejadian langit dan bumi yang amat menakjubkan dimana mengikut ayat ini dalam tatabahasa Arabnya langit itu kejadiannya berbilang-bilang (السَّمَوَاتِ) dan bumi itu kejadiannya satu sahaja (وَالأَرْضِ ). Ini adalah kerana langit mempunyai berbagai unsur yang berlainan sedangkan bumi itu dikira satu sahaja walaupun mempunyai lapisan yang berbagai kerana semuanya itu dianggap tanah yang satu. Dan kejadian langit dan bumi ini menjadi bukti keesaan Allah sekiranya diperhatikan kejadian tersebut dengan hati yang terbuka. Langit, berapa jaraknya? berapa tingginya terbentang diangkasa dan kenapa tiada tempat penggantungannya atau pun sebarang benda untuk menampungnya? Itu belum lagi menyentuh kepada alam angkasa raya yang memeningkan kepala.  Bumi pula, kejadiannya bulat tetapi berapa lebar dan luasnya? Ada lautan dan ada daratan, bergunung, bersungai dan berhutan serta di dalamnya ada pula permata dan unsur galian. Kesemua ini menjadi rahsiaNya kecuali sebahagian yang dibukakan Allah kepada mereka apabila daya pemikiran semakin subur dan apabila kajian-kajian ilmiah membantu mereka. Ini kesemuanya membuktikan penciptanya adalah satu iaitu Allah s.w.t
-         Kedua, sepertimana firmanNya:
وَاخْتِلافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
Bermaksud: “ Dan pertukaran malam dan siang”
Kedua-dua malam dan siang ini silih berganti, terkadang malam lebih panjang daripada siang dan terkadang sebaliknya. Maka dengan ini terjadinya suasana terang dan suasana malam dan ianya menjadi antara sebab manusia itu boleh mengatur kehidupan seharian mereka yang mana apabila malam untuk berehat dan siang untuk bekerja atau pun sebaliknya. Mengikut ayat ini, para ulama’ berpendapat malam dahulu barulah siang dan sebab itulah penetapan haribulan Islam dimulai dengan permulaan malam dan disudahi dengan pengakhiran siang.
-         Ketiga, sepertimana firmanNya:
وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ النَّاسَ
Bermaksud: “Dan kapal yang berlayar dilautan dengan muatan yang berguna kepada manusia”
Kapal yang jikalau dilihat dari jarak jauh seperti satu titik kecil mengharungi lautan yang besar serta mengharungi gelombang yang bergulung-gulung dalam kehijaun laut yang membentang luas, sayup saujana disekeliling kapal tersebut. Kapal yang penuh dengan muatan dan penumpang itu boleh pula terapung dipermukaan laut dan belayar daripada satu pelabuhan ke satu pelabuhan yang lain. Tiada sesuatu yang berkuasa terhadap kapal-kapal tersebut selain daripada kudrat Allah s.w.t dan pemeliharaaNya. Selain daripada undang alam yang dijadikan oleh Allah, undang-undang inilah (kudrat dan pemeliharaaNya) yang membawa kapal-kapal yang kelihatan seperti titik kecil itu mengharungi segala gelombang yang menakutkan dan ini jugalah bukti keesaan Allah s.w.t
-         Keempat, sepertimana firmanNya:
وَمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنْ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا
Bermaksud: “ Dan apa yang diturunkan oleh Allah daripada langit daripada air hujan, lalu dihidupkan dengannya bumi yang telah mati”
Kejadian penurunan air hujan dari langit sebagai punca kehidupan semua makhluk yang bernyawa termasuklah binatang serta tumbuh-tumbuhan. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6] : “ Kemudian hayat yang tercetus dari bumi selepas disirami air hujan, iaitu hayat yang tidak diketahui hakikatnya yang mulanya berdenyut halus dan tidak jelas, kemudian kian kasar dan jelas dan akhirnya bergerak gagah dan kuat. Dari manakah datangnya hayat ini? Sebelum ini ianya tersembunyi didalam biji-biji benih, tetapi persoalannya bagaimana ianya datang atau masuk kedalam biji-biji benih itu? Dari manakah asalnya? Dan dimanakah sumber yang pertama? Golongan Mulhid (Atheis) cuba mengelak daripada pertanyaan ini yang pertanyaan ini tidak dapat tidak dijawap dengan pengakuan bahawasanya adanya Tuhan pencipta yang berkuasa memberi hayat kepada yang mati.”
Perhatikan juga cara air hujan itu diturunkan, ada tempat yang hujan dan ada yang tidak walaupun hanya dalam jarak yang amat dekat.
-         Kelima, sepertimana firmanNya:
وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ
Maksudnya: “ Dan dibiakkan di bumi bermacam-macam binatang yang melata”
Perhatikan juga bagaimana Allah s.w.t membiakkan semua jenis makhluk yang melata diseluruh pelusuk muka bumi ini. Perhatikan manusia itu sendiri yang berasal daripada nabi Adam a.s, tetapi berkembang biak menjadi berlainan warna kulit, bentuk badan, bahasa pertuturan serta bermacam-macam tabiat dan perangai. Begitu jugalah terjadinya kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
-         Keenam, sepertimana firmanNya:
وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ
Bermaksud: “ Dan ditiupkan angin”
Kemudian angin-angin yang bertiup daripada satu arah ke satu arah yang lain. Angin itu sendiri kejadiannya amat menakjubkan. Zatnya amat halus, tidak dapat dilihat oleh mata dan tidak di tangkap oleh tangan tetapi kekuatannya amat luar biasa. Ianya dapat meruntuhkan serta menumbangkan bangunan dan pokok-pokok yang besar. Namun begitu, dengan adanya angin atau udara ini, semua yang bernyawa menjadi hidup dan jikalau tiada angin atau udara walau hanya sekejap, semuanya akan mati, busuk dan rosak binasa.
-         Ketujuh, sepertimana firmanNya:
وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ
Bermaksud: “Dan awan yang berjalan diantara langit dan bumi”
Dan juga awan yang dibawa oleh angin diantara langit dan bumi, tunduk kepada undang-undang alam yang dijadikan oleh Allah s.w.t di alam semesta ini. Awan itu terkadang mengandungi air yang tidak terkira berapa banyaknya yang boleh mengairi gunung dan bukit, membanjiri lurah dan lembah tanpa ada satu pun tiang yang menongkatnya dan tiada gantungan yang menahannya. Sungguh ajaib dan aneh, ianya dalam keadaan dipenuhi air sebegitu, dapat melayang-layang diudara, ringan bagaikan kapas yang beterbangan dan kemudian menaburkan titisan hujan perlahan-lahan tidak serentak datang menghempap. Masalah angin dan awan ini, tidak cukup sekadar ditafsirkan dengan mana-mana teori yang memperkatakan tentang faktor-faktor  yang  membuatkan angin itu bertiup dan faktor-faktor yang memperkatakan tentang cara pembentukan awan. Dan rahsia yang paling mendalam ialah rahsia faktor-faktor itu sendiri. Itulah dia rahsia penciptaan alam yang sudah tentu ada Penciptanya.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[7]: “ Andainya mana-mana satu dari kejadian (yang telah diterangkan diatas) itu mungkir atau kacau, maka hayat tidak akan muncul atau tidak akan berjalan seperti perjalanannya yang berlaku sekarang. Itulah rahsia pentadbiran Ilahi yang halus yang membayangkan iradat dan pilihanNya yang bebas disamping membayangkan kesatuan dan persamaan perancangan dan rahmat pentadbiran”.
-         Ayat ini secara tersiratnya menganjurkan cara menggerakkan pancaindera dan menyedarkan perasaan. Sewajarnya dengan ini dapat membuka mata dan hati terhadap kejadian-kejadian yang menarik di alam semesta ini.  Iaitu kejadian-kejadian yang pada asalnya  mengagumkan jiwa yang telah kehilangan sifat keindahan serta keanehan serta implikasinya terhadap hati dan perasaan kerana terlalu biasa dilihat oleh mata manusia. Ayat ini juga merupakan seruan kepada manusia supaya meneroka kembali alam semesta ini sebagai seorang yang baru melihatnya bagi pertama kalinya dengan mata yang terbuka, perasaan yang terharu dan hati yang hidup kembali dengan semangat yang dipertingkatkan. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[8] : “Alangkah banyaknya keanehan dan keajaiban yang terdapat dalam permandangan yang berulang-ulang ini. Dan alangkah banyaknya mata dan hati yang terharu apabila melihat pemandangan ini bagi pertama kalinya. Tetapi setelah mata dan hati biasa melihatnya, maka hilanglah kejutan terperanjat dan kagum serta hilanglah keindahan pandangan pertama yang meyaksikan temasya alam yang amat menarik ini”
-         Seterusnya ayat ini diakhiri dengan firmanNya:
لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Bermaksud: “ Adalah menjadi bukti yang jelas kepada orang-orang yang berfikir”
Andainya manusia dapat membuang dari aqalnya kebebalan, kebiasaan dan kelalaian dan memandang pemandangan alam semesta dengan perasaan yang baru dengan penglihatan yang ingin tahu dan dengan hati yang disuluh oleh iman, dimana setiap pancaran cahaya menarik matanya, setiap bunyi menggerakkan telinganya dan setiap pergerakan menarik hatinya dan seluruh dirinya terharu dengan keanehan-keanehan kejadian alam yang tidak henti-henti menarik penglihatan, hati dan perasaannya. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9] : “ Inilah yang dapat dibuat oleh keimanan, iaitu ia membuka mata dan pintu hati, ia merangsangkan kepekaan perasaan, ia memberi penilaian kepada keindahan, keseimbangan dan kesempurnaan kepada kejadian alam. Keimanan memberi pandangan yang baru kepada alam semesta, memberi kefahaman dan tanggapan yang baru kepada keindahan dan membuat kehidupan dibumi sentiasa berada dalam temasya ciptaan Allah s.w.t  siang dan malam.”
-         Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus, ada menyebutkan[10]:
ويل لمن قرأ هذه الآية فمجَّ بها
Bermaksud : “ Celakalah barang siapa yang membaca ayat ini tetapi tidak berfikir dan tidak mengambil iktibar”





[1] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 616
[2] Surah al-Ikhlas
[3] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 39
[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 616-617
[5] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 147. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 2, mk 458
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 620-621
[7] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 622
[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 618-619
[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 622-623
[10] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 148

Tuesday, October 9, 2012

Nota kelas Tilawah Tafsir (al-Baqarah 159-162 )



بسم الله الرحمن الرحيم
1.       Ayat 159:
-         Sebagai muqaddimah, pasti akan ada di kalangan umat Islam, orang yang menzahirkan kebenaran walau macamana besar dan hebatnya tekanan serta dugaan yang datang. Mereka tidak takut dan tidak akan tunduk selain daripada Allah s.w.t sekaligus tidak akan menyembunyikan kebenaran kecuali dunia ini akan qiyamat dan maka pada ketika itu dimatikan para ulama’. Di ketika itu tidak ada lagi ulama’ serta orang alim yang memperkatakan tentang kebenaran dan natijahnya, manusia bertambah jahat maka tunggulah  saat kehancuran dan kemusnahan.
-         Ayat ini secara khususnya ditujukan kepada pendeta-pendeta Yahudi dan umumnya kepada mereka yang sengaja menyembunyikan segala sesuatu yang diturunkan oleh Allah s.w.t meliputi kesemua hukum yang terkandung di dalam al-Quran[1]. Orang-orang yang sedemikian amat besarlah celakanya akibat mendapat laknat daripada Allah dan laknat daripada seluruh yang melaknat.
-         يَكتُمُون” dengan kata dasarnya  كِتْمانٌ beerti menyembunyikan dan menutup-nutupi (tidak menyiarkan dan menerangkan)[2]. Imam al-Alusi berkata الكَتْمُ ialah tidak membuka atau menerangkan sesuatu dengan sengaja padahal sesuatu itu perlu diketahui oleh orang, sedang yang mempunyai sesuatu (umpama ilmu) itu mengetahui benar bahawa apa yang ia punyai itu seharusnya dibuka kepada pengetahuan khalayak ramai. Tindakan ini samada dengan menyembunyikannya atau dengan jalan menghapuskannya dan menggantikannya dengan yang lain. Dan pendeta Yahudi telah pun mempraktikkan kedua-dua tindakan tersebut[3].
-          الْبَيِّنَاتِ bermaksud pertunjuk yang amat jelas merujuk kepada pengkhabaran tentang kebangkitan Rasullullah s.a.w yang wujud di dalam Taurat dan Injil. الْهُدَى pula bermaksud segala sesuatu yang menunjukkan kebaikan dan memberi petunjuk kepada jalan yang benar.  Ibn Su’ud berkata : “ yang dimaksudkan dengan الْهُدَى ialah ayat-ayat yang memberi petunjuk akan kewajipan seseorang beriman kepada Rasullullah s.a.w serta kewajipan mengikutinya. Digunakan kata الْهُدَى untuk makna ini agar lebih memantapkan apa yang dimaksudkan  serta objektifnya[4].
-         Asbab nuzul ayat ini ialah ketika mana golongan ahli Kitab ditanya tentang kandungan Taurat dan Injil yang membicarakan mengenai kebangkitan Rasullullah s.a.w. Tetapi mereka menyembunyikannya dan tidak memberitahu tentangnya semata-mata didorong rasa dengki dan benci. Ibn ‘Abbas berkata : “ Bahawasanya Mu’az b. Jabal beserta beberapa orang sahabat bertanya kepada kelompok pendeta Yahudi tentang beberapa perkara yang terdapat di dalam Taurat. Lantas pendeta-pendeta itu menyembunyikannya dan tidak suka menerangkan kepada yang bertanya, lalu turunlah ayat ini”[5].
-         Di dalam Taurat dan Injil ada menceritakan tentang kebangkitan nabi akhir zaman iaitu Muhammad s.a.w dan kebenaran ini telah pun diketahui oleh pendeta Yahudi tetapi mereka menyembunyikan kisah ini kerana takut martabat mereka jatuh dan tiadalah habuan mereka untuk mendapat kuasa memerintah serta mendapat hadiah daripada pengikut mereka. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[6]: “ Mereka dan orang-orang yang seperti mereka wujud di mana-mana zaman, iaitu dari orang yang menyembunyikan kenyataan-kenyataan yang benar yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kerana sesuatu sebab dari berbagai sebab penyembunyian. Mereka adalah terdiri dari orang yang selalu dilihat oleh orang ramai di berbagai-bagai masa dan tempat mengambil sikap mendiamkan diri dari kebenaran yang diketahui oleh mereka.” Ada pula terdapat dikalangan mereka itu yang beriman dengan Taurat dan Injil serta kenabian Rasullullah s.a.w. Mereka terpaksa menyembunyikan diri daripada masyarakat, beribadat di gunung-ganang, gua-gua dan padang pasir yang jauh bersama kambing-kambing mereka akibat ditekan oleh kerajaan yang zalim pada masa itu sambil menunggu kelahiran nabi Muhammad s.a.w.
-          M. Ali Al-Sobuni di dalam kitabnya Tafsir Ayat-Ayat Hukum Dalam Al-Quran, membicarakan tentang hal keadaan ayat ini adakah ianya khusus untuk pendeta-pendeta Yahudi  yang menyembunyikan kebenaran atau ianya umum kepada semua manusia yang bersifat sedemikian. Berdasarkan pendapat yang dikeluarkan oleh ulama’ Usul fiqh, yang menjadi pokok atau perkara penting adalah keumuman kata-kata ayat tersebut, serta tidak terbatas kepada peristiwa yang khusus yang menjadi sebab turunnya ayat ini[7]. Perkara ini juga di sokong oleh sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasullullah s.a.w bersabda[8] :
من سُئِل عن علمٍ فكتَمهُ اُلْجِمَ يومَ القيامةِ بِلِجامٍ منْ نارٍ
Bermaksud: “Barang siapa ditanya tentang suatu ilmu, lalu ia menyembunyikannya dan tidak menerangkan apa-apa, maka ia akan dikekang pada hari kiamat dengan kendali api”
-         Seterusnya Allah berfirman:
أُوْلَئِكَ يَلْعَنُهُمْ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمْ اللاَّعِنُونَ
Bermaksud: “ Merekalah orang-orang yang dilaknat Allah dan dilaknat oleh sekelian pelaknat”
-         Perkataan اللاعنون menurut Ibn ‘Abbas, segala jenis makhluq di muka bumi kecuali jin dan manusia[9]. Berkata Mujahid : Dimaksudkan  ialah semua jenis binatang dan serangga. Binatang-binatang ini berkata: “ Kepada kami tidak diturunkan hujan kerana kedurhakaan anak cucu Adam a.s.”[10] Makna yang lebih tepat kepada perkataan اللاعنون ialah Malaikat, para nabi dan seluruh manusia yang bertepatan dengan firman Allah s.w.t pada ayat berikutnya[11] yang bermaksud “ Mereka itu mendapat laknat Allah, para Malaikat dan manusia seluruhnya.”
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[12] : “ Erti laknat ialah pengusiran  dari rahmat Allah dengan penuh kemurkaan dan ancaman dan itulah manusia yang dikutuk Allah iaitu mereka yang diusir dari rahmatNya dan diburu oleh sekelian pelaknat dari segenap penjuru dan demikianlah mereka diusir oleh Allah dan para hambaNya disetiap tempat”

2.       Ayat 160 :
-         Ayat menjelaskan bahawa terdapat pengecualian terhadap azab laknat diatas sekiranya orang itu bertaubat walaupun pada peringkat awalnya menyembunyikan ilmu dengan tidak mengatakan apa-apa langsung tentang suruhan Allah ketika mana disekelilingnya berlaku bermacam-macam perkara yang terang-terang melanggari perintah Allah s.w.t. Tetapi mereka seperti ini, berdasarkan ayat ini tidak boleh hanya beristighfar sahaja kemudian duduk berdiam diri dirumah. Mereka hendaklah turun ke medan kerja islah dan membetulkan kesilapan serta menerangkan yang mana haq dan yang mana batil lebih-lebih lagi jikalau tindakannya yang berdiam diri itu telah memusnahkan kehidupan masyarakat kearah kehidupan yang jauh daripada rahmat Allah s.w.t
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[13] : “ Kepada orang-orang ini, al-Quran membuka jendela yang terang kepada mereka iaitu jendela taubat yang terbuka lebar, dimana bayu harapan bertiup darinya masuk kedalam hati dan membawanya ke sumber nur hidayah. Oleh itu ia membuat hati tidak berputus asa dari rahmat Allah dan dari keampunanNya. Sesiapa yang suka, silalah masuk ke dalam kawasan yang aman ini dengan niat yang jujur dan ikhlas. Tanda taubat yang sebenar ialah membetulkan amalannya, bercakap dengan jelas, mengumum dan mengakui apa yang benar dan beramal mengikut kehendakNya”. Dan selepas itu yakinlah kepada rahmat Allah serta pemberianNya terhadap taubatnya sepertimana firmanNya:
وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Bermaksud : “ Aku Maha penerima taubat dan Maha pengasih”


3.       Ayat 161 & 162:

-         Kedua-dua ayat ini menggambarkan nasib dan akibat bagi mereka yang terus berdegil (diatas kesalahan mereka) serta tidak bertaubat sehingga peluang itu terlepas dari tangannya dan tempohnya sudah luput, maka mereka akan menghadapi laknat yang diancamkan kepada mereka. iaitu di laknat oleh para Malaikat dan manusia seluruhnya. itulah kutukan dan laknat yang menyerkup mereka yang tidak dapat dihindari dan tiada hati yang kasihan lagi kepada mereka. Mereka ini diibaratkan setelah melihat neraka barulah mereka mahu beriman kepada Allah s.w.t. Atau bilamana Malaikat datang hendak mencabut nyawa, baru ketika itu mahu mengikut al-Quran.
-          Kepada mereka ini Allah melaknat mereka di samping Malaikat dan manusia yang beriman pun turut berbuat sedemikian. Ayat ini juga mengajar kita melaknat orang kafir secara umum. Jangan kita melaknat dengan menyebut mereka secara peribadi kecuali mereka yang di nyatakan oleh Allah di dalam al-Quran seperti Fir’aun, Namrud serta Abu Jahal ataupun orang yang sudah memang terkenal yang terlalu dahsyat tindakannya terhadap Islam maka kita melaknat di atas perbuatan mereka bukannya diatas batang tubuh mereka.
-         Berkata al-Syahid Sayyid Qutb [14]: “ Ayat ini tidak menyebut sesuatu azab yang lain dari laknat yang menyerkup mereka, malah ia menyifatkan laknat itu sebagai suatu azab yang tidak akan diringankan dari mereka dan tempoh azab itu tidak akan ditangguh. Itulah azab yang mengecilkan segala azab yang lain. Itulah azab diusir, dibuang dan dilayan dengan kasar dan tiada hati yang menaruh belas kasihan, tiada mata yang memandang dengan simpati dan tiada lidah mengucap kata-kata hormat. Mereka dikutuk, diusir dan dibuang oleh para hamba Allah dan tuhan sekalian hamba Allah samada dibumi dan di alam semesta. Inilah azab yang amat pedih dan amat menghinakan”.



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 2, mk 36
[2] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 259
[3] Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, J. 2, mk 27
[4] Tafsir Abu al-Su’ud, J. 1, mk 141
[5] Al-Suyuthi, al-Dur al-Manthur, J. 1, mk 161. Lihat juga Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, J. 2, mk 66.
[6] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 609   
[7] [7] M. Ali Al-Sobuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum  Dalam Al-Quran, J.1, mk 259
[8] Al-Suyuthi, al-Dur al-Manthur, J. 1, mk 162
[9] Tafsir Abu al-Su’ud, J. 1, mk 141
[10] Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dari Mujahid. Lihat juga tafsir al-Alusi, J 2, mk 27. Lihat juga tafsir al-Razi, J 4, mk 185
[11] Ayat 160
[12] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 610  
[13] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 610-611
[14] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 612-613